Category: Semasa

  • Isu KWSP bersasar: Anwar buat-buat tak nampak, kata Wan Saiful

    Isu KWSP bersasar: Anwar buat-buat tak nampak, kata Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya ‘buat-buat tidak nampak’ berkenaan permohonan rakyat berkaitan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah lama dilakukan.

    Bagaimanapun ujar beliau, Perdana Menteri dilihat bersungguh-sungguh mengucapkan selamat datang kepada kumpulan rock British, Coldplay yang akan mengadakan konsertnya di negara ini pada November depan.

    Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kagum Awnar yang turut meluangkan masa bersama peminat untuk menonton filem berkenaan dirinya namun tidak mempunyai masa mendengar rintihan rakyat dan solusi daripada badan bukan kerajaan (NGO) berhubung KWSP bersasar.

    “Saya teruja Anwar bersungguh-sungguh mengucapkan selamat datang kepada Coldplay ke negara ini, dalam siri jelajah kumpulan rock itu buat konsert pada November ini. Lama lagi Coldplay nak datang, bukannya esok.

    “Tetapi, saya lagi teruja salam rakyat #kwspbersasar yang memohon prihatin seorang Menteri Kewangan sebelum Coldplay datang Kuala Lumpur pun, dia buat-buat tak nampak,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Beliau mendakwa Anwar gagal menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 seperti yang dijanjikan semasa ucapan penggulungan Presiden pada Kongres Nasional Keadilan ke-16 pada 2022.

    “Bila sudah dapat kuasa, mungkin dia buat-buat tidak nampak atau dia buat-buat lupa. Takkanlah tidak bincang dengan menteri raja formula (Rafizi Ramli) kot. Dulu masa zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, raja formula ini bukan main lagi menang bab formula harga minyak.

    “Agaknya, mereka kena jadi pembangkang semula kot,” soalnya lapor Sinar Harian.

  • Mayat Orang Asli dipercayai dibaham harimau ditemukan

    Mayat Orang Asli dipercayai dibaham harimau ditemukan

    MAYAT lelaki Orang Asli suku kaum Bateq yang hilang ketika memancing dipercayai dibaham harimau Selasa lepas, ditemukan di Kuala Sungai Tunggul semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat Halim Asin, 27, dijumpai oleh pasukan penyelamat pada pukul 5.10 petang dalam keadaan terlungkup dan tersangkut pada tunggul kayu pada jarak kira-kira dua kilometer (km) dari tempat kejadian.

    “Mayat ditemukan dalam keadaan separuh bogel dan hanya memakai baju berwarna gelap, dipercayai hanyut dari tempat kejadian sehingga ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang memulakan operasi pagi semalam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Aring 5 di Gua Musang hari ini.

    Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, berikutan keadaan persekitaran di hutan yang gelap dan agak berbahaya, pasukan penyelamat mengambil keputusan untuk mengeluarkan mayat mangsa pagi tadi dan tiba ke tebing Sungai Aring 5 kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

    Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

    Choon Foo berkata, misi SAR itu melibatkan lapan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), serta polis menamatkan SAR itu berikutan penemuan mayat mangsa.

    Sementara itu, abang ipar mangsa Kuang Cemetong, 31, yang menyertai operasi SAR dari hari pertama pencarian Rabu lepas meluahkan rasa lega kerana mayat Halim berjaya ditemukan.

    “Saya adalah antara orang pertama yang melihat mayat mangsa. Perasaan ketika itu sangat sedih, namun lega apabila Halim akhirnya dijumpai.

    “Keluarga masih belum dimaklumkan tentang berita penemuan ini dan balik nanti saya akan beritahu kepada ayah, kakak serta anaknya,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan Halim hilang ketika memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang, 8, di Sungai Aring 5, dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau.

  • Dua anggota uniform ditahan disyaki terima rasuah RM18,000

    Dua anggota uniform ditahan disyaki terima rasuah RM18,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua anggota beruniform kerana disyaki menerima wang suapan berjumlah kira-kira RM18,000 daripada pemilik sebuah syarikat.

    Menurut sumber, mereka disyaki menerima rasuah daripada pihak syarikat yang mengendalikan kerja-kerja menyediakan kemudahan berkaitan elektrik dan bumbung di sebuah bangunan di Sarawak.

    Sumber memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki yang berusia 30-an dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 11 malam semalam di Pejabat SPRM Kuching ketika hadir memberi keterangan.

    “Kedua-dua suspek yang juga penjawat awam dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022,” kata sumber berkenaan, lapor Sinar harian.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd. Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM, selepas kenyataan suspek direkodkan oleh pegawai SPRM.

  • Lebih 1 tan pil esktasi bernilai RM78j dirampas di pelabuhan P. Pinang

    Lebih 1 tan pil esktasi bernilai RM78j dirampas di pelabuhan P. Pinang

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih satu tan pil dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi bernilai lebih RM78 juta di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), Sabtu lalu.

    Ia merupakan kejayaan rampasan dadah terbesar di Malaysia bagi tahun ini.

    Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan itu dilakukan sekumpulab anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang yang menahan sebuah kontena yang dibawa masuk melalui pelabuhan itu kira-kira pukul 9 pagi.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kontena terbabit diisi dengan 20 unit pemampat senyap piston (silent compressor).

    Bagaimanapun, ujar beliau, pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian unit itu telah diubah suai ruang dalamannya yang mana bungkusan berisi pil-pil dadah terbabit disembunyikan.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati, kontena itu dibawa masuk dari negara Eropah dan pihaknya kini sedang mengenal pasti pihak lain yang terlibat dalam pengimportan dadah secara besar-besaran terbabit.

    “Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang juga ejen turut ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang, Butterworth hari ini.

    Dalam pada itu, Zazuli menggesa orang ramai membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya.

    Katanya, jenayah penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

    “Orang awam boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau membuat laporan di pejabat kastam terdekat di semua negeri,” katanya.

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

    Dadah yang dianggarkan bernilai RM789.56 juta itu ditemukan ditanam dalam dua blok konkrit di dalam kontena terbabit.

    Kontena terbabit didaftarkan membawa perkakas solat dan dialamatkan ke sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane.

  • Bekas Ahli Parlimen Rembau pertama meninggal dunia

    Bekas Ahli Parlimen Rembau pertama meninggal dunia

    BEKAS Ahli Parlimen Rembau yang pertama, Datuk Firdaus Muhammad Rom Harun, 73, meninggal dunia kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi.

    Anak Allahyarham Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom berkata, bapanya meninggal dunia di kediaman keluarga di Taman Paroi Jaya dekat Seremban.

    “Sebelum ini, arwah ayah mempunyai penyakit buah pinggang. Ayah seorang yang tegas tetapi penyayang, ayah juga seorang pemimpin berjiwa rakyat.

    “Saya tinggal bersama ayah, dua tiga hari ini, ayah nampak sihat, kami sekeluarga pasti merindui ayah dan juga ibu yang telah meninggal dunia pada Februari tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

    Allahyarham Firdaus Muhammad Rom merupakan Ahli Parlimen Rembau bermula tahun 2004-2008 sebelum digantikan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

    Beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong dari tahun 1995 sehingga 2004.

    Allahyarham juga merupakan Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjadi Menteri Besar dari tahun 2008 sehingga 2010.

    Muhammad Faliq berkata, jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Paroi pada 6 petang ini untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum dikebumikan selepas solat Maghrib di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Paroi di Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini.

    Firdaus Muhammad Rom dan isteri Datin Faridah Kassim dikurniakan lima anak dan seorang cucu.

  • SPRM tahan penulis blog disyaki terima rasuah RM1.3 juta

    SPRM tahan penulis blog disyaki terima rasuah RM1.3 juta

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang ‘blogger’ bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan satu projek bernilai lebih kurang RM41 juta di sebuah kementerian.

    Majistret Puan Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman selama dua hari bermula hari ini hingga 13 Mei terhadap suspek selepas SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang merupakan penulis blog itu dipercayai menerima rasuah kira-kira RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sekitar tahun 2020.

    Sumber menambah permintaan dan pembayaran rasuah tersebut dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

    Difahamkan, selain isu jenayah rasuah, SPRM turut akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek tersebut dilaksanakan.

    Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

  • Gaduh selepas kemalangan, 6 ahli keluarga mangsa ditahan

    Gaduh selepas kemalangan, 6 ahli keluarga mangsa ditahan

    SERAMAI enam individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan antara sebuah motosikal dan kereta di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada 8 Mei lalu.

    Video kejadian kemalangan dan pergaduhan itu tular di media sosial Facebook hari ini selepas dimuat naik pemilik akaun Facebook Alex Law kira-kira pukul 2 petang.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua individu berkenaan bagaimanapun telah diberikan jaminan polis.

    Menurut beliau, hasil semakan polis mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah.

    ”Pergaduhan berpunca daripada pertengkaran mulut antara ahli keluarga kedua-dua pihak yang terlibat dalam kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menerusi video yang tular itu, terdapat sekumpulan individu bergaduh di lokasi kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dan sebuah kereta.

    Menurut Soffian, kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang oleh seorang wanita tempatan dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan.

    Katanya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Sehubungan itu, tambah beliau, polis membuka siasatan kemalangan maut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

    Tambahnya, kes pergaduhan pula disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan
    (kesalahan merusuh) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman
    penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menasihati ramai agar tidak menularkan rakaman video kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

  • Rosmah perlu jawab saman syarikat barangan kemas Global Royalty

    Rosmah perlu jawab saman syarikat barangan kemas Global Royalty

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan jawapan tuntutan saman oleh Global Royalty Trading SAL dari Beirut, Lebanon dalam masa tiga minggu.

    Peguam David Gurupatham yang mewakili syarikat itu berkata, ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rini Triany Muhamad Ali, pihak Rosmah dikehendaki memfailkan perkara itu sebelum atau pada 2 Jun depan.

    Ini berhubung saman syarikat itu untuk mendapatkan semula 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta daripada isteri bekas Perdana Menteri ini.

    “Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes akan datang dibuat melalui e-review pada 7 Jun,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum itu, pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah selaku defendan dan menuntutnya memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.

    Syarikat ini mendakwa Rosmah berbohong bahawa barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepadanya, dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    Menurut syarikat itu, hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan polis, dan bakinya tidak disimpan pihak berkuasa.

    Pada 28 Ogos 2019, Kerajaan Malaysia mengesahkan melalui Afidavit Jawapan yang diikrarkan oleh Superintenden Polis G/15177 Foo Wei Min (yang difailkan dalam guaman sivil tersebut) bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas yang berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia.

    Plaintif kemudiannya menarik balik tuntutan saman tersebut untuk memfailkan semula dan mencelah dalam prosiding pelucuthakan Kerajaan Malaysia terhadap OBYU Holdings Sdn Bhd, pemilik harta yang dimana 12,000 barang kemas tersebut telah disita oleh PDRM atas kesalahan di bawah AMLA.

    Pada 11 Mac 2020, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussein membenarkan permohonan plaintif untuk memeriksa barang-barang kemas tersebut, yang telah disita oleh PDRM.

    Pada 17 April lalu, media melaporkan, Global Royalty memfailkan saman baharu, untuk mendapatkan semula 43 barang kemas daripada isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

    Berdasarkan writ yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 29 Mac lalu, syarikat barang kemas itu mengambil langkah berkenaan melalui firma guaman, Tetuan David Gurupatham dan Koay dengan menamakan Rosmah selaku defendan tunggal.

  • Pelajar lepasan SPM mengaku tak bersalah dakwaan rogol remaja bawah umur

    Pelajar lepasan SPM mengaku tak bersalah dakwaan rogol remaja bawah umur

    SEORANG pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku tidak bersalah merogol remaja perempuan 15 tahun di Mahkamah Sesyen Melaka.

    Tertuduh, Muhammad Isa Muhaimim Mohamad Fauzi, 18, yang berdepan tiga pertuduhan bagi kesalahan itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.

    Menurut Sinar Harian, perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Limbongan Permai di Melaka, antara September 2022 hingga Mei lalu.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, Isa juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Melaka, pada 10 malam, 5 Mei lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000, manakala J Banusha pula mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000.

    Bagaimanapun tertuduh diwakili Peguam Goh Chin Han, merayu jaminan rendah dikenakan terhadap tertuduh yang tidak bekerja kerana baharu tamat persekolahan selain hanya bergantung kepada pendapatan bapanya sebagai pemandu lori.

    Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM14,000 selain menetapkan 19 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Projek tambak laut selatan Pulau Pinang perlu laporan EIA baharu?

    Projek tambak laut selatan Pulau Pinang perlu laporan EIA baharu?

    SAHABAT Alam Malaysia (SAM) akan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sama ada projek tambak laut perairan selatan Pulau Pinang (PSI) memerlukan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baharu.

    Ini kerana menurut Presiden SAM, R. Meenakshi, projek tambak laut PSI itu kini sudah berubah iaitu daripada tambakan tiga pulau menjadi hanya sebuah pulau.

    Jelasnya, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada EIA bagi projek PSI yang telah diluluskan sebelum ini masih terpakai atau sebaliknya.

    “Kami tidak boleh menyatakan bahawa EIA sebelum ini telah terbatal, jadi kami akan mendapatkan pandangan Ketua Pengarah JAS berkenaan kedudukan sebenar EIA PSI kerana skop projek telah berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Projek tambak laut PSI kini dikurangkan daripada tiga pulau kepada satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini meminta kerajaan negeri mengkaji semula dan memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek tersebut.

    Menurut Meenakshi, pihaknya berpandangan EIA baharu untuk projek PSI perlu diperoleh semula oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandangkan terdapat perubahan dalam konsep pembangunan projek serta reka bentuk dan keperluan (statement of need) projek itu.

    Malah, jelas beliau, salah satu daripada 71 syarat kelulusan EIA sebelum ini juga menyatakan sekiranya berlaku sebarang perubahan konsep pembangunan, ia hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

    Selain itu, tambah Meenakshi, terdapat keperluan penilaian impak hidraulik dan hidrologi baharu yang meliputi aliran semasa, paras air, keadaan ombak, pemendapan dan hakisan serta lain-lain isu berkaitan projek penambakan itu.

    Dalam pada itu, katanya, kajian migrasi udang yang perlu dilakukan lebih awal di bawah EIA yang baharu diluluskan juga masih belum selesai.

    “Ini adalah komponen penting untuk dinilai memandangkan penambakan Pulau A melibatkan 930 hektar, ia bakal memberi impak kepada hidupan marin, migrasi udang, keselamatan makanan dan sebagainya,” katanya.

    Tambah beliau, keperluan projek itu juga telah berubah memandangkan Kerajaan Pusat menyediakan dana yang diperlukan untuk menangani masalah pengangkutan di negeri ini.

    “Oleh itu, kerajaan negeri tidak boleh bergantung kepada kelulusan EIA terdahulu dan meneruskan dengan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) memandangkan perubahan-perubahan yang telah berlaku,” katanya.