Category: Semasa

  • Pendaki meninggal dunia akibat AMS, isteri stabil

    Pendaki meninggal dunia akibat AMS, isteri stabil

    SEORANG pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia akibat sindrom akut gunung (AMS) ketika menerima rawatan di Hospital Ranau, pukul 4.30 pagi semalam.

    Alexzander Kueh Check Boo, 45, disahkan meninggal dunia selepas dibawa turun ketika mendaki gunung bersama isterinya yang turut mengalami AMS.

    Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, mendiang bersama isterinya mula mendaki puncak Gunung Kinabalu kelmarin dan tiba di Panalaban namun dipercayai mengalami AMS.

    “Kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira pukul 9 malam.

    “Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) telah memberinya oksigen yang diperlukan untuk pertolongan cemas namun pada puk5 10 malam, pasukan Penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

    “Selang empat jam kemudian iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot sebelum diusung ke Timpohon dan turut di bawa ke hospital yang sama namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Christina telah meminta pihak Taman-Taman Sabah (TTS) yang terletak di bawah Kementeriannya membantu keluarga mangsa.

    “Keadaan isteri stabil selepas sembuh dari AMS. Namun, dia kehilangan pasangannya yang setia,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pendaki gunung supaya lebih bersedia secara fizikal dan mental sebelum memulakan pendakian.

  • 3 rumah kongsi pekerja hangus dalam kebakaran

    3 rumah kongsi pekerja hangus dalam kebakaran

    TIGA rumah kongsi yang didiami pekerja di tapak pembinaan bangunan kerajaan di Tunjong, Kota Bharu musnah dalam kebakaran petang semalam.

    Bagaimanapun, 300 buruh binaan yang majoritinya warga Bangladesh dilaporkan terselamat dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Zainal Fitri Husain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.22 petang berhubung kebakaran yang membabitkan kediaman berstruktur separuh kekal itu.

    “Seramai 15 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, dua rumah kongsi itu sedang terbakar dan api mula merebak ke unit yang ketiga.

    “Rumah kongsi itu dibina dalam satu bangunan dan dibahagikan dalam lima unit yang didiami kira-kira 300 pekerja yang ketika itu kebanyakannya sedang bekerja,” katanya menurut Harian Metro.

    Zainal Fitri berkata kepantasan bomba berjaya menyelamatkan dua unit rumah kongsi namun tiga lagi musnah 90 peratus.

    Katanya, faktor binaan daripada kayu dan zink serta cuaca panas dan berangin menyebabkan kebakaran cepat merebak.

    “Kebakaran dapat dikawal kira-kira setengah jam selepas itu dan berjaya dipadam sepenuhnya pada 7.30 malam.

    “Bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi kerana seleweng dana 1MDB

    Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi kerana seleweng dana 1MDB

    PEJABAT Peguam Negara Switzerland (OAG) telah memfailkan dakwaan terhadap dua pengurus Petrosaudi atas dakwaan mereka membantu menyeleweng AS$1.8 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memperkayakan diri dan orang lain.

    Ini berkaitan pemindahan AS$1 bilion pada 2009, dan AS$830 juta lagi antara 2010 dan 2011.

    Dakwaan di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland merujuk kepada episod fasa Good Star dalam skandal 1MDB.

    Siaran akhbar oleh OAG menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh telah merancang bersama ahli perniagaan Low Taek Jho yang kini dalam buruan untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi projek palsu di Turkmenistan yang akhirnya akan menipu 1MDB.

    Ini menyebabkan lembaga pengarah 1MDB bersetuju untuk memindahkan AS$1 bilion untuk projek usaha sama itu, yang mana AS$700 juta telah dialihkan ke dalam akaun Switzerland dimiliki Low.

    Daripada AS$700 juta itu, OAG berkata Low memindahkan AS$85 juta kepada seorang tertuduh, dan dia kemudian memindahkan AS$33 juta kepada tertuduh lain.

    Walaupun OAG tidak menamakan tertuduh, ini nampaknya merujuk kepada Tarek Obaid dan Patrick Mahoney..

    Peguam Tan Sri Shafee Abdullah semasa perbicaraan 1MDB mengemukakan dokumen yang menunjukkan Tarek dan Mahoney masing-masing menerima AS$85 juta dan AS$33 juta daripada dana melalui firma Good Star.

    Sementara itu, OAG berkata, baki AS$300 juta daripada pemindahan 1MDB September 2009 telah disalurkan kepada Petrosaudi untuk manfaat syarikat terbabit.

    Selanjutnya, pendakwaan Switzerland juga berkata, kedua-dua tertuduh turut bersubahat membantu Low menipu 1MDB sebanyak AS$830 juta lagi antara Sept 2010 dan Okt 2011 daripada sumber nota Murabahah pinjaman Islam susulan usaha sama palsu itu.

    Menurut OAG, dana yang diterima kedua-duanya digunakan untuk memperoleh hartanah di Switzerland dan London, barang kemas, ekuiti persendirian, untuk membangunkan aktiviti Petrosaudi yang menjana pendapatan besar, serta mengekalkan gaya hidup mewah.

    Sementara itu, dalam rujukan jelas kepada aduan oleh pemberi maklumat Xavier Justo terhadap bos Petrosaudi mengenai ugutan, pemerasan, pemenjaraan palsu dan lain-lain, OAG berkata ia memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

    Ia antara lain memetik bahawa unsur-unsur kesalahan yang dilaporkan tidak dipenuhi, hak untuk memfailkan aduan terbatas pada tempoh masa tertentu, atau perkara yang dilaporkan tidak menimbulkan syak wasangka yang munasabah di bawah undang-undang.

    Bagaimanapun, OAG menyatakan bahawa keputusan ini boleh dirayu kepada Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland, lapor Malaysiakini.

  • ‘Saya tak tau ada acara ikrar taat setia MB Kedah’

    ‘Saya tak tau ada acara ikrar taat setia MB Kedah’

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor menafikan penglibatan dalam ikrar taat setia dilafazkan sekumpulan 1,000 mahasiswa bagi menyokongnya pada majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya, baru-baru ini.

    Menurutnya, beliau tidak terlibat dalam urusan atur cara program tersebut dan hanya hadir sebagai jemputan.

    “Tak ada kaitan kedua-dua program itu jamuan raya diuruskan oleh mahasiswa, saya sediakan tempat dan makanan sahaja, atur cara dan kandungan mahasiswa atur sendiri, termasuk dikatakan ikrar tu.

    “Saya pun tidak tahu ada ikrar, saya cuma bersedia untuk jawab soalan-soalan daripada mahasiswa selain daripada itu saya tidak tahu apa-apa,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Sebelum ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam menerusi Facebooknya berkongsi rakaman video berkenaan program itu.

    Dalam video itu, kedengaran pelajar diketuai Gamis melafazkan ikrar menyokong menteri besar. Mereka berkata: “Kami pelajar Kedah akan mempertahankan, dan menyatakan sokongan kami kepada MB Kedah. Takbir, takbir”.

    Ini berlaku di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MB Kedah bersama Mahasiswa, yang diadakan di kediaman rasmi menteri besar di Seri Mentaloon.

    Pelajar diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) kedengaran mengikrarkan sokongan mereka kepada Sanusi dalam majlis itu.

    Kemudian, mereka mengadakan sesi soal jawab dengan Sanusi selama lebih sejam mengenai Kedah dan hal berkaitan negara.

  • Persatuan Peguam Komanwel kritik langkah SPRM siasat Nazlan

    Persatuan Peguam Komanwel kritik langkah SPRM siasat Nazlan

    SIASATAN yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menerima kritikan Persatuan Peguam Komanwel (CLA).

    Persatuan perundangan terkemuka itu menyifatkan tindakan SPRM menyiasat Nazlan sebagai sama dengan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman dan melanggar kod etika kehakiman yang tidak berada bawah bidang kuasa agensi tersebut.

    “Isunya kini res judicata,” kata surat terbuka itu, lapor Agenda Daily.

    CLA juga berkata, keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang diputuskan oleh tiga peguam iaitu Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai menunjukkan dakwaan terhadap Nazlan tiada mempunyai merit.

    Persatuan itu juga melahirkan kebimbangan langkah SPRM membuat pengumuman awam berhubung penyiasatan dan penemuannya terhadap Nazlan, dengan CLA berhujah tindakan sedemikian adalah sama dengan pencabulan besar terhadap aspek pemisahan kuasa.

    Walaupun SPRM ditugaskan untuk memerangi rasuah di Malaysia, CLA mencadangkan penyiasatan sedemikian terhadap hakim yang sedang bersidang boleh memberi kesan buruk terhadap badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

    “Sebagai sebuah kerajaan, adalah penting bagi eksekutif untuk menghormati, melindungi dan menegakkan kebebasan badan kehakiman, yang merupakan tonggak utama pentadbiran keadilan.

    “Badan kehakiman mesti kekal bebas, tidak berat sebelah, dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan atau paksaan terutamanya oleh eksekutif,” kata surat itu lagi.

    CLA menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kebebasan kehakiman, mengingatkan beliau berhubung kepentingan mempunyai hakim yang bebas menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut untuk memihak.

    Surat bertarikh 20 April itu ditandatangani oleh Presiden CLA, Peter Maynard KC.

    Tahun lepas, SPRM memulakan siasatan terhadap Nazlan atas dakwaan beliau menerima RM1 juta daripada sumber yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya daripada ahli perniagaan buruan dan dalang skandal 1MDB, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

    Nazlan membuat laporan polis untuk menentang dakwaan blog itu.

  • Pengantin baru sehari berkahwin ditahan bersama 9.2kg heroin

    Pengantin baru sehari berkahwin ditahan bersama 9.2kg heroin

    PASANGAN pengantin yang baru sehari melangsungkan perkahwinan ditahan bersama 9.26 kilogram dadah disyaki heroin dalam satu pemeriksaan di Chikus, Langkap, Teluk Intan, pukul 12.23 tengah hari tadi.

    Suspek berusia 23 dan 24 tahun beralamat dari Teluk Intan itu ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, semasa ditahan, pasangan berkenaan yang melangsungkan perkahwinan semalam berada dalam sebuah kereta di parkir masjid dipercayai sedang menunggu pelanggan.

    “Pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan itu menjumpai sebuah beg pakaian yang di dalamnya mengandungi 20 bungkusan plastik berisi bahan disyaki heroin dianggarkan bernilai RM77,000.

    “Bekalan dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan ke luar daerah dan boleh digunakan hampir 10,000 penagih,” katanya dalam satu kenyataan di Teluk Intan, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati kedua-dua mereka tidak bekerja dan masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

    Katanya, saringan air kencing juga mendapati suami isteri itu positif dadah jenis Methamphetamine.

    “Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap pasangan berkenaan esok (Rabu) untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Musa Hitam selamat jalani pembedahan otak akibat terjatuh

    Musa Hitam selamat jalani pembedahan otak akibat terjatuh

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam telah selamat menjalani pembedahan otak selepas dimasukkan ke hospital akibat terjatuh semasa berkebun baru-baru ini.

    Perkembangan itu dikongsikan oleh bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Tan Sri Nazir Razak melalui hantaran di Instagram rasminya pada Selasa.

    Nazir berkata, keadaan bekas Timbalan Presiden UMNO itu semakin pulih malah sudah boleh berjenaka seperti dulu.

    “Menziarahi Tun Musa Hitam di hospital hari ini. Dia mengalami kejatuhan yang sangat teruk semasa berkebun seminggu yang lalu dan memerlukan pembedahan pada otaknya.

    “Beliau (Tun Musa) menghabiskan waktu pada hari jadinya ke-89 pada tahun di atas meja bedah. Secara keseluruhannya proses pemulihan beliau adalah sangat ajaib setakat ini.

    “Tun Musa sudah boleh melawak kembali. Mari kita sama-sama mendoakan beliau sembuh dengan sepenuhnya, boleh kembali bermain golf dan sebagainya,” katanya dalam hantaran hari ini, lapor Sinar Harian.

  • Remaja lelaki OKU maut, rakan kritikal dipanah petir

    Remaja lelaki OKU maut, rakan kritikal dipanah petir

    SEORANG remaja orang kurang upaya (OKU) maut manakala rakannya kritikal selepas dipanah petir ketika bermain bola di padang Pekan Papar, Kota Kinabalu, pukul 3.55 petang tadi.

    Mangsa, Muhammad Zulqilfle Redzwan, 13, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang hadir memberi rawatan adwal di lokasi kejadian.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4 petang.

    “Susulan itu sepasukan anggota bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba menerima laporan dua remaja lelaki masing-masing berusia 13 tahun disambar petir ketika menjalankan aktiviti sukan bola sepak.

    “Pasukan bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal pada mangsa yang cedera dan seterusnya menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke Hospital Papar.

    “Seorang lagi mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi tamat pada 4.40 petang,” katanya lapor Harian Metro.

  • Lelaki disyaki hina Sultan Johor direman 4 hari

    Lelaki disyaki hina Sultan Johor direman 4 hari

    LELAKI yang ditahan semalam kerana disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melalui media sosial, direman empat hari bermula hari ini.

    Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin, berkata suspek berusia 35 tahun direman hingga Jumaat ini selepas permohonan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

    “Kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.

    Semalam, polis menahan lelaki terbabit di sebuah rumah di Puchong, Selangor, dan merampas satu telefon bimbit jenama Samsung serta sekeping kad sim jenama redONE.

    Noorsiah dalam kenyataannya semalam berkata, lelaki terbabit dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor menerusi akaun Facebook ‘Indera Mulia’ pada Khamis lalu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

  • Seludup 26 anak anjing ke Singapura, Rakyat Malaysia dipenjara

    Seludup 26 anak anjing ke Singapura, Rakyat Malaysia dipenjara

    SEORANG lelaki warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara setahun, semalam, kerana menyeludup 26 anak anjing dan seekor kucing dari negara ini ke Singapura.

    Haiwan itu disimpan dalam beg pakaian dan bekas plastik ketika Gobysuwaran Paraman Sivan, 36, cuba memandu melalui pusat pemeriksaan Tuas di Singapura dengan sebuah lori pada 18 Oktober 2022, lapor Channel News Asia.

    Pegawai imigresen menemui haiwan itu disembunyikan di beberapa tempat dalam lori dengan sebahagiannya di ruang simpanan atas kenderaan didaftarkan di Malaysia itu manakala yang lain dibungkus di belakang tempat duduk pemandu dan penumpang.

    Seekor anak anjing ditemui mati manakala 18 yang lain kemudiannya juga mati akibat penyakit, Gobysuwaran kemudiannya ditahan.

    Lembaga Taman Negara Singapura berkata, Gobysuwaran didakwa mengimport haiwan peliharaan tanpa lesen secara haram serta menyeksa haiwan itu melalui cara dilakukannya.

    Di bawah Akta Haiwan dan Burung Singapura, pesalah kali pertama mengimport mana-mana haiwan tanpa lesen boleh dikenakan penjara sehingga 12 bulan, denda USD10,000, atau kedua-duanya sekali.

    Pihak berkuasa Taman Negara Singapura juga berkata, satu lagi kes cubaan menyeludup di pusat pemeriksaan Tuas menyaksikan 11 anak anjing dan seekor anak kucing dibius dan disembunyikan dalam kereta.

    Beberapa haiwan itu disembunyikan di bawah tempat duduk belakang manakala yang lain disimpan dalam petak tayar ganti kenderaan.