Category: Semasa

  • Tiga beradik lemas: Anak sulung tak sempat kahwin

    Tiga beradik lemas: Anak sulung tak sempat kahwin

    SEORANG daripada tiga beradik yang lemas di Pantai Cahaya, Port Dickson semalam bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

    Hasrat R. Kalaivani, 30, anak sulung daripada enam beradik untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya pada November ini tidak kesampaian susulan tragedi berkenaan.

    Tragedi itu yang mengorbankan tiga beradik menyebabkan pasangan suami isteri dari Banting, Selangor kehilangan Kalaivani selain anak kedua, R. Dawige, 29, dan anak bongsu, S. Sathiyadevi, 19, sekelip mata.

    Sepupu mangsa R. Thammanty, 30, berkata, Veeran sebelum ini dikejarkan ke Hospital Port Dickson kerana kritikal namun keadaannya stabil dan dijangka ditempatkan di wad biasa pada petang ini, manakala Sathiswaran pula selamat.

    Menurutnya, emosi ibu saudaranya masih tidak stabil sehingga kini dan kerap menangis mengenangkan kejadian yang berlaku begitu pantas di depan matanya.

    “Dia (ibu saudara) masih terkejut, begitu juga dengan pakcik R Ravi (bapa mangsa). Ini percutian pertama mereka di sini berikutan sebelum ini hanya ke Pantai Morib, Selangor untuk mandi laut dan bersantai.

    “Kami sekeluarga hilang kata-kata sebab saya dan kesemua adik-beradik mangsa sangat rapat, malah kediaman kami juga selang beberapa rumah sahaja. Kebiasaannya kalau ke mana-mana mereka akan maklum tetapi kali ini berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Port Dickson hari ini.

    Mengulas lanjut, Thammanty berkata, Kalaivani telah mengikat tali pertunangan dengan Sathiswaran sejak lapan tahun lalu dan sedang membuat persiapan untuk mengadakan majlis pra perkahwinannya.

    “Mereka tinggal di Taiping, Perak dan pulang pada Sabtu lepas untuk menghabiskan waktu cuti bersama keluarganya di Banting, Selangor,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, tiga beradik perempuan lemas manakala adik lelaki ketiga-tiga mangsa kritikal ketika mandi di Pantai Cahaya dalam kejadian petang Ahad.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, operasi menyelamat telah dilakukan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Telok Kemang.

    “Mayat mangsa seterusnya dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Cuaca panas: Orang ramai perlu ambil langkah pencegahan – Jabatan Kesihatan

    Cuaca panas: Orang ramai perlu ambil langkah pencegahan – Jabatan Kesihatan

    JABATAN Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat atau mengalami cuaca panas supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan.

    Pengarahnya Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata orang ramai perlu mengehadkan masa berada di luar bangunan dan melakukan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas dan jerebu kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit.

    Beliau berkata mereka juga perlu memakai pelitup muka yang sesuai jika berada di kawasan berjerebu dan menggunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas serta mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan termasuk merokok.

    “Pada ketika ini, negara kita sedang dilanda cuaca panas yang memberi kesan kepada kualiti udara dan suhu ambien di beberapa kawasan.

    “Cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh dan kesannya cecair dalam tubuh akan berkurangan seterusnya menyebabkan individu terbabit akan mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba,” katanya di Seremban hari ini.

    Dr Harlina menasihatkan orang ramai agar banyakkan meminum air kosong walaupun tidak terasa dahaga, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan yang berperanan penting untuk mengawal atur suhu badan.

    Beliau turut meminta mereka yang tidak sihat supaya mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat.

    Langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas dan jerebu boleh didapati menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan, katanya.

    Dr Harlina berkata berdasarkan pemantauan status cuaca panas oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam, terdapat tujuh kawasan di Semenanjung berada pada Tahap Amaran satu (Berjaga-jaga) iaitu Kuala Terengganu (Terengganu), Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah (Kelantan), Rompin (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan).

    Setakat padi tadi, kualiti udara di tiga stesen pengawasan kualiti udara iaitu di Seremban, Nilai dan Port Dickson menunjukkan tahap indeks sederhana, katanya.

  • Ibu maut, bayi tercampak keluar dalam kemalangan

    Ibu maut, bayi tercampak keluar dalam kemalangan

    SEORANG wanita maut manakala bayinya tercampak keluar darip kereta dinaikinya selepas dirempuh kenderaan lain dari arah belakang di Kilometer 291.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kampar, pagi tadi.

    Bayi berusia dua tahun itu selamat tanpa kecederaan fizikal, tetapi kemalangan itu mengorbankan ibunya, Norfadilah Ismail, 34, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Perodua Myvi dipandu bapa kanak-kanak itu berusia 36 tahun.

    Bayi itu dipercayai tercampak keluar selepas kereta dinaiki tiga beranak itu dirempuh dari arah belakang sebelum hilang kawalan dan terbalik bersebelahan laluan.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan pukul 8.10 pagi itu membabitkan kereta Perodua Myvi dinaiki tiga beranak terbabit yang dilanggar dari belakang.

    “Kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki pasangan itu dilanggar sebuah lagi Perodua Myvi dinaiki empat anggota tentera berusia awal 20an termasuk pemandunya berusia 22 tahun.

    “Kemalangan menyebabkan ibu bayi terbabit meninggal dunia, manakala semua mangsa lain termasuk bayi yang tercampak itu terselamat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mohamad Nazri berkata, mayat suri rumah itu dihantar ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.

  • Mayat warga emas ditemukan dalam selut

    Mayat warga emas ditemukan dalam selut

    SATU mayat warga emas di lopak air berselut di Bendang Pengkalan Haji Ali, Bachok, Kelantan, pukul 6.16 petang semalam.

    Timbalan Ketua polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohamad Zohan Seman berkata, mayat warga emas berusia 68 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang dalam lopak air berkenaan.

    “Pemeriksaan ke atas mayat tiada sebarang kecederaan dan polis tidak menemui sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan unsur-unsur jenayah.

    “Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, polis mengklasifikasikan kematian sebagai mati mengejut, lapor Sinar Harian.

  • Konflik Sudan: ‘Proses bawa keluar rakyat Malaysia masuk fasa kritikal, doakan keselamatan mereka’ – Zambry

    Konflik Sudan: ‘Proses bawa keluar rakyat Malaysia masuk fasa kritikal, doakan keselamatan mereka’ – Zambry

    USAHA dan tindakan membawa keluar rakyat Malaysia dari kawasan pertempuran di Khartoum telah pun dilakukan.

    Bagaimanapun, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata keberadaan mereka ketika ini belum boleh dikongsikan atas faktor keselamatan.

    “Proses membawa keluar rakyat Malaysia telah memasuki fasa kritikal, susulan kedua pihak yang bersengketa tidak menghormati gencatan senjata.

    “Saya memohon rakyat Malaysia mendoakan kesemua mereka selamat dan misi mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA TV di Kuala Lumpur hari ini.

    Zambry berkata Wisma Putra dan lain-lain agensi di Pusat Operasi Ops Sudan terus gigih berusaha untuk membawa keluar rakyat Malaysia.

    Sebelum ini, Zambry berkata Malaysia sudah menghubungi pentadbiran tertinggi Sudan bagi memohon kelulusan lintas udara dan mendarat di negara itu.

    Ia susulan tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan melanjutkan penutupan ruang udara negara itu sehingga 30 April.]

    Seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan mereka dalam dalam keadaan selamat.

    Pada 21 April lalu, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.

    Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.

    Konflik bersenjata itu tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

  • 6 bebas dengan ikat jamin selepas berhujung minggu di penjara

    6 bebas dengan ikat jamin selepas berhujung minggu di penjara

    ENAM lelaki yang menghabiskan hujung minggu di penjara kerana tidak membayar ikat jamin, dibebaskan hari ini selepas membayar jaminan.

    Peguam Alvin Tan berkata, penjamin diminta hadir di kaunter ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 pagi tadi.

    “Pagi ini, peguam mereka bersama penjamin tiba di mahkamah kira-kira 9.30 pagi. Pegawai mahkamah sudah bersedia dengan permohonan ikat jamin bagi enam tertuduh itu.”

    “Di bawah bantuan pegawai mahkamah, penjamin berjaya melengkapkan prosedur ikat jamin sekitar tengah hari. Mereka akhirnya dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya memetik laporan FMT.

    Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dilaporkan berkata, enam lelaki itu dinafikan jaminan kerana penjamin mereka tidak hadir, bukannya akibat kaunter ditutup awal.

    Khamis lalu, media melaporkan enam lelaki yang minta dibicarakan atas konspirasi jenayah dengan niat menipu, terpaksa menghabiskan hujung minggu panjang di penjara, dengan Tan mendakwa kaunter ikat jamin ditutup awal berbanding kebiasaan.

    Tan dilaporkan mendakwa kaunter ikat jamin ditutup pada 2.53 petang, walaupun notis menyatakan waktu operasi kaunter ikat jamin sehingga 4.30 petang.

    Tan menyuarakan penghargaan kepada pegawai mahkamah yang datang hari ini ketika cuti umum untuk memudahkan prosedur ikat jamin.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, badan kehakiman dan jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam Kuala Lumpur atas perhatian segera mereka.

    “Kami percaya perkara ini selesai sekarang, pada masa sama, kami berharap siasatan sewajarnya dapat dilakukan bagi memastikan keadaan sama tidak berulang,” katanya.

  • Sindiket pasang jenama tiruan selepas import, kata KPDN

    Sindiket pasang jenama tiruan selepas import, kata KPDN

    KEMASUKAN barangan tiruan dari luar negara tanpa sebarang jenama menyukarkan pihak berkuasa membanteras kegiatan penjualan barangan itu sepenuhnya.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, rampasan sukar dibuat di peringkat kemasukan kerana kerajaan tidak menghalang import pakaian/tekstil dari luar, selagi tidak menyalahi peraturan seperti penggunaan cap dagang secara salah.

    “Misalnya, pakaian tiruan yang dibawa masuk dari Bangladesh, kebanyakannya masuk tanpa jenama dan setelah lepas pemeriksaan pihak berkuasa, baik di pelabuhan atau lapangan terbang, sindiket akan memasangkan jenama tiruan dan membuat cetakan di dalam negara.

    “Ketika dibawa masuk, ia tidak menjadi kesalahan sebab tiada jenama atau jenama syarikat pada item. Kerana yang dipaten dan didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah jenama paten itu saja (selepas ia dipasangkan jenama),” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Beliau berkata, pihaknya turut berdepan kesulitan dalam membasmi kegiatan itu kerana dalam sesetengah keadaan, mereka tidak mendapat kerjasama penuh wakil cap dagang ketika melakukan serbuan.

    Katanya, kehadiran wakil cap dagang dalam setiap operasi atau serbuan di stor mahupun premis barangan tiruan penting kerana pengesahan status sama ada barangan itu tiruan atau tidak hanya boleh dilakukan mereka.

    “Kami menerima banyak laporan dan aduan orang awam mengatakan penjualan barangan tiruan di sesuatu lokasi. Mengikut prosedur, kami perlu berhubung dengan wakil cap dagang untuk mereka turut serta dalam operasi.

    “Misalnya, dalam serbuan di Jalan Petaling baru-baru ini yang melibatkan lebih 30 wakil cap dagang. Namun, ada daripada mereka tidak hadir, jadi kami tidak boleh mengambil barang-barang tersebut walaupun diketahui ia barangan tiruan.”

    Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran terbesar dihadapi pihaknya adalah mendidik masyarakat menghormati cap dagang, sekali gus menghapuskan mentaliti membeli barangan tiruan semata-mata bagi memenuhi kehendak untuk bergaya.

    Apabila pengguna membeli sesuatu barangan tiruan, katanya, mereka mungkin merasakan sudah ‘memiliki’ produk berjenama, namun hakikatnya mereka sedang menghancurkan institusi yang mencipta suatu jenama dan akhirnya memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara.

    “Terutama sekali pada musim perayaan sebegini, memang berlaku peningkatan daripada tempahan barangan tiruan di seluruh negara. Diketahui juga pada musim sebegini, memang akan ada stok semula besar-besaran untuk edaran, termasuk penjualan dalam talian.”

    Ariffin berkata, statistik menunjukkan Jalan Petaling, Jalan Chow Kit dan Jalan Kenanga adalah lokasi panas penyimpanan dan penjualan barangan tiruan di ibu negara.

    Katanya, hasil risikan mendapati kebanyakan sindiket tidak berminat berpindah ke lokasi lain memandangkan lokasi itu menjadi hab dikenali ramai untuk mendapatkan barangan tiruan, baik dalam kalangan rakyat tempatan mahupun pelancong asing.

    “Jadi, itulah yang menjadi sasaran utama kami dan semestinya KPDN akan gunakan segala usaha untuk membanteras kegiatan ini. Bagaimanapun, pengguna perlu sedar, jangan sesekali menggunakan barangan tiruan walaupun murah. Berbelanjalah mengikut kemampuan kita,” katanya.

  • 2 nama dicalon untuk timbalan speaker DUN Melaka

    2 nama dicalon untuk timbalan speaker DUN Melaka

    CALON timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan diumumkan Jun ini, kata Speaker DUN, Ibrahim Durum.

    Setakat ini, katanya, kerajaan negeri menerima dua nama bagi pelantikan itu, namun enggan mendedahkan sama ada calon itu daripada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan (PH).

    “Kita masih berbincang untuk mengenal pasti calon layak memandangkan timbalan speaker sebelum ini, iaitu Khaidhirah Abu Zahar dilantik sebagai timbalan exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

    “Senarai akhir itu hanya akan diumumkan beberapa hari sebelum sidang DUN atau pada hari berkenaan yang dijangka pada penghujung Jun ini,” katanya di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kuala Linggi anjuran bersama Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

    Ibrahim berkata, beliau tidak menolak kemungkinan calon itu daripada PH.

    “Sudah semestinya pemilihan ini akan mencerminkan kerajaan perpaduan yang sedang diperkukuhkan di Melaka. Jadi, kita tunggu saja pengumuman rasmi nanti pada sidang DUN nanti,” katanya.

  • Dua cedera termasuk anggota bomba dalam kebakaran 4 rumah

    Dua cedera termasuk anggota bomba dalam kebakaran 4 rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki dan seorang anggota bomba cedera dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kampung Seri Bunian, Pontian, malam tadi.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah tersebut melalui talian MERS999 pada pukul 11.02 malam.

    Koamnder Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, seramai 24 anggota dari BBP Pekan Nanas dan BBP Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian.

    Katanya, mereka dibantu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kebakaran melibatkan empat buah rumah jenis separuh kekal yang berukuran 16×40 kaki setiap satu.

    “Kebakaran telah memusnahkan 80 peratus dari keseluruhan keempat-empat rumah tersebut.

    “Dalam kejadian itu seorang mangsa lelaki berusia 28 tahun cedera dan diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semasa operasi pemadaman seorang anggota BBP Pontian mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terpijak paku.

    Katanya, anggota tersebut diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Pontian dengan menaiki jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

    Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi selesai pada pukul 12.54 tengah malam.

  • Tragedi Aidilfitri, empat rumah rosak dipukul ribut

    Tragedi Aidilfitri, empat rumah rosak dipukul ribut

    EMPAT buah rumah di Kampung Kubang Betong, Changlun rosak rosak akibat dipukul ribut dala kejadian pada hari raya kedua semalam.

    Kebanyakan bumbung rumah terbabit diterbangkan angin kencang dalam kejadian pada pukul 3.30 petang.

    Seorang mangsa, Ishak Ibrahim, 61, berkata, angin kencang disertai ribut menyebabkan bahagian atas atap zink rumah berterbangan dan air hujan masuk mencurah-curah ke dalam rumah.

    “Semasa kejadian saya dan 12 ahli keluarga termasuk anak menantu serta cucu yang pulang ke rumahnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri terpaksa melarikan diri dengan keluar dari kediaman itu ketika kejadian ribut berkenaan.

    “Kejadian angin kencang dan hujan hampir 30 minit sebelum ia menerbangkan atap zink rumahnya itu.

    “Tiga bilik di bahagian atas yang menjadi tempat anak-anak serta menantu dan cucunya tidur termasuk tilam, bantal semua habis basah selepas kejadian itu,” katanya ketika dihugbungi hari ini.

    Warga emas itu berkata, dia sempat melaungkan azan sewaktu kejadian dan angin pada waktu itu terlalu kencang namun bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

    “Rumah saya dua tingkat, mujur anak-anak semua masih boleh tidur di dalam dua bilik di tingkat bawah sejurus selepas kejadian.

    “Mereka semua nak seronok pulang beraya namun tak sangka pula kejadian ini berlaku dan berharap ia tidak berulang lagi,” katanya, lapor Harian Metro.

    Ishak berkata, dia kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan menganggarkan kerugian berjumlah RM6,000, selain dinding kayu juga turut rosak.

    Katanya, setakat ini, atap zink rumahnya masih belum dibaiki namun berharap kejadian sama tidak berulang.