Category: Semasa

  • Siti Bainun bersalah aniaya Bella, dihukum penjara 12 tahun

    Siti Bainun bersalah aniaya Bella, dihukum penjara 12 tahun

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella.

    Bagi pertuduhan mengabai, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua iaitu menganiaya, tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 tahun.

    Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara serentak dari tarikh sabitan.

    Beliau turut mengarahkan perintah bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan beserta cagaran RM5,000 kepada hukuman yang telah dijatuhkan.

    “Sebagai  tambahan OKT juga diarah menjalankan perintah khidmat masyarakat selama 200 jam agregat yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam selepas tamat hukum pemenjaraan,” katanya lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari hingga Jun 2021.

    Siti Bainun didakwa mengikut  Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Ibu tetak, rebus, makan kepala anak sendiri di Mesir

    Ibu tetak, rebus, makan kepala anak sendiri di Mesir

    SEORANG ibu di Mesir didakwa menetak kepala anaknya dengan parang sebelum merebus dan memakan sebahagian daripada kepala kanak-kanak itu.

    Cebis-cebisan Youseff yang berusia lima tahun dijumpai bapa saudaranya dalam sebuah baldi di kediaman mereka di Kampung Abu Shalabi. Penemuan ngeri tersebut menyebabkan Hanaa, 29 ditahan pihak polis.

    Menurut media tempatan, Hanaa mengaku kepada penyiasat bahawa dia memakan cebisan kepala anaknya kerana ingin ‘dia kekal bersamanya’,

    Dia kemudian didakwa memasukkan kepala Youseff dan bahagian badan yang lain dalam air mendidih dan memakannya.

    Selepas ditahan, Hanaa memberitahu pihak polis di Faqus dia tidak berniat untuk membunuh Youseff namun mempunyai masalah kesihatan mental.

    Bekas suami Hanaan berkata, diia tidak terkejut dengan apa dilakukan oleh Hanaa terhadap anaknya itu.

    “Sejak kebelakangan ini, dia cuba untuk menjauhkan Youseff dari saya dan menghasutnya untuk membenci saya. Saya hanya ingn tahu jika anak saya baik-baik sahaja,” kata bekas suami Hanaa yang hanya dikenali sebagai H.A.

    Menurut peguam H.A, Samir Mohamed Saleh, suspek menebalkan muka dan berkata dia mahu “membebaskan dia (Youseff) dan diri sendiri”.

    “Bapanya asyik datang untuk cuba rampas dia dari saya setiap masa,” kata Hanaa.

    Jabatan Dakwaraya Awam berkata dalam sebuag kenyataan bahawa suspek telah ditahan dan akan melalui penilaian psikiatrik.

  • Banyak kerosakan dilakukan orang cerdik DAP – Shahrir

    Banyak kerosakan dilakukan orang cerdik DAP – Shahrir

    DAP dan pemimpinnya yang cerdik tidak menyelamatkan Malaysia, kata bekas Ahli Parlimen  Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Samad.

    Sebaliknya kata beliau banyak kerosakan dilakukan oleh orang cerdik DAP dalam 22 bulan kepada negara, kehakiman, sistem kerajaan dan sistem ekonomi negara.

    ‘’Pendakwaan terpilih dan penganiayaan politik! Begitu mudah menyalahgunakan kuasa apabila DAP dan pemimpinnya berkuasa! Ni nak bercakap pula pasal pengampunan, patut atau tidak. DAP dan pemimpin-pemimpinnya yang cerdik tidak menyelamatkan Malaysia,’’ katanya dalam catatan di Facebook beliau.

    Beliau membalas kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Meng

    Shahrir turut mencela DAP kerana berdiam diri terhadap beberapa fakta yang menyebabkan Najib tidak mendapat keadilan sewajarnya.

    “Kecerdikan pun boleh terhindar oleh prejudis. Bila perbicaraan Lim Guan Eng dan geng dibatalkan oleh Tommy Thomas, tidak pula pemimpin DAP yang ‘cerdik’ menyatakan ianya suatu yang luar dari biasa.

    “Apabila berpuluh akaun milik entiti UMNO dan BN disita tapi akhirnya tindakan Kerajaan PH 1.0 itu sebenarnya di luar undang-undang, orang cerdik macam Ong Kian Meng tidak berbunyi sepatah pun.

    “Apabila perbicaraan Datuk Seri Najib jelas disusun bagaikan skrip sandiwara dari pemilihan hakim, pendakwa raya swasta dan hakim-hakim besar yang dilantik tidak patuh pada undang-undang negara serta penolakan bukti baru dan peguambela baru, kecerdikan itu disimpan dan tidak menyerlah sangat,” kata Shahrir.

    Media semalam melaporkan, Kian Ming itu memberi peringatan ada batasan yang tidak boleh dilanggar Kerajaan Perpaduan.

    Dia berkata, antaranya termasuk pembebasan bekas perdana menteri Najib sebelum hukuman penjaranya tamat.

    “Saya rasa untuk akar umbi dan mungkin juga pemimpin DAP, ‘red line’ itu adalah pembebasan Bossku,” katanya merujuk kepada nama gelaran Najib.

  • Hadi, pemimpin bertemu Mahathir tandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’

    Hadi, pemimpin bertemu Mahathir tandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri  Tun Dr.Mahathir Mohamad.

    Dalam pertemuan itu, mereka menyatakan sokongan kepada ‘Proklamasi Orang Melayu’ dan menandatangani proklamasi tersebut.

    Pembantu Dr.Mahathir, Abu Bakar Yahya melalui Facebook menyiarkan pertemuan berkenaaan.

    “Beberapa pimpinan tertinggi PAS yang diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan (Tun Dr) Mahathir Mohamad,” katanya.

    Laman Facebook ‘Proklamasi Orang Melayu’ turut memuat naik mengenai pertemuan itu dan menyiarkan rakaman video respons ringkas Abdul Hadi.

    Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan sokongan yang diberikan sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam.

    “Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia – tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.

    “Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” katanya.

    Turut hadir  Naib presiden Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Mengenai dakwaan proklamasi itu bersifat perkauman, Abdul Hadi menegaskan dakwaan itu tidak betul.

    “Saya rasa tak betul (perkauman), masa kita dah memerintah selepas merdeka dah berpuluh-puluh tahun tak pingirkan kaum lain. Kita terima hakikat yang ada itu, tetapi mesti menerima realiti Malaysia ini kaum asal dan majoriti orang Melayu, saya sokong,” katanya.

  • Siti Bainun didapati bersalah abai,aniaya Bella

    Siti Bainun didapati bersalah abai,aniaya Bella

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Hakim Izralizam Sanusi dalam keputusannya berkata, pembelaan tertuduh bukan sahaja tidak dapat dipercayai atau diterima, malah ia gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    “Oleh yang demikian, secara keseluruhan saya memutuskan pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dan dengan itu tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan pertama dan kedua mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika membacakan keputusan itu.

    Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac 2022 dan pihak pendakwaan menutup kes tersebut selepas memanggil 22 saksi.

    Saksi-saksi pendakwaan yang hadir ialah Bella sendiri selaku saksi pendakwaan (SP) ke-18; SP-5, bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; SP-17, pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; SP-1, pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan SP-15, pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

  • ‘’Pemimpin DAP  tidak puas hati jika kerajaan benarkan pengampunan Najib’ -Kian Ming

    ‘’Pemimpin DAP tidak puas hati jika kerajaan benarkan pengampunan Najib’ -Kian Ming

     

    SATU perkara yang mungkin tidak akan dikompromi oleh akar umbi DAP dalam kerajaan perpaduan adalah pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas sabitan rasuahnya.

    Bendahari DAP Selangor Ong Kian Ming berkata, akar umbi DAP masih boleh menerima lantikan politik dalam syarikat mahupun agensi kerajaan apabila ahli parti sendiri yang dilantik.

     “Bagaimanapun, kalau kerajaan perpaduan membenarkan pengampunan diberikan kepada ‘Bossku’ (Najib), saya rasa itu akan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin DAP.

    “Saya rasa ‘redline’ itu adalah kebebasan ‘Bossku’,” kata bekas Ahli Parlimen Bangi itu ketika menjadi tetamu “Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan” hari ini, lapor FMT.

    Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC.

    Minggu lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi menggesa semua pihak berhenti memberikan komen tidak sepatutnya berhubung isu pengampunan terhadap bekas perdana menteri itu.

    Dalam pada itu, menjawab mengenai kemungkinan DAP terus didominasi undian Cina selama-lamanya, Ong berkata tiada jaminan mengenai perkara itu kerana sukar untuk meramalkan politik tempatan.

    “Kalau sebelum PRU15 saya bagi tahu KJ (Khairy), Barisan Nasional (BN) akan memenangi hanya 30 kerusi dalam PRU nanti, adakah anda percaya?

    “Tiada siapa yang terfikir UMNO

     akan menang 26 kerusi dalam pilihan raya. Sama juga kepada Pakatan Harapan dan DAP,” katanya.

  • ‘Sabarlah dan rujuk kepada peguam’’ – kata Sanusi kepada Mahfuz

    ‘Sabarlah dan rujuk kepada peguam’’ – kata Sanusi kepada Mahfuz

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor meminta Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar

    merujuk kepada peguam untuk proses pembayaran kes saman fitnah dan bukannya meminta secara terus menerusi rakaman video dalam laman media sosial.

    Beliau menyifatkan tindaka Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu seperti mencari publisiti murahan berikutan sejak awal kes diuruskan oleh kedua-dua peguam yang dilantik.

    Katanya, semua urusan berkaitan termasuk pembayaran terhadap tuntutan Mahfuz sebanyak RM120,000 akan diuruskan oleh peguam.

    “Semua urusan berkenaan dengan saman, afidavit atau pembelaan semua peguam uruskan, bukan saya berurusan secara terus dengan dia.

    Daripada awal lagi proses ini diurus di antara peguam saya dan peguam Mahfuz, daripada bicara kes sampai selesai. Jadi tak betullah kalau tentang bayaran Mahfuz cuba bertindak sendiri,” katanya di sini, hari ini.

    Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah turut menasihatkan Mahfuz agar bersabar kerana proses membabitkan guaman biasanya mengambil masa.

    “Nasihat saya sabarlah dan rujuk kepada peguam. Saya akan minta peguam saya uruskan pembayaran dan ia akan diuruskan antara peguam saya dengan peguam Mahfuz, bukan Sanusi dan Mahfuz,” katanya.

    Muhammad Sanusi berkata, tindakan Mahfuz meminta bayaran RM120,000 menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Twitter itu juga disifatkan sebagai cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap beliau.

    “Saya rasa cara berpolitik seperti itu macam tahun 60-an, tak sesuailah zaman sekarang orang cerdik menilai,” katanya.

    Pada 23 April, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Muhammad Sanusi agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya susulan Muhammad Sanusi belum melunaskan tuntutan berkenaan walaupun tempoh pembayaran ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.

    Rentetan itu, Mahfuz tidak menolak kemungkinan menaikkan tuntutan daripada RM120,000 kepada RM240,000 sekiranya tiada sebarang tindakan susulan dibuat oleh Muhammad Sanusi.

    Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

  • Naik gaji pekerja lebih progresif tambah simpanan hari tua – CEO KWSP

    Naik gaji pekerja lebih progresif tambah simpanan hari tua – CEO KWSP

    KETUA  Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, percaya meningkatkan gaji pekerja adalah lebih progresif untuk menambah simpanan hari tua, berbanding menaikkan kadar caruman semata-mata.

    Katanya, negara perlu berganjak kepada model gaji kehidupan wajar dalam tempoh terdekat untuk rakyat menjalani kehidupan yang berkualiti.

    “Gaji itu bukan sahaja naik sendiri. Mungkin kita perlu ada inovasi yang menolong mengurangkan beban majikan. Kemungkinan majikan melabur dalam menggunakan automasi, kerana automasi itu ada, pekerjaan itu akan berganjak kepada pekerjaan yang lebih bernilai tinggi,” katanya lapor Buletin TV3.

    Beliau berkata, automasi dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan menyalurkan lebihan tersebut kepada pekerja tempatan.

    Amir Hamzah memberitahu, kajian KWSP mendedahkan, kumpulan bujang yang menetap di bandar dan menggunakan pengangkutan awam memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk mencapai gaji kehidupan wajar.

    ‘’Dengan kadar gaji yang lebih baik mengikut lokaliti, penstrukturan semula gaji ini boleh memupuk orang ramai untuk membentuk tabungan yang sihat serta mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.. Namun, statistik menunjukkan hanya 30% pencarum mempunyai simpanan asas KWSP sebanyak RM240,000 untuk bersara,’’ katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, KWSP menggalakkan majikan untuk mencarum lebih daripada kadar statutori 12% hingga 13% secara sukarela.

    Caruman yang lebih besar juga dapat menarik pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat masing-masing. Kami menggalakkan majikan mencarum lebih daripada kadar statutori. Buat masa sekarang adalah secara sukarela, kami mendorong mereka dahulu. Namun, perkara asas yang kita kendak menangani ialah mempercepatkan perlaksanaan gaji kehidupan wajar,” katanya.

    KWSP juga menggalakkan orang ramai menambah caruman pada bila-bila masa mengikut kemampuan mereka.

    Tahun lalu, kerajaan bersetuju menaikkan had caruman sukarela KWSP kepada RM100,000 setahun berbanding RM60,000 sebelum ini.

  • Mahkamah arah Kedutaan AS bayar bekas pengawal keselamatan RM66,000

    Mahkamah arah Kedutaan AS bayar bekas pengawal keselamatan RM66,000

    MAHKAMAH Perusahaan memerintahkan Kedutaaan Amerika Syarikat membayar sebanyak RM66,000 kepada seorang pengawal keselamatan susulan pemecatannya secara tidak sah 15 tahun lalu.

    Dalam keputusan yang disampaikan pada 27 April lalu, Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Amrik Singh berkata, Kedutaan AS gagal memberikan bukti salah laku terhadap L. Subramaniam.

    Menurut keputusan bertulis itu, Amrik berkata, pasukan peguam Kedutaan AS mengemukakan sebahagian besar hujah mereka di mahkamah Perindustrian Malaysia yang tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu, berbanding memberikan bukti berhubung dakwaan salah laku Subramaniam yang dikaitkan dengan cuti tanpa kebenaran.

    Amrik bagaimanapun menegaskan, isu Kedutaan AS menikmati imuniti mutlak tidak terpakai kerana kontrak pekerjaan Subramaniam dari 20 September 1998 sehingga pemberhentiannya yang menyalahi undang-undang pada 4 April 2008, tidak melibatkan pengendalian maklumat sulit yang mempunyai kesan ke atas kedaulatan AS.

    Pengerusi Mahkamah Perusahaan itu berkata, walaupun Subramanian telah bekerja selama hampir 10 tahun, dia dikekalkan jawatan yang sama dan tidak pernah dinaikkan pangkat yang melibatkan penyimpanan maklumat sulit.

    “Kontrak pekerjaan itu sendiri tidak memberikan petunjuk jelas mengenai undang-undang yang terpakai kepada pihak yang menuntut (Subramaniam) dan Kedutaan AS sekiranya terdapat pertikaian antara mereka. Terdapat pengabaian sepenuhnya terhadap hak rayuan pihak yang menuntut apabila dia telah menulis untuk memohon penjelasan mengenai pemecatannya.

    “Pemohon tidak boleh dibiarkan untuk memikirkan sistem undang-undang mana yang terpakai untuk dia mendapatkan ganti rugi bagi pemecatannya apabila tiada sebarang maklum balas dikemukakan oleh Kedutaan AS pada masa pemecatannya.

    “Perkara tambahan di sini sudah tentu, penuntut sebagai warganegara Malaysia menikmati hak di bawah undang-undang negara asalnya. Dalam kes ini, tiada bukti dokumentari dikemukakan untuk membuktikan bahawa tiada tuntutan atau prosiding boleh dibawa ke Mahkamah Malaysia kerana imuniti kedaulatan Kedutaan AS yang seterusnya memerlukan pihak menuntut menganggap kontrak pekerjaan itu sebagai bersifat komersial,” Amrik berkata, lapor Malaysiakini.

    Pengerusi Mahkamah Perusahaan menyatakan bahawa Kedutaan AS telah menjelaskan sejak awal lagi bahawa ia tidak akan mengambil bahagian dalam mendengar merit kes Subramaniam, menyebabkan Kedutaan AS tidak memberikan sebarang bukti mengenai dakwaan salah laku pihak yang menuntut yang menjadi asas di sebalik pemecatan itu.

    Amrik menegaskan bahawa, butiran dakwaan salah laku Subramaniam tidak didedahkan kepadanya supaya dia boleh menjawab atau memberikan sebarang penjelasan sebelum penamatan itu.

    “Selain itu, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa Kedutaan AS telah menamatkan perkhidmatan pihak yang menuntut tanpa mengeluarkan surat tunjuk sebab dan tanpa mengadakan siasatan domestik di mana dia akan diberi peluang untuk menjawab pertuduhan yang dibuat terhadapnya. Juga tiada sebarang alasan diberikan kepada pihak yang menuntut secara bertulis atau lisan.

    “Tiada bukti dikemukakan pada rekod bagi pihak Kedutaan AS untuk menyangkal dakwaan pemecatan yang tidak adil oleh pihak yang menuntut. Tanpa sebarang bukti sanggahan daripada Kedutaan AS, adalah memadai bagi mahkamah untuk memutuskan bahawa pemecatan pihak menuntut adalah tanpa sebab atau alasan yang adil,” kata Amrik.

    Mengenai pengiraan jumlah bayaran sebanyak RM66,000 itu Mahkamah Perusahaan megambil kira gaji tertunggak Subramaniam sebanyak RM2,000 yang didarab sebanyak 24 bulan, serta ganti rugi gantian pemulihan ke jawatan asal(satu bulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan) sebanyak RM2,000 didarab sembilan bulan.

    Amrik turut mengarahkan Kedutaan AS membayar RM66,000 itu kepada Subramaniam dalam tempoh 30 hari dari tarikh penganugerahan iaitu 27 April.

  • Sesi keterangan gagal, peguam Ustaz Wadi Anuar tak dibenar masuk

    Sesi keterangan gagal, peguam Ustaz Wadi Anuar tak dibenar masuk

    USTAZ  Wadi Annuar mendakwa sesi beliau memberi keterangan di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) hari ini gagal selepas penceramah bebas itu tidak dibenarkan hadir bersama peguamnya.

    Beliau hadir  di Pejabat JAIPs bagi memberi keterangan berhubung penyertaannya pada program Solat Tarawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, pada 28 Mac lalu yang dikatakan dilaksanakan tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

    Berita Harian melaporkan, Ustaz Wadi yang ditemani dua peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh tiba sekitar jam 10 pagi sebelum dibenarkan memasuki pejabat JAIPs sekitar jam 10.30 namun sepanjang tempoh satu jam mereka berada di premis berkenaan, pelbagai kerenah birokrasi didakwa cuba ditimbulkan pegawai JAIPs menyebabkan mereka meninggalkan JAIPs.

    Mohd Jamil yang mewakili Ustaz Wadi berkata, anak guamnya sudah pun memenuhi arahan untuk tampil ke Pejabat JAIPs hari ini seperti yang dijanjikan namun pelbagai hak termasuk mendapatkan peguam untuk ketika sesi temubual dinafikan JAIPs.

    “Kami diberitahu ia adalah sesi temubual antara JAIPs dan anak guam saya, Ustaz Wadi dan mereka tidak membenarkan mana-mana pihak selain Ustaz Wadi untuk hadir bersama dalam sesi itu. Namun, semasa kami berada di situ, mereka (JAIPs) menyatakan pula sesi itu adalah sebagai sesi siasatan jadi kami tidak pasti sesi ini sebenarnya yang mana satu sama ada sesi siasatan, temubual, perjumpaan mesra atau sembang santai kerana kami tidak pasti.

    “Apabila kami bertanyakan bahawa sesi yang dijalankan itu termaktub dalam Enakmen apa, pegawai JAIPs itu juga gagal memberitahu enakmen apa malahan kami pula ditanya mengapa kami hendak tahu mengenai itu (Enakmen) …ini tidak munasabah,” katanya hari ini.

    Pada mulanya, mereka dibenarkan masuk namun Ustaz Wadi hanya boleh bawa seorang peguam sahaja untuk menemaninya.

    “Ini juga adalah sesuatu perkara yang tidak munasabah kerana anak guam saya mahukan dua peguam yang dilantik mengiringinya jadi kami tidak nampak sebab mengapa kehadiran kami sebagai peguam perlu dihalang oleh JAIPs,’’ katanya.

    Terdahulu, sekitar 80 hingga 90 orang penyokong Ustaz Wadi hadir di Pejabat JAIPs dan Kompleks Pendidikan MATIN sebagai solidariti dan sokongan terhadap pendakwah muda itu.

    Sementara itu, Pengarah JAIPs, Ustaz Najmuddin Abdul Karim berkata tiada keperluan untuk peguam Ustaz Wadi Annuar berada bersama dalam sesi memberi keterangan penceramah berkenaan.

    Sesi temubual berkenaan yang sepatutnya berlangsung bermula jam 10.30 pagi hari ini bagaimanapun gagal dijalankan kerana Ustaz Wadi Annuar dan peguamnya didakwa ‘menghilang diri’ selepas tiba di pejabat JAIPs sebelum itu.

    “Kita (JAIPs) tidak dapat ambil keterangannya kerana dia ‘menghilang diri’ dan dipercayai sudah pulang ke Kompleks Pendidikan MATIN di Kangar. Memang kita hendak ambil keterangan Wadi tetapi kita hanya mahukan Wadi sahaja yang berada di premis kita dan tiada keperluan untuk peguamnya hadir sekali kerana ini bukannya perbicaraan mahkamah,” katanya ketika dihubungi akhbar itu

    Katanya, kehadiran peguam pendakwah berkenaan ke dalam premis JAIPs juga diberikan atas budi bicara pegawai penyiasat JAIPs.

    “…Kita di sini bukan nak soal siasat sangat dia tetapi lebih kepada hendak merekodkan keterangan dia berhubung kejadian tempoh hari dan mengapa perlu ada peguam bersama,” katanya.