Category: Semasa

  • Hari ini dalam sejarah musuh jadi kawan, berkongsi dalam pentas yang sama

    Hari ini dalam sejarah musuh jadi kawan, berkongsi dalam pentas yang sama

    RAMAI pemimpin parti kerajaan perpaduan menganggap hari ini telah mencipta sejarah apabila mereka yang dahulunya bermusuh antara satu sama lain dapat berkumpul menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

    Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek berkata, lebih manis lagi apabila pemimpin parti-parti kerajaan perpaduan berkumpul di Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang menjadi lokasi Barisan Nasional (BN) dan UMNO berkumpul setiap tahun.

    “Tidak tergambar tempat kumpul UMNO dan BN, hari ini bermukimnya seluruh wanita kerajaan perpaduan,” katanya ketika berucap di Dewan Merdeka WTC, hari ini.

    Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan bagi membina kerjasama lebih utuh pada masa akan datang.

    Seawal 10 pagi, konvensyen yang diadakan buat julung kali itu membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri, yang diadakan serentak.

    Sementara itu, Ketua Wanita DAP, Chong Eng berkata, ini kali pertama beliau masuk dan berucap di WTC.

    Menurutnya, UMNO dan DAP yang dahulunya ‘bermusuh’ kini menjadi kawan demi kebaikan negara.

    “Dulu kita (DAP dan UMNO) lawan, sekarang kita jadi kawan. Ini untuk Malaysia lebih baik. Untuk semua,” katanya.

    Ketua Pemuda PKR, Adam Adli pula berkata, konvensyen kali ini bukan satu himpunan biasa.

    “Ini adalah permulaan, bagi parti-parti terbabit menyatakan kesepakatan, persetujuan dan kesediaan untuk membentuk sebuah negara lebih baik.

    “(Selepas) berpuluh tahun bermusuh dalam politik, kali ini, kita letak titik noktah,” katanya ketika berucap di pentas Konvensyen Pemuda.

    Beliau berkata, tentu sekali bukan mudah dan bukan sekadar lontarkan menerusi bicara atas pentas kerana ada banyak perbezaan perlu diuruskan dan pemimpin yang mengetuai sayap Pemuda mesti pulang dengan tanggungjawab besar untuk uruskan perbezaan sebaiknya.

    Bagi Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan itu dilangsungkan demi kestabilan politik negara.

    Katanya, sebelum ini tidak ada satu parti pun yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, maka perlu ada gabungan kerajaan perpaduan.

    “Hari ini kita kumpulkan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan untuk bawa resolusi yang membawa kebaikan kepada rakyat di luar sana,” katanya, lapor FMT.

  • Raih kemenangan besar dalam PRN, buktikan rakyat tolak kerajaan sedia ada

    Raih kemenangan besar dalam PRN, buktikan rakyat tolak kerajaan sedia ada

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENANGAN besar dicapai Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, mampu menghadirkan isyarat bahawa rakyat tidak lagi mahu dipimpin oleh kerajaan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan dibuktikan apabila tiba masanya nanti.

    Malah katanya, kerajaan sedia ada insya Allah akan tumbang apabila PN mengambil alih kesemua enam negeri yang bakal menghadapi PRN.

    “Kita tahu kali ini, kita akan buktikan dalam kemenangan PRN kali ini. Kalau kita menang besar, ia akan menyebabkan mereka tahu bahawa rakyat tak mahu lagi kerajaan yang ada hari ini.

    “Mereka tak mahu kerajaan Malaysia dipimpin oleh ‘Tok Non’ ini. Insya Allah kerajaan ini akan jatuh apabila kita dapat mengambil semua enam negeri dalam PRN akan datang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PN di Guar Chempedak di Yan malam tadi.

    Mengulas lanjut katanya, gabungan tersebut tidak berhasrat untuk mencari kesalahan orang lain sekiranya PN mengambil alih kerajaan sedia ada satu masa nanti.

    “Yang lebih penting buat kita adalah mencari pemimpin untuk mengatur Kabinet menjadi lebih baik supaya segala yang dilakukan adalah sesuatu yang benar-benar bertanggungjawab demi masa depan agama, bangsa dan negara.

    “Jangan sekali-kali kita ikut perangai orang macam ini. Kalau kita ambil alih kerajaan sedia ada, jangan cari masalah orang sebaliknya tengok masa depan serta cari perkara lebih baik di depan kita,” katanya.

    Dalam pada itu Hamzah berkata, tindakan mengaitkan namanya dengan pertuduhan kes rasuah di mahkamah baru-baru ini, dilakukan oleh mereka yang berniat ‘busuk’.

    Sambil mempersoalkan mengapa beliau dituduh bersubahat dengan individu berkenaan, Hamzah turut mendakwa kerajaan telah bersifat zalim dalam hal itu.

    Katanya, beliau tidak tahu mengapa namanya dikaitkan dengan kes tersebut sedangkan beliau langsung tidak mengambil duit individu berkenaan walaupun satu sen.

    “Selepas raya, individu ini ‘depa’ (SPRM) ‘charge’ (tuduh). Selepas itu pada hari sama, barulah SPRM ‘mai’ pejabat saya untuk temubual dan rakam sesuatu yang mereka mahu dari saya.

    “Saya beritahu yang saya tak tahu pun mereka (tertuduh) ini buat kerja apa. Saya tak tahu dan kalau mereka nak tuduh, itu ‘depa’ punya pasal.

    “Satu sen pun saya tak ambil dari individu ini, kenapa nak kait dengan nama saya? Inilah dia kerajaan zalim, kerja mereka yang berniat busuk,” katanya.

  • Pemaju boleh mohon laksana projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia

    Pemaju boleh mohon laksana projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pemaju hartanah swasta boleh membuat permohonan untuk projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

    Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, ini bagi menjadikan PPAM sebagai sebahagian daripada kediaman jualan mereka.

    “Permohonan dan pertanyaan berhubung perkara ini boleh dibawa ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyelia projek tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPAM Pangsapuri Seri Permata di Johor Bahru, semalam.

    Turut hadir Pengarah TH Tebrau Land, Syamin Ibrahim, Pengerusinya, Peh Lian Hua dan Pengarah Urusannya, Lim Cheng Chun.

    Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah memuji inisiatif pemaju perumahan TH Tebrau Land yang menjadikan sebanyak 692 unit daripada keseluruhan 1,388 unit buat kakitangan kerajaan dan keluarganya.

    Langkah tersebut katanya, boleh dilaksana pemaju lain pada masa depan sebagai satu tanggungjawab sosial korporat mereka.

    “Tindakan ini juga dapat mewujudkan satu komuniti masyarakat majmuk dimana ia terdiri daripada orang awam dan juga kakitangan kerajaan, jadi kediaman ini nanti bukan melibatkan satu segmen masyarakat sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Syamim memberitahu, unit kediaman PPAM di pangsapuri itu dijual bermula pada harga RM289,000 untuk satu lot letak kenderaan manakala RM309,000 untuk dua lot letak kenderaan.

    Katanya, projek berkenaan melibatkan tiga blok bangunan setinggi 49 tingkat dengan 50 peratus daripadanya adalah unit kediaman PPAM yang berukuran 975 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.

    “Langkah ini dibuat sebagai menyahut seruan kerajaan supaya setiap rakyat termasuk kakitangan kerajaan memiliki rumah kediaman selari

    dengan konsep ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

    “Tawaran unit kediaman PPAM ini adalah 35 peratus lebih rendah berbanding unit bukan PPAM bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah kediaman selesa di tengah bandar raya Johor Bahru,” jelasnya.

    Syamin berkata, unit kediaman bukan PPAM ditawarkan bermula pada harga RM380,000 hingga RM463,000.

    Menurutnya, projek tersebut kini mencapai tahap 55 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2025.

  • Wanita suspek amang seksual didakwa esok

    Wanita suspek amang seksual didakwa esok

    SEORANG wanita yang ditahan sebelum ini susulan kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun di Puncak Alam, akan didakwa Mahkamah Sesyen Klang, esok.

    Ketua Polis Kuala Selangor Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    “Kita akan bawa suspek (wanita) untuk dituduh esok,” katanya lapor Berita Harian.

    Pada 4 Mei lalu, media melaporkan suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

    Ramli dilaporkan berkata, suspek berusia 33 tahun direman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Katanya, wanita itu ditahan di kediamannya di Puncak Alam selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali.

    Dua hari kemudian, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit menyebarkan video adegan itu.

    Suspek lelaki yang menetap di Bandar Sri Damansara itu memiliki dua rekod jenayah iaitu kes pemerasan dan rogol selain telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan.

  • Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan

    Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan

    LELAKI maut manakala tunangnya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Terminal Minyak Mentah (TCOT) dekat Kerteh, pukul 11 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Muhammad Alif Hafizzudin Samsul, yang beralamat di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, maut di tempat kejadian.

    “Bakal tunangnya, berusia 20-an dan berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, parah dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

    “Kejadian, kedua-dua mangsa menaiki kereta dari arah Kerteh menghala ke Dungun,” katanya dalam kenyataan.

    Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Dungun ke Kemaman dipercayai hilang kawalan sebelum melepasi pembahagi jalan.

    Katanya, MPV terbabit kemudiannya memasuki laluan kanan dan keadaan itu menyebabkan kereta yang dipandu mangsa gagal mengelak lalu bertembung dengan MPV terbabit.

    Jelasnya, pertembungan kuat itu menyebabkan kereta dipandu mangsa remuk dan terbalik.

    Hanyan berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar tunangnya pulang ke Dungun selepas membeli cincin pertunangan mereka di Kemaman.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Kerajaan Perpaduan takut tumbang, tak mustahil Pejuang sokong PN

    Kerajaan Perpaduan takut tumbang, tak mustahil Pejuang sokong PN

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor beranggapan ketakutan yang membayangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berhubung ura-ura Kerajaan Madani bakal tumbang mungkin kerana perkara itu ada asasnya.

    Kata beliau, kenyataan berbentuk penafian yang dibuat oleh pemimpin kedua-dua gabungan itu kebelakangan ini menampakkan lagi kebimbangan mereka dengan jelas.

    “Pasal apa dia takut sangat? Pasal dia tahu kita ada (angka) kan. Kalau dia tak nafi mungkin orang anggap perkara itu sebagai khabar angin saja. Bila dinafikan perkara itu, mengikut petua orang tua-tua katanya benda itu betul,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) Kedah di Padang Awam, Guar Chempedak di Yan malam tadi.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau juga tidak boleh mengesahkan atau menafikan perkara tersebut namun berharap ianya menjadi kenyataan.

    “Sah pun tak tau, nafi pun tak tau. Saya gembiralah kalau boleh berlaku dan saya menanti-nantikan saat itu. Saya doakan ia menjadi kenyataan. Sangat tidak mustahil (untuk berlaku).

    “Jangan tanya saya (jumlah akuan sumpah berkanun) sebab saya bukan Ahli Parlimen. Saya tak tahu tetapi yang mereka sedang bercakap banyak itu (126) lah,” ujarnya.

    Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah menyifatkan adalah tidak mustahil sekiranya parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyatakan sokongan kepada PN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Katanya, walaupun permohonan Pejuang untuk menyertai PN ditolak sebelum ini, kemungkinan Pejuang bekerjasama bersama mereka menerusi platform lain seperti Proklamasi Orang Melayu bukan perkara yang luar biasa.

    “Mungkin (boleh bersama), saya tak tahu kalau Pejuang ada melakukan permohonan sekali lagi. Proklamasi tersebut bukan parti politik, mereka sebuah badan bertindak tetapi boleh menjadi medan untuk menyatukan orang Melayu sebab Pejuang pun dalam kalangan orang Melayu juga,” katanya.

  • ‘Masa jadi kerajaan depa buat apa’

    ‘Masa jadi kerajaan depa buat apa’

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIADA laluan mudah buat Pakatan Harapan (PH) yang kini bersama Barisan Nasional (BN) untuk merampas negeri Kedah daripada Perikatan Nasional (PN) disebabkan beberapa perkara terutamanya rekod pemerintahan lalu membabitkan kedua-dua gabungan itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, meskipun PN memiliki kelebihan untuk mempertahankan kerajaan negeri ketika ini, namun mereka tetap tidak memandang mudah lawan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    “Memang Kedah menjadi tarikan baik di pihak PN mahupun PH-BN. Kita sedang memerintah, mereka pula berhasrat nak rampas negeri ini kerana mereka nak rampas Kelantan dan Terengganu tak larat, jadi mereka pulun di Kedah.

    “Bukan jalan mudah untuk PH dan kita pun tak anggap pakatan mereka itu mudah dihadapi. Sebab itu kita persiapkan jentera lebih awal dan sudah mulakan kempen yang dibenarkan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada minggu keempat Jun,” katanya selepas pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya PN di Guar Chempedak, malam tadi.

    Terdahulu ketika berucap, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mendakwa, PH dan BN yang pernah menjadi kerajaan di negeri Kedah sebelum ini tidak memberikan impak yang baik kepada rakyat mahupun negeri itu.

    “Masa jadi kerajaan depa buat apa? Apa hasil tangan PH di Kedah, tolong tunjuk kalau ada. Semasa BN perintah Kedah saya nak ingatkan semula pada tahun 2008 kita (kerajaan Pas ketika itu) telah buat audit dan mendapati BN tinggal hutang bekalan air berjumlah RM2.4 bilion.

    “Mai PH (jadi kerajaan) tinggal hutang gaji pemain bola sepak tak bayar RM16 juta. Kutip dana kes Akhyar (Rashid) dapat RM50,000 dan masuk akaun cuma RM10,000. Kita tak cerita lagi duit persatuan hoki..

    “Setiap orang itu semua ada penyakit, nak bawa balik jadi kerajaan di Kedah ini jahanam lah negeri ini. Untuk elak benda itu dan kekal negeri ini bersih, tenang dan berdaya huni maka kekalkan lah PN sebagai kerajaan yang tadbir Kedah,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kesemua enam menteri besar dan ketua menteri yang akan terlibat PRN masih mempunyai persefahaman untuk membubarkan DUN serentak bagi membolehkan tarikh mengundi disekalikan.

    Katanya, persefahaman hasil pertemuan bersama pada Februari lalu masih tidak berubah setakat ini dan disebabkan tiada perjumpaan susulan yang khusus untuk membincangkan perkara itu, maka rundingan tersebut masih terpakai selagi tiada perubahan.

    “Tak ada siapa buat rancangan apa pun. Saya tak pasti kalau PH tiba-tiba bertukar angin tetapi Kedah, Kelantan dan Terengganu masih sama mahukan tarikh pilihan raya yang sama.

    “Ada risiko kalau tak buat sekali, sama ada mereka akan ‘renyak’ kita atau pun kita ‘renyak’ mereka. Jadi lebih baik adakan sekali,” katanya.

  • PRN: Bersatu tangguh pemilihan MPT

    PRN: Bersatu tangguh pemilihan MPT

    BERSATU menangguhkan pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan bahagian dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata bagaimanapun penangguhan itu tidak bersekali dengan pemilihan di peringkat cawangan.

    “Sehubungan itu, MPT juga bersetuju agar pemilihan bahagian dan MPT (kecuali cawangan) ditangguhkan tidak lebih daripada tempoh 18 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata,  MPT Bersatu mengadakan mesyuaratnya yang dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

    Dalam mesyuarat  itu, beliau berkata Muhyiddin menzahirkan parti itu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    Beliau berkata seluruh kekuatan parti diperkemaskan di semua negeri agar menjadi satu ketumbukan yang ampuh.

    “Bersatu bersama Perikatan Nasional (PN) juga melahirkan keyakinan tinggi untuk memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya negeri itu nanti dengan mempertahankan Kelantan, Terengganu serta Kedah.

    “Kita akan berkerja kuat bagi menawan Selangor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang,” katanya.

  • Pihak lawan cari ruang buruk imej pemimpin PN

    Pihak lawan cari ruang buruk imej pemimpin PN

    KEMUDAHAN awam termasuk pili bomba bukan sahaja digunakan semasa kebakaran, sebaliknya menampung keperluan air rakyat yang tidak mencukupi.

    Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jangan pula ada pihak tertentu cuba untuk menangguk di air keruh.

    “Kita tahu peraturan, sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir Kelantan lebih 30 tahun, kita tahu bagaimana nak salurkan bantuan kepada rakyat selaras dengan undang-undang,” katanya lapor Harakahdaily.net.

    Baru-baru ini tular ada pihak mendakwa ahli parlimen PAS ‘mencuri’ air daripada pili bomba untuk membekalkan air kepada penduduk.

    Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, pihak lawan sentiasa mencari ruang untuk mengenakan imej buruk kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) khususnya wakil-wakil rakyat.

    Katanya, mereka hanya akan mencari ruang dan peluang bagi mempamerkan imej buruk pemimpin PN seperti yang berlaku terhadap Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusof.

    Takiyuddin juga berkata, segala keperluan dan bantuan kepada rakyat dilaksanakan mengikut saluran-saluran yang ditetap dan dibenarkan menurut undang-undang. 

  • Ribuan ikan mati akibat cuaca panas

    Ribuan ikan mati akibat cuaca panas

    RIBUAN ikan di tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak, Kuala Nerus, mati sejak semalam akibat fenomena El Nino.

    Ini kerana cuaca panas melampau sejak Mac lalu meningkatkan lagi suhu permukaan tasik, sekali gus mengurangkan kapasiti simpanan oksigen dalam air.

    Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar (Eseri) UniSZA, Fathurrahman Lananan, berkata kekurangan oksigen di tasik berkenaan dikenal pasti menjadi punca kematian ikan terbabit yang sebilangan besarnya spesies tilapia.

    “Kita sudah menjalankan pemeriksaan sampel air tasik dan mendapati bacaan oksigennya terlalu rendah. Selain cuaca panas, kita syak kekurangan oksigen itu juga disebabkan kemasukan nutrien sisa air domestik daripada sistem perparitan taman perumahan berhampiran,” katanya lapor Berita Harian.

    Fathurrahman berkata, pertembungan faktor nutrien daripada sisa buangan domestik yang pekat ditambah peningkatan suhu permukaan tasik memburukkan keadaan.

    Katanya, kenaikan mendadak oksigen biologikal (BOD) boleh mengakibatkan bacaan oksigen air menjadi sifar, sekali gus mematikan ekosistem dalam sungai seperti ikan dan tumbuhan.

    “Ini kali kedua insiden ikan mati di tasik UniSZA akibat sebab yang sama sejak tasik ini dijadikan komponen tebatan banjir kawasan setempat mulai 2017,” katanya.

    Susulan itu, Fathurrahman berkata, pihaknya turut memohon kerajaan meluluskan segera projek Loji Rawatan Air (LRA) bagi menampung kemasukan air domestik di tasik berkenaan.