Category: Semasa

  • Pegawai bomba maut terlanggar kerbau

    Pegawai bomba maut terlanggar kerbau

    SEORANG  pegawai bomba maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terlanggar seekor kerbau di Kampung Purun, Kuala Penyu, malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata mangsa, Mohd Haziq Abdul Jalil, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu pada 11.30 malam.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan kira-kira 8.40 malam itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tidong, Kuala Penyu.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan dan menyebabkannya terjatuh ke atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata Mohd Haziq kemudian dihantar ke Hospital Kuala Penyu dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 10.30 malam.

    “Empat anggota bomba digegaskan ke lokasi kejadian dan apabila tiba, pihak operasi dimaklumkan terdapat seorang mangsa terlibat iaitu anggota BBP Kimanis telah ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Penyu oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba. Operasi kemudian ditamatkan pada 11.40 malam,” katanya.

  • 30 hektar kawasan hutan terbakar di Pekan

    30 hektar kawasan hutan terbakar di Pekan

    Kira-kira 30 hektar kawasan hutan berhampiran Ladang KMT Jalan Pekan-Nenasi, Pekan dilaporkan terbakar akibat cuaca panas, hari ini. 

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kira-kira 7.55 pagi.

    Beliau berkata seramai 26 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Peramu, Nenasi serta Gebeng digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman, yang masih dilakukan sehingga kini.

    “Lokasi kebakaran adalah kawasan tanah gambut, jadi bila cuaca sangat panas dan terdapat punca nyalaan, ia mengakibatkan kawasan belukar itu mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Selain bomba, operasi pemadaman turut menerima bantuan daripada 11 pekerja ladang selain badan bukan kerajaan (NGO) yang menerbangkan dron bagi memantau lokasi kebakaran dari udara.

    Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

  • Akibat ‘microsleep’, lelaki rempuh lima kenderaan

    Akibat ‘microsleep’, lelaki rempuh lima kenderaan

    LIMA buah kenderaan yang diparkir di Jalan TTDI Groove 1/2, di sini dirempuh sebuah kereta, pada Selasa lalu selepas pemandunya terlelap sejenak atau ‘microsleep’.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 9 pagi.

    Katanya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Myvi berusia 34 tahun itu dalam perjalanan dari Jalan TTDI Groove 1/1 menghala ke rumahnya di Taman Jelok Indah selepas membuat kerja penghantaran barang.

    “Sebaik tiba di Jalan TTDI Groove 1/2, pemandu terbabit mengalami ‘microsleep’ lalu termasuk ke laluan bertentangan. Perodua Myvi itu terlanggar lima kenderaan di petak parkir sebelum serpihan kenderaan terbabit telah terkena pada seorang pekerja pembersihan yang sedang menyapu di jalan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, pekerja pembersihan terbabit telah dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.

    Katanya, semua pemilik kenderaan terbabit selesai membuat laporan pada jam 4 petang, hari yang sama.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu,” ujarnya.

    Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu di boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

  • Anwar arah cari pihak bertanggungjawab sebabkan negara rugi RM4.5 bilion

    Anwar arah cari pihak bertanggungjawab sebabkan negara rugi RM4.5 bilion

    DATUK Seri Anwar Ibrahim mengarahkan empat agensi mencari pihak bertanggungjawab menyebabkan negara menanggung kerugian dianggarkan RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

    Berita Harian melaporkan Perdana Menteri menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah melakukan apa saja tindakan mengikut undang-undang dalam isu itu.

    Beliau menjelaskan, arahan itu tidak merujuk kepada pihak tertentu, sebaliknya meminta pihak berkuasa memastikan sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan dihadapkan ke muka pengadilan.

    Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak tanpa mengira perbezaan pegangan politik, kaum dan agama untuk bersama-sama menyokong tindakan kerajaan menghukum pihak yang melakukan rasuah.

    Perdana Menteri berkata demikian pada Program Aidilfitri Malaysia MADANI anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

    Jumaat lalu, media melaporkan Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

    Menurut EMIR Research, badan pemikir berpangkalan di Kuala Lumpur, anggaran kerugian yang dihadapi negara bermula dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga tahun ini adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dipetik berkata, jumlah angka kerugian kewangan boleh menjadi jauh lebih tinggi disebabkan kesan pengganda pelaburan yang merujuk kepada impak stimulatif pelaburan awam atau swasta.

  • Warga Pulau Pinang diseru turun perhimpunan aman bantah projek tambak laut esok

    Warga Pulau Pinang diseru turun perhimpunan aman bantah projek tambak laut esok

    SELURUH warga Pulau Pinang dijemput menyertai perhimpunan aman bagi membantah projek tambak laut di perairan selatan negeri itu (PSI) yang akan diadakan di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar bermula pukul 10 pagi esok.

    Perhimpunan aman itu digerakkan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) dengan sokongan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya berkaitan alam sekitar.

    Menurut Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Rose, bantahan menerusi perhimpunan aman itu dibuat berikutan projek tambakan di selatan Pulau Pinang terbabit kini kian rancak untuk dilaksanakan yang mana dijangka bermula tahun ini.

    “Justeru, kami selaku wakil nelayan tradisi terutamanya merasa terpanggil untuk terus menjalankan siri perhimpunan awam ini kerana ia memberi impak yang sangat mendalam dan menjejaskan mata pencarian para nelayan.

    “Selain itu, perhimpunan awam ini juga adalah sebagai tanda ketidakpuasan hati kami berikutan pencemaran air yang semakin terjejas teruk.

    “Ini telah menyebabkan populasi spesies hidupan laut semakin terancam,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

    Menurut beliau, kehadiran orang ramai itu amat diharapkan sebagai tanda sokongan kepada suara nelayan yang semakin terhimpit dek arus pemodenan yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan nasib para nelayan yang terjejas.

    Projek tambak laut PSI kini dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini meminta kerajaan negeri mengkaji semula dan memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek tersebut.

    Bagaimanapun, komuniti nelayan khususnya di kawasan Teluk Kumbar yang terjejas secara langsung dengan projek tambakan itu dan beberapa NGO mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan terus projek itu, bukannya mengecilkan saiz tambakan.

    Malah, mereka mendakwa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini tidak lagi mempunyai apa-apa justifikasi atau alasan untuk meneruskan projek terbabit selepas Kerajaan Pusat akan menyediakan dana dalam jumlah besar bagi membiayai projek transit aliran ringan (LRT) di negeri itu.

    Projek tambak laut PSI itu pada mulanya dirancang melibatkan tambakan kawasan laut seluas 1,821 hektar bagi membina tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan modal bagi menjalankan projek di bawah Pelan Induk Pembangunan (PIP) yang termasuk pembinaan LRT.

  • Enam penumpang cedera ringan bas ekspres rempuh belakang lori

    Enam penumpang cedera ringan bas ekspres rempuh belakang lori

    ENAM penumpang bas ekspres cedera ringan apabila kenderaan merempuh belakang sebuah lori di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Kuala Kangsar, awal pagi ini.

    Dalam kenyataan hari ini, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.46 pagi. 

    ‘’Berdasarkan maklumat daripada pemandu bas ekpres, bas itu yang membawa 26 penumpang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke KL Sentral telah terlanggar bahagian belakang sebuah lori. Terdapat enam orang mangsa telah mengalami kecederaan tetapi tiada mangsa tersepit,” katanya.

    Beliau berkata,  anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital dengan jentera EMRS dan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Mohamadul berkata, bas tersebut dipercayai menghadapi masalah brek dan pemandu dikatakan terpaksa melanggar pembahagi jalan bagi mengelakkan risiko kemalangan lebih teruk. 

    Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saiful Hanif Mahmad Ayub tamat jam 3.40 pagi.

  • Jangan salah guna visa umrah, pelancongan untuk tunai haji

    Jangan salah guna visa umrah, pelancongan untuk tunai haji

    KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengingatkan umat Islam terutama bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

    MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan peringatan tersebut diuar-uarkan bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk ke musim haji. 

    Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan dalam bidang umrah dan seterusnya mengawal selia aktiviti berkaitan, MOTAC turut ingin mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji bermula selain akur dengan peraturan semasa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

    Musim haji dijangka bermula minggu ketiga Jun tahun ini.

    “MOTAC memandang serius berhubung perkara tersebut (salah guna) kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrah serta berusaha menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini selain daripada menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” menurut kenyataan itu, lapor BERNAMA.

    Kementerian itu memaklumkan perkara itu satu kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah, selain kerajaan negara itu hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

    Menurut MOTAC, tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan oleh kementerian itu dan turut menyeru rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara.

  • Lelaki maut disengat tebuan

    Lelaki maut disengat tebuan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki meninggal dunia dipercayai akibat disengat tebuan tanah dalam kejadian di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai di Kulim pada petang semalam.

    Kejadian terbabit berlaku pada pukul 4.35 petang ketika mangsa, Muhammad Sazwan Marzuki, 28, yang merupakan pemilik kedai peralatan perkakasan mengendalikan sebuah jentera jengkaut.

    Mangsa terlebih dahulu mengadu bahagian kepalanya sakit akibat disengat serangga terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, terdapat sarang tebuan pada jentera jengkaut yang lama tidak digunakan.

    “Pada awal kejadian, abang mangsa bersama seorang rakan membawanya ke sebuah klinik swasta di Taman Jaya, Padang Serai untuk rawatan awal.

    “Bagaimanapun pihak klinik terbabit meminta mangsa segera dirujuk ke wad kecemasan Hospital Kulim.

    “Mangsa diberikan rawatan di zon merah tetapi doktor yang merawat mangsa kemudianya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

    Mohd. Redzuan berkata, anggota Balai Polis Padang Serai turut diarahkan menjalankan siasatan bagi memastikan kematian mangsa bukan disebabkan kejadian jenayah.

    “Proses bedah siasat telah dijalankan pada pukul 10.45 pagi hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar namun punca kematian belum diperolehi,” katanya.

  • Laporan kes rampasan RM789j heroin di Australia sudah diserah kepada PM – Kastam

    Laporan kes rampasan RM789j heroin di Australia sudah diserah kepada PM – Kastam

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah menyerahkan laporan berhubung kes rampasan heroin bernilai RM789.56 juta melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Mei lalu.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan berkata, laporan terbabit belum lengkap sepenuhnya memandangkan pihaknya masih memerlukan maklumat tambahan daripada Pasukan Sempadan Australia (ABF) berhubung kejadian terbabit.

    Ujar beliau, pihak ABF juga perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian berkaitan di negara berkenaan sebelum memberikan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa Malaysia.

    Tambahnya, setakat ini juga belum ada sebarang tangkapan dibuat bersabit kes itu dan pihaknya percaya Malaysia dijadikan lokasi transit oleh sindiket terbabit sebelum dadah berkenaan dibawa ke Australia.

    “Berdasarkan maklumat awal yang diterima, dadah berkenaan dibawa dari negara segi tiga emas (Golden Triangle) dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang, di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri mengarahkan JKDM mengemukakan laporan penuh berkaitan rampasan heroin yang dilaporkan dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia.

    Anwar mahu laporan bagaimana perkara itu berlaku dihantar kepadanya dalam tempoh dua minggu selain meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu melakukan siasatan. 

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

    Dadah yang dianggarkan bernilai RM789.56 juta itu ditemukan ditanam dalam dua blok konkrit di dalam kontena terbabit.

    Kontena terbabit didaftarkan membawa perkakas solat dan dialamatkan ke sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane.

  • Dua pelajar KKTM lemas di air terjun

    Dua pelajar KKTM lemas di air terjun

    DUA pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kemaman lemas ketika mandi bersama rakan-rakan mereka di kawasan Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, dekat Dungun, pukul 11.20 pagi tadi.

    Mayat mangsa, Ahmad Syahid Hamdan,19, dari Kampung Tuk Jembal, Kuala Nerus dan Muhammad Ridhwan Zawawi,19, dari Kampung Bukit Payung ditemui pada pukul 12.15 tengah hari.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata sebelum kejadian itu, sekumpulan pelajar terbabit dari Kemaman datang berkelah di situ pada kira-kira pukul 11 pagi.

    “Kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan naik ke tingkat atas di kawasan berbatu di situ.

    “Kedua-dua mangsa dikatakan terjun ke dalam air, manakala seorang lagi tidak berbuat demikian.

    “Rakan mangsa tidak menyedari kedua-dua rakannya itu lemas dan tidak muncul di permukaan air kerana dilindungi kawasan berbatu di situ,” katanya.

    Baharudin berkata, seorang pengunjung yang menyaksikan kedua-dua mangsa yang lemas, kemudian memaklumkan kepada rakannya yang berada di kawasan berbatu itu.

    Beberapa pengunjung yang berada di situ katanya, tidak berani memberi bantuan kerana air di kawasan itu berpusar dan sangat dalam.

    “Orang ramai kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang segera memberi pertolongan,” katanya.

    Baharudin berkata, polis yang menerima laporan kejadian itu, tiba bersama sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah bagi operasi menyelamat.

    Menurutnya, mayat pertama, Muhammad Ridhwan ditemui pukul 12.08 minit, manakala mayat Ahmad Syahid ditemui pukul 12.15 tengah hari pada kedalaman air kira-kira empat meter.

    “Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan keluarga kedua-dua mangsa sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu,” katanya, lapor Berita Harian.