Category: Semasa

  • Lelaki rugi RM50,000 akibat pelaburan Bitfine

    Lelaki rugi RM50,000 akibat pelaburan Bitfine

    GARA-gara tertarik dengan pulangan lumayan ditawarkan menerusi pelaburan (Bitfine) di aplikasi Telegram, seorang lelaki terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM58,800.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata mangsa berusia 37 tahun itu telah berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi berkenaan pada 17 Mac lepas, namun tidak melayan individu terbabit.

    “Bagaimanapun pada 27 April lepas, mangsa telah mula berkomunikasi dengan individu itu dan menunjukkan minat dan yakin dengan pelaburan Bitfine yang ditawarkan susupek selepas menerima pulangan sebanyak RM543,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April hingga 8 Mei, dengan membuat sebanyak lapan kali transaksi ke dalam lima jenis akaun bank yang berbeza berjumlah RM 58,800.

    Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada Ahad lepas setelah menyedari dirinya tertipu.

    Ahmad Sukarno berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan orang ramai dinasihati agar berwaspada dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa telah terpedaya.

    Beliau turut meminta jika orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan diminta menghubungi National Scam Response Centre di talian 997.

    “Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi membuat semakan akaun yang terlibat dalam sebarang kes penipuan,” katanya.

  • Mahkamah: Keputusan permohonan Rosmah batalkan kes rasuah solar pada 22 Jun

    Mahkamah: Keputusan permohonan Rosmah batalkan kes rasuah solar pada 22 Jun

    DATIN Sri Rosmah Mansor akan mengetahui pada 22 Jun jika mahkamah memberi kebenaran terhadap permohonannya untuk meneruskan cabaran undang-undang bagi membatalkan kes rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah hari ini menetapkan tarikh keputusan rayuan isteri bekas perdana menteri Datuk Sri Najib Razak yang kini meringkuk di penjara, lapor MalaysiaKini.

    Awal pagi ini, panel hakim, yang turut dianggotai hakim Mahkamah Rayuan Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun, mendengar hujahan lisan daripada pasukan peguam Rosmah serta pihak pendakwaan.

    Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (sivil) di Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lalu yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakimannya.

    Dakwanya, dari awal lagi, kes solar itu sepatutnya dibatalkan kerana pelantikan mendiang Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa raya adalah tidak sah.

    Pada 1 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi (jenayah) di Kuala Lumpur mendapati dirinya bersalah dalam kes rasuah itu, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu, dan rayuan jenayahnya yang berasingan terhadap keputusan bersalah itu ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 22 Jun tahun ini.

    Sekiranya Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran, semakan kehakiman Rosmah akan dikembalikan semula kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh meritnya.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md. Shahid menolak kebenaran kepada Rosmah selepas dia membenarkan bantahan awal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan, yang merupakan dua responden yang menjadi sasaran dalam semakan kehakiman itu.

  • UMNO yang menumpang, kami ‘pungut’ lepas kalah PRU14

    UMNO yang menumpang, kami ‘pungut’ lepas kalah PRU14

    UMNO sebenarnya yang menumpang parti lain kerana hanya memiliki 26 kerusi Parlimen dan hilang kuasa bukannya Pas, kata Bendahari Pas, Iskandar Abdul Samad.

    Kenyataan itu bagi menjawab tuduhan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi, konon parti itu sendiri mencari peluang untuk menumpang rumah orang lain demi kuasa.

    “Puad perlu sedar dengan realiti siapa yang sebenarnya menumpang kerana UMNO hanya memiliki 26 kerusi Parlimen walhal Pakatan Harapan (PH) 82 kerusi,” katanya memetik laporan FMT.

    Iskandar turut memaklumkan hubungan ahli akar umbi Pas dan UMNO masih baik sambil mendakwa ahli parti tidak bersetuju UMNO bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan.

    Katanya, sebelum ini Pas ‘memungut’ UMNO yang berada dalam keadaan terdesak selepas Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14 )sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional (MN).

    “Puad Zarkashi perlu mencermin diri sendiri sebelum menuduh Pas menumpang rumah orang lain. UMNO kehilangan kuasa di peringkat Pusat buat pertama kali dalam sejarah.

    “Pas ‘memungut’ UMNO yang berada dalam keadaan terdesak dan mengalami trauma,” katanya.

    Iskandar berkata, pemimpin UMNO seperti Puad mungkin sudah lupa ketika MN ditubuhkan pada 2019, parti Melayu utama itu baru sahaja mengalami kekalahan teruk pada PRU14 sebaliknya Pas berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan dan merampas Terengganu.

    “Pas hanya mementingkan perpaduan ummah dan bukan jawatan dalam kerajaan. Justeru Pas tidak terdesak atau kempunan untuk menjadi kerajaan,” katanya lagi.

    Semalam Puad berkata, tiada pihak yang mahu menjadikan Pas sebagai rumah tumpangan sebaliknya parti itu sendiri mencari peluang untuk menumpang rumah orang lain demi kuasa.

  • Polis tahan suami isteri proses heroin di rumah

    Polis tahan suami isteri proses heroin di rumah

    SEPASANG suami isteri yang disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah jenis heroin diberkas polis di sebuah rumah dua tingkat itu di Jelapang, Selasa lalu.

    Serbuan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu menemukan 25.3 kilogram (kg) heroin bernilai RM210,122.80.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, rumah tersebut dipercayai menjadi tempat memproses dan pembungkusan dadah sejak Februari lalu.

    “Lelaki berusia 30 tahun dan isterinya 38 tahun berjaya ditahan bersama heroin seberat 21.67kg dan cecair disyaki heroin seberat 3.64kg.

    “Turut dirampas adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini.

    Menurutnya, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia dan seutas rantai leher bernilai RM36,000.

    Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

    “Dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di pasaran tempatan sekitar negeri dan boleh digunakan lebih 47,000 penagih dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Yusri berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Penumpang Vietnam ‘kantoi’ bawa masuk 10kg tikus salai

    Penumpang Vietnam ‘kantoi’ bawa masuk 10kg tikus salai

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) Pulau Pinang merampas 10 kilogram tikus salai yang dibawa seorang penumpang Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

    Pengarahnya, Muhammad Ikram Abdul Talib, berkata rampasan tikus salai bernilai RM1,000 itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam.

    “Ia dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam dan pemeriksaan pegawai Maqis di LTAPP semalam.

    “Tikus salai tersebut dijumpai semasa pemeriksaan bagasi seorang penumpang dari Vietnam. Kita merampas tikus salai berkenaan selepas mendapati ia dibawa masuk ke negara ini tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tindakan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah merupakan kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum bawah Seksyen 11(3) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, katanya, individu itu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

    Ikram berkata, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

    “Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Isu kalimah ‘Allah’: Nyahklasifikasi minit Jemaah Menteri era PH

    Isu kalimah ‘Allah’: Nyahklasifikasi minit Jemaah Menteri era PH

    SEORANG bekas pembantu Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan menyahklasifikasi minit mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan isu kalimah Allah ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah antara Mei 2018 dan Februari 2020.

    Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, langkah itu akan menjadi penyelesaian senang berbanding pembangkang dan kerajaan buang masa, buang duit kena saman berbolak-balik mengenai penggunaan kalimah Allah.

    “‘Declassify’ semua, jangan sekerat-sekerat,” katanya dalam catatan dalam Facebook miliknya malam tadix lapor FMT.

    Marzuki menjawab tuntutan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng semalam yang mencabar Muhyiddin menamakan bekas menteri DAP yang didakwa mendekatinya mengenai kes mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah.

    Muhyiddin mendakwa seorang menteri DAP mendekatinya untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah semasa beliau menjadi menteri dalam negeri PH sebelum ini, tetapi beliau tidak bersetuju kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu kes itu diteruskan.

    Marzuki berkata, Muhyiddin tidak perlu mendedahkan nama bekas menteri DAP itu kerana langkah itu hanya akan mengundang tindakan undang-undang daripada DAP terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

    Isu penggunaan kalimah Allah kembali hangat minggu ini selepas dilaporkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak seorang wanita Sarawak menggunakan kalimah itu dalam pembelajaran agamanya.

    Pada Isnin, Jabatan Peguam Negara berkata, ia telah memaklumkan Mahkamah Rayuan pada 18 April bahawa ia tidak mahu meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

    Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi, dalam satu keputusan penting, memutuskan bahawa warga Sarawak, Jill Ireland, boleh menggunakan kalimah Allah bagi tujuan pendidikan agamanya dalam bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, Melanau.

    Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Nor Bee Ariffin kemudiannya memutuskan bahawa arahan KDN pada 5 Disember 1986 melarang penggunaan kalimah ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘solat’ dan ‘Kaabah’oleh orang bukan Islam bercanggah dengan undang-undang.

    Semalam, Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri akan mengemukakan usul mengenai isu kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

    Katanya, Jemaah Menteri telah mendapat lampu hijau daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mengemukakan saranannya berkaitan arahan kerajaan mengenai penggunaan kalimah Allah, antara lainnya, oleh orang bukan Islam.

    Pemimpin Bersatu mendakwa tindakan menarik balik rayuan itu serupa campur tangan dalam badan kehakiman.

    Mereka berkata Putrajaya sepatutnya membenarkan proses undang-undang berjalan lancar, bukannya menarik balik rayuan itu, dan bertanya sama ada kerajaan telah berunding dengan raja-raja Melayu sebelum membuat keputusan tersebut.

  • Pelajar UniSZA maut, dua lagi parah kemalangan dalam kampus

    Pelajar UniSZA maut, dua lagi parah kemalangan dalam kampus

    SEORANG pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut manakala dua lagi cedera setelah motosikal ditunggang bertembung dalam kawasan kampus di Gong Badak, Kuala Nerus, Kuala Terengganu pukul 8 malam tadi.

    Mangsa, Wan Muhamad Azhar Izzuddin Wan Abdul Razak, 21, yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Dakwah maut di lokasi kejadian.

    Sementara itu, dua lagi mangsa masing-masing berusia 23 tahun parah dalam kemalangan itu.

    Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari asrama ke majlis perasmian Festival Kokurikulum di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di kampus berkenaan.

    Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang dinaiki dua lagi mangsa dari arah bertentangan.

    Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala manakala dua lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, Naib Canselor, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga UniSZA merakam ucapan takziah melalui hantaran di laman rasmi Facebook universiti berkenaan.

    “Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat dan kenalan Allahyarham Wan Muhammad Azhar Izzuddin Wan Abdul Razak (Pelajar ISM Pengajian Islam (Dakwah) Dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA) yang sudah kembali ke rahmatullah.

    “Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kalimah Allah: Pemuda Pas Selangor sokong pendirian MAIS

    Kalimah Allah: Pemuda Pas Selangor sokong pendirian MAIS

    PEMUDA Pas Selangor menyatakan sokongan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam isu kalimah Allah yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

    Langkah MAIS yang mengambil ketetapan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan campuran dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi adalah wajar, kata Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar.

    “Pemuda Pas Selangor ingin menzahirkan sokongan dan kebersamaan dengan MAIS dalam isu-isu yang melibatkan kesucian agama Islam khususnya di negeri Selangor.

    “Ketegasan yang telah dizahirkan oleh MAIS telah menunjukkan bahawa institusi agama Islam di setiap negeri perlu bertindak dan menyatakan keberanian dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

    “Pemuda Pas Selangor menyeru agar rakyat negeri Selangor bersatu padu dalam mempertahankan kesucian agama Islam daripada diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan media.

    Sukri bagaimanapun berkata, keputusan menarik balik rayuan yang dibuat oleh kerajaan campuran itu dilihat membelakangi titah Sultan Selangor sebelum ini berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

    “Pengumuman penarikan semula rayuan penggunaan kalimah Allah di Mahkamah Rayuan tersebut sekali gus menggambarkan sikap derhaka dan tidak menghormati titah DYMM Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah di negeri Selangor,” ujarnya, lapor Agenda Daily.

    MAIS terdahulu menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Isnin lalu melibatkan isu kalimah Allah.

    Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menegaskan kes itu bukan soal isu pentadbiran dan keselamatan tetapi turut melibatkan akidah orang Islam serta pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa raja sebagai ketua agama negeri.

  • Presiden ABIM pertama meninggal dunia

    Presiden ABIM pertama meninggal dunia

    PENGASAS dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pertama, Prof Dr. Ustaz Razali Nawawi menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.45 pagi tadi.

    Pemergian Allahyarham ke rahmahtullah di sebuah hospital swasta di Bandar Baru Bangi, Selangor diumumkan di halaman Facebook rasmi ABIM Pusat.

    Allahyarham Ustaz Razali berusia 83 tahun.

    Hantaran itu memaklumkan, jenazah Allahyarham Ustaz Razali akan dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor, pada pukul 10 pagi.

    Jenazah Allahyarham juga dijangka dikebumikan selepas solat Zohor, lapor Astro Awani.

    Pada hujung minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi Allahyarham di kediamannya.

    Allahyarham telah memainkan peranan penting dalam membentuk dan memajukan organisasi tersebut, yang terus berjuang untuk kepentingan umat Islam di Malaysia.

    Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Dekan Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa dari tahun 1983 hingga 1993.

  • Kantoi tanam 1.5 kilogram syabu dekat sawah padi

    Kantoi tanam 1.5 kilogram syabu dekat sawah padi

    POLIS menahan seorang pengedar dadah yang menanam syabu di seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek, Kota Marudu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Perbuatan suspek lelaki tempatan berusia 46 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, pada 3 petang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, hasil siasatan mendapati, suspek terbabit dipercayai aktif mengedar dadah sekitar kawasan Kota Marudu, Tandek dan Pitas.

    “Dengan tertangkapnya suspek terbabit, polis merampas dadah jenis syabu dengan berat 1,509.0 gram bernilai RM49,500.

    “Hasil soal siasat terhadap suspek, membawa kepada penemuan 10 paket plastik lutsinar saiz sederhana dan satu bungkusan plastik lutsinar saiz besar berisi dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

    “Dadah syabu seberat 1,509.0 gram itu disembunyikan dan ditanam oleh suspek di kawasan seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Zairolnizal berkata, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk siasatan lanjut.

    Katanya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

    “Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama,” katanya lapor Harian Metro.