Category: Semasa

  • Lelaki disyaki lempar bom diburu polis

    Lelaki disyaki lempar bom diburu polis

    SEORANG lelaki diburu polis selepas videonya melempar objek seperti bom di sebuah restoran di kawasan Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten komisioner Raub Selamat, berkata kejadian itu berlaku pukul 4.15 pagi kelmarin.

    Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik premis yang juga lelaki tempatan pada 5.27 pagi.

    “Pengadu berusia 35 tahun memaklumkan mendengar bunyi letupan yang kuat sehingga beberapa cermin tingkap premisnya pecah.

    “Hasil semakan di kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta berwarna gelap berhenti di pagar premis.

    “Kelihatan suspek keluar dari kenderaan dan melempar satu objek ke tempat kejadian,“ katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

    Raub berkata kejadian itu menyebabkan empat cermin tingkap pecah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan suspek adalah seorang lelaki yang tidak dikenal pasti.

    “Polis masih menyiasat punca kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 kanun keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi talian hotline IPD JBS 07-2182323 atau pegawai penyiasat Inspektor Nik Mohamad Amirul Fikrie 011-35202900,“ katanya.

    Terdahulu, tular dua video masing-masing berdurasi satu minit memaparkan tindakan lelaki terbabit yang membaling objek sebelum berlaku letupan.

  • Azam Baki tidak pilih puak atau parti – Anwar

    Azam Baki tidak pilih puak atau parti – Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, sikap Tan Sri Azam Baki yang menjalankan tugas dan siasatan tanpa mengira puak atau parti menjadi antara faktor kerajaan melanjutkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Belum pernah dalam sejarah pejabat menteri digeledah SPRM bagi menjalankan siasatan,” ujar Ahli Parlimen Tambun itu.

    “Atas kapasiti itu kita teruskan khidmat beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata mengulas mengenai kontrak Azam yang dilanjutkan setahun.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, Azam diberi kebebasan untuk menerajui SPRM dalam usaha membanteras pengalahgunaan, salah laku dan rasuah.

    Menurutnya, Azam dilantik semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

    “Dari segi kerja saya bagi kelonggaran sebagai pihak berkuasa kepada SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk jalankan tugas. Beliau jalankan tugas memuaskan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan semula Azam selama setahun berkuat kuasa 12 Mei lalu.

    Azam, 60, mula dilantik ke jawatan itu sejak 9 Mac 2020 bagi menggantikan Ketua Pesuruhjaya sebelum itu, Latheefa Koya.

  • Tiga kes strok haba dicatatkan di Sabah

    Tiga kes strok haba dicatatkan di Sabah

    SABAH mencatat tiga kes strok haba berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini, membabitkan murid dan pelajar sekolah selain orang awam.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, kes terbabit dilaporkan antara 15 April lalu sehingga Jumaat lalu.

    Katanya, kes pertama adalah seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang dimasukkan ke wad pada 15 April lalu dan dibenarkan balik pada 18 April.

    “Bagi kes kedua, pesakit adalah seorang murid lelaki berumur sembilan tahun yang dimasukkan ke wad pada 30 April lalu dan dibenarkan keluar pada 2 Mei.

    “Kes ketiga pula ialah seorang wanita berumur 27 tahun yang bekerja sendiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar pada 29 April lalu.

    “Ketiga-tiga pesakit sudah selesai mendapatkan rawatan dan sembuh sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di Kota KInabalu, lapor BH Online.

    Katanya, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang individu kerap berpeluh dan menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.

    Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas, katanya ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening dan mual selain boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.

    “Kanak-kanak dan warga tua adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan akibat cuaca panas,” katanya.

    Berikutan itu, katanya JKNS menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penyakit berkaitan cuaca panas.

    Antara langkah itu, katanya ialah menangguh atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, mendaki gunung dan aktiviti luar yang lain.

    “Memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah seperti berkebun atau membersihkan laman rumah ataupun berehat secara berkala dan minum air kosong yang banyak setiap kali waktu rehat ketika melakukan aktiviti,” katanya.

    Selain itu, Dr. Rose Nani berkata, orang ramai juga disaran meminum air yang dimasak dengan secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

    Katanya, orang ramai juga digalakkan untuk memakai pakaian yang ringan, cerah dan longgar bagi mengelak pemerangkapan haba selain mengelakkan memakai pakaian warna gelap, tebal dan ketat.

    “Orang ramai juga disaran memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan selain tidak duduk dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr. Rose Nani meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda awal kelesuan dan strok haba.

  • Zahid kena sedar diri, majoriti diperolehi PN luar biasa

    Zahid kena sedar diri, majoriti diperolehi PN luar biasa

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukannya disebabkan kesilapan rakyat memandangkan jumlah majoriti yang diperolehi gabungan itu dianggap luar biasa.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, rakyat pada masa kini sudah pandai membuat penilaian sebaiknya dalam memilih parti yang dapat membela nasib mereka.

    Menurut Shahidan, berikutan itu, beliau juga menjangkakan Barisan Nasional (BN) dan parti penyokong kerajaan Perpaduan bakal berdepan laluan sukar bagi meraih sokongan rakyat pada Pihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Saya nak cakap tentang kenyataan (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini mengatakan kononnya pengundi yang melakukan kesilapan dengan memilih PN pada PRU15 lalu telah tersedar dan akan menyokong BN dalam PRN nanti.

    “Dia (Ahmad Zahid) yang seharusnya kena sedar majoriti yang diperolehi PN itu begitu luar biasa sedangkan beliau sendiri pun hanya dapat majoriti 348 undi sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitiri DUN Tambun Tulang di pekarangan tapak Pasar Malam Utan Aji, Kangar, semalam.

    Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid menzahirkan keyakinan bahawa pengundi yang telah melakukan kesilapan memilih PN dalam PRU15 lalu akan beralih sokongan bagi menyokong BN dan parti sekutunya dalam PRN tidak lama lagi.

    Katanya, BN bersama Pakatan Harapan (PH) yakin mampu menang di negeri-negeri majoriti Melayu yang ditadbir Pas di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Dalam pada itu, Shahidan berkata, rakyat kini sedang memerhati dengan rapat pentadbiran kerajaan dan PN sememangnya optimis dapat menewaskan lawan mereka dalam PRN berdasarkan momentum sokongan ditunjukkan pengundi pada masa kini.

    “Pengundi bukan silap sebab tak sokong BN, namun mereka silap kerana tak ubah seluruh negara kepada PN,” katanya lapor Utusan Malaysia.

    Dalam pada itu, Shahidan turut mengingatkan pengundi agar dapat membuat pilihan dengan sebaiknya memandangkan masa negara merupakan penentu bagi nasib anak-anak muda selepas ini.

    Tambahnya, berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan rakyat sememangnya tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan pada masa kini yang dianggap lemah.

    “Disebabkan itu, saya juga akan ambil beberapa tindakan tertentu selepas ini untuk memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan kerajaan bagi menegakkan keadilan buat rakyat,” katanya.

  • Cadangan meletakkan SPRM bawah EAIC sedang dibincangkan pegawai

    Cadangan meletakkan SPRM bawah EAIC sedang dibincangkan pegawai

    LIMA panel pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin tidak diperlukan, jika agensi antirasuah itu diletakkan di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

    Bekas ahli panel perundingan dan pencegahan Rasuah, Walter Sandosam berkata, ini kerana fungsi lima jawatankuasa pengawasan itu akan bercanggah peranan EAIC.

    Panel pengawasan lain ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan dan Panel Penilaian Operasi.

    Sandosam berkata, jawatankuasa itu perlu dibubarkan kerana ia tidak diperlukan di bawah EIAC.

    Fungsi suruhanjaya itu termasuk memantau operasi dan prosedur agensi penguatkuasaan.

    Beliau sebaliknya mencadangkan kerajaan mengukuhkan panel pengawasan SPRM, dengan melantik ahli yang secara umumnya bebas dan boleh berfikir dengan bijak.

    “Mereka harus datang daripada pelbagai latar belakang dan badan profesional.

    “Jika tidak, tiada gunanya melantik orang hanya untuk melengkapkan jumlahnya,” katanya sambil menambah beberapa ahli panel adalah bekas pegawai kerajaan yang menjadi pak turut.

    Seorang lagi bekas ahli panel pengawasan, Edmund Terence Gomez berkata, lima badan pengawasan SPRM perlu bebas daripada campur tangan politik, jika mereka mahu bebas sepenuhnya.

    “Perdana menteri mempunyai terlalu banyak pengaruh dalam melantik ahli panel dan ketua SPRM. Pada asasnya ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem itu,” kata pakar ekonomi itu kepada FMT.

    Beliau berkata, panel lembaga penasihat bebas perlu diberi kuasa untuk memilih ketua SPRM.

    Gomez meletak jawatan daripada panel pengawasan pada Disember 2021, selepas ia gagal membincangkan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki sejumlah besar saham korporat.

    Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa EAIC sudah dibincangkan pegawai.

    Bagaimanapun, sebuah gabungan pertubuhan masyarakat sivil berkata, langkah itu akan bercanggah semangat reformasi dan ketelusan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • PM enggan lagi layan cubaan sabotaj

    PM enggan lagi layan cubaan sabotaj

    DATUK Seri Anwar Ibrahim tidak lagi akan melayan sebarang cubaan untuk menstabotaj Kerajaan Perpaduan.

    Tegas Perdana Menteri, meskipun terdapat beberapa percubaan menerusi akuan bersumpah (SD) dan sebagainya di peringkat awal, pentadbiran yang diterajuinya hari ini dilihat lebih kukuh dan meyakinkan.

    “Ini boleh dilihat selepas pemimpin parti-parti bersekutu menzahirkan komitmen terhadap Kerajaan Perpaduan menerusi Konvensyen Perpaduan yang berlangsung semalam.

    “Saya lebih yakin kerana konvensyen semalam menetapkan suatu bentuk kerajaan yang kukuh,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.

    Menurutnya, prestasi negara semakin mantap sekiranya sesebuah kerajaan itu stabil dan pada jangka panjang iaitu sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    “Jadi kena sabar dengan saya sementara ini. Untuk apa? Kalau saudara lihat angka-angka dari Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan suku tahun pertama jauh lebih baik daripada yang diunjurkan pada November dan Disember tahun lalu,” katanya.

    Beliau berkata, unjuran negara tidak sehebat dan sebaik sekarang dengan sasaran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.45 hingga lima peratus.

    “Tetapi apa yang berlaku, suku pertama tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus, kadar inflasi dan jumlah pengangguran berkurangan serta pertambahan pelaburan,” katanya.

    Beliau berkata, kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan yang menerima projek pelaburan harus bekerja sederap bagi memastikan momentum pertumbuhan yang lebih meyakinan.

    “Ini terserah kepada komitmen dan kesungguhan kita.

    “Mudah-mudahan dengan tarbiyah Ramadan, ia bukan sahaja dapat meningkatkan nilai, akhlak dan sahsiah tetapi juga komitmen bekerja kerana Allah SWT,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Rumah kongsi terbakar, pekerja ladang ditemui rentung

    Rumah kongsi terbakar, pekerja ladang ditemui rentung

    SEORANG pekerja ladang kelapa sawit ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kongsi di kawasan estet di Kalabakan, dekat Tawau semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Sofian Aggel Ibrahim, 52, dipercayai tidak sempat keluar dari rumah ketika kebakaran.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan pada 1.50 tengah hari melalui Balai Polis Bombalai.

    Katanya, pengadu lewat melaporkan kejadian itu akibat lokasi kejadian tiada liputan rangkaian telekomunikasi.

    “Empat anggota bomba dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 65km untuk mengambil maklumat dan pengesahan kebakaran.

    “Pengadu memaklumkan menemui mangsa dalam keadaan rentung dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, blok rumah kongsi tidak kekal yang mempunyai tujuh pintu itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.

    “Pemeriksaan turut dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada 6.31 petang.”

  • Adnan Saidin, Raja Sepak Takraw Asia meninggal dunia

    Adnan Saidin, Raja Sepak Takraw Asia meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUNIA sepak takraw tanah air kehilangan seorang legenda apabila Raja Sepak Takraw Asia, Adnan Saidin meninggal dunia pada usia 66 tahun di Alor Setar, pagi ini.

    Allahyarham yang terkenal dengan libasan ‘maut’ sudah beberapa hari menjalani rawatan di sebuah hospital swasta akibat sakit jantung dan jangkitan kuman pada paru-parunya selain menghidap penyakit saraf serta kencing manis.

    Berita pemergian Adnan dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.

    Bekas ketua pasukan negara dari 1980 hingga 1986 dan Kedah dari 1976 hingga 1992 itu telah bersara daripada tugas di sebuah syarikat utiliti negara dan mempunyai enam anak.

    Penglibatan hampir 20 tahun dalam sukan itu banyak meninggalkan kenangan manis kepadanya dan negara terutamanya ketika berdepan musuh tradisi, Thailand pada aksi final Sukan SEA di Jakarta 1979.

    Dalam pertembungan itu, libasan ‘pari’ Adnan tepat ke dada apit kanan Thailand yang menyaksikan pemain itu tumbang akibat sesak nafas dan terpaksa diusung keluar gelanggang.

    Kehebatannya dalam sukan itu membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia pada 1984 dan digelar Raja Sepak Takraw Asia dua tahun kemudian.

  • 670 petugas haji digerakkan ke Arab Saudi santuni jemaah haji Malaysia

    670 petugas haji digerakkan ke Arab Saudi santuni jemaah haji Malaysia

    SERAMAI 670 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi untuk menjelaskan operasi haji tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Katanya, daripada jumlah tersebut, 340 orang adalah petugas kebajikan, perubatan (296 orang) dan selebihnya daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wail media.

    ‘’Kumpulan pertama yang terdiri daripada 16 petugas perubatan dan petugas teknologi maklumat (IT) telah berlepas kelmain dan akan disusuli dengan tiga Kumpulan besar pada hari ini, 18 Mei dan 20 Mei,’’ katanya dalam kenyataan.

    Hari ini seramai 160 petugas berlepas ke tanah suci sebagai persediaan awal bagi menyantuni jemaah haji Malaysia.

    Keberangkatan semua petugas dilakukan secara berperingkat melalui beberapa siri penerbangan sepanjang fasa pertama operasi haji tahun ini.

  • PH,BN guna logo sendiri di Kedah

    PH,BN guna logo sendiri di Kedah

    WALAUPUN kini sudah berada dalam kerajaan yang sama namun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan akan menggunakan logo masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ketika memaklumkan prekära itu, Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia adalah pendirian semasa kedua-duanya dan pimpinan tinggi di peringkat pusat belum memberi sebarang makluman.

    “Soal logo (pusat) tak beri makluman, setakat ini PH guna lambang PH dan BN guna lambang BN,” katanya selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) rapor FMT.

    Pada 10 Mei lalu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan ada rakan sekutunya berhasrat menggunakan lambang BN di negeri tertentu untuk mendapatkan sedikit kelebihan ketika PRN.

    Berhubung pemimpin akan diketengahkan sebagai “poster boy” oleh gabungan BN dan PH Kedah, Mahdzir berkata perkara itu belum diputuskan pimpinan pusat.

    “Poster boy akan ada, cuma ia akan diputuskan pusat,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengulangi gesaannya supaya kerajaan Kedah memikirkan penyelesaian jangka panjang masalah air negeri itu yang kerap berlaku, terbaru di Kuala Kedah yang membabitkan lebih 250,000 akaun atau hampir sejuta pengguna.

    “Kalau satu rumah ada tiga, empat orang sudah sejuta orang langsung tiada bekalan air…ia sangat sedih dan menyusahkan.

    “Sepatutnya dalam musim seumpama ini ada langkah (atasi masalah), bukan penyelesaian jangka pendek,” kata bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu.