Category: Semasa

  • Bekas ahli Parlimen persoal DAP, diam diri dalam isu Lynas

    Bekas ahli Parlimen persoal DAP, diam diri dalam isu Lynas

    BEKAS ahli Parlimen DAP yang menjuarai isu Lynas sebelum ini kecewa dengan tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan lanjutan masa kepada syarikat itu.

    Wong Tack yang juga bekas ahli Parlimen Bentong dan aktivis alam sekitar mempersoalkan pendirian wakil rakyat DAP khususnya yang sebelum ini lantang bersuara menentang operasi syarikat berkenaan.

    Katanya, perkembangan ini secara tidak langsung membuktikan ‘perjuangan’ parti itu hanyalah sekadar membawa naratif untuk meraih undi semata-mata.

    “Sangat mengecewakan kerana ketika pentadbiran Dr. Mahathir Mohamad, kita ada lapan menteri dari roket (DAP),” katanya, lapor MalaysiaNow

    “Ketika itu, menteri yang mempunyai kuasa ialah dari DAP, Yeo Bee Yin. Tapi semua orang salahkan Mahathir seorang sahaja,” katanya.

    Pada 8 Mei, Anwar mengesahkan kerajaan memberi Lynas Malaysia tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.

    Katanya, lanjutan masa itu disertai dengan syarat ketat dan akan sentiasa dipantau.

    Isu operasi Lynas mendapat tentangan hebat dalam kalangan wakil rakyat daripada PKR dan DAP sejak 2012 apabila mendakwa operasi yang dijalankan oleh syarikat itu menggugat ketenteraman penduduk setempat apabila ia menjejaskan alam sekitar.

    Pada ketika itu, Wong turut menganjurkan Kempen Hijau Anti Lynas dengan berarak sejauh 300 kilometer dari Kuantan Ke Kuala Lumpur selama 12 hari bersama kira-kira 200 peserta untuk meluahkan bantahan serta menggesa kerajaan menutup operasi kilang di ibu negeri Pahang itu.

    Mengulas lanjut, Wong berkata, beliau pernah membawa isu ini kepada Anwar yang pada ketika itu hanya merupakan seorang ahli Parlimen Port Dickson dan tidak mempunyai kedudukan dalam kerajaan.

    Disebabkan Anwar tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, maka Wong diminta bersabar dan isu akan diselesaikan apabila presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

    “Itu janji dia. Saya tunggu. Semua menteri bersama saya pada ketika itu, anti Lynas dan menunggang isu rakyat.

    “Selepas itu lupa. Semuanya jual naratif saja. Dalam politik mereka tidak buat apa-apa pun. 

    “Asalkan menang (pilihan raya) saja. Bukan untuk rakyat. Bukan tak boleh tidur kerana rakyat susah, cuma pentingkan undi,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Wong berkata, beliau sehingga hari ini diminta untuk terus perjuangkan isu berkenaan, namun mengakui semakin berat hati untuk berbuat demikian apabila sudah melaksanakan pelbagai cara untuk ketengahkan masalah tersebut.

    “Saya sudah buat apa yang terdaya. Saya sudah suarakan isu ini banyak kali termasuk ketika saya menjadi Ahli Parlimen bentong.

    “Apa lagi yang saya boleh buat.”

    MalaysiaNow sudah menghubungi Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman untuk meminta penjelasan, tetapi masih gagal.

  • Anwar pun kerap bangkit isu SD semasa jadi pembangkang, kata Faiz

    Anwar pun kerap bangkit isu SD semasa jadi pembangkang, kata Faiz

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya mengenang kembali ‘sejarah’ bahawa dirinya juga kerap membangkitkan isu akuan bersumpah (SD) dan miliki majoriti bagi membentuk kerajaan ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’Aman, justeru adalah tidak wajar untuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada Perikatan Nasional (PN).

    “Kalau bercakap tentang kestabilan kerajaan, kita kena ingat, tengok dahulu sejarah Datuk Seri Anwar berapa kali sidang media yang dibuat bagi mengatakan beliau mempunyai majoriti mencukupi (untuk bentuk kerajaan).

    “(Kalau diikutkan) itu pun boleh dikatakan menjadi salah satu usaha beliau untuk menjatuhkan atau menukar kerajaan (ketika itu),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Edisi 396 bertajuk Kamikaze Politik: Maruah atau Penting Diri? anjuran Sinar Harianmalam tadi.

    Program yang berlangsung kira-kira sejam itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Romli Ishak dan Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

    Mengulas mengenai dakwaan berlakunya langkah kamikaze politik, Muhammad Faiz berkata, tahap ekstrem sedemikian tidak berlaku di negara ini.

    Sebaliknya beliau menjelaskan, gerakan atau strategi politik yang diamalkan di negara ini masih mengikut undang-undang dan perlembagaan.

    “Kita punya politik (di Malaysia) tidak sampai ke peringkat apa yang dikatakan sebagai kamikaze sangat.

    “Tidak sampai ke tahap berlakunya penglibatan tentera atau pertumpahan darah seperti mana berlaku di luar negara,” katanya.

  • Pengurus maut bergaduh selepas menegur payudara besar

    Pengurus maut bergaduh selepas menegur payudara besar

    SEORANG pengurus syarikat maut dalam pergaduhan di tempat letak kereta di Jalan Kenanga, Melaka semalam akibat mengeluarkan perkataan tidak senonoh.

    Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, kejadian dikatakan berlaku antara 4 hingga 4.15 pagi, dengan mangsa berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Melaka kira-kira 5.20 pagi untuk menerima rawatan.

    Sebelum kejadian kira-kira 2 pagi itu, katanya, mangsa yang dipercayai mabuk selepas berhibur, ke gerai dekat lokasi kejadian untuk makan dan minum bersama rakannya.

    “Selepas makan, berlaku pertengkaran antara mangsa yang juga pengurus syarikat, dengan seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadi lelaki terbabit, masing-masing berusia 36 dan 27 tahun.

    “Pertengkaran itu kemudian membawa kepada pergaduhan yang didakwa berpunca daripada mangsa bercakap kepada rakannya, dengan mengatakan wanita bersama ahli perniagaan itu mempunyai payudara besar,” katanya menurut Harian Metro.

    Christopher berkata, pengawal peribadi ahli perniagaan itu yang mendengar percakapan itu, menegur mangsa dan memaklumkan wanita terbabit adalah ‘madamnya’.

    Ujarnya, keadaan menjadi tegang dan berlaku tolak-menolak serta tumbuk-menumbuk antara mangsa, pengawal peribadi dan ahli perniagaan itu.

    “Mangsa yang cedera dan tidak sedarkan diri dibawa ke hospital oleh dua rakannya untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati lelaki terbabit meninggal akibat tikaman.”

    Susulan itu, tujuh individu berusia 26 hingga 38 tahun ditahan, termasuk ahli perniagaan itu, teman wanitanya berusia 26 tahun dan pengawal peribadinya, selain senjata dipercayai digunakan dalam pergaduhan, iaitu pisau dan batang besi dirampas.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Budak enam tahun pandu kereta bawa adik, terbabas langgar tiang elektrik

    Budak enam tahun pandu kereta bawa adik, terbabas langgar tiang elektrik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA kanak-kanak lelaki berusia enam dan tiga tahun terlibat dalam kemalangan setelah mereka mengambil kesempatan memandu kereta tanpa disedari ahli keluarga di Langkawi, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.15 malam setelah menerima panggilan kecemasan dari orang awam.

    Menurutnya, kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna putih itu luka di dagu manakala adiknya pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu sedang tidur manakala ibu mereka ke bilik air. Selepas keluar dari bilik air, wanita tersebut mendapati kedua-dua anaknya sudah tiada di rumah.

    “Dianggarkan kereta itu dipandu sejauh kira-kira 2.5 kilometer dari rumah mereka sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga. Kes itu hingga kini masih disiasat,” katanya.

    Melalui video berdurasi seminit 36 saat yang tular di media sosial, orang ramai dilihat terkejut apabila mendapati kereta yang terbabas dipandu oleh kanak-kanak.

    Kanak-kanak itu kemudiannya mendakwa dia memandu kereta itu untuk ke kedai.

    Mengulas lanjut Shariman berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

  • Lelaki Singapura ditahan kencing di tempat wuduk

    Lelaki Singapura ditahan kencing di tempat wuduk

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas dipercayai warganegara Singapura mengundang kemarahan orang ramai apabila membuang air kecil di tempat mengambil wuduk di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, hari ini.

    Kejadian tersebut berjaya dirakam seorang lelaki yang menegur lelaki berkenaan sebelum video perbuatan tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan perbuatan jelik berkenaan pada pukul 4.36 petang.

    “Pihak polis telah membuat tangkapan terhadap lelaki warga asing berusia 69 tahun itu. Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan air kencing didapati negatif.

    “Permohonan reman akan dibuat pada esok di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik dan mengganggu ketenteraman awam,” ujar beliau.

  • ‘’Kamu ni dah jadi PM, kenapa nak cabar orang macam tu’’ – KJ

    ‘’Kamu ni dah jadi PM, kenapa nak cabar orang macam tu’’ – KJ

    DATUK Seri Anwar Ibrahim diingatkan bahawa rakyat akan melupakan segala usaha baik beliau membantu orang Melayu jika Presiden PKR itu terus mencabar bekas pemimpin dan pembesar negara.

    Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Anwar itu hanya akan mengundang reaksi negatif sekali gus menenggelamkan segala usaha sedang beliau laksanakan..

    “Bagi saya beliau ada kemahuan untuk ‘tenyeh’ pemimpin dan pembesar berkenaan tetapi saya rasa beliau kena kawal.

    “Kalau tidak semua benda bagus yang beliau lakukan seperti bantu maahad tahfiz, peruntukan SME, Bumiputera dan sebagainya semua itu akan tenggelam,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan, lapor FMT.

    Anwar pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri Sabtu lalu, menyelar bekas pemimpin dan taikun Melayu yang kononnya membela nasib orang Melayu sebaliknya memperkayakan diri sendiri dan keluarga mereka.

    Tanpa menamakan sesiapa, Anwar mencabar bekas pemimpin itu untuk menyumbang sebahagian harta jika mereka benar-benar mahu membantu orang Melayu.

    Menurut Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu, kenyataan Anwar juga dilihat sebagai tidak matang dan tidak sesuai diucapkan oleh seorang perdana menteri.

    “Bagi saya bukan sahaja dari segi strategi komunikasi beliau (Anwar) gagal, sebab orang akan nampak dan mempersoalkan: Kamu ini dah jadi perdana menteri kenapa nak cabar orang macam itu?

    “Anwar sepatutnya bukan mencabar tetapi sebalik bertindak selari dengan statusnya iaitu dengan mengikut polisi dan prosedur siasatan jika beliau berpendapat ada keperluan untuk menyiasat individu yang disyaki terlibat penyelewengan,” katanya.

  • Pemandu van sekolah maut serangan jantung

    Pemandu van sekolah maut serangan jantung

    SEORANG warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Selasih 5, Taman Selasih, Kulim pada pukul 5.55 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pemandu van sekolah tersebut yang berusia 70 tahun itu terbabit dalam perjalanan menghantar murid Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) pulang ke rumah masing-masing.

    “Siasatan mendapati ketika kejadian ada empat murid KAFA dalam van sekolah berkenaan.

    “Bagaimanapun semua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan diambil keluarga masing-masing sejurus kejadian.

    “Hasil siasatan juga mendapati mangsa gagal mengawal kenderaan dengan baik sebelum ia terbabas ke kanan jalan dan melanggar papan tanda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

    Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan ischaemic heart disease (penyakit jantung iskemik), katanya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lapor Harian Metro.

  • Kastam Terengganu rampas 4.7 juta batang rokok seludup

    Kastam Terengganu rampas 4.7 juta batang rokok seludup

    SEJUMLAH 4.7 juta batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai hampir RM4 juta termasuk cukai dirampas dalam serbuan di Kampung Pengkalan Gelap di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

    Rampasan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu itu adalah hasil maklumat awam kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

    Pengarah JKDM Terengganu, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, risikan dijalankan pihaknya selama empat hari membawa kepada aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan.

    “Pihak kastam membuat serbuan di lokasi berkenaan dan berjaya merampas rokok tak berkastam dan kenderaan-kenderaan yang digunakan untuk mengangkut rokok seludup.

    “Namun, ketika pasukan tiba, suspek berjaya melarikan diri ke kawasan belukar nipah berpaya menghala ke sungai dengan meninggalkan semua kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barang berkenaan,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Terengganu hari ini.

    Katanya, pihak kastam turut menyita dua buah lori dan sebuah bot fiber serta dua buah enjin bernilai RM260,000 dengan rampasan keseluruhan termasuk bernilai RM3.982 juta.

    Mohd. Nadzri berkata, siasatan awal mendapati aktiviti berkenaan didalangi orang tempatan yang membawa masuk rokok-rokok berkenaan dari negara jiran menggunakan bot fiber sebelum dipindahkan ke dalam lori.

    Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan khususnya pasaran Pantai Timur dan Lembah Klang.

    “Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik-pemilik kenderaan yang digunakan untuk mengangkut rokok tak berkastam dan pembabitan mereka dalam aktiviti ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM10,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Anggota APM maut dipatuk ular bakal bertunang Aidiladha ini

    Anggota APM maut dipatuk ular bakal bertunang Aidiladha ini

    ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang meninggal dunia selepas dipatuk ular tedung ketika bertugas bakal mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini.

    Lans Koperal Mohd Idris Abdul Samad, 33, meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi tadi ketika menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Ibunya, Noriah Awang, 67, memberitahu, anak lelaki daripada lima beradik itu akan bertunang dengan gadis pilihan hatinya yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu.

    “Arwah minat dengan haiwan reptilia ini sejak kecil dan dia mempunyai kemahiran mengendalikan haiwan berbisa itu.

    “Dia pernah kehilangan jari tengah pada 2017 akibat dipatuk ular.

    “Saya sentiasa menasihati arwah supaya berhati-hati ketika bertugas dan tidak menyangka perkara yang dibimbangkan selama ini terjadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kemasin, Bachok.

    Katanya, Mohd. Idris dipatuk ular pada pukul 8 pagi kelmarin ketika memindahkan ular dari guni ke sangkar.

    “Pada Isnin malam sekitar pukul 11 pagi, dia beritahu merasa tidak selesa di bahagian dada.

    “Pada pukul 3 pagi, anak saya sudah kritikal kerana bisa ular telah menyerang bahagian buang pinggangnya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Pengarah APM Kelantan, Mohd. Adzhar Mujab menberitahu, Mohd. Idris sudah berkhidmat selama 14 tahun sebagai anggota APM di Kota Bharu.

    Menurut beliau, Allahyarham merupakan seorang anggota yang komited dan terlatih dalam menangkap haiwan berbisa.

    Jenazah lans koperal itu dikebumikan selepas solat Zohor diiringi keluarga, rakan serta anggota APM Kelantan.

  • Pemuda Pas Pahang serah memorandum isu air

    Pemuda Pas Pahang serah memorandum isu air

    PEMUDA Pas Negeri Pahang menyerahkan memorandum isu air yang berlaku di negeri itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) untuk dibawa pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 yang berlangsung semalam hingga Jumaat ini.

    Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd. Zarimi Abu Zih berkata, kerajaan negeri diminta mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu air yang berlaku hampir di semua daerah di Pahang.

    Tegasnya, penjelasan juga perlu diberikan tentang kerugian yang dialami Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Kita minta ADUN PN membawa isu itu pada Sidang DUN yang berlangsung untuk perhatian dan tindakan daripada kerajaan negeri agar masalah air yang berlaku dapat diselesaikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum ini kepada ADUN PN yang diketuai ADUN Cheka yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, memorandum isu air yang diserahkan Pemuda Pas Pahang merupakan aduan-aduan dikumpul berkaitan masalah air yang diterima daripada rakyat di seluruh negeri.

    Menurutnya, masalah itu akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri berdasarkan masalah-masalah yang disenaraikan termasuk loji-loji rawatan air lama yang perlu dinaik taraf, isu gangguan bekalan air, kes-kes paip pecah dan sebagainya.

    “Perkara ini perlukan perhatian dan tindakan kerajaan negeri supaya masalah gangguan bekalan air yang berlaku dapat diselesaikan.

    “Kita juga minta kerajaan negeri mewartakan kawasan tadahan air sebagai hutan simpan kekal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terjejas disebabkan aktiviti penerokaan untuk tujuan pembalakan, perlombongan dan sebagainya,” katanya, lapor Sinar Harian.