Category: Semasa

  • OKU kudung tangan antara 2 lelaki didakwa edar heroin 21kg

    OKU kudung tangan antara 2 lelaki didakwa edar heroin 21kg

    DUA lelaki, termasuk orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan mengedar lebih 21kg heroin minggu lalu.

    OKU itu, S. Genesan dan R.R. Pirapagaran yang kedua-duanya berusia 39 tahun, didakwa secara bersama mengedar heroin dengan anggaran berat kasar 21,069g di 2A, Jalan Jelapang Bayu 6, Puncak Jelapang di Ipoh kira-kira 9 malam 16 Mei lalu.

    Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, maka hendaklah dihukum tidak kurang 15 kali sebatan.

    Harian Metro melaporkan tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret Jesseca Daimis kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.

  • Jurukimpal dipenjara 6 bulan buat hantaran jelik terhadap Sultan Perak

    Jurukimpal dipenjara 6 bulan buat hantaran jelik terhadap Sultan Perak

    SEORANG jurukimpal dikenakan hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerusi media sosial, hujung tahun lalu.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Mohd. Masri Md. Darus, 26, didakwa telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lain yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Disember 2022 sekitar pukul 8.21 pagi menerusi satu akaun di aplikasi Twitter milik tertuduh.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 3 Januari 2023 sekitar pukul 5 petang.

    Mohd Masri Md Darus,26, didakwa memulakan hantaran bersifat jelik terhadap Sultan Perak melalui media sosial ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan itu mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

    Sabit kesalahan membawa hukuman didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu memohon hukuman ringan memandangkan sedang menjaga ibu yang uzur selain kerja yang tidak menentu.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon agar hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh terutamanya masyarakat di luar sana untuk lebih berhati-hati ketika memuat naik sebarang hantaran.

    Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Priscilla kemudian menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas tertuduh bermula hari ini, lapor Utusan TV.

  • Tiga maut, empat termasuk anggota tentera parah dalam nahas

    Tiga maut, empat termasuk anggota tentera parah dalam nahas

    TIGA maut termasuk dua beradik dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuh Raya Pan Borneo hala Sri Aman-Engkelili, dekat Kuching, semalam.

    Mangsa Pauline Simba Jua, 34, yang berasal dari Rumah Panjang Mandau Lempaong, Betong, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Elizabeth Jua, 33, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Engkelili.

    Sementara, pemandu kereta Perodua Viva yang mereka naiki, Carlos Nelson, 22, turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang kereta terbabit, Ling Unang, 38, pula parah.

    Tiga lagi mangsa termasuk dua anggota tentera yang menaiki kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan itu turut parah.

    Anggota tentera terbabit, kedua-duanya berasal dari Perak ialah Mohammad Taufiq Hidayat Othman, 24 dan Mohamad Noor Salam Ab. Jalil, 31, manakala pemandu kereta dinaiki, Aden Fabian, 26, berasal dari Kampung Quop, Kuching.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.38 petang.

    “Sembilan anggota termasuk dua anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

    “Setibanya di lokasi, didapati dua kenderaan iaitu Perodua Viva dan Proton Saga bertembung yang membabitkan tujuh mangsa.

    “Dua penumpang bahagian belakang Perodua Viva sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba manakala dua lagi termasuk pemandu tersepit di dalam kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian.

    “Seorang lagi mangsa yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Engkelili pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, semua mangsa yang parah menerima rawatan lanjut di Hospital Sri Aman, lapor Harian Metro.

  • Benarkan pelajar kritik jika ajak tonton filem ‘Anwar’, kata kumpulan ibu bapa

    Benarkan pelajar kritik jika ajak tonton filem ‘Anwar’, kata kumpulan ibu bapa

    KERAJAAN harus buka ruang untuk pelajar mengkritik jika mahu mengundang mereka menonton filem seperti biopik ‘Anwar: The Untold Story’, kata kumpulan ibu bapa.

    Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) berkata, naskah seperti kisah Datuk Seri Anwar Ibrahim 25 tahun lalu itu boleh dijadikan subjek perbincangan kritis dalam kelas berkait politik atau sejarah.

    “Anak muda tentu mahu dilatih menajamkan pemikiran kritis. Tidak semestinya ulasan anak muda berpihak kepada kerajaan sekarang,” kata Setiausaha Kehormat Tunku Munawirah Putra, selepas kementerian disahkan mengundang pelajar Tingkatan 6 sebuah sekolah untuk menonton filem mengenai ahli politik itu, yang kini perdana menteri.

    Baru-baru ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5(1) mengesahkan pelajarnya diundang untuk menonton filem itu bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sebuah pawagam di Putrajaya, selepas tular surat rasmi yang diedarkan kepada ibu bapa.

    Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat, berkata aktiviti itu sebahagian pembelajaran di luar bilik darjah dan pelajar tidak dipaksa untuk menyertainya.

    Dalam pada itu, pensyarah pendidikan, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata sebelum ini pernah diadakan tayangan filem seperti ‘1957: Hati Malaya’, ‘Embun’, dan ‘Bukit Kepong’ untuk program di sekolah.

    Beliau tiada masalah dengan program itu kerana ia dianjurkan untuk pelajar Tingkatan 6, katanya. “Kumpulan ini mempunyai perspektif sendiri berkaitan perkara berlaku di sekeliling, malah telah layak mengundi.”

    1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba menyentuh tentang kisah UMNO dan dua presiden parti itu iaitu Onn Ja’afar dan Tunku Abdul Rahman ketika menuntut kemerdekaan; manakala Embun tentang daya juang seorang wanita ketika pendudukan Jepun dan Bukit Kepong berdasarkan tragedi sebuah balai polis diserang komunis, di Muar, Johor pada 1950.

    Sementara itu, Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) berkata menteri wajar menjelaskan sumber dana bagi program berkenaan, bagi mengelak tanggapan negatif.

    “Menteri wajar jelaskan sebab pelajar diundang ke tayangan tersebut dan dari mana sumber dana untuk menaja tayangan itu,” kata presidennya, Mohd. Azizee Hasan.

    PAGE pula berkata tayangan biopik Anwar kepada pelajar harus ditaja menteri atau korporat, dan bukan dibiaya Kementerian Pendidikan memandangkan ia boleh dianggap seperti “propaganda”.

    “Bukan semua pelajar dapat atau mahu menontonnya. Ini (jika dibiaya kementerian) boleh dikatakan tidak saksama untuk semua,” katanya, lapor FMT.

  • Tuduhan terima duit judi: Pas mahu Anwar minta maaf

    Tuduhan terima duit judi: Pas mahu Anwar minta maaf

    PAS hari ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat permohonan maaf secara terbuka selepas menuduh Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat judi pada awal Dis tahun lalu.

    Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata jawapan diberikan salah seorang anggota kabinet di Dewan Rakyat semalam membuktikan kerajaan menipu.

    “Lontaran tuduhan itu yang asalnya dibuat PMX (Anwar) selepas beberapa minggu menerajui kerajaan, melengkapkan lagi bukti pembohongan PMX,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 5 Dis 2022 semasa mengadakan sidang medianya, Anwar memberikan gambaran bahawa sebahagian dana pilihan raya PN disumbangkan oleh syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas.

    “Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

    “Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” kata Anwar.

    Ia mendorong PAS memberikan kata dua kepada Anwar sehari kemudian sama ada mengemukakan bukti atas dakwaan tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Anwar membuat tuduhan tidak berasas dan liar terhadap PN.

    “Sekiranya gagal PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah,” katanya.

    Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan dibuat Anwar.

    Kata Azalina, SPRM telah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan itu namun tiada pihak yang dapat memberikan pengesahan.

    “Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya dalam jawapan bertulis parlimen bagi menjawab soalan Ketua Pemuda Pas yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

    Kata Khairil Nizam, jawapan Azalina itu mengesahkan tiada pihak dapat mengesahkan dakwaan Anwar.

    “Kami menggesa PMX memohon maaf secara terbuka atas fitnah dan penipuan yang dilemparkan kepada PN,” katanya yang juga ahli parlimen Jerantut, lapor Malaysiakini.

  • PN pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Anwar,Zahid

    PN pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Anwar,Zahid

    PERIKATAN Nasional (PN) akan pertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menuduh gabungan itu menerima dana daripada syarikat judi dalam PRU-15.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu lanjutan  siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati tiada bukti berhubung dakwaan berkenaan.

    ‘’Kenyataan menteri (Datuk Seri Azalina Othman Said)   tidak ada satu pun petanda bahawa perkara itu (syarikat judi beri dana), bagi saya pertuduhan itu fitnah dan satu pembohongan , kita akan bincang dengan peguam kita apa langkah seterusnya kita akan ambil terhadap PM dań TPM, ‘’ katanya.

    Beliau berkata demikian kepada wartawan di Kuala Lumpur bagi mengulas kenyataan Azalina berhubung perkara itu semalam.
    Dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Perikatan Nasional, Ahmad Fadhli Shaari, Azalina yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata,  siasatan SPRM mendapati tiada bukti parti-parti dalam PN menerima sumbangan daripada dana syarikat judi pada PRU15 lalu, 

    Kata Azalina, SPRM menjalankan kajian terperinci mengenai dakwaan itu dan mendapati maklumat yang diterima terlalu umum serta tiada pihak boleh mengesahkannya.

    “Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya.

    Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mahu mengetahui status siasatan terhadap dakwaan parti-parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen pilihan raya umum lepas.

    Pada Dis tahun lalu, beberapa media melaporkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

    Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

    Dalam laporan itu, Anwar dipetik sebagai berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

    Dalam satu lagi jawapan bertulis Azalina berkata, siasatan SPRM juga mendapati tiada unsur penerimaan rasuah terhadap parti-parti yang mendapat dana ketika PRU15.

    Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Hadi Awang (PN-Marang) mengenai status siasatan SPRM terhadap parti-parti kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU15 termasuk sumber dana.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, buat permulaan PN akan menuntut permohonan daripada Anwar dan Zahid berikutan fitnah yang mereka lemarkan kepada gabungan itu.

  • PN perkenal pra slogan ‘Selangor Baharu’ hadapi PRN

    PN perkenal pra slogan ‘Selangor Baharu’ hadapi PRN

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor memperkenalkan pra slogan ‘Selangor Baharu’ sebagai tawaran kepada rakyat di negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, perkara itu telah dibincangkan parti itu dengan rakan komponennya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Menurut beliau, pihkanya mempunyai dua atau tiga slogan yang lebih kurang sama tetapi Selangor Baharu mungkin digunakan oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kita menghadapi PRN Selangor.

    “Pada masa ini, PN sedang mencari tarikh sesuai untuk mengadakan majlis pelancaran slogan itu secara rasmi.

    “Slogan ini diyakini dapat membawa mesej penting kepada rakyat bahawa PN bersedia mengambil alih kepimpinan kerajaan Selangor sekiranya diberi mandat pada PRN berkenaan.

    “Kita kemukakan alternatif kepada rakyat negeri Selangor dengan memberi keutamaan untuk memastikan kepimpinan negeri kembali kepada anak negeri terutama jawatan penting seperti Menteri Besar Selangor.

    “Jawatan (menteri besar) mestilah terdiri dalam kalangan anak negeri supaya ada citra Selangor dan faham selok-belok kesusahan serta permasalahan rakyat.

    “Kalau menteri besar bukan anak Selangor, ada sedikit jurang di situ dan Exco PH (Pakatan Harapan) ketika ini pun tujuh daripada 10 bukan anak Selangor,” kata beliau memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Kata beliau, kepimpinan kerajaan PH Selangor pada masa ini mestilah seimbang meskipun ramai pemimpin mereka bermastautin di negeri ini.

    “Kita tidak ada masalah dengan anak bukan Selangor, tetapi ia mestilah seimbang dan tidak berlebihan,” jelas beliau.

    Selain itu, kata Roslan Shahir, slogan itu antara lain menawarkan kepada rakyat tentang kebolehan calon pemimpin dalam komponen itu yang sebelum ini pernah memberi khidmat kepada rakyat selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

    Calon PN katanya, mempunyai rekod pencapaian yang baik dalam mengurus dan mentadbir, sehungaan itu mereka seharusnya diberi peluang dalam PRN Selangor.

    Ditanya adakah slogan itu menjadi manifesto PRN Selangor, Roslan Shahir memberitahu, Pas ketika ini mahu mempopularkan slogan itu terlebih dahulu.

    “Mungkin jadi manifesto PRN Selangor, tetapi kita tunggu apabila perkara ini telah dimuktamadkan,” tambahnya.

    PN memperkenalkan pra slogan ‘Selangor Baharu’ sebagai tawaran kepada rakyat bagi menghadapi PRN.

  • Mana tuduhan PN terima dana judi, soal Ahmad Fadhli

    Mana tuduhan PN terima dana judi, soal Ahmad Fadhli

    AHLI Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir pimpinan Kerajaan Perpaduan mengenai dakwaan mereka bahawa Perikatan Nasional (PN) ada menerima dana daripada syarikat perjudian bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata sedemikian susulan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak dapat membuktikan tuduhan terbabit.

    “Dakwaan berkenaan jelas merupakan satu fitnah bagi memburukkan gabungan PN.

    “Di mana tuduhan dan fitnah yang keluar dari mulut pimpinan negara itu? Untold lie,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semalam memberitahu Dewan Rakyat, siasatan SPRM tidak dapat membuktikan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen Pilihan Raya Umum ke-15.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahmad Fadhli yang ingin mengetahui status siasatan terhadap dakwaan tersebut.

    Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu sidang media mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

    Dakwaan berkenaan bagaimanapun disangkal oleh parti gabungan PN iaitu Pas atas alasan mustahil mereka menerima dana politik daripada tauke dan syarikat judi ketika pihaknya tegas menutup tempat kegiatan terbabit.

  • Pendakwaan mohon semua kes Muhyiddin dibicara bersama

    Pendakwaan mohon semua kes Muhyiddin dibicara bersama

    PIHAK pendakwaan yang mengendalikan empat kes menggunakan kedudukan dan tiga kes pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memohon kepada Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini supaya semua pertuduhan kes berkenaan dibicarakan bersama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi ini bahawa mereka memfailkan permohonan itu semalam.

    Peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memberitahu hakim Azura Alwi bahawa pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab permohonan perbicaraan bersama itu, lapor Malaysiakini.

    Azura kemudian mengarahkan pihak pembelaan memfailkan afidavit mereka sebagai jawapan kepada permohonan itu selewat-lewatnya pada 30 Jun, dan bagi pihak pendakwaan memfailkan sebarang jawapan kepada jawapan itu dalam tempoh dua minggu selepas 30 Jun.

    Beliau juga menetapkan 4 Ogos untuk sebutan kes memandangkan dua permohonan Muhyiddin belum selesai di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Permohonan pertama adalah untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, dan satu lagi untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa.

    Ketika ditemui media selepas prosiding, Hisyam berkata mereka akan membantah permohonan pihak pendakwaan agar pertuduhan dihadapi Muhyiddin dibicarakan bersama, dan menegaskan pasukan pembelaan hanya menerima salinan permohonan itu awal pagi ini.

    Peguam mengulangi pendirian mereka bahawa pertuduhan salah guna kuasa tidak mendedahkan sebarang kesalahan undang-undang, dan pertuduhan itu tidak menyatakan butiran kesalahan itu.

    Permohonan Muhyiddin untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya memfokuskan pertuduhan predikat (utama), iaitu empat pertuduhan salah guna kuasa.

    Tiga pertuduhan pengubahan wang haram bergantung pada empat pertuduhan predikat berkenaan.

    Muhyiddin menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd., dan Mamfor Sdn. Bhd., manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

    Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

    Pemimpin berusia 76 tahun itu didakwa menerima lebih RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd. antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

    Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke akaun Bersatu.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

    Bagi kes pengubahan wang haram, dia boleh dihukum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Muhyiddin pertama kali didakwa pada 10 Mac. Beliau mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap keempat-empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

  • Muhyiddin tiba untuk prosiding kes rasuah RM232.5 juta

    Muhyiddin tiba untuk prosiding kes rasuah RM232.5 juta

    TAN Sri Muhyiddin Yassin tenang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pagi ini untuk menghadiri prosiding sebutan kes melibatkan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.41 pagi.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.41 pagi. Foto WARTA RAKYAT

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilihat turut hadir di pekarangan mahkamah pada pukul 8.55 pagi.

    Kehadiran mereka untuk bagi memberi sokongan moral kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, lapor Sinar Harian.