Category: Semasa

  • Pelajar parah akibat terjatuh dari tingkat enam bangunan asrama

    Pelajar parah akibat terjatuh dari tingkat enam bangunan asrama

    HANYA kerana mahu mendapatkan kunci yang tertinggal dalam unit kediamannya, seorang pelajar lelaki universiti tempatan parah selepas terjatuh dari tingkat enam blok kediaman universiti berkenaan di Sungai Chuchuh, di Padang Besar semalam.

    Mangsa, Ubaidul Aqied Bustamam, 24, yang berasal dari Kulim, Kedah dipercayai terjatuh selepas tergelincir ketika cuba memanjat masuk ke dalam kediamannya untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal dalam unit berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3 petang yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan

    “Siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa adalah pelajar lelaki tempatan berusia 24 tahun yang tinggal di kediaman lokasi kejadian dan berdasarkan maklumat awal, dia dipercayai cuba mengambil kunci kediamannya itu.

    “Menurut saksi yang berada di sekitar tempat kejadian, mereka terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh sebelum melihat mangsa terbaring serta berlumuran darah di lantai aras bawah bangunan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Katanya, ketika ditemui orang ramai, mangsa masih berada dalam keadaan sedar namun tidak dapat bergerak akibat kecederaan serius yang dialami mangsa.

    “Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil. Kita sudah mengambil keterangan beberapa orang saksi bagi membantu siasatan,” katanya, lapor BH Online.

    Pada masa sama, Mohd Shokri turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kejadian berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

    Punca kejadian masih disiasat dan polis turut memohon kerjasama saksi lain yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis.

    Sebarang maklumat boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd Izham Aziz di talian 017-5387986.

  • Pasangan warga emas disamun, dipukul dengan kayu besbol

    Pasangan warga emas disamun, dipukul dengan kayu besbol

    SEPASANG suami isteri warga emas berdepan detik cemas apabila cermin kereta mereka dipecah menggunakan kayu besbol sebelum beg tangan serta dompet mereka disamun dua lelaki bermotosikal di Taman Muhibbah, Jalan Pantai Emas, Klebang Besar di Melaka, Sabtu lepas.

    Mangsa, Gan Chuei Lan, 66, berkata kejadian berlaku kira-kira 10.45 malam ketika dia dan suami, Gue Boon Guan, 65, yang menaiki kereta jenis Proton Iswara baru sahaja tiba di hadapan rumah mereka.

    “Suami (Gue) ketika itu keluar dari kereta untuk membuka pintu pagar rumah manakala saya masih di dalam kereta dan sedang memasukkan telefon bimbit ke dalam beg tangan. Saya mendengar lelaki menjerit ‘beg’ dan memecahkan cermin tingkap penumpang hadapan dengan kayu.

    “Serpihan cermin yang pecah terkena muka saya dan dalam keadaan panik, saya beralih ke tempat duduk pemandu untuk keluar dari kereta serta sempat mencampakkan beg tangan ke dalam pagar rumah sambil menjerit kuat meminta tolong,” katanya.

    Pasangan itu ditemui pemberita ketika menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang Datuk Lim Ban Hong di kediaman mereka hari ini.

    Bercerita lanjut mengenai kejadian yang berlaku kurang dari lima minit itu, Gan berkata seorang lagi lelaki kemudian memanjat pintu pagar rumah mereka lalu mengambil beg tangannya.

    Menurut Gan, suaminya dipukul dengan kayu besbol di bahagian kaki kiri serta dompetnya dirampas manakala kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal sama.

     “Kejadian sangat mencemaskan, sampai hari ini saya dan suami masih ketakutan. Lagipun ini bukan kejadian pertama… sebelum ini, anak saya juga pernah disamun di hadapan rumah dan beberapa rumah jiran juga pernah dipecah masuk. 

    “Suami telah membuat laporan polis kira-kira 11.30 malam hari sama dan polis telah datang ke rumah untuk membuat siasatan lanjut,” katanya dan menambah mereka kerugian wang tunai kira-kira RM400 akibat kejadian itu.

    Sementara itu, Lim berkata beliau telah memohon kepada polis khususnya Balai Polis Batang Tiga untuk meningkatkan rondaan di Taman Muhibbah dan beberapa taman perumahan berhampiran.

    Beliau berkata insiden pecah rumah dan samun di kawasan berkenaan bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk tetapi menimbulkan ketakutan khususnya dalam kalangan warga emas yang rata-ratanya telah menetap lebih 20 tahun di kawasan perumahan itu.

  • Reezal Merican dilantik Pengerusi MATRADE baharu

    Reezal Merican dilantik Pengerusi MATRADE baharu

    BEKAS Menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilantik sebangai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang kesembilan berkuat kuasa serta merta.

    Reezal Merican yang mempunyai rekod prestasi yang luas dalam perkhidmatan kerajaan, pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2021-2022), Menteri Belia dan Sukan (2020-2021) serta menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Luar (2015-2018).

    Reezal dalam kenyataannya hari ini berkata, beliau berbesar hati diberi peluang untuk berkhidmat sebagai Pengerusi MATRADE dan berusaha untuk memacu prestasi perdagangan dan eksport Malaysia dengan lebih baik bagi mencapai pertumbuhan yang lebih kukuh.

    MATRADE turut menyambut baik pelantikan itu memandangkan pengalaman Reezal yang luas dalam hal ehwal antarabangsa, diplomasi, pentadbiran kerajaan dan perhubungan industri akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kepelbagaian eksport Malaysia dalam pasaran global baharu.

    MATRADE ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan diberi mandat untuk melaksanakan inisiatif promosi perdagangan untuk negara, lapor Astro Awani.

  • Pengimport telur gagal sampaikan surat saman kepada Azmin

    Pengimport telur gagal sampaikan surat saman kepada Azmin

    SEBUAH syarikat yang memfailkan saman fitnah sivil terhadap Datuk Seri Azmin Ali gagal menyampaikan surat tuntutan saman itu kepadanya secara peribadi.

    Sehubungan itu, plaintif J&E Advance Tech Sdn. Bhd. memohon kepada mahkamah untuk menyampaikan kertas kausa ke atas Azmin melalui perkhidmatan gantian.

    “Permohonan ini dibenarkan pada 28 April lalu dan mahkamah mengarahkan kami supaya menyerahkan kertas kausa ke atasnya dengan menyiarkan notis itu dalam akhbar The Star.

    “Kami telah menghantar permohonan itu kepada pasukan pengiklanan The Star dan masih menunggu jawapan,” kata peguam plaintif Elyse Ng Zi Qian kepada Malaysiakini.

    Perkhidmatan gantian lazimnya hanya dibenarkan setelah plaintif telah berusaha sedaya mungkin untuk menyerahkan surat tuntutan berkenaan kepada defendan melalui cara tradisional.

    Pada 3 April lalu, J&E Advance Tech cuba menghantar surat tuntutan ganti rugi RM20 juta kepada Azmin kerana mendakwa bahawa ahli perniagaan, Deepak Jaikishan memperoleh kontrak kerajaan untuk mengimport telur melalui rundingan terus.

    Syarikat itu mahu menyaman Azmin berhubung ucapannya pada perhimpunan Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Jenayah yang diadakan di Dewan Dato Ustaz Gadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 11 Mac.

    Azmin adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dan pernah menjadi menteri Kabinet yang memegang portfolio perdagangan antarabangsa dan industri.

    Putrajaya sebelum ini telah membenarkan pengimportan bekalan telur dari India sebagai langkah sementara menangani kekurangan bekalan.

    Deepak sebelum ini menafikan dia mempunyai hubungan dengan J&E Advance Tech. Semakan maklumat syarikat itu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Deepak tidak disenaraikan sebagai pemegang saham mahupun sebagai pengarah dalam firma itu.

  • Perginya permata al-Quran tanah air

    Perginya permata al-Quran tanah air

    BEKAS juara qari kebangsaan dan antarabangsa sebanyak empat kali, Allahyarham Datuk Abdul Haq atau Abdul Ghani Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan, Pendang pada pagi semalam.

    Anaknya, Ustaz Azraie Abdul Hak dalam catatan menerusi Facebook miliknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan ucapan takziah dan membantu memudahkan urusan pengebumian arwah bapanya.

    Abdul Haq adalah permata al-Quran di negara ini selain merupakan juara tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun 1967, 1972, 1980 dan 1982.

    “Alhamdulillah. Selesai urusan pengebumian ayahanda Almarhum Abdul Hak. Damailah dikau di sana. Saya wakil kepada adik-beradik yang lain mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah memberi ucapan takziah, datang menziarahi, datang solat jenazah dan datang ke tempat pengebumian memberi penghormatan terakhir kepada arwah. Moga Allah memberi rahmat kepada kalian semua,” kata Azraie, memetik laporan Sinar Harian.

    Azraie yang yang juga juara Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-9 di Kuwait pada Ahad berkongsi berita sedih apabila mengesahkan arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 malam.

    Sebelum ini, Allahyarham telah pun dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah atas masalah kesihatan.

    Jenazah telah dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kampung Batu Hampar, Pendang, dekat Alor Setar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan pada pukul 11 pagi semalam.

  • Sandiwara politik ‘pengecut’ tidak jejas misi pasukan petugas 1MDB, kata Johari

    Sandiwara politik ‘pengecut’ tidak jejas misi pasukan petugas 1MDB, kata Johari

    PENGERUSI pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Ghani tegas menolak dakwaan beliau pernah menuntut ‘fi melobi’ jutaan ringgit daripada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan saman sivil terhadap Goldman Sachs di Amerika Syarikat.

    Beliau nekad tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggugat misi badan petugas tersebut iaitu untuk mencadangkan penyelesaian terbaik kepada kerajaan berhubung perolehan semula aset 1MDB.

    “Saya juga tidak berminat melibatkan diri dalam sandiwara politik tuduh-menuduh dengan orang yang merahsiakan identiti diri ketika menyebarkan fitnah melalui blog yang tidak credible (tidak boleh dipercayai),” katanya memetik laporan FMT hari ini.

    Johari memberikan penegasan itu apabila ditanya mengenai penyiaran sebuah dokumen oleh sebuah blog, yang cuba membayangkan beliau menuntut fi melobi antara USD20 juta dan USD30 juta daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

    Bayaran itu kononnya sebagai imbuhan untuk persetujuan Johari mengetuai usaha kerajaan menuntut pampasan lebih tinggi daripada Goldman Sachs berhubung kerugian besar yang ditanggung 1MDB dalam penerbitan tiga bon secara berasingan.

    Johari menyifatkan dokumen itu ‘sarat dengan pembohongan’.

    “Fitnah terhadap saya ini semata-mata cubaan untuk menggagalkan kerja-kerja penting pasukan petugas ke arah mendapatkan semula dana awam yang dicuri, selain mengenal pasti sama ada pihak yang merunding terma perjanjian dengan Goldman Sachs bertindak cuai sehingga perjanjian berkenaan tidak mengutamakan kepentingan kerajaan, sungguhpun ia (kerajaan) merupakan pihak paling terkesan,” kata beliau.

    Johari rata-rata menafikan meminta sebarang bentuk bayaran daripada kerajaan dan menegaskan beliau ‘tidak mempunyai sebarang keinginan meraih apa jua untuk kepentingan diri’.

    Beliau juga tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai kewujudan dokumen yang dimaksudkan.

    “Saya rata-rata menafikan sebarang penglibatan dalam apa jua penyediaan (dokumen). Saya juga tidak pernah dirujuk atau ditanya mengenai kandungannya.

    “Saya juga tidak tahu-menahu mengenai pembentangan sebarang dokumen seperti ini, tidak kira di peringkat Kabinet atau mana-mana jawatankuasa mahupun panel,” katanya.

    Johari berkata, beliau tidak memegang sebarang peranan dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin.

    Ahli Parlimen Titiwangsa itu menolak dakwaan beliau menyertai sebarang komplot untuk membunuh imej peribadi Muhyiddin bagi mengaut kelebihan politik bagi dirinya.

    Johari yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berkata, beliau berjumpa Muhyiddin, bersama Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Aziz dan Peguam Negara Idrus Harun pada 30 Jun 2020 di Pejabat Perdana Menteri untuk berbincang tuntutan yang perlu diperolehi daripada Goldman Sachs.

    Menurut Johari, pada 3 Julai, iaitu tiga hari susulan perbincangan itu, beliau menghantar cadangannya secara bertulis kepada Muhyiddin.

    Dalam kertas cadangan itu, Johari menghuraikan keperluan kerajaan memfailkan saman sivil terhadap Goldman Sachs di AS.

    “Cadangan bertulis saya sama sekali tidak mengandungi sebarang rujukan kepada ‘fi lobi’ atau apa jua bentuk fi yang saya dituduh menuntut,” tegasnya.

    Johari berkata, berdasarkan pemahamannya, cadangan bertulis itu diajukan oleh Muhyiddin kepada Idrus pada 15 Julai 2020.

    Bagaimanapun pada 24 Julai 2020, kerajaan ketika itu sudah pun menandatangani dokumen ‘Points of Agreement’ dengan Goldman Sachs.

    Ia disusuli pemeteraian perjanjian pada 18 Ogos 2020 yang merangkumi semua terma penyelesaian dengan Goldman Sachs.

    Johari berkata, ketika itu, beliau terkejut dengan betapa pantasnya perjanjian itu dipersetujui oleh kerajaan.

    “Bayaran modal pokok bon hanya perlu dilunaskan pada Mei 2022, bermakna kerajaan mempunyai tempoh cukup selesa untuk berunding (dengan Goldman Sachs),” ujar beliau.

    Dua minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersetuju dengan pandangan badan petugas bahawa kerajaan sepatutnya memperolehi pampasan jauh lebih besar daripada Goldman Sachs, berbanding apa yang dipersetujui.

    “Dari awal, saya anggap ia (perjanjian) dibuat secara gopoh-gapah, maka ia timbulkan banyak persoalan oleh kelompok awal dahulu (kerajaan terdahulu),” kata Anwar menurut Utusan Malaysia.

    Dalam wawancara dengan Bloomberg Television Januari lalu, Anwar mendakwa Goldman Sachs mencabul terma perjanjian penyelesaian dan menggunakan kekuatan kewangannya untuk menetapkan syarat.

    Pada 27 Februari lalu, Johari memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia menanggung kerugian amat besar dalam perjanjian itu dan menggesa kerajaan merungkai semula persetujuan berkenan selain menyiasat peranan pihak yang mewakili Putrajaya dalam rundingan dengan Goldman Sachs.

    Pada 9 Mac, Anwar memberitahu Parlimen, beliau bersetuju dengan pendirian Johari bahawa bayaran penyelesaian RM2.5 bilion yang dirunding oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin terlalu rendah apabila mengambil kira kerugian kira-kira USD7 bilion (RM31 bilion) yang ditanggung kerajaan.

    Keesokannya, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Johari untuk mengetuai pasukan petugas bagi menyelesaikan beberapa isu dalam memperoleh kembali aset 1MDB.

    Setakat ini, dua eksekutif kanan Goldman Sachs disabit kesalahan di AS berhubung skandal 1MDB.

    Pada Ogos 2018, Tim Leissner mengaku salah mengubah wang haram yang menyalahi undang-undang antirasuah negara itu. Beliau kini menunggu hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.

    Mac lalu, susulan pengakuan bersalah itu, beliau diarah mengembalikan wang USD43 juta dan saham bernilai lebih USD200 juta kepada kerajaan AS.

    Pada bulan sama, Roger Ng, yang mengetuai operasi Goldman Sachs di Malaysia, dihukum penjara 10 tahun selepas disabit kesalahan atas peranannya dalam skandal 1MDB.

    Beliau juga diarah mengembalikan USD35.1 juta kepada kerajaan AS.

  • FSA2: Ada permohonan dah lulus disekat kerana hutang lama

    FSA2: Ada permohonan dah lulus disekat kerana hutang lama

    RAMAI pencarum mengakui terbeban dengan proses permohonan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Timbalan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGRIM), Mohammad Farhan Jailani berkata, maklum balas itu diterima pihaknya berdasarkan tinjauan di media sosial.

    “Antara aduan paling banyak diterima ialah tempoh pemprosesan terlalu lama dan ada di antara pencarum yang masih belum mendapat maklum balas daripada pihak bank sejak hari pertama permohonan dibuka.

    “Permohonan masih lagi dalam status ‘sedang diproses’ tanpa mendapat apa-apa kemaskini dari bank

    “Ada juga sebahagian pencarum ini diluluskan permohonan pembiayaan mereka tetapi wang mereka disekat kerana mempunyai hutang lama di bank,” katanya lapor Harian Metro hari ini.

    Menurutnya, ada juga pemohon berstatus muflis yang sudah lulus permohonan namun perlu mendapatkan surat pelepasan daripada Jabatan Insolvensi dalam tempoh tujuh hari bekerja sebelum wang berkenaan dikreditkan.

    Mohammad Farhan berkata, perkara seperti ini tidak seharusnya terjadi kerana ianya hanya menambahkan lagi tekanan hidup terhadap pemohon yang sudah sedia berada dalam kesusahan.

    “Sudahlah perlu menunggu lama, apabila sudah diluluskan, wang pula disekat dengan pelbagai alasan.

    “Apakah relevannya kelulusan FSA2 ini diberikan kepada pencarum yang masih aktif mencarum dan mempunyai skor kredit yang baik?

    “Jika begitu, tiada beza FSA2 ini dengan pinjaman peribadi sedia ada yang ditawarkan bank,” katanya.

    Tambahnya, inisiatif itu sepatutnya memberi manfaat kepada semua pencarum yang terdesak memerlukan suntikan tunai sebaliknya hanya menambah beban hutang yang perlu ditanggung pemohon.

    Katanya, kerajaan harus sedar syarat baki minimum RM3,000 yang ditetapkan tidak relevan berikutan majoriti pencarum yang memerlukan tidak mempunyai baki mencukupi dalam akaun 2 mereka.

    Katanya, alasan kerajaan melaksanakan FSA2 untuk melindungi hari tua pencarum tidak dapat diterima kerana pemohon yang gagal membuat bayaran balik berisiko kehilangan terus caruman yang dicagarkan kepada pihak bank.

  • Melalui jalanan naik, melalui jalanan juga Anwar akan tumbang

    Melalui jalanan naik, melalui jalanan juga Anwar akan tumbang

    SERAMAI 12 individu berpakaian kuning, membawa belon kuning berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur hari ini menggesa supaya Perdana Menteri digulingkan.

    Perhimpunan itu merupakan Pelancaran Gerakan Rakyat oleh kumpulan berkaitan Perikatan Nasional Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

    Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, sebelum ini kumpulan itu akan mengadakan perhimpunan menentang kerajaan tidak lama lagi, tetapi menegaskan bahawa perhimpunan hari ini bukanlah acara sedemikian.

    Bagaimanapun, beliau berkata, protes jalanan akhirnya akan membawa kepada kejatuhan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Melalui jalan raya Anwar naik, saya percaya melalui jalan raya Anwar akan diseret tumbang.

    “Kita bukan nak jatuhkan kerajaan, kita nak tukar Anwar Ibrahim sahaja,” katanya ketika berucap kepada pemberita di luar pusat beli-belah tersebut.

    Beliau tidak menyatakan bila sebenarnya kumpulan itu akan menganjurkan perhimpunan menentang perdana menteri.

    “Kita bukan nak jatuhkan kerajaan, kita nak tukar Anwar Ibrahim sahaja,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

    Pergerakan itu, yang digelar ‘Tukar PM Segera’ mendakwa Anwar gagal melaksanakan reformasi dan menangani peningkatan kos sara hidup serta menyokong rasuah dan nepotisme.

    Badrul yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mendakwa bahawa ‘kontrak sosial’ terhadap hak bumiputera dan Islam sedang dilemahkan.

    Bahan promosi untuk acara SAMM hari ini menggabungkan karya seni Anwar oleh artis grafik Fahmi Reza daripada buku mewarna 2015 mengenai tokoh politik itu.

    SAMM telah menyunting karya seni untuk memberikan Anwar hidung badut, serta mata hitam.

    Badrul berkata, selaku perdana menteri kini Anwar telah menjadi ‘badut negara.’

  • Tiga kru hilang kapal tangki dari Afrika terbakar

    Tiga kru hilang kapal tangki dari Afrika terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kapal tangki asing terbakar dan mengakibatkan tiga kru hilang manakala 25 lagi selamat dalam kejadian pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian itu pada pukul 4 petang.

    Menurutnya, kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika itu dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal.

    “Susulan itu sebuah bot ronda Maritim Malaysia PETIR 12 telah diatur gerak ke lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan dua kru kapal tangki tersebut.

    “Seramai 23 kru lagi berjaya diselamatkan oleh dua buah kapal berhampiran lokasi kejadian manakala tiga lagi kru dilaporkan masih hilang dan identiti mereka sedang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nurul Hizam berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

  • Dua beradik lemas di Pantai Tanjung Buloh

    Dua beradik lemas di Pantai Tanjung Buloh

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGEMBIRAAN sebuah keluarga bercuti di Pantai Tanjung Buloh, Kota Tinggi berakhir tragedi apabila dua beradik didapati lemas.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Khairul Sufian Dahari berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Siti Nursalina Johari, 10 dan kakaknya, Siti Rabiah Johari, 13.

    Beliau memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar pukul 3.39 petang.

    “Sebaik menerima panggilan berkenaan, seramai sembilan anggota dari BBP Penawar dengan satu jentera LFRT dan Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Pihak bomba membantu mengangkat kedua-dua mangsa lemas sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dalam kejadian di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, hari ini

    “Setibanya di lokasi pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati empat mangsa daripada satu keluarga didapati lemas di lokasi.

    “Dua daripada mereka telah diselamatkan orang awam manakala dua lagi mangsa telah lemas dan dibawa naik ke darat sebelum PKO tiba ke lokasi.

    “Kedua-dua mangsa yang lemas itu kemudiannya disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

    Katanya, mangsa yang cedera pula Saleha Haron, 27, dan Mersidita Yunos, 46, yang merupakan ibu kepada kedua-dua mangsa.

    Beliau berkata, pihak bomba memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa yang cedera.

    Dua mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya.