Category: Semasa

  • Sanusi iringi Sultan Kedah ke Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani esok

    Sanusi iringi Sultan Kedah ke Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani esok

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dijadualkan akan hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang bakal turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Raia, Alor Setar, esok.

    Setiausaha Akhbarnya, Muhamad Mat Yakim berkata, kehadiran Muhammad Sanusi ke majlis itu bagi mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

    “‘MB’ Kedah dijadual hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani mengiringi Sultan Kedah esok,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat melalui aplikasi Whatsapp, hari ini.

    Dalam sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon semalam, Muhammad Sanusi berkata beliau akan tetap menghadiri majlis itu bagi mengiringi Sultan Kedah sekiranya baginda berkenan berangkat ke majlis tersebut.

    Menerusi kenyataan dikeluarkan pagi tadi, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Sultan Kedah berkenan bercemar duli ke majlis rumah terbuka tersebut.

  • “Bersungguh-sungguh minta maaf antara petanda Mael XPDC pergi selamanya”

    “Bersungguh-sungguh minta maaf antara petanda Mael XPDC pergi selamanya”

    VOKALIS kumpulan XPDC, Mael yang meninggal dunia malam tadi dilapor bersungguh-sungguh meminta maaf dari ahli keluarganya semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini seolah-olah memberi petanda dia akan pergi selamanya.

    Perkara itu diceritakan anak saudara allahyarham, Norashikin Abdullah, 44, ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di Muar.

    Menurutnya, mereka sekeluarga mengakui terkejut dengan berita pemergian bapa saudaranya atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim.

    Katanya, karakter allahyarham yang sangat tenang pastinya memberi kesan mendalam kepada seluruh anggota keluarga dan sahabat handai.

    “Peribadi arwah ini memang luar biasa kerana dia memang menekankan pendidikan agama anak-anaknya sejak kecil lagi.

    “Raya kali ini juga dia bersungguh-sungguh meminta maaf pada ahli-ahli keluarganya seolah-olah memberi petanda dia akan pergi selamanya,” katanya, menurut laporan Astro AWANI.

    Dalam pada itu, jenazah Mael selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di Muar, sekitar pukul 10.55 pagi.

    Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis, peminat serta penduduk setempat memenuhi pekarangan tanah perkuburan bagi menyaksikan upacara pengebumian dan memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham.

    Allahyarham Mael menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

    Jenazah kemudian dibawa ke kediaman anaknya di Jalan Sungai Abong, Muar dan disembahyangkan terlebih dahulu sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

    Antara rakan artis yang hadir termasuk ahli-ahli kumpulan XPDC serta Joe Wings.

    XPDC merupakan kumpulan rock popular ketika era 1980 hingga 1990-an dan sering mengadakan konsert di tapak pesta di seluruh negara sehingga diberi jolokan sebagai ‘Raja Funfair.’

  • KJ disebut-sebut bakal bertanding DUN Selangor – laporan

    KJ disebut-sebut bakal bertanding DUN Selangor – laporan

    KHAIRY Jamaluddin dikatakan bakal bertanding di kerusi DUN di bawah Parlimen Sungai Buloh, sekiranya bekas Ketua Pemuda UMNO itu menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti berkenaan sebelum pilihan raya negeri akan datang.

    Menurut pemimpin kanan Pas Selangor, nama Khairy walaupun tidak tersenarai dalam senarai Pas untuk pilihan raya negeri, mungkin termasuk di bawah Bersatu.

    “Lagipun kita memang menerima baik mana-mana pihak luar yang ingin bertanding mewakili PN dan boleh memberi kemenangan kepada kita.

    “Malah, jika ada arahan daripada pimpinan Pusat untuk menarik pihak luar untuk bertanding dan memberi kemenangan, kita juga tidak ada masalah untuk itu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

    Sebelum ini dilaporkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan Khairy bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang jika dia menyertai Bersatu.

    Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, tawaran itu dibuat apabila bekas menteri kesihatan itu melawat rumah Muhyiddin selepas dipecat daripada UMNO.

    Khairy bagaimanapun tidak menjawab tawaran itu dan meminta sedikit masa untuk membuat keputusan.

    Terdapat tiga kerusi DUN di bawah kerusi parlimen Sungai Buloh iaitu Bukit Lanjan, Kota Damansara, dan Paya Jaras. Pada pilihan raya umum ke-15, Khairy bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh bagi pihak BN tetapi tewas kepada R Ramanan dari Pakatan Harapan dengan 2,693 undi.

    Semalam, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim memberi bayangan beliau mungkin dilibatkan dalan perencanaan PN memenangi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor tidak lama lagi.

    Beliau dikatakan sudah turun ke Semenyih beberapa kali.

    “Sekiranya saya bertanding pun, bukan niat saya hendak pegang jawatan tetapi niat hendak pastikan PN menang.

    “Terus terang saya katakan bahawa, saya tak perlu berebut jawatan dengan siapa kerana satu ketika saya sendiri pernah menjadi pemimpin besar,” katanya seperti dipetik BH Online.

    Pun begitu Shahidan dipetik sebagai berkata dia tidak mempunyai sebarang agenda merebut apa-apa jawatan namun sedia menggunakan pengaruhnya untuk membina “gelombang yang dahsyat” buat PN di negeri itu.

    Semenyih merupakan kubu buat UMNO-BN sehinggalah PH merampasnya dalam PRU ke-14 pada 2018. Bagaimanapun kemenangan itu dicapai melalui calon Bersatu yang ketika itu menjadi komponen PH iaitu Bakhtiar Mohd Nor dengan majoriti 8,964 undi.

    Bagaimanapun pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan di kerusi itu apabila Bakhtiar meninggal dunia 11 Jan 2019.

    Dalam PRK yang diadakan pada 2 Mac tahun itu BN kembali merampas kerusi tersebut melalui calon mereka, Zakaria Hanafi dengan kelebihan 1,914 undi.

    Mengikut daftar pengundi pada 2018 yang digunakan dalam PRK tersebut, kawasan DUN Semenyih mempunyai 54,503 orang pemilih berdaftar.

    Selangor bakal membubarkan dewan undangan negeri (DUN) – atau terbubar dengan sendirinya – tidak lama lagi bagi membolehkan PRN diadakan selaras dengan peruntukan perlembagaan.

    Turut berdepan PRN ialah Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Kelantan dan Terengganu kini ditadbir Pas manakala yang lain-lain dipimpin oleh PH sejak PRU ke-14 yang berlangsung pada 2018.

    Semua negeri terbabit tidak membubarkan DUN masing-masing pada 2022 apabila PRU ke-15 diadakan.

    Selain pernah menjadi menteri besar, Shahidan merupakan bekas menteri dan anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum digugurkan daripada menjadi calon parti tersebut pada 2022.

    Dia kemudian menyertai Pas dan menjadi calon PN pada tahun lalu.

  • TH umum agihan keuntungan selepas zakat 3.10 peratus

    TH umum agihan keuntungan selepas zakat 3.10 peratus

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, membabitkan nilai RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022, meningkat tujuh peratus berbanding RM2.46 bilion tahun sebelumnya.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendepositnya dan ia juga setelah mengambil kira pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.

    “Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus.

    “Agihan ini telah ditolak zakat berjumlah RM97 juta yang dilunaskan kepada semua Majlis-majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit TH.

    “Pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini TH telah melunaskan zakat berjumlah RM1.27 bilion,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula jam 12 tengah hari esok.

    “Ia boleh disemak menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic,” katanya.

    Sementara itu Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, prestasi pelaburan TH telah dapat dipertahankan walaupun berhadapan pasaran yang merudum pada tahun 2022.

    “Kami mengambil pendekatan yang amat berhati-hati untuk meminimumkan risiko dan memastikan pemilihan aset yang baik untuk menjana hasil.

    “Walaupun berhadapan tekanan inflasi, TH juga telah berjaya mengawal perbelanjaan dengan jumlah perbelanjaan operasi menurun sebanyak tiga peratus berbanding tahun 2021.

    “TH akan terus mengambil langkah meminimumkan risiko supaya modal pelaburan terpelihara dan tidak terjejas,” katanya.

  • PN desak Sivakumar direhatkan daripada tugas rasmi

    PN desak Sivakumar direhatkan daripada tugas rasmi

    PERIKATAN Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak mengamalkan sikap pilih kasih berhubung siasatan rasuah melibatkan pemimpin parti itu.

    Menurut Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khairudin, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah berkaitan imbuhan kelulusan pekerja asing semakin banyak melibatkan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar namun beliau tidak direhatkan.

    “Perdana Menteri sewajarnya merehatkan Sivakumar selari dengan tindakan desakan Majlis Presiden PH terhadap kes Tan Sri Azam Baki pada 2022.

    “Tindakan ini penting untuk memastikan SPRM dapat menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa tekanan serta campur tangan pihak berkepentingan yang memiliki kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, selain itu Majlis Presiden PH pernah juga pernah mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan & Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah direhatkan sehingga siasatan dakwaan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki selesai.

    “Antara tatakelola baik yang diamalkan dalam dunia korporat dan industri adalah dengan memberikan Garden Leave bagi merehatkan pegawai yang berkenaan bagi melindungi kepentingan perniagaan dan juga reputasi baik sesebuah organisasi,” katanya.

    Kata Khairil Nizam lagi, pada 14 April 1999 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pernah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar, setelah disabitkan atas empat kesalahan berhubung penyalahgunaan kuasa campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

    “Rakyat tidak mahu lagi melihat kes sebegini berulang di dalam kerajaan,” tegasnya menurut laporan Sinar Harian.

  • Bersatu cabar Johari isytihar empat kerusi Parlimen Sabah kosong

    Bersatu cabar Johari isytihar empat kerusi Parlimen Sabah kosong

    BERSATU telah memfailkan permohonan untuk memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Speaker Datuk Johari Abdul dan yang lain ketika parti itu cuba mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

    Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), dalam permohonannya pada 17 April untuk memulakan semakan kehakiman, Bersatu berkata keputusan Johari untuk tidak mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang, yang dahulunya bersama Bersatu, adalah “tidak sah”.

    Dalam permohonan itu, yang dilihat FMT, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Johari telah “tersilap” dalam keputusannya untuk tidak mengisytiharkan pengosongan kerusi terbabit.

    Kerusi itu disandang Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

    Empat Ahli Parlimen itu dipilih atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15 lalu ketika Bersatu adalah sebahagian daripada GRS.

    Bagaimanapun, selepas pilihan raya itu, GRS menggugurkan Bersatu sebagai rakan gabungan.

    Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee sebelum ini dilaporkan berkata parti itu telah mengeluarkan surat pemecatan kepada empat Ahli Parlimen itu pada 21 Dis.

    Beliau berkata ini kerana mereka duduk bersama blok kerajaan semasa persidangan Dewan Rakyat 19 Dis, dan ia bermakna mereka telah “melompat”.

    Beliau mendakwa ini telah mencetuskan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi mereka jika mereka lompat ke parti lain. Pengecualian akan diberikan kepada Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti mereka atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

    Bersatu mahu mahkamah membatalkan keputusan Johari, yang telah dimaklumkannya kepada parti itu dalam surat bertarikh 16 Jan, dan seterusnya memerintahkan Speaker mengisytiharkan empat kerusi itu kosong.

    Parti itu juga berkata sekiranya semakan kehakiman mereka berjaya, Johari perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengisi kekosongan itu dalam tempoh 21 hari.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan kebenaran Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman pada 30 Mei.

  • Suami isteri tular buat aksi ‘wheelie’ serah diri

    Suami isteri tular buat aksi ‘wheelie’ serah diri

    POLIS hari ini menahan sepasang suami isteri di Kelantan selepas usaha mengesan pasangan itu dibuat susulan rakaman video mereka menunggang motosikal sambil membuat aksi ‘wheelie’ tular di media sosial.

    Menurut Ketua Polis Kota Bharu Mohd Rosdi Daud, pasangan berusia 16 dan 17 tahun itu menyerah diri pada pukul 10 pagi tadi di IPD Kota Bharu.

    Beliau berkata, pasangan berkenaan sebelum ini diburu polis selepas video aksi mereka itu yang dirakamkan di Jalan Pasir Puteh, Peringat tular.

    Katanya, mereka pada mulanya menghilangkan diri selama dua hari selepas diburu pihak polis.

    “Mereka kini kini dalam proses permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Rosdi berkata, pasangan itu dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    Jika disabitkan kesalahan katanya, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, tidak lebih daripada RM15,000.

    Polis pada Selasa lalu memburu seorang penunggang motosikal yang membuat aksi ‘wheelie’ sambil membonceng seorang wanita dan tidak memakai topi keledar.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mat Kasim Karim dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil selepas aksi pasangan berkenaan tular di media sosial.

    “Video itu memaparkan pasangan berkenaan lengkap berpakaian baju Melayu dan baju kurung berwarna biru,” katanya.

  • Kanak-kanak meninggal dunia akibat strok haba di Kelantan

    Kanak-kanak meninggal dunia akibat strok haba di Kelantan

    CUACA panas di Kelantan mula meragut nyawa apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Kampung Perupok di Bachok, Kelantan menjadi mangsa pertama strok haba apabila dilaporkan meninggal dunia, kelmarin.

    Sinar Harian melaporkan, angsa, Muhamad Syamil Aqil dikatakan meninggal dunia pada 9.27 pagi semasa sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

    Ibu mangsa dikenali sebagai Wanie berkata, hasil bedah siasat dilakukan mengesahkan anak lelaki sulung daripada tiga beradik itu maut akibat strok haba dan dehidrasi.

    “Doktor merawat memberitahu buah pinggang, jantung anak sudah hangus. Di dalamnya sudah kosong, air dan darah dalam badan sudah kering,” katanya.

    Wanie berkata anak lelakinya itu dilihat aktif berbasikal ketika menyambut Aidilfitri pada hari raya pertama dan kedua, bagaimanapun pada raya ketiga, Muhamad Syamil mengalami demam biasa dan cirit birit.

    “Saya memantau suhu badan anak setiap satu jam sekali, namun ia tidak tinggi hanya sekitar 37 hingga 38 darjah.

    “Hari raya keempat selepas Subuh, anak kelihatan lemah. Saya kemudian mengajak suami membawanya ke klinik, tetapi tiba-tiba anak mengalami kekejangan,” katanya.

    Wanie berkata, selepas anaknya menghembuskan nafas terakhir di klinik, jenazahnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

    Mangsa merupakan pelajar Tahun 5, Sekolah Kebangsaan (SK) Perupok itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai, selepas Isyak pada hari sama.

    Sementara itu, Ketua Polis Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkaitan kes terbabit.

  • Kerajaan mungkir janji jika hanya beri peruntukan pentadbiran – Tuan Ibrahim

    Kerajaan mungkir janji jika hanya beri peruntukan pentadbiran – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kerajaan memungkiri janji jika hanya bersetuju memberikan peruntukan pentadbiran sahaja kepada Ahli Parlimen Pembangkang.

    Sehubungan itu beliau menegaskan, peruntukan yang dipersetujui diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang mestilah sama seperti yang diterima Ahli Parlimen kerajaan.

    “Kami menggesa agar jumlah yang diberi mesti sama dengan Ahli Parlimen kerajaan sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.Ini bukan janji kami tetapi ia ikrar mereka (kerajaan) sebelum ini bagi menyatakan dasar adil yang diperjuangkan,” katanya lapor FMT.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, jika peruntukan pentadbiran sahaja, sudah tentu tidak menepati asas bagi membantu wakil rakyat menyelesaikan masalah dalam kawasan mereka.

    Contohnya kata beliau, masalah seperti berlaku bencana, kebakaran, ribut dan peruntukan kecil pembangunan dalam kawasan Parlimen diwakili pembangkang yang perlu diberi segera.

    Bagaimanapun, beliau akan menunggu pengumuman rasmi seperti yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.

    Zahid hari ini dilaporkan berkata kerajaan perpaduan secara dasarnya bersetuju menyediakan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun hanya untuk perbelanjaan pentadbiran.

    Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkara itu sedang dimuktamadkan menerusi perbincangan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan pihak berkaitan, dan pengumuman mengenainya akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    .

  • Pendakwaan bantah rayuan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan mahkamah

    Pendakwaan bantah rayuan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan mahkamah

    PIHAK pendakwaan memfailkan bantahan awal terhadap rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How ketika dihubungi pemberita berkata notis bantahan awal itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas.

    Berdasarkan notis tersebut, bantahan awal dibuat atas alasan keputusan Mahkamah Tinggi bukan suatu keputusan yang boleh dirayu mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    Pada 9 Dis 2022, Bung Moktar dan isterinya gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.

    Sementara itu, Law berkata pengurusan kes bagi rayuan Bung Moktar dan isterinya itu ditetapkan pada 22 Mei di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

    Menurut Law prosiding bela diri kedua-dua tertuduh sebelum ini ditetapkan pada 15 Jun di Mahkamah Sesyen di sini.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

    Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA