Category: Semasa

  • Polis tahan Jurulatih bola ugut adik ipar

    Polis tahan Jurulatih bola ugut adik ipar

    POLIS menahan seorang jurulatih bola sepak kerana mengugut adik ipar lelaki berkaitan perselisihan faham di kediaman keluarganya di Taman Cheras Indah, Ampang Jaya, kelmarin.

    Mangsa berusia 31 tahun itu pada mulanya datang ke kediaman keluarga mentuanya pada pukul 2 pagi Selasa lalu namun berlaku perselisihan dengan abang iparnya berusia 41 tahun itu.

    Suspek turut bertindak mengugut mangsa dengan pisau menyebabkan dia yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan polis.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bertindak atas maklumat kes ugutan jenayah di sebuah rumah di Taman Cheras Indah, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas suspek di kediaman terbabit.

    “Punca kejadian adalah perselisihan faham dalam keluarga. Pihak polis juga sudah merampas beberapa barang kes disyaki digunakan dalam kes ini.

    “Semakan rekod jenayah lampau dapati suspek mempunyai satu rekod jenayah tidak dikehendaki.

    “Ujian saringan awal air kencing juga dapati negatif di mana suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

  • Tagline #PenangTryyyKalih Pas Pulau Pinang dapat sambutan rakyat

    Tagline #PenangTryyyKalih Pas Pulau Pinang dapat sambutan rakyat

    TAGLINE #PenangTryyyKalih yang diperkenalkan Pas Pulau Pinang minggu lalu kini mula tular di dalam media sosial khususnya dalam kalangan penduduk negeri itu.

    Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yussof berkata, pihaknya bersyukur tagline hasil cetusan idea sayap Pemuda Pas negeri itu berjaya menarik perhatian penduduk Pulau Pinang dengan pantas.

    Ujarnya, tagline itu diperkenalkan Pas Pulau Pinang dalam berdepan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi sekali gus berharap dapat membantu Perikatan Nasional (PN) menawan negeri itu yang sebelum ini dikuasai DAP.

    “Kami sangat bersyukur dengan perkembangan positif ini dan Pas bersama gabungan PN Pulau Pinang juga telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini dimenangi calon PN pada PRN nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Muhammad Fauzi berkata, pihaknya yakin gelombang perubahan sokongan terhadap PN di Pulau Pinang serta serta di negeri lain pada PRN kelak akan berlaku berdasarkan situasi politik semasa.

    Malah, beliau turut menyifatkan bukan sesuatu yang mustahil untuk PN menawan Pulau Pinang sekiranya perubahan sokongan pengundi seperti ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berterusan pada PRN kelak.

    Dalam masa sama, ujar beliau, Pas Pulau Pinang juga sudah mempunyai calon-calon yang sesuai untuk bertanding mewakili parti itu pada PRN nanti.

    “Pengumuman mengenainya akan dibuat bersama parti-parti komponen PN yang lain tidak lama lagi,” katanya.

  • Pasangan remaja ‘wheelie’ mengaku salah

    Pasangan remaja ‘wheelie’ mengaku salah

    SEPASANG remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan melakukan aksi ‘wheelie’ pada Mac lalu.

    Pengakuan mereka direkodkan di depan Majistret Fatinah Abu Bakar selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

    Remaja lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu didakwa menunggang motosikal Honda EX-5 putih secara berbahaya, iaitu mengangkat tayar hadapan di Jalan Chendor di Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu pada 5.30 petang 12 Mac lalu.

    Remaja perempuan yang masih bersekolah pula didakwa membantu melakukan aksi itu selaku pembonceng pada masa dan di tempat sama.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu minimum dua tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, pasangan remaja terbabit yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM2,000 setiap seorang, yang ditawarkan pegawai pendakwa Nafizah Ismail atas alasan kewangan keluarga.

    Remaja lelaki itu memaklumkan ibunya merupakan pekerja am dengan gaji RM1,500 sebulan, manakala remaja perempuan terbabit memberitahu ayahnya hanya berpendapatan RM700 hingga RM1,000 yang digunakan untuk menanggung dia tiga beradik.

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM800 dengan seorang penjamin masing-masing dan menetapkan 7 Jun untuk laporan akhlak serta jatuh hukum.

    Isnin lalu, polis mengesahkan penahanan sepasang remaja dipercayai kekasih di Balok, di Kuantan selepas video mereka melakukan aksi ‘wheelie’ tular di media sosial sehari sebelumnya.

    Siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan itu milik ibu remaja lelaki berkenaan.

  • Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

    Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

    SEORANG wanita warga Vietnam yang mengacu gunting kepada pegawai polis yang cuba meleraikan pertengkarannya bersama teman lelaki bulan lalu, membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

    Tertuduh, Nguyen Thi Cam Nhung, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan mengacukan gunting terhadap Inspektor Mohd. Shahrol Firrdaus Senawi, lapor Astro Awani.

    Kesalahan itu dilakukan di Silverscape Resident, Element Mall, Melaka Tengah, kira-kira pukul 9.30 malam 16 April lalu.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku bersalah menghalang tugas penjawat awam yang dilakukan di tempat, tarikh dan masa yang sama di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

    Jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
    Bagaimanapun, mahkamah menolak pengakuannya itu susulan tertuduh tidak konsisten dengan keputusan itu.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah.

    Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat pasport diserah kepada mahkamah.

    Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula pada 13 Jun ini untuk serahan dokumen dan mengunakan khidmat jurubahasa Vietnam.

  • Komunikasi palsu:Pengerusi MyWatch dilepas dan dibebaskan

    Komunikasi palsu:Pengerusi MyWatch dilepas dan dibebaskan

    PENGERUSI Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Twitter, tiga tahun lalu.

    Hakim, Datuk M. M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS), di akhir kes pendakwaan.

    “OKS dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri dan wang jaminan dikembalikan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam kes ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala peguam, S Preakas dan Miguel Sequerah mewakili Sanjeevan.

    Perbicaraan kes itu yang bermula Jun 2020 lalu, telah memanggil lapan saksi pendakwaan.

    Pada 5 Jun 2020, Sanjeevan didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan PDRM.

    Tertuduh didakwa dengan niat menganiayai orang lain melalui aplikasi Twitter @SanjeevanSS dan dibaca di Pejabat Komunikasi, Aras 2, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 7 April 2020, pada jam 3.15 petang.

    Ahli perniagaan itu juga dituduh melakukan perbuatan sama melalui aplikasi Twitter @My_CrimeWatch yang dibaca pada 17 Mei 2020, 8.15 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di Kuala Lumpur.

    Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu, pada 18 Mac, 4.20 petang dan 16 Mei 2020, pada 9.07 malam mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika disabitkan kesalahan boleh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sanjeevan ketika ditemui pemberita bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada pasukan peguam sepanjang mengendalikan kes tersebut.

  • Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia meninggal dunia

    Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia meninggal dunia

    BEKAS Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid meninggal dunia di kediamannya di Desa Pinggiran Putra pada pukul 12.30 tengah hari ini.

    Sumber dari kerajaan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau sebelum ini bergelut dengan kanser.

    Bagaimanapun, tiada butiran tambahan berkaitan penyakitnya diberikan. Allahyarham berusia 66 tahun.

    Menurut sumber itu, allahyarham akan disolatkan di Surau Al Ikhwan Desa Pinggiran Putra, Kajang pada jam 3 petang ini dan kemudiannya akan dikebumikan di Pusara Taman Raudhatul Jannah KLM pada jam 4 petang nanti.

    Hasanah sebelum ini dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia empat tahun lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, antara 30 April dan 9 Mei 2018.

    Pertuduhan itu, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

  • Kami nak satukan Melayu, bangsa lain tak perlu ‘iri hati’

    Kami nak satukan Melayu, bangsa lain tak perlu ‘iri hati’

    MASYARAKAT bukan Melayu tidak perlu risau dengan langkah beberapa pemimpin Bersatu menyokong Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, ini kerana usaha tersebut cubaan untuk menyatukan komuniti yang berpecah.

    “Masyarakat Melayu kini dalam keadaan berpecah dari segi politik, termasuk dalam kalangan badan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan komuniti itu.

    “Ada orang nak cuba satukan Melayu, jadi bangsa lain tak perlu iri hati. Ini bukan isu politik,” tegasnya kepada FMT, menjawab teguran seorang pemimpin parti sekutu.

    Semalam, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, secara peribadi kecewa dengan langkah Razali serta pemimpin Bersatu lain seperti Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menandatangani proklamasi itu.

    Difahamkan ia ditandangan atas kapasiti peribadi. Turut menyokong proklamasi itu Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang.

    Beliau menyifatkan langkah mengaktifkan gerakan berasaskan kaum sebagai tidak wajar, ketika pembangkang seharusnya bersatu membangunkan ekonomi rakyat yang semakin tertekan.

    Razali menjelaskan, mereka menyokong proklamasi kontroversi itu ‘untuk kepentingan orang Melayu’, sesuatu yang mungkin tidak difahami oleh Oh.

    “Bangsa lain jangan risau. Jangan politikkan Proklamasi Orang Melayu,” katanya.

    Razali menambah partinya tetap komited kepada perjuangan Perikatan Nasional, yang dibuktikan menerusi aktiviti-aktiviti gabungan yang disertai Bersatu.

    “Kita dah tandatangan sertai PN, dan kita turun untuk PN,” katanya, lapor FMT.

    Proklamasi tersebut belum diumumkan secara rasmi setakat hari ini.

  • Tembak mati rakan disangka kijang, lelaki dipenjara 1 tahun

    Tembak mati rakan disangka kijang, lelaki dipenjara 1 tahun

    SEORANG lelaki yang menembak rakannya disangkakan kijang di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu, minggu lalu dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol.

    Hukuman itu dijatuhkan Majistret Norshazwani Ishak selepas Amran Abd Razak, 51, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Tertuduh turut didenda RM2,000 dan boleh dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda itu, menurut Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, Amran didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian lelaki berusia 62 tahun di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu, 3 pagi 24 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan 13 butir peluru hidup serta tiga butir kelongsong jenis 12 bore pelbagai warna.

    Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak di tepi Jalan Muka Sauk, Kuala Klawang, pada 6.30 petang 26 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

    Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • SPRM bawa pulang individu terlibat kes 1MDB, SRC

    SPRM bawa pulang individu terlibat kes 1MDB, SRC

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang seorang individu yang terlibat dalam siasatan kes 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

    Menurut sumber, individu itu yang disiasat kerana disyaki menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada pada 3.30 pagi, 3 Mei lepas.

    Sebaik tiba di KLIA2, beliau yang menghilangkan diri sejak 2018 diserahkan notis untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 10 pagi kelmarin.

    Pegawai SPRM merakamkan keterangan beliau dan penggeledahan rumah dilakukan pada hari sama.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

    Menurut sumber, adalah dipercayai siasatan SPRM mendapati individu itu menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank sebuah syarikat, yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

    SPRM sebelum ini menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira USD5.2 juta, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD Singapura).

    Siasatan juga mendapati individu itu menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

    Dalam perkembangan berasingan, SPRM pada 26 April berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada sebuah syarikat, Totality Limited, milik bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB, Tang Keng Chee.

    Menurut sumber, Tang terlibat dengan 1MDB ketika ia dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2021.

    “Konspirasinya adalah untuk mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan USD700 juta kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho,” kata sumber itu lagi, lapor FMT.

    SPRM dipercayai telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Tang pada 29 Jun 2018, yang masih tidak dapat dikesan.

    Setakat ini, SPRM berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70% daripada aset 1MDB, membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 billion.

  • Umno ganti Amanah dalam pembahagian kerusi PRN Selangor?

    Umno ganti Amanah dalam pembahagian kerusi PRN Selangor?

    PERGOLAKAN berlaku dalam rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan sekutu baharunya Barisan Nasional (BN) berikutan tekanan yang semakin meningkat terhadap Amanah untuk menyerahkan kerusinya kepada calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, MalaysiaNow difahamkan melalui sumber daripada parti komponen PH. 

    Sekurang-kurangnya dua individu yang rapat dengan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) berkata langkah itu mengesahkan kebimbangan terhadap cubaan untuk menggantikan parti itu – dilihat sebagai komponen ‘Melayu’ dan ‘Islam’ PH dengan UMNO, musuh yang menjadi sekutu selepas memberi sokongannya dalam pelantikan Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tahun lalu.

    Walaupun tekanan yang sama turut dirasai di sekurang-kurangnya empat negeri lain – Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang namun di Selangor, di mana PH sehingga kini berada dalam keadaan selesa, Amanah mungkin paling terjejas disebabkan penjajaran semula politik itu.

    Keselesaan itu berakhir pada pilihan raya lalu apabila kerusi majoriti Melayu menyaksikan peralihan kepada Perikatan Nasional (PN), malah kubu kuat UMNO yang lama dipegang akan menuju ke arah gabungan baru itu.

    Pemerhati berkata Selangor, negeri terkaya di Malaysia dengan perwakilan kaum yang berkadar mencerminkan penduduk negara, akan menjadi perhatian dalam kalangan enam negeri yang akan menjalankan PRN.

    Ini terutamanya disebabkan UMNO kini hanya perlu memberi tumpuan kepada calon Bersatu dan Pas, berikutan keputusan untuk bergabung dengan PH. 

    Pada asasnya ia bermakna PH tidak akan bertanding di kerusi di mana UMNO akan bertanding, terutamanya di kerusi majoriti Melayu. 

    “Jadi kepimpinan PH mesti memutuskan antara dua: rakan setianya Amanah atau rakan barunya UMNO. 

    “Dengan Amanah masih gagal meraih sokongan daripada orang Melayu yang berfikiran pembangkang, terdapat petanda ia akan diketepikan untuk memberi laluan kepada UMNO,” kata seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor. 

    Pada pilihan raya umum lalu, kecuali Hulu Kelang, Amanah banyak menang di kawasan pilihan raya di mana pengundi Cina membentuk lebih daripada 20%, jumlah yang cukup untuk mempengaruhi keputusan yang memihak kepada PH. 

    Tetapi di Hulu Bernam, di mana orang Melayu yang membentuk 70% pengundi, Amanah tewas kepada UMNO.

    Barisan Nasional (BN) masih berjaya merebut empat kerusi di Selangor pada 2018, tahun gabungan itu ditumbangkan daripada kuasa Persekutuan.

    Kemenangan BN berkemungkinan disebabkan perpecahan undi pembangkang antara PH dan Pas. 

    Pas kemudiannya enggan bergabung dengan PH, termasuk Bersatu yang muncul sebagai alternatif kepada penyokong UMNO yang tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1MDB. 

    “Kini dengan penggabungan Bersatu dan Pas, dengan asas sokongan Melayu yang kukuh, mungkin akan berlaku lagi rampasan kerusi daripada BN dan PH seperti yang dilihat pada pilihan raya November lalu,” kata seorang bekas calon Amanah di Selangor. 

    Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata, hampir semua kerusi ini kini dituntut oleh Umno sewaktu rundingan, meninggalkan Amanah dengan kerusi di mana terdapat margin selesa pengundi Cina. 

    “Ini pada asasnya bermakna Amanah tidak lagi dianggap sebagai penarik undi Melayu untuk PH, yang merupakan salah satu sebab utama parti itu ditubuhkan untuk menghentikan penghijrahan sokongan Melayu selepas Pas tidak lagi menjadi sebahagian daripada PH.” 

    Amanah ditubuhkan pada 2015 oleh kumpulan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Sabu, tidak lama selepas beliau ditewaskan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan Pas tahun itu.

    Pengkritik sentiasa menganggap Amanah sebagai ‘boneka’ DAP, memetik hubungan rapat Mohamad dan pemimpin parti lain dengan Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng. 

    Ramai juga menunjukkan bagaimana DAP membenarkan Amanah bertanding di ‘kerusi selamat’ bukan Melayu, termasuk Mohamad sendiri yang diberikan Kota Raja, kubu kuat DAP dengan hanya kira-kira 43% pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum 2018.

    “Hakikatnya secara kosmetik, kemelayuan Amanah kini dipersoalkan, dan menggantikannya dengan UMNO adalah bijak dan wajar dari segi politik jika PH mengekalkan apa jua bentuk sokongan Melayu,” kata seorang ahli politik UMNO Selangor yang berpangkalan di Petaling Jaya. 

    Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mencadangkan perkara ini secara samar-samar apabila ditanya mengenai perkembangan rundingan kerusi dengan PH. 

    “Soal yang kami utamakan ialah bagaimana pembahagian kerusi itu bukan sahaja dibuat atas rasa kesaksamaan tetapi juga tentang kebolehmenangan.

    “Kita merasakan bahawa bukan sahaja soal kemenangan, tetapi (juga) soal penerimaan pengundi dan ‘likeable’ seseorang calon, iaitu yang disukai dan sesuai dengan cita rasa pengundi di kawasan berkenaan,” katanya.