Category: Semasa

  • Status agama:Mahkamah Persekutuan beri kebenaran wanita kemuka rayuan

    Status agama:Mahkamah Persekutuan beri kebenaran wanita kemuka rayuan

    SEORANG wanita berusia 37 tahun mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan status agamanya sebagai orang Islam.

    Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membenarkan permohonan wanita itu untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan selepas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor tidak mengemukakan bantahan.

    Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

    Susulan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan enam isu perundangan pada perbicaraan yang akan ditetapkan tarikhnya kelak.

    Wanita itu telah membangkitkan empat isu perundangan manakala MAIS dan kerajaan negeri masing-masing dibenar mengemukakan satu persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan antaranya sama ada perintah Mahkamah Syariah sah dan bolehkah ia dicabar di Mahkamah Tinggi sivil serta jika Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan terpakai.

    Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengembalikan status Islam wanita itu.

    Pada 21 Dis 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman wanita itu dan mengisytiharkan beliau sebagai bukan Islam.

    Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu yang penganut Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam.

    Dia berkata, ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992.

    Pada tahun berikutnya (1993) ibunya berkahwin dengan seorang lelaki Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

    Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

    Pada 12 Dis 2013, wanita itu telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam.

    Bagaimanapun, pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya dan Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

    Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth mewakili wanita itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda bertindak bagi pihak MAIS manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid hadir bagi pihak kerajaan negeri

  • Polis kesan suspek simbah asid di 10 kedai kenderaan terpakai

    Polis kesan suspek simbah asid di 10 kedai kenderaan terpakai

    POLIS Pulau Pinang sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes menyimbah asid membabitkan 10 buah premis menjual kenderaan terpakai di kawasan Green Lane dan Pulau Tikus.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima 11 laporan berhubung kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku sejak awal bulan ini dengan kejadian terbaru beberapa hari lalu.

    Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan kerosakan kepada beberapa buah kenderaan terpakai yang dijual di premis terlibat.

    ”Usaha mengesan suspek masih dilakukan dan kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kejadian ini dan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan kejadian.

    “Kita tidak menolak kemungkinan kejadian menyimbah asid ini dilakukan suspek yang sama.

    “Jumlah kerugian yang dialami oleh pemilik premis kenderaan terpakai itu juga masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

    Menurut Soffian, berdasarkan siasatan awal, semua pemilik premis menjual kenderaan terpakai itu mendakwa tidak berhutang dengan ah long.

    Malah, ujar beliau, mereka juga mendakwa tidak bermusuh, bergaduh atau berselisih faham dengan mana-mana pihak sehingga premis mereka disimbah asid.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi polis bagi menyalurkan maklumat.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat,” katanya.

  • Lelaki didakwa rogol remaja bawah umur

    Lelaki didakwa rogol remaja bawah umur

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan merogol seorang remaja perempuan bawah umur di Layang-Layang, Kulai, tahun lalu

    Remaja berusia 18 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Noraida Sulaiman.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin.

    Tertuduh pula diwakili peguam, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, suspek ditahan sekitar 6 petang, 15 Mei lalu di sebuah rumah di Kluang.

    Katanya, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut.

    “Polis menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan berumur 56 tahun sekitar 5.59 pagi, 15 Mei lalu memaklumkan dia mendengar anak perempuannya berusia 15 tahun menjerit kesakitan di dalam tandas lebih kurang 1.30 pagi.

    “Pengadu kemudiannya melihat ada janin dalam mangkuk tandas..dia (pengadu) kemudiannya mengambil janin tersebut dan membawa anak perempuannya bersama janin tersebut untuk menerima rawatan.

    “Bedah siasat ke atas janin tersebut dijalankan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dilaporkan usia janin lebih kurang 28 minggu…tiada kecederaan seperti tekanan, paksaan dan kecederaan luaran pada janin berkenaan.

    “Mangsa memberitahu dirogol oleh suspek lelaki warga tempatan yang dikenalinya tanpa kerelaan di belakang rumah mangsa,” katanya.

  • Bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia, polis tahan pengasuh

    Bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia, polis tahan pengasuh

    Polis menahan seorang wanita yang disyaki melakukan pengabaian ketika mengasuh seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, sehingga mengakibatkan bayi itu meninggal dunia, di sekitar Sungai Way di Kuala Lumpur, pada 9 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita berumur 31 tahun itu ditahan di kediamannya di Petaling Jaya pada 5.30 petang, selepas polis menerima laporan daripada bapa bayi itu pukul 3.56 petang, pada hari kejadian.

    “Siasatan diteruskan bagi mengetahui punca kematian bayi berkenaan manakala suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dengan menelefon 03-79662222 bagi membantu siasatan.

  • 3 warga Thailand menangis selepas didenda kerana cuba bawa keluar diesel

    3 warga Thailand menangis selepas didenda kerana cuba bawa keluar diesel

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA lelaki warganegara Thailand tidak dapat menahan sebak sebaik didekati dan dipeluk keluarga masing-masing di luar Mahkamah Sesyen di Alor Setar, setelah setiap mereka didenda RM27,000, RM30,000 dan RM28,000 atas pertuduhan mengisi minyak diesel melebihi kuantiti dibenarkan, untuk dibawa keluar dari negara ini, bulan lalu.

    Hakim, Jean Sharmila Jesudason menjatuhkan hukuman itu terhadap ketiga-tiga tertuduh, Sakda Thaenkeson, 24; Kittisak Thongluean, 36, dan Phanuphong Yava, 23 sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Siam.

    Hakim turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara antara tujuh hingga lapan bulan jika mereka gagal membayar denda ditetapkan itu.

    Selain itu, semua kenderaan yang terlibat dalam kes itu turut diarahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Sakda didakwa mengisi sejumlah 53 liter diesel ke dalam tangki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux manakala tertuduh kedua, Kittisak didakwa mengisi sebanyak 72 liter dalam kenderaan jenis Isuzu Dmax.

    Tertuduh dipeluk ahli keluarga masing-masing di luar Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas hukuman denda dijatuhkan

    Tertuduh ketiga, Phanuphong pula didakwa mengisi diesel berjumlah 61 liter ke dalam kenderaan jenis Chevrolet Colorado.

    Kesemua mereka didakwa berbuat demikian dengan tujuan membawa keluar minyak diesel itu dari Malaysia.

    Jumlah minyak diesel yang diisi dalam ketiga-tiga kenderaan tersebut melebihi kuantiti dibenarkan iaitu 20 liter.

    Tertuduh pertama dan ketiga didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11 pagi, 11 April lalu manakala tertuduh kedua didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 April 2023, kira-kira pukul 11.50 pagi.

    Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Hezrin Abdul Wahab dan Muhamad Saiful Saaidin mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011.

    Hanya tertuduh kedua saja diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli manakala tertuduh pertama dan ketiga tidak diwakili peguam.

  • Kastam rampas 6,990,000 batang rokok seludup di Gua Musang, Tumpat

    Kastam rampas 6,990,000 batang rokok seludup di Gua Musang, Tumpat

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 6,990,000 batang rokok seludup bernilai RM805,200 dalam tiga serbuan berasingan di Gua Musang dan Tumpat, minggu lalu.

    Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan di Gua Musang dilakukan pada hari Khamis lepas, manakala dua rampasan lagi di Tumpat dibuat pada hari Sabtu, dan semua rokok berkenaan melibatkan duti/cukai berjumlah kira-kira RM4.6 juta (RM4,693,920).

    Beliau berkata serbuan di Gua Musang melibatkan rampasan 4,940,000 batang rokok, manakala yang kedua di Tumpat melibatkan 1,250,000 batang rokok, dan rampasan ketiga juga di Tumpat melibatkan 800,000 batang rokok.

    “Anggota operasi turut menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 42 tahun dan merampas tiga lori,” katanya pada sidang media di Wisma JKDM Padang Bongor, di Kota Bharu, hari ini.

    “Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan ialah dengan membawa masuk rokok-rokok seludup itu dari negara jiran melalui jalan laut dan sungai untuk dipasarkan ke luar Kelantan, dan ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

    Katanya jika disabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang dari sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar atau 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

    “Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya.

  • Pengguna media sosial selar penerbit dakwa pawagam sabotaj filem Anwar

    Pengguna media sosial selar penerbit dakwa pawagam sabotaj filem Anwar

    PEMBIKIN dan penerbit Anwar: The Untold Story menerima kritikan hebat di sosial media selepas dakwaan segelintir pihak cuba mensabotaj tayangan filem tentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. 

    Ini susulan kenyataan pihak produksi yang menyatakan selepas berjaya mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation seperti tidak mendapat slot tayangan seperti permintaan ramai.

    Pengguna Facebook menggunakan ruangan komen menolak dakwaan wujud unsur sabotaj terhadap filem itu dengan mengatakan ianya satu petunjuk ia sememangnya tidak mendapat sambutan dalam kalangan penonton.  

    Rata-rata mereka mengatakan tayangan filem yang memaparkan perjalanan politik Anwar sudah pasti mendapat rebutan setiap pawagam sekiranya boleh mendatangkan keuntungan. 

    “Sebenarnya tiada siapa yang mahu diperbodohkan dengan membuang masa menonton filem yang tidak berkualiti dan tangkap muat.

    “Rakyat Malaysia hari ini sudah cerdik dan tahu menilai mana yang terbaik dan lebih menghiburkan,” tulis Wan Zulkifli Abu Bakar di ruangan komen Facebook portal pro Pakatan Harapan (PH) MalaysiaKini. 

    “Rugi jika buka banyak slot pun tapi pawagam kosong.

    “Tauke pawagam nak filem yang boleh mendatangkan keuntungan,” tulis Rusliah Ahmad. 

    Filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu antaranya dibintangi Farid Kamil yang membawa watak Anwar dan pelakom Indonesia, Acha Septriasa sebagai isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail. 

    Filem yang membabitkan kos RM10 juta menjalani penggambaran kebanyakannya di Indonesia.

    Semakan dalam media sosial juga mendapati terdapat komen yang mengandungi kritikan sama dalam Berita Harian Online dengan ramai mencabar pihak produksi membuktikan dakwaan tersebut yang disifatkan tidak adil kepada industri pawagam negara. 

    “Nak ajak protes lagi ke? Kali ni depan TGV dan GSC,” kata Azhar Alfifilani. 

    “Kalau betul tuduhan itu bawa ke muka pengadilan dan gantung lesen. 

    “Jangan cakap sahaja,” tulis Zul Azmi Ali. 

    Sebelum ini MalaysiaNow melaporkan ribuan tiket percuma ditawarkan dalam media sosial untuk menarik orang ramai memenuhi pawagam di seluruh negara bagi menonton filem tersebut yang ditayangkan menjelang pilihan raya di enam negeri tahun ini.

    Menteri Komunikasi dan Digitial, Fahmi Fadzil pernah menyeru orang ramai menonton filem tersebut yang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 18 Mei lalu.

    Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan selepas dipecat daripada pentadbiran kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

  • Bekas ADUN Tambun Tulang meninggal dunia

    Bekas ADUN Tambun Tulang meninggal dunia

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Selayang, Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

    Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Azizan Sulaiman selepas dihubungi sebentar tadi.

    Allahyarham yang berusia 63 tahun adalah adik kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan menjadi ADUN Tambun Tulang dari 2013 hingga 2022.

    Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Parlimen Arau dari 2008 sehingga 2013 dan dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Arau, lapor Harian Metro.

  • Tabung Haji sedia pakar rujuk bantu jemaah haji

    Tabung Haji sedia pakar rujuk bantu jemaah haji

    SEBELUM jemaah haji berangkat ke Tanah Suci, Tabung Haji (TH) telah mengadakan kursus haji bagi memberikan persediaan yang secukupnya kepada tetamu Allah SWT itu.

    Lazimnya kursus haji terbahagi kepada empat bahagian iaitu Kursus Asas Haji (KAH), Kursus Intensif Haji (KIH), Kursus Khas Haji (KKH) dan Kursus Perdana Haji (KPH).

    Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan dari semasa ke semasa akan wujud kekeliruan dalam kalangan jemaah berhubung aspek hukum apabila mereka berada Makkah dan Madinah.

    Bagi mengelakkan jemaah haji bertambah keliru dengan merujuk kepada ‘pakar tidak bertauliah’, TH turut menyediakan pasukan yang pakar dalam sudut agama di Tanah Suci untuk menjawab setiap persoalan yang timbul.

    SINAR HARIAN melaporkan, Pengurus Ibadat dan Ziarah di sektor Madinah, Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman, pihaknya mempunyai lapan pembimbing ibadat yang terdiri daripada empat orang untuk zon satu dan dua, manakala bakinya bertugas bagi menyantuni jemaah bagi urusan ziarah.

    “Kita juga menggalakkan dan meminta semua jemaah haji untuk mendaftar masuk ke dalam portal e-bimbingan sebab portal itu akan membantu jemaah haji untuk memahami persoalan-persoalan hukum berkaitan haji dan umrah sebelum mereka berangkat ke Makkah.

    “Bagi pertanyaan-pertanyaan atau kemusykilan yang dihadapi, mereka boleh merujuk kepada guru-guru agama yang kita sediakan di sini ataupun menggunakan talian ibadat bagi mengajukan pertanyaan,” katanya kepada media Malaysia di Madinah.

    Kata Muhammad Fakhrur Ridzwan lagi, melalui e-Taib platform pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp dan Talian Ibadah Haji (Taib), jemaah boleh menghantar soalan dan akan dijawab oleh pembimbing ibadat.

    “Portal e-Bimbingan konsepnya ialah e-Learning, dalam tu ada kursus yang kita muatkan sebelum ini dan penerangan berkaitan persoalan ibadat haji dan umrah. E-Taib pula medium untuk jemaah mengajukan persoalan atau interaksi antara jemaah dengan pembimbing ibadat haji Tanah Suci yang tidak sempat ditemui secara fizikal,”katanya.

    Mengulas lanjut mengenai e-Taib, beliau berkata, sektor itu diuruskan oleh empat pembimbing ibadat dan beroperasi 24 jam secara bergilir-gilir.

    Menyentuh mengenai soalan lazim yang ditimbulkan jemaah, beliau berkata ia seringkali berkisar mengenai topik bayaran dam (bayaran denda) apabila keguguran rambut dan persoalan (hukum hakam) fiqh wanita yang selalu menjadi persoalan dalam kalangan jemaah wanita.

    Berikutan cuaca panas yang dialami Madinah ketika ini, pihaknya telah merancang ziarah luar pada waktu pagi agar jemaah tidak terdedah kepada suhu ekstrem semasa.

    Beliau berkata, ziarah luar yang akan bermula pada 23 Mei ini akan cuba dipercepatkan perjalanan, namun bergantung kepada keadaan trafik semasa.

    Untuk ziarah dalam ke Raudhah, ia akan diuruskan TH tanpa perlu menggunakan aplikasi Nusuk seperti mana jemaah yang bergerak secara individu.

    Sijil perakuan memasuki Raudhah yang dikeluarkan aplikasi Nusuk.

    Aplikasi Nusuk ialah platform digital bersepadu kerajaan Arab Saudi yang menawarkan perancangan yang mudah digunakan untuk perjalanan jemaah umrah dan pelawat ke Makkah serta Madinah.

    Nusuk dilancarkan Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi untuk menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan di seluruh ekosistem Visit Saudi termasuk memudahkan visa, permit, proses tempahan dan prosedur.

    Nusuk adalah antara inisiatif Program Pengalaman Jemaah Dalam Wawasan 2030 Arab Saudi.

  • Suri rumah sarat mengandung, 2 rakan mengaku salah miliki dadah

    Suri rumah sarat mengandung, 2 rakan mengaku salah miliki dadah

    SEORANG suri rumah yang sarat mengandung lapan bulan dan dua rakannya dijatuhi hukuman penjara masing-masing lima dan tujuh bulan selepas didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah pada Februari lalu.

    Nor Ashyikin Ismail, 34, Muhamad Shah Ahmad, 45, dan Ahmad Kamal Jonet, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, ibu empat anak itu bersama Muhamad Shah dan Ahmad Kamal didakwa memiliki morfin dan heroin seberat 0.97 gram di sebuah rumah di Parit Kadir, Senggarang, dekat Batu Pahat pada pukul 6 petang, 17 Februari lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.

    Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas Nor Ashyikin Ismail dan tujuh bulan terhadap Muhamad Shah dan Ahmad Kamal.

    Bagi pertuduhan kedua pula, Nor Ashyikin dan Muhamad Shah dapati positif Methamphetamine hasil ujian air kencing dijalankan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada pukul 7.50 malam, hari sama.

    Justeru, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman penjara empat bulan. Mahkamah juga memutuskan semua hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh dijalankan serentak dari tarikh ditahan 17 Februari.

    Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan meninggalkan kawasan tanpa kebenaran untuk tempoh dua tahun serta mengarahkannya melaporkan diri di balai polis berdekatan.

    Terdahulu peguam Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan memandangkan anak guamnya sedang hamil serta perlu membesarkan empat lagi anaknya masih kecil.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya.