Category: Semasa

  • ‘Putrajaya yang patut bertanggungjawab, bukan Pejabat Menteri Besar Kedah..’

    ‘Putrajaya yang patut bertanggungjawab, bukan Pejabat Menteri Besar Kedah..’

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membidas pihak yang meletakkan kesalahan di bahu kerajaan negeri itu kononnya perlu bertanggungjawab terhadap kecuaian memantau baraj Sungai Muda sehingga berlaku kerosakan dan menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Kedah dan Pulau Pinang.

    Beliau berkata, kerajaan negeri mahu pun mana-mana agensi di bawahnya tidak terlibat langsung dengan baraj tersebut kerana ianya diuruskan oleh Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) yang berada di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai agensi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

    Katanya, NRECC yang sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan PLSM yang dipercayai cuai ketika bertugas walaupun telah dimaklumkan oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) mengenai paras air yang semakin menurun.

    “PLSM bukan agensi kerajaan negeri tetapi yang sering disalah faham dan dibina naratif adalah kegagalan kita kawal selia baraj itu sedangkan ianya 100 peratus dibawah PLSM. Bukan di bawah Lembaga Sumber Air Kedah (LSAK); SADA mahupun Pejabat Menteri Besar Kedah.

    “Tapi oleh kerana dia berada di negeri kita, jadi kita terima keadaan itu sebagai kecuaian di pihak PLSM. Saya telah hadir mesyuarat lembaga pengarah LSAK dan di atas kecuaian itu, PLSM khususnya NRECC patut ambil tindakan kepada pihak yang bertugas pada waktu itu kerana cuai.

    “Ada pihak yang menuding kejadian ini sebagai kesalahan kerajaan negeri, jadi saya ingin betulkan bahawa tudingan itu salah. Kamu patut tuding ke Putrajaya (NRECC) kerana itu tanggungjawab mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Tambah Muhammad Sanusi, beliau dimaklumkan oleh SADA bahawa agensi itu sudah memberitahu pihak yang menguruskan baraj Sungai Muda sejak pukul 10 malam, Sabtu lalu berkaitan keadaan semasa paras air yang semakin menurun.

    “Pukul 12 tengah malam, SADA maklum lagi sekali kerana air terus menurun sehinggalah pukul 7 pagi keesokan harinya baru pintu baraj yang rosak itu ditutup secara manual setelah terbiar terbuka selama 11 jam.

    “Saya tanya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang jaga baraj Ampang Jajar sepatutnya setiap dua jam petugas perlu turun memeriksa dan menulis di dalam buku log mereka mengenai berapa keadaan paras air dan bagaimana keadaan pintunya,” katanya.

    Menurut Muhammad Sanusi, beliau juga telah menyembah maklum mengenai situasi itu kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pagi ini.

    Menjelas lanjut, kata beliau, terdapat 14 pintu baraj di Sungai Muda dengan tujuh daripadanya sudah rosak sepenuhnya namun dalam keadaan tertutup, manakala baki pintu baraj masih boleh beroperasi secara manual atau automatik.

    “Tapi dalam kejadian baru-baru ini, pintu baraj yang ke-14 itu terbuka sendiri sebanyak 50 peratus kerana sistem pengimbas mendapati ada keperluan untuk berbuat demikian sehinggalah air yang ditakung itu mengalir deras ke lautan tanpa sekatan.

    “Saya juga ada baca Ketua Menteri Pulau Pinang yang beritahu kejadian itu berlaku di sebelah Kedah. Sebenarnya baraj ada di kedua-dua negeri. Pintu yang boleh dibuka tutup berada di sebelah Kedah dan sebelah mereka tidak beroperasi langsung. Baraj kita walaupun ada masalah baru-baru ini masih boleh beroperasi,” katanya.

  • Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

    Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

    SEORANG bekas pengurus syarikat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan membabitkan jenayah komputer dan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian RM220,000 enam tahun lepas.

    Hakim Datuk M M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu terhadap Muhamad Shahrul Md Sabri, 41, yang ketika kejadian merupakan Pengurus Malaysia Building Society Berhad (MBSB), selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

    “Tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” kata hakim itu.

    Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Shahrul didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan mengeluarkan wang RM220,000 kepunyaan MBSB, menggunakan kata nama dan kata laluan milik orang lain yang menyebabkan kerugian kepada MBSB.

    Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

    Dia juga menghadapi pertuduhan membuat capaian kepada kandungan sistem MBSB Integrated Core Banking (MICOB) dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap data-datanya melibatkan wang sama, mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Muhamad Shahrul turut didakwa melakukan pecah amanah wang sama (RM220,000) mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda.

    Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di MBSB di Presint 15, Putrajaya antara 10 Ogos dan 12 September 2017.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ilya Ellyna Nor Azmal manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Nur’ain Shahiera Khalid.

    Seramai 11 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan bermula 2019.

  • Datuk antara enam direman tipu hasil lombong emas RM25 juta

    Datuk antara enam direman tipu hasil lombong emas RM25 juta

    ENAM individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan melibatkan penjualan deklarasi penjualan hasil perlombongan emas bernilai RM25 juta.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu bermula hari ini hingga Jumaat selepas pegawai pendakwa SPRM Asmawi Kulup Lam membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Tawau di Tawau.

    Kesemua suspek terdiri lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 42 hingga 67 tahun sebelum itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Pejabat SPRM Tawau pada tengah malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Kesemua suspek termasuk ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat disyaki memperdaya kerajaan Sabah dengan mengemukakan penyata penjualan yang mempunyai butiran palsu bagi mengelak serta membayar royalti sebenar kepada kerajaan negeri terhadap hasil emas yang di lombong di Bukit Mantri di Tawau.

    Difahamkan emas sebanyak 100 kilogram bernilai RM25 juta itu tidak dilaporkan penghasilannya yang sepatutnya menyumbang pembayaran royalti sebanyak RM1.25 juta kepada kerajaan Sabah bagi tempoh bermula 2020 hingga 2022.

    Penipuan itu dibuat melalui pakatan dua syarikat yang mana semua suspek mempunyai kepentingan di dalamnya.

  • Kalimah Allah: MAIS tidak setuju tindakan tarik balik rayuan

    Kalimah Allah: MAIS tidak setuju tindakan tarik balik rayuan

    MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

    Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan, pihaknya berpandangan bahawa kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, tetapi juga melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada bawah bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

    “Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, pihak MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curae (sahabat mahkamah).

    “Walau bagaimanapun, MAIS berasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak lain yang terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

    MAIS juga mengulangi kenyataan pihaknya sebelum ini dan menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Selangor merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010.

    “MAIS berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi di negara ini memutuskan isu ini secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah Allah.

    “Justeru, MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan merujuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di negeri Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.

    “Ini untuk memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri Selangor,” ujarnya lapor Astro Awani.

    Kelmarin, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

  • Lima lelaki dituduh culik, kurung jurujual demi wang tebusan lebih RM1.12 juta

    Lima lelaki dituduh culik, kurung jurujual demi wang tebusan lebih RM1.12 juta

    LIMA orang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menculik seorang jurujual bagi mendapatkan wang tebusan beranggaran sebanyak lebih RM1.12 juta, hujung bulan lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh, Suhaimi Mat Zin, 41, Zulkarnain Ramli, 46, Wong Guo Song, 33, Muhammad Azam Hatan, 32, dan Yong Zi Hui, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Choi, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima individu itu didakwa secara bersama-sama dengan maksud menahan, abduksi (culik), dan mengurung seorang lelaki berusia 39 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan bagi tujuan mendapatkan wang tebusan beranggaran sebanyak RM1,125,550, lapor Utusan TV.

    Lima lelaki dituduh atas kesalahan menculik dan mengurung seorang jurujual bagi mendapatkan wang tebusan lebih RM1.12 juta ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kelima-lima tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan yang masih bebas di Jalan Mesra Ria, Brickfields, Kuala Lumpur sekitar pukul 10.30 malam pada 29 April lalu.

    Justeru kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

    Sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat jika tidak dihukum mati.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan.

    Sementara itu kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Tharamjit Sikh, Azinuddin Karim, Ashraff Mohd. Diah, Izzati Yaacop, Izwan Ariff Ibrahim, dan Nasir Nordin.

    Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai depan bagi sebutan semula kes.

  • Tiada air; Pulau Pinang perlu henti konfrontasi dengan Kedah

    Tiada air; Pulau Pinang perlu henti konfrontasi dengan Kedah

    PAS Pulau Pinang menyeru Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya menghormati dan tidak lagi berkonfrontasi dengan Kerajaan Negeri Kedah berkaitan isu air.

    Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, ia memandangkan Pulau Pinang bergantung kepada bekalan air dari Sungai Muda yang terletak di bawah kawal selia Kerajaan Negeri Kedah menerusi Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Lembaga Pengurusan Lembangan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

    Menurut beliau, umum mengetahui Sungai Muda adalah sumber air mentah utama Pulau Pinang yang mana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil lebih 80 peratus daripadanya untuk memghasilkan air mentah terawat.

    “Gangguan bekalan air yang berlaku di sebahagian besar kawasan di Pulau Pinang baru-baru ini berpunca ekoran penurunan mendadak air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang yang telah menjejaskan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, dekat sini.

    “Walaupun PBAPP mengambil tindakan menyalurkan air dari Empangan Mengkuang, namun masih tidak dapat mengatasi sepenuhnya masalah air ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Muhammad Fauzi menambah, Pas Pulau Pinang juga melihat tuntutan Syarikat Air Darul Aman (SADA) berhubung bayaran tambahan perlu dipenuhi oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan tiada lagi konflik berkaitan air demi menjaga kesejahteraan rakyat dalam pembekalan air mentah ke negeri itu.

    Ahad lalu, pengguna air di beberapa kawasan di Pulau Pinang mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air susulan penurunan mendadak paras air Sungai Muda awal pagi hari tersebut.

    Situasi itu ekoran penurunan mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang pukul 5 pagi yang berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air (pintu barrage) sekali gus menyebabkan pengeluaran LRA Sungai Dua, terjejas.

    Kejadian itu turut menyebabkan SADA mengeluarkan notis berlaku gangguan air tidak berjadual di tiga daerah di Kedah iaitu di Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan di Baling.

    Pada tahun lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, pihaknya melantik panel peguam untuk menguruskan tuntutan RM50 juta daripada Pulau Pinang bagi air mentah yang diekstrak dari Sungai Muda.

    Pulau Pinang bagaimanapun menolak permintaan itu dan mendakwa mereka tidak diwajibkan membayar kepada Kedah untuk mengeluarkan air mentah dari Sungai Muda yang berasal dari tadahan air Ulu Sungai Muda di Kedah.

  • ‘Jangan putar belit kenyataan saya berkenaan keadaan flot kos rendah di Johor’-Sultan Ibrahim

    ‘Jangan putar belit kenyataan saya berkenaan keadaan flot kos rendah di Johor’-Sultan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memberi amaran kepada segelintir pihak supaya tidak menjadikan kenyataan baginda mengenai keadaan flat kos rendah di negeri ini sebagai isu politik.

    “Ini bukan perkara baharu. Kerajaan-kerajaan sebelum ini mengetahui mengenai keadaan flat kos rendah di Johor.

    “Tetapi mereka tidak berbuat apa-apa. Sekarang, Kerajaan Perpaduan yang baharu terpaksa menguruskan masalah-masalah sampah ini,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

    Sultan Johor bertitah, baginda terpaksa bersuara dan mengemukakan masalah ini kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana rakyat kini menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

    Baginda bertitah, SWM Environment Sdn Bhd (SWM) sebagai syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pungutan sampah, langsung tidak memuaskan mutu kerjanya terutama di flat-flat kos rendah.

    “Tidak ada elemen politik dalam perkara ini. Jangan jadikan ini sebagai isu politik,” tegas Baginda sambil menghargai komitmen Kor Ming yang datang mengadap baginda, kelmarin.

    “Kerajaan-kerajaan sebelum ini tidak mengambil peduli akan permasalahan ini, adalah sangat malang Kerajaan Perpaduan kini terpaksa menanggung permasalahan ini,” titah Sultan Johor.
    ]
    Kelmarin, Sultan Johor menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.

    Sultan Ibrahim bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap dan seolah-olah rakyat Baginda hidup dalam ‘reban ayam’.

  • Kes saman Dr Mahathir: Anwar masukkan kehadiran

    Kes saman Dr Mahathir: Anwar masukkan kehadiran

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memasukkan memorandum kehadiran terhadap tuntutan saman yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Memorandum itu difailkan firma guaman Thomas Philip yang mewakili Anwar, pada 16 Mei lalu, yang disahkan peguam, Aliff Benjamin Suhaimi.

    “Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 31 Mei ini,” kata peguam itu, lapor Sinar Harian.

    Pada 3 Mei lalu, Dr. Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani:’Perlaksanaan Sebuah Idealisme’ yang diadakan pada Mac lepas.

    Dr. Mahathir selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.

    Dalam pernyataan tuntutan, Dr. Mahathir mendakwa pada 18 Mac lepas, Pengerusi Pakatan Harapan itu telah memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan telah mengeluar beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.

    Menurut Dr. Mahathir, antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

    Dakwa Dr. Mahathir, kenyataan-kenyataan itu adakah tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas perdana menteri.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta, ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua kenyataan-kenyataan fitnah.

    Katanya, program itu juga telah dipaparkan secara siaran langsung di akaun Facebook ‘Anwar Ibrahim’ dan di Saluran Youtube ‘Parti Keadilan Rakyat’ selain klip-klip video atau laporan media mengenai kenyataan-kenyataan defendan telah ditonton atau disebar luas ke pelbagai rangkaian media massa serta media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok dan Youtube.

    Sehubungan itu, beliau turut memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan kesemua kenyataan di media sosial atau media elektronik selain memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif dan relif lain yang difikirkan sesuai.

    Kes ditetapkan untuk pengurusan kes menerusi e-Review di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali pada 31 Mei ini.

  • Agong perkenan Jemaah Menteri sembah cadangan berkait kalimah ‘Allah’

    Agong perkenan Jemaah Menteri sembah cadangan berkait kalimah ‘Allah’

    JEMAAH Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan berhubung penggunaan kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Perdana menteri dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan mengandungi kalimah Allah.

    “Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

    “Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

    “… dan pada masa sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

    Notis pemberhentian rayuan itu, yang difailkan pada 18 April lalu menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

    Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.

    Bagaimanapun, Anwar semalam dilaporkan berkata, keputusan kes penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran adalah khusus untuk Sarawak.

    Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata KDN tidak berhak menarik balik rayuan penggunaan kalimah “Allah” tanpa merujuk pihak berkuasa agama serta Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama.

    Sementara itu, Anwar menambah kerajaan dipimpinnya menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat-kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

    “Kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” katanya, lapor FMT.

  • Pengasas pusat tahfiz dua isteri didakwa lakukan amang seksual terhadap tiga pelajar lelaki

    Pengasas pusat tahfiz dua isteri didakwa lakukan amang seksual terhadap tiga pelajar lelaki

    SEORANG pengasas sebuah pusat tahfiz warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajar lelakinya sejak tahun lalu.

    Tertuduh Firdaous Abdul Rashif, 40, membuat pengakuan itu sejurus kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

    Berdasarkan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya masing-masing berusia 13 tahun 9 bulan, 14 dan 15 tahun.

    Sabit kesalahan tertuduh yang mempunyai dua isteri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

    Tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua mangsa sama.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik di rumah guru pusat tahfiz terbabit yang terletak di Tanjung Minyak, Melaka pada 20 Julai 2022 serta pertengahan Mac 2023.

    Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

    Tertuduh yang diwakili peguam Fahmy Sulaiman merayu mahkamah memberikan jaminan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira tertuduh menanggung dua isteri serta enam anak berusia antara satu tahun setengah sehingga 13 tahun.

    Hakim Darmafikri pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi dua pertuduhan dihadapinya, bagaimanapun Mohd. Sabri tidak membenarkan jaminan.

    Mahkamah kemudian turut menetapkan 19 Jun ini ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Astro Awani sebelum ini melaporkan, seorang pengasas tahfiz terkenal di Melaka ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian serangan seksual terhadap enam pelajar lelakinya.

    Kejadian terkutuk itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada enam mangsa berkenaan di Balai Polis Batang Tiga.

    Pengasas yang juga mudir pusat tahfiz berkenaan juga dikatakan pernah mempunyai rekod lampau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal dan liwat pada tahun 2019.