Category: Semasa

  • Muhyiddin tawar KJ jawatan MPT Bersatu

    Muhyiddin tawar KJ jawatan MPT Bersatu

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, jika beliau mahu menyertai parti itu.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang juga Presiden Bersatu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.

    Beliau berkata, tawaran itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan Khairy memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

    “Saya dan dia (Khairy) sudah berbincang hal ini agak lama, sejak dia dipecat. Ketika itu dia ajak saya berjumpa dan berbincang secara terbuka mengenai hala tuju dan ketokohan beliau sebagai ahli politik muda yang berkaliber.

    “Sebenarnya, dia tak mohon untuk masuk (Bersatu) tetapi saya tawar dia menyertai. Tawaran masih ada dan saya ada bertanya lagi (perkembangan menyertai Bersatu) ketika dia menghadiri rumah terbuka saya tempoh hari. Jawapannya cair.

    “Khairy bagaimanapun belum memberi sebarang keputusan. Saya rasa tak mengapa, kita tak mahu menggesa dia tetapi harapan Bersatu adalah dia menyertai kita dan bantu membina kekuatan parti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

    Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) merasmikan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0, lapor BH Online.

  • Gagal raih 40 pingat emas, Pemuda Pas gesa Hannah, Adam mohon maaf

    Gagal raih 40 pingat emas, Pemuda Pas gesa Hannah, Adam mohon maaf

    MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli digesa memohon maaf secara terbuka atas kegagalan negara mencapai sasaran 40 pingat emas ditetapkan pada Sukan SEA Hanoi yang berakhir semalam.

    Ketua Pemuda Pas, Fadhli Shaari berkata, Kementerian Belia dan Sukan juga perlu membuat pasca nilai bagi mengetahui punca sebenar dan tidak hanya menyalahkan atlet semata-mata.

    “YB menteri dan timbalannya, rakan saya Adam perlu mengambil langkah membina semula sukan negara melalui dasar perlindungan kebajikan atlet bagi mencungkil lebih ramai bakat baru.

    “Selain mengakui kegagalan pengurusan di beberapa peringkat adalah merupakan penyebab utama sasaran pingat Sukan SEA edisi kali ini tidak berjaya dicapai,” katanya dalam hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor FMT.

    Semalam, Hannah dilaporkan berkata analisis pencapaian kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 hanya akan dibuat selepas semua mereka kembali sepenuhnya ke tanah air Jumaat ini.

    Kontinjen negara mengumpul 176 pingat merangkumi 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa menjadikan Malaysia berada di tempat ketujuh daripada 11 negara yang bertanding.

    Fadhli berkata, keputusan diperoleh lebih mendukacitakan bagi keseluruhan rakyat, malah lebih teruk daripada pencapaian Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada 2021.

    “Malah ia menjadi titik noktah hitam negara kerana pada edisi 1983 dan 2021, Malaysia masih mampu menduduki tangga keenam bagi keseluruhan dan ia lebih mengecewakan apabila berada di bawah Singapura, Filipina dan Kemboja,” katanya.

  • Jurusensor senjata pesawat pejuang Sukhoi TUDM maut kemalangan

    Jurusensor senjata pesawat pejuang Sukhoi TUDM maut kemalangan

    SEORANG jurusensor senjata pesawat tempur Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kemalangan jalan raya di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.

    Menurut TUDM dalam satu kenyataan, Mejar Hendrinraj Pulvendiran yang berkhidmat di Pangkalan Udara Gong Kedak sedang bertugas di Pangkalan Udara Butterworth ketika kejadian.

    “Mendiang meninggalkan isteri, Ann Linda Anthonysamy dan seorang anak lelaki berusia dalam lingkungan tiga tahun.

    “Mayat mendiang telah diuruskan oleh pihak Pangkalan Udara Butterworth setelah selesai urusan bedah siasat di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang seterusnya dibawa ke Pangkalan Udara Subang untuk penghormatan terakhir,” katanya.

    TUDM memberitahu, mayat mendiang dibawa ke Bangunan Pergerakan Udara Pangkalan Udara Subang yang telah sedia ditunggu ketibaannya oleh Panglima Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Lt Jen Datuk Mohd Shahada Ismail TUDM yang turut mewakili Panglima Tentera Udara, berserta pegawai-pegawai kanan TUDM, pegawai-pegawai dan anggota LLP untuk penghormatan terakhir.

    Selain itu TUDM berkata, Panglima Operasi Udara telah menyantuni waris mendiang, menyampaikan ucapan serta surat takziah dan sumbangan kematian.

    “Seterusnya beliau dan warga udara yang berada di Bangunan Pergerakan Udara telah memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

    “Kumpulan pengusung kemudiannya turut memberikan penghormatan dan mengusung keranda menaiki kenderaan untuk dibawa pulang ke kediaman keluarga di Seremban bagi tatapan dan penghormatan terakhir oleh waris, ahli keluarga, saudara mara serta kenalan sebelum urusan pengebumian dilaksanakan dengan bantuan Pangkalan Udara Gong Kedak dan Pangkalan Udara Sendayan yang dijadualkan pada 18 Mei 23.

    “TUDM turut mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga mendiang yang juga merupakan suatu kehilangan aset TUDM iaitu sumber manusia.

    “Semoga mereka tabah dan bersabar menerima ujian hidup kehilangan orang yang disayangi,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Mengikut deklarasi aset SPRM, Anwar yang tidak isytihar harta – Tun M

    Mengikut deklarasi aset SPRM, Anwar yang tidak isytihar harta – Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan berkenaan pengisytiharan pendapatan dan harta.

    Ini kerana kata bekas Perdana Menteri itu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berbuat demikian.

    “Mengikut deklarasi aset SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pada 24 November 2018, di antara yang tidak mengisytihar pendapatan atau aset adalah Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

    “Anwar Ibrahim boleh jelas benar atau tidak kenyataan ini,” katanya dalam perkongsian dalam media sosial, hari ini, lapor Astro Awani.

    Dr. Mahathir memaklumkan, beliau telah mengisytihar harta sebanyak RM32.35 juta yang merangkumi tiga buah rumah serta aset lain.

    Mengikut rekod, Anwar sebelum menjadi Perdana Menteri pernah mengisytiharkan harta sebanyak dua kali iaitu pada 2019 dan 2022.

    Ini melibatkan aset bersih sebanyak RM11.2 juta merangkumi RM10.4 juta adalah daripada pemilikan empat unit hartanah yang dibeli antara tahun 2005 hingga 2022.

  • Dera anak teman wanita: Tukang kebun didakwa di mahkamah

    Dera anak teman wanita: Tukang kebun didakwa di mahkamah

    SEORANG tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh kerana mendera anak teman wanitanya yang berusia empat tahun, sejak April lepas.

    Abdul Rahman Abdullah, 37, didakwa melakukan penganiayaan hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa, di sebuah rumah di Taman Chateau, di Ipoh.

    Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dibuat di hadapan Hakim Azizah Ahmad dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya K Darinee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh kemudian mengangguk faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut, bagaimanapun Darinee memohon menetapkan satu tarikh baharu bagi melengkapkan fakta kes dan laporan perubatan penuh mangsa.

    Darinee bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh bagi mengelak tertuduh mengganggu mangsa.

    Hakim Azizah kemudian menetapkan 19 Jun ini bagi menetapkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

    Mengikut fakta kes tertuduh sejak April telah mula memukul mangsa dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka berulang kali, diketuk di kepala dan diterajang di badan kerana menangis dan berbuat bising.

    Ibu mangsa yang juga teman wanita tertuduh berusia 34 tahun yang ada bersama ketika itu cuba menghalang tertuduh namun turut dicederakan.

    Pada 12 Mei tertuduh sekali lagi telah memukul kepala mangsa menggunakan batang besi aluminium menyebabkan wanita itu tekad untuk membuat laporan polis.

    Pasangan kekasih itu berkenalan sejak Februari tahun ini dan tertuduh mengajak mangsa serta dua anaknya untuk tinggal bersama.

  • Pas tolak ‘lamaran’ DAP, kekal setia bersama PN-Tuan Ibrahim

    Pas tolak ‘lamaran’ DAP, kekal setia bersama PN-Tuan Ibrahim

    PAS akan kekal setia bersama Perikatan Nasional (PN) di sebalik ‘lamaran’ oleh DAP untuk bekerjasama.

    Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak akan sekali-kali memungkiri janji dan berbohong kepada pengundi dengan meninggalkan PN setelah memilih bersama-sama komponen lain di bawah satu gabungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    “Tiada isu peribadi (terhadap DAP) melainkan kami kekal dengan janji kami kepada rakyat sewaktu kempen, dan kami tidak akan membohongi pengundi kami (tidak bersama PN),” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

    Menurutnya, Pas akan tetap bersama PN khususnya Bersatu dan mahu menjadi pembangkang yang konstruktif dalam Parlimen sebelum menjadi kerajaan.

    Tuan Ibrahim mengulas cadangan veteran DAP, Lim Kit Siang agar kerajaan perpaduan bekerjasama dengan PAS menjelang pilihan raya negeri akan datang.

    Bagaimanapun, Kit Siang berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu terlebih dahulu menghentikan permusuhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mesti membuktikan keikhlasannya.

    Sebelum ini, pertemuan Anwar Ibrahim dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Kota Bharu, Kelantan mencetuskan persoalan dan ada mengaitkan usaha itu sebagai hulur salam kerjasama antara pemimpin kerajaan perpaduan dengan Pas.

    Malah Anwar menyatakan kerajaan sedia bekerjasama untuk menyelesaikan masalah air dihadapi Kelantan yang diterajui oleh Pas sejak berdekad lalu.

    Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, sekalipun tidak menerima peruntukan kerajaan Pusat, Pas dan PN berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kerana menyifatkannya sebagai satu kewajipan dan amanah.

    Tuan Ibrahim turut menyentuh mengenai penarikan rayuan kerajaan terhadap keputusan penting yang membenarkan seorang wanita Kristian di Sarawak Jill Ireland menggunakan kalimah Allah.

    Katanya, kerajaan sepatutnya melaksanakan reformasi sebagaimana dilaungkan dengan membetulkan sistem yang ada dan mendukung Islam sebagai agama rasmi.

    “Kami nyatakan desakan agar kerajaan mesti meneruskan rayuan penggunaan kalimah Allah dan melarang penggunaannya kepada bukan Islam agar kerajaan Persekutuan mesti selaras dengan pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan,” tegasnya.

  • Kebakaran tercetus di Mid Valley

    Kebakaran tercetus di Mid Valley

    SEBUAH kebakaran tercetus di pusat beli-belah Midvalley Megamall, Kuala Lumpur pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, kebakaran bermula di sebuah bilik pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam pusat beli-belah itu.

    Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) yang memuat naik gambar kebakaran itu di Twitter, memaklumkan bahawa dua jalan telah ditutup.

    Polis berada di tempat kejadian untuk mengarahkan lalu lintas, lapor FMT.

  • Kalimah Allah: Sidang Injil Borneo tidak teruskan kes mahkamah

    Kalimah Allah: Sidang Injil Borneo tidak teruskan kes mahkamah

    SIDANG Injil Borneo (SIB) bulan lepas menghentikan perjuangan undang-undang selama 14 tahun untuk menegakkan hak gereja yang berpangkalan di Sabah itu untuk menggunakan kalimah Allah.

    Menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, SIB memfailkan notis pemberhentian kes itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 25 April.

    Pemberhentian gereja itu berlaku tujuh hari selepas kerajaan Persekutuan menghentikan rayuannya untuk membatalkan keputusan mahkamah yang membenarkan warga Sarawak Jill Ireland menggunakan perkataan Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

    “Ia (semakan kehakiman SIB) telah dihentikan demi kepentingan keharmonian negara,” kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.

    Sumber itu juga menyatakan harapan bahawa tiada lagi polemik mengenai isu itu, berikutan pemberhentian tindakan undang-undang SIB serta rayuan kerajaan.

    Malaysiakini cuba menghubungi wakil undang-undang kerajaan mengenai kes SIB ini untuk mendapatkan maklum balas lanjut.

    SIB dan Reverend Jerry Dusing memfailkan tindakan undang-undang itu pada 10 Disember 2007, berikutan rampasan tiga kotak buku pendidikan Kristian dalam Bahasa Malaysia yang mengandungi kalimah Allah oleh jabatan kastam.

    Rampasan itu dilakukan di Terminal Penerbangan Tambang Murah ketika itu di Sepang pada Ogos tahun yang sama.

    Buku-buku itu telah dikembalikan kepada SIB pada tahun 2008.

  • 12 lagi ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu Penjana Kerjaya

    12 lagi ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu Penjana Kerjaya

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 lagi individu dipercayai terlibat dalam kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya di seluruh negara melibatkan nilai keseluruhan RM63 juta.

    Menurut sumber, penahanan suspek berusia 29 sehingga 53 tahun itu dilakukan malam tadi secara serentak di seluruh negara menerusi operasi khas Op Hire 2.0.

    Katanya, tambahan tangkapan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan yang diberkas adalah seramai 59 individu termasuk 18 wanita.

    “Tangkapan terbaru ini terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus syarikat yang dikesan SPRM melakukan tuntutan dana terlibat.

    “Kesemua mereka akan dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapatkan perintah reman,” kata sumber memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu.

    Kata beliau, SPRM masih lagi meneruskan operasi Op Hire 2.0 bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius.

    Media sebelum ini melaporkan, lebih 100 syarikat berstatus sendirian berhad dipercayai berada dalam pemerhatian SPRM selepas disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya.

    Syarikat daripada pelbagai sektor dan bidang itu dikenal pasti oleh SPRM hasil operasi dan risikan berterusan bersama Skim Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) dalam operasi khas Op Hire.

    Operasi khas itu mengesan mana-mana individu yang mengambil kesempatan melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ketika negara berdepan ancaman COVID-19 pada 2020.

    Media semalam melaporkan SPRM telah menahan 47 individu terdiri pengarah syarikat di seluruh negara dalam operasi Op Hire 2.0 yang dijalankan sejak petang kelmarin.

    Difahamkan, jumlah tuntutan yang terlibat antara RM450,000 hingga RM2 juta dan pelaksanaan Op Hire 2.0 adalah lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilakukan pada 2022.

  • Muhyiddin kesal KDN tarik rayuan,gesa kerajaan junjung titah Raja-Raja Melayu

    Muhyiddin kesal KDN tarik rayuan,gesa kerajaan junjung titah Raja-Raja Melayu

    TAN Sri Muhyiddin Yassin kesal keputusan kerajaan PH-BN menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.

    Kata bekas Perdana Menteri itu, sepatutnya biarlah kes ini diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.

    ‘’Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai.

    “Maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasaka.

    ‘’Ia untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai, ‘’ katanya dalam kenyataan.

    Muhyiddin seterusnya mengingatkan kerajaan, bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

    ‘’Maka titah Raja-Raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan,’’ katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada menteri daripada parti DAP yang meminta supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.

    ‘’Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah,’’ tegasnya.

    Beliau berkata, pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang.

    ‘’Antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

    Beliau berkata, apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021, Kerajaan Perikatan Nasional pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes ini mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

    “Adalah menjadi kelaziman dalam mana-mana kes mahkamah, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.

    “Keputusan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan juga adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor,” katanya.