Category: Semasa

  • Muhyiddin mahu Lim buktikan MOF tak batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary

    Muhyiddin mahu Lim buktikan MOF tak batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Lim Guan Eng mengemukakan bukti di mahkamah bahawa Kementerian Kewangan tidak membatalkan status pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.

    Dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman Lim, Muhyiddin menyuarakan keraguannya berhubung kesahan kenyataan kementerian itu pada bulan lalu bahawa bukan kementerian mahupun pegawainya yang membatalkan status tersebut.

    “Kecuali bahawa Kementerian Kewangan pada 23 Mac 2023 telah membuat kenyataan media yang menyatakan bahawa bukan sahaja mantan menteri kewangan bahkan pegawainya tidak membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary, defendan tidak membuat apa-apa pengakuan kepada perenggan 28 pernyataan tuntutan.

    “Malah, defendan menafikan kebolehpercayaan kenyataan yang dibuat oleh kementerian kewangan pada 23 Mac 2023 dan meletakkan plaintif atas beban pembuktian yang kukuh,” kata pernyataan pembelaan yang difailkan peguam Muhyiddin semalam.

    Pernyataan pembelaan Muhyiddin itu berhubung saman fitnah yang difailkan Lim terhadapnya.

    Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa Lim bertanggungjawab ke atas pembatalan status pengecualian cuki Yayasan Albukhary milik hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

    Bulan lalu, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menafikan salah seorang pegawainya telah meluluskan pembatalan status tersebut.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ketika sidang Parlimen berkata tiada rekod bahawa Lim yang melakukannya.

    Berhubung perkara itu, Muhyiddin mendakwa kenyataan Anwar ‘langsung tidak relevan’ dan hanya untuk mengalihkan perhatian agar Lim tidak dipertanggungjawabkan atas tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung perkara itu.

    “Kebergantungan plaintif atas kenyataan yang dibuat oleh Anwar dalam Parlimen adalah suatu pengalihan dan fait accompli untuk mengalihkan perhatian daripada keengganan plaintif untuk didapati bertanggungjawab bagi tindakan LHDN semasa dia memegang jawatan sebagai menteri kewangan,” katanya.

    Muhyiddin berkata, beliau membuat kesimpulan tersebut berdasarkan surat yang diterima daripada Syed Mokhtar yang merayu terhadap keputusan pembatalan itu.

    Katanya, Syed Mokhtar tidak akan membuat permohonan itu sekiranya LHDN mengiktiraf status pengecualian cukai yayasannya, yang diberikan oleh kerajaan pimpinan BN sebelum PRU14.

    LHDN adalah di bawah bidang kuasa menteri kewangan. Pada masa yang material, plaintif adalah menteri kewangan ketika itu dan secara semula jadi, LHDN berada di bawah bidang kuasanya.

    “Sehubungan itu, plaintif sepatutnya memberi penjelasan mengenai perubahan keadaan berkaitan dengan perubahan kedudukan yang diambil oleh LHDN sebelum dan selepas PH berkuasa pada 2018.

    “Defendan seterusnya menyatakan bahawa dia sedar bahawa kementerian kewangan telah membenarkan rayuan oleh Yayasan AlBukhary sekitar 2021.

    “Oleh itu, dia dibenarkan membuat inferens dan membuat kesimpulan bahawa pengecualian cukai tersebut telah dibatalkan, jikalau tidak, ia adalah tidak diperlukan untuk kelulusan diberikan oleh kementerian kewangan pada 2021,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

  • TLDM, polis musnahkan bom Perang Dunia Kedua

    TLDM, polis musnahkan bom Perang Dunia Kedua

    PASUKAN Pemusnah Bom Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bersama melaksanakan operasi memusnahkan bom Unexploded Ordnance (UXO) yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua di Pulau Mantanani, Kota Belud, Isnin lalu.

    TLDM melalui kenyataan memaklumkan, kerja memusnahkan bom lama itu dilakukan oleh pasukan berkenaan yang dianggotai Pasukan Selam bersama Juruteknik Peluru Depot Peluru dan Letupan Timur.

    “Operasi berkenaan diketuai oleh Komander Mohammad Nasrul Mat Daut dari TLDM. Pasukan ini diatur gerak bagi membantu polis dalam misi memusnahkan bom itu di perairan berkenaan.

    “TLDM sebelum ini menerima permohonan bantuan daripada IPD Kota Belud untuk memeriksa satu objek yang dipercayai bom lama di pesisiran pantai Pulau Mantanani yang berada 43 batu nautika timur laut Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK),” menurut kenyataan berkenaan.

    Kenyataan itu memberitahu, hasil siasatan dan temubual saksi mendapati objek itu disahkan UXO yang tidak aktif jenis Semi Armour Piercing Bomb, 500lbs, AN-M58 buatan Amerika Syarikat digunakan ketika zaman Perang Dunia Kedua oleh pasukan Pemusnah Bom TLDM

    Menurutnya, bom berkenaan kemudian dibawa ke daratan dan dimusnahkan oleh pasukan pada sebelah petang dengan selamat.

    “Sebaik selesai, Pasukan Pemusnah Bom TLDM pulang ke PTKK,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Persoal rumah terbuka di enam negeri sahaja, Wan Saiful sindir Anwar

    Persoal rumah terbuka di enam negeri sahaja, Wan Saiful sindir Anwar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di enam negeri tertentu sahaja.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu secara sinis berkata, sepatutnya rumah terbuka dibuat di semua negeri dan penganjurannya bukan kerana mempunyai agenda tersirat.

    “Dato’ Sri Anwar sebab apa buat enam sahaja? Buatlah rumah terbuka di seluruh Parlimen seluruh negara. Kalau buat di semua DUN (Dewan Undangan Negeri) lagi baik,” katanya dalam entri terbaharu menerusi Facebook miliknya, hari ini.

    Bagaimanapun katanya, seluruh dunia akan ‘percaya’ bahawa rumah terbuka tersebut bukan diadakan kerana pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung di enam negeri terbabit.

    “Memandangkan Anwar Ibrahim tidak pernah menipu, sudah pasti seluruh dunia percaya bahawa dia buat enam rumah terbuka bukan disebabkan PRN.

    “Kami semua percaya bulat-bulat alasan yang Dato’ Seri cipta,” katanya lagi.

    Pelbagai pihak mengecam penganjuran rumah terbuka tersebut yang dilihat amat jelas bermotifkan politik menjelang PRN.

    Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, majlis tersebut menyebabkan berlaku lebih banyak pembaziran semata-mata untuk memenuhi kerakusan politik Anwar dan kerajaan campuran itu.

    “Ia tidak bersifat mengurangkan pembaziran bahkan lebih banyak pembaziran terpaksa dilaburkan semata-mata memenuhi kerakusan politik Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Apakah semua pihak akan menerima bulat-bulat bahawa penganjuran jamuan Hari Raya Aidilfitri di negeri PRN semata-mata tiada udang di sebalik batu,” soal Ahmad semalam.

  • Masalah air di Kedah tak seteruk digambarkan, sekadar modal politik PH-BN akibat ketandusan isu

    Masalah air di Kedah tak seteruk digambarkan, sekadar modal politik PH-BN akibat ketandusan isu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ISU bekalan air di Kedah yang digembar-gemburkan sebelum ini bukanlah seteruk seperti digambar sesetengah pihak hingga kononnya melibatkan hampir sejuta pengguna seperti dilaporkan akhbar tertentu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga negeri, Munir @ Mohamad Yusoff Zakaria menjelaskan, hanya 1.2 peratus atau 8,000 daripada keseluruhan 643,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) saja yang benar-benar terjejas di sepanjang musim perayaan ini.

    Katanya, daripada jumlah itu, dianggarkan terdapat 40,000 pengguna yang benar-benar terjejas dan bukanlah sejuta orang seperti didakwa pihak tertentu.

    “Insya Allah keadaan masih terkawal dan dapat ditangani dengan baik oleh SADA dengan menghantar lori tangki air. Keadaan tidak seteruk seperti digambarkan sesetengah pihak.

    “Hanya 8,000 daripada keseluruhan 643,000 akaun saja yang terjejas dan bukannya hampir sejuta seperti dilaporkan media sebelum ini,” katanya.

    Menjelaskan lebih lanjut, Munir berkata, isu gangguan bekalan air yang berlaku mutakhir ini berikutan operasi penggantian paip lama serta projek naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama demi kesenangan rakyat pada masa depan.

    Gangguan bekalan air itu katanya bagaimanapun menjadi lebih kronik apabila sumber air berkurangan disebabkan kekurangan hujan serta cuaca panas berpanjangan kebelakangan ini.

    “Ditambah dengan musim perayaan, maka isu gangguan bekalan air di Kedah menjadi lebih buruk. Oleh itu SADA telah melaksanakan pelan kontigensi semasa musim perayaan bagi mendepani isu ini secara menyeluruh,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tampak berterusan menangguk di air keruh dengan menggunakan isu bekalan air berikutan ketiadaan modal isu lain untuk menghentam serta memburukkan imej dan reputasi cemerlang Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    Menurutnya, PH dan BN yang pernah menerajui kerajaan negeri sebelum ini cuai dan lalai terhadap rakyat Kedah dalam menyelesaikan masalah air di Kedah.

    Jelasnya, isu bekalan air telah membuatkan rakyat Kedah sengsara bertahun-tahun sejak BN memerintah sebelum dan berterusan hingga ketika negeri ini diterajui PH.

    “Fakta dan data kesengsaraan rakyat tercatat di mana-mana minit mesyuarat kerajaan negeri semasa itu dan juga di seluruh pejabat daerah negeri seolah-olah tiada penyelesaian untuknya.

    “Pada 2019, kerajaan negeri pimpinan PH telah menangguhkan sekali lagi rancangan menaik taraf lima LRA tersebut dengan alasan masalah kewangan setelah sebelum itu lama tertangguh oleh kerajaan BN Kedah. Pada 2019 juga, SADA mencatat kerugian RM36 juta sekali gus memberi kesan buruk dan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat Kedah,” katanya.

    Tambahnya, selepas tampuk kerajaan negeri diambil alih pada 2020, Muhammad Sanusi meletakkan isu air sebagai keutamaan dalam pentadbiran dan melakukan penyusunan semula operasi hingga membolehkan SADA kembali mencatat keuntungan RM1 juta pada tahun itu.

    “Pada 2021, SADA mula mencatat keuntungan tinggi sebanyak RM30 juta dan ini memberi peluang kepada syarikat itu melipat gandakan penyelenggaraan dan perkhidmatan kepada seluruh rakyat Kedah melalui perancangan pelan jangka masa panjang dan pendek,” katanya.

    Katanya, bagi pelan jangka masa sederhana, SADA sedang melaksanakan pembinaan rumah pam dan tangki sedutan bertujuan meningkatkan kapasiti loji dan mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan muka bumi tinggi, di penghujubg sistem agihan.

    “Bagi pelan jangka panjang pula, kerajaan negeri melalui SADA memperuntukkan kira-kira RM73 juta bagi kerja-kerja penggantian paip lama dan usang di kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.

    “Selain itu sebanyak RM931 juta diperuntukkan kerajaan Kedah untuk menaik taraf lima LRA, sistem pam serta operasi penggantian paip lama seluruh Kedah,” katanya.

  • Sekat peruntukan pembangkang, jawablah di akhirat kelak, kata Shahidan

    Sekat peruntukan pembangkang, jawablah di akhirat kelak, kata Shahidan

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan kepimpinan kerajaan perpaduan terhadap dosa yang perlu dijawab di akhirat kelak kerana menghalang peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat menerusi Ahli Parlimen masing-masing.

    “Peruntukan ahli Parlimen yang belum disalurkan kepada wakil pembangkang hingga kini adalah milik rakyat dan bukan hak mutlak Perdana Menteri,” tegas bekas Menteri Besar Perlis itu.

    Peruntukan terbabit katanya, sudah diluluskan di Parlimen, maka tidak timbul isu surat permohonan atau surat tawaran oleh Perikatan Nasional (PN).

    “Beginilah, wang itu mereka nak bagi, bagi! Kalau tak bagi pun, bukan duit mereka, itu wang rakyat.

    “Kerajaan kini sengaja melengah-lengahkan wang milik rakyat yang akan digunakan untuk membantu rakyat (menerusi Ahli Parlimen masing-masing), jika mati esok, mereka jawablah di akhirat kelak,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Shahidan menegaskan tidak perlu surat tawaran atau permohonan kerana peruntukan sudah diluluskan.

    “Perkara ini tidak akan berlaku jika Perikatan Nasional (PN) memerintah negara kerana wang rakyat adalah untuk digunakan untuk rakyat.

    “PN takkan buat kerja macam ni, hak orang serahkan cepat, bukan menyusah dan melengah-lengahkan tak ketahuan, PN tak begitu, kami tak buat kerja macam ni,” tegasnya lagi.

    Shahidan berkata, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, juga sudah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    “Mereka sudah berjumpa, bila saya tak pasti saya cuma melihat gambar pertemuan mereka di aplikasi WhatsApp kami,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui tidak mengetahui perkembangan mengenai agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    “Saya tiada maklumat, kena tanya Datuk Seri Hamzah atau Datuk Seri Takiyuddin. Mereka dalam Jawatan Kuasa perundingan,” jawabnya ringkas.

    Setakat ini, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Takiyuiddin Hassan, tidak menjawab panggilan ketika dihubungi untuk mendapatkan komen.

    Terdahulu, Fadillah dilaporkan berkata, kerajaan perpaduan tidak menetapkan syarat kepada PN untuk mendapatkan agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan masih menunggu tawaran rasmi daripada blok pembangkang itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang sebelum ini.

    Katanya, walaupun PN yang memulakan isu meminta peruntukan turut diagihkan kepada ahli Parlimen pembangkang, namun mereka tidak memberikan maklum balas sewajarnya apabila diminta mengemukakan tawaran rasmi.

    Ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi manifestonya, berjanji mengagihkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada semua ahli Parlimen.

    Bagaimanapun, peruntukan itu tidak disebut oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

  • KKM cadang wajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah

    KKM cadang wajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mencadangkan supaya pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di sekolah bagi mengekang lonjakan kes Covid-19 susulan penularan varian XBB.1.16, atau dikenali sebagai Arcturus.

    Menurut New Straits Times, Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa berkata beliau akan mengadakan pertemuan segera bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei.

    Zaliha berkata, sebarang garis panduan dan SOP baharu untuk pelajar akan dikeluarkan sebelum persekolahan dibuka semula sebagai langkah berjaga-jaga.

    “Ini penting. Jika mana-mana pelajar dijangkiti selepas sambutan Aidilfitri dan melakukan perjalanan, ia boleh membawa kepada penularan di sekolah,” katanya sambil menambah, Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan berhubung cadangan itu.

    “Ibu bapa tidak perlu panik apabila melibatkan penyebaran varian baharu ini. Bagaimanapun, kami amat menggalakkan semua pihak termasuk pelajar untuk terus memakai pelitup muka bagi mengekang sebarang jangkitan.

    “Sekiranya mereka mengalami simptom (Covid-19), mereka harus memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial seperti yang diamalkan sebelum ini dan mendapatkan bantuan perubatan,” katanya.

    Sebanyak 12 kes varian Arcturus telah dikesan, dengan enam daripadanya dikesan di Lembah Klang dan bakinya dikesan di Sarawak.

    Arcturus ialah subvarian Omicron, varian yang dikatakan sangat mudah berjangkit dan kurang terdedah kepada vaksin. Ia dipercayai menyebabkan lonjakan jangkitan di negara seperti India.

    Zaliha berkata, mereka yang dijangkiti subvarian Omicron biasanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan stabil.

  • Kekejaman dukun ganda wang Mbah Slamet

    Kekejaman dukun ganda wang Mbah Slamet

    PEMBONGKARAN aktiviti bomoh pengganda wang dikenali sebagai Mbah Slamet yang membunuh kira-kira 12 mangsa di Banjarnegara, Jawa Tengah, mengejutkan masyarakat negara itu, baru-baru ini.

    Kompas melaporkan, polis menemukan semua mayat yang ditanam di kawasan tanah di lereng bukit pada kedalaman 0.8 meter (m) sehingga satu meter.

    Berikut adalah kronologi, motif dan jumlah mangsa pembunuhan oleh bomoh pengganda wang:

    • Pembunuhan disyaki dilakukan Slamet Tohari, 45, terbongkar selepas polis Banjarnegara menerima laporan kejadian orang hilang pada 27 Mac lalu.
    • Mangsa dari Sukabumi, Jawa Barat dikesan hilang selepas berkunjung ke Banjarnegara, untuk berjumpa Slamet pada 23 Mac lalu.
    • Sebelum hilang, mangsa sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada keluarga meminta mereka mencarinya di rumah Slamet, jika dia tidak dapat dihubungi selepas beberapa hari.
    • Selepas pesanan itu diterima, keluarga tidak menerima sebarang khabar berita daripada mangsa lalu mereka ke rumah Slamet.
    • Keluarga turut membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa dan sepasukan polis ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
    • Hasil siasatan, polis mendapati mangsa sudah dibunuh dan mayatnya ditanam.

    Ketua Polis Banjarnegara Hendri Yulianto berkata, mangsa ditanam di kawasan menuju ke hutan di Wanayasa.

    Susulan penemuan mayat mangsa itu, polis turut menemukan beberapa lagi mayat mangsa lain di kawasan berhampiran.

    Media sebelum ini melaporkan, Mbah Slamet yang disyaki membunuh sekurang-kurangnya 10 mangsa sejak 2020 ditahan polis di Jawa Tengah pada 1 April lalu.

    Slamet ditahan di rumahnya di Desa Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial.

    Semua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (kira-kira RM11,822) kepada lima bilion rupiah (kira-kira RM1.5 juta).

    Kes disiasat di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara.

  • Siasatan terperinci di lokasi tanah Runtuh Bukit Tunku hari ini

    Siasatan terperinci di lokasi tanah Runtuh Bukit Tunku hari ini

    CAWANGAN Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta beberapa agensi lain akan melakukan siasatan terperinci di lokasi kejadian tanah runtuh di Bukit Tunku hari ini.

    Selain itu agensi penyelamat dijadual bermesyuarat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada pukul 3 petang ini.

    Pasca mesyuarat tersebut, satu sidang media turut dijadual diadakan pada pukul 5.30 petang, lapor Astro Awani.

    Semalam, dilaporkan seramai 76 petugas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu pukul 1.30 tengah hari.

  • Tanah runtuh: Kakitangan IIM diarah bekerja dari rumah

    Tanah runtuh: Kakitangan IIM diarah bekerja dari rumah

    KAKITANGAN Institut Integriti Malaysia (IIM) diarah bekerja dari rumah susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan institut itu tengah hari semalam.

    Kenyataan IIM malam tadi memaklumkan arahan itu dibuat atas faktor keselamatan dan berkuatkuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

    “IIM sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa dalam kerja-kerja pemantauan di kawasan terlibat.

    “Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang IIM (www.iim.gov.my) dan media-media sosial IIM untuk maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.

    Ketika kejadian pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang merupakan petugas pentadbiran MACA dan IIM, yang terletak bersebelahan akademi itu, berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan tersebut namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.

  • Pemandu maut kereta dihempap pokok ketika ribut

    Pemandu maut kereta dihempap pokok ketika ribut

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pemandu Proton Waja maut selepas keretanya dihempap pokok yang dipercayai tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Lencongan Timur, berdekatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani, malam tadi.

    Lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badannya itu belum disahkan identitinya setakat ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.27 malam ketika berlaku kejadian angin kencang dan hujan lebat di kawasan berkenaan.

    “Apabila sampai di lokasi kejadian didapati lima buah kereta termasuk Proton Waja terbabit, Mercedes-Benz, Perodua MyVi dan Nissan X Trail mengalami kerosakan akibat dihempap lebih 10 batang pokok.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta Proton Waja dalam anggaran umur 50-an meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan bahagian badannya,” katanya.

    Menurutnya, empat lagi pemandu kenderaan lain dan penumpang masing-masing turut mengalami kecederaan, namun jumlah sebenar kesemua mangsa terlibat masih dalam siasatan.

    “Mayat lelaki berkenaan serta mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke HSAH untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Azahari berkata, seramai 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, BBP Aman Jaya dan dibantu oleh 14 anggota sukarela terlibat dalam operasi tersebut.

    “Dengan bantuan tiga jengkaut milik kontraktor THB serta peralatan Rescue Tools, mangsa-mangsa berjaya dibawa keluar daripada kenderaan masing-masing,” katanya.