Category: Semasa

  • Tolak mereka yang serang tokoh Melayu secara peribadi-Hadi

    Tolak mereka yang serang tokoh Melayu secara peribadi-Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu menyokong Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Kata Ahli Parlimen Marang itu, usaha Mahathir dengan mempertemukan pemimpin politik, ilmuwan dan pertubuhan bukan kerajaan penting dalam memperkasa bangsa itu kembali.

    “Ketepikan mereka yang tenggelam dalam mengejar apa sahaja cita-citanya sehingga matlamat menghalalkan segala cara dan menyerang tokoh-tokoh Melayu secara peribadi yang berjaya dalam politik, ekonomi, akademik dengan berbagai-bagai ungkit-mengungkit dan sindiran.

    “Pada masa yang sama, mereka itu bersekongkol dengan kalangan yang nyata bukan Islam dan bukan Melayu yang paling besar dan banyak penyakaunya, paling ramai kaya-raya menjadi penyumbang dan penerima rasuah,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook milinya, hari ini.

    Abdul Hadi menambah, masyarakat Melayu kini berada dalam masalah kerana berpecah-belah dan pada masa yang sama mengalami keruntuhan moral.

    Justeru, beliau menyatakan bahawa usaha penyatuan berkenaan penting supaya kuasa politik bangsa tersebut tidak terlucut.

    “Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam, sepertimana Rasulullah SAW memulakan dengan perpaduan bangsa Arab,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Baru-baru ini, beberapa pemimpin Pas termasuk beliau sendiri dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menandatangani proklamasi tersebut.

    Perkara tersebut bagaimanapun mengundang reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk Pemimpin Kanan DAP, Dr P Ramasamy.

    Ujar beliau, proklamasi tersebut hanya propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

  • Laporan salah laku JPJ ‘tak diendah’, Loke akan jumpa Azam

    Laporan salah laku JPJ ‘tak diendah’, Loke akan jumpa Azam

    MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan menemui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung laporan salah laku yang dikatakan tidak diendahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Saya perlu berlaku adil terhadap individu dinyatakan dalam pelbagai laporan salah laku difailkan SPRM.

    “Saya tiada banyak maklumat mengenainya, tetapi disebabkan agensi di bawah kementerian saya disebut, saya mahu berjumpa dengan (Azam) dahulu,” katanya dalam majlis rumah terbuka AIdilfitri kementeriannya, hari ini.

    Beliau berkata, dirinya dan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

    Jika ada bukti kukuh berhubung salah laku itu, beliau ingin tahu butiran setiap kes dan pegawai mana terlibat, lapor FMT.

    Terdahulu, Azam dilaporkan berkata, SPRM masih menunggu tindakan susulan agensi kerajaan berhubung lebih 500 laporan salah laku, yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu.

  • Sivakumar sahkan 5 pegawai dipecat

    Sivakumar sahkan 5 pegawai dipecat

    MENTERI Sumber Manusia, V. Sivakumar mengesahkan lima pegawainya ditamatkan perkhidmatan, sambil menegaskan langkah itu bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik.

    “Itu memang berlaku, kita nak pastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik,” katanya, lapor FMT.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan kemuncak bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (PKP) bersama syarikat berkaitan kerajaan 2023, hari ini.

    Pada 4 Mei lalu, sumber kementerian memberitahu FMT, kontrak lima pegawainya diberhentikan.

    Sementara itu, seorang lagi pegawai dipindahkan dari Kementerian Sumber Manusia ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pembantu Sivakumar, namun membebaskan mereka selepas perintah reman empat hari tamat 17 April lalu.

    Penahanan mereka dipercayai berhubung siasatan kelulusan kuota pekerja asing.

    Beberapa pihak sebelum ini mendesak Sivakumar bercuti atau meletakkan jawatan selepas beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

    Bagaimanapun, Sivakumar bertegas tidak akan meletak jawatan, sambil menyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berpandangan tiada keperluan baginya berbuat demikian.

    Ditanya mengapa mereka dipecat ketika kes itu masih dalam siasatan, Sivakumar enggan menjawab dan terus beredar.

  • Penggunaan air pili bomba dibenarkan – AKSB

    Penggunaan air pili bomba dibenarkan – AKSB

    AIR Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) memaklumkan penggunaan air daripada pili bomba untuk tujuan kecemasan dan atas kepentingan awam dibenarkan.

    Syarikat air tersebut AKSB dalam satu kenyataan itu memberitahu, Seksyen 42(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, AKSB selaku pemegang lesen perkhidmatan air hendaklah membenarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengambil air bagi memadamkan kebakaran daripada mana-mana sesalur air utama atau paip lainnya yang dipasang dengan pili bomba.

    Sementara itu, Seksyen 23(1) Akta Perkhidmatan Bomba 1998 membenarkan pihak berkuasa air dan ejennya (AKSB) untuk menggunakan mana-mana pili bomba atau aliran air kepadanya.

    Persefahaman dengan JBPM telah dibentuk berkenaan hal ini khususnya dalam menghadapi saat-saat kecemasan dan atas kepentingan awam, lapor Sinar Harian.

    Warta Rakyat pada Ahad melaporkan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff menafikan dakwaan beliau mencuri air daripada pili bomba sebagaimana tular sejak semalam.

    Siti Zailah melalui kenyataan dalam Facebooknya berkata, bekalan itu merupakan saliran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sudah mendapat kebenaran syarikat terbabit.

    Beliau memberitahu, kerja-kerja menyediakan bekalan air itu mendapat kerjasama daripada Balai Bomba Rantau Panjang bagi memenuhi keperluan rakyat dengan segera.

  • Lelaki maut dihempap kayu balak

    Lelaki maut dihempap kayu balak

    SEORANG lelaki maut selepas dipercayai dihempap kayu balak di kilang papan Sri Wangi, Kawasan Perindustrian Gua Musang, Gua Musang, pukul 2.15 petang semalam.

    Insiden berlaku ketika mangsa berusia 53 tahun sedang menurunkan kayu balak dari lori menggunakan kaedah yang biasa iaitu membuka empat rantai dan ‘chain-lock’ kecuali bahagian tengah.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati selepas membuka ‘chain lock’ mangsa telah pergi ke arah kanan lori dan bertindak menarik rantai terbabit.

    “Perbuatan tersebut telah menyebabkan sebatang balak telah jatuh lalu menghempap badan mangsa.

    “Rakannya yang berada di lokasi kemudiannya telah membawa mangsa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, siasatan polis di tempat kejadian mendapati bahawa tiada unsur jenayah yang berlaku.

    “Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian mangsa ialah ‘massive blood loss secondary’.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Kes buli pelatih TUDM, lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan

    Kes buli pelatih TUDM, lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan

    POLIS memanggil 10 individu untuk diambil keterangan bagi tujuan siasatan berhubung kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, selain mangsa pihaknya juga telah memanggil dan mengambil keterangan enam suspek yang didakwa terlibat dalam kes memukul pelatih tersebut.

    “Siasatan berhubung kes tersebut masih berjalan termasuk memanggil sebanyak mungkin saksi dalam kalangan pelatih dan penyelia bagi membantu siasatan.

    “Siasatan dijangka tidak mengambil masa yang lama dan diselesaikan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perhimpunan khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang di Kuantan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, setakat ini, semua enam suspek yang didakwa terlibat belum ditahan sebaliknya hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

    Siasatan ujar beliau, akan dilakukan melibatkan pelbagai aspek dan jika didapati berlaku elemen jenayah tindakan selanjutnya akan diambil bergantung kepada hasil siasatan termasuk untuk pendakwaan dan sebagainya.

    Media sebelum ini melaporkan lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.
    Kejadian terbongkar selepas keluarga salah seorang mangsa tampil membuat laporan polis sebelum ditularkan di Twitter.

  • Agensi kerajaan tak endah laporan SPRM mengenai salah laku, kata Azam

    Agensi kerajaan tak endah laporan SPRM mengenai salah laku, kata Azam

    ADA antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan tindakan diambil.

    Ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih menunggu tindakan susulan daripada agensi kerajaan berhubung lebih 500 laporan salah laku, yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu.

    “Jika kami (SPRM) temui unsur-unsur salah laku, menjadi kewajipan kami melaporkannya kepada ketua jabatan (agensi kerajaan),” katanya menurut New Straits Times.

    “Ketua-ketua jabatan kemudian akan melaporkan semula kepada kami, mengesahkan bahawa mereka menerima laporan itu.”

    Beliau berkata, selepas agensi kerajaan mengesahkan laporan itu, jawatankuasa terdiri daripada ketua jabatan terpilih akan dibentuk untuk menyiasat kes terbabit.

    Walaupun kes jenayah akan dibawa ke mahkamah, salah laku akan disemak oleh jawatankuasa, dengan ketua jabatan mempunyai hak memutuskan tindakan terhadap kakitangan mereka selepas siasatan.

    Azam berkata, walaupun pekeliling dikeluarkan kepada semua ketua jabatan berhubung perkara itu, ramai yang memilih untuk tidak mengendahkannya.

    “Ketua jabatan tidak boleh lupa tentang pekeliling itu. Ramai yang tidak mengendahkannya dan kami menghantar surat untuk mengingatkan mereka.

    “Mereka mesti ambil tindakan kerana ia pekeliling daripada ketua setiausaha (negara), bukan daripada saya,” katanya.

  • Hafidz Roshdi hadir di mahkamah bagi pengesahan lafaz cerai

    Hafidz Roshdi hadir di mahkamah bagi pengesahan lafaz cerai

    “SELEPAS perbicaraan kami akan jumpa (kes lafaz cerai).”

    Demikian respons pelakon Hafidz Roshdi ketika tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.

    Memetik laporan Kosmo!, Hafidz tiba di mahkamah pada pukul 9.50 pagi dengan berbaju bercorak batik berwarna merah turut ditemani bapa saudaranya.

    Hari ini merupakan sebutan pengesahan lafaz cerai antara pelakon drama rantaian, Tundukkan Playboy itu dan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

    Terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan itu menjadi topik bualan hangat apabila Shuhada memfailkan perceraian terhadap Hafidz di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari lalu selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah keluarga.

    Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz menceraikan kakaknya dengan talak satu menerusi panggilan telefon pada 22 Februari lalu.

    Rentetan itu, Shuhada dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas didakwa ditumbuk oleh Hafidz dalam sebuah kejadian di Sungai Buloh, Selangor.

    Akibat daripada kejadian tersebut, Shuhada yang ditumbuk suaminya sebanyak tiga kali menerima 10 jahitan di bahagian pipi kiri dan bengkak pada mata.

    Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar berusia dua tahun.

  • 4 PATI India berkas ketika seberang Sungai Golok

    4 PATI India berkas ketika seberang Sungai Golok

    EMPAT pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India dicekup ketika cuba menyeberangi Sungai Golok untuk memasuki negara ini semalam.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, perbuatan tersebut dikesan pada jam 11.40 pagi ketika mereka menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand.

    Jelasnya, kejadian tersebut berlaku di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia.

    “Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan Pos Pemerhati telah berjaya menahan empat individu yang telah memasuki negara secara haram dengan menyeberangi Sungai Golok.

    “Hasil pemeriksaan mendapati empat PATI yang ditahan merupakan warganegara India dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

    Katnya, Semua PATI yang ditahan terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki berumur antara 25 hingga 39 tahun.

    Turut dirampas adalah tiga telefon bimbit, wang dalam mata wang Malaysia, India dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM4,324.48

    “Kesemua PATI itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Bunga,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut kenyataan itu, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan PATI.

  • Wanita maut dipercayai dipukul abang kandung

    Wanita maut dipercayai dipukul abang kandung

    SEORANG wanita maut disyaki akibat dipukul abang kandungnya sendiri dalam kejadian di kediaman mereka di Jalan Signal Hill, Kota Kinabalu, Khamis lepas. 

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdulah berkata mangsa yang berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia 10.30 malam Sabtu di Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu setelah dua hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

    “Mangsa ditemui kira-kira 4.50 petang oleh bapanya dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri dengan kesan luka teruk di bahagian muka. Bapa mangsa mengesyaki anak lelakinya yang memukul mangsa kerana hanya suspek dan mangsa berada di rumah pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zaidi berkata sejurus selepas laporan dibuat, satu tangkapan dilakukan terhadap abang kandung mangsa berusia 26 tahun di rumah berkenaan serta merampas dua bentuk cincin dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan mangsa.

    “Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek menunjukkan tiada sebarang kesan pengambilan dadah dan suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.