Category: Semasa

  • Kedatangan PM di Kelantan minggu lalu tidak membawa apa-apa makna

    Kedatangan PM di Kelantan minggu lalu tidak membawa apa-apa makna

    PEMUDA Pas Kelantan menyifatkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri itu pada hujung minggu lalu tidak membawa sebarang perkembangan baru dalam hubungan kedua-dua pihak.

    Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, terma kerjasama yang ditekankan perdana menteri semasa ucapan di Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kota Bharu Jumaat lalu bukanlah sesuatu yang baru.

    “Bahkan ini adalah kontrak federalisme yang memayungi Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Justeru katanya, ucapan Anwar tersebut boleh dilihat hanya sebagai ‘tazkirah’ yang diperbaharui sebutannya.

    Beliau berkata, ‘tazkirah’ itu kebetulannya disebut hanya di Kelantan, tidak diucapkan di negeri lain termasuk Pulau Pinang.

    “Jika mahu dikatakan kerajaan negeri sukar memberikan kerjasama, buktinya melalui projek ECRL perdana menteri ke-10 menyatakan terima kasih atas kerjasama penuh kepada kerajaan negeri pada hari yang sama,” katanya.

    Beliau mengulas kenyataan Anwar yang mahu menyelesaikan sepenuhnya masalah bekalan air bersih dihadapi Kelantan sejak berpuluh tahun lalu.

    Bagaimanapun katanya, usaha tersebut memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri.

    Anwar juga menyatakan Putrajaya akan meneruskan beberapa projek sedia ada di Kelantan antaranya pembinaan Jambatan Palekbang dan projek pembinaan tebatan banjir di Sungai Golok.

    Mohamad Kamal berkata dalam isu bekalan air, kenyataan yang disebut Anwar pada malam tersebut agak bertentangan dengan pandangan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sehari sebelumnya.

    “Anwar menukar nada kerjasama berdiplomasi sedangkan Nik Nazmi menggunakan lagak konfrontasi terhadap isu air Kelantan.

    “Sama ada ia memang disengajakan atau sebahagian permainan politik dirancang antara presiden PKR dan naibnya untuk memunculkan hero orang nombor satu, tidaklah dipastikan.

    “Jika Pulau Pinang terus diberikan dana, diumumkan tambahan demi tambahan, Kelantan sudah seperti sekala (biasa) janjinya, kerajaan persekutuan akan mencari dana dan menuntut kerajaan negeri memberikan kerjasama.

    “Lalu seperti sekala jugalah kita menunggu dan menunggu, sedang rakyat menanti, kita usahakan segenap kudrat kuasa yang ada menggunakan dana kita yang ada,” katanya.

    Mohamad Kamal turut mempersoalkan tahap kesempurnaan ‘keadilan amalan federalisme’ terhadap negeri itu.

    “Perdana menteri hanya mengumumkan projek yang telah berjalan atau diluluskan semasa kerajaan terdahulu, atau hanya mempersembahkan angka peruntukan sedia ada kepada majlis agama yang kebiasaannya hanya disampaikan oleh menteri agama.

    “Tiada yang baru, masih seperti sekala. Lalu berdirilah kita, rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang. Orang datang cara baik kita sambut, mahu bergocoh (bermusuh) kita tidak lari,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Bekas CEO Audi mengaku salah skandal pelepasan diesel

    Bekas CEO Audi mengaku salah skandal pelepasan diesel

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Audi, Rupert Stadler mengaku bersalah ketika perbicaraan mengenai peranannya dalam skandal pelepasan diesel yang dimanipulasi, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Mahkamah Wilayah Munich menawarkan hukuman lebih ringan jika Stadler membuat pengakuan bersalah dan membayar denda 1.1 juta euro (RM5.39 juta).

    Dakwaan itu dikaitkan dengan lebih 430,000 kereta Volkswagen (VW), Audi dan Porsche yang dipasang dengan ‘peranti’ untuk menipu ujian pengeluaran badan pengatur.

    Kereta dengan enjin diesel telah dimanipulasi oleh sistem automatik sehingga mematuhi had pelepasan ekzos ketika ujian, tetapi tidak di jalan raya.

    Stadler tidak dituduh bertanggungjawab memanipulasi kereta, namun mengikut dakwaan, beliau membenarkan penjualan kenderaan terbabit berterusan hingga awal 2018.

    Beliau memberi jawapan balas ‘ya’ dengan mengakui kesalahan menerusi kenyataan yang dibacakan oleh peguam belanya di hadapan mahkamah pada Selasa.

    Kenyataan itu mengakui Stadler mempunyai peluang untuk campur tangan tetapi gagal berbuat demikian, dan menyesali perbuatannya.

    Bekas ketua pembangunan enjin Audi, Wolfgang Hatz dan dua jurutera kanannya mengaku bersalah dalam membantu reka bentuk perisian enjin terbabit.

  • Pemuda Pas Terengganu bantah penganjuran konsert Coldplay

    Pemuda Pas Terengganu bantah penganjuran konsert Coldplay

    PEMUDA Pas Terengganu menyeru rakyat untuk bersama-sama menolak kehadiran kumpulan muzik ternama, Coldplay ke negara ini dan menuntut supaya kerajaan membatalkan konsert tersebut.

    Naib Ketuanya, Hamdi Harun berkata, pihaknya memandang serius penganjuran konsert dari Coldplay kerana dibimbangi menjadi duri dalam daging bagi meracuni pemikiran dan budaya rakyat dalam amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

    Jelasnya, Pemuda Pas tidak menolak hiburan tetapi kehadiran kumpulan Coldplay mempunyai mudarat yang lebih besar kepada anak bangsa.

    Beliau menegaskan, tindakan membenarkan budaya hiburan melampau itu akan menjadi bom jangka kepada negara terutama buat anak muda yang jelas akan mengotorkan pemikiran mereka dengan budaya hedonisme.

    “Pemuda Pas Terengganu turut kecewa dengan kepimpinan utama negara yang mengalu-alukan kehadiran kumpulan rock ini tanpa menghiraukan masalah rakyat yang menghadapi tekanan ekonomi semasa.

    “Sehubungan itu kita menyeru rakyat khususnya pemuda Terengganu untuk bersama-sama menolak kehadiran kumpulan ini.

    “Kita juga menuntut pembatalan konsert ini daripada kerajaan yang menganggap diri mereka Madani,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada 9 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan kumpulan rock terkenal British, Coldplay yang akan menjayakan konsert mereka di Kuala Lumpur pada 22 November depan.

    Harga tiket bagi konsert kumpulan itu juga telah diumumkan dalam laman web Go Live-Asia sebagai penjual rasmi tiket untuk persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

  • Isu kalimah Allah: Pas Kelantan bimbang keputusan KDN dipengaruhi pihak tertentu

    Isu kalimah Allah: Pas Kelantan bimbang keputusan KDN dipengaruhi pihak tertentu

    PAS Kelantan bimbang sekiranya keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tentang kes kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan sebutan Solat dalam penerbitan agama Kristian dibuat kerana dipengaruhi pihak tertentu yang mungkin dalam kalangan sekutu politik Kerajaan Perpaduan.

    Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menjelaskan, sebelum membuat keputusan tersebut, kerajaan khususnya KDN perlu mengadakan libat urus dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

    Menurut Nassuruddin, agensi terbabit diberi hak oleh Mahkamah Rayuan untuk menjadi sahabat Mahkamah dalam penghujahan yang akan diadakan di Mahkamah Rayuan.

    “KDN juga sepatutnya konsultasi dengan semua pemegang taruh, terutamanya pihak institusi diraja, yakni Tuanku Al-Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri dan Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan.

    “Pas Kelantan bimbang tindakan tergesa-gesa KDN tersebut dibuat kerana dipengaruhi pihak tertentu yang mungkin dalam kalangan sekutu politik kerajaan campuran Madani sekarang.

    “Pas Kelantan juga memohon ampun perkenan pihak istana, mencadangkan kepada Kerajaan Madani khususnya KDN agar bertindak lebih rasional dalam isu tersebut demi mempertahankan hak agama Islam terutamanya penggunaan kalimah Allah yang tidak perlu dikongsi dengan agama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, kerajaan dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

    Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

    Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah lapor Astro AWANI.

    Beliau dalam sidang medianya hari ini memaklumkan, keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia adah disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.

  • Kalimah Allah: Ambil kira, hormati keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI

    Kalimah Allah: Ambil kira, hormati keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI

    KERAJAAN perlu mengambil kira dan menghormati keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’.

    Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, ketetapan yang dikeluarkan pada 2008 itu adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

    “Ini bagi memelihara kesucian nama ‘Allah daripada sebarang bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kalimah Allah yang sepatutnya hanya merujuk kepada ‘Allah SWT yang Maha Esa’.

    “Ada beberapa negeri sudah mewartakan keputusan ini. Negeri Perak telah mewartakan fatwa berkenaan.

    “Fatwa mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dalam agama Islam sahaja pada 2010,” katanya, lapor BH Online.

    Semalam, media melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

    Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

    Sehubungan itu, beliau turut mengulangi pendirian sama iaitu menggesa KDN mempertimbangkan semula keputusan menarik balik keputusan rayuan berkenaan.

    Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor, berpandangan penyelesaian terbaik adalah menyerahkan kepada pihak yang ahli dan mempunyai kepakaran dalam konteks isu berkenaan.

    “Adalah lebih baik diserahkan kepada yang pakar bagi mencari penyelesaian yang adil untuk semua pihak.

    “Mengikut laporan media, Peguam Kanan Persekutuan berpandangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah terkhilaf dalam keputusan yang dibuatnya pada 10 Mac 2021 yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama selain Islam,” katanya.

    Jelas Wan Salim, sebaik-baiknya, isu berkenaan juga perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja memandangkan Duli Tuanku adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing, manakala Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua agama di negeri yang tiada Raja atau Sultan.

    Mengulas lanjut, katanya, khusus di Pulau Pinang, Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam mesyuarat pada 5 Mei 2008 memutuskan bahawa kalimah Allah hendaklah digunakan secara eksklusif untuk agama Islam dan umat Islam sahaja.

    “Jika ada mana-mana orang menggunakan kalimah Allah sebagai nama tuhan di dalam agama selain Islam maka ia dianggap sebagai menghina kesucian agama Islam.

    “Kebebasan beragama untuk penganut agama lain bersyarat tidak melangkaui had sempadan agama Islam,” katanya.

    Tegasnya lagi, isu berkaitan kalimah Allah ini amat berkait rapat dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Negara.

    Justeru, tidak wajar isu yang sensitif ini disentuh oleh mana-mana pihak dengan apa alasan sekalipun demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara sesama warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum yang berbeza agama, keturunan dan budaya.

  • Gaya hidup mewah penggangur bongkar rahsia edar dadah

    Gaya hidup mewah penggangur bongkar rahsia edar dadah

    RAHSIA seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang hidup mewah termasuk memandu kereta berharga ratusan ribu ringgit meskipun merupakan penganggur akhirnya terbongkar selepas dia ditahan bersama sejumlah dadah.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lelaki berkenaan ditahan polis dalam serbuan di Bukit Tengah, Georgetown pada Sabtu lalu bersama-sama dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM42,550.

    Jelasnya, lelaki itu ditahan ketika berada di atas sebuah motosikal sewaktu polis bertindak menyerbu sebuah premis perniagaan di Bukit Tengah pukul 5.25 petang yang mana tujuh peket plastik berisi syabu seberat 520 gram (g) bernilai RM20,500 turut dirampas bersama suspek.

    Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudiannya menyerbu kawasan parkir kereta sebuah apartment yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi serbuan pertama.

    “Dalam serbuan ini, kita merampas empat peket heroin seberat 1,820 gram yang bernilai RM20,050 dalam sebuah kereta dipercayai milik suspek yang diparkir di kawasan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Jelas beliau, suspek disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah dengan mendapatkan bekalan daripada rangkaian sindiket sebelum membungkus semula dan mengedar kepada pembeli.

    Ujarnya, lelaki itu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu dan heroin sejak tahun lalu.

    Dalam operasi sama, tambahnya, polis turut menyita tiga buah kenderaan bernilai RM198,000 termasuk dua buah kereta mewah bernilai RM180,000 yang dipercayai dimiliki suspek.

    “Suspek didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan direman selama tujuh hari sehingga 20 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sindiket yang membekalkan dadah kepada lelaki itu, namun kita percaya dia menjalankan kegiatan pengedaran dadah dengan bergerak sendirian,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Kok Chin berkata, seramai 37 individu daripada 90 orang yang diperiksa ditahan di sebuah pusat hiburan di Bukit Mertajam semalam selepas ujian saringan air kencing mereka didapati positif dadah.

  • Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan tak untungkan Melayu mahu pun UMNO

    Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan tak untungkan Melayu mahu pun UMNO

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) tidak banyak membawa keuntungan politik kepada orang Melayu amnya dan UMNO khususnya walaupun ia diadakan di rumah keramat UMNO serta disusun urus oleh Setiausaha Agung UMNO.

    Menurut Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail, keadaan itu disebabkan oleh dasar perjuangan setiap 19 parti yang terlibat dalam konvensyen tersebut tidak sama.

    Contohnya kata beliau, UMNO membawa dasar mempertahankan dan memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam mengikut Perlembagaan perkara 153 manakala DAP membawa dasar kesamarataan kaum dan agama atau Malaysian Malaysia yang bercanggah dengan dasar UMNO.

    “Dasar Malaysian Malaysia inilah yang menjadi penyebab konfrontasi dan penentangan UMNO selama ini terhadap dasar perjuangan DAP, bukannya penentangan terhadap kaum Cina seperti yang selalu digemburkan oleh DAP sebagai rasis.

    “Selain itu kemarahan dan kebencian orang Melayu terhadap DAP selama ini disebabkan sikap cauvanis pemimpin DAP terhadap orang Melayu sehingga menimbulkan keretakan kaum pada 13 Mei 1969 dan sikap ini berterusan hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau lalu mempersoalkan, siapakah yang akan mengorbankan dasar parti jika masing-masing bertekad untuk bersama dalam sebuah perpaduan Nasional.

    “Jika semua parti bersetuju untuk merombak dasar masing-masing, apakah UMNO sanggup menggadaikan dasar mempertahan hak istimewa orang Melayu dan adakah UMNO sanggup menerima dasar kesamarataan parti DAP dan PKR?

    “Perlu diingatkan dalam 19 parti yang bergabung PKR dan DAP mempunyai jumlah kerusi Parlimen paling banyak. Inilah antara perkara pokok yang sepatutnya dibincangkan dalam konvensyen itu dan bukan hanya membincangkan bagaimana untuk mengekalkan kerajaan Perpaduan yang dilihat sudah mula menguntungkan dasar perjuangan DAP serta PKR,” katanya.

    Tambahnya, sehari selepas konvensyen tersebut terdapat laporan menyatakan Kementerian Dalam Negeri serta kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan Kalimah Allah dan tiga perkataan Arab dalam penerbitan bahan agama mereka.

    “Selama ini UMNO dan orang Melayu Islam menentang keras penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian namun sekarang ia dibenarkan oleh kerajaan Perpaduan.

    “Dimanakah suara penentangan pemimpin UMNO kini? Apakah ini semua satu suasana baru bagi Malaysia dan rakyatnya?” soalnya.

    Katanya, suara penentangan dari UMNO yang membawa suara orang Melayu Islam seolah-olah sudah dibisukan.

    “Jadi, siapa yang untung,” soalnya lagi.

  • Mahkamah benar kerajaan, peguam negara cabar saman LFL terhadap Malaysia, Singapura

    Mahkamah benar kerajaan, peguam negara cabar saman LFL terhadap Malaysia, Singapura

    MAHKAMAH Persekutuan memberi kebenaran kepada kerajaan dan peguam negara untuk membuat permohonan rayuan membatalkan saman kumpulan hak asasi terhadap kedua-dua kerajaan Singapura dan Malaysia.

    Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli berkata, pemohon memenuhi keperluan undang-undang untuk rayuan merit mereka didengar.

    “Kami telah mempertimbangkan hujahan bertulis dan lisan (pihak tersebut). Pada pandangan kami, soal memberi kebenaran yang dikemukakan telah melepasi ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya, lapor FMT.

    Hakim Zabariah Yusof dan Hasnah Hashim turut menganggotai panel mendengar permohonan itu.

    Dalam kes sivil, Mahkamah Persekutuan hanya akan mendengar rayuan atas meritnya jika pemohon membangkitkan persoalan undang-undang yang sebelum ini tidak diputuskan oleh mahkamah tertinggi atau melibatkan persoalan penting yang keputusannya akan menguntungkan orang ramai.

    Pada 20 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Lawyers for Liberty (LFL) untuk mengembalikan semula saman pemula yang telah dikeluarkan terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam.

    Ini selepas peguam negara berjaya mencelah untuk membatalkan saman itu memandangkan perkara itu pada asalnya dari Mahkamah Tinggi.

    Pada hari sama, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Yaacob Sam juga membenarkan rayuan LFL untuk menyemak satu lagi saman difailkan terhadap kerajaan Malaysia yang bertujuan menghalangnya daripada membantu kerajaan Singapura dalam perkara itu.

    Keputusan Mahkamah Rayuan bermakna Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikehendaki mendengar kedua-dua saman atas merit kes itu.

    Hari ini, mahkamah membenarkan tujuh persoalan undang-undang, antaranya sama ada mahkamah Malaysia boleh menjalankan bidang kuasa mendengar perkara di mana kekebalan kedaulatan terhadap tindakan kerajaan asing dibangkitkan.

    Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili peguam negara dan kerajaan, manakala Gurdial Singh Nijar mewakili LFL.

    Pada 24 Januari 2020, LFL telah memfailkan untuk mencabar ‘arahan pembetulan’ dikeluarkan kerajaan Singapura di bawah undang-undang kontroversi negara itu, Akta Perlindungan daripada Berita Palsu dan Manipulasi Atas Talian (Pofma).

    Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, arahan itu dikeluarkan berkenaan dengan perkara diterbitkan LFL mengenai kaedah pelaksanaan hukuman mati yang didakwa mereka ‘kejam dan di luar batas undang-undang’ di Penjara Changi.

    Kenyataan 2020 dikeluarkan kerajaan Singapura di portal rasminya mengatakan dakwaan LFL itu mengandungi ‘kenyataan palsu’.

    Kementerian Dalam Negeri Singapura juga menyifatkan dakwaan itu ‘tidak benar, tidak berasas, dan tidak masuk akal’, sambil menambah bahawa semua pelaksanaan kehakiman di negara itu dilakukan dengan mematuhi undang-undang ketat.

    Saman difailkan LFL adalah untuk memohon pengisytiharan mahkamah bahawa menteri berkenaan atau mana-mana orang bertindak di bawah bidang kuasanya tidak boleh mengambil sebarang tindakan menguatkuasakan mana-mana peruntukan Pofma di luar wilayah terhadapnya di Malaysia.

    Dalam samannya terhadap kerajaan Malaysia, LFL memohon pengisytiharan bahawa ia mempunyai hak menyatakan pendapatnya di Malaysia mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mengawal hak kebebasan bersuara.

  • Bekas ahli Bersatu, isteri gagal dapat semula hak barangan, kereta mewah

    Bekas ahli Bersatu, isteri gagal dapat semula hak barangan, kereta mewah

    SEORANG bekas ahli Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan isteri gagal mendapatkan semula hak ke atas kenderaan mewah dan barangan yang dirampas pihak berkuasa semasa serbuan dadah, pada 2021.

    Adam Asmuni dan Lyiana Roslee ditahan polis pada 20 Januari 2021.

    Ketika serbuan di rumah banglo pasangan tersebut di Ampang, polis menemui pokok ganja dan botol berisi cecair ganja.

    Barangan lain dirampas termasuk wang tunai, kereta, motosikal, jam tangan mewah, beg tangan, komputer riba, gelang, rantai leher, serta akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

    Pasangan tersebut kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam ganja secara haram.

    Polis juga mengemukakan permohonan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 32(2) Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988, untuk menyita barangan yang dirampas daripada mereka.

    Adam dan Lyiana mengemukakan tuntutan pihak ketiga untuk mendapatkan semula hak milikan barangan mereka.

    Hakim Nor Hasniah Ab. Razak, bagaimanapun, hanya membenarkan tuntutan untuk wang tunai berjumlah RM3,250 yang dirampas.

    Mahkamah juga memerintahkan RM28,513.97 daripada RM81,468.51 dalam dua akaun ASNB dikembalikan kepada Lyiana. Baki RM52,954.54 dan semua barangan lain bagaimanapun disita kerajaan.

    Hasniah berkata, pasangan itu gagal mengemukakan keterangan melibatkan rampasan kereta BMW X5 dan BMW 328i dibayar oleh syarikat percetakan milik mereka, Percetakan Alfa Gemilang Sdn. Bhd.

    Tiada juga keterangan yang menunjukkan syarikat percetakan tersebut membuat pembayaran bulanan untuk melunaskan pinjaman pembelian kenderaan tersebut, katanya.

    Mahkamah juga mendapati bahawa tiada saksi yang memberi pernyataan jam tangan mewah milik Lyiana dibeli daripada penjual sah.

    Begitu juga tiada ahli keluarga memberi pernyataan mereka memberikan hadiah berbentuk barang kemas kepada Lyiana dan anak perempuannya.

    Hasniah berkata, seorang akauntan bertauliah sepatutnya dipanggil memberi pernyataan sama ada Percetakan Alfa Gemilang membayar pendapatan tertangguh pasangan itu dalam akaun ASB mereka.

    Pasangan tersebut merayu keputusan itu ke Mahkamah Tinggi. Peguam Rafique Rashid Ali memberitahu pengurusan kes ditetapkan pada 15 Jun.

    “Perbicaraan bagi tuduhan mengedar dadah akan didengar bermula 20 hingga 23 November oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ooi Su Ghee di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya, lapor FMT.

    Tahun lalu, Lyiana mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk memohon agar ketiga-tiga pertuduhan mengedar dadah itu dibatalkan. Namun, tidak berjaya.

  • Pegawai, 6 anggota polis ditahan disyaki terlibat judi ekor haram

    Pegawai, 6 anggota polis ditahan disyaki terlibat judi ekor haram

    SERAMAI tujuh anggota polis termasuk seorang pegawai di sebuah balai polis di daerah Timur Laut, George Town, Pulau Pinang ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti judi ekor haram.

    Selain mereka, turut ditahan ialah lima orang awam.

    Kesemua mereka ditahan dalam operasi selama dua hari bermula Sabtu lalu yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

    Difahamkan, ketika ditahan kesemua mereka sedang bermain judi ekor haram dan polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.

    Antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit, wang tunai, komputer riba, mesin mengira wang kertas, buah mahjong, dadu dan sebagainya.

    Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mengesahkan penahanan anggota dan pegawai polis terbabit, namun enggan mengulas lanjut.

    “Saya sahkan, namun tidak dapat ulas lanjut kerana masih dalam siasatan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.