Category: Semasa

  • Rashdan Yusof letak jawatan Timbalan Pengarah Urusan Gamuda

    Rashdan Yusof letak jawatan Timbalan Pengarah Urusan Gamuda

    RASHDAN Yusof meletak jawatan sebagai timbalan Pengarah Urusan Gamuda Bhd susulan kebimbangan konflik kepentingan selepas pelantikannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga.

    Gamuda dalam kenyataan mengumumkan bahawa, Rashdan telah melepaskan semua jawatan pengarah berkuat kuasa hari ini dan menghantar notisnya sehingga 30 Jun.

    “Kumpulan itu merakamkan ucapan selamat kepada Rashdan untuk usaha masa depannya, termasuk untuk peranannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga.

    “Rashdan memberi jaminan kepada lembaga pengarah bahawa terdapat pematuhan penuh terhadap semua peruntukan konflik kepentingan seperti yang dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Tenaga (Akta 610) dan tadbir urus yang baik dipatuhi dalam semua perbincangannya di Suruhanjaya Tenaga,” katanya, lapor FMT.

  • Video tular di media sosial, polis tahan suspek dakwa larikan seorang lelaki

    Video tular di media sosial, polis tahan suspek dakwa larikan seorang lelaki

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS sudah menahan seorang suspek dan masih memburu beberapa individu yang didakwa melarikan seorang lelaki dalam kejadian di Shahab Perdana, Alor Setar yang klip videonya tular di media sosial sejak malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, laporan polis berhubung kejadian itu sudah pun dibuat oleh bapa mangsa, semalam.

    Menurutnya, bapa mangsa berusia 46 tahun menerima maklumat kira-kira pukul 6.30 petang menyatakan anak lelakinya yang berusia 27 tahun, dilarikan beberapa individu.

    “Berikutan itu, dia bergegas ke lokasi kejadian. Apabila tiba di lokasi tersebut, dia kemudiannya ditunjukkan klip video kejadian tersebut oleh orang awam yang berada di situ.

    “Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam klip video berdurasi 41 saat itu, mangsa dilihat dipaksa memasuki sebuah kenderaan berwarna putih sambil dia menjerit kesakitan.

    Kejadian itu dirakam orang awam yang berada di kawasan tersebut namun tiada butiran lanjut didedahkan mengenainya dalam klip video berkenaan.

    Tambahnya, hasil siasatan dijalankan, polis kemudiannya berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 43 tahun, awal pagi ini.

    “Setakat ini terdapat lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita. Bagaimanapun seorang suspek sudah ditahan awal pagi tadi.

    “Pihak kami sedang berusaha menghubungi mangsa dalam masa terdekat. Dalam masa sama, kami juga sedang berusaha memburu saki-baki suspek,” katanya.

    Beliau memaklumkan, motif kejadian masih disiasat.

    “Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Rayuan 4 bekas ADUN cabar undang-undang anti-lompat minggu depan

    Rayuan 4 bekas ADUN cabar undang-undang anti-lompat minggu depan

    MAHKAMAH Rayuan dijangka menetapkan tarikh pendengaran rayuan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang mencabar kesahihan usul yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memaksa mereka mengosongkan kerusi.

    Tarikh pendengaran rayuan, yang menamakan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Speakernya, Law Choo Kiang, sebagai responden, dijangka ditetapkan semasa pengurusan kes yang dijadualkan diadakan minggu depan.

    Menurut peguam A. Surendra Ananth, yang mewakili Speaker berkata, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Tiong Wen Wen, menangguhkan pengurusan kes bekas ADUN Bersatu bagi Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, yang diadakan pagi ini.

    Tiong berbuat demikian selepas mengetahui Dr. Afif Bahardin (bekas ADUN Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang) turut memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang sama.

    Rayuan ketiga-tiga mereka dijadualkan untuk pengurusan kes pada 5 Mei.

    “Pengurusan kes seterusnya dalam rayuan Zulkifli akan diadakan pada hari yang sama, dan pendengaran bersama untuk keempat-empat rayuan mungkin akan ditetapkan pada tarikh itu,” kata Surendra kepada FMT.

    Peguam, Shu Ivy mewakili Zulkifli hari ini.

    Pada 20 Jan, Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Arshad menolak saman yang dikemukakan oleh empat bekas wakil rakyat itu.

    Azizan berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun lalu bahawa enakmen anti-lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

    Beliau juga memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan usul oleh DUN dan speaker terhadap keempat-empat Adun berkenaan.

    “Itu terletak di bawah bidang kuasa dewan undangan negeri,” katanya.

    Pada 6 Mac, DUN Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengosongkan empat kerusi itu atas alasan bahawa keempat-empat ADUN terbabit telah melanggar undang-undang anti lompat negeri.

    Kesemua telah bertanding dan menang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas tiket Pakatan Harapan pada Mei 2018.

    Keempat-empat ADUN berkenaan memfailkan writ saman pada 2020 terhadap DUN Pulau Pinang dan Speaker Law Choo Kiang bagi mencabar usul dibentang pada Okt 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

  • Radzi Abu Hassan KP Kesihatan baharu

    Radzi Abu Hassan KP Kesihatan baharu

    TIMBALAN Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu bagi mengantikan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang bersara pada 21 April.

    Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa yang mengucapkan tahniah atas pelantikan itu memaklumkan ia dibuat berdasarkan kelayakan dan pengalaman luasnya dalam bidang perkhidmatan kesihatan sebagai timbalan ketua pengarah kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) sebelum dilantik ke jawatan berkenaan.

    “Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibilitinya, beliau mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

  • Puteri Sarah beri amaran tidak kaitkannya dengan Elcah yang bercerai selepas 8 hari berkahwin

    Puteri Sarah beri amaran tidak kaitkannya dengan Elcah yang bercerai selepas 8 hari berkahwin

    PELAKON Puteri Sarah Liyana memberikan amaran kepada bekas suami personaliti media sosial, Elcah yang mengaitkan namanya dalam masalah rumah tangga mereka.

    Puteri Sarah menerusi hantaran dalam akaun Instagramnya menyatakan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika melampui batas.

    Malah dalam hantaran tersebut juga, Puteri Sarah meluahkan rasa kesal dengan sikap lelaki berkenaan.

    “Aku tidak mengenali kau tetapi apa yang pasti daripada bekas isteri kau, aku tahu kau adalah seorang lelaki yang narsistik.

    “Siapa lelaki ini? Kau ada masalah dengan bekas isteri kau kemudian kaitkan dengan aku?

    “Nak tumpang glamour ke bro? Nak kena saman dengan aku? Dah lah aniaya bini sendiri dan kaitkan dengan aku. Ingat aku tak dapat cari kau?” katanya, menurut Astro Awani yang memetik laporan portal Gempak.

    Terdahulu, Elcah mendedahkan dia telah diceraikan oleh bekas suaminya selepas lapan hari berkahwin.

    Sebelum ini juga, Elcah telah mendirikan rumah tangga namun jodoh mereka tidak panjang.

    Kisan penceraian Elcah bagi perkahwinan pertamanya juga menjadi tular apabila bekas suaminya membuat keputusan untuk bercerai selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan.

    Elcah kemudiannya mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 3 Mac lalu.

  • Identiti 6 korban kereta bertembung di Kemaman dikenal pasti

    Identiti 6 korban kereta bertembung di Kemaman dikenal pasti

    IDENTITI enam mangsa terkorban dalam nahas dua buah kereta Proton Persona yang bertembung di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh dekat Chukai, Kemaman petang semalam, telah dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa yang maut adalah empat penumpang di dalam kereta Proton Persona yang pertama iaitu Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2 tahun; Tuan Yah Dollah, 61; dan Rosliza Mat Hussin, 38.

    Katanya, pemandu kereta tersebut Shah Rezzal Zanzalani, 27, dan tiga penumpang lain iaitu Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11; Wan Alya Farhana Wan Muhamad Khalil,15; dan Nur Syafana Nasha Saiful Azwan,2, mengalami kecederaan.

    “Manakala di dalam kereta Proton Persona kedua pula mangsa yang maut adalah Abd Halim Ismail, 71 dan Alisha Mardhiah Muhammad Ubaidillah Zikri berusia dua tahun. Pemandu kereta Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 26 dan dua penumpang lain Nurul Fatihah Azman, 28, dan Zaiton Mohamad, 57, mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

    Hanyan berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku kira-kira lima petang semalam itu berpunca apabila kereta dipandu Shah Rezzal yang dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Cheneh dekat situ, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

    Situasi tersebut menyebabkan kenderaan dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri dari Perasing menghala ke Batu Rakit, Kuala Nerus, tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat dan menyebabkan kedua-dua kereta bertembung secara berhadapan, katanya.

    “Empat mangsa maut di lokasi kejadian manakala dua mangsa iaitu Alisha Mardhiah dan Rosliza meninggal dunia di Hospital Kemaman.

    “Mayat semua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman manakala mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 2 lagi maut, korban nahas di Kemaman meningkat 6 orang

    2 lagi maut, korban nahas di Kemaman meningkat 6 orang

    DUA lagi maut dalam kemalangan di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh dekat Chukai semalam, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban dalam tragedi 3 Syawal itu kepada enam orang.

    Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan ketika mengesahkan perkara tersebut berkata dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital manakala empat lagi mangsa maut di lokasi kejadian.

    Terdahulu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh Mohd Hafiezul Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan melibatkan dua buah kereta Proton Persona itu pada 4.47 petang.

    Katanya, sejurus itu lima anggota dari BBP Cheneh dan enam anggota yang bersedia di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Perasing bergegas ke lokasi.

    “Kereta Proton Persona pertama yang dinaiki lapan individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun menghala ke Bandar Baru Cheneh, Kemaman.

    Manakala kereta Proton Persona kedua pula dinaiki lima individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Perasing dekat Jabor menuju ke Batu Rakit, Kuala Nerus,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

    Bagaimanapun identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.

  • Laku kelucahan melampau terhadap bayi, bekas pembantu rumah diburu polis

    Laku kelucahan melampau terhadap bayi, bekas pembantu rumah diburu polis

    TINDAKAN melampau seorang wanita warga Indonesia yang melakukan kelucahan melampau terhadap bayi sehingga video berkenaan tular dalam media sosial, memakan diri apabila kini diburu polis.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, video tindakan wanita terbabit tular sebelum pihaknya menerima laporan daripasa bekas majikannya pada Khamis lalu.

    “Siasatan mendapati video berkenaan dirakam tahun lalu dan mula tular dalam media sosial pada April tahun ini.

    “Hasil siasatan juga mendapati wanita dalam video berkenaan adalah bekas pembantu rumah dan sudah pulang ke negara asal tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, suspek pernah bekerja dengan majikannya itu selama setahun setengah dan tidak dilanjutkan kontrak kerana mempunyai masalah disiplin.

    Polis katanya, sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan.

    Hasil pemeriksaan lanjut ke atas pasport milik suspek katanya, mendapati rekod menunjukkan wanita itu sudah keluar dari negara ini sejak 27 September 2020.

    “Suspek dikenali sebagai Nenobota Marisa dan berasal dari Indonesia. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor M. Megenderan di talian 03-79662222 atau 017-3356810,” katanya, lapor Harian Metro.

    Katanya, kes diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

  • 4 termasuk bayi maut dalam kemalangan di Kemaman

    4 termasuk bayi maut dalam kemalangan di Kemaman

    EMPAT termasuk seorang bayi maut selepas dua kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Cheneh, pukul 4.45 petang tadi.

    Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 4.47 petang.

    “Sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh serta anggota bersedia di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Perasing bergegas ke lokasi kejadian.

    “Kemalangan membabitkan dua kereta Persona. Persona pertama dinaiki tujuh mangsa dan tiga yang maut itu ialah dua wanita, Tuan Yah Dollah, 61, Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 22, dan Nor Syafinaz Naura Saiful Azwan, berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, tiga lagi mangsa dalam kereta itu iaitu seorang lelaki seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera.

    Azman berkata, sebuah lagi kereta dinaiki lima mangsa dan seorang daripadanya maut ialah Abdul Halim Ismail 51, yang duduk di bahagian penumpang depan.

    Empat lagi penumpang kereta itu katanya, seorang lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak cedera.

    Menurutnya, tiga yang maut itu berasal dari Bandar Cheneh Baru Kemaman manakala Abdul Halim beralamat di Batu Rakit Kuala Terengganu.

    “Kesemua mangsa disahkan meninggal oleh pegawai perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian dan kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman dengan ambulans dari Hospital Kemaman dan ambulans Bomba.

    “Mayat kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

  • PRN: Pas seru perantau pulang pertahan kemenangan di Kelantan

    PRN: Pas seru perantau pulang pertahan kemenangan di Kelantan

    MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob menyeru anak-anak Kelantan di perantauan pulang mempertahankan kemenangan Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Sokongan padu perantau diperlukan bagi memastikan kejayaan kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRN.

    “Perkara ini sudah diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan kemenangan parti itu.

    “Kita mahu terus menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran di bumi serambi Mekah ini. Perjuangan ini mungkin akan mengambil masa yang panjang antara 10 hingga 30 tahun lagi kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan di Balai Islam Lundang, di Kota Bharu semalam.

    Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan, kerajaan negeri mahukan sokongan padu semua rakyat Kelantan pada PRN nanti supaya program yang dirancang berjalan dengan lebih lebih baik.

    Beliau juga bersyukur kerana rakyat Kelantan sentiasa menunjukkan kecintaan terhadap negeri ini walaupun di mana mereka berada.

    “Anak Kelantan sudah pasti pulang ke negeri ini setiap kali sambutan hari raya dan musim cuti,” katanya, lapor Sinar Harian.