Category: Semasa

  • Syarikat Jet Valet sah pesawat miliknya terhempas

    Syarikat Jet Valet sah pesawat miliknya terhempas

    SYARIKTA Jet Valet Sdn Bhd mengesahkan menerima laporan berhubung insiden sebuah pesawat milik syarikat itu yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor hari ini.

    Syarikat pengendali pesawat berkenaan memaklumkan pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai insiden itu, dan akan memberi komitmen penuh serta kerjasama dalam siasatan yang akan dijalankan.

    “Pada masa ini, pihak Jet Valet tidak dapat mengesahkan sebarang butiran lain secara rasmi, termasuk kemalangan jiwa kerana menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa. Segala maklumat dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan syarikat itu, lapor FMT.

    Terdahulu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan 10 terkorban dalam nahas 2.45 petang itu.

    Mereka yang terkorban adalah juruterbang dan pembantunya, enam penumpang serta dua pengguna jalan raya yang dirempuh pesawat berkenaan ketika terhempas.

    Turut dilaporkan terkorban adalah Exco Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

    Hussein berkata, pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh menara kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

    “Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.

    “Semasa terhempas pesawat sama dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan,” katanya. 

  • ‘’Saya dengan bunyi letupan sangat kuat’’ – saksi pesawat terhempas

    ‘’Saya dengan bunyi letupan sangat kuat’’ – saksi pesawat terhempas

    “Saya terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dan sebaik tiba di lokasi, saya nampak seorang mangsa terbakar rentung dalam keadaan terbaring,” kata saksi insiden pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam hari ini.

    Menurut Nur Alia Nordin, 28, semasa kejadian beliau berada dalam rumah di Kampung Kubu Gajah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat menyebabkan beliau segera berlari keluar rumah untuk melihat punca bunyi tersebut.

    “Saya nampak asap hitam dari lokasi kejadian iaitu tiga kilometer dari rumah dan terus bergegas ke tempat kejadian yang hanya mengambil masa tiga minit.

    “Sebaik tiba, saya nampak sebuah motosikal dan pesawat sedang terbakar,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian di sini hari ini.

    Tinjauan Bernama sekitar 4.21 petang mendapati pasukan penyelamat serta pihak berkuasa sudah berada di lokasi kejadian dan media tidak dibenarkan masuk ke lokasi kejadian.

    Setakat ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 orang maut dalam insiden berkenaan.

  • Exco Kerajaan Negeri Pahang antara mangsa pesawat terhempas di Elmina

    Exco Kerajaan Negeri Pahang antara mangsa pesawat terhempas di Elmina

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dilaporkan antara 10 orang yang terbunuh dalam nahas jet persendiri terhempas di bandar Elmina Shah Alam hari ini.

    Kejadian yang menimpa Johari itu dikongsikan oleh Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman melalui akaun Twitter beliau.

    Melalui menerusi ciapan di Twitter sambil berkongsi gambar kenangan dalam mesyuarat bersama Allahyarham Johari yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang.

    ‘’Pada petang ini, satu berita tergempar membabitkan nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam. Amat mendukacitakan apabila melibatkan seorang kawan saya, Allahyarham YB Dato’ Sri Johari Harun, EXCO Pahang yang juga ADUN Pelangai di bawah Parlimen Bentong.

    “Saya amat bersedih dengan kehilangan ini. Baru sahaja 2 hari lepas, saya bersama Allahyarham Dato’ Sri Jo berbincang berkenaan pembangunan di Bentong dan Pelangai yang akan direncanakan kelak,” katanya.

    Dalam kejadian itu, Allahyarham  Johari yang juga Ketua UMNO bahagian Bentong, dalam penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.

    Kematian Johari dikongsi oleh Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, 

  •  Lelaki maut dilanggar forklift dipandu rakan sekerja di kawasan kilang

     Lelaki maut dilanggar forklift dipandu rakan sekerja di kawasan kilang

    SEORANG pekerja lelaki warga tempatan berumur 39 tahun maut selepas dilanggar jentera forklift semasa berjalan kaki dalam kejadian di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Prai, Butterworth, Pulau Pinang,10 Ogos lalu.

    Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan pada hari kejadian dan Pegawai Perubatan telah membuat keputusan memotong kaki mangsa pada 12 Ogos lalu.

    Bagaimanapun, katanya, mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital pukul 9 malam kelmarin.

    Sehubungan itu, jelasnya, sepasukan pegawai penyiasat JKKP Pulau Pinang telah diarahkan ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kejadian tersebut hari ini.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa yang merupakan pekerja di kilang tersebut dilanggar forklift yang dipandu pekerja lain semasa melintas di laluan sama yang menyebabkan kecederaan parah pada kaki kanan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah kenyataan itu, susulan kejadian tersebut, JKKP telah mengeluarkan satu notis larangan dan kerja-kerja memunggah barangan menggunakan forklift di lokasi kejadian dihentikan serta merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

    Tambahnya, JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    Ujarnya, JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

    “Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

    “Majikan juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

    “Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

    Tambah kenyataan itu, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

  • 10 disahkan terbunuh, pesawat ringan terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam

    10 disahkan terbunuh, pesawat ringan terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam

    SERAMAI 10 orang terbunuh apabila sebuah pesawat ringan terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, hari ini.

    Daripada jumlah itu 8 orang adalah krew dan penumpang pesawat manakala dua lagi ialah pemandu kereta dan penunggang motosikal yang dilanggar pesawat dari Langkawi itu.

    Ketua Polis Selangor, berkata kejadian jam 2.45 petang itu mengorbankan juruterbang dan pembantunya, enam penumpang serta dua pengguna jalan raya yang dirempuh pesawat berkenaan ketika terhempas.

    SEMENTARA ITU, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) peawat itu tidak membuat panggilan kecemasan atau “Mayday”.

    “Panggilan pertama dibuat pesawat itu dengan Menara Kawalan Udara Subang adalah pada 2.47 petang dan kebenaran mendarat diberikan pada jam 2.48 petang.

    “Bagaimanapun, pada jam 2.51 petang Menara Kawalan Udara melihat kepulan asap dari lokasi terhempas dan tiada panggilan “Mayday” diterima daripada pesawat itu,” kata CAAM dalam satu kenyataan.

    CAAM juga mengesahkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 dengan nombor pendaftaran N28JV itu membawa enam penumpang dan dua kru.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Bersatu gesa Peguam Negara beri penjelasan kes Zahid akan gugur atau tidak

    Bersatu gesa Peguam Negara beri penjelasan kes Zahid akan gugur atau tidak

    PARTI menggesa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun segera menyatakan sama ada pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan digugurkan ataupun tidak, sehari selepas Jabatan Peguam Negara menafikan sebarang campur tangan politik atau tekanan dalam kes yang dibawa ke mahkamah setakat ini.

    Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Januari bagi menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya.  

    Pihak pendakwaan kemudian berkata bahawa mereka m diarahkan oleh peguam negara untuk tidak membuat bantahan ke atas permohonan penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan mengenai surat representasi.  

    “Selepas melalui representasi yang panjang lebar dan mengandungi isu rumit, kami diarah untuk tidak membantah permohonan (penangguhan pendengaran) kerana pihak pendakwaan memerlukan masa yang munasabah untuk mempertimbangkan (representasi),” kata Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

    Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif dalam satu kenyataan hari ini berkata perbicaraan hanya disambung semula bulan ini, dengan pihak pendakwaan berkata representasi itu masih dalam pertimbangan.

    “Mengapa peguam negara masih tidak dapat memutuskannya? Kini timbul kebimbangan umum bahawa pertuduhan terhadap Zahid, yang sokongannya kritikal untuk survival kerajaan Anwar Ibrahim, mungkin digugurkan. 

    “Lebih-lebih lagi apabila ketua pendakwa raya Raja Rozela yang tidak berkompromi digugurkan daripada kes itu,” tambahnya, merujuk kepada Raja Rozela Raja Toran, lapor MalaysiaNow.

    Idrus bagaimanapun memaklumkan ketidakhadiran Raja Rozela di mahkamah awal bulan ini adalah kerana beliau memohon untuk bersara awal.

    Sambil menggesa Idrus berhenti “bercakap perkara tidak penting” mengenai kes Ahmad Zahid, Sasha berkata beliau perlu menyatakan dengan segera dan jelas sama ada pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid akan digugurkan ataupun tidak. 

    “Adalah demi kepentingan umum dan keyakinan pelabur bahawa tiada keraguan lagi mengenai status kes ini,” tambahnya.

    Ahmad Zahid, yang memainkan peranan penting dalam membawa sokongan 30 ahli Parlimen BN kepada kerajaan Anwar, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Antara pertuduhan CBT yang dikenakan terhadap Zahid ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan dana Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016. 

    Sasha berkata rentetan pertuduhan terhadap beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) selepas pilihan raya umum tahun telah menimbulkan keraguan terhadap kebebasan Jabatan Peguam Negara.

    “Peguam negara perlu berdepan hakikat ini dan bertindak sewajarnya untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap Jabatan Peguam Negara. Mengeluarkan kenyataan yang mendakwa beliau bebas hanyalah kata-kata kosong dan tidak mencukupi,’’ tegasnya.

  • Anwar hadapi dilema besar tarik sokongan Melayu – KJ

    Anwar hadapi dilema besar tarik sokongan Melayu – KJ

    KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu lalu memberikan dilema yang besar buat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menarik semula sokongan orang Melayu.

    Felo Kanan Pelawat di Institut Yusof Ishak (ISEAS), Khairy Jamaluddin berkata, analisis awal menunjukkan bahawa ‘keuntungan’ Perikatan Nasional (PN) sebahagian besarnya datang daripada pengundi Melayu.

    Pengundi-pengundi ini katanya, yang sebelum ini menyokong UMNO telah memindahkan sokongan mereka kepada pakatan pembangkang.

    “Dilema pertamanya ialah ideologi. Adakah beliau akan tetap setia pada platform progresif dan reformisnya atau akan terus menolak PN dengan memperkenalkan dasar yang lebih konservatif?

    “Pangkalannya telah bertindak balas terhadap keputusan pilihan raya dengan menggesa Anwar untuk berhenti berpihak kepada ‘hak Melayu’ dan menumpukan pada mengembangkan ekonomi, memperkenalkan pembaharuan dan memperjuangkan kepelbagaian budaya.

    “Tetapi dengan ‘teguran’ sekeras-kerasnya daripada pengundi Melayu sekali lagi, Anwar boleh tergoda untuk memainkannya dalam dua cara iaitu meneruskan rancangan dan program etnosentrik dan pada masa yang sama berharap ekonomi bertambah baik untuk rakyat Malaysia biasa,” katanya dalam portal Fulcrum yang berpangkalan di Singapura, lapor Sinar Harian.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu menambah, dilema kedua yang dihadapi Anwar kini adalah politik kerana rakan gabungannya, UMNO yang diharap dapat menentang PN telah gagal dengan teruk.

    Daripada 108 kerusi yang ditandingi UMNO, parti itu hanya menang 19, dengan kadar kejayaan 17.5 peratus iaitu yang paling teruk dalam PRN kali ini.

    “Jika UMNO gagal melakukan pembaharuan dengan antara lain, memecat Presidennya yang amat tidak popular, Anwar akan menghadapi keputusan strategik yang penting.

    “Beliau  boleh berpegang kepada laluan semasa dan menuju ke pilihan raya umum akan datang dengan bekerjasama dengan UMNO dan mempertimbangkan untuk mengesyorkan Pengampunan Diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya mengekalkan sokongan besar dalam parti.

    “Sebagai alternatif, Anwar boleh berpisah dengan UMNO dan mengambil pilihan lain. Beliau boleh memperjuangkan undi Melayu dengan meningkatkan daya tarikan Parti Keadilan Rakyat kepada segmen demografi atau memanfaatkan lebih banyak kepada rakan gabungan Parti Amanah Negara, yang meraih kemenangan mengejut di satu kerusi di Kelantan,” jelasnya.

    Khairy berkata, pilihan terakhir Anwar adalah menghubungi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan parti penting dalam PN.

    Katanya, walaupun pilihan itu mungkin belum dapat difikirkan, perkara yang aneh pernah berlaku dalam politik Malaysia sebelum ini, sebagaimana PH berpasangan dengan UMNO.

    Kesemua dilema ini, kata Khairy pasti akan membebankan Anwar yang juga Perdana Menteri dan kerajaannya dalam beberapa tahun akan datang.

  • Pesawat ringan terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam

    Pesawat ringan terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam

    SEBUAH pesawat ringan terhempas di bandar Elmina Shah Alam, hari ini.

    Dalam rakaman video yang tular menunjukkan serpihan pesawat itu yang berkecai berselerak di kawasan kejadian.

    Turut dipaparkan sebuah motosikal dalam keadaan terbakar.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • ADUN Pengkalan Kubor selamat diijabkabul

    ADUN Pengkalan Kubor selamat diijabkabul

    AHLI Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat, 57, selamat mendirikan rumah tangga kali kedua dengan pasangannya, Selasa lalu.

    Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan itu diijabkabulkan dengan pilihan hati, Nurfariza Mhd Hassan, 38.

    Wan Roslan berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu selepas beliau selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada hari sama.

    “Isteri saya berasal dari Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu,” katanya lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, gambar pasangan mempelai itu tular selepas Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memuat naik status ucapan tahniah kepada mereka di Facebook pada Rabu.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, isteri terdahulu beliau, Wan Norihan Wan Ab Rahman, 54, meninggal dunia akibat paru-paru berair di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, pada Julai 2022.

    Pada PRN itu, Wan Roslan meraih 14,043 undi dengan majoriti 6,040 undi mengalahkan Zulkifli Abdullah (Barisan Nasional) yang mendapat 8,003 undi.

  • UMNO perlu cermin diri bukannya salahkan anak muda dan ‘hidangan KFC’ – penganalisis

    UMNO perlu cermin diri bukannya salahkan anak muda dan ‘hidangan KFC’ – penganalisis

    UMNO  tidak perlu menyalahkan pihak lain atas prestasi buruk mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu, yang menyaksikan mereka hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di enam negeri, kata penganalisis. 

    Profesor Sains Politik, Universiti Putra Malaysia, Jayum Jawan berkata, kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai anak muda “disogok dengan KFC” untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) merupakan refleksi budaya politik yang diasuh oleh UMNO selama lebih 50 tahun.

    “UMNO terus hilang sokongan Melayu kerana kepimpinan parti itu semakin terpisah dengan pengundi Melayu luar bandar. UMNO tidak menyantuni Melayu bandar walaupun golongan itu terhutang budi kepada UMNO,” katanya kepada portal MalaysiaNow. 

    Katanya, parti itu tidak mengendahkan golongan Melayu pertengahan yang menyebabkan mereka tidak lagi berterima kasih kepada Umno. 

    UMNO yang terkenal dengan kubu kuatnya di kawasan luar bandar, hanya memenangi dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, serta satu kerusi di Kelantan.  Di Kedah dan Terengganu, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi.  UMNO mencatatkan prestasi yang agak baik di Negeri Sembilan dengan memenangi 14 daripada 17 kerusi yang ditandingi. 

    Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai mempertahankan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang didesak berundur susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN). 

    Antara pemimpin yang mula bersuara termasuklah bekas menteri besar Terengganu, Idris Jusoh dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil selain Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh. 

    Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilihat menjadi punca penolakan pengundi terhadap UMNO yang bermula sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 30 kerusi Parlimen. 

    Mereka turut tewas di kerusi-kerusi yang dianggap deposit tetap kepada BN, seperti Gerik dan Tanjung Karang.

    Menurut Jayum, walaupun usaha Nur Jazlan mencari punca kekalahan itu satu perkara yang bagus, menyalahkan anak muda tidak akan diterima baik oleh golongan tersebut. 

    Penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib pula berkata, kenyataan Nur Jazlan itu boleh dilihat daripada beberapa perspektif. 

    “Kita boleh sahaja mengatakan Umno dalam penafian untuk mengaku kelemahan dan kebobrokan pemimpinnya.  Walaupun ada isu berkenaan pengundi muda yang tiada pendedahan tentang demokrasi atau hubungan politik dan negara, ia bukan sebab UMNO kalah,” katanya. 

    Menurut Kartini, ketiadaan literasi pengundi muda diakui boleh menyebabkan undi rosak dan pilihan raya lesu dengan kadar peratusan yang rendah. 

    Menurut beliau, parti Melayu itu tewas kerana turut gagal mendapat undi orang-orang lama.

    “Sejarah perjuangan Umno diajar dalam silibus sekolah, dan tokoh seperti Dato’ Onn Jaafar sangat dikenali. Mungkin semangat patriotisme telah berevolusi kepada ketaatan kepada raja, dan mematuhi undang-undang,” katanya. 

    Dalam pada itu, Jayum berkata, UMNO membawa beban memandangkan beberapa pemimpin mereka masih mempunyai isu-isu kredibiliti dan integriti yang terpalit dan belum selesai. 

    Zahid sendiri masih mempunyai 47 kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang sedang dibicarakan.

    “Orang ramai mula mempersoalkan kualiti pemimpin. Mereka mahukan perubahan, menunggu perubahan dan apabila perubahan tidak sampai, mereka sendiri melakukannya. 

    Kos dan aibnya sangat besar. Soalan yang sebenarnya selepas ini- bolehkah UMNO diselamatkan?,’’ katanya.