Category: Semasa

  • Warga emas maut dilanggar lori di Gua Musang

    Warga emas maut dilanggar lori di Gua Musang

    SEORANG warga emas maut selepas dilanggar sebuah lori ketika sedang menunggang motosikal di Kilometer 8, Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, semalam. 

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata akibat perlanggaran tersebut mangsa Ishak Musa, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala selepas tercampak di atas bahu jalan raya. 

    “Kejadian berlaku kira-kira 4.20 petang ketika mangsa sedang menunggang motosikal jenis SM Sport 110E dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai sebelum dipercayai sedang bergerak masuk perlahan-lahan ke laluan utama selepas berhenti di tepi jalan sebelah kiri. 

    “Dua kenderaan yang berada di hadapan lori jenis Isuzu sempat mengelak ketika mangsa sedang masuk ke laluan tersebut, namun pemandu lori terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa dari arah belakang di laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

    Sik berkata pemandu lori yang berusia 23 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa yang maut dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

    “Siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu lori yang melanggar bahagian belakang motosikal warga emas berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

  • Maritim tahan kapal pengangkut dari China muatan besi buruk, peluru meriam lama zaman Perang Dunia Kedua

    Maritim tahan kapal pengangkut dari China muatan besi buruk, peluru meriam lama zaman Perang Dunia Kedua

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia
    (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal pengangkut dari China kerana menceroboh dan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang di Kota Tinggi semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pemeriksaan anggota bot Zon Maritim Tanjung Sedili Malaysia pada pukul 12.45 tengah hari yang melakukan rondaan mendapati kru kapal berkenaan tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia.

    “Kapal tersebut dikendalikan 32 kru lelaki termasuk nakhoda terdiri daripada 21 warga China, 10 warga Bangladesh dan seorang warga Malaysia berusia antara 23 hingga 57 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas kapal mendapati terdapat besi buruk dan telah menjumpai peluru meriam disyaki mempunyai kaitan kes penemuan Unexploded Ordnance (UXO) di Tanjung Belungkor pada 19 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Maritim Malaysia akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara untuk mengenal pasti peluru yang dijumpai di atas kapal tersebut.

    Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000
    atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

    “Pihak maritim akan terus memantau dan memastikan perairan Johor timur bebas daripada segala aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan yang lebih tegas,” ujar beliau.

  • Ringgit dibuka lemah, RM4.61 berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka lemah, RM4.61 berbanding dolar AS

    RINGGIT dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal dagangan Isnin di tengah-tengah kebuntuan mengenai siling hutang AS baru-baru ini

    Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.6160/6205 berbanding dolar AS berbanding penutupan Jumaat pada paras 4.5970/6035.

    Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata petunjuk daripada Presiden AS, Joe Biden dan speaker lain mencadangkan ahli-ahli kongres akan bersetuju dengan terma pada hari Rabu.

    Pada Jumaat, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen menunjukkan tarikh akhir untuk tarikh tamat had hutang telah dilanjutkan kepada 5 Jun.

    Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun ia meningkat kepada 3.2791/2825 daripada 3.2918/2967 pada penutupan Jumaat.

    Ringgit akan menyusut nilai berbanding euro kepada 4.9474/9523 daripada 4.9340/9409 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.6975/7031 daripada 5.6819/6899 sebelum ini.

    Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN yang lain.

    Ringgit meningkat sedikit berbanding baht Thailand pada 13.2510/2697 dari 13.2539/2784 tetapi merosot berbanding dolar Singapura pada 3.414/4150 daripada 3.4012/4062 hari Jumaat.

    Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 308.6/309.1 daripada 307.3/307.9 dan lemah berbanding peso Filipina pada 8.26/8.28 daripada 8.24/8.25

  • Akidah bersih mampu selamatkan diri dari syirik – Pemangku Raja Perlis

    Akidah bersih mampu selamatkan diri dari syirik – Pemangku Raja Perlis

    AKIDAH yang bersih mampu menyelamatkan seseorang itu daripada syirik dan membawa kepada jalan hidup yang benar, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Baginda bertitah syirik adalah ‘ibu kesalahan fikir’ yang membawa seseorang ke arah cara berfikir yang salah dalam pelbagai perkara.

    “Sementara khurafat atau kepercayaan yang tidak berasas hanya akan merosakkan fikiran manusia,” titah baginda pada Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri Kelapan di Masjid Alwi di Kangar malam tadi.

    Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

    Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, barisan exco kerajaan negeri dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

    Tuanku Syed Faizuddin bertitah jika dibiarkan manusia akan mengharap kepada sesuatu yang tidak wujud ataupun tidak benar.

    “Dalam membetulkan cara fikir seseorang insan, syirik dan khurafat hendaklah dibersihkan dari merosakkan akal fikirannya.

    Maka tema Perkampungan Sunnah yang dipilih kali ini iaitu ‘Membanteras Syirik, Menghapus Khurafat’ mengangkat ketinggian intelektualisme atau keupayaan fikir dan kekuatan akidah umat Islam,” titah baginda.

    Baginda bertitah Islam adalah suatu agama yang meletakkan tauhid kepada Allah Aza Wajalla sebagai teras dalam penerimaan segala amal ibadah.

    “Apa yang menggusarkan apabila sebahagian daripada umat ini melakukan perkara yang boleh menjerumuskan diri mereka kepada dosa syirik,” titah baginda.

    Baginda bertitah dalam berakidah, seseorang Muslim wajib menjadikan al-Quran dan al- Sunnah sebagai panduan dalam kehidupannya.

  • Kejatuhan Ringgit:BNM perlu jujur, jangan ‘gula-gulakan’ rakyat-Hassan Karim

    Kejatuhan Ringgit:BNM perlu jujur, jangan ‘gula-gulakan’ rakyat-Hassan Karim

    KEJATUHAN dan prestasi Ringgit yang jatuh ke paras paling teruk ketika ini menimbulkan keresahan orang ramai kerana dilihat sudah seperti tidak terkawal. Malah dilihat tiada usaha konkrit daripada kerajaan perpaduan dalam menanganinya.

    Berikut adalah kenyataan penuh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang melahirkan kebimbangan dengan trend terkini penurunan Ringgit dan mahu Bank Negara Malaysia mengambil langkah segera supaya keadaan tidak bertambah buruk.

    BANK Negara Malaysia (BNM) kena tolong kerajaan. Tak kira apa nama kerajaan itu sama ada kerajaan perpaduan atau kerajaan keluarga Malaysia atau kerajaan prihatin.

    Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atau Menteri Ekonomi mereka adalah pemimpin politik di cabang eksekutif yang menggubal dasar dan melaksanakannya. Tugas mereka untuk seluruh negara. Berat dan luas.

    Jadi BNM terutama Gabenornya perlu membantu kerajaan. BNM perlu menasihati Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kebetulan orang yang sama.

    Gabenor BNM kena perjelas kepada Perdana Menteri satu hal spesifik. Misalnya isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). BNM kata kenaikan kadar OPR akan mengukuhkan nilai ringgit. Dah banyak kali OPR dinaikkan oleh Bank Negara tetapi kenapa nilai Ringgit Malaysia semakin jatuh. Contohnya pada hari Jumaat 26 Mei 2023 nilai satu dolar Amerika Syarikat bersamaan RM4.63.

    Jadi Gabenor BNM perlu berterus terang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apa sebenarnya punca kejatuhan Ringgit sekarang? Tidak bolehlah BNM menepis dan cuci tangan menyatakan Ringgit jatuh bukan salah mereka tetapi banyak faktor luar di luar kawalan mereka.

    BNM pun tidak boleh berhujah bahawa semua matawang asing juga jatuh macam ringgit. Nasib baik BNM tak cakap macam itu. Ketika nilai Ringgit jatuh berbanding Dolar Amerika, maka kenapa nilai Dolar Singapura dan Rupiah Indonesia naik melonjak.

    Jadi Gabenor BNM kena cakap jujur kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri hal sebenarnya yang menjadi punca kejatuhan Ringgit sekarang ini. Hendak salahkan kerajaan yang ada sekarang pun tidak boleh dan tidak adil. Bukan sekarang sahaja nilai Ringgit jatuh. Kerajaan dulu-dulu pun mengalami kejatuhan Ringgit.

    Misalnya, setahun yang lalu pada 22 Mei 2022 ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri, nilai Ringgit juga lemah. Tetapi soalannya kenapa selepas enam bulan kerajaan baru pimpinan Anwar Ibrahim mentadbir dengan pelbagai dasar-dasar kewangan yang baik, tetapi keadaan yang sama masih berlaku. Malah nilai Ringgit lebih rendah berbanding setahun lalu.

    Adakah wujud masalah struktur dalam sektor kewangan dan ekonomi Malaysia? Kita tidaklah boleh bersorak gembira. Apabila Dolar Singapura melonjak tinggi dan Ringgit Malaysia jatuh dan lemah maka peniaga di Johor Bahru dapat keuntungan besar atau rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sekarang melonjak pendapatannya dalam Ringgit Malaysia.

    Kejatuhan Ringgit Malaysia seperti tidak terkawal sekarang ini mempunyai kesan buruk kepada ekonomi Malaysia. Kita mengimport banyak barang dari luar negara. Malaysia juga ada berhutang dengan pihak luar. Ini semua memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, kos sara hidup rakyat dan hutang negara.

    Jadi gabenor Bank Negara dan pasukannya perlu memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet pimpinannya untuk selamatkan ekonomi dan kewangan negara yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat.Bercakap benarlah walaupun pahit.

    Adakah faktor lain yang bukan berbentuk ekonomi dan kewangan yang menjadi antara punca kejatuhan nilai Ringgit? Misalnya soal keyakinan rakyat Malaysia terhadap prestasi ekonomi negara ini dan masa depan kehidupan mereka. Kalau jawapannya ya, maka sila beritahu Perdana Menteri supaya langkah pemulihan dapat dilakukan oleh kerajaan.

    Selanjutnya, sebagai contoh, satu agensi dari Kementerian Ekonomi yang bernama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tiba-tiba pada 25 Mei 2023 melaporkan Indeks Pelopor (Leading Index) yang laporannya boleh ditafsirkan bahawa ekonomi Malaysia untuk suku ketiga tahun ini berkembang perlahan. Dalam bahasa harian rakyat ialah ekonomi Malaysia prestasinya tidaklah begitu baik.

    Jadi Gabenor BNM kena tolong beritahu hal yang sebenar kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang menjadi Menteri Kewangan.

    Jangan bagi kenyataan gula-gula iaitu kononnya, ekonomi dan kewangan Malaysia dalam landasan yang betul dan berkembang. Kononnya, nilai Ringgit jatuh sementara dan terkawal. Rakyat tidak mahu cakap-cakap seperti ini.

    Rakyat Malaysia sekarang cerdik dan mempunyai maklumat terkini di tangan mereka. Bercakap benarlah wahai Gabenor BN.

  • Jangan jual tanah kepada sindiket, kata Sanusi

    Jangan jual tanah kepada sindiket, kata Sanusi

    MENTERI Besar Kedah menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket penjualan tanah yang berselindung di sebalik permohonan tanah kerajaan yang diusahakan sebelum diberikan pemilikan.

    Menurut Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, pemilik tanah yang diberikan geran oleh kerajaan negeri sewajarnya tidak menjual tanah berkenaan bagi mengelak aktiviti sindiket tersebut terus berleluasa.

    “Aktiviti seumpama dikesan berlaku hampir di setiap daerah dan sudah lama berlarutan, menyebabkan kerajaan negeri mahupun pemilik tanah mengalami kerugian sedangkan golongan tersebut meraih keuntungan berganda.

    “Sudah tiba masanya kegiatan itu dihalang, kita akan pantau sebab ada laporan tidak bertulis. Amalan itu memang sudah lama wujud, berakar umbi.

    “Kita boleh kenal pasti golongan ini sebab mereka berurusan banyak kali di pejabat tanah dengan memohon nama orang lain. Kalau mereka datang lagi mohon, kita hambat,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah (JKTN) di Alor Setar hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya dalang tersebut diberkas dan tindakan akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada.

    “Saya nak pesan, kalau ada sindiket mohon tanah dan guna nama orang lain, hati-hati. Mereka sebenarnya sudah miliki banyak tanah hasil kegiatan seperti itu. Tak bolehlah macam itu, tanah semakin sikit, orang makin bertambah.

    “Kalau seseorang itu miliki tanah kerajaan dengan banyak, untunglah dia sebab tanah kerajaan premiumnya murah berbanding tanah jual beli. Kita harap orang yang ada duit belilah tanah, jangan mohon tanah kerajaan yang dikhususkan untuk orang miskin,” katanya.

    Menurutnya, pemilik tanah yang diberikan geran hak milik seharusnya mematuhi garis panduan ditetapkan, antaranya tidak menjual tanah berkenaan selama 10 tahun.

    “Saya harap pemilik tanah yang diberikan geran hak milik, jangan jual tanah. Setiap kelulusan baharu ada sekatan 10 tahun. Kita tidak akan meluluskan jika ada permohonan untuk buka sekatan tersebut untuk urusan jual beli.

    “Gadai boleh, seperti cagar di bank untuk bina rumah, jual beli tidak dibenarkan. Sebab kita luluskan permohonan supaya mereka ada harta (tanah) untuk diwarisi kepada anak cucu,” jelasnya.

    Muhammad Sanusi memaklumkan, keluasan tanah permohonan geran kini dihadkan kepada maksimum lima ekar berbanding 10 ekar sebelum ini.

    Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 642 permohonan geran hak milik diluluskan hari ini, melibatkan keluasan 381 hektar tanah serta premium mencecah RM2.99 juta.

    “Daerah Pendang melibatkan 277 geran dan Langkawi 105 geran untuk beberapa kampung membabitkan tanah pertanian. Kalau tanah komersial dibawa dalam mesyuarat Exco.

    “Kita akan pastikan tanah-tanah di pinggir hutan yang diteroka lebih 20 tahun diberikan hak milik. Ada permohonan hingga 56 tahun diusahakan baru dapat hak milik. Majlis penyerahan geran akan diadakan dalam masa terdekat sebagai bukti kita bercakap serupa bikin,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Polisi Kedah kukuh, tanah rizab Melayu tidak susut malah bertambah-Sanusi

    Polisi Kedah kukuh, tanah rizab Melayu tidak susut malah bertambah-Sanusi

    TIADA keperluan untuk Kedah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelamatkan Tanah Rizab Melayu (TRM) berikutan polisi sedia ada di negeri ini mampu mengekang penyusutan tanah rizab seperti dialami negeri lain.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dasar Kedah yang mewajibkan TRM untuk pengambilan pembangunan ekonomi, perumahan atau komersial hendaklah dilakukan ‘swapping’, yang mana kaedah itu perlu diganti lebih daripada yang digunakan sekurang-kurangnya lima peratus.

    “Berdasarkan dasar berkenaan, jumlah TRM di negeri ini tidak akan terjejas malah akan meningkat setiap kali dilakukan ‘swapping’.

    “Kita amalkan polisi untuk ‘swapping’, tanah ganti itu mesti lima peratus lebih luas daripada tanah yang dicabut keluar daripada rizab Melayu.

    “Polisi itu kekal, jadi tidak timbul masalah akan berlaku tanah rizab berkurang kerana tanah gantian mesti lebih luas daripada tanah asal. Polisi yang kita guna pakai sudah kukuh,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah (JKTN) di Alor Setar hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, keluasan Tanah Rizab Melayu di Kedah setakat Januari lalu ialah seluas 721,905.613 hektar, menunjukkan peningkatan keluasan sekitar 408 hektar pada tahun ini berbanding keluasan pada 1933.

    Berdasarkan warta dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem), keluasan asal tanah rizab Melayu di Kedah pada 1933 sebanyak 721,496.949 hektar.

    Dari tahun 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan TRM yang dicabut keluar adalah 4,751.369 hektar dan diganti balik seluas 5,160.034 hektar, iaitu peningkatan sebanyak 408 hektar berbanding keluasan asal.

    “Insya-ALLAH tanah rizab Melayu di Kedah selamat. Tak ada jawatankuasa pun selamat malah ada peningkatan lagi. Negeri lain yang ada pengurangan bolehlah tubuhkan jawatankuasa.

    “Apabila ditubuhkan jawatankuasa berkenaan, nampak seolah situasi kritikal sangat. Syukur Kedah tidak kritikal,” ujarnya.

    Muhammad Sanusi berkata, untuk negeri-negeri yang mengalami penyusutan TRM, kemungkinan cadangan menubuhkan jawatankuasa suatu yang munasabah.

    “Negeri yang kritikal mungkin sesuai untuk tubuh jawatankuasa seperti Kuala Lumpur dan Selangor serta negeri-negeri yang terjejas teruk. Untuk Kedah tiada keperluan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada Khamis, kerajaan Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas dan mengambil langkah migitasi dalam usaha menyelamatkan TRM di negeri itu.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menubuhkan jawatankuasa khas dalam usaha menyelamatkan TRM, antaranya termasuklah melakukan proses pemutihan dengan menyemak dan menilai semula kriteria syarikat yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu bagi sebarang permohonan pemilikan tanah.

  • ‘Sanusi cabar Anwar kemuka bukti PN terima dana judi’

    ‘Sanusi cabar Anwar kemuka bukti PN terima dana judi’

    DAKWAAN kononnya Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi bagi membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, hanya bertujuan untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap gabungan itu.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, berkata dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu itu juga bermotifkan politik semata-mata.

    Katanya, Pas mempunyai dana yang mencukupi tanpa perlu dibiayai pihak lain, berikutan derma daripada ahli-ahli Pas sendiri.

    “Ia (isu dana judi) dari awal hanya isu politik sahaja untuk timbulkan persepsi. Persepsi ini ada yang betul, ada yang tak betul.

    “Pas ini, duit ahli kita dok (ada) dalam poket, mai (datang) derma… mai derma. Kita haramkan judi di negeri ini, takkan tauke judi nak bagi derma kat kita. Nak buat aktiviti (judi) tak boleh, pergi tanya di negeri yang menghalalkan itu,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) di Wisma Negeri di Alor Setar hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan Anwar mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

    Namun, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.

    Bagaimanapun Anwar mempertahankan kenyataannya bahawa sebahagian dana PRU dimiliki PN yang juga parti Melayu dan Islam, diperoleh hasil syarikat perjudian.

    Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan membuat sebarang dakwaan tanpa asas.

    Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi mencabar Anwar supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu dengan segera.

    “Perdana Menteri pun tak boleh siasat sendiri, hanya agensi (SPRM) boleh buka fail. Fail dari agensi bukan dari dia.

    “Asas kepada semua dakwaan itu, Sila kemukakan bukti. Sebab dia yang tuduh, jadi dia kena buktikan, beban bukti terletak pada yang tuduh. Sila buktikan,” katanya.

  • Isu LCS: PH jangan berdiam diri

    Isu LCS: PH jangan berdiam diri

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang berdiam diri mengenai peningatan kos pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Malah beliau menggesa pemimpin PH yang sebelum ini lantang menyuarakan isu skandal LCS supaya mendesak kerajaan untuk mendedahkan perkara sebenar.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan, beliau sudah ajukan pertanyaan di Parlimen berhubung harga setiap kapal LCS.

    Katanya, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada masa itu tidak memberikan jawpaan yang tepat.

    “Hari ini baharu didedahkan bahawa kos LCS sudah meningkat kepada lebih RM11 billion berbanding RM9 billion sebelum ini. RM2 billion duit rakyat rugi begitu sahaja tanpa sesiapa bertanggungjawab.

    “Rakan-rakan PH yang sebelum ini turut menimbulkan isu LCS, jangan diam sahaja, tekan sehingga petualang sebenar dihadap ke pengadilan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan, Boustead Holdings Berhad (BHB) mendedahkan keseluruhan kos projek berkenaan meningkat kepada RM11.2 bilion susulan anak syarikatnya, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) menandatangani enam kontrak tambahan bersama kerajaan.

    Projek berkenaan yang didakwa sebagai perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara mula mendapat perhatian tahun lalu selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu daripada enam kapal disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM6.08 bilion bagi projek itu.

  • Tanah runtuh: Bangunan Akademi SPRM disah selamat diduduki

    Tanah runtuh: Bangunan Akademi SPRM disah selamat diduduki

    BANGUNAN Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur yang ditutup susulan kejadian tanah runtuh pada April disahkan selamat untuk diduduki.

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, runtuhan berpunca daripada insiden paip bawah tanah yang pecah sekali gus tidak membabitkan bangunan itu.

    Katanya, runtuhan tanah itu hanya membabitkan laluan ke bangunan akademi terbabit.

    “Kerja sementara termasuk menaikkan tanah yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di lokasi kejadian sudah siap dilakukan.

    “Kita akan memulakan kerja utama termasuk membaik pulih laluan dan memperbaiki beberapa kerosakan termasuk pondok keselamatan,” katanya lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT) kali ke-47 di Kuala Terengganu, hari ini.

    Pada 25 April lalu, kira-kira 70 individu di dua blok bangunan MACA diarah meninggalkan bangunan itu susulan kejadian tanah runtuh pada 1 tengah hari di hadapan pintu masuk bangunan berkenaan.