Category: Semasa

  • Pas tak abai pembangunan, keperluan rakyat, kata Abdul Hadi

    Pas tak abai pembangunan, keperluan rakyat, kata Abdul Hadi

    PENGAMAT politik termasuk para ilmuwan yang meremehkan perjuangan Pas dalam menegakkan Islam, dengan seolah-olah menyatakan parti itu tidak peduli akan masalah keperluan kehidupan rakyat di negeri ditadbir mereka seperti air, barangan keperluan dan rumah kediaman adalah satu anggapan tidak matang berpolitik secara tabii.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihak mereka juga tidak mengambil kira bahawa kerajaan Pas juga gigih berusaha secara politik menurut tabii manusia yang wajib mengurus keperluan kehidupan rakyat.

    Tegas beliau, Pas menghadapi banyak sekatan oleh kerajaan Pusat, bermula dengan Kelantan sejak zaman Perdana Menteri sekarang menjadi Menteri Kewangan sehingga kini.

    “Urusan kewangan yang wajib mengikut Perlembagaan, perjanjian, dan prinsip demokrasi tidak dihormati. Royalti petroleum tidak dinafikan kepada Sarawak dan Sabah, namun dinafikan kepada negeri yang diperintah oleh Pas.

    “Adakah kerana prinsip Islam yang dipegang oleh Pas? Kini, penafian hak ini diikuti pula oleh Terengganu, Kedah, dan Perlis yang dilengah-lengahkan dengan berbagai-bagai dalih bukannya dalil,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, Pas dapat membuktikan prinsip integriti dan tadbir urus beramanah walaupun dengan sumber kewangan yang terhad.

    UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kini bersama DAP pernah memerintah Kelantan pada tahun 1978 hingga 1990 dan ketika itu memiliki kemudahan kewangan namun masalah berkenaan tetap tidak dapat diselesaikan, katanya.

    “Mengapa masalah itu tidak diselesaikan dan terus berkekalan? Apabila Pas mengambil alih pentadbiran, kami diperlakukan dengan begitu banyak sekatan atau birokrasi dilengah-lengahkan.

    “Mereka tidak pula melakukan sedemikian kepada Singapura ketika berada dalam Malaysia dahulu dan terkini, Pulau Pinang. Pas tidak lupa.

    “Apabila Pas mula bertindak pada tahun 1990 dengan membatalkan premis perjudian dan penjualan arak dibenarkan kepada orang bukan Islam sahaja.

    “Dalam keadaan lesennya di bawah Kementerian Kewangan yang menterinya adalah Perdana Menteri terkini yang berslogankan Madani, tetapi beliau tidak membantu dan bertindak sama mengikut Islam,” jelasnya.

    Tambahnya, DAP juga lantang menentang Pas walaupun langkah dan tindakan yang dilakukan oleh pihak mereka berkait dengan penganut Islam sahaja tanpa gangguan terhadap orang bukan Islam.

    Katanya, selain itu apabila Pas bertaawun iaitu tolong-menolong dalam kebaikan dengan UMNO dan mencadangkan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 bagi meminda hukuman sebatan kepada hukum Islam yang bersifat mendidik turut mendapat tentangan beberapa pihak UMNO, DAP, termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Maka, sangat wajar jika UMNO kini bersekongkol dengan DAP membelakangi prinsip perjuangannya.
    Bagaimanapun, Pas akan terus teguh beristiqamah membawa mesej Islam dan menyedari wajib menunaikan kewajipan terhadap segala pembangunan kebendaan tanpa perlu sibuk mengumumkannya.

    “Hal ini demikian kerana, sememangnya pembangunan kebendaan itu ialah perkara tabii yang wajib ditunaikan sekiranya mempunyai sumber kewangan yang mencukupi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Mahkamah benar Crackhouse Comedy Club cabar pembatalan lesen, senarai hitam

    Mahkamah benar Crackhouse Comedy Club cabar pembatalan lesen, senarai hitam

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club meneruskan cabaran mereka untuk mempersoalkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen operasi kelab komedi tersebut.

    Menurut laporan FMT, pada prosiding mahkamah hari ini, Hakim Amarjeet Singh memberikan kebenaran kepada Rizal van Geyzel dan Shankar R Santhiram untuk memulakan semakan kehakiman terhadap DBKL.

    Rizal dan Shankar mahu mahkamah membatalkan keputusan DBKL, yang dibuat pada 30 Julai tahun lepas, untuk membatalkan lesen mereka, serta mengetepikan keputusan yang menyenarai hitam nama mereka daripada mendaftarkan mana-mana perniagaan di bandar ini.

    Mereka mendakwa keputusan itu tidak rasional dan menjejaskan mata pencarian mereka. Kedua-duanya juga memohon deklarasi bahawa keputusan itu bercanggah dengan Perlembagaan.

    Pemilik-pemilik kelab komedi itu diwakili Sangeet Kaur Deo dan Harshaan Zamani selaku peguam.

    Penyenaraian hitam itu berikutan penggantungan lesen kelab komedi itu oleh DBKL pada Julai tahun lepas, susulan klip video tular yang menunjukkan seorang wanita menanggalkan baju kurung yang dipakainya, mendedahkan pakaian di dalamnya, semasa membuat persembahan komedi di kelab itu.

    Wanita itu, Siti Nuramira Abdullah, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lepas selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata dengan niat sengaja menyinggung perasaan orang lain.

    Rizal turut ditahan apabila beberapa video lama menayangkan persembahan komedi berkontroversi timbul semula.

    Dia didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan memuat naik video di platform media sosialnya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

  • Enggan jawab jumlah perbelanjaan penerbangan PM ke luar negara

    Enggan jawab jumlah perbelanjaan penerbangan PM ke luar negara

    KERAJAAN Persekutuan tidak mahu mendedahkan jumlah yang telah dibelanjakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lawatan ke luar negara sejak memegang jawatan Perdana Menteri.

    Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) dalam soalannya meminta Perdana Menteri mendedahkan jumlah yang telah dibelanjakan bagi penggunaan jet peribadi kerajaan dan senarai destinasi berkenaan.

    Dalam jawapan bertulis Armizan Mohd. Ali – menteri yang menjaga hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas) memaklumkan bahawa penggunaan jet peribadi atau pesawat eksekutif kerajaan adalah keistimewaan yang dinikmati oleh setiap Perdana Menteri selaku ketua kerajaan.

    Armizan mendedahkan Anwar telah ke luar negara menggunakan jet eksekutif kerajaan jenis Airbus (ACJ-320) yang di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri sebanyak sembilan kali.

    “Perdana Menteri juga telah 17 kali ke destinasi domestik menggunakan pesawat jenis Global Express dan Falcon di bawah seliaan Tentera Udara Diraja Malaysia.

    “Pesawat tersebut merupakan pesawat rasmi kerajaan di mana ia digunakan atas urusan rasmi atau khas YAB Perdana Menteri.

    “Segala kos yang terlibat dalam penerbangan tersebut adalah dalam anggaran yang bersesuaian dengan perkhidmatan dan pengurusan pesawat berkenaan,” kata Armizan, lapor Malaysiakini.

  • Komponen BN jangan kecil hati jika rasa terpinggir dalam kerajaan, henti fokus isu lama – Zahid

    Komponen BN jangan kecil hati jika rasa terpinggir dalam kerajaan, henti fokus isu lama – Zahid

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) l, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mahu parti komponen BN tidak kecil hati atau seolah-olah terpinggir dalam rangka kerja kerajaan perpaduan sekarang kerana mereka adalah sebahagian daripada gabungan yang lebih besar.

    Zahid, yang juga Presiden UMNO berkata, berbanding fokus kepada ‘isu lama’, parti komponen BN sebaliknya harus berusaha memperbaiki diri dan menarik pengundi.

    “Saya tak mahu yang lain berasa kecil hati apabila kita bekerjasama dalam perkongsian yang bijak. Berikan tanggapan yang bagus (terhadap kita) …..”

    “Parti ahli (BN) mesti kukuhkan diri. Itu lebih penting daripada menumpukan pada perasaan kecil hati dalam parti,” katanya, lapor FMT.

    Zahid berkata demikian sebagai respons kepada gesaan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon agar beliau fokus menjaga rakan gabungan BN selepas Zahid kelihatan menyokong calon DAP untuk PRN akan datang.

  • Majlis Raja-Raja beri kebenaran bersyarat bukan Islam guna kalimah Allah, kata Anwar

    Majlis Raja-Raja beri kebenaran bersyarat bukan Islam guna kalimah Allah, kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Putrajaya tidak merujuk Majlis Raja-Raja sebelum menarik balik rayuan terhadap keputusan mengenai hak seorang wanita Sarawak menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agamanya.

    Jelas beliau, perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, yang kemudian meminta kerajaan memastikan semua harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu, iaitu Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam di Semenanjung, dan kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

    Kerajaan katanya, tetap berpendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam penerbitan oleh orang bukan Islam di Semenanjung, kecuali di Sabah dan Sarawak.

    Justeru katanya, tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan oleh penganut Kristian, tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.

    “Keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu turut telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong.

    “Seri Paduka Baginda memberi pandangan supaya keputusan semua harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran diberikan di Sabah dan Sarawak.

    “Bila keputusan Jemaah Menteri pada 7 Februari memperakukan apa yang disebut oleh Agong, Peguam Negara setelah meneliti kes (Jill Ireland) dan melihat kes ini, khusus dari segi pentadbiran tidak melibatkan Allah kerana keputusan peraturan Kementerian Dalam Negeri, iaitu bersabit dengan dokumen oleh Jill untuk Sarawak.

    “Maka keputusan Peguam Negara adalah untuk tidak membuat rayuan kerana pada pendapat Peguam Negara, yang diterangkan keputusan beliau adalah selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu.

    “Keputusan ini juga sama dengan keputusan yang diubah selama ini terutama pada 1986 dan sebelumnya juga, iaitu keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan arahan pentabiran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

    Idris bertanyakan adakah pihak Kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang begitu besar implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

    Pada 15 Mei, kerajaan dan KDN telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.

    Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, masalah yang wujud ketika ini adalah kerana arahan pentadbiran KDN pada 1986 adalah bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.

    Beliau turut menolak dakwaan bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menerbitkan kalimah Allah dengan sewenang-wenangnya.

    “Saya tak fikir munasabah yang digunakan dan dipolitikkan isu ini. Pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri memperaku keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja Melayu.

    “Kelonggaran diberikan dengan syarat-syarat untuk Sabah dan Sarawak dan ini keputusan yang dibuat menyebabkan tidak ada rayuan dalam kes.

    “Bahkan, hakim itu sebut betul-betul dalam keputusan bahawa ini keputusan pentadbiran dan bukan keputusan ‘theological’,” katanya lagi.

    Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata usaha memperkemaskan percanggahan tersebut sedang dilakukan, di mana Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan supaya kertas cadangan Jemaah Menteri dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Julai ini.

    “Kita akan rujuk kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan akan memberikan beberapa pandangan memperkemaskan peraturan ini supaya keputusan muktamad (penggunaan kalimah Allah) tidak boleh dipakai di Semenanjung tetapi boleh dengan ruang dan syarat tertentu di Sabah dan Sarawak,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Polis Kelantan sedia menghadapi PRN – KP Negeri

    Polis Kelantan sedia menghadapi PRN – KP Negeri

    POLIS Kelantan bersedia untuk menggerakkan anggotanya bagi mengawal keselamatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung bulan depan.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perancangan pihaknya setakat ini adalah mengekalkan kekuatan yang pernah diguna pakai semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Menurut beliau, selain soal keselamatan, bantuan kebajikan di tempat mengundi juga diutamakan.

    “Kita juga bersedia dari sudut pertembungan… ini mungkin melibatkan banyak parti kalau dulu kita hanya dua parti di negeri Kelantan, tapi sekarang dah jadi satu perkembangan baharu, jadi mungkin dengan itu kita kena bersedia dengan lebih hebat dari segi bagaimana kita nak mengawal semasa kempen-kempen misalnya dan pada hari mengundi tu sendiri.

    “Saya rasa Insya-Allah dengan persiapan yang kita buat dengan input-input yang kita ada, yang kita sudah kenal pasti, saya percaya untuk pilihan raya (PRN) ini Kelantan akan dapat mengendalikan atau menentukan keselamatan dengan baik,” jelas beliau, lapor Astro AWANI.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, Polis Kelantan tetap meneruskan penugasan pemantauan keselamatan dengan mengadakan pemeriksaan rutin atau operasi ‘snap check’ secara bergerak seperti biasa meskipun cuaca panas sedang melanda ketika ini.

    Katanya, cuaca panas tidak mempengaruhi penugasan pihaknya malah segala perancangan yang sudah dibuat dilaksanakan seperti biasa mengikuti situasi.

  • Dewan Rakyat: Usaha bawa pulang Jho Low sedang dipercepatkan

    Dewan Rakyat: Usaha bawa pulang Jho Low sedang dipercepatkan

    KERAJAAN sedang melaksanakan pelbagai usaha dan rundingan menerusi saluran diplomatik bagi mempercepat proses membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat Notis Merah Interpol terhadap Jho Low sejak 2018.

    Azalina dalam jawapan bertulis menambah, SPRM sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa luar negara bagi mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan Jho Low.

    “Jho Low telah dituduh secara ‘in absentia’ dengan satu pertuduhan di bawah subseksyen 28(1)(c) dan dibaca bersama Seksyen 23 Akta SPRM 2009 pada 9 Februari 2020 dan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 pada 29 Jun 2019,” katanya dalam kenyataan tersebut, lapor Astro Awani.

    Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis)
    yang meminta menyatakan sama ada kerajaan telah atau akan meminta kerajaan China bagi membawa pulang Jho Low ke negara ini dan bilakah beliau akan dibawa pulang dan syarat-syaratnya.

    Pada 4 Mei lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara bagi mengekstradisi Jho Low.

    Perdana Menteri berkata, memang ada perundingan secara diplomatik berhubung perkara itu dijalankan dengan beberapa negara.

    Sementara, Pada 12 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, memaklumkan, siasatan polus terhadap Jho Low yang terbabit dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) masih berjalan.

  • Menyamar doktor gigi, wanita warga asing didenda RM50,000

    Menyamar doktor gigi, wanita warga asing didenda RM50,000

    SEORANG wanita warga asing didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana menawarkan khidmat pergigian secara haram.

    Harian Metro melaporkan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Norsyakilla Abdullah, 29, semalam selepas didapati bersalah menawarkan khidmat pergigian tanpa berdaftar.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta Pergigian 2018 atas kesalahan di bawah Seksyen 62(1) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 62(3) akta sama yang membawa denda tidak lebih RM300,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, wanita itu ditahan hasil operasi sepasukan pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta Jabatan Kesihatan Johor di sebuah premis di Jalan Kecapi, Taman Perbadanan Islam, Johor Bahru pada 5 Julai 2022.

    Ketika serbuan, tertuduh sedang menjalankan rawatan penskeleran gigi ke atas seorang lelaki.

    Tertuduh bagaimanapun gagal mengemukakan perakuan pendaftaran sebagai pengamal pergigian dengan Majlis Pergigian Malaysia serta perakuan pengamalan tahunan semasa.

    Susulan itu, pegawai merampas beberapa dokumen dan peralatan pergigian yang digunakan.

    Semakan Ibu Pejabat Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta mendapati premis milik tertuduh turut beroperasi tanpa didaftar mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

  • Tawaran Muhyiddin: ’Bukan saya kata ‘no’ tapi perlu masa buat keputusan’’ – KJ

    Tawaran Muhyiddin: ’Bukan saya kata ‘no’ tapi perlu masa buat keputusan’’ – KJ

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar masih memerlukan masa untuk membuat keputusan mengenai tawaran sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi MPT), Bersatu.

    Beliau berkata, bukan mudah untuk membuat keputusan itu kerana bukan niatnya mahu menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    “Bila kita ada peluang kedua untuk memilih parti politik, saya tidak ambil ringan keputusan ini, bukan kerana PRN akan berlangsung bila-bila. Saya nak pilih dengan rela hati bukan nak jadi calon, sebab parti itu mewakili nilai dan pendirian politik saya.

    “Jadi saya perlukan masa, bukan saya kata ‘no’ kepada tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada podcast kali ini tetapi saya nak menjelaskan kepada orang ramai dan juga pendengar yang peduli tentang ini,” katanya pada siri Podcast Keluar Sekejap yang dihoskan Shahril Hamdan hari ini, lapor SINAR HARIAN.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, setiap hari akan ada pandangan dan nasihat berbeza.

    “Walaupun saya ini bekas ahli politik, politik ini sebahagian daripada DNA kami.

    “Saya rasa kalau saya nak bagi jawapan pun, saya akan bagai jawapan ‘face to face’ dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebab saya rasa itu cara yang paling tertib. Kita sebagai orang politik mesti tertib, mesti jumpa orang yang beri tawaran dan bagi jawapan secara ‘face to face’ secara ‘gentleman’.

    “Saya belum lagi dalam keadaan untuk membuat keputusan, ramai yang cakap bagi pihak saya. Penganalisa politik cakap, orang lain cakap begini dan sebagainya. Lokman Noor Adam bagi nasihat kepada saya, terima kasih lah kerana bagi nasihat. Saya akan memikirkan tentang nasihat tersebut sambil saya minum jus lobak,” selorohnya.

    Tegas Khairy lagi, apa yang penting tidak ramai ahli politik yang mempunyai peluang kedua untuk memilih parti tanpa melompat.

    “Ramai yang melompat tapi saya tak lompat, saya dipecat,” katanya.

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu berkata, keputusan mengenai tawaran kepada bekas Menteri Kesihatan itu sudah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu baru-baru ini.

    Muhyiddin berkata, jika Khairy menyertai Bersatu, beliau boleh membantu membina kekuatan parti memandangkan beliau adalah tokoh politik muda yang berkaliber.

  • Pasangan kekasih bawa syabu ditahan selepas terlibat dalam aksi kejar-mengejar dengan polis

    Pasangan kekasih bawa syabu ditahan selepas terlibat dalam aksi kejar-mengejar dengan polis

    SEPASANG kekasih ditahan selepas dikejar polis  di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi, Seksyen 9, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 12.30 tengah hari.

    Beliau berkata, kereta peronda polis telah mengesan sebuah kereta Proton Satria warna coklat yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di sekitar Kajang Utama.

    “Kejadian bermula apabila polis meminta kenderaan tersebut untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun suspek enggan memberhentikan kenderaan.

    “Suspek kemudian memecut laju kenderaan ke Jalan Kajang Utama lalu masuk ke Lebuhraya Sistem Lingkaran- Kajang (SILK) seterusnya menghala ke Plaza Tol Sungai Ramal dan melanggar palang tol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, suspek kemudian melarikan diri lagi dengan memandu secara melulu melalui Lebuhraya SILK dan masuk ke Jalan Ikram, Universiti Tenaga Nasional sebelum berhenti di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi dengan bantuan kereta peronda polis yang lain.

    “Suspek telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan sebelum kenderaan suspek berjaya diberhentikan.

    “Sebanyak lima buah kenderaan telah dikenalpasti terlibat dalam kemalangan termasuk sebuah kereta polis dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa direkodkan,” ujarnya.

    Mohd Zaid berkata, empat anggota polis yang berada di lokasi telah menahan pemandu iaitu seorang wanita Melayu dan penumpang seorang lelaki Melayu masing-masing berusia 26 dan 38 tahun.

    “Kedua-dua suspek telah dibawa ke Balai Polis Bandar Bangi dan pemeriksaan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

    “Pemeriksaan dalam kenderaan suspek turut menemui beberapa hablur kristal seberat 2.1 gram dipercayai syabu,” ujarnya.

    Jelasnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(3) / 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.