Category: Semasa

  • KSN: Mad Zaidi dilantik KSU Kementerian Perladangan dan Komoditi

    KSN: Mad Zaidi dilantik KSU Kementerian Perladangan dan Komoditi

    DATUK Mad Zaidi Mohd Karli@Sukari dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkuat kuasa hari ini.

    Mad Zaidi, 53, sebelum ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) di kementerian sama.

    Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Mad Zaidi berpengalaman luas dalam pelbagai bidang meliputi perancangan strategik, pengurusan dan bidang-bidang teras berkaitan perladangan dan komoditi.

    “Dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, saya yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan misi kementerian dalam meningkatkan daya saing global Malaysia menerusi produk-produk agrikomoditi yang bernilai tinggi dan lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains dari Universiti Putra Malaysia dan Sarjana Sains dari University of London, Mad Zaidi telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dengan jawatan pertama disandang adalah Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

  • Sindiket upah tonto tumpas, KPDN rampas 31,000 liter diesel bersubsidi

    Sindiket upah tonto tumpas, KPDN rampas 31,000 liter diesel bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Tiris di sebuah kilang papan, di Kampung Chuar Hulu, Sauk, Kuala Kangsar semalam.

    Serbuan berkenaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN pada pukul 10.30 pagi.

    Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya menyita 31,000 liter diesel bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan RM101,400, selepas menyerbu premis terbabit.

    “Maklumat risikan mendapati, sindiket itu juga dipercayai mengupah ‘tonto’ bagi memastikan aktiviti mereka beroperasi tanpa disedari oleh pihak berkuasa.

    “Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut menemukan dua buah ‘skid tank’ yang di dalamnya terdapat cecair disyaki minyak diesel.

    “Turut ditemui dua kenderaan, sebuah lori loader lima tan dan van yang telah diubah suai dengan meletakkan tangki lain selain tangki asal lori tersebut.

    “Bagaimanapun pemilik premis tiada di tempat kejadian semasa serbuan.

    “Kesemua kenderaan, peralatan penyedut minyak dan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 31,000 liter telah disita,” katanya kepada pihak media semalam.

    Beliau percaya sindiket tersebut membeli diesel di beberapa stesen minyak sekitar Kuala Kangsar dengan harga subsidi secara berulang, kemudian mengumpul dan menyimpannya di dalam tangki sebelum dijual kepada pihak industri.

    “KPDN juga akan melakukan siasatan lanjut ke atas stesen minyak yang berkaitan dan akan mengambil tindakan jika didapati terlibat dalam penyelewengan ini,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Menurut Kamalludin, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
    Beliau turut menyarankan masyarakat agar menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat khususnya mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

  • Muhyiddin gesa kerajaan sedia langkah konkrit tangani masalah rakyat

    Muhyiddin gesa kerajaan sedia langkah konkrit tangani masalah rakyat

    PENGERUSI Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan segera mengambil langkah konkrit menyeluruh untuk menangani masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat pada masa ini.

    Langkah-langkah yang berbentuk runcitan atau ‘piecemeal’ tidak memadai untuk menangani masalah yang berbentuk struktural seperti kos sara hidup dan inflasi yang memberi kesan jangka panjang terhadap kehidupan rakyat dan kemakmuran negara.

    “Janganlah semasa sebelum berkuasa pandai bercakap, tetapi apabila berkuasa tak pandai buat. Malah, menutup mata dan memekakkan telinga apabila berhadapan dengan tuntutan rakyat. Langsung tidak peka dan tidak prihatin terhadap nasib rakyat jelata.

    “Sebahagian besar daripada golongan B40 ini adalah Bumiputera. Dengan masalah pendapatan mereka yang kian merosot dan tekanan kos sara hidup serta inflasi yang kian meningkat, saya bimbang matlamat untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat Bumiputera seperti yang menjadi dasar kerajaan sebelum ini akan terjejas.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) di ibu negara semalam.

    Sejak awal penubuhannya, MASA telah terlibat bersama-sama dengan para pemegang taruh dalam pelbagai sektor termasuk ahli-ahli akademik, pertubuhan ekonomi, badan-badan bukan kerajaan, pihak swasta dan agensi kerajaan untuk membangunkan kerangka dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), yang antara lain bertujuan untuk mencapai taraf hidup rakyat Malaysia yyang wajar serta memacu kemajuan dan kemakmuran ekonomi yang adil dan saksama.

    Menurutnya, dalam beberapa kajian terkini yang dilihat, majoriti rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40 dan M40 merasakan bahawa kedudukan kewangan peribadi mereka semakin terjejas.

    “Kerana itulah terdapat gesaan yang kuat daripada rakyat supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpualn Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh mereka gunakan pada masa yang agak kritikal sekarang ini bagi menampung keperluan harian.

    “Malangnya, kerajaan tidak mendengar keluhan dan permintaan rakyat, selain tidak mempunyai sebarang langkah yang konkrit bagi membantu rakyat menghadapi zaman yang sukar pada masa ini,” katanya.

  • Kerajaan membelakangi Muzakarah Fatwa Kebangsaan isu kalimah Allah?

    Kerajaan membelakangi Muzakarah Fatwa Kebangsaan isu kalimah Allah?

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) jelas membelakangi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) apabila menarik balik rayuan kes kalimah Allah.

    Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2008 telah memutuskan bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

    “Ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam. Persoalannya adakah pendirian fatwa kebangsaan ini tidak mempunyai merit dalam pertimbangan yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri selaku menteri bertanggungjawab.

    “Rakyat kini melihat satu demi satu dasar Kerajaan Perpaduan yang dikatakan Madani tetapi membelakangi pendirian golongan pemegang taruh utama pembuat dasar.

    “Daripada isu pemberian ubat PrEP kepada golongan pengamal homoseksual, nyah senarai nikotin daripada Akta Racun dan kini isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.

    Kelmarin, KDN dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

    Sementara itu, Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu selain memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

    Ahmad Fakhruddin berkata, persoalan seterusnya yang berbangkit adalah siapa pengaruh di sebalik dasar-dasar Madani yang tempang itu dan bagaimana dasar-dasar yang membawa kepada pelbagai implikasi diputuskan tanpa libat urus yang betul.

    “Keputusan-keputusan ini dilihat dilaksanakan secara tergesa-gesa. Kerajaan terus menikus dengan seribu satu alasan untuk mempertahankan tindakannya yang tempang. Lama kelamaan struktur ini akan retak menanti belah. Masa akan menentukannya,” katanya.

  • Masjid Nabawi ‘diserang’ belalang tetapi selamat dikunjungi

    Masjid Nabawi ‘diserang’ belalang tetapi selamat dikunjungi

    Masjid Nabawi ‘diserang’ belalang tetapi selamat dikunjungi

    PENGUNJUNG dan jemaah umrah yang kini berada di Kota Madinah, Arab Saudi bukan sahaja diuji dengan cuaca panas membahang tetapi juga berdepan gangguan longgokan serangga ekoran gelombang bermusim serangan belalang.

    Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Masjid Nabawi dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Haramain mengerakkan lebih 1,000 petugas pembersihan setiap hari dan sepanjang masa bagi memastikan masjid berkenaan sentiasa selamat dikunjungi.

    Kenyataan itu menyebut bilangan petugas akan ditambah dari semasa ke semasa dan kerja pembersihan serta pembasmian kuman giat dijalankan di Masjid Nabawi, termasuk halaman dan fasilitinya, dengan kerjasama Agensi Perkhidmatan dan Perlindungan Alam Sekitar.

    Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Teknikal, Operasi dan Penyelenggaraan agensi itu turut mengambil inisiatif mengurangkan peratusan pencahayaan di sekitar Masjid Nabawi pada waktu malam, selain membuka payung masjid sepanjang masa.

    Untuk rekod, lazimnya gelombang bermusim serangan belalang berlaku di Arab Saudi antara Januari hingga Jun.

  • Teknologi Maklumat lancarkan perjalanan haji di Tanah Suci

    Teknologi Maklumat lancarkan perjalanan haji di Tanah Suci

    PERKHIDMATAN teknologi maklumat (IT) termasuk liputan internet yang pantas untuk petugas dan jemaah haji adalah antara cabang penting setiap kali operasi haji yang dikelolakan Lembaga Tabung Haji (TH).

    Maka, pada tahun ini, petugas Pasukan Teknologi Maklumat yang tiba lebih awal di Tanah Suci telah bertungkus-lumus untuk menyediakan perkhidmatan IT seperti infrastruktur, rangkaian dan perkakasan berada dalam keadaan yang baik.

    Sinar Harian melaporkan, pasukan yang terdiri daripada 21 kakitangan perlu memastikan sistem digunakan setiap tahun itu menepati keperluan pasukan petugas terutamanya perubatan, bahagian bimbingan, operasi Masyair di Arafah, Mudzalifah dan Mina serta maktab penginapan jemaah.

    Pengarah Operasi Teknologi Maklumat TH, Shahidan Ishak berkata, setakat ini persiapan pihaknya mengikut jadual ditetapkan dan akan dapat memenuhi keperluan 670 petugas dan 31,600 jemaah haji.

    “Operasi IT di Makkah tertumpu kepada beberapa lokasi utama, salah satunya ialah di ibu pejabat TH di Makkah, iaitu di Abrash Janadriah, seterusnya di hospital Tabung Haji.

    “Jadi antara ketiga-tiga komponen dalam persediaan teknologi maklumat ialah rangkaian. Kita memastikan talian-talian dapat disediakan sebelum pejabat-pejabat operasi dibuka dan juga kita memastikan perkakasan-perkakasan komputer tersedia termasuklah mengemas kini antivirus,” katanya kepada media Malaysia di Makkah.

    Selain itu katanya, antara penambahbaikan utama yang dibuat untuk operasi pada tahun ini adalah melibatkan aplikasi yang mana ia bermula dari tanah air lagi.

    Ujar beliau, pihaknya telah memperkenalkan sistem e-Bimbingan untuk kemudahan bakal haji membuat rujukan dan sebagainya seterusnya beberapa penambahbaikan lain seperti sistem khidmat pelanggan bagi memastikan sistem aduan dapat digunakan dengan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

    “Kita juga telah menambah baik sistem Hajj Mobiliti melibatkan beberapa modul seperti sistem bagasi, e-taib dan sebagainya dan dengan semua penambahbaikan itu, ia akan membantu meningkatkan keberkesanan operasi haji,” katanya.

    Shahidan berkata, pasukannya juga bekerja tanpa henti kerana di setiap sektor operasi di Tanah Suci bergantung kepada sistem IT untuk segala prosedur, arahan kerja dan lain-lain urusan.

    Ketika ditanya mengenai pengalaman lalu dan jangkaan pada musim ini, beliau berkata, pihaknya melihat isu kestabilan rangkaian semasa operasi Masyair yang perlu diberikan perhatian.

    Ini kerana katanya, sistem IT diguna pakai bukan saja semasa di Makkah, Madinah tetapi juga semasa operasi Masyair dan pusat maklumat operasi di Arafah dan Mina.

    “Jadi ketika di Arafah dan Mina, dengan pertambahan jumlah jemaah, kadang kala kestabilan talian itu tidak dapat diperolehi. Pembekal talian itu sendiri tidak dapat beri komitmen kepada kita. Jadi apa yang kita buat, kita sudah melanggan talian daripada beberapa pembekal lain seperti STC, Zain dan Mobily.

    “Jadi dengan kepelbagaian talian yang kita ada, sekurang-kurangnya kita boleh memastikan jika ada satu talian yang mengalami kesesakan ataupun prestasinya kurang seperti yang kita harapkan, kita boleh bertukar kepada pembekal talian yang lain,” katanya.

    Kata Shahidan, TH sudah memperkenalkan beberapa aplikasi yang bertujuan untuk membantu jemaah haji semasa berada di Tanah Suci seperti THijari dan e-Bimbingan Haji.

    “Saya mengesyorkan jemaah haji membuat persediaan awal dengan memuat turun aplikasi ini, manfaatkan ia sebaiknya kerana ia dicipta untuk memudahkan jemaah melakukan ibadat dan mendapatkan maklumat terkini.

    “Kita dapat maklum balas daripada jemaah yang lepas di mana aplikasi yang kita sediakan ini sangat membantu mereka dalam melaksanakan ibadah dan juga menjalani aktiviti harian semasa di Tanah Suci,” katanya.

    Sementara itu Shahidan berkata, aplikasi Hajj Mobiliti yang diperkenalkan pada tahun lepas telah ditambah baik secara berterusan untuk kegunaan pada tahun ini.

    “Kita ada penambahbaikan dari segi modul. Jika sebelum ini hanya boleh diakses oleh android saja, tahun ini ios pun dah boleh g una aplikasi Hajj Mobiliti.Aplikasi e-Bimbingan pula merupakan satu pendekatan baharu untuk para bakal haji membuat rujukan dan informasi berkenaan ibadah,” katanya.

    Shahidan berkata dengan adanya e-Bimbingan, pihaknya percaya para bakal haji atau jemaah haji sendiri boleh membuat rujukan pada bila-bila masa saja kerana rujukan itu telah tersedia dalam aplikasi.

    “Jadi kita nampak ini sangat memudahkan bagi jemaah haji buat rujukan dan bakal beri banyak manfaat kepada mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Secara keseluruhan seramai 670 petugas haji digerakkan ke Arab Saudi untuk menjalankan operasi haji tahun ini.

    Daripada jumlah tersebut, 340 orang adalah petugas kebajikan, perubatan (296), dan selebihnya adalah daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wakil media.

    Jemaah haji pula adalah seramai 31,600 orang dengan penerbangan pertama akan berlepas pada 21 Mei ini secara berperingkat.

  • Hamzah persoal motif Kerajaan PH-BN tarik rayuan kes kalımah Allah

    Hamzah persoal motif Kerajaan PH-BN tarik rayuan kes kalımah Allah

    DATUK Seri Hamzah Zainuddin hari ini mempersoalkan mengapa secara tiba-tiba Kerajaan PH-BN tidak mahu membenarkan proses perundangan dan kehakiman berjalankan dalam isu kalimah Allah.

    Ketua Pembangkang itu turut persoalkan, mengapa proses itu  dihalang dan mengapa Menteri Dalam Negeri bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sedangkan isu kalimah Allah ini amat-amat sensitif.

    ‘’Tambah menyedihkan, bukan sahaja keputusan kontroversi itu dibuat senyap-senyap sehingga menimbulkan perdebatan tentang motif sebenar kerajaan campuran PH-BN, bahkan Notis Pemberhentian bagi menyatakan niat untuk tidak meneruskan rayuan serta pemberhentian keseluruhan rayuan ini juga dibuat pada 18 April 2023, iaitu dalam bulan Ramadan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berikutan kenyataan penuh beliau:

     Sebagai bekas Menteri Dalam Negeriyang bertanggungjawab secara langsung mempertahankan kesucian kalimah Allah dalam kes (Jill Ireland Binti Lawrence Bill lwn Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia), saya merasa teramat kesal, terkilan dan kecewa dengan keputusan kerajaan campuran PH-BN melalui Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan kes kalimah Allah di Mahkamah Rayuan.

     Dalam Perlembagaan, apa juga keputusan perbicaraan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan semua pihak perlu membenarkan proses undang-undang ini mengambil tempat dengan sewajarnya tanpa sebarang campur tangan. 

    Biarlah mahkamah di peringkat tertinggi yang memutuskan dan setelah kesemua proses undang-undang itu telah disempurnakan, kita wajib menghormati keputusan mahkamah.

     Inilah juga proses perundangan yang dilakukan dalam kes Menteri Dalam Negeri lwn Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur pada 2009 dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi penerbitan majalah mingguan The Herald. 

    Setelah selesai perbicaraan di Mahkamah Tinggi, rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan dengan dipengerusikan Yang Arif Tan Sri Apandi Ali pada 2013 dan seterusnya proses di Mahkamah Persekutuan pula mengambil tempat dengan dipengerusikan Yang Amat Arif Tun Arifin Zakaria, sehinggalah akhirnya keputusan dibuat pada 23 Jun 2014 iaitu Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Gereja Roman Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah mingguan The Herald.

     Kes Herald ini adalah precedent dan apabila Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 dalam kes Jill Ireland Binti Lawrence Bill lwn Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia, memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang penggunaan empat kalimah iaitu Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat dalam penerbitan agama Kristian adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang, saya yang ketika itu sebagai Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan rayuan segera dibuat pada 12 Mac 2021 bagi membolehkan proses perundangan mengikut Perlembagaan mengambil tempat dengan sewajarnya iaitu di bawa ke Mahkamah Rayuan dan ruang perundangan seterusnya adalah di Mahkamah Persekutuan.

    Ini bererti kami Kerajaan Perikatan Nasional pada ketika itu menghormati proses undang- undang dan konsisten dalam menjaga keluhuran undang-undang di Malaysia.

    Persoalannya mengapa secara tiba-tiba kerajaan campuran PH-BN ini tidak mahu membenarkan proses perundangan dan kehakiman mengikut Perlembagaan itu mengambil tempat.Mengapa proses perundangan dan kehakiman itu dihalangdan mengapa Menteri Dalam Negeri bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sedangkan isu kalimah Allah ini amat-amat sensitif.

     Tambah menyedihkan, bukan sahaja keputusan kontroversi itu dibuat senyap-senyap sehingga menimbulkan perdebatan tentang motif sebenar kerajaan campuran PH-BN, bahkan Notis Pemberhentian bagi menyatakan niat untuk tidak meneruskan rayuan serta pemberhentian keseluruhan rayuan ini juga dibuat pada 18 April 2023, iaitu dalam bulan Ramadan.

     Sedangkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 2018 telah menegaskan bahawa Allah merupakan kalimah suci yang khusus dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.

     Malah, keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu diperkukuhkan lagi dengan titah Sultan Selangor, Sultan Johor serta Sultan Kedah bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam danmelarang sama sekali penggunaannya dalam Bibble atau percetakan apa-apa buku serta tulisan melibatkan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekalipun.

     Lebih mengelirukan apabila Perdana Menteri sendiri semalam mengeluarkan kenyataan kononnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu hanya terpakai di Sarawak. Jelas, ini membuktikan Perdana Menteri seorang yang cuai, yang tidak meneliti keputusan mahkamah. Saya katakan Perdana Menteri cuai kerana:

    a. Rampasan 8 cekera padat ajaran agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah pada 11 Mei 2008 itu berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, bukannya di Sarawak dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga relif certiorari, bukan hanya terhad kepada Sarawak.

    b. Anwar Ibrahim sendiri, bersama James Peter Ongkili dan Allahyarham Tun Ghafar Baba merupakan anggota Kabinet yang terlibat dalam Jawatankuasa Mengkaji Istilah/Perkataan Islam Di Dalam Al-Kitab Yang Tidak Boleh Digunakan pada 1986. 

    Sepatutnya beliau lebih faham tentang sensitiviti serta mudarat lebih besar dengan tidak membuat kenyataan mengelirukan begitu.

     Persoalan lainnya, apakah MAIS, MAIWP dan MAIK selaku amicus curae (sahabat mahkamah) dalam kes ini telah dikonsultasi dan apakah Raja-Raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam dirujuk terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat?

     Justeru, keputusan Kerajaan Perikatan Nasional memfailkan rayuan menggunakan saluran perundangan dan kehakiman dalam memelihara kesucian agama Islam dan kalimah Allah adalah tepat, sebaliknya keputusan kerajaan campuran PH-BN menarik balik rayuan adalah salah dan tersasar sama sekali.

     Jelas, keputusan menarik balik rayuan ini membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak sensitif terhadap isu kalimah Allah, walhal perkara ini boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

     Saya berharap, penjelasan ini akan dapat meningkatkan kefahaman kita semua mengapa saya dan KDN pada waktu itu bersetuju untuk kes ini dirayu ke Mahkamah Rayuan.

  • Hantuk kepala ke kening isteri, penganggur dipenjara 3 bulan

    Hantuk kepala ke kening isteri, penganggur dipenjara 3 bulan

    GARA-GARA menghantukkan kepala ke kening isteri sehingga cedera dan menerima menerima tujuh jahitan, seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret.

    Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Maula Azanan, 33, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Noriza Mohd Nordin, 35, yang juga pembantu pegawai perubatan, dengan menghantukkan kepalanya di kening kanan mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit Pangsapuri Sri Tioman 2 di Jalan Pertahanan, Setapak, pada jam 4 pagi, Sabtu lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 13 Mei lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya, B Sareeka, memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambil kira kecederaan dihadapi mangsa sehingga perlu menerima tujuh jahitan.

    Faizal, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman berbentuk denda dikenakan terhadapnya dengan alasan dia menyesal dengan perbuatannya itu.

    “Saya minta maaf kerana telah mencederakan isteri saya. Saya menyesal dengan perbuatan saya dan mohon hukuman denda kerana saya mempunyai anak selain ingin memperbaiki kehidupan saya,” katanya.

  • Larangan berkait kalimah ‘Allah’ di Selangor kekal-MB

    Larangan berkait kalimah ‘Allah’ di Selangor kekal-MB

    MENTERI Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, larangan berkait penggunaan kalimah “Allah” di Selangor mengikut enakmen negeri masih berkuat kuasa seperti biasa.

    Menurut kenyataan, pendirian Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah bagi kes kalimah Allah ekoran percanggahan antara arahan pentadbiran kementerian 1986 dan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama, tidak menjejaskan atau mengancam pendirian kerajaan negeri dan enakmen berkaitan.

    Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) menyenaraikan 25 perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam, termasuk kalimah Allah.

    “Kerajaan Selangor mengambil maklum penjelasan KDN dan perakuan berhubung enakmen negeri yang terkait dengan perkara ini,” katanya, lapor FMT.

    Beliau menyatakan komitmen bahawa hak dan enakmen negeri akan terus dipertahankan, dan pentadbirannya menjunjung titah Sultan Selangor bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ di negeri ini oleh penganut agama bukan Islam adalah dilarang.

    “Kerajaan negeri tegas melindungi kepentingan serta sensitiviti bahawa kepercayaan agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah dibina dan menjadi asas kepada Selangor,” katanya.

    Kerajaan baru-baru tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah Allah bagi tujuan pembelajaran agamanya, selepas ‘memperhalusi dengan teliti’ keputusan hakim.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan semua pihak bahawa keputusan mahkamah pada 2021 itu berkaitan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, juga mengesahkan bahawa isu ini melibatkan teknikal perundangan, dan meminta semua pihak mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen yang tidak berasas.

  • Curi hampir RM1 juta, tiga sahabat mengaku tidak bersalah

    Curi hampir RM1 juta, tiga sahabat mengaku tidak bersalah

    TIGA sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka atas pertuduhan melakukan pecah masuk ke dalam pejabat dan mencuri wang tunai milik sebuah syarikat bernilai sekitar RM900,000, Februari lepas.

    Md Halman Lagis, Aszemi Dol dan Musliandee Mustapa Kamal yang masing-masing berusia 43 tahun, dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 21 Feb lepas, antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi.

    Ketiga-tiga tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas, melakukan kesalahan itu di SRT-EON Security Services Sdn Bhd yang beralamat di Jalan TU2, Taman Tasik Utama Ayer Keroh, di Melaka.

    Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama kerana bersubahat.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan jika kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat.

    Timbalan Pendakwa Raya J Banusha mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh, namun ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar jaminan dikurangkan memandangkan masing-masing hanya bekerja sebagai pemandu lori, pemandu van kesihatan pergigian dan nelayan, selain menanggung keluarga.

    Majistret Mazana Sinin menetapkan jaminan RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.