Category: Semasa

  • Skandal LCS: Kenapa tiada dakwaan?

    Skandal LCS: Kenapa tiada dakwaan?

    PELBAGAI pihak mendesak kerajaan menjelaskan masalah yang dihadapi membabitkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) berikutan terdapat beberapa persoalan tadbir urus dan ketelusan masih tidak terjawab.

    Mereka turut mempersoalkan kenapa sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil bagi menangani pelbagai persoalan dibangkitkan, termasuk mengheret dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

    Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan dalam satu kenyataan semalam berkata, kerajaan perlu telus dalam menjelaskan permasalahan projek LCS selepas menyahklasifikasikan Laporan Perolehan dan Siasatan Kewangan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

    “Malah beliau (Ambrin) menyatakan bahawa kerajaan tidak sepatutnya bersembunyi di belakang Akta Rahsia Rasmi atau menggunakan alasan ‘keselamatan negara’ sekiranya penyalahgunaan kuasa atau rasuah dikesan,” katanya.

    Isu LCS menarik semula perhatian apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Jumaat lalu bahawa Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS), sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan (MOF).

    Bagaimanapun, Mohamad berkata, pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

    Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak mempunyai pilihan, selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu BNS supaya projek dapat diselesaikan.

    Perdana Menteri berkata, ia berikutan kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek LCS.

    “Ada projek yang on-going yang mesti kita (kerajaan) selesaikan termasuk LCS. Kita tiada pilihan, dah belanja RM6 bilion. Kita tidak boleh tutup, kita kena ambil alih untuk menyelesaikan projek,” katanya lapor BH.

    Muhammad juga berkata, Anwar berkali-kali menyatakan komitmen tegas beliau untuk memerangi rasuah dan menambah baik amalan tadbir urus dan integriti dalam sektor awam.

    “(Justeru) memastikan projek LCS tidak terbengkalai adalah penting. Memastikan mereka yang bertanggungjawab untuk projek bermasalah ini dan mengenakan tindakan ke atas mereka juga adalah penting,” katanya.

    TI-M terima keputusan

    Tambahnya, TI-M menerima pakai rasional keputusan yang dibuat kerajaan untuk menubuhkan SPV yang akan mengambil alih tanggungjawab BNS, syarikat yang diberi kontrak pada 2011 untuk membina dan membekalkan enam LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Katanya, ia kerana RM6.083 bilion wang pembayar cukai sudah pun dibayar. Namun, Muhammad mendakwa melalui semakan yang dibuat berkaitan status projek berkenaan mendapati terdapat beberapa hasil keputusan yang tidak memuaskan.

    “Antara persoalan yang timbul adalah kapal pertama antaranya dijadualkan untuk dihantar pada April 2019, selepas empat tahun, namun tiada satu kapal pun yang diterima.

    “Projek yang menelan belanja RM9 bilion sudah meningkat kepada RM11.2 bilion dan kini TLDM hanya akan menerima lima kapal LCS berbanding rundingan awal enam,” katanya.

    Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 7 Ogos 2022 mendedahkan, tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion menerusi BNS.

    Pengerusi PAC ketika itu, Wong Kah Woh berkata, terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu dan PAC mendapati BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek berkenaan.

    Laporan PAC turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS, antara perolehan terbesar negara yang digariskan di bawah Pelan Transformasi Armada 15 hingga 5 TLDM.

    Pembongkaran skandal LCS turut memaksa kerajaan ketika itu mendedahkan laporan audit dan laporan forensik berkaitan projek berkenaan, sekali gus kemungkinan wujud penyelewengan dana kerajaan sepanjang projek berkenaan berjalan.

    Dalam nada sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata kerajaan perlu memastikan tindakan tegas diambil ke atas individu yang terbabit dalam skandal berkenaan.

    “Tindakan mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam skandal ini penting dalam usaha membanteras gejala rasuah yang sedang berleluasa.

    “Pendakwaan itu akan memastikan Perdana Menteri benar-benar serius dalam membanteras rasuah dan bukan sekadar retorik,” katanya.

    Murugiah berkata, usaha memperkasa keselamatan dan aset pertahanan negara adalah keutamaan penting, tambahan pula TLDM menunggu sekian lama untuk memperoleh kapal berkenaan.

  • Warga emas ditahan disyaki ikat,heret anjing hingga mati

    Warga emas ditahan disyaki ikat,heret anjing hingga mati

    SEORANG lelaki warga emas disyaki menyebabkan kematian seekor anjing di Kampung Sri Parit, Lukut pada Sabtu ditahan pihak polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Suptendan Aidi Sham Mohamed, berkata polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 44 tahun yang melihat seekor anjing telah diperlakukan dengan kejam sehingga cedera dan berdarah.

    “Pengadu telah melihat anjing tersebut diikat dan diheret dengan menggunakan kereta. Akibat kejadian itu, anjing tersebut telah mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya tangkapan dilakukan terhadap pemilik anjing berusia 61 tahun itu kira-kira 10.05 malam semalam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson dan direman sehari.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan, lapor SatuBerita.

  • Mahkamah benar Bersatu cabar pembekuan akaun, sekatan perjalanan Muhyiddin

    Mahkamah benar Bersatu cabar pembekuan akaun, sekatan perjalanan Muhyiddin

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencabar perintah pembekuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas akaun parti itu dan sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Hakim Ahmad Kamal Shahid membenarkan permohonan kebenaran Bersatu atas alasan bahawa parti itu telah memenuhi keperluan undang-undang untuk mahkamah mendengar semakan kehakiman mereka dalam perbicaraan penuh.

    Pada Mac, Bersatu mengemukakan permohonan untuk mempersoalkan perintah pembekuan terhadap akaun mereka.

    Parti itu mendakwa arahan itu dilakukan dengan niat jahat, lapor FMT.

    Muhyiddin sebelum ini mendakwa sekatan perjalanan dikenakan ke atasnya secara salah dan tidak dimaklumkan mengenainya.

    Bekas Perdana Menteri itu juga berkata larangan berkenaan bertujuan untuk mencemarkan reputasinya dan membuatnya kelihatan seolah-olah telah melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.

  • Beri kemas kini kemajuan pelaburan susulan MoU China, kerajaan diberitahu

    Beri kemas kini kemajuan pelaburan susulan MoU China, kerajaan diberitahu

    KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) digesa menyediakan laporan berkala mengenai kemajuan pelaburan berikutan pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat korporat China baru-baru ini.

    Bekas Pengerusi Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi, Noor Azlan Ghazali berkata, laporan sedemikian akan membolehkan masyarakat umum memantau sama ada komitmen pelaburan telah direalisasikan.

    Beliau menjawab komen Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan telah menjalankan proses saringan menyeluruh sebelum meluluskan penglibatan syarikat tempatan dalam kerjasama itu.

    Noor Azlan berkata, penting untuk masyarakat umum faham bahawa proses menarik pelaburan perlu melalui beberapa peringkat.

    “Lebih elok jika setiap peringkat itu dijadikan lebih telus dalam erti kata ia memberi kita sedikit gambaran tentang kemajuan, dan apa yang akan datang.

    “Pada masa sama, langkah ini akan menjadikan agensi terbabit lebih bertanggungjawab,” katanya memetik laporan FMT.

    Sebagai amalan lazim, katanya, MITI akan melaporkan prestasi ‘pelaburan yang diluluskan” itu, sambil menambah bahawa mungkin terdapat keadaan yang menyebabkan kelewatan dalam merealisasikan pelaburan.

    Noor Azlan berkata, semua perjanjian pelaburan berpotensi mesti dikemukakan kepada Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) untuk dinilai sebelum keputusan dibuat.

    “Kita dengar ada pihak menandatangani MoU dan terdapat potensi pelaburan. (Bagaimanapun) selepas beberapa lama, kita tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.

    Noor Azlan menggesa agar kerajaan mewujudkan struktur pelaporan standard untuk melihat sama ada sasaran pelaburan yang ditetapkan tercapai.

    Beliau berkata, proses pelaporan itu dapat memberikan amaran kepada kerajaan dan agensi berkaitan tentang halangan yang dihadapi supaya mereka dapat bersedia untuk menanganinya.

    Pada Rabu, Tengku Zafrul berkata, beberapa kementerian dan agensi telah menjalankan proses saringan yang telus dan komprehensif terhadap syarikat Malaysia sebelum membenarkan mereka menjalin kerjasama dengan rakan kongsi dari China.

    Langkah ini diambil bagi memastikan kerjasama itu membawa manfaat ekonomi yang ketara bagi negara, katanya.

    Tengku Zafrul menjawab Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, yang meminta kerajaan menjelaskan bagaimana syarikat tanpa rekod prestasi yang elok dibenarkan menandatangani MoU semasa kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini.

    Di Dewan Rakyat pada Isnin, Johari meminta MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelaskan proses saringan yang membolehkan syarikat-syarikat sedemikian dipilih.

    Beliau juga bertanya bagaimana MITI akan memastikan pemeteraian 19 MoU itu, yang dikatakan bernilai sekitar RM170 bilion, membawa manfaat buat rakyat Malaysia secara menyeluruh.

    Tengku Zafrul menjelaskan bahawa angka RM170 bilion yang disebut itu ialah jumlah komitmen pelaburan, termasuk RM100.3 bilion pelaburan daripada syarikat korporat terkemuka China, dan RM69.7 bilion melibatkan 19 MoU antara perniagaan tempatan dan China.

  • Bekas tunang dibunuh kerana enggan teruskan hubungan

    Bekas tunang dibunuh kerana enggan teruskan hubungan

    TIDAK puas hati kerana ikatan diputuskan dipercayai menjadi motif seorang lelaki menikam bekas tunangnya hingga mati di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, wanita berusia 21 tahun yang juga pembantu kedai di premis berkenaan ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, mangsa memutuskan pertunangan dengan suspek tiga hari lalu atas alasan peribadi.

    “Suspek dikatakan sering mengganggu mangsa hingga mencarinya di tempat kerja kerana tidak puas hati pertunangan diputuskan.

    “Mangsa yang merupakan warga tempatan yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai dan bekerja sendirian ketika kejadian sebelum didatangi bekas tunangnya yang dikenali selama setahun.

    “Suspek dikatakan memujuk mangsa namun wanita itu enggan meneruskan perhubungan mereka.

    “Suspek dipercayai mendekati mangsa sebelum menikamnya beberapa kali, menyebabkan wanita itu rebah ke lantai berhampiran kaunter juruwang,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Kalsom berkata, mangsa menjerit meminta tolong dan anggota keselamatan yang kebetulan berada berhampiran bergegas ke tempat kejadian.

    “Saksi melihat mangsa terlantar di lantai manakala suspek berdiri di sebelahnya sambil memegang satu objek berlumuran darah,” katanya.

    Anggota polis membawa keluar mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 bagi proses bedah siasat.

    Pihak keselamatan ujar beliau, menghubungi polis dan suspek warga tempatan ditangkap di lokasi kejadian.

    Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota polis ke lokasi dan menemui mangsa sebelum menghubungi paramedik.

    “Pasukan paramedik yang tiba pukul 12.50 tengah hari cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun tidak berjaya sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari.

    Katanya, selain menahan suspek, pihak polis turut menemui sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk proses reman,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • ‘’Saya nak jumpa  tapi dia tak nak jumpa saya, susah betul’’ – Sanusi

    ‘’Saya nak jumpa  tapi dia tak nak jumpa saya, susah betul’’ – Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih menunggu persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan projek pembangunan industri penerbangan, Kedah Aerotropolis.

    Beliau berkata setakat ini Anwar masih tidak memberi sebarang maklum balas mengenai permohonan mengadakan pertemuan antara mereka.

    “Saya nak jumpa (Anwar) tapi dia tak nak jumpa saya, susah betul.Di LIMA23 baru-baru ini saya tak ada bercakap mengenai isu itu. Beliau ada lalu tengok reruai kita mengenai projek Aerotropolis tetapi saya pun tak ada kesempatan panjang nak bercakap mengenai tajuk itu.

    “Saya perlu masa lebih panjang dan sesuai. Jumpa di situ tak sesuai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman di  Alor Setar hari ini, lapor Berita Harian.

    Pada Februari lalu, media melaporkan Kedah tidak akan berputus asa untuk meyakinkan Kerajaan Persekutuan mengenai faedah yang bakal diperolehi menerusi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang tidak dipertimbangkan dalam Belanjawan 2023.

    Muhammad Sanusi dilaporkan berkata usaha untuk membuat pembentangan projek berkenaan di hadapan Anwar akan tetap dilakukan bagi merealisasikannya.

    Katanya, setakat ini sudah dua kali surat permohonan bertemu bagi tujuan itu telah pun dihantar kepada Perdana Menteri namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat sebelum itu berkata Kerajaan Pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim.

    Sebaliknya Anwar berkata kerajaan bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baharu.

    Menurut Anwar, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meneruskan penganjuran LIMA’23.

    Katanya, sambutan LIMA’23 cukup hebat dengan kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri dilihat cukup bagus.

    “Terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan dan agensi persekutuan yang telah bertungkus-lumus menjayakan LIMA’23. Begitu juga dengan agensi kerajaan negeri yang ‘all out’ bagi menjayakannya. Kerjasama ditunjukkan cukup bagus, Alhamdulillah. Terima kasih Kerajaan Persekutuan teruskan LIMA,” katanya.

  • Khairy kata Johari Ghani patut dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua

    Khairy kata Johari Ghani patut dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua

    AHLI Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Ghani sepatutnya dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua untuk membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ketika melontarkan pandangan itu, Khairy Jamaluddin berkata, pertanyaan Johari di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung syarikat tanpa rekod prestasi dibenarkan menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat China adalah bukti yang beliau mempunyai kepakaran untuk memegang jawatan itu.

    Katanya, Johari tidak akan membangkitkan soal kebimbangkan syarikat yang menandatangani perjanjian itu sekiranya tidak membuat kajian terhadap syarikat terbabit.

    “Saya rasa mungkin selepas pilihan raya negeri, Johari patut jadi Menteri Kewangan Kedua kerana setiap kali Perdana Menteri memegang portfolio kewangan, ada Menteri Kewangan Kedua,” katanya dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ bersama Shahril Hamdan, lapor FMT.

    Ketika ini Anwar adalah Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

    Khairy berkata ketika  zaman Tun Dr Mahathir Mohamad selepas memecat Anwar, beliau melantik Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai menteri kewangan kedua.

    Begitu juga pada zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melantik Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai Menteri Kewangan Kedua.

    Malah ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjadi Menteri Kewangan Kedua pada penggal pertama dan Johari pada penggal kedua.

    Khairy berkata, sungguhpun Anwar seorang yang berbakat namun beliau turut dibebani tanggungjawab besar sebagai Menteri Kewangan yang memerlukan banyak keputusan teliti untuk dibuat.

    “Sebab saya dari awal saya kata PMX (Anwar) adalah ahli politik yang berbakat tapi tak kira betapa berbakat pun anda, tak ada seorang pun individu yang boleh melaksanakan kedua-dua tugas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara penuh.

    “Menteri Kewangan perlu membuat banyak keputusan dan menyemak banyak dokumen setiap hari, kebanyakkannya tidak boleh diwakilkan kepada timbalan,” katanya yang menyokong penuh jika Johari dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua.

  • UMNO akan hilang separuh undi Melayu – KJ

    UMNO akan hilang separuh undi Melayu – KJ

    PELUANG UMNO untuk meraih sokongan pengundi khususnya daripada orang Melayu dalam  di 6 negeri terus menjadi tumpuan. 

    Terbaru, bekas Ketua Pemuda UMNO,  Khairy Jamaluddin meramalkan UMNO akan hilang separuh sokongan undi Melayu pada PRN akan datang jika tidak menghapuskan persepsi buruk terhadap DAP yang “didoktrin” sekian lama.

    Katanya,  kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai “undi DAP” adalah sensitif sehingga mencetuskan kemarahan dan penolakan dalam kalangan ahli parti itu.

    “Pandangan dan perasaan orang UMNO bukan terhadap satu kaum, soal Melayu dan Cina, tetapi terhadap parti DAP itu sendiri, yang selamanya ‘didoktrin’ dalam Umno sebagai musuh atas sebab-sebab tertentu.

    “Kalau benda ini tidak dibendung, ramai penyokong UMNO akan memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti. Sekurang-kurangnya 50% daripada mereka yang selama ini menyokong Umno,” katanya dalam episod terbaru podcast “Keluar Sekejap” bersama Bekas Ketua Penerangan UMNO  Shahril Hamdan.

    Terdahulu, Ahmad meminta ahli UMNOmenganggap calon DAP pada PRN di enam negeri sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan atas nama parti sahaja.

    Kenyataan beliau ditegur oleh  Ahli MKT UMNO, Isham Jalil yang memberi amaran sokongan kepada UMNO akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada PRN.

    Bagaimanapun, MKT UMNO pada 27 Mei lalu menerima penjelasan Ahmad berhubung kenyataannya menggesa ahli parti itu mengundi DAP.

    Ahmad memberi penjelasan dia tidak pernah menyebut “DAP”, sebaliknya meminta akar umbi menyokong calon kerajaan perpaduan.

    Dalam perkembangan yang sama Khairy berkata Pakatan Harapan (PH) dinilai sebagai lebih berguna kepada Barisan Nasional (BN) berbanding BN kepada PH.

    “Maksudnya pengundi PH yang tidak akan sokong calon BN jumlahnya lebih kecil daripada pengundi UMNO yang tidak akan sokong calon daripada PH. Sebab PH tak akan buang undi kepada PN, kebanyakan penyokong mereka sudah tentu bukan Melayu dia tidak akan beri undi kepada Pas, Bersatu. Mereka akan campak kepada UMNO atau dia tak akan keluar mengundi,” katanya.

    Namun, katanya penyokong UMNO ada kemungkinan memberi undi kepada PN daripada PH.

    Shahril yang senada dengan Khairy berkata angka peralihan undi itu akan naik lagi apabila wujudnya ketidaksefahaman dalam kalangan UMNO.

  • Program Prihatin Rakyat terus beri harapan kepada golongan pertengahan-Muhyiddin

    Program Prihatin Rakyat terus beri harapan kepada golongan pertengahan-Muhyiddin

    PELBAGAI inisiatif dijalankan bagi terus membantu golongan B40 khusunya penduduk luar bandar supaya tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan golongan lain.

    Antaranya Program Prihatin Rakyat hasil inisiatif Kelab Kebajikan Komuniti Bintulu yang diketuai oleh Penaungnya Ahli Dewan Negara Perikatan Nasional (PN) Senator Jaziri Alkaf Abdillah.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi membantu kumpulan B40 membina semula kehidupan setelah terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

    “Alhamdulilllah semalam saya dijemput untuk melancarkan Majlis Penanaman Kenaf di Rumah Panjang Sam anak Sumbang di Sungai Mas, Bintulu, Sarawak.

    “Saya dimaklumkan projek ini adalah sebahagian daripada Program Prihatin Rakyat melibatkan penduduk luar bandar khususnya kumpulan B40. Saya juga difahamkan projek perintis ini melibatkan kawasan seluas 50 hektar dan telah diluluskan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN),” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Muhyiddin berkata, bagi pelan jangka panjang pula, Program Prihatin Rakyat ini akan dilaksanakan di kawasan penanaman seluas 2,000 hektar melibatkan 500 keluarga komuniti luar bandar.

    “Saya gembira apabila mendapat tahu para peserta yang kebanyakan adalah daripada kumpulan B40 boleh menjana pendapatan sehingga RM1,500 sebulan. Bagi yang mempunyai tanah sendiri seluas 1.5 hektar pula pendapatan mereka boleh mencecah sehingga RM3,000 dalam tempoh 45 hari,” katanya.

    Menurutnya, beliau juga percaya program sebegini  dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus membantu membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

    “Saya berharap program seperti ini dapat diperluaskan bagi membantu lebih ramai penduduk membina semula kehidupan dengan menjadikan penanaman kenaf sebagai sumber pendapatan.

    “Terima kasih kepada LKTN yang banyak membantu seperti membekalkan biji benih, memantau tanaman serta memasarkannya.

    “Tahniah kepada YB Senator Jaziri, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju serta semua pihak yang bekerja keras menjayakan program yang memberi manfaat besar kepada penduduk Bintulu,” katanya.

  • Tidak wujud sempadan Kedah dan Pulau Pinang, Pulau Pinang Hak Kedah – Sanusi

    Tidak wujud sempadan Kedah dan Pulau Pinang, Pulau Pinang Hak Kedah – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    “YANG saya tahu Pulau Pinang itu Kedah punya.”

    Itu dakwaan dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditanya sama ada negeri itu mahu turut menyelesaikan persempadanan dengan negeri-negeri berjiran yang lain setelah Kedah memuktamadkan sempadan darat serta maritim dengan Perlis, hari ini.

    Menurut Muhammad Sanusi, beliau merasakan tidak wujud sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang.

    “Tak ada sempadan Kedah dan Pulau Pinang tetapi dengan Perak, mungkin ada. Ini bukan nak ambil semula sebaliknya kita tak ada terlepas apa pun.

    “Memang hak kita… Tak ada sempadan Kedah dan Pulau Pinang.

    “Nak ukur tang mana, ‘habaq pi’ (beritahu). Nak pakai warta nombor berapa pun beritahu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat Serta Maritim Antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Dalam majlis tersebut, Kedah dan Perlis memuktamadkan perjanjian sempadan darat dan maritim secara serentak, sekali gus mencatat sejarah selaku dua negeri pertama di Malaysia yang menyelesaikan dua sektor tersebut secara bersekali.

    Pada majlis itu Muhammad Sanusi bersama Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli menandatangani tiga dokumen iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) Menerima Hasil Penandaan dan Pengukuran dijalankan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Perjanjian Sempadan Darat Kedah Perlis serta Perjanjian Sempadan Maritim.

    Sementara itu dalam sidang akhbar sama, Muhammad Sanusi turut meminta semua pihak agar tidak mengheret isu kononnya Pas diajak menyertai kerajaan Perpaduan, ke tahap yang terlalu jauh.

    “Tok Guru (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) kata ada orang nak jumpanya dan beliau sanggup jumpa sesiapa saja termasuk Anwar. Beliau kata ‘hat’ itu saja dan tak kata pun orang ajak beliau masuk kerajaan Perpaduan.

    “Dakwaan itu akhbar yang tulis kemudian akhbar ulas, nayalah Tok Guru kalau begitu. Tak patut ambil daripada benda-benda begitu kemudian dipanjangkan lagi sebaliknya balik kepada asal iaitu banyak orang nak jumpa beliau dan Abdul Hadi sanggup jumpa sesiapa pun,” katanya.