Category: Semasa

  • Anak perempuan sesak nafas, makan biskut ‘ganja’ buatan bapa

    Anak perempuan sesak nafas, makan biskut ‘ganja’ buatan bapa

    SEORANG kanak-kanak perempuan 11 tahun dibawa ke hospital akibat sesak nafas selepas dipercayai termakan biskut dibuat bapanya yang disyaki dicampur ganja di Lawin, Gerik, malam tadi.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Lawin pada pukul 10.26 malam tadi, menyebut seorang kanak-kanak berusia 11 tahun mengalami sesak nafas, pening dan loya.

    Mohd. Yusri berkata, siasatan awal mendapati mangsa termakan biskut dipercayai dicampur ganja dibuat bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

    “Bapa kanak-kanak itu reman lima hari bermula hari ini manakala saringan ujian awal air kencing mendapati suspek berusia 38 tahun itu positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

    “Selepas dibawa ke Klinik Kesihatan oleh bapanya, mangsa dihantar ke Hospital Gerik dan seterusnya dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.

    “Keadaan kanak-kanak itu kini stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Penjaga pusat asuhan mengaku tak bersalah aniaya budak lelaki

    Penjaga pusat asuhan mengaku tak bersalah aniaya budak lelaki

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita yang bekerja di pusat asuhan kanak-kanak swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, pertengahan bulan ini.

    Tertuduh Ng Shu Tian, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di bawah peliharaannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pusat asuhan kanak-kanak swasta di Taman Molek di sini jam 4 petang pada 22 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Ooi Hong Ming.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di Balai Polis Bukit Gambir, Muar setiap bulan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Sarjan didakwa minta suapan supaya tak ambil tindakan

    Sarjan didakwa minta suapan supaya tak ambil tindakan

    SEORANG polis trafik berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan meminta suapan agar tidak diambil tindakan bagi kesalahan menggunakan kenderaan tiada permit untuk tujuan perdagangan barang.

    Mohd Arun Shah Syazwan, 31, yang bertugas di pejabat bahagian trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (IPD Gombak) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya daripada dua lelaki wang tunai berjumlah RM800 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang melakukan kesalahan menggunakan kenderaan tidak memiliki permit untuk tujuan perdagangan barang di pejabat bahagian trafik, IPD Gombak, Gombak, Shah Alam pada 1 Disember 2020.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Julai ini.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam, Effa Ruzanna Anuar.

  • ‘’Bukan saya buat tawaran kepada Pas’’ – Anwar

    ‘’Bukan saya buat tawaran kepada Pas’’ – Anwar

    DATUK SERI Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tawaran kepada Pas untuk menyertai kerajaan perpaduan bukan datang daripadanya.

    “Tak tahu (dari) siapa. Tidak dari saya, (mahupun) pimpinan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur hari ini, lapor FMT.

    Beliau berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan pun oleh kepimpinan PH mahupun BN.

    Sabtu lepas, Presiden Pas Hadi Awang mendedahkan beliau beberapa kali dihubungi “orang tertentu” yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

    Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mendakwa tawaran itu “strategi” untuk memecahbelahkan PN dalam menghadapi PRN akan datang.

    Sementara itu, Anwar menggesa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merujuk perjanjian Perlembagaan Persekutuan berhubung sempadan Kedah dan Pulau Pinang.

    Ia susulan Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

    Sanusi turut mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

    Anwar  berkata, walaupun ada perjanjian 100 tahun dulu atau 1,000 tahun dulu, ia adalah perjanjian mutakhir, pertubuhan Persekutuan dalam Melayu, Malaysia dan itu jelas.

    “Saya bila ulas ini berdasarkan ulasan peguam negara yang cukup keras iaitu menghormati perjanjian perlembagan yang diperkenankan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah,” katanya.

  • Swatch sanggah menteri, tegas jam dirampas tiada perkataan LGBT

    Swatch sanggah menteri, tegas jam dirampas tiada perkataan LGBT

    SWATCH Malaysia menolak kenyataan menteri bahawa jam tangan mereka yang dirampas kerajaan awal bulan ini tertera tulisan LGBTQ, yang merujuk kepada lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer.

    Syarikat jam terkemuka dunia itu sebaliknya menjelaskan tulisan LGBT hanya tertera pada jam yang dirampas pada tahun sebelumnya.

    “Berkaitan dengan berita yang baru diterbitkan yang menyatakan bahawa semua jam tangan Swatch yang dirampas mempunyai perkataan LGBT, Swatch Malaysia tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. 

    “Jam tangan yang berkaitan adalah daripada koleksi tahun ini dan tidak mempunyai perkataan LGBT di dial, tali atau case

    “Satu-satunya jam tangan yang dirampas dengan perkataan LGBT adalah daripada koleksi tahun lepas,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata huruf LGBTQ jelas tertera di atas permukaan jarum jam tangan Swatch yang dirampas oleh kementeriannya awal bulan ini.

    Katanya serupa turut tidak dijual di negara Islam seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan sensitiviti agama.

    Penafian Swatch hari ini adalah yang kedua selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch Nick Hayek berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang memeprtahankan rampasan itu, ‘tersalah maklumat’.

    Serbuan terhadap kedai Swatch kerana mempamerkan koleksi jam warna-warni Pride dibuat di seluruh negara pada 13 Mei dan 14 Mei lalu.

    Warna-warni pelangi melambangkan pergerakan LGBT, yang juga dirujuk sebagai LGBTQ yang menyokong hak golongan itu.

    Swatch mengancam tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula jam tangan tersebut, lapor akhbar Switzerland Tages-Anzeiger.

  • SPRM percaya Jho Low sedang bersembunyi di Macau

    SPRM percaya Jho Low sedang bersembunyi di Macau

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘percaya’ usahawan Malaysia Low Taek Jho yang menjadi buruan tersebut sedang bersembunyi di Macau.

    Menurut laporan Al Jazeera hari ini, SPRM dipetik dalam jawapan bertulis sebagai berkata, bahawa ini disahkan oleh beberapa individu yang pernah melihat Jho Low di Macau.

    “SPRM percaya individu-invidu yang dikehendaki untuk (kes) 1 Malaysia Development Bhd (1MDB), terutamanya Jho Low, sedang bersembunyi di Macau,” lapor Al Jazeera.

  • 9,078 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci

    9,078 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci

    SERAMAI 9,078 jemaah haji Malaysia kini sudah berada di Mekah dan Madinah, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Katanya, daripada jumlah itu seramai 2,966 orang di Makkah dan 6,112 di Madinah.

    ‘’Mereka adalah jemaah yang telah berlepas 21 Mei lalu melibatkan 30 daripada 98 penerbangan dan penerbangan terakhir dijangka tiba di Tanah Suci pada 21 Jun ini,’’ katanya lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah

    Beliau berkata, setakat ini operasi haji berjalan lancar manakala kesihatan  jemaah berada dalam keadaan baik.

    “Bagaimanapun lapan jemaah  dimasukkan ke hospital iaitu enam orang di Hospital Tabung Haji (TH) di Madinah dan Mekah, manakala dua lagi ditempatkan di hospital Arab Saudi di Mekah. Mereka yang berusia 60 tahun ke atas itu dirujuk ke hospital kerana mengalami jangkitan paru-paru dan seorang jemaah wanita cedera di kaki kerana terjatuh,” katanya.

    Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, Malaysia sekali lagi menjadi negara pertama mendapat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi pada 25 Mei lalu untuk membuka operasi pusat kesihatan di Madinah.

    “Alhamdulillah ini adalah satu pengiktirafan kepada perkhidmatan kesihatan kita dan juga menunjukkan persediaan dan fasiliti yang ada telah mencapai satu tahap tinggi membolehkan kepada kebenaran beroperasi ini. Dari segi nisbah kemudahan yang disediakan seperti katil dan doktor dengan jumlah jemaah haji, tidak dapat dinafikan bahawa kita yang terbaik dan tertinggi berbanding dengan pihak lain,” katanya.

    Beliau berkata, pada tahun ini juga kriteria untuk mendapatkan kelulusan adalah lebih ketat namun TH berjaya memenuhi setiap keperluan yang ditetapkan Arab Saudi.

    Kata beliau, antara perkara yang dinilai ialah dari segi fasiliti, ambulans, peralatan, ruang beroperasi, jumlah pakar perubatan dan pengurusan sisa klinikal.

    Syed Saleh berkata amalan dan prosedur operasi standard (SOP) sektor kesihatan Malaysia membantu kelulusan berkenaan, selain hubungan baik Malaysia-Arab Saudi khususnya rombongan haji negara dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

    “Untuk kelulusan pusat kesihatan di Mekah pula, ia sedang diusahakan seperti mana yang dilakukan di Madinah yang mana kita sudah bertungkus-lumus sejak tiga bulan lalu,” katanya.

  • Mahkamah Singapura tangguh kes bagi pendakwa raya sedia tawaran untuk penyerang Kamal Adli

    Mahkamah Singapura tangguh kes bagi pendakwa raya sedia tawaran untuk penyerang Kamal Adli

    MAHKAMAH Singapura membenarkan penangguhan selama empat minggu bagi pendakwa raya menyediakan tawaran untuk seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

    Hakim Daerah Terence Tay turut mengekalkan tiada jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 26 Jun untuk sebutan kes.

    Tertuduh yang muncul melalui pautan video mengangguk apabila keputusan itu dibacakan kepadanya melalui jurubahasa.

    “Pihak pendakwaan meminta penangguhan empat minggu untuk menyediakan tawaran untuk anda… tiada jaminan untuk anda,” kata jurubahasa itu.

    Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya secara sukarela.

    Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman.

    Pada 12 Mac, polis telah dimaklumkan mengenai kes di 1 Expo Drive, suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton yang kemudian dirampas oleh polis sebagai bukti.

    Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura apabila insiden itu berlaku pada penghujung acara.

  • Kes songlap RM24.8 juta: Polis ambil keterangan 9 kakitangan Kesedar

    Kes songlap RM24.8 juta: Polis ambil keterangan 9 kakitangan Kesedar

    POLIS mengambil keterangan sembilan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah membabitkan nilai RM24.8 juta.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, identiti sembilan individu berkenaan dikatakan digunakan oleh penolong akauntan Kesedar untuk tujuan pecah amanah.

    “Ya sudah tentu kita rekod keterangan semua, sebagai saksi dan keterangan untuk kes berkenaan.

    “Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kita percaya jenayah ini dilakukan berseorangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Semalam Malaysiakini melaporkan seorang lelaki ditahan atas dakwaan menggelapkan RM24.8 juta daripada Kesedar dengan menyalahgunakan pengenalan diri sembilan kakitangan lain untuk memindahkan wang berkenaan.

    Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penolong akauntan itu telah melakukan ‘perbuatan licik’ itu selama lapan tahun.

    Pendedahan Timbalan Perdana Menteri itu susulan penahanan seorang penolong akauntan Kesedar selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta.

    Sabtu lalu lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 12.21 tengah malam oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

  • Pesara kerajaan didakwa tipu RM15,000

    Pesara kerajaan didakwa tipu RM15,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang wanita untuk satu urusan hartanah di Langkawi pada 2016.

    Tertuduh, Mohd Fadhilah Hanafi, 70, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

    Dalam pertuduhan dihadapinya, Mohd. Fadhilah yang pernah bertugas di sebuah pejabat daerah dan tanah di Kedah, didakwa memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa dirinya adalah pemilik satu hartanah di Lot 934, Kampung Sungai Menghulu di Langkawi sedangkan hartanah tersebut adalah milik kerajaan.

    Dia lalu didakwa dengan curangnya mendorong mangsa iaitu seorang wanita yang kini berusia 67 tahun, untuk memindahkan wang berjumlah RM15,000 melalui dua keping cek tunai Public Islamic Bank atas nama anaknya yang mana mangsa tidak akan melakukan tindakan sedemikian jika tidak diperdayakan.

    Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Chui Jing Hong.

    Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebat dan dikenakan denda.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan anaknya sebagai penjamin. Tertuduh dalam masa sama tidak tidak dibenarkan mendekati serta mengganggu saksi pendakwaan dengan dia turut perlu melapor diri di Pejabat SPRM pada setiap awal bulan.

    Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 4 Julai depan.