Category: Semasa

  • Lanjut tempoh perkhidmatan Azam tolak persepsi buruk – Takiyuddin

    Lanjut tempoh perkhidmatan Azam tolak persepsi buruk – Takiyuddin

    PAS menyifatkan pelanjutan tempoh perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menolak persepsi buruk yang cuba dilontarkan terhadap beliau dan agensi tersebut.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagi Pas, Azam yang mencapai umur bersara wajib 60 tahun pada tarikh sama setelah berkhidmat dengan suruhanjaya berkenaan selama 36 tahun dan dilantik untuk mengetuainya pada tahun 2020 telah terbukti dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang dan berkesan di institusi utama pencegahan rasuah negara ini.

    ”Walaupun pernah berdepan dengan beberapa dakwaan yang lebih berbentuk tohmahan salah laku termasuk berkaitan pemilikan saham dalam beberapa syarikat sebelum ini, Pas secara konsisten percaya malah menerima kenyataan penafian beliau berhubung perkara itu, sekali gus menghalang percubaan pihak-pihak berkepentingan untuk menimbulkan keraguan terhadap maruah dan integritinya secara peribadi dan SPRM sebagai institusi penting negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Pas percaya pelanjutan tempoh perkhidmatan beliau ini turut mengesahkan kepercayaan tersebut dan menolak persepsi buruk yang cuba dilontarkan terhadap beliau dan SPRM oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu.

    ”Sekali lagi PAS mengucapkan tahniah dan berharap Tan Sri Azam akan terus memberi khidmat cemerlang beliau kepada negara, sekali gus memimpin SPRM ke tahap-tahap yang lebih membanggakan dalam usaha membebaskan rakyat dan masyarakat daripada budaya dan amalan rasuah yang merosakkan,” katanya.

  • Pertuduhan mahu rosakkan nama baik saya – Hamzah

    Pertuduhan mahu rosakkan nama baik saya – Hamzah

    BEKAS Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaitkan nama beliau dalam  pendakwaan ke atas seorang ahli perniagaan.

    Sambil memaklumkan beliau telah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM petang ini bermula pukul 4.30 petang hingga 7 malam, Hamzah menyifatkan apa yang dilakukan bertujuan memburukkan nama beliau, Bersatu dan Perikatan Nasional.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    HARI ini Ketua Setiausaha Negara mengumumkan perlanjutan kontrak khidmat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, untuk tempoh setahun lagi. 

    Tahniah saya ucapkan kepada Tan Sri Azam Baki atas pengiktirafan kerajaan bahawa khidmat beliau amat diperlukan pada waktu ini. Saya percaya perlanjutan ini tiada muslihat tertentu.

    Hari ini juga SPRM telah mengenakan empat pertuduhan rasuah terhadap individu bernama Sim Choo Thiam. Pertuduhan tersebut menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah Kementerian Dalam Negeri semasa saya menjadi Menteri Dalam Negeri. Malah pertuduhan tersebut juga menyebutkan nama saya.

    Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung. Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk “mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri”. Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?.

    Jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama saya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan saya. Ini siri fitnah untuk menekan orang- orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari terhadap saya demi mencemarkan nama saya.

    Lebih janggal apabila saya hanya dirakam keterangan pada petang ini bermula kira-kira pukul 4.30 petang hingga pukul 7 malam oleh pegawai SPRM selepas pertuduhan ke atas Sim Choo Thiam telah dibawa ke mahkamah.

    Pertuduhan yang mengheret nama saya ini jelas bertujuan untuk merosakkan nama baik saya, BERSATU dan Perikatan Nasional. Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin BERSATU dan Perikatan Nasional.

    Saya percaya, ini adalah kerana mereka bimbang dengan kekuatan Perikatan Nasional, yang mana sokongan rakyat akan diterjemahkan sekali lagi dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

    Saya juga faham ada pihak tertentu yang panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat oleh pemimpin tertentu.

  • Dakwaan kononnya Kedah memiliki lokasi perlombongan haram terbanyak sengaja dibuat – Sanusi

    Dakwaan kononnya Kedah memiliki lokasi perlombongan haram terbanyak sengaja dibuat – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAWAAN kononnya Kedah merupakan negeri yang mempunyai lokasi perlombongan haram terbanyak di negara ini merupakan satu bentuk kesalahan fakta yang disengajakan.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, kementerian terlibat sengaja berbuat demikian dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof dipergunakan untuk membuat kenyataan sedemikian.

    “Ini disengajakan oleh kementerian, cuma digunakan TPM. Saya tahu TPM baik.

    “Dalam mesyuarat itu saya bangkitkan mengenai 60 tapak lombong haram bagi memberi gambaran di seluruh negara dan bukan di Kedah saja kerana di negeri ini, cuma ada satu tapak lombong haram.

    “Tetapi selepas TPM buat kenyataan itu, semua pakat ‘tibai’ kita balik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) kelmarin, TPM mendakwa terdapat 60 tapak perlombongan haram di negara ini dengan kebanyakannya berada di Kedah.

    Fadillah mendakwa, Muhammad Sanusi sendiri mengakui perkara itu dalam mesyuarat tersebut namun Menteri Besar memuat naik status di laman Facebooknya tidak lama selepas itu dengan menafikan dakwaan berkenaan.

    Ditanya, sama ada mereka yang terlibat dalam membuat dakwaan tersebut perlu membuat permohonan maaf, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu terpulang pada mereka.

    “Sama ada mereka nak minta maaf atau tidak, terpulanglah. Tetapi ‘depa’ ni tahukah nak minta maaf?

    “Saya rasa mereka tak reti (minta maaf) tapi buatlah kerja bagi betul. Jangan ‘tibai’ orang dengan buat kerja tak ketahuan hala,” katanya.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi turut mempersoalkan tindakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menghantar surat kepada pejabatnya untuk meminta menyenaraikan lombong haram di Kedah.

    “Saya kata 60 tapak perlombongan haram itu di seluruh negara dan bukan di Kedah saja. Di Kedah cuma ada satu saja iaitu di Bukit Enggang, Sik dan tapak perlombongan itu sudah ditutup manakala pelakunya ditahan serta diambil tindakan.

    “Untuk tapak lain di seluruh negara, tugas kementerianlah untuk cari di mana lokasinya. Bukankah banyak agensi di bawah kementerian itu, kenapa nak suruh saya cari pula?” katanya.

  • Sumbangan RM9 juta buat bayi Naail berjaya dikumpul

    Sumbangan RM9 juta buat bayi Naail berjaya dikumpul

    LEBIH RM9 juta dana berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai bagi membantu seorang bayi 10 bulan, Wan Muhammad Naail Wan Aslam yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Athropy (SMA) Type 1.

    Bapa bayi itu, Wan Aslam Zakaria, 30, berkata dana yang telah dilancarkan menerusi Misi Rakyat sejak 13 April itu bertujuan membolehkan anaknya mendapatkan suntikan ubat jenis Gene Therapy Zolgensma bernilai AS$2.1 juta (RM9.28 juta) untuk sekali seumur hidup bagi menghentikan proses kemerosotan fungsi ototnya yang terjejas akibat penyakit itu.

    Katanya beliau sekeluarga bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih atas keprihatinan semua penyumbang sehingga misi untuk mengumpul dana RM9 juta bagi merawat anak bongsunya itu tercapai.

    “Memang pada peringkat awal fikiran kami mustahil untuk capai jumlah dana RM9 juta, apatah lagi kami rakyat biasa yang tidak mampu untuk membeli ubat semahal itu, tapi dengan pertolongan yang tak disangka-sangka datang ini, jumlah itu dicapai.

    “Saya berharap dengan sumbangan ini juga mampu memberikan kebaikan (kesembuhan) kepada Naail dan membesar seperti kanak-kanak lain. Mudah-mudahan juga apabila beliau besar nanti memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Terdahulu, tular di media sosial hari ini apabila video yang menyaksikan kutipan orang ramai dilakukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Misi Rakyat bagi membantu Wan Muhammad Naail telah mencecah RM9,088,404.

    Wan Aslam memaklumkan Wan Muhammad Naail disahkan menghidap penyakit SMA Type 1 ketika berumur empat bulan yang menyebabkan ototnya merosot hingga sukar menelan air liur sendiri, selain memerlukan bantuan mesin pernafasan, mesin penyedut kahak dan meminum susu menggunakan tiub melalui hidung.

    Ketika ini juga anaknya itu mengambil ubat Risdiplam bernilai RM40,400 sebotol setiap bulan untuk membantu mengurangkan keadaannya supaya tidak merosot otot sementara menunggu dana untuk membeli ubat jenis Gene Therapy Zolgensma yang perlu disuntik sebelum berumur dua tahun.

    Mengenai perancangan seterusnya, Wan Aslam yang menetap di ibu negara berkata beliau akan berjumpa dengan pihak hospital pada hari Isnin ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai prosedur yang perlu mereka lakukan termasuk penetapan tarikh suntikan.

    “Setakat ini saya dimaklumkan, biasanya prosedur (sebelum dicucuk) ia mengambil masa sebulan termasuk tempahan ubat Gene Therapy Zolgensma dari Amerika Syarikat yang mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk sampai ke Malaysia selepas pembayaran dibuat. Jadi maklumat terkini akan saya kemas kini dalam media sosial saya,” katanya.

  • ”Mai mana kata sampai sejuta orang terjejas? – Sanusi

    ”Mai mana kata sampai sejuta orang terjejas? – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    DAKWAAN sesetengah pihak kononnya hampir sejuta rakyat Kedah terjejas dengan bekalan air ketika musim perayaan baru-baru ini memberi gambaran keterlaluan terhadap situasi semasa perkhidmatan tersebut di negeri itu.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan laporan tersebut merupakan penipuan semata-mata dan pihak yang terlibat seharusnya insaf dengan perbuatan tersebut.

    Jelas beliau, taklimat yang diberikan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) kepadanya memaklumkan cuma 7,222 akaun pengguna sahaja yang terjejas pada musim perayaan berkenaan berbanding keseluruhan 645,041 akaun yang terdapat dalam rekod syarikat itu.

    “Katakan setiap akaun terjejas itu melibatkan sebuah keluarga terdiri daripada lima individu. Maka 7,000 didarabkan dengan lima baru 35,000 pengguna. Kalau setiap keluarga yang terjejas itu terdiri daripada 10 orang pula, jumlah keseluruhan bagi 7,000 akaun terjejas hanya 70,000 pengguna.

    “Jadi ‘mai’ mana yang kata sampai sejuta orang terjejas? Mereka yang buat dakwaan itu sila bertaubat kerana memberi gambaran salah kepada situasi di negeri Kedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam isu pembinaan lima loji rawatan air (LRA) yang dikatakan berjalan lembab serta tidak mencapai tahap kemajuan ditetapkan.

    “Contohnya untuk LRA Pelubang yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri, Bina Darulaman Berhad (BDB), kalau ikut jadual kontrak kena capai 12.41 peratus tahap siap pada 30 April lalu. Tetapi kemajuan sebenar yang dicapai adalah 13.43 iaitu 1.02 peratus melebihi kadar ditetapkan.

    “Begitu juga LRA lain yang semuanya di landasan tepat, kecuali LRA Sungai Limau cuma lewat 0.41 peratus berbanding jadual asal. Sepatutnya cecah 11.39 peratus pada tarikh sama tetapi yang dicapai cuma 10.98 dan kita ambil tindakan dengan memanggil kontraktor untuk segerakan apa yang patut,” katanya.

    Menjawab kritikan kononnya beliau asyik menyalahkan pihak lain berhubung isu tersebut, kata Muhammad Sanusi, beliau tiada pilihan selain menyalahkan PH kerana gabungan tersebut yang menangguhkan pembinaan lima LRA tersebut pada 2018 kononnya bagi melakukan kajian semula terhadap kelulusan terdahulu.

    “Mereka tangguhkan hampir dua tahun bagi membolehkan konsultan membuat kajian baharu tetapi pada akhirnya hasil kajian menunjukkan jumlah perbelanjaan sama seperti sebelumnya dan tender pembinaan lima LRA itu hanya dikeluarkan pada 2020.

    “Kalaulah penangguhan itu tidak dibuat, lima LRA itu sudah siap. Mereka kata Sanusi asyik salahkan orang lain dan kerajaan terdahulu tetapi kalau mereka betul-betul bersalah, tak bolehlah kita kata mereka tak salah,” katanya.

  • Peruntukan : Anwar perlu ambil semangat titah Pemangku Raja Pahang

    Peruntukan : Anwar perlu ambil semangat titah Pemangku Raja Pahang

    Oleh KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

    KERAJAAN  PH-BN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengambil panduan dan semangat daripada titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah agar wakil rakyat pembangkang juga diberi peruntukan yang adil.

    Ini merujuk kepada titah baginda dalam Sidang Dewan Negeri Pahang bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua yang berlangsung baru-baru ini.

    Tengku Hassanal dalam titah baginda menyatakan bahawa dalam tempoh 66 tahun ini sepatutnya semua pihak telah matang dan menjadi kerajaan yang meraikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.

    Tindakan mengenepikan peruntukan buat wakil rakyat pembangkang oleh kerajaan PMX selama ini hanya mengulangi skrip politik dendam kesumat dan ia amat bertentangan dengan agenda yang pernah PMX perjuangkan semasa menjadi Ketua Pembangkang.

    Kami mengulangi gesaan ini kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan, bukan hanya survival politik yang menafikan hak wakil rakyat pembangkang yang sah dipilih oleh rakyat. Peruntukan juga perlulah diberikan tanpa syarat. Hormatilah pilihan rakyat.

    *YB Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN adalah Ketua Penerangan PAS Pusat dan Ahli Parlimen Jerantut

  • PDRM sedang teliti laporan salah laku polis oleh SPRM

    PDRM sedang teliti laporan salah laku polis oleh SPRM

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM sedang menyediakan laporan lengkap susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa polis mengabaikan laporan salah laku anggota pasukan itu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya juga sedang meneliti laporan salah laku dikatakan tidak diambil tindakan.

    “Dalam masa sama, kita juga sedang meneliti mana laporan yang dikatakan kita tidak maklumkan kepada SPRM untuk tindakan yang patut diambil kepada mereka terlibat.

    “Saya ingin memberi jaminan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi atau leka malah sentiasa bekerjasama erat dengan setiap agensi untuk memastikan integriti dalam PDRM sentiasa ditegakkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuantan, Pahang hari ini.

    Terdahulu, beliau menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas ketua polis Pahang dan pengerusi persatuan keluarga polis (Perkep) Pahang.

    Bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman menerima tugas sebagai Ketua Polis Pahang yang baru, menggantikan Ramli Mohamed Yoosuf yang akan bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

    Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam temubual dengan New Straits Times mendedahkan beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka, walaupun pihaknya mengesyorkan diambil tindakan.

    Berdasarkan statistik, daripada 533 laporan, sebahagian besar (125) membabitkan jabatan-jabatan polis manakala di tempat kedua adalah Jabatan Pengangkutan Jalan.

    Bagaimanapun, Azam berkata, jumlah besar laporan berhubung polis boleh difahami memandangkan jumlah anggota penguatkuasanya yang besar.

    Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Acryl Sani menegaskan pihaknya tidak pernah mengambil ringan isu berkaitan tindakan terhadap mana-mana pegawai dan angota yang didapati melakukan kesalahan tata tertib.

    “Kita akan sentiasa berikan kerjasama kepada bukan sahaja SPRM tetapi juga kepada SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa) untuk memaklumkan kepada mereka tindakan yang sepatutnya dan sewajarnya diambil.

    “Mungkin ada dalam proses, ada yang lambat dihantar tetapi tidak ada laporan yang kita ketepikan atau kita tidak susuli dengan tindakan kerana kita memandang serius apa juga pelanggaran tata tertib oleh mana-mana pihak.

    “Seperti yang saya katakan tadi, kita sentiasa berpegang teguh dengan integriti dalam apa juga yang kita lakukan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Bekas MP fail rayuan kes saman bekas bendahari cabang PKR

    Bekas MP fail rayuan kes saman bekas bendahari cabang PKR

    BEKAS Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan merujuk ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas bendahari PKR Cabang Sungai Siput dan suaminya.

    Peguamnya, Muhamad Samsul Nizam Sohhimi mengesahkan dengan Malaysiakini petang ini mengenai pemfailan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam saman fitnah terhadap bekas ahli Parlimen itu oleh R. Indrani dan S. Selvakumar.

    Menurut salinan notis rayuan yang difailkan pada 15 Mac, perayu Gobalakrishnan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini pada 23 Februari, lapor Malaysiakini.

    Pada 23 Februari, pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memerintahkan bekas ahli Parlimen itu membayar RM150,000 kepada Indrani dan Selvakumar, yang juga juruterbang sebuah syarikat penerbangan komersial.

    Pasangan itu memfailkan tindakan fitnah terhadap defendan kerana didakwa menerbitkan tiga penerbitan berunsur fitnah pada 4 Jun 2019. Plaintif memfailkan tindakan sivil pada 7 November tahun yang sama.

    Penerbitan itu didakwa terdiri daripada dua mesej gambar WhatsApp dan mesej suara WhatsApp, menuduh pasangan itu telah menipu ramai ahli perniagaan.

    Mahkamah Tinggi telah memberikan ganti rugi kepada Selvakumar dan Indrani masing-masing RM50,000 dan RM100,000, dan juga memerintahkan Gobalakrishnan membayar kos RM40,000 kepada kedua-dua plaintif.

    Pasangan itu diwakili peguam dari firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners.

  • Mat Sabu tak payahlah jadi ‘ahli Nujum- Tuan Ibrahim

    Mat Sabu tak payahlah jadi ‘ahli Nujum- Tuan Ibrahim

    PRESIDEN AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, tidak perlu menjadi ‘ahli nujum’ dengan meramal bahawa PAS akan kembali bekerjasama dengan DAP dalam masa terdekat, tegas Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata, sebelum ini mungkin Mohamad Sabu mahu merasionalkan hubungan mereka dengan UMNO dan kini dia mahu mengata parti lain pula.

    “Saya fikir, itu hanya sekadar mahu memujuk hatinya sahaja. Sebelum ini dia juga yang selalu menghentam UMNO dengan mengatakan UMNO sebagai parti penyamun, namun tiba-tiba hari ini dia bersekongkol dengan UMNO.

    “Jadi mungkin kenyataan beliau itu adalah untuk menenangkan jiwa dia yang kini diserang dan ditempelak oleh penyokong dia sendiri dan orang ramai di luar sana,” katanya lapor BH Online hari ini.

    Tuan Ibrahim menjelaskan, kerjasama politik bagi PAS adalah kerjasama dalam perkara yang berlandaskan prinsip parti sahaja.

    “Sebelum ini PAS juga pernah bekerjasama dengan DAP dan PAS sudah tahu apa yang berlaku atau gerak kerja yang diamalkan oleh DAP.

    “PAS tetap menolak kerjasama dengan DAP sebagaimana yang menjadi pendirian parti sebelum ini dan itu juga adalah pendirian PAS dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga sekarang,” katanya.

    Kelmarin, Mohamad Sabu ketika berucap pada Ceramah Jelajah Madani Kedah 2023 di Kubur Panjang, Pendang, berkata tidak mustahil jika PAS akan kembali bekerjasama dengan DAP pada waktu terdekat.

    Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PAS sebelum keluar menubuhkan AMANAH, berkata ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika ia berlaku kerana PAS kini ‘berkawan’ dengan musuh politiknya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “PAS tidak berhak mengkritik mana-mana pakatan politik lain kerana parti itu juga mempunyai rekod bersekutu dengan parti politik lain demi kelangsungan politiknya sebelum ini.

    “Jangan jatuh kerana ketakutan terhadap DAP yang ditimbulkan PAS dalam pilihan raya akan datang. Jangan takut mengundi Pakatan Harapan (PH). Percayalah, tidak mustahil Presiden PAS akan laungkan pula ‘DAP kawan kita’ dalam tempoh dua tiga tahun nanti,” katanya lagi.

  • Mangsa diheret buaya ke dalam sungai, kata saksi

    Mangsa diheret buaya ke dalam sungai, kata saksi

    SEORANG pekerja ladang hilang selepas dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, di Beluran semalam.

    Mangsa, Rudi Amiruddin, 28, dilaporkan hilang pada pukul 12.30 tengah hari ketika membersihkan diri di sungai berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu daripada polis pada pukul 3.51 petang.

    “Menurut laporan, saksi yang memaklumkan sebelum kejadian mangsa sedang membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan estet yang bersempadan dengan sungai terbabit.

    “Ketika berehat, mangsa pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kakinya namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

    “Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun tidak dapat dibantu oleh rakannya yang berada di lokasi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Susulan kejadian itu, sebaik laporan diterima seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 70 kilometer dari BBP Beluran.

    Edoen berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan keselamatan lain segera dilakukan namun mangsa gagal ditemui semalam.

    “SAR hari kedua disambung semula dengan jarak radius satu kilometer di sekitar lokasi, namun sehingga kini pihak kami belum menemui mangsa,” katanya.