Category: Semasa

  • Tragedi Everest: Kerajaan runding dengan Nepal lanjut tempoh pencarian Hawari

    Tragedi Everest: Kerajaan runding dengan Nepal lanjut tempoh pencarian Hawari

    KERAJAAN sedang mengadakan rundingan dengan Nepal dan operator pendakian Everest bagi membolehkan tempoh pencarian pendaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran Malaysia Everest 2023, Muhammad Hawari Hashim dilanjutkan.

    Timbalan Presiden Kelab Eksplorasi Altitud, Murshid Maktab berkata, beberapa peralatan teknologi dibawa dari Malaysia termasuk dron yang berupaya mengesan haba dijangka tiba di Nepal esok bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.

    Menurutnya, aktiviti pendakian ke kemuncak tertinggi dunia itu akan ditutup secara rasmi pada esok dan hanya akan dibuka semula pada tahun depan.

    “Buat masa ini rundingan melibatkan Kedutaan Malaysia di Nepal masih lagi berjalan (dengan kerajaan Nepal dan operator Everest).

    “Kalau rundingan itu berjaya, pencarian mungkin akan ditambah 10 hari lagi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI  hari ini.

    Murshid berkata, kali ini, keseluruhan tenaga operasi percarian akan bertumpu di satu-satu kawasan misalnya ke kem empat, kemudian ke kem tiga, kem dua dan satu.

    “Kalau sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat berpecah kepada beberapa kumpulan dan bergerak secara berasingan,” ujarnya.

    Menurut beliau, setakat ini, operasi pencarian di sepanjang laluan ke kemuncak itu sudah digiatkan namun masih lagi gagal.

    “Sekarang kita luaskan (operasi) kepada jurang-jurang termasuk celahan bongkah dan sebagainya,” katanya.

    Kehilangan Muhammad Hawari memasuki hari kelapan selepas beliau dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu.

    Beliau berjaya menawan puncak Everest pada 18 Mei lalu.

  • Tikam rakan syak ada ‘skandal’ dengan isteri

    Tikam rakan syak ada ‘skandal’ dengan isteri

    SEORANG lelaki menikam rakan sekerja selepas mengesyaki mangsa menjalin hubungan dengan isterinya dalam kejadian di sebuah kilang kayu di Bakar Arang, Sungai Petani.

    Kejadian berlaku di pekarangan asrama pekerja pada 1.30 tengah hari semalam, melibatkan suspek berusia 35 tahun dan mangsa 34 tahun warga Myanmar yang tinggal bersebelahan bilik, dalam kawasan kilang berkenaan.

    Ketua Polis Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kiri perutnya akibat ditikam dengan sebilah pisau.

    “Saksi kejadian iaitu isteri mangsa juga warga Myanmar berkata, dia terkejut apabila melihat suaminya memasuki bilik asrama mereka dalam keadaan berlumuran darah dan luka di bahagian kiri perutnya tengah hari semalam,” katanya menurut Kosmo.

    Beliau berkata, sebelum meninggal dunia mangsa sempat memberitahu dia ditikam suspek selepas bergaduh kerana dituduh mempunyai hubungan dengan isteri lelaki itu.

    Zaidy berkata, suspek tinggal berseorangan di bilik berkenaan kerana isterinya bekerja di luar daerah dan dia dikatakan sering bertengkar dengan mangsa sebelum ini kerana tidak berpuas hati berikutan mangsa selalu memuji kecantikan isterinya setiap kali mereka bertemu.

    Katanya, selepas menerima maklumat kejadian, pihaknya melakukan siasatan dan berjaya menahan suspek yang bersembunyi di kawasan kilang itu empat jam kemudian.

    “Suspek mengaku menikam mangsa dan menunjukkan sebilah pisau berhulu hitam berukuran 29cm yang digunakan dalam kejadian itu,” ujarnya.

    Katanya, suspek direman enam hari bermula hari ini hingga Jumaat depan bagi membantu siasatan kes bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • RM30,000 kepada setiap DUN Kelantan untuk pendidikan

    RM30,000 kepada setiap DUN Kelantan untuk pendidikan

    KERAJAAN Kelantan memperuntukkan RM30,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) khusus untuk manfaat bidang pendidikan.

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi berkata, peruntukan itu membabitkan pelbagai program termasuk kemasukan pelajar baharu ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta penerima anugerah kecemerlangan.

    “Peruntukan ini biasanya diagihkan secara ‘one-off’ (sekali) sebanyak RM100 sehingga RM150 setiap seorang.

    “Selain untuk memperkasakan sektor pendidikan di Kelantan, peruntukan terbabit juga diagihkan bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan,” katanya selepas merasmikan Ekspo Selangkah ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2023 UiTM Cawangan Kelantan di pekarangan Bazar Tok Guru di Kota Bharu, hari ini.

    Katanya, selain itu rakyat negeri ini juga boleh memohon pinjaman untuk melanjutkan pengajian dengan agensi di bawah kerajaan negeri iaitu Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) selain Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

    Bagaimanapun ujar beliau, pinjaman bayaran balik boleh dikurangkn atau ditukar menjadi biasiswa jika penerima mendapat keputusan cemerlang dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

    Dalam perkembangan sama, Mumtaz berkata, kerajaan Nlnegeri sudah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pelajar yang tular di media sosial kerana kekurangan dana untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

    “Sumbangan wang tunai diberikan selain YAKIN turut membantu dan kini pelajar terbabit dalam usaha mencukupkan perbelanjaan yang diperlukan dengan bantuan tambahan daripada masyarakat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

  • Bekas komando dipenjara 4 tahun kerana menipu

    Bekas komando dipenjara 4 tahun kerana menipu

    MAHKAMAH Majistret Pasir Mas hari ini menjatuhkan hukuman empat tahun penjara ke atas seorang bekas komando tentera atas dua kesalahan menipu melibatkan kerugian RM17,500.

    Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosdi Ibrahim, 59, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Muhammad Syahran Amirul Azlan, 27, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai tertuduh akan membekalkan stok rokok dan mendorongnya menyerahkan wang tunai RM5,500 di sebuah kedai roti canai di Stesen Kereta Api di bandar Pasir Mas, Pasir Mas pada 8.30 malam, 23 Mei lalu.

    Berdasarkan fakta kes, tiga hari sebelum itu mangsa didatangi tertuduh di sebuah masjid di Kubang Bemban menawarkan jualan rokok seterusnya berjumpa dengan mangsa yang kemudian menyerahkan sejumlah wang tunai namun tertuduh menghilangkan diri ketika Muhammad Syahran pergi untuk mengambil air minuman.

    Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu peniaga, Norizan Yusoff, 53, dengan memperdaya mangsa mempercayai tertuduh akan membekalkan kain, rokok dan mercun serta mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM12,000 di lot kedai Pasar Tasek Raja pada pukul 9 malam, 6 Februari lalu.

    Dalam kejadian itu, tertuduh juga menghilangkan diri selepas menerima wang tersebut daripada mangsa, lapor Sinar Harian.

    Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun, maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan.

    Tertuduh melalui peguamnya merayu hukuman minimum kerana kini hanya bekerja sebagai pemotong rumput dan perlu menanggung isteri serta sembilan anak mereka.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan hukuman penjara setahun bagi tuduhan kedua yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman pertama.

    Pengecualian hukuman sebat dibuat mengikut Seksyen 289 (c) Kanun Prosedur Jenayah atas faktor usia tertuduh.

  • Penagih dadah menyamar polis diberkas

    Penagih dadah menyamar polis diberkas

    CUBAAN penagih dadah menyamar sebagai polis mengundang padah apabila ditahan di sebuah apartmen di Ukay Perdana, di Ampang Jaya, Khamis lalu.

    Suspek berusia 27 tahun itu menyamar sebagai polis dengan menunjukkan plat besi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika berurusan dengan pegawai keselamatan di apartmen terbabit.

    Bagaimanapun mereka yang menyedari suspek menyamar kemudian menahan lelaki berkenaan sebelum menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik.

    “Polis kemudian membuat tangkapan ke atas suspek dan rampas barang kes itu untuk siasatan selanjutnya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Bekas menteri DAP tegur Sivakumar dalam isu pegawainya terlibat rasuah

    Bekas menteri DAP tegur Sivakumar dalam isu pegawainya terlibat rasuah

    SEORANG bekas menteri DAP, M. Kulasegaran menegur Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berhubung isu melibatkan beberapa pegawainya yang terlibat dalam kes rasuah yang sedang disiasat.

    Kulasegaran yang pernah menjawat jawatan sama di kementerian tersebut dipetik berkata dalam portal The Vibes, Sivakumar sepatutnya mengetahui punca salah seorang pembantunya dilantik itu dipecat 15 tahun lalu.

    Untuk rekod, Kulasegaran berkata, Sivakumar sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Politiknya dan mengetahui punca pegawai itu dipecat.

    “Jadi, apabila saya melihatnya (Sivakumar selepas pelantikan), saya bertanya kepadanya: ‘Mengapa kamu mengambil pegawai yang telah kami singkirkan? Proses membuat keputusan (dalam pelantikan) adalah salah.’

    “Dia (Sivakumar) mengambil risiko yang besar. Saya terpaksa melepaskan orang itu kerana dia terlibat dalam banyak kesalahan, dan ia adalah keputusan serta-merta pada 2008,” katanya dipetik dalam wawancara portal itu, lapor Agenda Daily.

    Kulasegaran juga mengulas mengenai pilihan pegawai Sivakumar, mengatakan bahawa keputusannya mengenai perkara ini ‘mungkin bukan yang terbaik dibuat menteri’.

    Beliau dilaporkan berkata, bahawa Sivakumar mungkin terlepas pandang latar belakang individu tersebut sebelum melantik mereka.

    Bagaimanapun, beliau berkata, kesilapan dibuat Sivakumar itu sepatutnya dijadikan alasan untuk beliau dipecat daripada jawatan menteri.

    Perkara itu masih ‘pramatang’ kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengesahkan sebarang salah laku bagi pihak Ahli Parlimen Batu Gajah, Kulasegaran dilaporkan berkata.

    “Masih awal untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana kini siasatan pada SPRM.

    “(SPRM) perlu (akhirnya) keluar (dengan dapatan daripada siasatan) kerana ia adalah perkara yang sangat mendesak yang melibatkan pendapat dan sentimen awam dan mengganggu keseluruhan rentak kementerian,” katanya lagi.

    Awal bulan ini, Sivakumar dilaporkan mengesahkan pemecatan lima pegawai daripada kementeriannya berikutan siasatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa baru-baru ini berhubung kuota pengambilan pekerja asing.

    Pada 13 April, seorang pembantu kepada Sivakumar ditangkap bersama-sama ejen pengambilan oleh SPRM yang didakwa atas kuota untuk merekrut pekerja asing dan sehari kemudian seorang lagi suspek yang dikenali sebagai setiausaha sulit wanita Sivakumar turut ditahan oleh agensi anti rasuah itu.

  • Pemilik syarikat rugi RM320,000 diperdaya tawaran rokok, arak murah

    Pemilik syarikat rugi RM320,000 diperdaya tawaran rokok, arak murah

    PEMILIK syarikat swasta di Miri mengalami kerugian RM320,000 akibat ditipu dengan tawaran barangan murah daripada individu yang mengaku kenalan lama.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, lelaki berusia 49 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berhubung kes itu pada kelmarin.

    Beliau berkata, mangsa memaklumkan dia berhubung melalui telefon dan aplikasi WhatsApp dengan individu yang mengaku kenalan lamanya.

    “Individu terbabit menawarkan jualan barangan seperti arak, bir dan rokok yang hampir tamat tempoh dengan harga yang murah.

    “Mangsa kemudiannya membuat pembayaran ke dalam satu akaun bank secara perbankan dalam talian sebanyak 16 kali transaksi berjumlah RM320,000 ke akaun pihak ketiga bermula pada 19 sehingga 23 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Alexson berkata, mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas barang yang sepatutnya dihantar ke Miri tidak tiba dan telefon pengadu juga disekat oleh suspek.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda,” katanya, lapor Harian Metro.

  • TH sasar 10,000 penyertaan ibadah korban di Tanah Suci

    TH sasar 10,000 penyertaan ibadah korban di Tanah Suci

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyasarkan penyertaan kira-kira 10,000 jemaah haji dan umat Islam di Malaysia untuk melakukan ibadah korban di Tanah Suci pada tahun ini.

    Pengarah Operasi Kewangannya, Shamsul Bahar Shamsudin berkata, berbanding tahun lalu, jumlah peserta korban adalah sekitar 4,500 orang kerana pada waktu itu kuota haji adalah separuh daripada jumlah semasa.

    Katanya, pada tahun ini bayaran untuk korban seekor qibas ialah RM900 dan bayaran boleh dibuat melalui aplikasi Thijari ataupun di mana-mana kaunter TH di Malaysia.

    “Semua urusan korban akan dilakukan dengan kerjasama Islamic Development Bank (IDB) dan daging tersebut akan diagihkan di Tanah Suci serta 25 negara lain.

    “Antara negara terlibat ialah Palestin, Jordan, Syria, Iraq dan negara Afrika serta Asia seperti Mali, Ghana, Senegal, Bangladesh dan Azerbaijan.

    “Setakat ini kita sudah terima 6,500 permohonan ibadah korban yang mula dibuka pada pertengahan Mei lalu dan tarikh akhir penyertaan sehingga 6 Zulhijjah atau 24 Jun depan,” katanya pada sidang media di Abraz Al Janadriyah di Makkah semalam.

    Mengulas mengenai kemudahan berkaitan kewangan yang disediakan TH di Tanah Suci, Shamsul Bahar berkata, pihaknya mempunyai 11 petugas di Makkah dan Madinah bagi memastikan kelancaran operasi haji.

    Kata beliau, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan untuk bayaran dam (denda) dan khidmat pengeluaran wang melibatkan kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

    “Ini tahun kedua tiada kaunter kewangan yang mana jemaah sudah tahu bahawa pengeluaran wang boleh dilakukan melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) dan bayaran tanpa tunai.

    “Khidmat ini memang memudahkan jemaah tetapi pada masa sama kita harap mereka semua dapat mengatur perbelanjaan masing-masing supaya urusan di sini lebih lancar,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 3 maut termasuk 2 rentung dalam kemalangan

    3 maut termasuk 2 rentung dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA maut termasuk dua rentung manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 172.2 Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat pada 6.30 petang semalam.

    Nahas pada pukul 6.30 petang itu melibatkan empat mangsa antara kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Sienta dan kereta Mercedes-Benz.

    Tregedi tersebut mengorbankan Hoo Kok Yong, 35, Wong Chee Choy, 62, dan Chong Jui Chat, 67, yang berada dalam dalam MPV berkenaan sementara Lee Lam Chai, 67, yang memamdu kereta tersebut cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan awal mendapat kemalangan berpunca MPV Toyota Seinta dipandu mangsa lelaki berusia 36 tahun hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Mercedes-Benz berkenaan.

    “Pemandu Mercedes-Benz berusia 35 tahun dan seorang penumpang berusia 62 tahun rentung manakala seorang lagi penumpang berusia 67 tahun cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pemandu Toyota Sienta yang berusia 67 tahun dan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat turut meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

    Mangsa yang cedera parah itu katanya, dirawat di zon merah Hospital Daerah Segamat (HDS) dan proses bedah siasat mayat juga dijalankan di jabatan forensik hospital berkenaan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan Penguatkusaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menerusi talian 07-9325811.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, seramai 10 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu Utiliti Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.

    Ujarnya, kemalangan tersebut mengakibatkan Mercedes-Benz yang terbakar 70 peratus, dua mangsa dalam kereta itu tersepit dan rentung.

    “Toyota Sienta itu pula telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung pada kedalaman kira-kira 4.5 meter dan pemandunya juga tersepit dan disahkan telah meninggal
    dunia oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya.

    Tambah Marzuki, operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 8.45 malam.

  • Disambar buaya ketika memancing, mayat lelaki ditemui terapung

    Disambar buaya ketika memancing, mayat lelaki ditemui terapung

    SEORANG lelaki yang hilang selepas disambar buaya ketika memancing bersama menantu dan birasnya di Sungai Patarikan, Merapok di Lawas ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam.

    Kosmo memetik jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak sebagai berkata, mayat mangsa berusia 51 tahun itu ditemui terapung dengan bentuk fizikal sempurna pada radius 1 kilometer dari tempat dia disambar buaya pada 9.53 pagi semalam.

    Mangsa dilaporkan memancing bersama menantu dan birasnya di Sungai Patarikan kira-kira 5.30 petang kelmarin, sebelum disambar buaya.

    Operasi SAR melibatkan pasukan bomba, polis serta penduduk Kampung Patarikan digerakkan bagi mengesan mangsa.