Category: Semasa

  • Alangkah baik, jika selain pakai tanjak undi calon Melayu, kata Tun M

    Alangkah baik, jika selain pakai tanjak undi calon Melayu, kata Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad meminta pengundi Melayu untuk mengundi calon Melayu terbaik pada pilihan raya negeri akan datang untuk mendirikan kerajaan yang bebas rasuah dan penjenayah.

    Ujar bekas Perdana Menteri itu, ramai orang Melayu sekarang memakai tanjak sebagai cara untuk menunjuk kemelayuan mereka dan menyifatkan tindakan berbangga dengan bangsa adalah baik.

    “Alangkah baiknya jika selain tanjak, orang Melayu juga berbangga dengan mengundi dalam pilihan raya bagi calon Melayu yang terbaik supaya kerajaan yang akan didirikan oleh calon-calon yang menang dapat mendirikan kerajaan yang juga baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baru-baru ini, Dr. Mahathir mahu menganjurkan perhimpunan ‘Proklamasi Orang Melayu’ tetapi kemudian mendakwa rancangan itu disekat pihak berkuasa selepas empat kali pembatalan tempahan lokasi penganjurannya.

    Bagaimanapun, Dr. Mahathir tidak mendedahkan sebarang bukti mengenai dakwaan wujudnya campur tangan pihak kerajaan berkaitan perkara itu.

    Seterusnya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menggerakkan kempen ‘Proklamasi Orang Melayu’ secara dalam talian.

    Sekretariat pergerakan itu dilaporkan berkata, kempen dalam talian tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda pergerakan itu untuk bangsa dan negara.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu selanjutnya dilaporkan tampil menyatakan sokongan terhadap ‘Proklamasi Orang Melayu’.

    Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, mengundi selepas menerima sogokan tidak menunjukkan kemelayuan.

    “Tidak mengundi atau mengundi kerana sogokan tidak menunjuk kemelayuan yang boleh dibanggakan, kerana hasilnya ialah pemerintahan oleh perasuah dan penjenayah.

    “Pakailah tanjak tetapi undilah dan tentukan kemenangan bagi Melayu yang kuat ke-Melayuan mereka dan mampu mendirikan kerajaan yang boleh kita bangga dengannya,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Pas gesa kerajaan batalkan konsert Coldplay kerana tiada manfaat

    Pas gesa kerajaan batalkan konsert Coldplay kerana tiada manfaat

    AHLI jawatankuasa kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan mahu kerajaan membatalkan konsert kumpulan rock terkenal British Coldplay yang dijadualkan di Kuala Lumpur, pada 22 November depan.

    Melabelkan persembahan itu, sebagai tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara, agama dan rakyat negara ini, Nasrudin mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu bertujuan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang di negara ini.

    “Batalkan persembahan kumpulan ini. Tiada manfaatnya untuk negara dan rakyat,” ciapnya di Twitter, yang membalas ciapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

    Anwar semalam mengucapkan selamat datang kepada Coldplay, yang memilih Stadium Nasional Bukit Jalil antara lokasi persembahan mereka tahun ini selain Taiwan, Jepun, Jakarta dan Australia.

    Selain menyuarakan bantahannya di Twitter, Nasrudin turut berbuat demikian dalam akaun media sosial yang lain.

    “Apakah kerajaan bermaksud mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang dalam negara ini?

    “Saya nasihatkan agar batalkan sahaja persembahan kumpulan ini di Malaysia. Tidak membawa apa apa kebaikan pada agama, bangsa dan negara,” ulangnya di Instagram dengan memuat naik gambar vokalis utama Coldplay Chris Martin memegang bendera simbol LGBT sewaktu mengadakan konsert mereka, lapor Malaysiakini.

  • Wanita disyaki amang seksual anak ditahan lagi

    Wanita disyaki amang seksual anak ditahan lagi

    SEORANG ibu yang disyaki melakukan amang seksual terhadap anaknya di Puncak Alam, sekali lagi ditahan bagi siasatan kes sama di sekitar Sungai Buloh, selepas dibebaskan daripada reman hari ini.

    Turut ditahan, seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai bapa tiri mangsa.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, penahanan itu susulan laporan dibuat mangsa melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun di Balai Polis Saujana Utama kelmarin.

    “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah hotel pada Januari lalu dan mangsa tidak bersekolah.

    “Kita akan menahan kedua-dua suspek yang kini berada dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. Kebenaran tempoh ke atas kedua-dua suspek akan diperoleh dari mahkamah esok.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan kes terhadap dua individu terbabit sudah dilengkapkan.

    Bagaimanapun katanya, tindakan pendakwaan akan diambil selepas selesai kes baharu di Sungai Buloh.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 dan 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan perbuatan jijik seorang ibu dipercayai melakukan amang seksual dengan anak lelakinya terbongkar sebelum dicekup polis 2 Mei lalu.

    Suspek dikatakan turut merakam aksi dengan remaja berusia 14 tahun itu menerusi telefon bimbit, manakala seorang lelaki yang juga penganggur berusia 35 tahun diberkas Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes itu di sebuah restoran di Bandar Puncak Alam.

  • Rasuah: 2 bekas ketua pengarah syarikat direman

    Rasuah: 2 bekas ketua pengarah syarikat direman

    DUA bekas ketua pengarah sebuah syarikat swasta berkaitan industri getah direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menerima rasuah lebih RM100,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek pembelian mesin dan pembekalan barang.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd
    Dinie Shazwan Shukor terhadap suspek berusia 80-an selama tiga hari mulai sehingga 12 Mei ini manakala seorang lagi suspek berusia 45 tahun, direman empat hari sehingga 13 Mei ini.

    Perintah reman itu dikeluarkan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan terbabit pada pagi tadi di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira 9 malam tadi, selepas hadir memberi keterangan.

    Menurut sumber, suspek masing-masing dipercayai meminta daripada kontraktor wang suapan berjumlah kira-kira RM83,000 dan RM50,000 bagi tujuan kontraktor mendapatkan projek pembelian mesin pemotong serta barangan perindustrian getah, antara tahun 2019 hingga 2020.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

  • Ubah wang RM4 juta, bekas CEO MARii mengaku tak salah 9 tuduhan lagi

    Ubah wang RM4 juta, bekas CEO MARii mengaku tak salah 9 tuduhan lagi

    BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah agensi kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM4 juta.

    Bagaimanapun Madani Sahari yang pernah menerajui Institut Automatif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai 2021 dan Februari 2022, lapor FMT.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Madani didakwa menggunakan hasil aktiviti haram untuk membeli RM1 dan RM2 juta Islamic Redeemable Preference Shares Class F pada 6 Sept dan 20 Okt 2021 di Pusat Perniagaan Subang di Subang Jaya.

    Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.

    Dia juga didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi wang haram berjumlah RM250,000 ke akaun bank peguamnya, Tetuan Norizan & Associates melalui surat perintah pelepasan pengesahan dan kebenaran bertarikh 10 Julai 2021.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Islamic Bank Berhad di Shah Alam dan pertuduhan itu dibuat mengikut seksyen sama Amla.

    Madani juga didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi wang haram RM105,000 dan RM80,000 ke akaun Asyraf Hazwan Uzer melalui surat arahan pelepasan firma guaman itu pada 14 Okt 2021 dan 16 Nov 2021.

    Bagi pertuduhan keenam, dia didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi RM200,000 hasil aktiviti haram ke akaun Intan Jusmira Jamaluddin menerusi surat arahan pembebasan firma guaman itu pada 17 Julai 2021.

    Seterusnya, dia didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi RM170,000 dan RM65,000 hasil aktiviti haram ke akaun Luqman Iswatt and Partners pada 21 Jan dan 21 Feb 2022.

    Bagi pertuduhan terakhir, Madani didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi RM130,000 kepada Arrowtech Ventures Sdn. Bhd. melalui satu lagi surat arahan pelepasan pada 17 Nov 2021.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di bank sama dan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) akta sama.

    Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

    Rozilah membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dua pertuduhan terdahulu tertuduh, atas permintaan Timbalan Pendakwa Raya Asraf Akhir.

    Madani diwakili Rahmat Hazlan dan Rahmat Abu Bakar.

    Bulan lalu, Madani berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM5 juta dua tahun lalu.

  • Polis selamatkan remaja 11 bulan dilarikan teman lelaki

    Polis selamatkan remaja 11 bulan dilarikan teman lelaki

    SEORANG remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilarikan teman lelakinya sejak 11 bulan lalu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Banting, semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa dipercayai tinggal bersama suspek di sebuah di stor besi buruk di sekitar Banting sejak dilarikan suspek pada Julai lalu.

    “Hasil maklumat risikan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah kampung di Banting sebelum berjaya menemui mangsa di sebuah kampung di daerah sama.

    “Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai suspek yang bercinta dengan mangsa sejak 2014 mengesyaki gadis itu mempunyai teman lelaki lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa dipercayai memang mengikut suspek, namun kes disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Kanak-kanak 2001 kerana mangsa masih bawah umur berusia 17 tahun.

    Menurutnya, hasil maklumat risikan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah kampung di sekitar Banting dan berjaya menemui mangsa di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit, Banting

    Sepanjang dilaporkan hilang ujarnya, mangsa tidak pernah menghubungi keluarganya di Desa Mentari, Petaling Jaya dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya berlaku perlakuan seksual.

    “Mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai besi buruk tidak mempunyai rekod lampau,” katanya, lapor Harian Metro.

    Tambahnya, suspek direman dua hari sejak semalam untuk membantu siasatan yang turut dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

  • 21 lagi mayat mangsa pemujaan ditemukan

    21 lagi mayat mangsa pemujaan ditemukan

    POLIS Kenya pada Selasa menemukan 21 lagi mayat dari kubur di bandar Malindi, yang disyaki dijadikan sebagai tempat untuk melakukan aktiviti pemujaan.

    Polis berkata setakat ini 133 mayat telah ditemukan sejak penemuan kubur besar itu di sebidang tanah di hutan Shakahola pada akhir April.

    Kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak, lapor Xinhua.

    Pada April polis menyerbu kawasan milik paderi dikenali Paul Nthenge selepas menerima maklumat daripada orang awam.

    Setiausaha Kabinet di Kementerian Dalam Negeri dan Pentadbiran Negara, Kithure Kindiki berkata proses menggali kubur itu dibuat dengan berhati-hati untuk melindungi maruah dan privasi keluarga mangsa.

    Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan 65 orang telah diselamatkan dari belukar setakat ini, termasuk dua yang telah diselamatkan sebelum ini.

    Presiden Kenya William Ruto menyifatkan insiden itu sebagai keganasan dan telah mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan untuk menyiasat kejadian berkenaan.

  • Datuk Seri didakwa terima rasuah RM15 juta

    Datuk Seri didakwa terima rasuah RM15 juta

    SEORANG pengarah urusan syarikat dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM30 juta antara bulan Jun sehingga Julai dua tahun lalu.

    Tertuduh, Datuk Seri Sim Choo Thiam, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob, pagi ini.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta suapan berjumlah RM15 juta daripada pengarah urusan Asia Coding Centre Sdn. Bhd., Hep Kim Hong melalui seorang lagi individu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat sebuah syarikat di Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur pada pada 21 Jun 2021, lapor Utusan TV.

    Bagi pertuduhan kedua sehingga keempat, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima suapan masing-masing berjumlah RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada individu sama.

    Perbuatan bagi tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta di sebuah residensi di Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur antara 19 Julai 2021 sehingga 30 Julai 2021.

    Kesemua perbuatan itu adalah sebagai dorongan untuk Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin membantu Asia Coding Centre Sdn. Bhd. untuk mendapatkan apa-apa projek milk agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin.

    Namun tambahnya, pihak pendakwaan tidak membantah sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh dijamin dan mencadangkan jaminan sebanyak RM1 juta.

    Selain itu, Akram turut mencadangkan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, sebagai syarat tambahan jaminan.

    Sementara itu, peguam Low Wei Loke memohon mahkamah agar anak guamnya dibebaskan dengan jaminan dan tidak membantah cadangan jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

    Hakim Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin warganegara selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, disenarai hitam untuk keluar negara kecuali dengan kebenaran mahkamah.

    Di samping itu, Rozina turut mengarahkan agar tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebanyak sekali pada minggu pertama setiap bulan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 14 Jun depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Dua ekor lembu ditemui mati diracun di Machang

    Dua ekor lembu ditemui mati diracun di Machang

    DUA ekor lembu milik seorang penternak ditemui mati dipercayai akibat diracun di Kampung Pangkal Mak Wan, Machang, Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Machang, Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, penternak lembu menyedari kejadian itu selepas menjumpai biji-biji berwarna putih, dipercayai baja, yang digunakan untuk meracuni ternakannya.

    “Pada Isnin, jam lebih kurang 5.30 petang, pengadu pergi ke tempat ternakan lembu miliknya di kampung tersebut, untuk menghalau lembu-lembunya masuk balik ke dalam kandang.

    “Pada masa sama, dia mendapati dua ekor lembu miliknya dalam keadaan terbaring dan nazak, disyaki setelah memakan buah yang diletak racun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil pemeriksaan di sekitar kawasan berhampiran mendapati, terdapat separuh buah tembikai berada di atas tanah di kawasan kejadian.

    “Turut ditemui biji-biji berwarna putih dalam buah tembikai tersebut, yang dipercayai baja, berkemungkinan menjadi penyebab kematian haiwan itu,” ujar beliau.

    Pihak polis katanya, menerima laporan berkaitan kes khianat terhadap haiwan ternakan itu semalam.

    Mohd. Adli berkata, pegawai veterinar telah menjalankan pemeriksaan dan mengambil beberapa organ dalaman lembu terbabit sebagai sampel untuk dihantar ke jabatan kimia.

    “Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Pendakwaan serah laporan forensik mesej WhatsApp ‘RM2 juta’ pada Lim

    Pendakwaan serah laporan forensik mesej WhatsApp ‘RM2 juta’ pada Lim

    PIHAK pendakwaan telah menyerahkan laporan forensik kepada Lim Guan Eng mengenai mesej WhatsApp 2017 berhubung dakwaan bayaran RM2 juta.

    Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi ini, bahawa pihaknya telah memberikan laporan itu kepada pasukan peguam bekas menteri kewangan itu pada 18 April lalu.

    Peguam kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, Haijan Omar mengesahkan kepada hakim perbicaraan Azura Alwi bahawa mereka telah diberi laporan yang dikaitkan dengan perbicaraan rasuah terhadap tertuduh yang dikaitkan dengan projek terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

    Sebelum ini, Lim memfailkan permohonan untuk mendapatkan laporan itu kerana beliau cuba untuk membuktikan dakwaan pembelaan bahawa dua saksi pendakwaan berkenaan berbohong di mahkamah berhubung keterangan mereka.

    Pada 5 April, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur membenarkan permohonan Lim untuk mendapatkan laporan forensik itu.

    Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat dua keterangan berbeza di Mahkamah Sesyen di Shah Alam dan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur membabitkan baucar pembayaran dan cek yang sama mengenai tujuan penyerahan dan kepada siapa wang RM2 juta diserahkan.

    Azura berkata, berdasarkan nota prosiding dan pernyataan bertulis saksi-saksi di Mahkamah Shah Alam yang telah dikemukakan sebagai eksibit dalam permohonan itu, mahkamah mendapati pemohon (Lim) berjaya menunjukkan wujudnya fakta baucar pembayaran dan cek Public Bank telah digunakan bagi pengeluaran wang RM2 juta yang dikatakan telah diserah kepada ahli perniagaan G. Gnanaraja.

    Perbualan WhatsApp itu antara pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan ahli perniagaan G. Gnanaraja.

    Menurut Azura, terdapat juga laporan analisis forensik digital yang disediakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perbualan WhatsApp tersebut dalam kes rasuah Lim di mahkamah ini.

    “Bagaimanapun, laporan analisis forensik digital dalam kes di Mahkamah Shah Alam yang dimohon oleh pemohon tidak pernah dikemukakan di mahkamah ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Sehubungan itu, Azura berkata, perkara tersebut adalah satu isu yang relevan mengikut Seksyen 5 dan 11 Akta Keterangan 1950 yang fakta menyeluruh harus dibentang dan dikemukakan kepada mahkamah agar kebenaran dapat diketahui.

    Perbualan dalam aplikasi WhatsApp itu didedahkan pada perbicaraan sebelum ini melalui keterangan pegawai penyiasat forensik SPRM, Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

    Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

    Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.