Category: Semasa

  • Polis tahan lelaki warga emas lepas tembakan

    Polis tahan lelaki warga emas lepas tembakan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki berusia 60-an ditahan selepas melepaskan beberapa das tembakan di Taman Delima, Kluang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima aduan daripada jiran warga emas itu yang terdengar letupan di belakang rumahnya pada pukul 7 petang.

    Katanya, susulan itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang melakukan pemeriksaan di belakang rumah jiran warga emas tersebut.

    Satu tangki air berlubang dipercayai terkena tembakan di Taman Delima, Kluang, semalam

    “Pemeriksaan mendapati tangki air dan bingkai tingkap mengalami kerosakan seperti kesan tembakan.

    “Polis kemudian menahan warga emas berusia 60 tahun itu pada jam 9 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya turut merampas selaras senapang patah jenis shot gun, tiga butir peluru jenis SME Mega, satu buah buku lesen dan resit memperbaharui lesen senjata api.

    Seorang penduduk menunjukkan tinkap rumanya yang berlekuk dipercayai terkena tembakan di Taman Delima, Kluang, semalam

    Bahrin berkata, siasatan masih dijalankan punca lelaki berkenaan melepaskan tembakan.

    “Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kejadian jenayah,” tambahnya.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman setahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

  • ‘’ RTM  beli saja filem Anwar, tayangkan secara percuma’’ – Ahli Parlimen Pas

    ‘’ RTM beli saja filem Anwar, tayangkan secara percuma’’ – Ahli Parlimen Pas

    RTM dicadangkan membeli filem biopik Anwar: The Untold Story supaya kerajaan tidak perlu mengarahkan pelajar sekolah menontonnya di pawagam.

    Ketika membuat cadangan itu,  Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) ketika membahaskan Rang Undang-undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 di Dewan Rakyat.

    “Saya mencadangkan RTM membeli terus filem (Anwar: The Untold Story) dan tayangkan secara percuma tanpa perlu menggunakan budak (murid) sekolah dan juga kakitangan kerajaan, mengeluarkan surat rasmi menjemput mereka menonton di pawagam bersama menteri dan pegawai tinggi kerajaan,” katanya lapor FMT.

    Cadangan itu turut mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen lain yang menepuk meja.

     Latiff turut berkata, kerajaan juga boleh menjemput Ahli Parlimen lain, cuma perlu mengeluarkan surat rasmi “untuk menonton filem yang penuh bersejarah”.

    Terdahulu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5 (1) mengesahkan program menonton filem Anwar: The Untold Story bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sebuah pawagam di Putrajaya malam tadi.

    Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat, berkata program itu atas jemputan kementerian dan tiada paksaan kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah tersebut, sambil menyifatkan ia sebahagian proses pembelajaran di luar bilik darjah.

    Suziyah berkata, aktiviti itu tidak wajar dipolitikkan kerana ia mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu, selain kandungan filem itu juga berkait silibus pembelajaran Tingkatan 6 yang menyentuh isu rasuah dan pentadbiran negara.

  • ‘LIMA23 terbaik, Langkawi ini Kedah punya bos’ – Sanusi

    ‘LIMA23 terbaik, Langkawi ini Kedah punya bos’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerjasama diberikan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri itu melancarkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23) di Pulai Langkawi.

    Beliau berkata, LIMA dan Langkawi khususnya masih mendapat perhatian antarabangsa dengan penyertaan pasukan aerobatik ternama dan pempamer yang memiliki pelbagai aset pertahanan dan komersial yang canggih.

    “Ini adalah LIMA pertama buat saya (sebagai Menteri Besar), saya bangga melihat persembahan maritim kerana mengenali ramai anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) yang terlibat.

    “Saya teruja melihat keupayaan dan persiapan yang dibuat, malah aset yang dipamer semakin canggih. Saya lihat semua persiapan berjalan lancar dan bagus, saya rasa LIMA23 adalah yang terbaik setakat ini, ia sangat membanggakan. Langkawi ini Kedah punya lah bos,” katanya ketika ditemui pemberita.

    Muhammad Sanusi yang berpakaian lengkap Laksamana Pertama (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghadiri acara pembukaan LIMA23 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Padang Matsirat, semalam.

    Beliau turut mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan segmen maritim di Resort Word Langkawi (RWL).

    Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai khususnya penduduk tempatan hadir menyaksikan persembahan khas dan pameran aset ketenteraan sepanjang LIMA23 berlangsung.

    “Saya difahamkan persembahan aerobatik turut membabitkan pasukan Malaysia dan negara lain, bukan senang untuk bawa pasukan luar kerana (kos) bawa satu pesawat kena bayar berjuta, tetapi mereka datang percuma dan kita hanya bagi minyak sahaja.

    “Ini suatu pengiktirafan kepada LIMA dan Kedah juga, mungkin kerana LIMA tidak diadakan selama empat tahun, jadi mereka ‘qada’ dan beri sokongan kepada kita,” katanya.

  • Polis Kedah tumpaskan sindiket pengedar, rampas 25 kg ganja

    Polis Kedah tumpaskan sindiket pengedar, rampas 25 kg ganja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEJUMLAH 25 kilogram dadah jenis ganja seberat 25 kilogram bernilai RM77,630, dirampas dalam tiga siri serbuan dilakukan pihak polis di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah dalam tempoh dua hari lalu.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, selain ganja yang dirampas, pihaknya turut menahan empat individu yang dipercayai merupakan ahli sindiket pengedaran dadah tersebut.

    Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kelmarin kira-kira pukul 8.30 malam melibatkan dua individu yang berada dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di sebuah restoran, dekat Jalan Langgar, Alor Setar.

    “Pemeriksaan di tempat duduk depan telah menemukan beg hitam yang di dalamnya mengandungi lima ketulan mampat plastik lutsinar berisi tumbuhan disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira lima kilogram.

    “Hasil maklumat lanjut katanya, pihak polis kemudiannya telah menahan dua lagi lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru di tepi jalan Lorong Seruling, Taman Seruling di Sungai Petani kira-kira pukul 12.40 pagi semalam,” katanya.

    Antara dadah yang dirampas dalam tiga siri serbuan dilakukan pihak polis di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah dalam tempoh dua hari lalu.

    Tambahnya, pemeriksaan terhadap dua lelaki itu menemukan lima ketulan mampat plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja, juga seberat kira-kira lima kilogram.

    Hasil soal siasat dilakukan katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton yang diletakkan di sebuah lorong di Kawasan Perumahan Kampung Batu Dua, Sungai Petani.

    “Di situ, pihak kami menemukan 15 bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 15 kilogram di ruangan khas, tempat duduk penumpang bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya.

    Menurutnya, kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari hingga 29 Mei depan bagi siasatan lanjut.

    “Secara keseluruhannya jumlah rampasan ganja adalah sebanyak kira-kira 25 kilogram dan nilai rampasan dadah berjumlah RM77.630. Nilai sitaan harta pula berjumlah kira-kira RM4,100,” katanya.

  • Tujuh termasuk 4 kanak-kanak maut selepas bumbung padang sekolah runtuh

    Tujuh termasuk 4 kanak-kanak maut selepas bumbung padang sekolah runtuh

    TUJUH termasuk empat kanak-kanak maut selepas bumbung di sebuah padang sekolah runtuh dalam kejadian ribut di Thailand semalam.

    Memetik SCMP, mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur di antara enam dan 13 tahun itu sedang berlindung ketika hujan selepas menyertai aktiviti di Sekolah Rendah Wat Nern Por di wilayah Phichit.

    Menurut media tempatan, keadaan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung itu runtuh secara tiba-tiba.

    “Orang dewasa yang terkorban termasuk dua ibu bapa dan seorang penjaga, manakala 18 yang lagi cedera,” kata pejabat hubungan awam wilayah Phichit, lapor Agensi.

    Seorang saksi memberitahu ThaiPBS, dia terdengar bunyi seakan berada dalam zon perang sebelum dilanda ribut yang kuat.

    Datuk Bandar tempatan Kannika Intarakul memaklumkan banyak kediaman di kawasan itu turut mengalami kerosakan.

    Difahamkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dibawa ke hospital namun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

    Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat di kawasan utara Thailand bermula minggu ini.

  • Gerakan bimbang ringgit terus jatuh, Bursa Malaysia kian lemah

    Gerakan bimbang ringgit terus jatuh, Bursa Malaysia kian lemah

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melahirkan rasa kecewa dan bimbang dengan kemerosotan berterusan nilai ringgit serta situasi Bursa Malaysia yang terus melemah.

    Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, situasi itu langsung tidak menggambarkan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) sebelum ini kononnya kestabilan negara menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan akan mengukuhkan serta melonjakkan semula ekonomi negara.

    Sebaliknya, tambah beliau, apa yang berlaku ketika ini adalah nilai pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus jatuh, malah mencecah kerugian lima hari berturut-turut selain menyusut lebih satu perarus dalam beberapa hari sahaja.

    “Kita percaya kejatuhan ringgit yang berterusan akan melanda pembangunan ekonomi sekali gus menggesa kerajaan mengambil tindakan menyelamatkan ekonomi negara supaya rakyat tidak terus hidup dalam keadaan sukar.

    “Sehubungan itu, kita menggesa Kerajaan Pusat memanggil pakar industri kewangan segera bagi meneroka strategi yang lebih berkesan dalam menyelamatkan ringgit dan pasaran saham Malaysia daripada terus jatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang turut menyelar pemimpin DAP yang disifatkan seolah-olah diam seribu bahasa berhubung situasi ekonomi negara yang buruk.

    Jelas beliau, ketika menjadi pembangkang, DAP sentiasa mencari peluang mengkritik dasar ekonomi negara dan menjadikan Menteri Kewangan sebagai sasaran, namun tidak melakukan perkara sama ketika ini.

    “Kita juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan supaya segera merangka strategi berkesan untuk menyelamatkan ringgit dan pasaran saham negara yang sedang merudum bagi memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur,” katanya.

  • Kekasih buat ‘projek’ dalam kereta diberkas

    Kekasih buat ‘projek’ dalam kereta diberkas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG kekasih yang berkelakuan tidak senonoh dan jelik kawasan letak kenderaan Taman Tasik Bandar, Pasir Gudang ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 42 saat yang tular itu menerusi akaun Facebook Izwan Mansur dalam kumpulan Komuniti Scientex Pasir Gudang.

    Beliau berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati kejadian itu berlaku pada 11 pagi, Ahad lalu tempat letak kenderaan tersebut.

    “Siasatan mendapati mereka masih belum berkahwin dan melakukan perbuatan jelik dalam sebuah kereta.

    “Bertindak atas maklumat pihak polis melakukan tangkapan antara jam 11 sehingga 11.45 malam Selasa. Sepasukan pegawai dari Balai Polis Pasir Gudang telah membuat tangkapan di Tanjung Puteri Resort dan Taman Rinting.

    “Pelaku merupakan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan wanita tersebut yang juga warga tempatan berusia 19 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau memberitahu, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod kesalahan lampau.

    Menerusi tangkapan itu katanya, pihak polis merampas sebuah kereta Perodua MyVi putih.

    Menurut Mohd Sohaimi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 337D Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama dua tahun.

    Tambahnya, kedua-dua suspek sedang direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Sabtu ini.

    “Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang,” katanya lagi.

  • Rampas dadah dalam ‘teh Cina’ RM1.08 juta di jeti nelayan

    Rampas dadah dalam ‘teh Cina’ RM1.08 juta di jeti nelayan

    SATU sindiket penyeludupan dadah didalangi warga asing bernilai RM1.08 juta dalam sebuah bot tumpas selepas pihak polis menyerbu sebuah jeti nelayan di Sekinchan Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, empat lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun itu dipercayai ingin mengedar dan menyeludup keluar dadah ke Indonesia.

    “Semua suspek yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah itu ditahan kira-kira pukul 10 malam dalam bot berkenaan.

    “Hasil serbuan itu polis merampas dadah disyaki syabu kira-kira 30 kilogram yang disimpan dalam bungkusan teh Cina,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Sungai Besar hari ini.

    Beliau berkata, semua suspek bekerja sebagai nelayan direman selama tujuh hari sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan.

    Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 61 (c) Akta Imigresen 1959/63.

    Dalam kes berasingan, Agus Salim memberitahu, pihaknya menahan seorang peniaga kedai runcit berusia antara 30 hingga 40-an atas kesalahan memiliki sepucuk pistol di sekitar daerah ini pada 18 Mei lalu.

    Lelaki tempatan itu katanya, memiliki pistol jenis Pietro Baretta Gardone secara tidak sah dipercayai sejak lima atau enam tahun lalu.

    “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Jam tangan berunsur LGBT dirampas, Swatch rancang ambil tindakan undang-undang

    Jam tangan berunsur LGBT dirampas, Swatch rancang ambil tindakan undang-undang

    PENGELUAR jam dari Switzerland, Swatch Group akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali koleksi jam bertema warna pelangi dari ‘Pride Collection’ yang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada awal bulan ini.

    Menurut Reuters, CEO Swatch Nick Hayek berkata beliau kecewa dengan kejadian itu dan menegaskan koleksi jam warna pelangi dengan mesej keamanan dan kasih sayang itu tidak membahayakan sesiapa.

    Reuters yang memetik akhbar Switzerland, Tages-Anzeiger sebagai berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula koleksi jam yang dirampas itu.

    Terdahulu, KDN menyerbu 11 butik Swatch di pusat beli belah, antaranya Pavilion KL, One Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall, dan Suria Sabah pada 13 dan 14 Mei lalu.

    Lima butik di pusat beli belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru, dan Kuching diberi amaran.

    Serbuan itu dilaporkan susulan warganet mengaitkan koleksi berkenaan dengan sokongan kumpulan rock Britain, Coldplay, terhadap masyarakat lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).

    Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pendirian Putrajaya berhubung serbuan itu dan melahirkan kebimbangan dengan ‘kesamaran’ terhadap apa yang boleh ditafsirkan sebagai ‘berbahaya’.

    “Adakah kita akan mula menyerbu semua kedai yang menjual apa-apa dengan hiasan pelangi/’pride’, termasuk perniagaan kecil?,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, lapor FMT.

  • Ejen insurans mengaku tidak bersalah rogol wanita di hotel

    Ejen insurans mengaku tidak bersalah rogol wanita di hotel

    SEORANG ejen insurans dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 19 tahun di sebuah bilik hotel Jumaat lalu.

    Lim Kai Hoe, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu di dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bilik sebuah hotel di Jalan Metro Pudu 2, Pudu, Kuala Lumpur antara pukul 3.30 hingga 8.30 pagi 19 Mei lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd. Rauf, mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin pada kadar yang tinggi dengan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

    Bagaimanapun, peguam, S. Sathya yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana dia perlu menanggung ibu bapa yang sudah bersara.

    “Sejak ditahan pada 19 Mei lalu, anak guam telah memberi kerjasama baik kepada polis,” katanya, lapor Astro Awani.

    Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.