Category: Semasa

  • Program Prihatin Rakyat terus beri harapan kepada golongan pertengahan-Muhyiddin

    Program Prihatin Rakyat terus beri harapan kepada golongan pertengahan-Muhyiddin

    PELBAGAI inisiatif dijalankan bagi terus membantu golongan B40 khusunya penduduk luar bandar supaya tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan golongan lain.

    Antaranya Program Prihatin Rakyat hasil inisiatif Kelab Kebajikan Komuniti Bintulu yang diketuai oleh Penaungnya Ahli Dewan Negara Perikatan Nasional (PN) Senator Jaziri Alkaf Abdillah.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi membantu kumpulan B40 membina semula kehidupan setelah terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

    “Alhamdulilllah semalam saya dijemput untuk melancarkan Majlis Penanaman Kenaf di Rumah Panjang Sam anak Sumbang di Sungai Mas, Bintulu, Sarawak.

    “Saya dimaklumkan projek ini adalah sebahagian daripada Program Prihatin Rakyat melibatkan penduduk luar bandar khususnya kumpulan B40.

    “Saya juga difahamkan projek perintis ini melibatkan kawasan seluas 50 hektar dan telah diluluskan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN),” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Muhyiddin berkata, bagi pelan jangka panjang pula, Program Prihatin Rakyat ini akan dilaksanakan di kawasan penanaman seluas 2,000 hektar melibatkan 500 keluarga komuniti luar bandar.

    “Saya gembira apabila mendapat tahu para peserta yang kebanyakan adalah daripada kumpulan B40 boleh menjana pendapatan sehingga RM1,500 sebulan.

    “Bagi yang mempunyai tanah sendiri seluas 1.5 hektar pula pendapatan mereka boleh mencecah sehingga RM3,000 dalam tempoh 45 hari,” katanya.

    Menurutnya, beliau juga percaya program sebegini  dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus membantu membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

    “Saya berharap program seperti ini dapat diperluaskan bagi membantu lebih ramai penduduk membina semula kehidupan dengan menjadikan penanaman kenaf sebagai sumber pendapatan.

    “Terima kasih kepada LKTN yang banyak membantu seperti membekalkan biji benih, memantau tanaman serta memasarkannya.

    “Tahniah kepada YB Senator Jaziri, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju serta semua pihak yang bekerja keras menjayakan program yang memberi manfaat besar kepada penduduk Bintulu,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Pecah amanah RM24.8 juta: Penolong Akauntan Kesedar guna identiti 9 individu – Zahid

    Pecah amanah RM24.8 juta: Penolong Akauntan Kesedar guna identiti 9 individu – Zahid

    PENOLONG akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang ditahan berkait pecah amanah RM24.8 juta menggunakan identiti sembilan individu dalam badan berkanun itu.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang mendedahkan perkara itu berkata ia tindakan licik suspek lebih-lebih lagi dilakukan dalam tempoh lama.

    Sehubungan itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu tindakan tegas akan diambil selain tidak berkompromi kerana perkara itu membabitkan wang rakyat.

    “Saya mengambil tindakan tegas dan tidak akan pernah berkompromi kerana ini adalah wang cukai rakyat yang sepatutnya digunakan untuk peneroka Kesedar tetapi sebaliknya individu berkenaan guna untuk kepentingan peribadi. Tangkapan sudah dibuat, saya juga mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian mengambil tindakan perundangan segera,” katanya lapor Berita Harian.

    Ahmad Zahid sebelum itu menghadiri majlis pelancaran jerayawara program advokasi antigangguan seksual di Putrajaya.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, suspek akan dikenakan tindakan berdasarkan tatakelola sedia ada oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk digantung tugas.

    Sabtu lalu, seorang Penolong Akauntan Kesedar ditahan selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta sejak lapan tahun lalu.

    Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 12.21 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gua Musang.

    Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata suspek ditahan di rumahnya di bandar Gua Musang dan direman tujuh hari bermula Sabtu lalu.

    Katanya, penahanan dilakukan susulan laporan polis diterima berkait salah laku oleh kakitangan Kesedar.

    Ia berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh bahagian kewangan Kesedar melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023.

  • TNB berjaya ketepi perintah bayar ganti rugi RM4 juta

    TNB berjaya ketepi perintah bayar ganti rugi RM4 juta

    TENAGA Nasional Bhd (TNB) berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi RM4 juta kepada sebuah syarikat pembuatan keluli, kerana didakwa berlaku kecuaian berhubung gangguan bekalan elektrik ke kilang itu.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk M Gunalan membenarkan rayuan TNB untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas memutuskan TNB tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap tuntutan syarikat Southern Steel Berhad (SSB).

    Mahkamah juga mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya UEM Construction Sdn Bhd membayar pampasan kepada TNB berjumlah RM2 juta berhubung liabiliti TNB kepada SSB.

    Dalam alasan penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh 3 Mei tahun ini, Hakim Datuk Abu Bakar berkata, tuntutan ganti rugi SSB bagi tort kecuaian tidak boleh bertahan berdasarkan kerugian ekonomi semata-mata.

    “Melihat kepada rayuan itu, tidak dapat dinafikan relif yang dipohon oleh SSB bukan untuk kerugian kewangan akibat kerosakan fizikal terhadap harta benda SSB,” katanya sambil menambah mahkamah akan mempertimbangkan untuk membenarkan ganti rugi kepada SSB jika syarikat itu memohon kerosakan fizikal akibat gangguan bekalan elektrik.

    Hakim Abu Bakar berkata, TNB tidak mempunyai kewajipan untuk membayar ganti rugi RM4 juta kepada SSB.

    Beliau juga berkata, memandangkan TNB tidak bertanggungjawab terhadap SSB, perintah Mahkamah Tinggi terhadap UEM Construction untuk memberi pampasan kepada TNB juga perlu diketepikan.

    Panel itu juga menolak rayuan SSB terhadap kuantum ganti rugi yang diberikan kepada mereka oleh Mahkamah Tinggi. SSB telah menuntut lebih RM8 juta ganti rugi am dan/atau ganti rugi khas terhadap TNB.

    SSB memfailkan saman terhadap TNB mendakwa syarikat utiliti itu gagal membekalkan elektrik ke premis kilangnya dalam tempoh seminggu dari 26 Ogos 2008 hingga 1 Sept 2008.

    Syarikat itu mendakwa mereka tidak dapat menghasilkan keluli dan mengalami kerugian akibat gangguan elektrik.

    Sementara itu, TNB menamakan UEM Construction sebagai pihak ketiga dalam tuntutan saman SBB untuk menanggung sebarang liabiliti kerana TNB mendakwa UEM telah menyebabkan gangguan elektrik ke premis SSB.

    TNB mendakwa gangguan bekalan elektrik itu disebabkan kecuaian pihak ketiga ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan yang menyebabkan kerosakan pada kabel TNB yang membekalkan elektrik ke premis SSB.

    Pada 2015, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan SSB terhadap TNB dan memerintah syarikat utiliti itu membayar ganti rugi RM4 juta kepada SSB.

    Ia juga membenarkan tuntutan TNB terhadap UEM Construction dan memerintahkan UEM Construction menanggung separuh daripada RM4 juta tersebut selepas mendapati syarikat berkenaan 50 peratus penyumbang kecuaian terhadap insiden itu yang menyebabkan kerosakan pada kabel TNB yang secara langsung mengakibatkan gangguan bekalan elektrik ke premis kilang SSB.

  • Polis tahan wanita warga emas suspek utama skim penipuan pelaburan

    Polis tahan wanita warga emas suspek utama skim penipuan pelaburan

    POLIS menahan seorang wanita warga emas disyaki suspek utama kegiatan penipuan skim pelaburan perbankan pada Khamis lalu.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihaknya telah menerima dua laporan berkaitan kes penipuan skim pelaburan terbabit.

    Jelas beliau, berdasarkan siasatan, skim pelaburan terbabit mula beroperasi sejak awal tahun ini dan menawarkan pulangan sebanyak 30 hingga 70 peratus dari modal pelaburan yang dikeluarkan.

    “Skim pelaburan ini turut menawarkan slot-slot saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh 72 jam. Setelah mangsa membuat pindahan wang, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar.

    “Suspek berusia 60 tahun itu telah ditahan reman selama lima hari bermula Jumaat hingga esok (Selasa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek juga mempunyai rekod lampau berkait dua kes penipuan pelaburan berkaitan penjualan minyak diesel.

    Katanya, orang ramai yang mungkin menjadi mangsa skim pelaburan tersebut diminta tampil segera membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

    Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan sentiasa membuat semakan secara terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

    “Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lelaki didenda RM3,000 tumbuk bekas kekasih

    Lelaki didenda RM3,000 tumbuk bekas kekasih

    SEORANG duda didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka hari ini atas kesalahan mencederakan bekas kekasih dengan cara menumbuk muka serta merosak telefon bimbitnya.

    Sinar Harian melaporkan, Majistret Mazana Sinin memutuskan hukuman itu selepas Juan Kee Hean, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Seow Li Cha, 34, dengan menumbuk muka dan mata kanan serta siku kiri dalam sebuah kereta Honda City di hadapan rumah, di Jalan Kenangan 1/4, Taman Kenanga Seksyen 1, Melaka, kira-kira pukul 10, malam pada 1 Julai 2022.

    Pendakwaan itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerosakan dan kerugian ke atas telefon bimbit Samsung milik wanita itu, pada tarikh, masa dan di tempat sama dan boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah menghubungi mangsa kira-kira pukul 10 pagi dan memintanya datang ke rumah bagi mengambil anak-anak kerana tiada orang hendak menjaga mereka.

    Bagaimanapun mangsa memberitahu akan datang selepas waktu kerja dan ketika tiba di rumah pada pukul 10 malam, tertuduh menyatakan tidak perlu mengambil anak dan terus masuk ke kereta dan meminta dihantar ke kedainya.

    Pengadu enggan berbuat demikian dan terus menghubungi abangnya sebelum tertuduh bertindak merampas telefon bimbit serta mencampakkan telefon bimbit itu ke luar tingkap.

    Kemudian berlaku pergaduhan antara mereka yang mana tertuduh menumbuk muka, mata kanan dan siku kiri mangsa hingga luka dan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

    Mangsa menjelaskan dia mempunyai tiga anak berusia 17, 12 dan lapan tahun bersama tertuduh, namun tidak pernah mendaftar perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan baharu dua bulan tinggal berasingan kerana tiada persefahaman.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha memohon hukuman setimpal berdasarkan kecederaan dan kerugian RM240 dialami mangsa.

    Bagaimanapun tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab, Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan kerana tertuduh sudah insaf atas kesalahan yang dilakukan terhadap mangsa.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar bagi pertuduhan pertama dan denda RM2,000 atau 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

  • Wanita maut ditikam bekas tunang

    Wanita maut ditikam bekas tunang

    SEORANG wanita maut selepas ditikam berkali-kali oleh bekas tunangnya dalam kejadian di sebuah kedai di pusat beli-belah di Jalan Haji Saman, Kota Kinabalu.

    Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kira-kira 12 tengah hari tadi mengenai seorang wanita ditemui terbaring berlumuran darah di premis itu.

    Katanya, sampai di lokasi kejadian polis mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai masih bernyawa dan seorang lelaki dipercayai suspek masih berada di premis itu.

    “Pegawai perubatan yang tiba memberi bantuan kecemasan kepada wanita berkenaan tetapi mangsa meninggal dunia tidak lama selepas itu akibat kecederaan dialaminya.

    “Polis turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga bekas tunang mangsa di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Katanya, polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa berusia 22 tahun.

    Kalsom berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti motif suspek membunuh mangsa.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, menurut Harian Metro.

  • Kelompok ‘protes senyap’ dijangka tolak kerjasama PH-BN, kata Idris

    Kelompok ‘protes senyap’ dijangka tolak kerjasama PH-BN, kata Idris

    WALAUPUN pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dijangka sengit, namun silent protest (protes senyap) menolak parti PH dan UMNO dalam kalangan rakyat dijangka berlaku.

    Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata walaupun PH dan BN kini telah bersatu tidak sebagaimana Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, namun gabungan itu tidak boleh ke mana kerana sokongan rakyat terhadap mereka sebelum ini akan beralih arah.

    “Untuk mendapatkan sokongan orang Melayu, PH masih gagal dan penyokong BN pula terutama sekali daripada UMNO akan membuat ‘silent protest’ terhadap calon daripada gabungan itu kerana marah dengan kepimpinan tertinggi parti kerana adakan kerjasama dengan DAP,” katanya lapor HarakahDaily.

    Katanya, kalau dahulu UMNO disanjung kerana perjuangannya adalah ‘a…ba…ta (agama, bangsa dan tanah air), namun kini tiada lagi kerana telah bersepakat dengan DAP.

    “Bukan itu sahaja, pemimpin parti itu turut menyeru supaya ahli dan penyokong mengundi calon DAP pada PRN akan datang dan ini memberi kemarahan pada penyokong UMNO itu sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

    Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PRN dijangka diadakan selepas Hari Raya Aidiladha selepas jemaah haji pulang ke tanah air.

    Bagaimanapun katanya tidak dapat ditolak PRN boleh diadakan selepas beberapa hari sambutan Hari Raya Korban dan kemungkinan pada hari bekerja.

    “Sekiranya PRN diadakan pada hari bekerja ia boleh menyukarkan pengundi yang tinggal jauh balik mengundi kerana mereka sudah kembali ke kampung ketika sambutan hari raya.

    “Itu hanya kemungkinan yang boleh berlaku, namun kita berharap tarikh PRN diadakan pada hari cuti. Apa pun perkara itu di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya SPR,” katanya.

  • Lelaki maut terkena renjatan elektrik di Bidor

    Lelaki maut terkena renjatan elektrik di Bidor

    SEORANG lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Coldstream, di Bidor hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa yang berusia lingkungan 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Pihak bomba terima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergegas ke lokasi.

    “Tiada pengenalan diri ditemukan pada mangsa, ketua operasi membuat ‘size up’ dan mendapati masih ada arus elektrik di kawasan sekitar tersebut.

    “Susulan itu, pihak bomba meminta bantuan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan tiada lagi arus elektrik di situ,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Tarmizee Hassan itu tamat pada pukul 1.35 tengah hari.

  • Pelajar tolak rakan dari tangga hingga cedera ditahan polis

    Pelajar tolak rakan dari tangga hingga cedera ditahan polis

    POLIS menahan seorang pelajar Tingkatan Dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang kerana dipercayai menolak rakan sekelasnya dari tangga asrama dalam kejadian pada Khamis lalu.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa berusia 14 tahun terbabit dikatakan mengalami kecederaan di bawah mata dan luka di hidung.

    Difahamkan, mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk menerima rawatan pesakit luar sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, susulan kejadian itu, polis menahan suspek yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

    Jelas beliau, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

    “Berdasarkan siasatan, mangsa ditolak rakan sekelasnya lalu terjatuh dari tangga sehingga mengalami kecederaan.

    “Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa dan kita masih menyiasat punca kedua-dua pelajar itu berselisih faham,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

    Terdahulu, polis mengesahkan lima pelajar tingkatan lima ditahan bagi membantu siasatan kes buli yang berlaku di sekolah sama minggu lalu.

    Kejadian pada pukul 11 malam itu melibatkan seorang mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga dan dilaporkan berlaku di tandas lelaki salah satu blok bangunan sekolah berkenaan.

    Difahamkan, mangsa dipukul oleh pelajar tingkatan lima terbabit disebabkan alasan lambat turun untuk solat Subuh.

    Susulan itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua pelajar yang terlibat dalam kes buli tersebut akan diberhentikan.

    Jelas beliau, tindakan tegas itu diambil kerana pihaknya tidak boleh berkompromi dalam isu buli khususnya melibatkan institusi di bawah agensi terbabit.

  • 10 individu termasuk 8 wanita tempatan ditahan disyaki terlibat sindiket judi online

    10 individu termasuk 8 wanita tempatan ditahan disyaki terlibat sindiket judi online

    SERAMAI 10 individu warga tempatan masing-masing dua lelaki dan lapan wanita ditahan polis di sebuah rumah kedai di George Town, Pulau Pinang pada Khamis lalu selepas dipercayai terlibat dengan sindiket judi online.

    Ketua Polis Pinang Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua tangkapan berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang dan mereka dipercayai telah menjalankan kegiatan judi online itu sejak 10 bulan lalu.

    Menurut beliau, premis rumah kedai itu dijadikan pusat panggilan sindiket terbabit untuk mempromosi kegiatan judi online terbabit termasuk kepada pelanggan di luar negara.

    “Modus operandi sindiket ini ialah suspek akan dibekalkan nombor telefon daripada ejen di lokasi berlainan menerusi Google Drive untuk menghubungi pelanggan termasuk di luar negara untuk membuat penawaran judi online.

    “Sekiranya ada yang berminat, suspek akan memberikan pautan (link) kepada pelanggan bagi tujuan pendaftaran dan segala transaksi kewangan akan diuruskan oleh ejen lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Tambahnya, kesemua tangkapan telah diberikan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Jelas beliau, dalam operasi sama, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 16 unit telefon bimbit, 10 unit CPU, 10 unit keyboard, skrip perbualan dan banyak lagi.