JEMAAH menteri dan ahli Parlimen yang terlibat dengan kes rasuah dan salah guna kuasa perlu digantung tugas di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, ini kerana peraturan tersebut hanya terpakai kepada pegawai kerajaan.
Jelasnya, mereka yang sedang disiasat atau didakwa di mahkamah boleh digantung kerja sekiranya terlibat dengan kes tatatertib.
“Sepatutnya peraturan yang sama terpakai buat menteri, tetapi jika dilihat senario pada hari ini seakan tidak terjadi kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik individu terlibat kes rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya lapor Sinar Harian.
Pada 13 April lalu, Ketua Pesuruhjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan setiausaha sulit dan pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar Sivakumar ditahan.
Pegawai tugas-tugas khas beliau ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.
Wan Azliana berkata, tindakan menggantung beberapa pegawai tersebut merupakan langkah yang tepat kerana bersesuaian dengan peraturan tersebut.
Menurut beliau, sekiranya perbuatan itu didapati benar maka ia tidak boleh dipandang mudah memandangkan segala urusan yang melibatkan kerajaan tidak boleh mengambil sebarang ‘upah’ atau habuan.
“Isu membanteras rasuah tidak seharusnya dijadikan retorik tetapi apabila melihat ada jemaah menteri dalam kalangan kluster mahkamah keadaan akan bertambah parah lebih-lebih lagi ia melibatkan integriti negara,” katanya.
POLIS menyelamatkan seorang wanita warga asing yang disyaki menjadi mangsa penderaan pasangan suami isteri di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur minggu lalu.
Mangsa berusia 39 tahun itu diselamatkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, selepas menerima maklumat daripada jiran suspek.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata jiran mangsa memaklumkan kepada polis pada 23 April lalu, selepas mendakwa pasangan berkenaan mendera pembantu rumah mereka.
“Siasatan polis mendapati mangsa mengalami kecederaan serius melecur hampir seluruh badan dan lebam pada kedua-dua belah mata dan muka.
Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan dan ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya lapor Berita Harian.
Katanya, mangsa menjadi pembantu rumah pasangan itu selama hampir setahun setengah dan mendakwa kerap dipukul, ditampar serta pernah dicederakan di tangan dengan seterika.
Amihizam berkata, polis turut merampas barang kes yang dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan mangsa untuk membantu siasatan.
“Suspek akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
NAIB Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menafikan DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang ketika ini membentuk kerajaan Madani.
Beliau berkata, pendirian bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berhubung perbezaan pandangan antara UMNO dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak mewakili DAP.
Ini kerana kata Pengerusi PH Kedah itu, Kian Ming kini bukan lagi pemimpin DAP.
“Jadi dakwaan bahawa DAP adalah abang besar dalam PH-BN tidak benar. Isu berkenaan sudah pun dinafikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Amanah Kedah, hari ini.
Tambah beliau, tidak berlaku juga kecelaruan antara kedua-dua gabungan tersebut seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Malah, Mahfuz turut menyifatkan isu berkenaan sudah selesai setelah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub sendiri membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pemimpin UMNO.
“Saya cuma ingin menyatakan bahawa saling memohon kemaafan dan memaafkan satu sama lain adalah satu tindakan yang mulia. Walaupun kita tidak melakukan sebarang kesalahan. Jadi, apabila Timbalan Presiden Amanah memohon maaf kepada (Presiden UMNO), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, saya anggap perkara ini selesai, “ katanya.
Semalam, Muhammad Sanusi menyifatkan DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam PH dan BN apabila pemimpinnya tidak diasak untuk memohon ampun kepada UMNO ekoran pandangannya dalam isu pengampunan Najib.
Perkara itu berbeza dengan Amanah yang terus memohon maaf kepada UMNO setelah Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad tidak bersetuju dengan isu pengampunan diraja terhadap Najib yang dipohon UMNO.
Dalam perkembangan lain, Mahfuz meminta Muhammad Sanusi segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan difailkan ke atasnya ekoran tempoh 14 hari untuk berbuat demikian sudah berakhir.
LIMA pegawai Menteri Sumber Manusia V Sivakumar ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta.
Memetik sumber di Jabatan Perdana Meter, Malaysiakini melaporkan tindakan itu sebahagian usaha kerajaan membersihkan kementerian tersebut yang baru-baru ini dicemari dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai pejabat menteri.
“Sebanyak lima pegawai ditamatkan kontrak. Manakala, satu lagi ditukar ke JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Ini termasuk dua pegawai yang baru-baru ini ditahan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Setahu saya, dua pegawai telah pun menerima surat pemberitahuan penamatan kontrak dan ditukar jabatan. Yang lain, saya tak beberapa pasti (dah terima surat atau belum),” katanya.
Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, bukan semua pegawai yang ditamatkan kontrak berkaitan siasatan SPRM.
“Ada yang ditamatkan kontrak kerana terkait siasatan SPRM. Sementara ada juga kerana prestasi kerja,” katanya.
SPRM sebelum ini menyerbu pejabat kementerian itu di Putrajaya dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.
SPRM turut menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.
Difahamkan siasatan SPRM turut tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.
Susulan itu, Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.
Namun, selepas tamat reman, tempoh penggantungan seorang pegawai dikekalkan. Sementara dua lagi mengambil cuti sehingga tamat siasatan tersebut.
PELAKON Ridzuan Hashim, meninggal dunia di kediamannya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.
Ridzuan, 62, yang terkenal dengan watak “King” dalam filem KL Gangster dikatakan meninggal dunia secara mengejut ketika bersarapan di rumahnya.
“Arwah meninggal sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari tadi di rumahnya di Bandar Tun Razak. Ketika itu, anaknya ada di rumah dan dia sedang bersarapan.
“Dia ‘keras’ dan jatuh dari kerusi, seterusnya anaknya bergegas membawanya ke hospital. Bila diperiksa, pihak hospital sahkan dia dah tak ada (meninggal dunia),” kata anak saudaranya yang juga pelakon, Iman Zulkarnain, lapor Harian Metro.
Iman memaklumkan jenazah Ridzuan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat.
Sementara itu, bekas isterinya yang juga pelakon, Didie Alias berkongsi berita duka tersebut menerusi video di Instagramnya.
“Saya nak beritahu kepada semua sahabat dan saudara mara yang mengenali bekas suami saya, Mohd Ridzuan Hashim, dia sudah kembali ke Rahmatullah tadi.
“Kepada sesiapa yang ingin melawat, arwah masih di Hospital Kuala Lumpur. Saya mohon kepada sesiapa yang ada hutang kepada arwah, boleh terus hubungi saya. Ampun dan maafkannya,” katanya.
Ridzuan memulakan kerjaya seninya sebagai model pada 1981 sebelum terjun ke bidang lakonan.
AS bersama gandingan Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu yang bakal diadakan pada Jun atau Julai ini.
Manakala Barisan Nasional (BN) bersama ‘pasangan’ baharunya, Pakatan Harapan (PH) pula mengharapkan masih ada peluang untuk menawan negeri itu daripada Pas.
Dalam beberapa siri pilihan raya lalu, hanya Pas dan UMNO sahaja menjadi pilihan para pengundi di Terengganu, manakala kehadiran parti lain hanyalah dilihat sebagai ‘pelengkap’ atau untuk mencuba nasib sahaja.
Memandangkan BN kini masih dalam keadaan terumbang ambing selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diikuti gagal mempertahankan kesemua lapan kerusi Parlimen dalam PRU-15 pada 19 November tahun lalu, maka parti berkenaan terus berusaha untuk mecari kekuatan baharu.
Namun, impian tersebut dikatakan agak sukar apabila pasangan baharu yang dipilih adalah Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggota DAP dan parti Amanah Negara (Amanah), yang selama ini ditolak ‘mentah-mentah’ oleh orang Melayu Terengganu.
Sebelum ini, para pengundi di negeri ini khususnya ahli dan penyokong Pas sudah mengenali siapakah sebenarnya DAP dan Amanah. Ini kerana kedua-dua parti tersebut sebelum ini pernah berada di bawah satu bumbung dalam Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas.
Maka itu, sudah tentulah, sikap, hala tuju, matlamat ‘hati budi’ serta kerenah para pemimpin parti berkenaan telah dinilai ‘semasak’nya oleh pemimpin dan ahli-ahli Pas.
Berdasarkan itulah, ramai penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu berpendapat BN-PH dilihat semakin sukar untuk merampas semula negeri itu daripada Pas dalam PRN kali ini.
Ini kerana, selain isu masalah dalaman melibatkan kepimpinan UMNO, pertengkaran serta perbalahan terbuka antara pemimpin UMNO dan DAP serta UMNO dan Amanah berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak langsung telah ‘memualkan’ rakyat.
Susulan itu, isu tersebut turut ‘merencatkan’ kesetiaan ahli dan penyokong UMNO sendiri khususnya mereka yang menjadi penyokong tegar ‘Bossku’. Malah banyak pihak percaya pada hari pembuangan undi nanti ramai orang UMNO akan bertindak tidak keluar mengundi dan sebahagian pula dijangka memilih Calon PN.
Hal ini kerana ada yang mengatakan terdapat orang UMNO seperti sudah mencipta slogan baharu ‘selagi ada Ahmad Zahid Hamidi dan selagi ada DAP’ mereka akan menolak BN-PH. Dalam PRN nanti, PH dikatakan ingin meletakkan calon bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan (DUN) Terengganu.
Melihat kepada situasi semasa, sekiranya silap percaturan kesemua 12 kerusi diwakili PH akan tewas kepada PN. Malah, ia juga tidak mustahil PN akan memenangi kesemua 32 kerusi DUN Terengganu sepertimana pernah dinyatakan oleh Setiausaha Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah sebelum ini.
Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menaruh keyakinan Pas bersama PN mampu meraih kemenangan besar dengan memenangi kesemua 32 kerusi DUN Terengganu pada kali ini.
Keyakinan itu dibuat berdasarkan keputusan luar biasa dicapai PN dalam PRU15 lalu. Atau apakah pada PRN kali ini yang tinggal kepada BN hanya dua batu nisan sahaja iaitu melibatkan kerusi Seberang Takir dan Kijal?
Pada PRU14 lalu, Pas berjaya memerintah Terengganu apabila menang 22 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.
Kerusi tersebut ialah DUN Bandar, Ladang, Batu Burok, wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Alor Limbat, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Sura, Paka, Bukit Tunggal, Manir, Tepoh, Buloh Gading, Kota Putera, Jabi, Chukai, Kuala Berang, Air Putih, Ajil dan Kemasik.
Manakala BN pula hanya menang di 10 kerusi iaitu Seberang Takir, Kijal, Telemong, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri.
ADUN Belantik Isa Shafie dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Timbalan Ketua Pas Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata Isa, 69, yang juga ahli Jawatankuasa Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital Sik kira-kira 7 malam tadi sebelum dibawa ke HSAH pada 4 pagi kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru, dan buah pinggang.
“Menurut anak beliau, Ustaz Mohd Isa kelihatan lemah dan rebah di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Jelutong, Sik lebih kurang pukul 1.30 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Hospital Sik dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim.
“Keadaan kesihatannya lemah dan menurun sebelum doktor menidurkannya, saya memohon orang ramai mendoakan beliau agar sembuh dan dapat terus berkhidmat kepada rakyat Belantik,” katanya menurut Bernama.
Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Sik, berkata pada masa ini, orang ramai tidak dibenarkan melawat ADUN itu dan mengharapkan semua ahli keluarganya bersabar menghadapi ujian berkenaan.
Beliau berkata, Isa menjadi ADUN Belantik selama tiga penggal dan sebelum ini menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta jantung.
DASAR penswastaan Tun Dr Mahathir Mohamad punca utama ramai orang Melayu ketika ini berada dalam kelompok miskin.
Ketika membuat dakwaan itu dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata kemunduran orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor ekonomi sehingga kini perlu dipikul bekas Perdana Menteri itu.
“Dasar penswastaan Mahathir yang mengutamakan pembentukan kelas kapitalis kroni di kalangan segelintir orang Melayu adalah punca terbesar jutaan umat Melayu/Bumiputera menjadi rakyat miskin di bandar dan desa seluruh negara terutama di negeri majoriti Melayu dan Bumiputera,” katanya.
Beliau merujuk negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak yang mencatatkan jumlah kemiskinan tegar yang tinggi.
Hassan berkata, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu, dilaksanakan dengan pendekatan pembangunan ekonomi secara kapitalis bawah pentadbiran Mahathir.
“Jika dasar ini dilaksanakan secara pendekatan kelas mirip pendekatan sosialis yang mengutamakan kelas orang Melayu bawahan, sudah lama orang Melayu dapat dibebaskan daripada kemiskinan dan kemunduran,” katanya.
Beliau berkata, pentadbiran Dr.Mahathir selama 22 tahun mengutamakan dasar penswastaan yang begitu meluas dengan syarikat milik kerajaan seperti Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd diswastakan.
Hassan berkata, masalah kemiskinan tegar orang Melayu boleh “diubati” oleh Kerajaan Perpaduan dengan melihat semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan hak istimewa orang Melayu.
“Dasar bersifat kartel dan monopoli seperti keistimewaan AP yang selama ini hanya menguntungkan segelintir elit Melayu perlu dinoktahkan.
“Keutamaan sekarang perlu berpindah kepada menjaga kepentingan jutaan rakyat Melayu miskin dan mundur. Jika ini kita laksanakan, barulah kita boleh panggil kerajaan Anwar Ibrahim ini Kerajaan Madani,” katanya.
PERSEDIAAN awal bagi menghadapi fenomena El Nino kuat yang diramal berlaku Jun ini perlu dilaksanakan segera dengan melibatkan dua pemegang taruh utama negara iaitu kerajaan dan rakyat untuk meminimumkan impak fenomena itu.
Pakar alam sekitar Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata walaupun Malaysia pernah beberapa kali mengalami fenomena tersebut, persiapan awal meliputi semua aspek adalah perlu bagi mengelakkan kepanikan melampau.
Beliau berkata berdasarkan rekod setakat 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.
“Justeru, persediaan kerajaan adalah memantau semua aras air sungai dan empangan, mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan, meneroka sumber air alternatif, menggalakkan orang ramai dan industri menjimatkan penggunaan air, serta melakukan penghasilan awan dan menyediakan sokongan logistik.
“Seterusnya mempertingkatkan segala bentuk bantuan perubatan dan kecemasan seperti ubat-ubatan untuk mangsa selain alat bantuan memadam kebakaran sekiranya berlaku kebakaran,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.
Untuk rakyat pula, Haliza berkata persediaan perlu dibuat dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti krisis air yang menyebabkan langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dibuat sekali gus memberi impak terhadap aktiviti manusia.
“Setiap dari kita harus mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran. Bahan-bahan mudah terbakar perlu disimpan dengan baik manakala aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah, sisa pertanian dan sisa pembinaan perlu dielakkan.
“Ini bagi menghindarkan berlakunya pencemaran udara yang boleh menyebabkan jerebu. Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, ia perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.
Semalam, media melaporkan fenomena El Nino kuat dijangka bermula Jun apabila keadaan cuaca akan berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang cuacanya dicirikan dengan keadaan kering dan panas.
Berdasarkan laporan tinjauan cuaca bagi tempoh Mei hingga Oktober yang dipaparkan di portal Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) adalah neutral.
Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan keadaan neutral yang sedang berlaku itu dijangka akan memasuki fasa El Nino pada Mei hingga Julai ini dengan kebarangkalian 62 peratus.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Persekitaran Prof Dr Juliana Jalaludin berkata bagi mengelakkan berlakunya strok haba ketika fenomena ini, selain banyak minum air, rakyat dinasihatkan untuk memakai pakaian berwarna terang dan ringan serta mengelakkan aktiviti fizikal.
“Selain itu, sentiasa menggunakan pelindung matahari seperti memakai pelindung matahari spektrum luas dengan SPF (Faktor Perlindungan Matahari) 15 atau lebih jika berada di luar rumah kerana selaran matahari menjejaskan keupayaan badan untuk menyejukkan diri,” katanya.
Beliau juga berkata rakyat tidak digalakkan meninggalkan sesiapapun di dalam kenderaan yang tidak bergerak kerana suhu dalaman boleh meningkat lebih daripada 11 darjah Celsius dalam masa 10 minit apabila berada di bawah matahari.
Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata fenomena El Nino akan meningkatkan risiko penyakit berkaitan dengan bawaan vektor seperti denggi dan malaria, serta penyakit bawaan air dan makanan seperti tifoid dan penyakit saluran pernafasan.
Katanya antara persiapan yang boleh dilakukan rakyat bagi menjaga kesihatan masing-masing adalah menyimpan air serta makanan yang sihat dan mencukupi selain memperbanyakkan berteduh di kawasan seperti pokok dan bumbung jika keluar dari rumah.
Dr Zainal Ariffin turut menyarankan kerajaan untuk memastikan perkhidmatan bekalan air awam yang cukup dan cekap, bekalan makanan segar dan murah mudah didapati dan memberi amaran awal kepada rakyat semasa melalui fenomena tersebut.