Category: Semasa

  • Masih tidak dibenarkan aktiviti luar kelas-KPM

    Masih tidak dibenarkan aktiviti luar kelas-KPM

    MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah di seluruh negara masih tidak menganjurkan aktiviti di luar bilik darjah susulan cuaca panas bagi mengelak diserang strok haba.

    Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) hanya menangguhan aktiviti itu untuk sementara hingga keadaan cuaca benar-benar selamat untuk murid dan pelajar menjalankan program di luar kelas.

    “Biarpun ada negeri yang cuaca kini semakin baik, namun KPM tetap berterusan menjalankan pemantauan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

    “Sebenarnya, kita juga sudah mengadakan sesi libat urus bersama seluruh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan meminta dan memberikan panduan kepada mereka serta menasihatkan supaya tidak menganjurkan program atau aktiviti di luar kelas ketika cuaca panas.

    “Bagaimanapun, penangguhan itu bersifat sementara berdasarkan keadaan cuaca yang ada sesetengah negeri kini semakin baik.

    “Jadi kita akan pantau dari semasa ke semasa dan sentiasa beri pedoman, garis panduan serta nasihat daripada kementerian berkaitan,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Dato Haji Ahmad Salleh, Kampung Permatang Keling, di Nobong Tebal, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan segelintir ibu bapa susulan ada sekolah mengadakan aktiviti luar kelas terutama merentas desa walaupun KPM sudah mengeluarkan arahan dan pekeliling supaya menangguhkan semua program luar.

    Ibu bapa terbabit meluahkan kebimbangan mereka di media sosial selepas mendapat surat kebenaran yang perlu ditandatangani bagi membenarkan anak mereka mengikuti aktiviti berkenaan.

    Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, sehingga kini tiada sekolah ditutup memandangkan keadaan masih selamat dan kesiapsiagaan KPM berdepan isu terbabit.

    “Kita sentiasa berjaga-jaga dalam hal ini, sebab itu kita minta tangguhkan sebentar sehingga cuaca kembali sedia kala dan pelajar kita boleh mengikuti pembelajaran di luar kelas dengan lebih selamat,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Pukul isteri, tendang anak OKU, lelaki mabuk ditahan

    Pukul isteri, tendang anak OKU, lelaki mabuk ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki mabuk yang memukul isteri dan anak kurang upaya (OKU) lembam di Kampung Tasik Permai, Ampang Jaya, Khamis lalu.

    Wanita berusia 51 tahun itu dikatakan dipukul ketika tidur, manakala anak perempuannya ditendang selepas suspek pulang dalam keadaan mabuk pada pukul 11.15 malam Rabu lalu.

    Suspek juga dipercayai mengugut akan membunuh mangsa dengan pisau, sebelum dia meminta bantuan anak sulungnya dan membuat laporan polis.

    Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek ditahan anggota kereta peronda IPD Ampang Jaya susulan laporan itu.

    Katanya, hasil semakan mendapati suspek memiliki 13 rekod jenayah lampau.

    “Ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas sebarang penyalahgunaan dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Harian Metro.

  • Kami tak cadang bawa usul undi tak percaya-Razali Idris

    Kami tak cadang bawa usul undi tak percaya-Razali Idris

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) , Datu Razali Idris berkata, ahli Parlimen Bersatu tidak bercadang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan perpaduan pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.

    Jeliau beliau, tiada perbincangan mengenainya di peringkat parti setakat ini berkaitan angka yang diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan.

    Razali juga menafikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pernah membuat kenyataan mempunyai majoriti mencukupi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar mana-mana pihak mendakwa mempunyai sokongan mencukupi untuk membawa usul itu di Dewan Rakyat.

    “Kenapa Anwar perlu memikirkan khabar angin atau gosip kecil di luar gelanggang. Sepatutnya dia tidak perlu fikir berapa angka yang pihak sebelah sana ada, sebab kerajaan dia sudah cukup kukuh, iaitu 148 kerusi.

    “Sangat sukar untuk pembangkang mengatasi jumlah itu, ia bukanlah perkara mudah. Kecuali ketua pembangkang sendiri yang maklumkan kita ada angka mencukupi, barulah Anwar boleh cabar.

    “Tapi isu angka mencukupi ini hanya cakap-cakap di kedai kopi, yang bercakap itu pun bukanlah tokoh, pimpinan tinggi atau ketua parti, sebaliknya hanyalah orang biasa,” katanya menurut Berita Harian.

    Razali berkata, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) boleh membuat undi tidak percaya tanpa mencabar mana-mana pihak, jika masih sangsi dengan sokongan dimilikinya.

    “Kalau dia takut dengan bayang-bayang sendiri, dia sendiri boleh buat undi tidak percaya, setiap kali Parlimen bersidang, dia buat undi tidak percaya kepada perdana menteri kerana Anwar nampak masih macam pembangkang dan bukannya kerajaan,” katanya.

  • PRN:Pembahagian kerusi PN hampir selesai-Hamzah

    PRN:Pembahagian kerusi PN hampir selesai-Hamzah

    PERBINCANGAN mengenai pembahagian kerusi parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri telah hampir selesai.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata cuma terdapat beberapa kerusi yang masih belum dimuktamadkan. 

    “Banyak kali dah kita bincang, Insya-Allah tinggal tiga atau empat kerusi yang perlu kita lakukan perbincangan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Larut hari ini. 

    PRN di enam negeri tahun ini melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

    Mengenai Pemilihan Bersatu 2023, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata pemilihan parti akan diadakan setelah selesai PRN di enam negeri berkenaan. 

  • Jangan berpolitik : Zahid nasihatlah dulu ‘pemimpin kanan itu’

    Jangan berpolitik : Zahid nasihatlah dulu ‘pemimpin kanan itu’

    PENULIS ‘kagum’ apabila Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat tidak seharusnya berpolitik sepanjang masa sebaliknya ‘politicking’ hanya boleh dilakukan apabila tibanya pilihan raya supaya tumpuan boleh diberikan kepada usaha membangunkan negara.

    Beliau yang menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah BN bergabung dalam Kerajaan Perpaduan selepas hanya menang 30 kerusi Parlimen dalam PRU-15 berkata, ‘’Kita berasakan dengan suara dua pertiga majoriti yang di Dewan Rakyat, inilah pertama kalinya selepas PRU-15, sebuah kerajaan ada majoriti dua petiga majoriti.’’

    Dari segi majoriti dua pertiga itu, penulis tidak mempersoalkannya maklumlah sebab ada 148 ahli Parlimen bersama kerajaan sekarang biarpun keputusan PRU-15 menunjukkan tidak ada satupun parti menang majoriti mudah. Lebih menarik, UMNO pun sudah bersahabat baik dengan DAP.

    Cuma penulis ‘gayat sikit’ bila nasihat masyarakat tidak seharusnya berpolitik sepanjang masa sebaliknya hanya berpolitik ketika tiba pilihan raya.

    Sebenarnya, masyarakat tidak ada masalah dan tidak berpolitik sepanjang masa, yang berpolitik sepanjang masa ialah orang politik hinggakan ketika suasana Aidilfitripun buat ‘himpunan politik’ atas nama ‘Himpunan Madani’ di Kedah.

    Tenang-tenang…Zahid fikirkan balik ketika itu siapa yang berpolitik? Adakah masyarakat atau ahli politik? Siapa yang cakap kalau PH-BN menang di Kedah, kerajaan pusat akan korek laut untuk membolehkan feri ke Langkawi 15 kali sehari sebab kata ‘PEMIMPIN KANAN KERAJAAN’ yang menang majoriti kurang tak sampai 400 undi di sebuah kerusi Parlimen itu, kerajaan Kedah gagal atasi masalah berkenaan.

    Sehingga ‘PEMIMPIN KANAN ITU’ lupa bahawa meningkatkan kekerapan perjalanan feri bukan bidang kuasa kerajaan negeri tetapi kerajaan pusat.

    Mungkin Zahid juga boleh fikirkan siapakah PEMIMPIN KANAN KERAJAAN yang ‘merayu-rayu’ supaya rakyat Kelantan beri peluang kepada PH-BN perintah negeri itu bagi membolehkan masalah air di Negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut diatasi.

    Soalnya kenapa hanya mahu tunggu PH-BN menang di Kelantan baru mahu selesaikan masalah berkenaan? Bukankah Zahid menyeru rakyat supaya tidak berpolitiking? Tidakkah apabila berjanji mahu menyelesaikan masalah air hanya selepas PH-BN menang di Kelantan maknanya berpolitik ketika bukan masa pilihan raya?

    Kenapa pula di Sabah pada 4 Mei lalu, ada ‘seorang PEMIMPIN KANAN KERAJAAN ’ berkata, di Kota Kinabalu beliau akan memohon peruntukan khas untuk menyelesaikan isu bekalan air yang sudah berlarutan sejak sekian lama di Sabah.

    Kata pemimpin itu, peruntukan khas tersebut sangat diperlukan untuk memastikan semua rakyat yang tinggal di Sabah khususnya di kawasan luar bandar mendapat bekalan air bersih.

    “Saya tahu bekalan air di Sabah sangat mengecewakan, banyak rungutan yang kita dengar khususnya ketika musim perayaan ini. Orang mahu beraya pun susah kerana tiada air,” kata pemimpin tersebut.

    Tetapi bila masalah yang sama berlaku di Kelantan dan Kedah, ia dianggap kegagalan kerajaan negeri yang memerintah? Kenapa tidak ada peruntukan khas dipohon bagi membantu kedua-dua negeri itu? Adakah kerana ia negeri di bawah pembangkang? Bukankah sebagai kerajaan pusat layanan sama rata harus diberikan kepada setiap negeri supaya ‘TIDAK BERPOLITIK SEPANJANG MASA’ seperti mana nasihat Zahid.

    Penulis sekadar bertanya kerana sudah muak melihat retorik politik yang berlaku dalam kerajaan sehingga dianggap cakap lain buat lain’.

    Kalau Zahid tidak bersetuju dengan pandangan itu, Zahid nasihatlah dulu PEMIMPIN KANAN KERAJAAN’ tersebut supaya janganlah berpolitik ketika bukan musim pilihan raya. Betul tak?

  • Sultan Selangor titah jemaah haji kekal disiplin ketika di Tanah Suci

    Sultan Selangor titah jemaah haji kekal disiplin ketika di Tanah Suci

    BAKAL jemaah haji Malaysia terutama dari Selangor diingatkan supaya mengekalkan disiplin dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    Baginda turut menasihatkan bakal jemaah haji supaya berbincang secara baik dengan pegawai Tabung Haji (TH) sekiranya ada sebarang kekurangan atau permasalahan.

    “Jangan mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media-media sosial kerana ia hanya merumitkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah.

    “Beta mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas kesungguhan dalam memastikan kebajikan jemaah haji Negara sentiasa terpelihara,” titahnya pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor anjuran TH dan Jabatan Agama Islam Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini.

    Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

    Sementara itu Sultan Selangor turut memohon doa dari rakyat agar baginda dan Tengku Permaisuri Selangor diberi kesihatan yang baik dan dapat menunaikan fardhu haji dengan sempurna serta mendapat pahala haji yang mabrur.

    “Insya-Allah, beta juga akan menunaikan fardhu haji tahun ini walau pun telah menunaikan fardhu haji pada tahun 2002 lepas.
    “Pada kali ini, beta akan membawa bersama Tengku Permaisuri Selangor untuk menunaikan haji,” titah baginda.

    Seramai 6,000 bakal jemaah haji dari Selangor mengikuti kursus perdana haji tahun ini yang dianjurkan TH dalam usaha meningkatkan tahap pengetahuan jemaah haji sebelum bertolak ke Tanah Suci.

  • Hafizah 30 juzuk al-Quran raih markah ACCA kedua tertinggi dunia

    Hafizah 30 juzuk al-Quran raih markah ACCA kedua tertinggi dunia

    SEORANG penghafaz al-Quran atau ‘hafizah’ meraih pencapaian cemerlang apabila menduduki tempat kedua peringkat dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi sesi Mac lepas.

    Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, Safwa Zamri, 19, menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas ‘FA1-Rekod Transaksi Kewangan’ dengan memperoleh markah 98 peratus, sekali gus berada pada kedudukan pertama di Malaysia.

    Safwa berkata beliau tidak mempunyai asas pengajian perakaunan kerana mengambil aliran sains tulen dan hafazan (agama) ketika belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

    “Saya memperoleh keputusan 12 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran ketika berada di tingkatan dua iaitu selepas dua tahun menghafaz al-Quran.

    “Ketika mahu menyambung pelajaran ke UiTM, ibu bapa saya mencadangkan supaya saya pilih jurusan perakaunan kerana sesuai dengan kebolehan saya, selain memang minat matematik.

    “Empat adik-beradik saya lulusan perubatan dan kejuruteraan, jadi biar ada seorang dalam bidang perakaunan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Pengkalan Kubur, dekat Besut.

    Pelajar tajaan Yayasan Terengganu itu, berkata beliau bertekad memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan ACCA, walaupun baru enam bulan belajar tentang perakaunan.

    “Ketika mula belajar akaun, saya sedikit buntu tapi saya atasinya dengan kerap membuat latihan dan ulang kaji hingga akhirnya timbul minat terhadap bidang itu,” katanya.

    Safwa, yang merupakan anak kepada pasangan guru, Zamri Mohd Amin, 56, dan Rashidah Ab. Rahman, 57, cemerlang sejak sekolah rendah lagi (Sekolah Kebangsaan Tembila) apabila sentiasa memperoleh tempat pertama di dalam kelas.

    “Apabila hendak sesuatu benda (pelajaran), beliau akan berusaha bersungguh-sungguh dan sanggup berjaga malam seorang diri untuk mengulangkaji pelajaran bagi memastikan beliau dapat menguasai sesuatu subjek,” kata Zamri.

  • Sami lari didakwa liwat pengawal keselamatan

    Sami lari didakwa liwat pengawal keselamatan

    SEORANG sami dari Persatuan Kesedaran Krishna Antarabangsa (Iskcon) dituduh meliwat dan melakukan penyeksaan seksual terhadap seorang pengawal keselamatan yang bekerja untuk organisasi itu.

    India Today melaporkan, sami itu dikenal pasti sebagai Jagadartiha Das atau Jayanta Kumar Saha yang memegang jawatan sebagai ketua penyelaras di ibu pejabat kuil Iskcon di Mayapur, Nabadwip.

    Sami itu kini melarikan diri daripada polis, sumber memberitahu India Today.

    Pengadu ialah seorang pengawal keselamatan berusia 29 tahun yang dikaitkan dengan Iskcon sejak enam tahun lalu.

    Dia mendakwa dipanggil ke kamar peribadi sami yang tertuduh pada malam 16 Januari. Pengawal itu berkata, sami itu melakukan penyeksaan seksual dan merogolnya.

    Kata pengadu lagi, apabila dia membantah tindakan sami itu, tertuduh mengugutnya akan kehilangan pekerjaan jika memberitahu sesiapa mengenainya.

    Pengawal keselamatan itu berkata, “beliau memaksa saya untuk melakukan hubungan seks yang menyimpang dengannya di atas kerelaan saya.

    “Saya diserang secara fizikal oleh sami. Selepas kejadian itu, saya mengalami kemurungan mental untuk masa yang lama, saya tidak dapat berkongsi masalah ini dengan sesiapa kerana takut kehilangan pekerjaan juga.”

    Pengadu berkata, apabila dia berkongsi kejadian itu dengan beberapa rakan sekerjanya selepas beberapa hari, dia mendapati perkara yang sama berlaku dengan beberapa daripada mereka.

    Menurut pengawal itu, tertuduh sami melakukan serangan seksual terhadap empat orang lagi yang bekerja di pejabat Iskcon yang sama.

    Selepas insiden itu diketahui, pengarah bersama Mayapur Iskcon membentuk jawatankuasa siasatan dalaman.

    Pihak berkuasa mereka mengeluarkan kenyataan mengatakan sami Jagadartiha Das yang tertuduh, akan hilang kelayakan daripada memegang sebarang jawatan pengurusan di Mayapur Iskcon.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 (kurung yang salah), 377 (kesalahan luar tabii), dan 506 (ugutan jenayah) Kanun Keseksaan India, menurut aduan bertulis oleh pengawal keselamatan.

  • Anwar perlu baiki segera FSA2 atau letak jawatan Menteri Kewangan

    Anwar perlu baiki segera FSA2 atau letak jawatan Menteri Kewangan

    KECELARUAN yang timbul daripada kelulusan untuk i-Cagar FSA2 KWSP daripada MBSB Bank menarik perhatian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dilihat menyusahkan pemohon dan menimbulkan masalah.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau yang juga Ahli Badan Pimpinan Tertinggi (MPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu);

    Malam tadi saya berdiskusi dengan sekumpulan pencarum KWSP yang telah menerima kelulusan untuk i-Cagar FSA2 KWSP daripada MBSB Bank dan dana pinjaman pun telah dimasukkan ke akaun bank mereka. Yang menariknya, semua mereka menerima kelulusan walaupun mereka sebenarnya mempunyai status bankrap.

    Kelulusan itu pada awalnya memberi kelegaan kepada mereka. Tetapi kegembiraan mereka sekejap sahaja kerana sehingga hari ini mereka tidak boleh mengeluarkan kesemua wang yang diluluskan.

    Malahan ada di antara mereka yang menerima SMS daripada MBSB Bank mengarahkan mereka mendapatkan surat pelepasan daripada Jabatan Insolvensi dan jika tidak, pinjaman mereka akan dibatalkan walaupun dana telah dimasukkan ke akaun bank mereka.

    Bagaimana boleh wujud satu keadaan yang mana pinjaman telah diluluskan, dana telah dimasukkan dalam akaun peribadi, tapi peminjam tidak dibenarkan membelanjakan wang itu? Kalau mereka ini tidak layak sebab bankrap, kenapa permohonan diluluskan? Bukan saja lulus, malahan duit pun dah masuk ke akaun peribadi!

    Lebih buruk lagi, salah seorang pencarum berkongsi dengan saya screenshot akaun beliau. Lihat gambar yang saya sertakan. Peminjam ini meminjam RM18,000 dari MBSB dengan mencagarkan wang KWSP yang dia ada. MBSB mengenakan caj pada kadar 4.5% dan tempoh pinjaman ialah 9 tahun.

    Lihat sendiri screenshot pertama. Jumlah penuh yang dia perlu bayar ialah RM35,601.12. Dua kali ganda dari jumlah RM18,000 yang dia pinjam!!

    Daripada seorang yang elok-elok ada wang dalam akaun KWSP sendiri, akibat polisi Anwar Ibrahim, dia kini berhutang RM35,000 dan wang KWSP sendiri pula telah tercagar!

    Saya gesa Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri beri penjelasan kenapa pentadbiran beliau amat cacamarba dan huru hara sehingga rakyat yang susah dianiaya sebegini.

    Tidak pernah ada Perdana Menteri di muka bumi ini yang mencadangkan bahawa penyelesaian bagi mereka yang bankrap sebab berhutang ialah dengan menambah lagi hutang. Ini pemikiran songsang Perdana Menteri yang tidak kompeten.

    Secara khusus, Anwar perlu:

    1. jelaskan bagaimana mereka yang bankrap boleh menerima kelulusan permohonan pinjaman?
    2. beri jaminan bahawa sekiranya pinjaman mereka ini dibatalkan, mereka tidak akan dikenakan apa-apa caj atau faedah walaupun wang telahpun dimasukkan ke akaun peribadi peminjam dan status KWSP mereka kembali kepada sediakala,
    3. pastikan peminjam yang telah mengeluarkan wang pinjaman tidak dipaksa memulangkan wang dengan zalim kepada mereka.
    4. Jelaskan apa rasional kerajaan memaksa pencarum menambah hutang sehingga jumlah bayaran balik jadi berganda dan membebankan.

    Sebenarnya yang paling baik ialah Anwar akui dia telah tersilap dengan FSA2 i-Cagar. 𝙐𝙗𝙖𝙝 𝙨𝙖𝙟𝙖 𝙠𝙚𝙥𝙖𝙙𝙖 𝙥𝙚𝙣𝙜𝙚𝙡𝙪𝙖𝙧𝙖𝙣 𝙆𝙒𝙎𝙋 𝙗𝙚𝙧𝙨𝙖𝙨𝙖𝙧 𝙨𝙚𝙥𝙚𝙧𝙩𝙞 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙨𝙖𝙮𝙖 𝙜𝙚𝙨𝙖 𝙨𝙚𝙗𝙚𝙡𝙪𝙢 𝙞𝙣𝙞. Itu adalah penyelesaian lebih tepat dan tidak menambah hutang pencarum.

    Jika Anwar tidak dapat terima hakikat bahawa dasar songsang yang dia bawa ini menyusahkan rakyat, lebih baik Anwar letak sahaja jawatan Menteri Kewangan dan berikan kepada orang yang lebih kompeten.

  • Ada pihak ‘buat kerja’ pastikan siaran langsung Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas tak tersiar di media sosial?

    Ada pihak ‘buat kerja’ pastikan siaran langsung Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas tak tersiar di media sosial?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MUNGKINKAH ada pihak yang ‘gentar’ dengan sambutan pengunjung terhadap Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS di Kompleks Pas Kedah semalam hingga ada yang melakukan sabotaj terhadap siaran langsung di media sosial?

    Perkara itu dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di laman Facebooknya semalam.

    Muhammad Sanusi mendakwa, siaran langsung majlis itu tidak dapat dibuat kerana ada pihak yang ‘buat kerja’.

    “Setakat pukul 12 tadi (semalam) dianggarkan 50,000 tetamu hadir hingga sesak di luar dan dalam dewan, ‘meghemut’.

    “Cuma sayang, siaran langsung majlis itu tidak dapat disiarkan. Awal ‘depa’ buat kerja,” katanya.

    Terdahulu di laman Facebook sama, siaran langsung majlis tersebut hanya tersiar selama kira-kira 30 minit memaparkan kehadiran tetamu, dan berakhir sebaik Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden membuat pengumuman menjemput tetamu menikmati hidangan.

    Dalam ucapan ringkas tersebut, Afnan turut menyatakan bahawa kalangan tetamu akan mendengar ucapan beberapa pimpinan selepas menikmati jamuan disediakan.

    Sementara itu dalam status sama, Muhammad Sanusi turut memaparkan klip video memaparkan kalangan pemimpin PN mengangkat lima jari mereka kepada kalangan jurugambar.

    Beliau kemudiannya berkias mengenai maksud lima jari tersebut.

    “Ada apa dengan lima? 50,000 tetamu yang hadirkah? Takkan ‘kot’,” katanya.