Category: Semasa

  • Remy terkejut, sedih kematian juruterbang pesawat terhempas

    Remy terkejut, sedih kematian juruterbang pesawat terhempas

    PELAKON  Remy Ishak berkongsi kesedihan pemergian Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, 42, iaitu juruterbang pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie di Seksyen U16, Shah Alam, petang semalam.

    Melalui entri Instagram (IG) yang dimuat naik, malam tadi, Remy yang mengenali Allahyarham Shahrul Kamal, memberitahu mereka baru sahaja bertemu di sebuah restoran di Shah Alam, Selasa lalu.

    Remy turut berkongsi beberapa foto pertemuannya dengan Allahyarham Shahrul Kamal yang sempat diabadikan.

    “Inna lillahiwa inna ilaihi rajiun. Takziah buat Shefa (isteri Allahyarham Shahrul Kamal) dan keluarga atas pemergian Kapten Shahrul Kamal dalam nahas pesawat di Elmina, semalam. Baru dua hari lepas jumpa Kak Iza, arwah dan isterinya Shefa di Mozers Shah Alam,” tulis Remy lapor Berita Harian.

    Beliau  turut meluahkan rasa terkejut atas perkhabaran duka pemergian arwah Shahrul Kamal.

    Remy atau nama sebenar, Mohammad Zalimei Ishak, 41, mendoakan semoga roh Allahyarham Shahrul Kamal ditempatkan di sisi insan beriman.

    “Hari ini (semalam) buka WhatsApp dapat berita menyedihkan ini. Saya sangat dukacita dengan berita ini, Shefa. Moga Allah tempatkan Shahrul bersama orang-orang beriman. Amin ya rabb!” kata Remy.

    Allahyarham Shahrul Kamal adalah antara 10 individu maut dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang, semalam.

    Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang sebelum terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16, di Shah Alam.

  • Anwar utama ‘misi cari musuh politik’ berbanding tumpu isu rakyat – Muhyiddin

    Anwar utama ‘misi cari musuh politik’ berbanding tumpu isu rakyat – Muhyiddin

    PENGERUSI  Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat lebih memberi keutamaan dalam “misi mencari musuh politik” berbanding menumpukan isu rakyat.

    Kata beliau, sepatutnya daripada awal lagi sebagai seorang Perdana Menteri, perhatian utama yang harus diberikan adalah kebajikan rakyat,soal pembelaan nasib serta meringankan beban rakyat seperti kos sara hidup dan sebagainya.

    “Tetapi rupanya bukan itu yang menjadi keutamaan. Keutamaannya ialah mengenal pasti siapa musuh politiknya. Walaupun kita tak pernah bermusuh, dia (Anwar) mengambil ssikap mencari siapa musuh.

    “Kalau dia kata yang musuh itu saya, mencari jalan bagaimana caranya untuk ‘membunuh’ musuh ataupun parti-parti yang berkaitan dengan musuh,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), malam tadi.

    Muhyiddin berucap demikian bagi menjawab kenyataan Anwar yang mahukan bekas Perdana Menteri itu  memberi tumpuan kepada kes mahkamah dihadapinya daripada mendesak Anwar meletak jawatan.

    Dalam ucapan itu juga Muhyiddin berkata Jabatan Peguam Negara tidak sepatutnya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.

    “Saya yakin betul apa yang diputus Hakim dalam perbicaraan kes saya bahawa sebenarnya tiada suatu asas yang kukuh untuk mereka merayu,” katanya.

  • Mayat mangsa selesai dibawa keluar,perakam suara kokpit ditemui

    Mayat mangsa selesai dibawa keluar,perakam suara kokpit ditemui

    SEMUA mayat mangsa nahas pesawat persendirian terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran Bandar Elmina telah dibawa keluar dari lokasi kejadian, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

    Beliau  berkata proses membawa keluar mayat termasuk anggota badan dan cebisan tubuh mangsa selesai kira-kira 10.30 malam tadi, dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan pengecaman.

    “Polis dengan bantuan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan agensi terlibat membawa keluar 10 mayat dan lima bungkusan cebisan anggota badan. Semua mayat akan dibawa ke HTAR untuk proses bedah siasat termasuk pengecaman,” katanya, lapor FMT.

    Beliau turut memaklumkan pasukan penyiasat sudah menemukan perakam suara kokpit pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu.

    ‘’Perakam suara itu, salah satu komponen kotak hitam, ditemukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara dan telah dibawa ke makmal untuk dianalisis,’’ katanya.

    Apabila ditanya berapa lama masa diperlukan untuk melengkapkan analisis tersebut, Hussein berkata: “Itu saya tak boleh jawab. Itu bergantung kepada Bahagian Siasatan Kemalangan Udara.’’

    Sementara itu, berhubung kemungkinan pesawat itu mengalami kerosakan enjin, beliau berkata, perkara itu sedang disiasat pihak berkaitan.

    Kata Hussein lagi, ketika ini pasukan penyiasat sedang mengesan perakam data penerbangan pesawat tersebut.

    Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, 10 terkorban selepas pesawat jenis Beechcraft Model 390 terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

    Antara yang terkorban seorang penunggang motosikal dan pemandu sebuah kereta yang maut terkena serpihan pesawat.

    Pesawat milik Jet Valet Sdn itu berlepas dari Langkawi dan dilaporkan telah diberi kebenaran oleh menara kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

    Bagaimanapun, pesawat yang membawa enam penumpang dan dua juruterbang dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.

  • Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga mangsa pesawat terhempas di Elmina

    Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga mangsa pesawat terhempas di Elmina

    BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi pesawat terhempas di bandar Elmina, Shah Alam hari ini.

    Melalui Facebook beliau, Muhyiddin berkata, beliau berasa amat sedih mendengar berita itu dan berharap keluarga mangsa tabah serta  sabar dalam menghadapi ujian yang perit tersebut.

    ‘’Semoga urusan pasukan penyelamat dan mangsa yang terlibat dipermudah. Marilah kita berdoa agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,’’ katanya.

    Dalam kejadian tersebut 10 orang disahkan terbunuh apabila pesawat tersebut yang berlepas dari Langkawi terhempas di bandar Elmina ketika mahu menuju Lapangan Terbangan Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

    Dalam tragedi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu.

    Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.

  • Allahyarham Khairil Azwan anak peneroka bukan anak Jamaluddin Jarjis’’ – adik

    Allahyarham Khairil Azwan anak peneroka bukan anak Jamaluddin Jarjis’’ – adik

    ALLAHYARHAM  Khairil Azwan Jamaludin, 43, adalah anak peneroka Felda bukannya anak Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

    Perkara itu dijelaskan oleh adik Allahyarham Khairul Azman selepas selepas digembar gembur di laman media sosial anak bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat antara 10 mangsa yang yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuh Raya Guthrie dekat perumahan Elmina, Shah Alam, Selangor, petang Khamis.

    Khairil Azwan (bertopi) bersama penumpang lain dalam pesawat yang terhempas di Elmina Shah Alam.

    Sinar Harian melaporkan,  Khairul Azman berkata, abangnya adalah anak kedua daripada lapan beradik dan menetap di Seremban serta berkhidmat sebagai juruterbang bagi Exco Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sejak beberapa tahun lalu.

    “Arwah lebih dikenali dengan Angah Heli kerana dia sendiri seorang juruterbang helikopter.

    “Selama ini, arwah abang membawa sendiri helikopter dan memang terkejut apabila dimaklumkan isterinya, dia pergi ke Langkawi menaiki pesawat pada hari ini,” kata Khairul Azman.

    Katanya   kali terakhir abangnya pulang ke rumah di Bentong pada minggu lepas dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

    “Angah seorang peramah, mesra serta aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan politik serta sempat berbual ketika kali terakhir jumpa baru-baru ini,” ujar Khairil.

    Tambah dia, mereka sekeluarga hanya mengetahui tragedi itu kira-kira jam 4.30 petang selepas ditanya rakan-rakan dan hanya disahkan selepas melihat siaran televisyen mengesahkan nama abangnya dalam pesawat tersebut.

    “Abang dan adik-adik sedang dalam perjalanan pergi ke hospital cuma kedua ibu bapa tidak dapat ke sana kerana kurang sihat.

    “Kami reda dengan kehilangan ini walaupun sedih dan anggap ini satu ujian buat keluarga,” tambah anak ketiga itu lagi.

  • Enam mayat pesawat terhempas dibawa keluar setakat pukul 10.30 malam

    Enam mayat pesawat terhempas dibawa keluar setakat pukul 10.30 malam

    KETUA Polis Negara Razarudin Husain berkata sekurang-kurangnya enam mayat nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.

    Beliau berkata mayat terbabit ditemui dalam pencarian meliputi keluasan lebih satu ekar setakat ini.

    “Mayat ada enam yang dijumpai satu dalam keadaan sempurna, manakala lima lagi merupakan cebisan mayat,” katanya selepas meninjau operasi di lokasi, lapor FMT.

    Terdahulu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan 10 terkorban dalam nahas 2.45 petang itu.

    Mereka yang terkorban adalah juruterbang dan pembantunya, enam penumpang termasuk exco Pahang Johari Harun serta dua pengguna jalan raya yang dirempuh pesawat berkenaan ketika terhempas.

    Pesawat milik Jet Valet Sdn itu berlepas dari Langkawi dan dilaporkan telah diberi kebenaran oleh menara kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

    Bagaimanapun, pesawat jenis Beechcraft Model 390 dengan nombor pendaftaran N28JV itu dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.

    Sementara itu, Razarudin berkata identiti mangsa pembonceng motosikal dan pemandu kereta terbabit telah dikenal pasti manakala waris mereka juga sudah dimaklumkan.

    “Apabila kita dah jumpa, kita semak badannya, jam dan sebagainya, selepas itu baru kita bawa (ke hospital),” katanya memaklumkan semua mayat akan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses pengecaman.

    Menurutnya, operasi membabitkan 240 anggota antaranya polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

  • Saya bukan mangsa nahas pesawat di Elmina – kata Ikwan Hafiz Jamaluddin

    Saya bukan mangsa nahas pesawat di Elmina – kata Ikwan Hafiz Jamaluddin

    ANAK lelaki Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ikwan Hafiz menafikan beliau merupakan antara 10 mangsa yang terkorban, dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, petang tadi.

    Ikwan, 36 dalam kenyataan ringkas kepada Bernama berkata laporan yang disiarkan dalam media utama menyatakan, namanya antara yang tersenarai menaiki pesawat ringan berkenaan adalah tidak benar dan palsu.

    “Saya kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh segelintir pengamal media yang tidak bertanggungjawab dan menyiarkan berita secara melulu, tanpa sebarang semakan sehingga menimbulkan spekulasi yang mengganggu ketenteraman keluarga.

    “Sehubungan itu saya meminta agar masyarakat umum menghentikan penyebaran berita palsu berkenaan. Pada masa yang sama, saya mewakili pihak keluarga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.

    Terdahulu, polis mengesahkan orang kenamaan merupakan antara 10 lelaki maut dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, dekat sini petang tadi.

    Antara yang terkorban ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun.

    Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan memaklumkan Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas pada 2.51 petang.

    Pesawat berkenaan sebelum itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan membawa lapan orang termasuk dua kru penerbangan.

    — BERNAMA

  • Allahyarham Johari tokoh korporat berjaya, dilantik Exco Pahang

    Allahyarham Johari tokoh korporat berjaya, dilantik Exco Pahang

    PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan antara 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam Selangor hari ini, merupakan tokoh korporat berjaya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas. 

    Ketokohan dan pengalaman luas dimilikinya membolehkan beliau dipilih menjadi sebahagian daripada 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pahang, walaupun kali pertama bertanding mewakili Barisan Nasional pada pilihan raya itu.  

    Pada PRU15, Johari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).  

    Anak jati Pahang yang dilahirkan pada 20 Jan 1970 itu merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Sungai Besi dan siswazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Gading Group Berhad. 

    Penglibatan beliau dalam bidang politik bermula secara rasmi apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong pada tahun 2008 hingga 2013 sebelum menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 2018.

    Beliau kemudiannya menerajui kepimpinan UMNO Bentong selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan Mac lepas, mengambil alih tampuk kepimpinan itu daripada Tan Sri Adnan Yaakob yang memilih untuk bersara daripada politik.

    Pada masa itu Johari menyatakan hasrat mahu mengunakan segala kudrat, idea dan pengalaman untuk memperkukuhkan parti dengan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memandangkan parti sedang berdepan situasi politik yang semakin mencabar. 

    Johari juga dilihat sebagai pelapis untuk menerajui kepimpinan UMNO Pahang, berdasarkan penglibatannya yang aktif di lapangan selain mempunyai keperibadiannya melaksanakan tugas dengan baik.

    Selain politik, beliau juga aktif dalam bidang lain termasuk pendidikan kerana pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amanah Tuanku Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Ahli Lembaga Penasihat Industri Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selain berperanan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Bentong.

    Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengesahkan berita kematian Johari akibat nahas berkenaan.

    Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dengan lapan daripadanya adalah penumpang dan kru pesawat dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina.

    Dua daripada mangsa adalah orang awam yang masing-masing menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat berkenaan terhempas. 

    Pesawat malang itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang.

  • Pesawat dikenalpasti melencong daripada laluan asal pendaratan – Anthony

    Pesawat dikenalpasti melencong daripada laluan asal pendaratan – Anthony

    PESAWAT Beechcraft Model 390 (Prime 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam yang mengorbankan 10 nyawa dikenal pasti melencong daripada laluan asal pendaratan.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, maklumat tersebut adalah berdasarkan pemerhatian awal setakat ini.

    “Berdasarkan pengamatan awal, pesawat berkenaan didapati melencong ke sebelah kanan daripada laluan pendaratan. Pesawat telah menerima kebenaran untuk mendarat namun tiga minit selepas itu menara kawalan (Lapangan Terbang Subang), melihat kepulan asap dari lokasi nahas,” katanya pada sidang media, di Subang hari ini.

    Beliau berkata,  pesawat tersebut telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    “Hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada jam 2.47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada jam 2.48 petang.

    “Pada jam 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas namun, tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut,’’ katanya.

    Anthony turut mengesahkan Exco Kerajaan Negeri Pahang Datuk Johari Harun terbunuh dalam kejadian itu bersama tujuh orang lagi dalam pesawat tersebut.

    ‘’Mereka ialah  dua juruterbang; Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim. Manakala lima  penumpang selain Allahyarham Johari ialah  Kharil Azwan Jamaludin; Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib@Ramali,” katanya.

    Beliau berkata, identiti dua lagi mangsa  iaitu penunggang motosikal dan pemandu sebuah kereta yang terkorban dalam nahas itu masih lagi belum dikenal pasti.

    Katanya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sedang giat mencari kotak hitam pesawat tersebut di lokasi kejadian.

    Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.

    “Saya berharap ketika ini semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada semua pihak berkuasa untuk menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka dengan teratur,” katanya.

  • Salah seorang mangsa bukan anak Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis

    Salah seorang mangsa bukan anak Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis

    MANGSA  kejadian pesawat ringan persendirian yang terhempas di Elmina, dekat sini difahamkan bukan anak bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

    Memetik Sinar Harian difahamkan, nama seorang mangsa kejadian ialah Khairil Azwan Jamaludin, namun dia bukan anak kepada Allahyarham Jamaluddin.

    Sumber menyatakan, Allahyarham hanya mempunyai dua orang anak sahaja dan nama yang tular itu bukan anak beliau.

    Katanya, dia memeriksa nama Khairil yang tular itu bukan seperti yang digembar gembur di laman media sosial.

    Malah pihak polis juga tidak dapat mengesahkan sama ada anak Allahyarham Jamaluddin terlibat dalam kejadian malang tersebut.

    Sementara itu kejadian pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) terhempas itu sempat dirakam kamera dashcam beberapa kenderaan ketika kejadian.

    Berdasarkan paparan pada video berkenaan, kejadian itu dirakam pada jam 2.42 petang, yang menunjukkan api marak dalam keadaan yang sangat besar ketika pesawat itu terhempas.

    Video berkenaan menunjukkan situasi semasa dari bahagian belakang sebuah kenderaan dan satu lagi video dari bahagian depan kenderaan