Category: Semasa

  • Kes lelaki mati ditembak di Serdang ada kaitan gengsterisme, dendam

    Kes lelaki mati ditembak di Serdang ada kaitan gengsterisme, dendam

    EMPAT lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat kes tembak melibatkan kematian seorang lelaki di sekitar Bandar Kinrara, Puchong, Khamis lalu.

    Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata semua suspek ditahan masing-masing berumur 30 hingga 40-an itu kini direman hingga 18 Mei untuk membantu siasatan.

    Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh dan motif pembunuhan ini dipercayai berkaitan aktiviti gengsterisme dan dendam.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 31 tahun itu mempunyai sebilangan rekod jenayah dan terlibat dengan kegiatan gengsterisme.

    “Kami masih siasat dan pendekatan kita ada berkaitan dengan kegiatan gengsterisme yang mangsa terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Balai Polis Seri Kembangan di Balai Polis Seri Kembangan, Serdang.

    Khamis lalu, seorang lelaki memiliki 21 rekod jenayah maut ditembak pada 12.35 tengah malam ketika mangsa sedang berjalan kaki menuju ke kenderaan selepas makan di medan selera berhampiran.

    Dalam kes berasingan, Hussein berkata, seorang lelaki warga emas berusia 70-an yang ditemukan mati di dalam kenderaannya di Selayang lima hari lalu, dipercayai dibunuh.

    Katanya, motif kejadian dipercayai disebabkan hutang oleh suspek ditahan.

    “Suspek ada berhutang dengan si mati. Mereka kenal antara satu sama lain dan tinggal di kawasan berhampiran. Suspek juga dikatakan selalu meminjam wang si mati dan disyaki untuk perniagaan barangan kemas kecil-kecilan milik suspek.

    “Sebelum itu, suspek ada meminjam RM3,000. Pada hari kejadian, suspek ada bertemu dengan mangsa dan dipercayai berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga menyebabkan suspek menikam mangsa menggunakan garfu,” katanya.

  • Pendengaran rayuan kes rasuah bekas KSU, anak ditangguhkan

    Pendengaran rayuan kes rasuah bekas KSU, anak ditangguhkan

    PENDENGARAN rayuan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anaknya terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi pertuduhan rasuah yang dijadualkan hari ini ditangguhkan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan kedua-dua peguam Datuk Rajpal Singh untuk menangguhkan pendengaran itu selepas beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak sihat dan tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.

    Beliau berkata, surat telah dikemukakan kepada mahkamah semalam yang memaklumkan Mohd Arif, yang mengalami sakit dada pada Sabtu, menghidap penyakit arteri koronari dan mendapatkan rawatan di hospital manakala anaknya Ahmad Zukhari disahkan positif Covid-19.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar tidak membantah permohonan penangguhan itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 21 Ogos untuk mendengar rayuan itu.

    Pada 14 November 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Mohd Arif, 66, didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dengan anak sulungnya Ahmad Zukhari menerima rasuah SG$200,000 (RM627,833) ketika beliau masih memegang jawatan KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah daripada Pengarah Syarikat Wazlina Sdn Bhd Mohd Safian Mohd Salleh.

    Beliau didakwa menerima wang itu sebagai suapan bagi kelulusan kementerian bernilai RM57,500,000 melalui rundingan terus (Reka dan Bina) sistem solar hidbrid di empat pulau terpencil di Sandakan, Sabah kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn Bhd (Eramaz) di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, Kuala Lumpur dari 4 petang hingga 7 malam pada 23 Ogos 2016.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta atau tiga tahun penjara ke atas Mohd Arif.

    Ahmad Zukhari, 41, ahli perniagaan, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta atau 10 tahun penjara selepas Mahkamah Sesyen mendapati dia bersalah atas empat tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada beberapa projek melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 2016.

    Rayuan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Mac 2021 menyebabkan mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

  • Bekas guru bahasa Arab dipenjara 8 tahun, lakukan seksual fizikal terhadap murid

    Bekas guru bahasa Arab dipenjara 8 tahun, lakukan seksual fizikal terhadap murid

    SEORANG bekas guru bahasa Arab mula menjalani hukuman penjara lapan tahun hari ini selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kerana melakukan kesalahan seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berumur 12 tahun pada 2018.

    Nor Azlam Ab Rahman, 43, juga akan menerima satu sebatan rotan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara menolak rayuan Nor Azlam terhadap sabitan dan hukumannya selepas memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.

    Dalam penghakiman mahkamah, Hanipah berkata berdasarkan keseluruhan bukti, sabitan kesalahan Nor Azlam adalah selamat.

    Beliau berkata Mahkamah Sesyen telah memutuskan bahawa Nor Azlam gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes pendakwaan, sambil menambah bahawa tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan rayuan.

    Hakim itu berkata hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan yang dikenakan terhadap Nor Azlam oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak keterlaluan.

    Mahkamah kemudian mengeluarkan waran komital untuk Nor Azlam memulakan hukuman penjaranya mulai hari ini.

    Nor Azlam sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu rayuannya selesai.

    Pada 5 Oktober 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Nor Azlam bersalah kerana melakukan kesalahan seksual dengan menyentuh anggota badan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan.

    Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 16 Mei 2022.

    Mengikut kertas pertuduhan, Nor Azlam melakukan kesalahan itu di makmal sebuah sekolah rendah di Kota Bahru, Kelantan pada 2.30 petang pada 4 Ogos 2018.

    Dia diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.

  • Sistem janji temu MySejahtera diperluas kepada perkhidmatan pergigian

    Sistem janji temu MySejahtera diperluas kepada perkhidmatan pergigian

    BERMULA hari ini, sistem janji temu secara dalam talian melalui aplikasi MySejahtera di fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan (KKM) diperluas kepada perkhidmatan kesihatan pergigian. 

    Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata melalui inisiatif itu, orang awam boleh menempah perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian dan merancang lawatan ke fasiliti kesihatan pergigian mengikut kesesuaian masa.

    Beliau berkata sistem janji temu MySejahtera baharu itu menawarkan janji temu pemeriksaan kesihatan pergigian melalui Perkhidmatan Pesakit Luar.

    “Peluasan ini akan mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pergigian dan kemudahan akses ke klinik pergigian,” katanya serta menambah kaedah walk-in masih lagi diteruskan.

    Beliau berkata pelanggan akan diberikan pemeriksaan, perundingan atau rawatan pergigian pada janji temu pertama dan sekiranya rawatan susulan diperlukan, penetapan janji temu seterusnya akan diaturkan.

    Bagi kes kecemasan pergigian seperti sakit gigi atau kecederaan pada tisu muka atau gigi, orang awam boleh hadir terus ke mana-mana klinik pergigian berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan tanpa perlu melakukan tempahan janji temu, katanya.

    Pendigitalan sistem janji temu perkhidmatan kesihatan pergigian melalui MySejahtera berpotensi meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan pergigian negara serta tahap kesihatan pelanggan, selain mengukuhkan penjagaan kendiri dan saringan tahap kesihatan pergigian sebagai langkah pengesanan awal penyakit serta pencegahan penyakit pergigian, katanya.

    Menurutnya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati 15 peratus daripada penduduk Malaysia tidak pernah mendapatkan pemeriksaan gigi dengan pengamal pergigian seumur hidup mereka, manakala 50 peratus pula hanya mendapatkan pemeriksaan pergigian yang terakhir mereka lebih dua tahun lepas.

  • Mayat nelayan dibaham buaya ditemui terapung

    Mayat nelayan dibaham buaya ditemui terapung

    MAYAT nelayan disyaki dibaham buaya ditemui terapung di di perairan Kampung Nala Lama Tungku, Lahad Datu hari ini.

    Mayat Rusbin Asri, 40, ditemukan oleh orang awam pada pukul 6.45 pagi tadi kira-kira 15 kilometer dari mangsa dilaporkan dibaham buaya dalam kejadian Jumaat lalu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu daripada pihak polis.

    “Pasukan bomba dan agensi bantuan bergerak ke lokasi dan seterusnya mayat dibawa ke Kampung Makuau untuk proses pengecaman daripada pihak keluarga,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, mangsa kemudian disahkan sebagai nelayan yang dilaporkan dalam kejadian ini dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan mangsa itu terdapat empat sangkar buaya telah dibuat pengecaman.

    “Ini bagi mengesan jika terdapat mangsa berada di dalam sangkar berkenaan, namun berikutan penemuan mayat itu operasi ditamatkan hari ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Media kelmarin melaporkan mangsa yang sedang memukat di pesisir pantai dipercayai dibaham buaya selepas bot yang dinaikinya terbalik manakala terdapat seekor buaya dilihat sedang melibas ekornya di lokasi sama.

  • Sultan Johor kecewa flat kos rendah macam ‘reban ayam’

    Sultan Johor kecewa flat kos rendah macam ‘reban ayam’

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan dan tahap kebersihan flat kos rendah di negeri itu yang disifatkan seperti ‘reban ayam’.

    “Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam’,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office menerusi Facebook baginda, hari ini

    Titah Sultan Ibrahim, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata sehingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

    “Saya harap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk baik pulih flat kos rendah yang lama dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka,” titah baginda.

    Sultan Ibrahim turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatan pembersihan dijalankan SWM Environment Sdn Bhd (SWM) di negeri itu.

    Baginda bertitah, kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan pembersihan atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.

    “Malah perjanjian bersama SWM adalah ‘watertight’ seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah,” titah Sultan Johor.

    Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

    Sultan Ibrahim berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan perlu mengambil perhatian perkara yang disampaikan baginda demi kepentingan rakyat.

  • PRN: PN muktamadkan agihan kerusi minggu depan

    PRN: PN muktamadkan agihan kerusi minggu depan

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memuktamadkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini pada minggu depan.

    Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PN selepas menerima keputusan perbincangan daripada Jawatankuasa Perundingan antara Parti.

    “Apa yang boleh saya katakan perbincangan sesama kita di peringkat negeri-negeri berjalan dalam suasana harmoni dan mesyuarat tersebut akan memutuskan bilangan kerusi yang akan ditandingi PAS, Bersatu dan Gerakan,” katanya.

    Naib Presiden Pas itu bERkata, demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di Marang hari ini.

    Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PN juga akan mengumumkan beberapa nama besar daripada pelbagai parti politik yang bakal menyertai gabungan itu, awal bulan depan.

    Ditanya sama ada nama-nama besar itu akan diangkat sebagai calon PN pada PRN, beliau berkata, ia bergantung kepada kesesuaian kawasan dan penerimaan rakyat selain menegaskan apa yang penting adalah kemenangan untuk gabungan.

    Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Bernama

  • Banduan liwat rakan dijel 5 tahun, satu sebatan

    Banduan liwat rakan dijel 5 tahun, satu sebatan

    SEORANG banduan dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas kesalahan meliwat rakan lelaki di Pusat Pemulihan Akhlak di Machang pada tahun lalu.

    Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Rohaizad Rosli, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dengan mangsa yang berusia 33 tahun di sebuah bilik di blok pusat pemulihan terbabit pada pukul 1 pagi pada 26 Jun 2022.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada prosiding itu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana kesalahan dilakukan ketika dia menjalani hukuman kes dadah di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

    “Hukuman seharusnya memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya lapor Sinar Harian.

    Mohammad Rohaizad dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap.

  • Dakwa Coldplay simbol LGBT, PAS terus lobi batal konsert

    Dakwa Coldplay simbol LGBT, PAS terus lobi batal konsert

    PAS terus mendesak kerajaan untuk membatalkan konsert jelajah dunia Coldplay yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 22 November ini.

    Ketua Penerangan Pas, Johor, Abu Irfan Muhammad Al Urduni berkata, bahawa kumpulan dari United Kingdom itu akan menyuburkan persefahaman LGBT di negara ini.

    “Kita dikejutkan dengan jadual kehadiran Coldplay untuk mengadakan persembahan di negara kita atas alasan kebebasan dan daya penarik ekonomi, Kerajaan Malaysia Madani menjemput ia ke negara kita.

    “Namun, dalam masa yang sama dilupakan latar belakang sebenar Coldplay adalah merupakan simbol LGBT dunia.

    “Kehadirannya bukan hanya memperkenalkan Malaysia kepada pihak luar, namun kesan negatif daripada simbol LGBT akan mengakibatkan mereka yang berperwatakan sedemikian akan merasa lebih bebas dan terhormat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan juga mendesak kerajaan supaya membatalkan konsert kumpulan rock itu.

    Beliau pula melabelkan persembahan itu, sebagai tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara, agama dan rakyat negara ini.

    Nasrudin juga mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu bertujuan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang di Malaysia.

    Sementara itu, Abu Irfan berkata, langkah pendidikan yang bersepadu seharusnya diambil untuk berhadapan dengan golongan yang belum memahami agama Islam secara mendalam.

    Bukannya dengan cara memberikan kebebasan atas alasan hak asasi atau lainnya, ujar beliau.

    “Ini bagi mengelakkan kesan negatif daripada sesuatu tindakan tersebut yang akan tersebar kepada masyarakat umum khasnya muda mudi Islam.

    “Ini kerana penganjuran konsert secara terbuka dan besar-besaran hanya akan membuka ruang kepada penyertaan masyarakat Islam sedangkan ianya jelas bercanggah dengan kehendak syariat,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Tiada lagi subsidi elektrik untuk rumah orang kaya

    Tiada lagi subsidi elektrik untuk rumah orang kaya

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.

    Ahli Parlimen Tambun itu berkata, rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.

    “Maknanya, B40 dan M40 tiada kenaikan (tarif elektrik), tetapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.

    “Ini kena faham, tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, tetapi bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif),” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya hari ini.

    Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyatakan bila penyelarasan kadar tarif elektrik akan dilaksanakan atau jumlah penggunaan yang akan dikategorikan sebagai ‘penggunaan amat tinggi’.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan telah memulakan langkah pensasaran subsidi pada awal tahun ini dengan menolak cadangan kerajaan lalu untuk menaikkan harga elektrik.

    “Jadi kita kekalkan harga elektrik bagi B40 dan M40, dan hanya dikenakan kenaikan kepada kilang-kilang besar melainkan yang ada kaitan dengan pertanian atau perniagaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

    Pada Februari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad melaporkan bahawa kerajaan memperuntukkan RM10.76 bilion bagi menampung subsidi bil elektrik untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik kategori voltan rendah (LV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

    Ini meliputi pengguna daripada Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), restoran, kedai runcit, bengkel kecil serta pengguna dalam kategori pertanian seperti petani, penternak dan pekebun.

    Dengan pemberian subsidi berkenaan, seramai 9.5 juta pengguna elektrik yang mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api penjanaan elektrik.

    Menurutnya, tarif elektrik disemak setiap enam bulan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dengan mengambil kira kos bahan api dan kos penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.

    Kos ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 adalah sebanyak RM16.16 bilion bersamaan kadar surcaj 27 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.

    “Namun begitu, kerajaan telah bersetuju untuk hanya melepaskan surcaj 20 sen/kWj sahaja kepada pengguna industri dan komersial (High Voltage – HV dan Medium Voltage – MV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun ini.

    “Baki surcaj sebanyak 7 sen/kWj bersamaan RM1.93 bilion ditampung oleh Kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

    Menurut Nik Nazmi, pemberian subsidi bagi tarif elektrik buat pengguna domestik kategori T20 perlu dilihat semula pada masa depan kerana golongan ini berkemampuan untuk membayar tarif yang lebih kompetitif.

    Menurutnya, negara perlu beralih kepada subsidi secara bersasar dalam tarif elektrik dengan memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.

    “Kita ada kerangka ICPT untuk tetapkan tarif harga elektrik. Kita masih melindungi dan kekalkan kadar sama bagi pengguna domestik walaupun T20.

    “Itu satu perkara yang bagi saya perlu fikir semula pada masa depan kerana kalau cakap soal tarif untuk T20, mereka dapat gaji besar dan perlu bayar tarif lebih kompetitif.

    “Untuk M40 dan B40, saya setuju kita perlu melindungi mereka,” katanya, lapor Berita Harian.