Category: Semasa

  • ”Saya tak pernah mimpi setiap minggu..yang hang mengigau pasai apa” – Hamzah

    ”Saya tak pernah mimpi setiap minggu..yang hang mengigau pasai apa” – Hamzah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan beliau tidak pernah memiliki hasrat seperti dinyatakan Perdana Menteri bahawa pembangkang yang didakwa memiliki akuan sumpah berkanun (SD) cukup untuk membentuk kerajaan.

    Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, adalah lebih penting untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri berbanding menyatakan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ketika sudah menjadi kerajaan.

    Tambahnya, berkemungkinan Anwar sebenarnya kini yang mengigau kerana takut dengan kedudukannya yang mungkin akan diambil alih.

    “Semalam saya dengar ada seorang bagitau bahawa saya mimpi tiap-tiap minggu, saya nak maklum kepada beliau saya tak pernah mimpi pun tiap-tiap minggu. Saya nak bagitau yang hang mengigau tu pasai apa, saya tak cakap apa pun.

    “Sejak dia jadi Perdana Menteri, saya cakap hanya dalam Parlimen bagitau dia hang la ni bukan lagi ketua pembangkang, yang jadi ketua pembangkang saya dan yang nak buat cerita bukan-bukan pasai apa,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

    Anwar menggesa pembangkang supaya membawa akuan SD menyatakan sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu selepas terdapat cakap-cakap ada gerakan dicetus PN yang didakwa sudah cukup menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

    Sebelum menyifatkan Hamzah sebagai ‘mengigau’, Anwar terlebih dahulu melabel Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengigau dan tidak mengendahkan ramalan Ahli Parlimen Marang itu bahawa kerajaan pimpinannya akan tumbang tidak lama lagi.

    Menjelas lanjut, Hamzah berkata, disebabkan Anwar yang memintanya untuk bermimpi dan mengigau membentuk kerajaan, maka beliau mengajak semua pihak untuk berdoa agar perkara itu menjadi kenyataan.

    “Saya selama ini rilek sahaja, tak pikiaq apa pun tapi la ni dia suruh saya mimpi, cita-cita. Kita semua berdoa semoga apa yang dia katakan bahawa kita ada nombor, angka atau jumlah itu akan tercapai untuk kita ambil alih (kerajaan) daripada dia, padan muka dia.

    “Kita doa lah sama-sama perjuangan kita dirahmati Allah kerana kita tahu hari ini rakyat tertunggu-tunggu masa depan lebih baik. Kalau dulu depa kata kerajaan yang kurang baik, hari ini nak maklum kerajaan yang ada lebih teruk daripada mana-mana kerajaan yang sebelum ini,” katanya.

  • PN   istiqamah jadi pembangkang, tak kumpul akuan bersumpah jatuhkan kerajaan – Ahmad Faizal

    PN   istiqamah jadi pembangkang, tak kumpul akuan bersumpah jatuhkan kerajaan – Ahmad Faizal

    PERIKATAN Nasional tidak melakukan sebarang gerakan mengumpul  akuan bersumpah untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

    Ketika menegaskan prekära itu, Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi berkata, PN memiliki Hanya 74 kerusi dan akan terus istiqamah menjadi pembangkang.

    ‘’Kita sedar perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa dan ia akan diteruskan,’’ katanya kepada wartawan di Majlis Aidilfitri DUN Gombak Setia, hari ini.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, fokus PN kini tertumpu kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka Jun.

    “Fokus PN ke arah untuk kekalkan kerajaan di Terengganu, Kelantan dan Kedah serta cuba mencari jalan ambil alih Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Dalam semangat Syawal ini, kita tak perlu fikir berkenaan perkara itu (ambil alih kerajaan), biar fokus khidmat kepada rakyat dan eratkan silaturrahim. Itu yang perlu dibuat,” katanya. 

    Sementara itu bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata,  Perlembagaan membenarkan pertukaran kerajaan dilakukan.

    “Pertukaran kerajaan bukan perkara luar biasa atau perkara tidak boleh dilakukan kerana perlembagaan membenarkan untuk sesebuah kerajaan dirombak apabila gagal memenuhi aspirasi rakyat.

    “Inilah keluhan rakyat ketika ini, apabila kerajaan yang dibentuk selepas PRU (pilihan raya umum) tidak mampu menyelesaikan isu ekonomi, kos sara hidup dan lebih banyak bercakap daripada bertindak.

    “Selagi ia terikat dengan peruntukan perlembagaan dan peruntukan undang2, ia boleh dilakukan,” katanya. 

  • B40,M40 paling terjejas, Hassan gesa Anwar, Rafizi jelas kenaikan OPR

    B40,M40 paling terjejas, Hassan gesa Anwar, Rafizi jelas kenaikan OPR

    AHLI Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim minta Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan kenaikan kadar faedah terbaharu oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

    Katanya, langkah bank pusat berkenaan tidak selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi dan menangani kos sara hidup yang

    Hassan juga berkata Presiden PKR Anwar dan timbalannya Rafizi akan bersetuju bahawa golongan B40 dan M40 akan paling terjejas oleh kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3%.

    “B40 dan M40 merupakan 80% rakyat Malaysia. Mereka menghadapi masalah kewangan dan ekonomi sekarang. Saya berharap Rafizi dan Anwar, yang juga menteri kewangan perlu jelaskan kepada rakyat tentang kenaikan kadar OPR ini.Jadi saya tidak mahu rakyat di enam negeri yang akan berdepan dengan pilihan raya negeri menempelak kerajaan dengan pertanyaan mengenai kenaikan OPR,” katanya lapor FMT.

    Kritikannya itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin semalam yang mempersoalkan sama ada Anwar, sebagai menteri kewangan, adalah “menteri untuk pemilik bank atau untuk rakyat?”.

    Hantaran Ahli Parlimen GPS itu dilampirkan pada satu laporan berita mengenai Anwar yang mengkritik pendahulunya Tengku Zafrul Aziz untuk kenaikan OPR pada 2022, di mana beliau telah mengemukakan perkara sama kepada Zafrul semasa berkempen pada PRU15 November lalu.

  • Inspektor antara enam anggota polis Jerantut ditahan minta rasuah RM5,000

    Inspektor antara enam anggota polis Jerantut ditahan minta rasuah RM5,000

    ENAM anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut direman sehingga 11 Mei ini, bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah berjumlah RM5,000.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Temerloh, Mohamed Shah Reza Noor Azman.

    Menurut kenyataan itu kesemua mereka ditahan petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

     Mereka didakwa melakukan perbuatan itu Rabu lepas, apabila dikatakan meminta suapan daripada seorang lelaki bagi menyelesaikan kes serbuan serta penemuan air ketum di rumah lelaki berkenaan.

    Selain inspektor yang berumur 36 tahun, lain-lain anggota polis yang ditahan adalah mereka yang berpangkat Lans Koperal, Koperal dan Sarjan Mejar, yang berumur antara 28 dan 46 tahun, semuanya bertugas di Bahagian Narkotik IPD berkenaan.

  • Kemalangan libat 7 motosikal : Remaja maut,6 cedera 

    Kemalangan libat 7 motosikal : Remaja maut,6 cedera 

    SEORANG remaja lelaki maut, manakala enam lagi cedera selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara- Selatan arah utara di Seremban pada 2.40 pagi tadi.

    Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof, berkata berkata kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135 LC milik remaja berusia 19 tahun tersebut hilang kawalan lalu terbabas di lorong tengah lebuh raya itu.

    Katanya, ia menyebabkan enam penunggang motosikal lain berusia antara 17 hingga 21 tahun termasuk seorang wanita berusia 21 tahun, yang cuba mengelak berlanggar sesama sendiri.

    “Akibat pelanggaran, remaja itu yang dalam perjalanan dari Senawang ke Ampang, Selangor cedera parah di hampir keseluruhan bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata dua lagi mangsa lelaki masing-masing berumur 21 tahun dan 18 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan kaki, manakala empat lagi luka ringan di tangan dan kaki.

    Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk dibedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di zon merah dan zon kuning hospital berkenaan.

    Nanda berkata mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan atau mempunyai rakaman video berkaitan kes itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Syed Hamadah dilantik CEO Tabung Haji yang baharu

    Syed Hamadah dilantik CEO Tabung Haji yang baharu

    SYED Hamadah Syed Othman dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan TH, pelantikan berkenaan berkuat kuasa 6 Mei ini dan dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

    Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar melahirkan keyakinan dengan kemahiran dan pengalaman luas dimiliki Syed Hamadah akan dapat membawa TH ke tahap lebih cemerlang dan membanggakan.

    “Saya yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Tuan Syed Hamadah akan dapat meneruskan usaha memperkukuhkan TH dari segi tadbir urus dan operasi ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan di masa hadapan,” katanya memetik laposan Astro Awani.

    Berkelulusan Ijazah Kepujian dalam Matematik Aktuari dan Statistik dari Heriot Watt University, Edinburgh, Syed Hamadah mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan beliau merupakan pengarah serta rakan kongsi di Actuarial Partners Consulting Sdn. Bhd.

    Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dan pakar dalam perundingan multinasional dan organisasi tempatan mengenai reka bentuk pencen, pembiayaan, perakaunan pencen, penggabungan dan pengambilalihan.

    Syed Hamadah juga pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan dari 2018 hingga 2020, dan kini merupakan Felo di Fakulti Aktuari dan Felo di Persatuan Aktuari Malaysia.

  • Peniaga nasi lemak didenda RM8,000 terima, jual pelekat gigi palsu

    Peniaga nasi lemak didenda RM8,000 terima, jual pelekat gigi palsu

    SEORANG peniaga nasi lemak didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku salah atas kesalahan menerima harta curi berupa pelbagai barangan milik pasar raya dan kedai pada 2021.

    Hukuman itu dijatuhkan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas tertuduh, Wan Azrul Affendy Yunos, 48, membuat pengakuan itu dengan pertuduhan pilihan serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

    Darmafikri turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan pilihan, Wan Azrul Affendy didapati dengan niat curang menerima harta curi keseluruhan berjumlah RM8,000 milik kedai Watson Taman Paya Rumput Utama, Pasaraya Econsave Lebuh Ayer Keroh, Pasaraya 99 Speedmart Batu Berendam dan Pasaraya Econsavce Sungai Udang.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di No S1 118, Jalan Ayer Molek Perdana 5, Taman Ayer Molek Perdana pada 29 Julai 2021, pukul 1.20 tengah hari.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili Peguam Lailawati Husain.

    Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap di sebuah chalet di Pengkalan Balak, hasil siasatan polis berhubung kecurian di beberapa pasar raya.

    Pelbagai jenis barangan termasuk mentega kacang, pencuci muka, ubat gigi, pelekat gigi palsu, pewangi badan, minyak wangi, coklat dan minyak rambut bernilai keseluruhan RM8,000 turut dirampas daripada tertuduh.

    Hasil siasatan, tertuduh mengaku membeli semua barangan curi itu daripada dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia sebelum menjualnya secara dalam talian.

    Terdahulu, Lailawati memohon tertuduh yang juga bapa kepada dua anak dikenakan denda minimum kerana sudah insaf selama direman 11 hari ketika siasatan kes itu bermula 25 Julai 2021 selain itu kesalahan pertamanya.

    Aliff Asraf bagaimanapun berhujah supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

    “Berdasarkan fakta kes dan eksibit diakui tertuduh jelas menunjukkan dia menerima dan membeli barangan curi daripada dua individu dan menyimpannya di rumah sewa.

    “Tertuduh juga menjual barang curi itu secara dalam talian di Shopee dan secara curang mengaut keuntungan untuk dirinya,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Bicara kes saman SRC terhadap Najib mula Januari depan

    Bicara kes saman SRC terhadap Najib mula Januari depan

    PERBICARAAN kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC RM42 juta akan bermula Januari 2025 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Peguam Kwan Will Sen mewakili SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) selaku plaintif ketika dihubungi pemberita berkata kes itu akan didengar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

    “Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Januari 2025 manakala Februari pada 12 hingga 14, 17 hingga 21 dan 24 hingga 26,” kata peguam itu.

    Menurut Kwan, pada pengurusan kes di hadapan Raja Ahmad Mohzanuddin Shah secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 4 Ogos depan untuk pihak-pihak mengemas kini status perbicaraan.

    SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan GMSB, memfailkan writ saman pada 7 Mei 2021, mendakwa bekas perdana menteri itu sebagai defendan melakukan pecah amanah, menyalah guna kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    Plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa plaintif berhak mengikuti dan mengesan wang RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang berkenaan atau sebarang harta yang diperoleh Najib dengan menggunakan wang berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.

  • Lelaki maut digilis komuter selepas baring atas landasan

    Lelaki maut digilis komuter selepas baring atas landasan

    SEORANG lelaki maut digilis komuter selepas baring atas landasan kereta api dekat Seputeh Kuala Lumpur, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian pada pukul 1.08 petang.

    Siasatan awal polis mendapati mangsa telah bertindak baring di atas landasan kereta api sebelum dirempuh sebuah komuter yang menghala dari stesen Salak Selatan ke Seputeh.

    “Mangsa merupakan seorang lelaki dengan bangsa tidak pasti, berambut pendek, berbaju dan seluar berwarna hitam.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi polis Brickfields di talian 03-22979222 bagi membantu pengecaman mayat ini.

  • Alih data syarikat bekal penstriman kandungan TV, video ke hotel, pengurus didenda RM21,000

    Alih data syarikat bekal penstriman kandungan TV, video ke hotel, pengurus didenda RM21,000

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendenda seorang pengurus RM21,000 kerana mengalih data sulit milik sebuah syarikat yang membekalkan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel tanpa kebenaran di antara 2016 dan 2020.

    Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu selepas Teo Kia Lim, 45, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan.

    Mahkamah mengenakan RM7,000 bagi setiap pertuduhan, atau penjara 30 bulan, jika Teo gagal membayar denda.

    Dia didakwa melakukan capaian tanpa kuasa terhadap data sulit milik Syarikat Vision Four Multimedia Sdn Bhd (VFMM) dengan menyalin atau mengalihkan data terbabit kepada e-mel persendiriannya untuk mendapatkan data tanpa kebenaran daripada pemilik syarikat itu, Steven Harold Day, 72.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat Vision di Jalan Liku, Bangsar di Kuala Lumpur antara 10.21 pagi hingga 4.41 petang dari 29 Dis 2016 hingga 26 Ogos 2020 mengikut Seksyen 3 (1)(b) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

    Teo Kia Lim, 45, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengalih data sulit milik sebuah syarikat yang membekalkan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel tanpa kebenaran di antara 2016 dan 2020 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

    Bagaimanapun, peguam Segaren memohon tertuduh dikenakan denda minimum atas alasan Teo adalah seorang ibu tunggal dan perlu menanggung ibunya yang sudah uzur selain tiada rekod jenayah serta telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan polis.

    Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pengasas dan Ketua Eksekutif VFMM membuat laporan polis selepas tertuduh, yang sebelum ini bekas pembantu peribadinya, didapati menggunakan maklumat sulit syarikat itu antaranya data pelanggan dan rakan kongsi perniagaan syarikat pengadu untuk mempromosi jenis perniagaan sama selepas Teo menubuhkan syarikat lain.

    VFMM menjalankan perniagaan pengedaran, pembekalan dan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel di negara ini.