Category: Semasa

  • Warga emas, remaja ditemukan lemas ketika memancing

    Warga emas, remaja ditemukan lemas ketika memancing

    DUA lelaki ditemukan lemas ketika memancing di Sungai Simen, Jalan Rantau Ladang Kombok di Seremban, semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1 Mohd Syazwan Saidy berkata mangsa dikenali sebagai A. Vijay, 16, yang beralamat di Ladang Kombok dan kenalannya G. Chantiran, 60, beralamat di Taman Bukit Merbok Ria, Rasah.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.07 malam sebelum 10 anggota dari balai Rantau dengan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi.

    “Mayat remaja berkenaan ditemukan abangnya berusia lingkungan 20-an pada 7.15 malam, dia sebelum itu mencari mangsa di kawasan sungai tersebut selepas dia tidak pulang ke rumah sejak petang.

    “Abangnya mendapati hanya keperluan peribadi kedua-dua mangsa sahaja berada berhampiran sungai itu. Dia cuba menghubungi adiknya dan terdengar deringan telefon di tebing sungai sebelum secara tiba-tiba ternampak jala di permukaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Syazwan berkata abang mangsa kemudian menarik jala tersebut dan mendapati Vijay dalam keadaan terbelit namun adiknya itu sudah tidak bernyawa.

    Beliau berkata mayat warga emas itu pula ditemukan oleh PPDA di dasar sungai kira-kira 11 malam iaitu dengan jarak 10 meter dari tebing.

    Beliau berkata anak mangsa C. Sivam, 36, sebelum itu turut mencari ayahnya di lokasi tersebut namun tidak menemukan mangsa.

    Katanya, mayat kedua-dua lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk tujuan bedah siasat.

  • Datuk K beri keterangan kes Ahmad Zahid

    Datuk K beri keterangan kes Ahmad Zahid

    SUAMI penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa hadir di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan bagi pihak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

    Khalid yang lebih dikenali sebagai Datuk K, hadir dengan memakai kot berwarna hitam bersama seorang lagi individu.

    Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, lapor Sinar Harian.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di Kuala Lumpur di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

    Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

  • Amirudin angkat sumpah MB Selangor pagi ini

    Amirudin angkat sumpah MB Selangor pagi ini

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor ke-17 pagi ini.

    Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah Klang bermula pukul 11 pagi.

    Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji pagi ini turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan pembesar-pembesar negeri.

    Amirudin yang dilantik bagi penggal kedua sebagai Menteri Besar turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

    Antara kandungan Aku Janji tersebut adalah memelihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam, memelihara institusi raja dari dicaci serta diganggu dan mematuhi arahan sultan.

    Selain itu, Amirudin turut berikrar bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain, melaksanakan tugas dengan penuh intergriti serta tanggungjawab.

    Beliau turut berikrar untuk mendahulukan rakyat, memastikan kemakmuran negeri itu di tahap tertinggi, memelihara jawatan yang diamanahkan dari dicemari tindakan menyalahi undang-undang dan memelihara perpaduan, lapor Sinar Harian.

  • Kerajaan digesa nyahklasifikasi perjanjian maritim dengan Indonesia, ketika kebimbangan Ambalat memuncak

    Kerajaan digesa nyahklasifikasi perjanjian maritim dengan Indonesia, ketika kebimbangan Ambalat memuncak

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee menggesa kerajaan menyahklasifikasi perjanjian maritim yang ditandatangani dengan Indonesia pada Jun, bagi meredakan kebimbangan berikutan penafian Putrajaya bahawa perjanjian itu melibatkan blok Ambalat di luar pantai Sabah. 

    Dalam satu kenyataan, beliau berkata, penyahklasifikasian perjanjian itu bukan sahaja menjawab persoalan sejauh mana Triti Laut Sulawesi tidak melibatkan blok Ambalat, tetapi juga akan menghentikan spekulasi mengenai sempadan maritim antara kedua-dua negara itu di Laut Sulawesi.

    “Blok ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 km persegi di tengah-tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama maka ianya tidak boleh digadai sama sekali,” katanya. 

    Tambah beliau, pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baru untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia, yang menurut mereka Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu, terutamanya melibatkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia.

    “Jadi tentu sekali penting untuk didedahkan apa yang dimeterai dalam perjanjian itu supaya spekulasi tidak berpanjangan dan sebagai bukti jelas perjanjian berkenaan tidak langsung melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau Ambalat.

    “Tindakan segera untuk nyahklasifikasikan kandungan perjanjian ini adalah penting untuk memastikan isu ini tidak berpanjangan.

    “Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan isu Ambalat secara terbuka dan tuntas bagi menangani prasangka, keraguan serta kebimbangan rakyat Malaysia, khususnya di kalangan rakyat Sabah.”

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo menandatangani beberapa perjanjian pada 8 Jun, termasuk mengenai persempadanan laut wilayah di Laut Sulawesi dan Selat Melaka, di tengah-tengah keraguan daripada pakar maritim mengenai cadangan untuk menyelesaikan pertikaian itu. 

    Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin sebelum ini menolak dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, Assaffal Alian bahawa Malaysia menyerahkan tuntutannya kepada Indonesia.

    Alamin berkata, perjanjian maritim baru-baru ini, yang dipuji oleh kedua-dua pemimpin sebagai menamatkan pertikaian selama 18 tahun, tidak ada kaitan dengan blok Ambalat atau mana-mana kawasan lain yang lebih 200 batu nautika dari ZEE.

    “Kami juga belum berunding mengenai apa-apa yang berkaitan dengan sempadan Ambalat,” katanya pada 15 Ogos, lapor MalaysiaNow.

    Laporan eksklusif CNBC bulan lalu bagaimanapun berkata, Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam meneroka sumber minyak dan gas di blok Ambalat.

  • 10 termasuk tujuh Exco baharu Kedah angkat sumpah

    10 termasuk tujuh Exco baharu Kedah angkat sumpah

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri Kedah mengekalkan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada penggal lalu untuk digabungkan bersama tujuh Exco baharu bagi penggal ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kali ini.

    Majlis pelantikan dan angkat sumpah 10 Exco Kedah itu berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada pukul 10 pagi ini.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengekalkan portfolio Perancang Negeri; Hasil Bumi; Kewangan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) selain turut bertanggungjawab bagi portfolio Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains; Majlis Tindakan Ekonomi Negeri; Pembangunan Kedah 2035 dan Kerjasama Luar.

    Komposisi pelantikan Exco tersebut menyaksikan kombinasi enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan tiga ADUN mewakili Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) serta seorang wakil rakyat daripada Gerakan.

    Exco yang dikekalkan adalah Datuk Siti Ashah Ghazali (Pas) yang masih menggalas portfolio Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan yang disandangnya penggal lalu sementara Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Bersatu) mengambil alih portfolio Perpaduan disamping kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

    ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria (Pas) yang sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air turut mengekalkan portfolio sama, selain tambahan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar.

    Sementara itu, tujuh Exco baharu yang dilantik masing-masing empat mewakili Pas, Bersatu (dua) dan seorang Gerakan termasuk legenda bola sepak Kedah era 1990-an, Muhammad Radhi Mat Din (Pas) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan.

    Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat yang mempertahankan DUN Sungai Limau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, manakala ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria juga daripada Pas diberi tanggungjawab bagi portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan.

    Seorang lagi wakil rakyat Pas yang juga ADUN Jitra, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah mengetuai portfolio Industri dan Pelaburan; Sains, Teknologi dan Inovasi. Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu juga dipertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi.

    Dalam pada itu, wakil Bersatu, Dzowahir Ab. Ghani dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, sementara Datuk Salleh Saidin mengangkat sumpah Exco bagi portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan.

    Wakil tunggal Gerakan yang menang di DUN Kulim pada pilihan raya negeri (PRN) Kedah lalu, Wong Chia Zhen dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

  • Tentang Pas, kurang cenderung sokong perjuangan Islam, kata Nik Bahrum

    Tentang Pas, kurang cenderung sokong perjuangan Islam, kata Nik Bahrum

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah tampil mempertahankan Menteri Besarnya yang terpalit dengan kontroversi selepas mendakwa dua ADUN pembangkang sebagai ‘menentang perjuangan Islam.

    Menurutnya semua orang tahu Pas sejak awal penubuhan memperjuangkan nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya.

    “Bila Pas menang, Pas berusaha melaksanakan Islam. Judi, riba, undang-undang, arak (sekadar beberapa perkara).

    “Tentu sekali yang menentang Pas, boleh ditebak kurang cenderung menyokong hasrat perjuangan Islam oleh Pas, sebab itu mereka pilih arah berbeza,” katanya dalam tulisan dalam Facebook miliknya semalam.

    ADUN Pas yang baru memenangi pilihan raya negeri (PRN) Kelantan 12 Ogos lalu itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim yang menuntut permohonan maaf daripada Menteri Besar Kelantan Mohd. Nassuruddin Daud.

    Ini susulan kenyataan Nassuruddin dalam ucapan dalam kuliah di Medan Ilmu, Kota BHaru, Jumaat lalu yang mendakwa dua ADUN berkenaan menentang perjuangan Islam.

    Pun begitu, Nassuruddin menegaskan beliau tidak akan memohon maaf dan akan meneliti notis tuntutan daripada ADUN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu.

    Sementara itu tegas Nik Bahrum, kedua-dua wakil rakyat daripada BN dan PH itu tetap Islam daripasa segi akidah.

    “Adapun dari segi akidah, mereka tetap Islam.

    “Sepatutnya apabila mereka Islam, mereka kena sokong perjuangan Islam,” katanya yang juga seorang peguam, lapor Malaysiakini.

  • 8 wanita warga asing ditahan terlibat aktiviti persundalan

    8 wanita warga asing ditahan terlibat aktiviti persundalan

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai lapan wanita warga asing termasuk seorang penjawat awam dari negara jiran kerana disyaki menjalankan aktiviti pelacuran dalam serbuan di beberapa hotel bajet dan rumah tumpangan di sekitar Georgetown, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi bermula pukul 6 petang hingga 10 malam itu, kesemua suspek ditahan menerusi tujuh serbuan yang dijalankan di premis hotel bajet, rumah tumpangan dan apartment.

    Ujar beliau, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 47 tahun dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,200 dan beberapa peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti tersebut dalam operasi berkenaan.

    ”Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka yang ditahan masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

    ”Mereka mencari pelanggan menggunakan aplikasi WeChat dan mengenakan bayaran sebanyak RM150 hingga RM250,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Soffian, kesemua tangkapan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan ditempatkan di lokap berpusat Bayan Baru untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan atas kesalahan melacur.

    ”Kes turut disiasat di bawah Seksyen
    15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan pas lasatan telah tamat tempoh dan Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1959 atas kesalahan salah guna pas lawatan sosial,” kataya.

    Menurut beliau, lanjutan daripada operasi itu, terdapat laporan media yang menyatakan salah seorang tangkapan merupakan isteri kepada seorang penjawat awam di negara jiran.

    Jelas beliau, hasil siasatan mendapati salah seorang tangkapan mengaku merupakan penjawat awam di negara jiran.

    ”Dia mendakwa datang ke negara ini untuk menjalankan aktiviti persundalan bagi memperoleh pendapatan tambahan,” katanya.

    Tambah Soffian, polis sedang dalam proses mendapatkan pengesahan berkaitan maklumat tersebut daripada pihak kedutaan negara terbabit.

    Dalam pada itu, beliau menasihati mana-mana pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak benar tentang operasi yang dijalankan.

  • Mahkamah Rayuan arah Guan Eng bayar RM250,000 kepada Azeez

    Mahkamah Rayuan arah Guan Eng bayar RM250,000 kepada Azeez

    MAHKAMAH Rayuan memerintahkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk membayar RNM250,000 kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung saman fitnah.

    Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Azizah Nawawi dan dianggotai bersama oleh Mariana Yahya dan Azimah Omar turut mengarahkan Lim membayar kos RM70,000 kepada Azeez.

    Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020, yang menolak saman fitnahnya terhadap Lim, yang juga bekas Menteri Kewangan, berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, lapor Malaysiakini.

    Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018, mendakwa Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Februari 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.

    Beliau meminta ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Ketika membacakan keputusan bagi pihak panel rayuan hari ini, Azimah memutuskan bahawa mahkamah tinggi telah terkhilaf dalam membenarkan pembelaan Lim bagi justifikasi, ulasan yang adil dan keistimewaan yang layak ke atas kenyataannya berhubung Azeez.

  • ‘’Kalau mahu satukan rakyat, pilih tema bersifat tengah’’ – tegas Ahmad Fadhli

    ‘’Kalau mahu satukan rakyat, pilih tema bersifat tengah’’ – tegas Ahmad Fadhli

    CADANGAN Pemuda Perikatan Nasional (PN) berhubung penggunaan logo dan tema alternatif itu lahir apabila melihat kerajaan pusat telah mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan yang secara terang-terangan berbaur politik kepartian.

    Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia berikutan tema Hari Kebangsaan yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ mempunyai perkataan yang diulang-ulang semasa kempen politik.

    “Sudah jelas sekali perkataan Madani, perpaduan dan juga harapan adalah perkataan yang diulang-ulang semasa kempen politik terutamanya dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lepas.

    “Walaupun perkataan itu satu perkataan yang baik tetapi ia telah dipolitikkan dalam kempen politik kepartian. Justeru, kalau hendak satukan rakyat di bawah satu tema, pilih tema yang lebih bersifat tengah,” katanya menerusi perkongsian video di siaran Facebook, lapor Sinar Harian.

    Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi memberi respon mengenai kenyataan Ahmad Fadhli berhubung isu berkenaan dengan berkata, bahawa perkara patriotik seperti berkaitan logo dan tema Hari Kebangsaan tidak harus dipolitikkan.

    Media melaporkan Ahmad Fadhli berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN pada Sabtu iaitu “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo dengan elemen bunga raya.

    Pada Mei lepas, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 ialah “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

     Ahmad Fadhli berkata,, tema dan logo yang diperkenalkan oleh PN lebih bersifat tengah dan tidak merangkumi perkataan yang diulang-ulang semasa kempen.

    “Kami tidak mencadangkan menggunakan perkataan ‘bersih’ atau ‘stabil’ walaupun kedua-dua itu adalah perkataan yang baik tetapi itu telah kami gunakan di dalam kempen pilihan rakyat.

    “Jadi, kalau nak satukan rakyat, pilih perkataan yang lebih bersifat tengah supaya semua rakyat di pelbagai fahaman politik boleh menerima. Kalau nak memperkenalkan slogan politik, ya kami akan memperkenalkan tema alternatif,” tegasnya