Category: Semasa

  • KRPPM IGAR: Pembangkang bawa sudut berbeza suara rakyat-Mas Ermieyati

    KRPPM IGAR: Pembangkang bawa sudut berbeza suara rakyat-Mas Ermieyati

    PENGLIBATAN ahli Parlimen pembangkang dalam Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) tidak boleh dipandang remeh kerana membawa suara rakyat daripada sudut pandang berbeza.

    Timbalan Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, mungkin tidak semua perkara yang dibawa akan dipersetujui tetapi mereka meraikan perbezaan demi mencapai keputusan terbaik.

    Jelasnya, sokongan pembangkang adalah sebagai lambang komitmen wakil rakyat untuk bawa harapan mereka.

    “Walaupun ia sukar tapi dengan adanya kumpulan ini, saya harap ia menjadi tekad politik terbaik untuk dijadikan rujukan dan petunjuk untuk memastikan integriti dan kebebasan institusi diutamakan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam hari ini.

  • Kawasan pelaksanaan perintah berkurung ESSZone diteliti semula

    Kawasan pelaksanaan perintah berkurung ESSZone diteliti semula

    PELAKSANAAN perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) akan diteliti semula dan akan diperkecilkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata perkara untuk meneliti semula pelaksanaan perintah berkurung itu telah dibincangkan dalam satu mesyuarat operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Tawau semalam.

    “Oleh itu, kita Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ESSCom telah mencadangkan agar pelaksanaan perintah berkurung itu diperkecilkan dan akan digantikan nama sebagai Kawasan Pergerakan Terhad di kawasan perairan daerah tertentu.

    “Buat permulaan kita akan mencadangkan agar kawasan perairan Tawau dikeluarkan daripada perintah berkurung berkenaan kerana kita yakin kawalan keselamatan di perairan daerah itu memuaskan,” katanya. 

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Perumahan Balai Polis Inanam yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi di Kota Kinabalu hari ini.

    Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata walaupun kes penculikan di kawasan pantai timur Sabah tidak lagi berlaku, namun pelaksanaan perintah berkurung masih tetap diperlukan.

    “Kejadian-kejadian seperti penculikan tidak berlaku sejak lebih tiga tahun lepas disebabkan adanya perintah berkurung dan kawalan keselamatan ketat pihak ESSCom.

    “Namun kita hanya mahu teliti semula kawasan pelaksanaannya (perintah berkurung) ada tiga kawasan yang masih menjadi kawasan panas kerana sempadannya berhampiran dengan negara jiran iaitu Sandakan, Lahad Datu dan Semporna,” katanya.

    Beliau berkata sebelum ini terdapat dua kawasan telah dikeluarkan daripada perintah berkurung iaitu Kudat dan Kota Marudu.

  • Mangsa kelima nahas kereta, lori di Kampar meninggal dunia

    Mangsa kelima nahas kereta, lori di Kampar meninggal dunia

    KANAK-KANAK yang parah dalam kemalangan di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, dekat Kampar, hari ini, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah, pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Suptenden Mohamad Nazri Daud berkata, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7 tahun, disahkan meninggal dunia pukul 9.20 pagi, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, media melaporkan empat beranak maut manakala seorang lagi parah, apabila kereta yang mereka naiki dipercayai melanggar belakang sebuah lori tanah sebelum terbakar di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, Kampar, awal pagi ini.

    Mangsa yang maut ialah Azriyani Abdul Latif, 45, dan tiga anaknya, Muhammad Azib, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Al Qorni, 5 tahun.

    Muhammad Fawwaz, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Tapah.

    Mohamad Nazri dalam kenyataan sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Muhammad Azib dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

    Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori di lorong sebelah kiri.

    Katanya, bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kampar pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Tumpu isu kemiskinan kaum Melayu, bukan anjur enam rumah terbuka – Tun M

    Tumpu isu kemiskinan kaum Melayu, bukan anjur enam rumah terbuka – Tun M

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesan kerajaan beri tumpuan kepada isu kemiskinan kaum Melayu berbanding penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri.

    Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya seronok dengan mengadakan majlis rumah terbuka sedangkan masalah kaum Melayu terus terpinggir.

    “Kita dapati kerajaan seolah-olah tidak nampak masalah orang Melayu, mereka berseronok, membuat rumah terbuka walaupun mereka berkata tak akan ada acara besar-besaran,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor semalam.

    Dr. Mahathir memberitahu, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, majlis rumah terbuka Aidilfitri hanya diadakan sekali sahaja.

    “Kenapa enam? Sebab nak tunjuk kepada rakyat supaya sokong dialah yang beri makan kepada orang ramai,” jelas beliau.

    Beliau menjelaskan, kebanyakan kaum Melayu di kawasan bandar masih dihimpit isu kemiskinan.

    Sehubungan itu, katanya, kaum Melayu sepatutnya sama kaya dengan kaum lain selepas negara mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun.

    “Tetapi hakikatnya ialah orang Melayu itu miskin sehingga kadang-kadang tanah milik mereka sekangkang kera mereka jual.

    “Apabila kita menjual tanah, kita kehilangan punca pendapatan dan tidak mempunyai harta seterusnya semakin miskin,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lelaki hambur kata kesat, perkauman ditahan polis

    Lelaki hambur kata kesat, perkauman ditahan polis

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki menghambur kata-kata kesat dan berbaur perkauman dalam satu kejadian di restoran makanan segera di Falim, dekat Ipoh, yang rakamannya ditularkan dalam laman Twitter sejak semalam.

    Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di Ampang Baru, kira-kira 11 malam tadi.

    “Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 14 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (berkelakuan aib),” katanya dalam kenyataan.

    Yahaya berkata ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk timbalan pendakwa raya untuk cadangan pertuduhan.

    Katanya, dengan tertangkapnya suspek, kes tersebut dianggap selesai dan orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video itu sehingga menjejaskan siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

    Sejak semalam video yang ditularkan pengguna ‘nan manjoi8715’ dalam laman Twitternya diciap semula pengguna lain menyebabkannya menarik perhatian umum.

    Video berdurasi satu minit 18 saat itu memaparkan seorang lelaki dipercayai penghantar makanan sebuah syarikat kurier menghambur kata-kata kesat dan berbaur perkauman kepada seorang kakitangan restoran.

  • Polis cari wanita pukul, tepuk kepala bayi dalam video tular

    Polis cari wanita pukul, tepuk kepala bayi dalam video tular

    POLIS sedang mengesan seorang wanita dirakam mengasari seorang bayi dalam video tular di media sosial sejak semalam.

    Menerusi video seminit lapan saat itu, wanita yang dipercayai pengasuh sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Skudai dilihat memukul bayi sedang menangis dengan menepuk kepalanya.

    Dia juga dilihat meniup muka bayi berkenaan hingga mengalami kesukaran bernafas.

    Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, mengesahkan laporan polis diterima berhubung kes berkenaan.

    “Satu laporan polis dibuat orang awam yang menerima satu video di aplikasi WhatsApp memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

    “Hasil soal siasat mendapati kejadian itu berlaku di sebuah taska di kawasan Mutiara Rini,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, polis masih mengesan suspek bagi tujuan siasatan.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

  • Buat tuntutan palsu Penjana Kerjaya, 47 pengarah syarikat ditahan

    Buat tuntutan palsu Penjana Kerjaya, 47 pengarah syarikat ditahan

    SERAMAI 47 pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan palsu berkait program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana Kerjaya).

    Penahanan itu melibatkan 14 wanita dan 33 lelaki berusia 30 hingga 70 tahun itu menerusi Ops Hire 2.0 di seluruh negara sejak petang semalam kerana mengemukakan tuntutan kepada Perkeso, kononnya mengendalikan program Penjana Kerjaya, namun tidak berbuat demikian.

    Menurut sumber, ini membabitkan jumlah tuntutan antara RM450,000 hingga RM2 juta.

    Semua 47 individu itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di seluruh negara hari ini untuk permohonan reman.

    Dalam Op Hire 1.0 tahun lalu, 74 individu daripada 60 syarikat ditahan membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM88 juta, dengan 52 daripadanya didakwa di mahkamah.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya yang mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

    Katanya, SPRM mengambil tindakan tegas bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan, dengan ratusan syarikat lain dikenal pasti turut membuat tuntutan palsu.

    “Kita telah kenal pasti nama dan senarai pemilik syarikat terlibat. Saya beri amaran kepada semua untuk tampil segera sebelum SPRM mengetuk pintu pejabat syarikat terlibat.

    “Saya beri jaminan sesiapa yang terlibat untuk tampil secara sukarela dan menyerahkan semula tuntutan yang dibuat tidak akan dituduh di mahkamah.

    “Bagi yang masih berdegil, mereka akan dikenakan tindakan lebih serius,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

  • Kalimah Allah:Menteri Dalam Negeri, PM perlu beri penjelasan

    Kalimah Allah:Menteri Dalam Negeri, PM perlu beri penjelasan

    TINDAKAN Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian semalam terus mengundang bantahan.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut mempersoalkan keputusan tersebut dan menuntut penjelasan yang tepat kepada rakyat berhubung perkara berkenaan kerana isu itu melibatkan soal kesucian agama.

    Berikut adalah kenyataan penuh wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu;

    1. Kenapa kerajaan Persekutuan sekarang dan KDN tarikh balik rayuan kes kalimah Allah di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

    1. Kenapa kes rayuan itu tidak diberi peluang diputuskan mengikut undang-undang Perlembagaan di Mahkamah Rayuan?
    2. Kes kalimah Allah ini bermula di mahkamah tinggi dan boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
    3. Kes rayuan ke mahkamah rayuan difailkan oleh kerajaan Persekutuan yang terdahulu pada 12 Mac 2021. Apa rasional rayuan ini ditarik balik oleh kerajaan Persekutuan sekarang?

    5.Adakah keputusan menarik balik rayuan tersebut dibuat secara yang betul, berniat baik, tidak menyalahi Undang-undang pentadbiran?

    6.Tidakkah peruntukan undang-undang Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Agama Islam terletak dalam bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu?

    1. Adakah Majlis Raja-Raja Melayu telah dirundingi dan persetujuan raja-raja telah diperolehi sebelum rayuan ditarik balik?
    2. Jawapan dan penjelasan dari Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri adalah sangat penting dalam meredakan kegelisahan masyarakat Islam sekarang.

    Hassan Abdul Karim,
    Ahli Parlimen Pasir Gudang,
    16 Mei 2023

  • Pemandu rentung dalam kemalangan tiga lori balak

    Pemandu rentung dalam kemalangan tiga lori balak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemandu rentung selepas terlibat dalam nahas melibatkan tiga lori bawa muatan kayu balak di Jalan Utama, Kampung Temehel, Yong Peng, Batu Pahat pagi tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan yang berlaku berhampiran Klinik Kesihatan Yong Peng pada pukul 3.14 pagi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusuff berkata, lapan anggota dari BBP Yong Peng, enam anggota BBP Ayer Hitam dan dua BBP Penggaram bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan jentera (EMRS), lori tangki dan Fire Response Vehicle (FRV ) dihantar ke lokasi.

    “Kemalangan melibatkan tiga lori jenis Volvo membawa muatan kayu balak. Sebuah lori terbakar dan akibat kemalangan itu dua pemandu tersepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, seorang pemandu lelaki berusia 39 tahun terperangkap dalam lori itu dan tidak dapat menyelamatkan diri sebelum rentung.

    “Pihak bomba mengeluarkan mayat yang rentung dan seorang lagi pemandu lelaki yang berusia 29 tahun tersepit dan cedera dengan menggunakan peralatan khas. Semua mangsa yang terlibat diserahkan kepada pihak polis,” ujar beliau.

    Tambahnya, seorang lagi pemandu berusia 30 tahun terselamat dan operasi tamat pada pukul 8.38 pagi.

  • Tindakan tarik semula rayuan kalimah Allah melampau dan biadab 

    Tindakan tarik semula rayuan kalimah Allah melampau dan biadab 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah disifatkan sebagai melampau dan biadab.

    Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya mengecam keras tindakan itu kerana ia dilihat seolah-olah mencabar kedudukan agama Islam.

    Katanya, hal agama Islam tidak seharusnya cuba diperkotak-katikkan ketika rakyat bukan Islam bebas menganuti dan mengamalkan agama mereka.

    “Tidak cukup lagikah kebebasan menganuti dan mengamalkan agama lain? Umat islam di negara ini tidak pernah mempertikaikan dan menyentuh isu agama lain, jadi mengapa tindakan ini dibiarkan berlaku oleh kerajaan Madani ini?

    “Kalimah Allah wajib dipertahankan oleh mana-mana pihak yang menjadi kerajaan. Janganlah jadi pengecut serta berlembut dengan mana-mana pihak yang mempersoalkan perkara menyentuh agama Islam.

    “Sekiranya ia berlaku, maka pimpinan kerajaan Madani gagal dalam menjaga dan mempertahankan agama Islam serta keharmonian masyarakat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau dalam pada itu turut mengingatkan semua pihak mengenai kebangkitan umat Islam dalam mempertahankan kalimah Allah pada 2014 dengan Perkasa turut berhimpun di luar mahkamah bagi mendengar dan mengikuti prosiding kes ketika itu.

    “Perkasa amat konsisten dalam isu ini dari dulu dan kami melihat jika perkara ini dibiarkan, ia akan membangkitkan kemarahan dan memberi ancaman kepada keharmonian negara.

    “Kita bukan bercakap soal prinsip dan janji yang boleh diputar beli seperti berlaku hari ini. Ini soal mempertahankan kalimah Allah dan jika bukan kita yang mempertahankannya, di mana letaknya syahadah dalam diri kita yang mengaku beriman kepada Allah,” katanya.

    Tambahnya, jika kerajaan takut serta lemah alam mempertahankan kalimah Allah dengan alasan menjaga keharmonian dan sebagainya, mereka seharusnya berundur dan meletakkan jawatan masing-masing kerana gagal mempertahankan perkara yang amat penting.

    “Perkasa membantah keras tindakan ini diteruskan. Kami akan terus bertindak mempertahankan kalimah Allah dalam apa jua keadaan.

    “Apakah Perdana Menteri tidak mengambil berat berkenaan hal ehwal orang Islam demi mahu kekal berkuasa,” soalnya.