Category: Semasa

  • 580 individu ditahan terlibat judi dalam talian di Johor

    580 individu ditahan terlibat judi dalam talian di Johor

    POLIS menahan 580 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian dalam 554 serbuan menerusi Op Dadu Khas di Johor sejak 1 Januari hingga Sabtu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan berusia 17 hingga 60 tahun, yang terdiri daripada 562 penjaga premis dan 18 pemain judi.

    Beliau berkata, 44 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala lapan premis telah mendapat kelulusan pembatalan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

    “Kita turut merampas 606 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh unit tablet, enam unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM190,890,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika disabit kesalahan.

    Kamarul Zaman berkata, tahun lepas 1,080 individu ditahan melibatkan 1,012 penjaga premis dan 68 pemain judi dalam talian, semuanya berumur antara 17 dan 60 tahun.

    “Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau pun bilik gerakan polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677,” katanya.

  • Kenaikan OPR:Rafizi minta Hassan jangan serang kerajaan

    Kenaikan OPR:Rafizi minta Hassan jangan serang kerajaan

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli menasihatkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim untuk tidak menyerang kerajaan berhubung kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus, baru-baru ini.

    Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, sebelum ini beliau ada bertemu Hassan dan bercakap mengenai perkara tersebut.

    “Saya menasihatkan beliau untuk terus berhubung dengannya atau pun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya mempunyai sebarang kekeliruan berhubung isu tersebut.

    “Kami dah berikan penjelasan kepada dia. Saya ingat lepas berikan penjelasan dia tak buat kenyataan lagi tapi dia buat juga.

    “Jadi, saya dah maklumkan kat dia bahawa jangan hanya terikut-ikut dengan rentak yang kadang-kadang dimainkan oleh pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Rumah Terbuka Parlimen Pandan, Kuala Lumpur hari ini.

    Rafizi mengulas gesaan Hassan supaya beliau dan Anwar menjelaskan kenaikan OPR kepada 3 peratus serta tidak mahu rakyat yang tidak berpuas hati, ‘menempelak’ kerajaan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Kata Hassan, penjelasan itu penting terutama tidak lama lagi Kerajaan Perpaduan akan berdepan PRN di enam negeri.

    Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dikritik pengguna media sosial selepas meluahkan kemarahan dengan laporan Berita Harian yang memetik penganalisis sebagai menjangkakan OPR akan naik dalam beberapa bulan ini.

    Laporan itu antara lain melaporkan penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

    Fahmi menyifatkan laporan tersebut sebagai fitnah dan mahu Berita Harian Online membetul dan menjelaskan selain beliau sendiri mengumumkan akan berjumpa dengan pengurusan akhbar itu.

    Mengulas lanjut berhubung PRN, Rafizi berkata, keputusan undian tidak sepenuhnya bergantung kepada isu kenaikan OPR mahupun pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebaliknya terdapat isu lain juga.

    “Jadi, setakat ini penerimaan rakyat terhadap pengurusan ekonomi oleh kerajaan perpaduan nampak baik, sebab itu walaupun tidak diumumkan tapi saya mengikuti dengan dekat,” katanya lapor FMT.

    Rafizi turut menolak andaian Hassan yang juga veteran PKR akan berdepan tindakan kerana menegur kerajaan.

  • Banyak usaha sedang dibuat untuk dapatkan semula aset 1MDB – Johari

    Banyak usaha sedang dibuat untuk dapatkan semula aset 1MDB – Johari

    PENGERUSI Pasukan Petugas 1MDB, Johari Abdul Ghani berkata, pelbagai usaha sedang diambil untuk mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB, termasuk daripada Goldman Sachs.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, keutamaan pasukan petugas itu adalah untuk mendapatkan semula aset berkenaan, manakala kes melibatkan jenayah dan tangkapan pula akan dilakukan oleh pihak berkuasa.

    “Ini kena bezakan, saya lebih menumpukan kepada mendapatkan kembali aset (1MDB). Mana-mana melibatkan kes-kes jenayah dan juga melibatkan penangkapan, akan dibuat oleh pihak berkuasa.

    “Jadi insya-Allah, saya fikir lebih banyak yang kita tengah buat khususnya dengan Goldman Sachs,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kampung Baru, hari ini, lapor Malaysiakini.

  • ‘Proklamasi Orang Melayu satukan semua tanpa mengira parti’

    ‘Proklamasi Orang Melayu satukan semua tanpa mengira parti’

    PAS optimis Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh mencapai matlamat tanpa melihat ia sebagai saingan atau gerakan politik bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, berbanding gerakan politik, proklamasi itu dibuat untuk menyatukan semua orang dan ia lebih bersifat individu berbanding gabungan politik.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai percaya gerakan tersebut boleh berjaya kerana itu bukan suatu gerakan politik.

    “Sebaliknya lebih kepada usaha menyatukan semua membabitkan individu termasuk mereka yang berbeza parti politik.

    “Kita melihat bagaimana kerajaan dipimpin majoriti Melayu di Kelantan dan Terengganu yang tidak pernah berlaku penindasan atau diskriminasi kepada minoriti orang bukan Melayu.

    “Perkara yang dicakapkan ini bukan retorik kerana ia ini berlaku di Kelantan walaupun sudah hampir 30 tahun, namun tidak timbul isu soal rasis atau penindasan terhadap bukan Melayu di negara kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Dewan Astaka Batu Kurau, di Larut, hari ini.

    Idris mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan ketika ini mempunyai makna lebih besar berbanding Proklamasi Orang Melayu.

    Pada 3 Mei lalu, media melaporkan beberapa pemimpin Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’ diterajui Dr Mahathir.

    Proklamasi itu menimbulkan beberapa spekulasi termasuk dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) bakal berpecah susulan pembabitan ahli Parlimen parti itu dengan proklamasi terbabit, selain didakwa usaha memancing undi Melayu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

    Ditanya dakwaan sama ada proklamasi terbabit bakal membawa perpecahan antara Pas dan BERSATU memandangkan pemimpin Bersatu tidak diajak dalam pertemuan antara pemimpin Pas dengan Dr. Mahathir ketika menandatangani proklamasi itu 3 Mei lalu, Idris menafikannya.

    Katanya, perkara itu boleh dilihat sendiri dengan kehadiran ramai pemimpin Bersatu ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut Alor Setar, kelmarin, yang dihadiri hampir 50,000 pengunjung.

    “Sebenarnya perkara itu sudah terjawab semalam dalam jamuan raya Pas Pusat yang dihadiri pimpinan tertinggi Bersatu, hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

    “Jadi persepsi yang dimainkan mengatakan seolah-olah Pas meninggalkan Bersatu sebab tak bawa sekali berjumpa Dr Mahathir tidak betul sama sekali,” katanya, lapor Berita Harian.

    Idris turut memberikan jawapan sama ketika ditanya tanggapan sesetengah pihak yang mencetuskan persepsi bahawa pertemuan Abdul Hadi dengan Dr Mahathir akan menyebabkan penyokong PAS peringkat akar umbi terluka dengan sejarah yang pernah tercatat antara dua pemimpin berkenaan termasuk kejadian berdarah Peristiwa Memali 1985.

    “Semalam dianggarkan hampir 50,000 pengunjung datang majlis raya kita walaupun peristiwa itu (Memali) berlaku di Kedah,” katanya.

  • Doakan Pak Lah, kesihatannya semakin merosot – Khairy

    Doakan Pak Lah, kesihatannya semakin merosot – Khairy

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, meminta orang ramai mendoakan kesihatan bapa mentuanya yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang kini semakin merosot.

    Khairy berkata, Abdullah yang lebih mesra dipanggil Pak Lah itu sekiranya dilihat daripada segi tubuh badan nampak sihat, namun kesan kepada pemikirannya dan memorinya semakin merosot.

    “Ada soalan yang saya nampak dan ingin mengetahui mengenai perkembangan terkini Pak Lah. Tubuh badannya nampak sihat, Alhamdulillah, tetapi daripada segi fungsi mindanya, tahapnya semakin merosot dan berada pada tahap ‘advance’.

    “Jadi saya minta orang ramai untuk doakan kesihatan dan kesejahteraannya,” katanya menerusi Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dikendalikan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

    Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO itu ketika menjadi Menteri Kesihatan buat pertama kalinya mendedahkan mengenai penyakit demensia yang dihidapi oleh Pak Lah.

    Khairy berkata, Pak Lah mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif (cognitive impairment) sejak 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

    Katanya, pada ketika itu beliau bertanyakan pandangan keluarga mentuanya sama ada boleh berkongsi mengenai kesihatan Pak Lah kepada umum.

    “Kerana bagi saya penting untuk kita berikan perhatian dan tumpuan kepada penyakit demensia atau kognitif ini. Sebab kini semakin ramai orang tua menghidap penyakit demensia ini.

    “Jadi saya maklumkan sebelum ini bahawa Pak Lah menghidap demensia, walaupun tubuh badannya sihat tetapi penyakit ini memberi kesan kepada pemikiran beliau, tahap memori dan ingatannya tiada,” katanya.

    Sementara itu, Shahril ketika mengimbas kembali kepada kepimpinan Pak Lah berkata, ramai yang berpendapat pembabitannya dalam UMNO disebabkan oleh Khairy.

    Bagaimanapun, kataya, antara sebab beliau menyertai UMNO adalah disebabkan kepimpinan Pak Lah yang banyak membuka ruang kebebasan media kepada orang ramai.

    “Tak ramai mengetahui alasan utama pada ketika itu adalah disebabkan Pak Lah menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Bukannya saya tidak suka yang pada ketika itu Datuk Seri Dr. Mahathir, namun ketika usia dalam lingkungan 19 ke 20 tahun saya nak lihat reformis kepada agenda Melayu dan Malaysia.

    “Pak Lah ketika itu memimpin UMNO yang dah mula reformis, bercakap mengenai adakah perlu kekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), melaksanakan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan ini semua pembukaan kepada institusi dan ruang media.

    “Sebagai pemimpin pelajar ketika di United Kingdom, kami laksanakan forum antara ahli dan pimpinan politik di UK dan Malaysia. Di bawah Tun Mahathir, saya tak yakin semua ini dapat dilaksanakan.

    “Namun di bawah Pak Lah, Pejabat Perdana Menteri izinkan kebebasan media seperti debat pelajar dan ia jauh lebih baik berbanding dengan zaman sebelumnya,” katanya.

    Khairy yang pada ketika itu turut mencelah sambil berkata, beliau bukannya mahu menyatakan ada hikmah di sebalik penyakit yang dihidapi bapa mentuanya, namun sekurang-kurangnya Pak Lah tidak mengetahui apa yang berlaku kepada UMNO kini.

    “Pak Lah sangat sayangkan UMNO, walaupun dia ‘Team B’ ketika Tun M melawan Tengku Razaleigh Hamzah dan tidak menyokong Mahathir, biarpun kena pecat daripada Kabinet, dia tidak pernah keluar parti itu dan masuk Semangat 46.

    “Dia juga mengingatkan saya untuk kekal setia sehinggalah saya dipecat. (Penyakit demensia) ini membuatkan dia tak sedar apa yang berlaku pada parti yang sudah dia tinggalkan.

    “Kalau dia sedar dan boleh berfikir seperti biasa, pasti akan sedih melihat apa yang berlaku pada UMNO kini,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Laporan penuh siasatan dalaman pelatih TUDM dibuli siap dalam masa terdekat

    Laporan penuh siasatan dalaman pelatih TUDM dibuli siap dalam masa terdekat

    LAPORAN penuh siasatan dalaman melibatkan seorang pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa dibuli pelatih senior di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang yang tular baru-baru ini dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat.

    Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata siasatan dalaman itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk semua maklumat yang dilapor atau diterima daripada pihak media atau orang perseorangan.

    “Kementerian Pertahanan mengambil serius kejadian buli yang berlaku melibatkan pelatih TUDM yang dilaporkan berlaku baru-baru ini dan siasatan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan di peringkat kementerian juga, siasatan dalaman turut dilakukan.

    “Saya yakin dalam masa terdekat ini, laporan itu akan diterima dan dibentangkan pada mesyuarat pasca-Kabinet kementerian akan datang. Jika ada kelemahan, kita akan perbaiki dan beri kerjasama kepada semua pihak termasuk PDRM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Melaka hari ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai luahan seorang wanita mendakwa adik lelakinya dibuli di pusat latihan tentera udara dan wanita itu turut berkongsi gambar beberapa anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa membuli adiknya ketika menjalani latihan di pusat itu.

    Pada 3 Mei lepas, media juga melaporkan polis mengesahkan empat lagi pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendakwa dipukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lepas.

    Dalam perkembangan lain, Adly berkata latihan ketenteraan menjelang fenomena El Nino yang diramal berlaku pada Jun akan tetap diteruskan namun ia bergantung kepada situasi semasa.

    “Latihan (ketenteraan) akan diterus dan dipertingkat seperti ketika tempoh penularan COVID-19 walaupun terdapat beberapa kekangan. Latihan ATM meliputi pelbagai aspek seperti dua hala dan pelbagai hala yang turut melibatkan negara jiran.

    “Semua perkara akan diambil kira bagi memastikan latihan kita tidak terganggu,” katanya.

  • HRD Corp nafi laporan portal berita ‘mengelirukan’

    HRD Corp nafi laporan portal berita ‘mengelirukan’

    PERBADANAN Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menafikan dakwaan terhadap seorang pegawainya dalam laporan sebuah portal berita hari ini.

    Laporan berkenaan mendakwa Kementerian Kewangan mendapati wujud percanggahan dalam kontrak dan proses perolehan membabitkan seorang pegawai kanan HRD Corp.

    HRD Corp dalam satu kenyataan memberitahu, dakwaan portal berita tersebut mengelirukan Kementerian Kewangan.

    “Portal berita itu tidak menghubungi pihak HRD Corp untuk mendapatkan jawapan terhadap dakwaan itu sebelum menerbitkan laporan berkenaan yang disifatkannya mengelirukan.

    “Artikel tersebut mengandungi kenyataan palsu dan fitnah yang telah menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi dan integriti HRD Corp.

    “Kami mengambil berat terhadap dakwaan tidak betul dalam artikel itu,” menerut perbadan tersebut dalam kenyataan.

    Menurutnya, perkara dinyatakan dalam surat Kementerian Kewangan itu, yang mendakwa wujud percanggahan dalam kontrak dan proses perolehan, serta portal berita itu dakwa dilihatnya, sudah dijawab dan diselesaikan dalam mesyuarat lembaga pengarah HRD Corp.

    Jelasnya, kandungan surat itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang bukan untuk tatapan awam dan penerbitan media.

    HRD Corp berkata, ia tidak akan membiarkan dakwaan tidak berasas itu tidak dijawab dan tindakan perlu akan diambil untuk mempertahankan reputasi serta melindungi kepentingannya.

    “Untuk itu, HRD Corp telah mengarahkan peguam kami memulakan tindakan undang-undang bagi memastikan penarikan balik artikel berkenaan dan permohonan maaf daripada portal berita itu,” tegas HRD Corp, lapor FMT.

  • SPRM rampas dokumen sekutu Jho Low

    SPRM rampas dokumen sekutu Jho Low

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas beberapa dokumen ketika penggeledahan rumah sekutu Jho Low yang ditahan Rabu lalu selepas enam tahun menghilangkan diri.

    Sumber berkata, dokumen terbabit diambil bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

    “Setakat ini tiada aset baharu yang dirampas sebaliknya sebelum ini SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) telah menyita akaun bank miliknya berjumlah kira-kira AS$5.2 juta (RM23.07 juta).

    “Usaha mengesan aset 1MDB kini sedang dijalankan bagi menyelesaikan kes terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sumber berkata, SPRM juga sedang giat mengesan dan bekerjasama dengan agensi luar bagi suspek lain yang melarikan diri serta mendapat kembali wang yang diterima mereka.

    Semalam, Harian Metro melaporkan cubaan suspek skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd pulang ke negara ini selepas enam tahun menghilangkan diri, gagal apabila ditahan SPRM.

    Menurut sumber, suspek yang difahamkan bersembunyi di Hong Kong mencuba nasib pulang ke tanah air, namun tidak menyangka dia termasuk dalam senarai orang dikehendaki.

    Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan sedang mengadakan rundingan menerusi saluran diplomatik dengan beberapa negara bagi mempercepatkan proses membawa pulang Jho Low.

    Anwar dilaporkan berkata, proses berkenaan agak rumit kerana membabitkan beberapa negara termasuk aspek perisikan dan Interpol.

  • Pertemuan Hadi-Tun M: Pas nafi mahu tinggalkan Bersatu – Idris

    Pertemuan Hadi-Tun M: Pas nafi mahu tinggalkan Bersatu – Idris

    PAS menafikan dakwaan pertemuan yang berlangsung antara Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini sebagai langkah Pas untuk meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, ini kerana kerjasama dan hubungan antara dua parti itu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) masih kuat.

    “Ini terbukti menerusi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kedah semalam yang mana antara lain turut dihadiri pemimpin-pemimpin Bersatu.

    “(Dakwaan Pas hendak tinggalkan Bersatu) itu tidak betul. Malah sebenarnya rancangan pertemuan dengan Tun Mahathir itu sudah dirancang lebih lama namun telah tertangguh hampir empat kali.

    “Ketika itu sahaja Tun Mahathir berkelapangan (untuk adakan pertemuan dengan Abdul Hadi) yang mana pada asalnya ada program rasmi untuk itu, namun telah dibatalkan pada saat-saat akhir,” katanya lagi.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut, hari ini.

    Turut hadir, Ahli Parlimen Larut merangkap Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Idris sebelum itu diminta mengulas berkenaan dakwaan partinya akan meninggalkan Bersatu selepas Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir bagi menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’, baru-baru ini.

    Sementara itu, Idris turut diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad yang menyifatkan pertemuan antara dua pemimpin itu sebagai satu ‘Kesepakatan Ahzab’ untuk memporak-perandakan negara.

    “Hebatlah kalau kami ini ‘Ahzab’. Dan mereka siapa pula? Itu dia (Khalid) pula kena jawab. Kalau mereka kata kami ini Ahzab, jadi Pakatan Harapan tu apa pula? Itu sahaja komen saya,” jawabnya.

  • Tidak timbul isu tukar kerajaan kalau adil agih peruntukan – Hamzah

    Tidak timbul isu tukar kerajaan kalau adil agih peruntukan – Hamzah

    KERAJAAN Perpaduan perlu bersikap lebih adil terutama dalam soal pengagihan peruntukan yang tidak hanya terlalu tertumpu kepada negeri-negeri yang ditadbir parti kerajaan.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana sekiranya keadilan dalam soal pengagihan peruntukan dapat dilaksanakan, maka isu pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan Pusat tidak akan timbul.

    “Berikan keadilan kepada semua. Dana (daripada Persekutuan) kalau duit itu datangnya daripada duit kerajaan, maka seelok-eloknya (berikan) kepada semua. Jadi (sebab itulah sekarang ini) timbul isu siapa nak ambil alih (tampuk pemerintahan ketika ini). Isu ambil alih (pentadbiran kerajaan) ini adalah isu perundangan.

    “Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, orang yang belum ada mungkin akan mencari untuk adakannya, sebab telah pun dikatakan sebegitu rupa. Jadi mungkin akan jadi ada.

    “Namun, seperti dalam ucapan saya tadi, Saya tak tahu pun (desas-desus isu pertukaran kerajaan), kerana saya hanya duduk diam-diam sahaja,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Larut hari ini.

    Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat tidak menyebut nama mana-mana individu tetapi berkata, ada seseorang pemimpin itu seharusnya bijak dalam soal pengurusan dan bukan hanya terlalu banyak bercakap.

    “Ada orang pandai bercakap tetapi tidak tahu untuk menguruskannya. Sebab itu dalam Islam yang penting adalah pengurusan, bukan bercakap. Yang pentingnya biarlah kita berlakuk adil. Adilnya untuk siapa? Adil untuk rakyat,” ujarnya, lapor Astro Awani.