Category: Semasa

  • Geng Ayoi aktif curi motosikal tumpas

    Geng Ayoi aktif curi motosikal tumpas

    GENG Ayoi yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal tumpas susulan penahanan tiga lelaki secara berasingan di Setapak dan Gombak pada 12 Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 24 hingga 32 tahun.

    Susulan itu kata Ahmad Sukarno, pihaknya berjaya menjumpai 26 rangka motosikal dan dua enjin bernilai RM100,000 di Sungai Kampung Mulia, Gombak.

    “Kumpulan penjenayah itu disyaki membuang rangka motosikal ke dalam sungai adalah untuk menghapuskan bukti.

    “Hasil semakan nombor casis oleh forensik Polis Diraja Malaysia, pihaknya telah mengenal pasti 10 rangka motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

    “Selebihnya tidak dapat dikenal pasti kerana nombor casis tersebut telah dikacau ganggu,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125z dan Yamaha LC135.

    “Setelah sesebuah motosikal dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan ‘allen key’ yang diubah suai untuk mencuri motosikal terbabit.

    “Kesemua motosikal yang telah dicuri akan dileraikan terlebih dahulu sebelum dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal,” jelasnya.

    Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

    “Kita telah berjaya menyelesaikan 23 kes kecurian motosikal, di mana 19 kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan empat kes di Selangor.

    “Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 3 ditahan termasuk pesara tentera laut, Geng Sasi Navy curi kenderaan tumpas

    3 ditahan termasuk pesara tentera laut, Geng Sasi Navy curi kenderaan tumpas

    TIGA lelaki termasuk seorang pesara Tentera Laut ditahan secara berasingan kerana disyaki terlibat dengan sindiket curi kenderaan di sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan sejak hujung tahun lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, dalang sindiket yang dikenali sebagai Sasi Navy, 40, ditahan di Kampung Gajah, Perak manakala dua lagi rakannya ditahan di Ipoh dan Nilai, Negeri Sembilan pada 13 Mei lalu.

    “Susulan daripada tangkapan itu, kita turut merampas dua buah kenderaan dan peralatan untuk mencuri serta beberapa keping nombor plat pendaftaran palsu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian kenderaan yang dirampas selepas berjaya menumpaskan geng Sasi Navy yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Hasil siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan kenderaan jenis Honda Civic dan Mitsubishi Pajero,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

    Ahmad Sukarno berkata, setelah sesebuah kenderaan itu dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan khas (jammer) untuk membuka kunci kenderaan tersebut.

    Sebahagian daripada peralatan mencuri kenderaan yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan Geng Sasi Navy yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan ketika Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kenderaan yang dicuri itu akan dijual semula dengan harga lebih murah ke Thailand.

    Beliau berkata, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman bermula 14 Mei hingga 18 Mei lalu bagi membantu siasatan.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kini kesemua suspek telah diserah kepada IPD Ipoh bagi membantu siasatan beberapa kes di sana. Susulan daripada penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Penyokong muda UMNO tiada masalah sokong calon DAP – Hairi

    Penyokong muda UMNO tiada masalah sokong calon DAP – Hairi

    PENYOKONG muda UMNO tidak mempunyai masalah mengundi calon DAP pada PRN kerana tidak lagi terikat sentimen “Cina rasis” dimainkan generasi terdahulu kerana golongan itu kini “celik politik”.

    Naib Ketua Pemuda UMNO Hairi Mad Shah, berkata pelbagai sentimen negatif membelenggu generasi lalu dilihat semakin pudar selepas Umno dan DAP bekerjasama.“Untuk orang muda, saya rasa tiada masalah (undi calon DAP). Ini kerana negara sedang berdepan hala tuju dan dunia baharu dalam politik tempatan, ini adalah satu dinamik baharu.

    “Undi memang rahsia, tetapi saya harap anak muda dapat lihat momentum kerajaan hari ini untuk memacu negara ke arah lebih baik. Jadi, biarlah mereka mengundi calon yang tujuannya untuk mengukuhkan kerajaan perpaduan.

    “Sentimen yang dimainkan generasi terdahulu seperti ‘Melayu rasis, Cina rasis’ itu sudah hilang selepas kita bekerjasama. Kini, masing-masing dilihat memahami satu sama lain, isu kecil tidak perlu diperbesarkan,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, generasi muda termasuk penyokong UMNO kini berdepan dinamik politik baharu berikutan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

    Beliau yang juga Exco Belia dan Sukan Johor berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Ahmad Maslan, yang menggesa penyokong UMNO mengundi calon DAP menjelang PRN.

    Hairi berkata, parti pembangkang juga tidak perlu menjadikan isu terbabit sebagai “isu politik”.

    “Kini, semua parti politik sudah pernah bekerjasama. Dahulu, Bersatu dan Pas sendiri bekerjasama dengan DAP, ketika itu UMNO tidak cakap apa-apa.

    “Hari ini, Bersatu dan Pas bercakap tentang UMNO dan DAP pula, sedangkan dahulu mereka sendiri pernah bekerjasama. Jadi, bermaksud tiada halangan untuk BN dan PH bekerjasama,” katanya.

  • Tipu pakej Umrah: PDRM terima lebih 100 laporan sejak Januari

    Tipu pakej Umrah: PDRM terima lebih 100 laporan sejak Januari

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima 105 laporan di seluruh negara sejak Januari tahun ini berhubung penipuan pakej umrah yang ditawarkan oleh sebuah syarikat.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata sehingga kini, polis sudah membuka enam kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan mempunyai lesen perniagaan yang sah. Jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM3,932,440.68,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hari ini, media melaporkan syarikat umrah berkenaan sedang mengemas kini jadual umrah dan membuat pembayaran balik kepada bakal jemaah yang terjejas penerbangan mereka.

  • Ahli Parlimen PN cadang golongan LGBT dikategori pesakit mental

    Ahli Parlimen PN cadang golongan LGBT dikategori pesakit mental

    ISU berkaitan kesihatan mental tidak seharusnya dijadikan modal politik, terutamanya sebagai alat untuk mengaib dan mempersendakan mana-mana pihak, kata Chiew Choon Man (PH-Miri).

    Beliau memberi peringatan itu susulan kenyataan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang mencadangkan kepada kerajaan supaya kumpulan Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT) dikategori sebagai pesakit mental.

    Jamaluddin mengemukakan cadangan itu ketika mencelah ucapan Halimah Ali (PN-Kapar) semasa perbahasan Rang Undang-undang Akta Kesihatan Mental (pindaan 2023) di Dewan Rakyat.

    Halimah kemudian bersetuju dengan cadangan yang disuarakan Jamaludin itu dan bersetuju ia dijadikan sebagai sebahagian daripada ucapannya.

    Bagaimanapun, Chiew membidas cadangan tidak berasas Jamaluddin, dengan menegaskan bahawa adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak dilabelkan sebagai pesakit mental tanpa asas perubatan atau pandangan daripada pakar perubatan.

    “Saya berharap semua ahli parlimen di dewan ini harus hormati setiap individu yang ada dalam atau luar dewan ini.

    “Isu kesihatan mental tidak patut dijadikan satu alat untuk tujuan mempersenda atau mengaibkan sesiapa atau mana-mana pihak.

    “Isu kesihatan mental adalah satu su kesihatan yang harus ditangani secara serius dan profesional oleh semua.

    “Oleh itu, saya dengan ini, menyangkal kenyataan Pasir Salak dalam perbahasan Kapar tadi yang menyatakan LGBT harus dimasukkan dalam masalah kesihatan mental,” katanya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ramkarpal Singh membentangkan RUU pindaan itu untuk bacaan kali kedua.

    Menurut kepada Seksyen 309 Kanun Keseksaan, pegawai yang menangkap orang di bawah subseksyen (1) hendaklah dengan seberapa segera yang praktik, tetapi tidak lewat daripada 24 jam selepas penangkapan itu, membawa orang berkenaan kepada pegawai perubatan di hospital psikiatri kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar di hospital psikiatri swasta yang diwarta untuk pemeriksaan.

    Ini bertujuan untuk menyahjenayahkan cubaan membunuh diri.

  • Hapus monopoli: Kenapa DNB saja jadi sasaran – Wan Saiful

    Hapus monopoli: Kenapa DNB saja jadi sasaran – Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyatakan keraguan berhubung usaha kerajaan menghapuskan monopoli yang didakwa hanya memfokuskan sektor terpilih sahaja.

    Menurut beliau, kerajaan mungkin mempunyai agenda tersembunyi setelah memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian, yang akan menamatkan monopoli Digital Nasional Berhad (DNB).

    “Kalau betul-betul nak hapuskan monopoli, kenapa DNB sahaja menjadi fokus kerajaan, sedangkan banyak lagi monopoli yang langsung tidak disentuh.

    “Saya bagi contoh elektrik, air, lebuh raya dan Kementerian Pendidikan menjalankan sekolah amanah juga dimonopoli oleh satu syarikat sahaja.

    “Kenapa ada tindakan terpilih sahaja jika betul nak hapuskan monopoli. Adakah benar kerajaan ini betul-betul nak hapuskan monopoli atau ada agenda tersembunyi untuk memperkayakan taikun-taikun dan kroni-kroni tertentu dengan pemberian kontrak yang besar nilainya,” katanya kepada pemberita dalam sidang mediadi lobi Parlimen, hari ini.

    Terdahulu, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Wan Saiful bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apakah jaminan kerajaan apabila DNB diserahkan kepada syarikat swasta kelak, kerajaan boleh mendapatkan penilaian seperti laporan yang pernah dikeluarkan oleh Maybank IB.

    Wan Saiful juga mendakwa jawapan Anwar bahawa DNB digantikan dengan dua entiti yang akan diwujudkan yang akan beroperasi sebagai secara borong dan runcit kemungkinan tidak akan menghapuskan monopoli seperti yang dinyatakan oleh kerajaan.

    “Bagi saya, ini satu jawapan yang signifikan kerana ia menjelaskan betapa model baru yang akan diwujudkan nanti tidak akan menghapuskan monopoli seperti yang dinyatakan oleh kerajaan.

    “Sebenarnya apa yang sedang berlaku adalah banyak pembekal bagi 3G dan 4G, tetapi apabila wujudnya 5G nanti, model yang digunakan hanya ada dua syarikat sahaja yang akan membolot borong dan runcit seperti dikatakan oleh PM.

    “Kalau ini berlaku dan maka sebenarnya apa yang dilakukan oleh kerajaan bukan menambah persaingan dalam pasaran. Apa yang dilakukan adalah mengurangkan persaingan di pasaran dan ini biasanya akan memberikan kesan negatif kepada pengguna,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB telah mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata mesyuarat Kabinet pada 3 Mei yang dipengerusikan Anwar bersetuju bahawa pelaksanaan 5G di bawah rangkaian tunggal akan diteruskan sehingga akhir 2023 apabila liputan dijangka mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk.

    Fahmi berkata, peralihan kepada model dwirangkaian itu akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.

  • Saudi bakal tangkap jemaah tanpa visa haji mulai 19 Jun depan

    Saudi bakal tangkap jemaah tanpa visa haji mulai 19 Jun depan

    JEMAAH warga Malaysia yang ketika ini sedang menunaikan umrah di Mekah dinasihatkan supaya keluar dari Tanah Suci itu selewat-lewatnya pada 18 Jun depan.

    Demikian nasihat ‘mesra’ yang disampaikan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi ciapan dalam laman sosial rasmi Twitternya mengenai perkara tersebut yang turut memberikan amaran bahawa pemegang visa umrah tidak dibenarkan menunaikan haji pada bulan depan.

    “Tarikh terakhir ketibaan jemaah dengan visa umrah ialah pada 4 Jun, manakala tarikh terakhir mereka perlu keluar ialah 18 Jun sebagai merujuk para jemaah yang datang ke Tanah Suci dengan menggunakan pakej umrah selama 15 hari 13 malam.”

    Susulan peringatan tersebut, tarikh terakhir penerbangan yang boleh membawa lagi bakal jemaah umrah dari luar negara ialah 3 Jun depan sebelum sempadan Arab Saudi ditutup.

    Situasi berkenaan akan menyaksikan hanya penerbangan yang mengangkut jemaah haji dibenarkan masuk ke negara tersebut selain menerusi pintu sempadan darat Arab Saudi.

    Selepas 18 Jun, pihak berkuasa Arab Saudi dijangka melakukan operasi besar-besaran bagi mengesan jemaah tidak memiliki visa haji di setiap bilik hotel yang terdapat di Mekah.

    Mereka yang didapati memegang visa umrah akan ditahan kerana dianggap menyelinap untuk tinggal lebih masa tanpa permit di kota suci itu bagi mengerjakan ibadah haji pula.

    Sekatan jalan raya juga akan dilakukan di semua laluan masuk ke Mekah dan kenderaan yang membawa jemaah tanpa visa haji akan diusir keluar atau diarahkan berpatah balik.

    Musim haji tahun ini dijadualkan mulai 18 Jun sehingga 18 Julai depan dan dalam tempoh itu, sesiapa yang tiada visa haji akan dianggap sebagai kes pendatang asing tanpa izin.

    Individu luar disabitkan bersalah oleh mahkamah Arab Saudi boleh dikenakan hukuman denda 50,000 riyal, penjara enam bulan dan diharamkan 10 tahun memasuki negara itu.

    Amaran tersebut juga selaras dengan peringatan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 13 Mei lalu agar umat Islam negara ini tidak menyalahgunakan visa umrah dan tidak mengeksploitasi visa pelancong bagi berada di Mekah sepanjang musim haji, lapor Utusan Malaysia.

  • Sindiket curi susu formula, suami isteri dihukum penjara 12 bulan

    Sindiket curi susu formula, suami isteri dihukum penjara 12 bulan

    SEPASANG suami isteri yang merupakan sindiket curi susu formula bayi dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

    Tertuduh Mohd. Azlee Ibrahim, 39, dan Noor Bayah Ab. Manaf, 31, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan.

    Perbuatan itu dilakukan di Pasar Raya AEON Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, di Melaka antara pukul 5 petang hingga 7.45 malam 13 Februari lalu.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu pasangan suami isteri yang diwakili peguam Muhammad Izzudiin Ab. Malek merayu hukuman ringan diberikan memandangkan tertuduh lelaki hanya bekerja di kedai cenderamata selain pasangan itu menanggung empat anak yang masih kecil dan isterinya juga sedang hamil tiga bulan.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan pasangan itu bukan mencuri susu berkenaan kerana terdesak atau kesempitan wang.

    Sebaliknya ia sudah menjadi kebiasaan memandangkan modus operandi mereka adalah mencuri dan menjual kepada individu lain.

    Mazana pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara selama 12 bulan daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Februari 2023 lalu lapor Astro Awani.

  • Mayat terbakar ditemukan dalam kebun kelapa sawit

    Mayat terbakar ditemukan dalam kebun kelapa sawit

    MAYAT tanpa identiti ditemui terbakar di tepi kebun di zon kelapa sawit berhampiran kandang lembu di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, hari ini.

    Penemuan mayat tersebut disedari orang awam yang ternampak asap dalam semak ketika melalui kawasan berhampiran pada pukul 7 pagi.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, polis yang menerima maklumat terbabit bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

    “Kita masih menjalankan siasatan awal berhubung penemuan mayat berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

    Sehubungan itu, beliau berkata, orang awam dinasihatkan membuat laporan polis sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang hilang atau tidak pulang ke rumah.

    “Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi membantu siasatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Tegas beliau, semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian berhubung motif kejadian terbabit dan orang awam juga diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi kerana motif sebenar kejadian belum dapat dipastikan.

  • Pekerja penyelenggara didenda RM6,000 miliki 169 gambar video lucah

    Pekerja penyelenggara didenda RM6,000 miliki 169 gambar video lucah

    PEKERJA peenyelenggaraan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini kerana memiliki 169 gambar dan video lucah dalam telefon bimbitnya, tahun lepas.

    Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu ke atas Mazlan Firdani Marzuki, 30, yang mengaku bersalah memiliki 92 kandungan gambar lucah dan 77 kandungan video lucah dalam telefon bimbitnya di sebuah rumah di Taman Ampang Indah, Ampang Jaya di Ampang pada 10.45 pagi, 20 April tahun lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda berkenaan.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa Nur Nazhzilah Mohammad Hashim dari Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MCMC) memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

    Peguam Ernie Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Mazlan Firdani memohon hukuman paling minimum atas alasan tertuduh merupakan bapa tiga anak serta penanggung utama keluarga.

    “Anak-anak tertuduh berusia setahun hingga 14 tahun. Sepanjang siasatan dijalankan, tertuduh telah memberi kerjasama yang baik dalam kes ini. Anak guam saya juga memohon maaf selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama,” kata peguam itu.