Category: Semasa

  • Pengurusan kes rayuan pembebasan Zahid 28 Julai

    Pengurusan kes rayuan pembebasan Zahid 28 Julai

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 28 Julai untuk pengurusan kes bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Pengurusan kes untuk rayuan itu dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini yang menetapkan tarikh pengurusan kes baharu itu.

    Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan berikutan permohonan pihak pendakwaan untuk tarikh lain bagi Jabatan Peguam Negara menimbangkan representasi Zahid untuk pihak pendakwaan menghentikan rayuannya.

    Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 26 Sept tahun lepas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Zahid, yang kini timbalan perdana menteri, daripada semua pertuduhan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

    Mengikut pertuduhan, Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Beliau juga didakwa atas 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu beliau didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan USD15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

    Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

    Dalam petisyen rayuan difailkan pada 29 Dis tahun lepas, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.

  • Gunalah logo dacing dalam PRN di Pantai Timur-Wan Fayhsal

    Gunalah logo dacing dalam PRN di Pantai Timur-Wan Fayhsal

    KETUA Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengalu-alukan parti-parti dalam kerajaan perpaduan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang di Pantai Timur.

    “Langkah kerajaan BN-PH menggunakan logo dacing akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menyapu bersih kerusi-kerusi di sana.

    “Kami alu-alukan strategi tersebut. Tolonglah gunakan logo dacing untuk ‘jual’ PH dan BN.

    “Ini dah terbukti, guna dacing (pada PRU15) di Pantai Timur, di kubu Melayu, kita sapu bersih. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

    Ahli Parlimen Machang itu mengulas tindakan BN yang sedang mempertimbangkan hasrat parti sekutunya dalam kerajaan perpaduan untuk menggunakan logo dacing pada PRN akan datang.

    Pada Rabu, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, parti-parti sekutu dalam kerajaan perpaduan mahu menggunakan logo gabungan itu di beberapa negeri untuk mendapat kelebihan.

    Mohamad bagaimanapun enggan mendedahkan parti berkenaan atau negeri yang terlibat.

    Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi bahawa PN akan berpecah, termasuk terdapat parti yang akan ditendang, Wan Fayhsal berkata, ada pihak yang cemburu dengan perpaduan ummah PN.

    “Kita tengoklah semua jamuan majlis raya yang dibuat PN berbanding mereka yang buat. Jauh beza yang hadir itu, lebih berkali ganda berbanding apa yang Zahid buat di Bagan Datuk,” katanya, lapor FMT.

    Semalam, Zahid menjangkakan gabungan parti kononnya memperjuangan Melayu Islam akan pecah kerana sudah ada tanda-tanda keretakan sedang berlaku.

    Tanpa menyebut nama parti dan gabungan itu, beliau dipercayai merujuk kepada Pas di mana sebelum ini Umno bersama parti itu dalam gabungan Muafakat Nasional (MN).

    Zahid membuat jangkaan itu berdasarkan pengalaman UMNO bersama Pas dalam MN, apabila ditendang dan rakannya itu memilih bersama PN.

  • Pendengaran kes Sultanah-Sarawak Report pada 22 September

    Pendengaran kes Sultanah-Sarawak Report pada 22 September

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 22 September untuk mendengar rayuan Terengganu Sultanah Nur Zahirah dalam saman fitnahnya terhadap pengasas laman pendedah maklumat Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

    Peguam diraja Terengganu, Datuk Mohd. Haaziq Pillay ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, lapor Malaysiakini.

    Pada 31 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tindakan sivil sultanah terhadap kenyataan dalam buku Rewcastle-Brown bertajuk The Sarawak Report – The Inside Story of 1MDB.

    Mahkamah sivil memutuskan bahawa dari perspektif pembaca yang munasabah, kenyataan yang dipersoalkan tidak memberi menimbulkan beberapa tuduhan yang disoal oleh sultanah.

    Semasa pendengaran tindakan sivil, sultanah menafikan dia terlibat dalam entiti awal 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA).

    Rewcastle-Brown pula mengakui bahawa dia melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

    Bahagian itu juga dibuang daripada edisi cetakan baru buku itu.

  • Nama dikaitkan dengan kes rasuah, pegawai Hamzah lapor polis

    Nama dikaitkan dengan kes rasuah, pegawai Hamzah lapor polis

    SEORANG pegawai ketua pembangkang membuat laporan polis terhadap penyebaran maklumat yang mengaitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan kes rasuah.

    Ahmad Ikhwan Fadhli menyifatkan maklumat itu sebagai palsu dan menggesa polis menyiasat ‘konspirasi’ atau ‘campur tangan agensi kerajaan untuk mengaitkan Hamzah.

    Laporan dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, menurut Malaysiakini.

    Turut hadir Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Hamzah semalam berkata, tindakan memetik namanya dalam pertuduhan terhadap seorang ‘datuk seri’ semalam bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.

    “Pertuduhan rasuah terhadap individu bernama Sim Choo Thiam menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa saya menjadi menteri. Malah, pertuduhan tersebut juga menyebutkan nama saya.

    “Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung.

    “Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk ‘mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri’,” katanya.

  • Anthony Loke tidak tahu cadangan lantik Jeck Seng pengerusi KTMB baharu

    Anthony Loke tidak tahu cadangan lantik Jeck Seng pengerusi KTMB baharu

    MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menafikan khabar angin mengenai cadangan melantik Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai pengerusi baharu Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

    Jelas beliau, perkara berkenaan tidak dimaklumkan kepadanya setakat ini.

    “Dari mana kamu dapat berita itu? Saya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Undang-undang dan Perniagaan Maritim 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata pelantikan pengerusi KTMB terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan

    “Setakat ini, saya tidak dimaklumkan (Kementerian Kewangan) mengenai cadangan sedemikian,” katanya.

    Pada 6 Mei, China Press melaporkan bahawa MCA telah memutuskan untuk mencadangkan Wee sebagai pengerusi baharu KTMB.

    Sekiranya pelantikan itu disahkan, Wee akan menjadi Ahli Parlimen pertama dari MCA yang diberi jawatan dalam kerajaan perpaduan.

    Beliau sebelum ini merupakan timbalan menteri industri perladangan dan komoditi di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ketika ini pengerusi KTMB ialah Ketua UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

    Dalam perkembangan lain, Loke berkata, beliau akan bertemu Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Selasa berhubung laporan salah laku yang dikatakan tidak diendahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Mengenai projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang, beliau berkata, Kementerian Kewangan telah memanggil mesyuarat dengan MRT Corp pada minggu depan.

    “Kementerian dan agensi berkaitan kemudiannya akan bertemu dengan Kementerian Kewangan untuk melihat model pembiayaan dan membuat keputusan,” katanya lapor FMT.

  • ‘Menumpang di dapur orang, ada hati menuding jari’: Ahmad Fadhli bidas Ahmad Zahid

    ‘Menumpang di dapur orang, ada hati menuding jari’: Ahmad Fadhli bidas Ahmad Zahid

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menempelak kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung gabungan parti pembangkang itu yang dijangka akan berpecah tidak lama lagi.

    Ahmad Fadhli dalam nada berkias turut mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang menuding jari pada pihak lain dan menyifatkan kedudukan BN umpama ‘menumpang di dapur orang’.

    “Kaki tempang tidak bersarang, sang merpati tidak berlari, tuan menumpang di dapur orang, ada hati menuding jari,” soalnya dalam siaran menerusi Facebook miliknya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid menjangkakan gabungan parti-parti yang didakwanya konon-konon memperjuangkan kaum Melayu akan berpecah tidak lama lagi.

    Beliau dalam ucapan amanat ulang tahun UMNO pada Khamis itu, berkias dengan menyorot semula insiden perpecahan dalaman yang dialami salah satu parti komponen gabungan pembangkang tersebut.

  • Pelajar cedera dibelasah kerana tak hormat senior

    Pelajar cedera dibelasah kerana tak hormat senior

    POLIS sedang menyiasat kes seorang pelajar yang dibelasah sekumpulan senior hingga mengalami beberapa kecederaan di muka dan kepala, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Taman Melawati, Isnin lalu.

    Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa didakwa tidak menghormati sekumpulan pelajar tingkatan 5 sekolah terbabit.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, pada awalnya mangsa ditumbuk di bahagian dada kiri, dicekik dan ditendang bahagian belakang badan oleh seorang pelajar dikenalinya ketika berada di tangga sekolah, kira-kira 9.30 pagi.

    Katanya, mangsa turut diugut akan disiku bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera.

    Selepas itu ujar beliau, terdapat lima suspek mengajak mangsa ke Bukit Mar Mar Kemensah, lalu dipukul.

    “Mangsa mengalami kecederaan bahagian dahi kepala, luka di bahagian tepi kening kiri, rahang di bahagian muka kiri serta belakang tengkuk mengalami kesakitan dan bengkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, seorang suspek menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali dan kejadian itu dilihat oleh kira-kira 10 hingga 15 pelajar.

    “Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya lapor FMT.

    Terdahulu, tular satu video dikongsi warganet di Instagram yang memaparkan seorang pelajar teruk dipukul sekumpulan pelajar lain sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

  • Bantuan khas banjir Besut diagih sebelum akhir bulan, kata Samsuri

    Bantuan khas banjir Besut diagih sebelum akhir bulan, kata Samsuri

    BANTUAN khas banjir kepada 5,391 ketua isi rumah (KIR) di daerah Besut yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibayar selewat-lewatnya sebelum akhir bulan ini.

    Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata setiap KIR yang terlibat akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri.

    “Kita menggunakan wang kerajaan negeri untuk bayaran khas kepada mangsa yang berpindah ke PPS.

    “Agensi di peringkat kerajaan pusat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah menghantar permohonan kepada kerajaan Persekutuan tapi belum dapat apa-apa keputusan setakat ini, jadi kita ‘on’ (mulakan) dululah,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Himpunan Pertahan Kawasan Besut di Jertih, malam tadi.

    Beliau sebelum itu mengumumkan perkara berkenaan kepada orang ramai yang hadir ketika berucap dalam majlis berkenaan.

    Ahmad Samsuri berkata bentuk bayaran kepada penerima akan ditentukan nanti sama ada dimasukkan terus ke dalam akaun atau diberi secara tunai.

    “Kelewatan pembayaran bantuan ini kepada mangsa banjir di daerah Besut disebabkan kita terpaksa membuat pemutihan, selepas semakan mendapati ada kes seperti pasangan suami dan isteri yang membuat permohonan sama di PPS berasingan,” katanya.

    Sebelum ini, mangsa banjir di Besut merungut kerana masih belum menerima bantuan RM1,000 yang dijanjikan kerajaan negeri, manakala mangsa banjir di daerah lain telah menerima bantuan itu secara berperingkat.

  • Lanjutan kontrak Azam ‘rosak’ imej PM tentang rasuah- Gomez

    Lanjutan kontrak Azam ‘rosak’ imej PM tentang rasuah- Gomez

    AKTIVIS anti-rasuah Edmund Terence Gomez berkata, lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah merosakkan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Beliau hairan mengapa Perdana Menteri melankutkan kontrak Azam sedangkan Anwar sering bercakap tentang usaha menghapuskan rasuah.

    “Bagaimana kontraknya (Azam) boleh dilanjutkan apabila reputasinya dipersoalkan? Lanjutan kontrak ini terletak di bawah seorang perdana menteri yang bercakap tentang menghapuskan rasuah.

    “Ia satu kerosakan serius terhadap (kredibiliti) Anwar dan beliau perlu menjelaskan mengapa beliau membenarkan lanjutan itu,” katanya memetik laporan FMT.

    Gomez meletak jawatan daripada panel penasihat SPRM pada Disember 2021 berikutan laporan mengenai dakwaan terhadap Azam berhubung isu pemilikan saham korporat secara meluas walaupun terdapat had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti untuk kakitangan awam.

    Azam berkata, beliau memberi kebenaran kepada adiknya untuk membeli saham menggunakan akaunnya pada 2015, dan pihak atasannya dimaklumkan mengenai perkara itu.

    Ketika Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan panel penasihat SPRM membersihkan Azam daripada salah laku, beberapa kumpulan pemantau dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggesa siasatan dibuka berhubung perkara itu.

    Pada Rabu, tempoh perkhidmatan Azam telah dilanjutkan selama setahun. Kontraknya sepatutnya tamat pada 12 Mei.

    Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020, berikutan peletakan jawatan pendahulunya, Latheefa Koya, selepas kejatuhan kerajaan PH.

    Sementara itu, bekas presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Ramon Navaratnam berkata, kerajaan perlu menjelaskan mengapa ia memilih untuk melanjutkan kontrak Azam berikutan kontroversi dagangan saham.

    Beliau berkata, ini amat penting dalam memastikan keyakinan orang ramai terhadap keputusan kerajaan.

    “Orang ramai mesti mempunyai kepercayaan dan keyakinan penuh terhadap keputusan (kerajaan) (untuk menyambung kontrak),” katanya.

  • Di mana ada UMNO, di situ Pejuang ‘tadak’ – Mukhriz 

    Di mana ada UMNO, di situ Pejuang ‘tadak’ – Mukhriz 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) bakal mengikut ‘jalur’ Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, dalam masa sama, pihaknya bagaimanapun tidak akan berkompromi terhadap Melayu yang terpalit dengan kleptokrasi.

    “Kami masih terbuka untuk berbincang (menghadapi PRN) tetapi seperti disarankan Tun Dr. Mahathir Mohamad, kami akan ikut jalur Melayu itu.

    “Jadi boleh fahamlah bahawa ada pihak yang kami tak boleh ikut. Satu lagi, walaupun Melayu tetapi terpalit dengan kleptokrasi, itu pun kami tak boleh juga.

    “Saya dah nyatakan sejak dulu bahawa kami berpegang teguh dengan prinsip di mana UMNO, di situ kami ‘tadak’,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika hadir ke Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di sebuah inap desa dekat Kampung Naga, Jitra di Kedah, malam tadi.

    Majlis itu turut dihadiri Tun Dr. Mahathir bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

    Sementara itu Mukhriz berkata, Pejuang belum membuat keputusan untuk bersama dengan mana-mana pihak menjelang PRN akan datang.

    “Kita belum buat keputusan dan apabila ada kata putusnya nanti, kami akan buat pengumuman. Perkara ini memang banyak dibincang dalam kepimpinan parti dan yang penting pada masa ini, adalah penyertaan kami dalam Proklamasi Orang Melayu.

    “Kami mendokong dan setuju dengan hasrat di sebalik proklamasi tersebut. Itu sebabnya ramai ahli kita telah menandatangani proklamasi itu,” katanya.

    Mukhriz dalam pada itu masih belum bersedia mendedahkan sama ada beliau dan Amiruddin akan terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra serta Anak Bukit dalam PRN akan datang.

    “Yang itu tunggu dan lihat,” katanya.