Category: Semasa

  • Jenazah pendaki Malaysia dibawa turun ke Kathmandu hari ini-Wisma Putra

    Jenazah pendaki Malaysia dibawa turun ke Kathmandu hari ini-Wisma Putra

    USAHA membawa turun jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia Jumaat lepas dari Everest Base Camp ke Kathmandu menggunakan helikopter akan dijalankan hari ini, sekiranya operasi dari Camp 4 itu berjalan lancar mengikut jadual.

    Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi peserta Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang hilang, Muhammad Hawari Hashim sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

    “Usaha SAR udara dijalankan sejak 20 Mei, namun masih tidak berjaya mengesan pendaki berkenaan. Proses mencari dan menyelamat diteruskan di kawasan darat di kawasan lurah-lurah ais, sejak 21 Mei,” menurut kenyataan itu.

    Menurutnya pihak kementerian menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan misi SAR berjalan lancar.

    “Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

  • Kerajaan berhutang RM10 juta dengan YBGK, bila akan dibayar-Takiyuddin

    Kerajaan berhutang RM10 juta dengan YBGK, bila akan dibayar-Takiyuddin

    KERAJAAN berhutang kira-kira RM10 juta dengan peguam yang membantu golongan miskin melalui Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

    Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertanya sama ada peguam membantu golongan miskin bawah Akta Pembelaan Awam yang dicadangkan akan diberi pampasan adil atau pembayaran mereka akan ditangguhkan.

    “Di Malaysia, sudah ada satu skim bantuan guaman Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sejak 2010. Adakah perkhidmatan bawah akta baharu ini tidak akan bertindih dengan fungsi YBGK?

    “Keduanya, adakah kerajaan boleh jamin peruntukan kewangan yang cukup akan disediakan untuk (membayar peguam) apabila akta ini diwujudkan?

    “Dua hari lepas, didedahkan dalam mesyuarat Majlis Peguam, lebih RM10 juta tunggakan YBGK tidak dibayar. (Ini maknanya) peguam-peguam kecil, yang beri tumpuan bela marhaen, tak dapat bayaran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam jawapannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata YBGK ialah sebuah syarikat berhad menurut jaminan dan beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai kelewatan pembayaran daripada yayasan itu.

    Bagaimanapun, katanya, tidak seperti YBGK, akta baharu itu akan memastikan peguam membantu golongan miskin yang didakwa atas kegiatan jenayah akan menerima ‘pampasan yang adil’.

    Mengenai sama ada fungsi YBGK akan bertindih dengan Akta Pembelaan Awam, Azalina berkata, terdapat perkhidmatan bantuan guaman awam yang lain termasuk, jabatan bantuan guaman kerajaan, pusat bantuan guaman Majlis Peguam, YBGK dan klinik guaman dianjurkan oleh universiti awam seperti Universiti Malaya.

    “Saya tak dapat kata apa akan terjadi kepada YBGK, (belum) buat keputusan dasar, sama ada YBGK dimasuk atau diasingkan, saya tak boleh jawab soalan itu lagi,” katanya, lapor FMT.

  • Annuar Musa kukuhkan kedudukan PN di Kelantan menjelang PRN

    Annuar Musa kukuhkan kedudukan PN di Kelantan menjelang PRN

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan melihat tindakan Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa yang memilih Pas sebagai wadah perjuangan mengukuhkan lagi kedudukan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, pengalaman luas Annuar dalam dunia politik dan kerajaan sebelum ini menjadi ‘senjata’ baharu buat PN untuk berdepan gabungan Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) pada PRN nanti.

    “Tahniah!..saya yakin Pas akan mendapat untung yang banyak dengan penyertaan beliau (Annuar) bersama pengikut dan penyokong setianya.

    “Tidak dinafikan Annuar mempunyai ramai kawan dan penyokong dalam UMNO terutama di negeri ini. Ramai pemimpin UMNO Kelantan telah mendapat menafaat semasa beliau menjadi menteri dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Kamarudin memberitahu, beliau yakin ramai rakan sahabat yang terhutang budi dengan Annuar pastinya akan menyokong tindakan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu secara diam atau terbuka.

    “Satu langkah dan pilihan yang tepat selepas sekian lama tidak berparti, beliau memilih parti yang didokong oleh gabungan PN yang sealiran memperjuangkan agenda rakyat,” ujarnya memetik laporan Utusan Malaysia.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, Annuar mengesahkan sudah menghantar borang permohonan menyertai Pas bulan lalu bersama lebih 1,000 ahli UMNO lain.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau memutuskan menyertai Pas selepas lebih enam bulan meneliti secara dekat dan mendalam suasana politik negara mutakhir ini.

  • Johari dakwa ada syarikat tiada ‘track record’ meterai MoU dengan China

    Johari dakwa ada syarikat tiada ‘track record’ meterai MoU dengan China

    DATUK Seri Johari Abdul Ghani mendakwa terdapat beberapa syarikat daripada 19 syarikat Malaysia yang menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat China hasil lawatan Perdana Menteri ke negara itu baru-baru ini, yang tidak mempunyai ‘track record’.

    Membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Titiwangsa dari Barisan Nasional (BN) itu turut mempersoalkan adakah Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melakukan proses tapisan terhadap syarikat-syarikat tersebut.

    “Adakah MITI atau MIDA telah ‘vet through‘ syarikat-syarikat ini sebelum membawa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menyaksikan tandatangan MoU tersebut?

    “Ini kerana, saya nampak, daripada 19 MoU, ada beberapa syarikat tidak mempunyai ‘track record’ untuk kita persembahkan kepada sebuah negara seperti China, yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Dalam masa sama, bekas Menteri Kewangan itu meminta penjelasan daripada MITI mengenai langkah yang akan diambil untuk memastikan komitmen pelaburan dianggarkan berjumlah RM170 bilion itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan.

    “Saya tahu kalau ikut statistik, mana-mana pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa (masuk dalam negara), kita boleh realisasikan sekitar 70 peratus dan ia boleh membantu peluang pekerjaan yang sangat banyak kepada negara,” ujarnya lagi.

    Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Liew Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat bahawa MoU yang ditandatangani akan dipantau oleh jawatankuasa secara khusus.

    Jelas beliau lagi, MIDA juga telah melakukan proses biasa dalam menilai MoU-MoU tersebut.

    “Untuk masa depan sebenarnya, kerajaan dipandu oleh dasar pelaburan baharu atau national investment policy melibatkan lima kriteria.

    “Kriteria tersebut ialah kita menerima pelabur asing atau apa-apa pelaburan pun, ialah untuk meningkatkan kemampanan ekonomi bagi menjana pekerjaan bernilai tinggi atau berpendapatan tinggi.

    “Selain itu, memperluaskan rangkaian domestik dan mewujudkan kluster ekonomi baharu dan meningkatkan keterangkuman. Ini adalah ‘dashboard‘ kita untuk memantau apa yang kita terima,” jawabnya lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Perdana Menteri ketika lawatan rasmi ke China mengumumkan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

    Ia hasil daripada 19 MoU yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China.

    Antara MoU itu ialah perjanjian utama antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd mengenai cadangan usaha sama dalam pembangunan dan pengkomersialan lembah teknologi tinggi automotif di Tanjung Malim, Perak, untuk kenderaan tenaga baharu serta antara Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia dan Dewan Perniagaan China untuk import dan eksport jentera dan produk elektronik.

  • Santiago mohon maaf kepada Zakir Naik

    Santiago mohon maaf kepada Zakir Naik

    BEKAS Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini memohon maaf secara terbuka kepada pendakwah, Dr. Zakir Naik kerana memfitnah melalui kenyataannya pada satu ceramah empat tahun lalu.

    Charles membuat permohonan maaf itu selepas Mahkamah Tinggi mendapati kenyataan beliau dalam ceramah bertajuk ‘Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)’ pada 25 November 2019, memfitnah Zakir.

    Hakim Datuk Akhtar Tahir yang memutuskan demikian, bagaimanapun mengambil maklum daripada mencemarkan imej dan reputasi Zakir (plaintif), kenyataan itu sebenarnya meningkatkan reputasi plaintif sebagai seorang yang berpengaruh di negara ini.

    “Oleh itu mahkamah memutuskan plaintif (Zakir) tidak berhak mendapat sebarang ganti rugi, tetapi oleh kerana kenyataan berkenaan adalah fitnah, mahkamah mengarahkan defendan (Charles) memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang mengaitkan plaintif dengan penahanan dua ahli DAP,” katanya lapor Berita Harian.

    Selesai membaca penghakimannya itu, hakim kemudian memanggil Zakir dan Charles untuk tampil ke hadapan dan mengarahkan Charles meminta maaf secara terbuka kepada Zakir.

    Selepas Charles membuat permohonan maaf, Akhtar kemudian bertanya kepada Zakir sama ada beliau menerima permohonan maaf berkenaan, yang kemudian dijawab, “Ya”.

    Terdahulu, Akhtar berkata, kenyataan fitnah itu diterbitkan dalam portal Free Malaysia Today (FMT) di bawah tajuk ‘Critcism of Zakir Naik may have led to LTTE arrest says MP’, dipetik daripada apa yang diperkata oleh defendan mengenai penahanan dua ahli DAP pada 10 Oktober 2020 menjelang belanjawan dibentangkan di Parlimen.

    Beliau berkata, Charles mencadangkan penahanan itu mungkin sebagai tindak balas terhadap kritikan dan pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap Zakir dan itu satu amaran kepada masyarakat India.

    Katanya, selain daripada hanya menafikan membuat kenyataan itu, mahkamah menyatakan defendan gagal secara efektif dalam mencabar apa yang dinyatakan dalam artikel berkenaan, oleh itu mahkamah membuat kesimpulan bahawa kenyataan itu sememangnya dibuat oleh defendan.

    “Mahkamah selanjutnya mendapati, walaupun defendan menyatakan ia tidak ditujukan kepada plaintif, kenyataan berkenaan adalah serampang dua mata, iaitu satu ditujukan kepada polis dan kerajaan dan satu lagi ditujukan kepada plaintif.

    “Implikasi daripada kenyataan terhadap plaintif itu ialah plaintif mempunyai pengaruh terhadap polis dan kerajaan dalam penahanan dua ahli DAP berkenaan.

    “Walaupun kenyataan itu ungkapan pendapat defendan, ia bersifat spekulatif dan belum disahkan serta tiada sebarang keterangan oleh defendan yang membuktikan kesahihannya. Oleh itu, Mahkamah memutuskan bahawa kenyataan ini memfitnah plaintif.”, katanya.

    Hakim bagaimanapun mendapati kenyataan Charles melalui kenyataan akhbar bertajuk ‘Wednesday Cabinet meeting Must Discuss Zakir Naik’s meddling into Politics’, pada 13 Ogos 2019, tidak memfitnah Zakir.

  • Bidaan nombor plat ‘FF’ berjumlah RM34.2 juta, tertinggi dalam sejarah

    Bidaan nombor plat ‘FF’ berjumlah RM34.2 juta, tertinggi dalam sejarah

    BIDAAN nombor pendaftaran kenderaan bagi siri “FF” catat hasil kutipan tertinggi dalam sejarah sistem bidaan JPJeBid dengan kutipan berjumlah RM34.3 juta.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata 34,032 orang menyertai bidaan itu, yang dibuka dari 14 hingga 19 Mei lepas, dengan 8,348 daripada mereka berjaya mendapatkan nombor plat siri berkenaan.

    Beliau berkata nombor plat yang mendapat bidaan tertinggi adalah FF8 dengan harga RM950,000, diikuti FF9 (RM911,999), FF3 (RM639,000) dan FF2 (RM638,000).

    “Lima nombor yang mendapat minat paling tinggi adalah FF199 dengan seramai 34 pembida, FF51 dengan 32 pembida dan seterusnya FF155, FF555 dan FF1688 dengan masing-masing 29 pembida.

    “Jumlah penglibatan pembida dan pemenang bagi siri FF ini juga merekodkan penyertaan tertinggi sejak aplikasi dalam talian JPJeBid dilancarkan pada 15 April 2019,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur hari ini.

    Loke berkata rebutan pembida begitu memberangsangkan sehingga menyebabkan sistem itu gagal Khamis lepas akibat trafik yang tinggi, memaksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan masa bidaan selama 24 jam.

    Beliau memohon maaf atas kesulitan dan mengakui bahawa terdapat perkara yang perlu ditambah baik bagi memastikan kelancaran sistem itu.

    Menjawab dakwaan bahawa tiga nombor dengan nilai bidaan tertinggi dimenangi oleh seorang individu yang sama seperti yang tular di media sosial, Loke berkata ia tidak menjadi masalah sekiranya benar kerana setiap pembida boleh membida sehingga tiga nombor dalam sesuatu siri.

    “Selagi dia ikut peraturan dan membuat bidaan tertinggi, maka dia dapat (nombor plat). Kita tidak lihat kepada latar belakang pembeli,” katanya.

  • Dua lelaki didakwa bunuh lelaki tegur saiz payudara

    Dua lelaki didakwa bunuh lelaki tegur saiz payudara

    DUA lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengurus sebuah syarikat pada bulan ini.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu A. Deebanahsok, 27, dan Patrick Chu Chee Guan, 36, selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki terbabit secara bersama-sama didapati melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki seorang lelaki, M. Sandrasekeran, 33.

    Kesalahan itu dilakukan di Jalan 3/25 Taman Kenanga di Melaka antara pukul 3.30 pagi hingga 4.30 pagi, 9 Mei lalu.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

    A. Deebanahsok dan Chu Chee Guan diwakili peguam Mathan Anandaram manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya oleh J. Banusha.

    Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat, lapor Sinar Harian.

    Warta Rakyat pada 10 Mei lalu melaporkan gara-gara pertengkaran mulut kerana menegur payudara seorang wanita dipercayai jadi punca seorang pengurus syarikat maut ditikam di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian yang berlaku pukul 4 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun datang ke gerai makan tersebut bersama rakan-rakannya dalam keadaan mabuk kira-kira pukul 2 pagi.

    Menurutnya, selesai makan, mangsa kemudian telah bercakap dengan rakan-rakannya yang menegur saiz payudara seorang wanita yang juga pelanggan di gerai itu.

    Katanya, perbualan mangsa dengan rakannya itu telah didengari oleh pengawal peribadi kepada wanita berusia 26 tahun itu, lalu menegur mangsa dan memberitahu bahawa wanita terbabit merupakan majikannya.

  • Lelaki ditahan e-mel ancaman bom palsu di pusat beli-belah

    Lelaki ditahan e-mel ancaman bom palsu di pusat beli-belah

    SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki membuat ancaman bom palsu melalui e-mel kepada sebuah pusat beli-belah di Ipoh semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tangkapan ke atas warga tempatan berusia 43 tahun pada pukul 11.30 malam di sebuah rumah di Kampar itu turut merampas alat komunikasi digunakan suspek.

    “Siasatan mendapati, suspek mempunyai sejarah penyakit psikiatri dan sedang menerima rawatan di klinik psikiatri Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

    “Saringan awal air kencing telah dilakukan dan suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah.

    Jelas beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

    Menuruntnya, dalam kes itu, pihak pengurusan pusat membeli belah telah menerima e-mel daripada individu tidak dikenali menyatakan terdapat ancaman bom di bangunan berkenaan.

    Katanya, dalam e-mel tersebut turut meminta agar pihak pengurusan meningkatkan langkah-langkah keselamatan.

    “Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bangunan pusat membeli belah itu dan mengesahkan ancaman berkenaan adalah palsu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Zahid perlu utamakan komponen BN, bukan DAP – MCA

    Zahid perlu utamakan komponen BN, bukan DAP – MCA

    MCA mengingatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

    Menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, Ahmad Zahid haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen BN, bukannya PH terutamanya DAP.

    Tegas beliau, kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak, lapor Astro Awani.

    “Ditegaskan juga bahawa apa jua pendirian dan pandangan oleh MCA mestilah dikeluarkan oleh pemimpin MCA, khususnya Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong), bukannya pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kelmarin, Ahmad Zahid dilapor berkata, pengundi UMNO boleh menggunakan konsep sama ketika menyokong dan mengundi calon MCA pada pilihan raya sebelum ini, untuk menyokong calon daripada DAP.

    Jelasnya, atas dasar kebersamaan, kaedah itu boleh digunakan untuk memilih calon dalam parti Kerajaan Perpaduan.

  • Duit ‘hilang’ dalam akaun bank di Johor meningkat 7 kali ganda

    Duit ‘hilang’ dalam akaun bank di Johor meningkat 7 kali ganda

    KES membabitkan kehilangan wang daripada akaun bank di Johor setakat kelmarin meningkat tujuh kali ganda membabitkan 173 kes berbanding 23 dicatatkan tahun lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kes jenayah siber itu membabitkan jumlah kerugian tinggi iaitu RM4.5 juta berbanding RM500,000 dalam tempoh sama.

    “Siasatan mendapati kes wang berkurangan dari akaun bank disebabkan dua faktor utama.

    “Faktor pertama atau modus operandi digunakan ialah mangsa menerima panggilan daripada suspek mengaku sebagai penguat kuasa atau pihak tertentu yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah dan akaun bank mereka akan dibekukan.

    “Suspek kemudian menawarkan untuk membantu mangsa dan meminta mangsa memberikan atau mendedahkan maklumat perbankan yang penting seperti nombor akaun bank, kod pengesahan kad (CVC) atau nilai pengesahan kad (CVV), nama pengguna dan kata laluan serta nombor laluan sekali sahaja (OTP),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Selain itu katanya, modus operandi kedua pula menggunakan helah menarik mangsa untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditemui secara dalam talian dan mangsa diarahkan menekan pautan diberikan bagi tujuan pendaftaran dan membuat pembayaran.

    Beliau berkata, mangsa memasukkan butiran perbankan masing-masing melalui pautan itu tanpa sedar maklumat dihantar kepada pihak tidak sepatutnya.

    Katanya, mangsa menyedari berlaku pengurangan wang dalam akaun bank hanya selepas membuat semakan penyata atau menerima notifikasi daripada bank.

    “Polis menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak berkaitan,” katanya, lapor Harian Metro.