Category: Semasa

  • Lelaki maut dengan empat kesan tembakan di kepala berhampiran balai polis 

    Lelaki maut dengan empat kesan tembakan di kepala berhampiran balai polis 

    SEORANG lelaki tempatan maut dengan empat kesan tembakan di bahagian kepala dalam kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat, lewat malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata pihaknya menerima laporan daripada anggota sukarelawan polis kira-kira 11.30 malam, mengatakan terdapat satu kejadian  tembak. 

    “Pengadu sedang bertugas sentri kawasan Balai Polis Sungai Jarom telah mendengar beberapa letupan yang kuat berhampiran Balai Polis Sungai Jarom dan terus menuju ke kawasan kejadian.

    “Pengadu mendapati seorang lelaki warga tempatan sedang terbaring kaku di bahu jalan dalam keadaan berdarah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Ahmad Ridhwan berkata pihak klinik kesihatan Telok Panglima Garang yang hadir, mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala, dan unit forensik turut menjumpai lima kelongsong peluru di sekitar tempat kejadian.

    Katanya hasil siasatan polis, mangsa yang berusia 39 tahun itu memiliki 13 rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. 

    Polis giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek dan menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. 

    Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222. 

  • Seleweng RM2.3 bilion dana negara:  bekas menteri kanan, tokoh perniagaan bergelar Tan Sri disiasat SPRM

    Seleweng RM2.3 bilion dana negara: bekas menteri kanan, tokoh perniagaan bergelar Tan Sri disiasat SPRM

    SEORANG bekas menteri kanan dan seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM 2.3 bilion.

    Menurut sumber, siasatan itu dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    BERNAMA melaporkan, sumber berkenaan berkata siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

    “Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

    “Difahamkan, transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan matawang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” menurut sumber itu.

    Sumber itu memaklumkan penyiasatan itu bertumpu kepada transaksi-transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut, pemilikan aset-aset berharga yang dimiliki ahli perniagaan dan bekas menteri kanan itu serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di dalam dan di luar negara.

     “SPRM juga telah merakam keterangan kira-kira 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh ahli perniagaan dan bekas menteri kanan tersebut berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata siasatan bertumpu pada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.

  • Dua maut, 8 cedera bas ekspres terbabas di LPT 2

    Dua maut, 8 cedera bas ekspres terbabas di LPT 2

     SEBUAH bas ekspres terbabas Kilometer 375.4, Lebuh Raya Pantai Timur 2( LPT2), selepas Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Besi, mengakibatkan dua orang terbunuh dan lapan cedera awal pagi ini.

    Mereka yang maut ialah Tan Poh Hwa, 42, dan Choo Chia Tan, 44, masing-masing dari Taman Indah Tampin, Negeri Sembilan.

    Poh Hwa disahkan maut di tempat kejadian sementara Chia Tan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun, kira-kira jam 9.15 pagi.

    Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Bomba negeri Terengganu, Baharum Muhamad Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.20 pagi berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran.

    Katanya, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Al-Muktaffi Billah Shah dan Balai Bomba Kuala Berang bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik anggota kami sampai di tempat kejadian, seorang daripada mangsa yang maut tercampak keluar dari bas terbabit. Seorang lelaki yang dipercayai suami mangsa tersepit di tempat duduk dan kami mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau semua mangsa yang parah dan cedera dikejarkan ke Hospital Dungun dan Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bas persiaran terbabit dalam perjalanan dari Tampin Negeri Sembilan menghala ke Kuala Terengganu.

    Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya kira-kira 50 meter sebelum terbalik ke laluan bertentangan.

    “Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Redang, Kuala Nerus sebelum terbabit dalam kemalangan itu.Pemandu bas persiaran terbabit yang berusia 26 tahun cedera parah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk diberi rawatan lanjut,” katanya.

    Baharudin berkata, semua maklumat mangsa yang cedera serta cedera parah masih belum diperolehi.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Belanja urusan pemakaman Ratu Elizabeth II hampir RM1 bilion

    Belanja urusan pemakaman Ratu Elizabeth II hampir RM1 bilion

    KERAJAAN United Kingdom (UK) membelanjakan hampir £162 juta (RM911 juta) bagi urusan pemakaman Ratu Elizabeth II dan acara sampingan lain sepanjang tempoh berkabung selama 10 hari, kata Kementerian Kewangan.

    Pemakaman negara pada 19 September 2022 itu berlangsung 11 hari selepas kematian baginda. Semasa tempoh berkabung nasional itu, ratusan ribu orang melawat Westminster Abbey, tempat jasad baginda ditempatkan.

    Menurut laporan portal BBC News, daripada jumlah itu, dua kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Kebudayaan, Media dan Sukan menanggung kos yang tinggi.

    Kos yang ditanggung kedua-dua kementerian itu masing-masing ialah sebanyak £74 juta (RM416 juta) dan £57 juta (RM321 juta). Kesemua kos yang ditanggung jabatan kerajaan berkaitan dengan pemakaman mendiang Elizabeth serta acara lain sebelumnya.

    Antaranya, termasuk sepanjang jasad baginda ditempatkan di St Giles Cathedral Edinburg bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

    Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, John Glen, keutamaan kerajaan pada masa itu adalah untuk memastikan acara berkenaan berjalan lancar dan dengan penuh penghormatan, selain memastikan keselamatan orang awam terjaga pada sepanjang masa.

    Dalam kenyataan menteri secara bertulis yang disampaikan kepada Parlimen, Glen berkata, Perbendaharaan UK turut menyediakan pembiayaan tambahan pada saat-saat diperlukan selain menjelaskan ‘sepenuhnya’ perbelanjaan yang dikeluarkan terlebih dulu oleh kerajaan Scotland, Wales dan Ireland Utara.

    Pendedahan kos turut mencetuskan persoalan sama Britain mampu menanggungnya dalam keadaan ekonomi sekarang yang menyaksikan inflasi tertinggi.

    Justeru, tidak kurang yang mempertikaikan perbelanjaan sebegitu besar bagi pamakaman Elizabeth, yang disusuli pula dengan pertabalan Raja Charles III awal bulan ini, ketika sebahagian besar penduduk Britain bergelut untuk meneruskan kehidupan.

    Selepas kemangkatan Elizabeth, 96, di Istana Balmoral, Scotland pada 8 September 2022, kerajaan UK mengumumkan tempoh berkabung kebangsaan selama 10 hari.

    Jasa mendiang Elizabeth bersemayam di St Giles Cathedral Edinburgh selama 24 jam, sebelum dibawa ke Westminster Abbey di London di mana beribu-ribu orang beratur berjam-jam untuk memberi penghormatan.

    Skala pemakaman negara dan tempoh berkabung disifatkan polis sebagai ‘mungkin operasi terbesar yang pernah dilakukan di UK’ pada masa itu.

    Pemimpin-pemimpin dari seluruh dunia dan kerabat diraja asing menyertai keluarga diraja England itu bagi pemakaman negara di Westminster Abbey.

    Acara pemakaman diraja itu turut ditonton oleh jutaan orang di seluruh dunia.

    Ia ada;ah pemakaman negara pertama sejak pengebumian bekas Perdana Menteri, Sir Winston Churchill pada 1965, yang menjadi acara penghormatan terbesar sejak Perang Dunia Kedua. 

  • Sanusi mohon maaf kepada Mahfuz 

    Sanusi mohon maaf kepada Mahfuz 

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini memuat naik kenyataan memohon maaf di laman Facebooknya terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. 

    Permohonan maaf itu dibuat berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 November 2021. 

    Menurut Muhammad Sanusi, pada 30 Julai 2019, beliau telah membuat satu hantaran di laman Facebooknya yang menyentuh mengenai isu perpindahan premis judi syarikat Sports Toto dari Alor Setar ke Pokok Sena. 

    “Saya telah menyatakan bahawa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan kerajaan pemerintah ketika itu telah pudar sensitivitinya kerana perpindahan premis Sports Toto tersebut berlaku ke kawasan majoriti Islam di Kedah, tanpa sebarang halangan hinngga isu tersebut ditimbulkan oleh masyarakat dan saya, empat bulan selepas kelulusan diberikan Kementerian Kewangan. 

    “Atas saman fitnah yang difailkan Mahfuz Omar terhadap saya berkaitan hantaran Facebook tersebut, Mahkamah Tinggi pada 8 November 2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3 April 2023 telah memutuskan bahawa hantaran Facebook tersebut adalah satu kenyataan fitnah terhadap Mahfuz dan saya diperintahkan memohon maaf. 

    “Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyaataan dibuat dalam hantaran Facebook tersebut,” katanya

  • Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan digodam untuk dapatkan wang tebusan?

    Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan digodam untuk dapatkan wang tebusan?

    KEJADIAN siber yang melanda sistem dalam talian Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan Financial Services Authority atau Labuan FSA) pada penghujung bulan lalu dipercayai angkara sekumpulan penggodam yang mahu mendapatkan wang tebusan.

    Menurut sumber, sistem teknologi maklumat Labuan FSA mengandungi data-data sensitif dan sulit berhubung syarikat-syarikat luar pesisir, badan-badan amanah, dan yayasan-yayasan, serta maklumat insurans and perbankan, di samping menyimpan butiran pemegang-pemegang saham, pendana-pendana, pemegang-pemegang amanah, dan benefisiari perbadanan-perbadanan yang berdaftar di tempat berlindung cukai itu.

    Awal hari ini, Labuan FSA mengumumkan ia mengalami gangguan perkhidmatan pada 27 April dan mengambil beberapa langkah segera bagi melindungi sistem daripada akses tanpa kebenaran.

    Sebagai langkah keselamatan, operasi yang terjejas dikendalikan secara luar talian untuk sementara waktu bagi mengelakkan pendedahan kepada lain-lain risiko, dan ia sedang memastikan kesan insiden tersebut terhadap sistem aplikasinya.

    Kejadian itu juga telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

    Labuan FSA selaku badan berkanun bawah Kementerian Kewangan berperanan sebagai badan kawal atur, penyeliaan, dan penguatkuasaan bagi perniagaan-perniagaan antarabangsa dan industri perkhidmatan kewangan di Labuan.

    Sumber di peringkat tertinggi memberitahu FMT bahawa kejadian godam itu dimaklumkan dalam satu mesyuarat antara ketua pengarah FSA dan wakil-wakil para pemegang taruh minggu lepas.

    Sementara itu, seorang pegawai bank di Labuan berkata, kejadian itu menyebabkan bank terpaksa membuat laporan secara manual.

    Gangguan itu juga menyebabkan syarikat-syarikat tidak dapat membuat pendaftaran dengan segera, tambahnya.

    “Syarikat-syarikat asing ini membayar kepada negara cukai kira-kira RM900 juta hingga RM1 bilion. Kelewatan adalah merugikan. Ekonomi Labuan akan terkesan kerana syarikat-syarikat tidak dapat buka perniagaan,” katanya.

    Jurucakap Kementerian Kewangan ketika dihubungi berkata, Labuan FSA mengambil langkah-langkah mengurangkan gangguan ke atas industri perkhidmatan kewangan dan perniagaan.

    FMT sedang mendapatkan komen Ketua Pengarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa.

  • Pas tak amal budaya tawar jawatan – Samsuri

    Pas tak amal budaya tawar jawatan – Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, parti itu tidak mengamalkan budaya menawarkan jawatan kepada mana-mana individu yang ingin menyertai Pas.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, parti itu juga terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin menyertai mereka.

    “Kita (Pas) tidak mengamalkan (menawarkan) apa jawatan (dan) sebenarnya daripada rakan-rakan parti yang lain pun kita tidak menawarkan jawatan itu.

    “Itu spekulasi daripada pihak di luar sana, yang penting ialah kita mengalu-alukan penyertaan dalam kalangan rakyat sama ada berparti atau tidak berparti atau dari parti politik mana sekali pun (sama ada) daripada PH (Pakatan Harapan) atau Barisan Nasional (BN) sendiri yang ingin bersama dengan kita.

    “Kalau boleh menjadi ahli, kalau tidak menjadi ahli, jadi penyokong (dan) kalau tak jadi penyokong jadi pengundi kita dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas negeri Terengganu di Dataran ShahBandar, Kuala Terengganu hari ini.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu kepada Khairy Jamaluddin jika beliau mahu menyertai parti itu.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendedahkan tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.

  • Kaut jutaan ringgit jadi ejen imigresen haram, wanita ditahan

    Kaut jutaan ringgit jadi ejen imigresen haram, wanita ditahan

    SEORANG wanita mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan menawarkan khidmat memperbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) kepada warga asing ditahan dalam Ops Serkap di sebuah kondominium di Taman Melati Utama, Setapak, pagi semalam.

    Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin, berkata siasatan mendapati wanita berumur 48 tahun itu bertindak seolah-olah seperti ejen Jabatan Imigresen (JIM) sejak setahun lalu dengan menawarkan khidmat kepada warga asing dan majikan dengan harga tinggi.

    Bayaran dikenakan adalah bagi pendaftaran RTK membabitkan RM2,500 dan perbaharui PLKS sebanyak RM8,000 walaupun JIM tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk melakukan urusan berkenaan, katanya.

    “Kita menjalankan risikan dan operasi selama sebulan apabila ada majikan membuat laporan mengenai aktiviti wanita terbabit.

    “Siasatan kita mendapati wanita ini menjalankan aktiviti tersebut dengan bantuan daripada rakannya yang dipercayai warga Bangladesh untuk mendapatkan pelanggan dan mengaut keuntungan sehingga jutaan ringgit,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, menerusi serbuan 11 pagi itu, tiga lelaki warga asing berusia 42 hingga 48 tahun yang sedang berurusan dengan wanita terbabit turut ditahan.

    “Kita merampas 314 pasport Bangladesh, sebuah komputer, telefon bimbit, 17 keping kad CIDB dan wang tunai RM61,550,” katanya.

    Syamsul berkata, pihaknya turut menjalankan serbuan di premis pejabat milik wanita berkenaan di Taman Sri Rampai, Setapak pada hari sama tangkapan dibuat, 12.20 tengah hari.

    Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas antaranya 53 pasport Bangladesh, 198 keping kad CIDB, tujuh buku rekod bayaran, lapan fail syarikat dan tiga keping lesen syarikat.

    Beliau berkata, wanita dan tiga lelaki warga asing itu, kini berada dalam tahanan dan kes disiasat mengikut Akta Pasport 1959/63.

  • Kalimah Allah:Teruskan rayuan, beri peluang kepada PM

    Kalimah Allah:Teruskan rayuan, beri peluang kepada PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar meneruskan rayuan isu penggunaan kalimah Allah di Mahkamah Tinggi sehingga selesai sebelum menentukan langkah seterusnya.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sekiranya rayuan kalah sekali lagi dalam kes itu, kerajaan boleh meneruskan rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan keadilan.

    “Namun sekiranya kerajaan akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu nanti dan berhenti setakat itu, kerajaan boleh buat pindaan rang undang-undang ke Parlimen dengan mengambil kira keputusan rayuan tersebut.

    “Kerajaan boleh buat semakan dan buat pindaan undang-undang. Pembetulan undang-undang dibuat di Parlimen selepas kes ini selesai. Kes ini melibatkan undang-undang Perlembagaan.

    “Akhirnya nanti kerajaan akan lihat kepentingan negara secara keseluruhannya dan pinda undang-undang yang ada supaya menjamin kedudukan Islam, orang Islam dan hak-hak asasi masyarakat bukan Islam,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru Peringkat Daerah Johor Bahru di Sekolah Agama Taman Scientex di Pasir Gudang hari ini.

    Hari ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan dan KDN akan mengkaji arahan pentadbiran secara komprehensif berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

    Jelas Saifuddin, langkah itu perlu dilakukan kerana berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dengan keputusan Kabinet pada 1986.

    Semalam, Perdana Menteri berkata, jemaah menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

    Ahad lalu, media melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain – ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

    Mengulas lanjut, Hassan yang juga seorang peguam berkata, tindakan Saifuddin yang menarik balik rayuan tersebut disifatkan tergopoh-gapah sehingga menimbulkan kekecohan serta kegusaran dalam negara.

    Sepatutnya kata beliau, proses rayuan tersebut tidak perlu diganggu dan Kerajaan Perpaduan tidak akan dipersalahkan, perkembangan itu tidak bagus dalam keadaan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    Hassan meminta semua pihak bertenang, menghentikan polimik isu itu dan memberi peluang kepada Perdana Menteri yang akan mempersembahkan cadangan tersebut kepada Majlis Raja-Raja tidak lama lagi.

    “Isu ini besar implikasinya, agama Islam terletak di bawah bidang kuasa raja di peringkat negeri dan Majlis Raja-Raja serta Agong di peringkat Persekutuan. Saya percaya Perdana Menteri menyedari hal ini. Kerajaan boleh belajar daripada ‘episod’ ini,” katanya.

  • Laporan terhadap Hadi: Polis akan panggil pihak terlibat – KPN

    Laporan terhadap Hadi: Polis akan panggil pihak terlibat – KPN

    KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis akan memanggil sesiapa yang terlibat untuk membantu siasatan susulan banyak laporan yang dibuat terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai beberapa isu.

    “Mereka yang dipercayai terlibat akan dipanggil. Itu SOP (prosedur operasi standard) kita dalam menyiasat kes,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi minum petang bersama media di Ibu Pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, lapor Malaysiakini.

    Ini berlaku selepas beberapa laporan dibuat oleh ahli politik daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengenai isu berkaitan dakwaan Hadi terhadap bukan Melayu dan bukan Islam, yang didakwa provokatif dan boleh menggugat kerajaan.

    Terdapat juga laporan dibuat berhubung kenyataan Hadi bahawa Perikatan Nasional (PN) dan blok pembangkang sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.