Category: Semasa

  • Pemimpin PKR kecewa bukan Melayu tak dicalon jadi Exco

    Pemimpin PKR kecewa bukan Melayu tak dicalon jadi Exco

    BENDAHARI Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Gue Teck kesal dengan pelantikan Exco di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya negeri (PRN).

    Gue Teck menyifatkan keadaan tersebut tidak selari dengan semangat kepelbagaian parti itu.

    Beliau mendakwa PKR tidak mencalonkan mana-mana bukan Melayu untuk jawatan Exco di tiga negeri tersebut.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang dilantik ke jawatan Exco di Pulau Pinang dan Selangor semuanya Melayu, manakala Kabinet negeri Sembilan masih belum mengangkat sumpah.

    “Semenjak PKR memerintah Selangor pada tahun 2008, ini merupakan kali pertama yang mana tiada tokoh Tionghua ataupun India daripada parti yang dicalonkan sebagai Exco,” kata Gue pada satu kenyataan.

    Katanya, kaedah pemilihan anggota Exco kali ini dilihat seolah-olah cuba mengetepikan semangat kepelbagaian yang diraikan parti selama ini.

    “Penjelasan dan penelitian diperlukan untuk menguji sama ada PKR adalah sebuah “truly multiracial party,” katanya.

    Gue berkata ini mungkin berpunca daripada ‘tiupan sentimen perkauman dan agama sempit yang makin kencang oleh Perikatan Nasional (PN) dan Pas’.

    Menurutnya, perkara ini dilihat sebagai kompromi selepas PKR menyerahkan satu kerusi Exco di Selangor kepada UMNO.

    “Persoalannya mengapakah yang terkorban itu adalah sifat diversiti dalam parti,” soal Gue, lapor Malaysiakini.

  • Dua pemuda ditemui lemas ketika memancing

    Dua pemuda ditemui lemas ketika memancing

    DUA pemuda yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di pantai Kiamsam, Labuan kelmarin ditemui lemas petang semalam.

    Mangsa pertama, Yassin Jhonal, 20, ditemui 5.20 petang manakala seorang lagi mangsa, Mohd Shah Nadzmin, 19, ditemui dua minit selepas itu.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Labuan, Nudin Jusoh, pasukannya menyelaras operasi Carilamat bersama agensi lain dan orang tempatan.

    Katanya, pencarian awal dilakukan oleh bot kilat 40 milik Maritim Malaysia di lokasi kejadian membabitkan kawasan seluas empat batu nautika persegi sekitar pantai Kiamsam.

    “Penemuan mayat pertama kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Kiamsam pada 5.20 petang semalam.

    “Mayat kedua pula ditemui hampir 10 meter dari mayat pertama pada 5.22 petang. Mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh bot nelayan dan dibawa ke jeti oleh bomba,” katanya menurut Berita Harian.

    Terdahulu, media melaporkan dua pemuda itu dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka untuk keluar memancing ditemukan terapung tanpa anak kapal di jeti terbabit, awal pagi semalam.

  • Lepuk dengan kertas, bukan kayu, Sanusi pertahan gurauan

    Lepuk dengan kertas, bukan kayu, Sanusi pertahan gurauan

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempertahankan tindakannya memukul kepala seorang wanita muda dengan sehelai kertas.

    Sanusi berkata, kejadian kelmarin itu hanyalah cara bergurau untuk menegur pelajar berkenaan kerana lambat memohon bantuan.

    “Lepuk dengan sehelai kertas (surat) saja, bukan dengan kayu. Melawak dengan anak-anak, lagu tu lah cara kami kat kampung ni melawak.

    “Anak tu nak masuk politeknik esok hari (kelmarin dulu). Pada hari tu baru bagi surat minta sumbangan. Kena lepuk lah tapi tetap bagi juga RM650 untuk beli barang dia masuk politeknik,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Pada video kejadian yang tular itu, Sanusi dilihat memukul kepala wanita berkenaan dengan sehelai kertas yang bergulung, sebelum semua orang ketawa.

    Beliau kemudian bergambar dengan wanita itu, menyerahkan sekeping kertas yang berbeza.

    Sanusi berada di Kampung Budi, Pokok Sena, kelmarin pluntuk menyampaikan bantuan wang tunai dan keperluan kepada 60 penduduk kampung miskin tegar.

    Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd. Aziz mengkritik Menteri Besar Kedah itu supaya menjaga kehormatan orang ramai dan menyifatkan tindakan Sanusi itu sebagai biadab.

    Bagaimanapun, Sanusi menjelaskan tidak adil untuk menilai tingkah laku orang Kedah berdasarkan kebiasaan adat orang Kuala Lumpur.

    “Suruh depa pi tanya budak tu dengan mak dia lah… dia ada rasa macam depa tu dok kata dak?

    “Ukur orang Kedah bergurau pakai pembaris KL memang tak jumpa yang lurus lah,” katanya lagi.

  • MUDA tidak bertanding PRK Pulai, DUN Simpang Jeram

    MUDA tidak bertanding PRK Pulai, DUN Simpang Jeram

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Biro politik MUDA dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, keputusan tersebut dibuat bagi menghormati penyandang kedua-dua kerusi berkenaan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang banyak berjasa kepada rakan dan negara tercinta.

    “Muda mengucapkan selamat maju jaya kepada yang bertanding, khususnya dari parti Amanah. Semoga legasi Allahyarham dapat diteruskan,” katanya.

    PRK di kedua-dua kerusi berkenaan diadakan susulan kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

    SPR telah menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos ini.

    Pengundian awal pula pada 5 September dan hari pengundian 9 September, lapor Sinar Harian.

  • Dakwa PKR sisih wakil India, bekas Timbalan Setiausaha Agungnya umum keluar parti

    Dakwa PKR sisih wakil India, bekas Timbalan Setiausaha Agungnya umum keluar parti

    BEKAS Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), P. Jenapala mengumumkan keluar parti selepas mendakwa pucuk pimpinannya menyisihkan ahli parti berbangsa India dalam pelantikan Exco kerajaan negeri.

    Jenapala kecewa dengan perkara itu meskipun PKR menang beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dengan sokongan masyarakat India.

    “Kalau kita lihat keputusan PRN baru-baru ini, PKR menang beberapa kerusi kerana sokongan daripada pengundi India.

    “Ini adalah hasil kerja kuat pemimpin India dari PKR selepas MIC tidak begitu mengambil bahagian dalam PRN ini dan DAP fokus kepada pengundi Cina sahaja.

    “Tapi tiada satu wakil India dari parti itu dilantik sebagai exco kerajaan negeri,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Jenapala juga mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberikan jawatan kepada pemimpin India dalam parti itu kerana mahu menunjukkan dirinya ‘lebih Melayu dan Islam’ berbanding Perikatan Nasional (PN).

    “Maka sudah tiba masa untuk masyarakat India mengambil pendirian dan memberi satu isyarat kepada Perdana Menteri bahawa dia sedang memilih jalan yang salah,” katanya.

    Jenapala yang sebelum ini merupakan ahli seumur hidup PKR telah menghantar surat keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada 15 Ogos lalu.

    Jenapala dipecat daripada PKR pada 2010 selepas menyaman parti itu kerana mendakwa beliau dihalang daripada bertanding dalam pemilihan PKR pada tahun yang sama.

    Jenapala kemudiannya dibawa kembali menyertai PKR.

    PKR merupakan sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan (PH), yang baru-baru ini berjaya mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada PRN 12 Ogos lalu.

    Kesemua tiga Exco PKR di Selangor dan dua Exco di Pulau Pinang, adalah terdiri daripada wakil rakyat Melayu.

    Bagaimanapun Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih belum melantik barisan Exco di mana PKR mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berketurunan India di negeri itu.

    Sementara itu, seorang lagi ahli PKR, Maneyvannan Velue turut mengumumkan keputusan keluar parti.

    Bekas Timbalan Ketua Cabang Kapar itu mengesahkan telah menghantar surat keluar PKR berkuat kuasa hari ini.

    “No keahlian saya dalam PKR adalah 00073. Jadi perjuangan saya lebih 21 tahun bersama parti berhenti di sini hari ini.

    “Saya percaya masyarakat India tidak lagi diiktiraf dalam PKR. Saya juga hilang kepercayaan dengan Anwar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang gagal mempertahankan hak wakil India PKR dalam kerajaan negeri,” ujarnya.

  • Suami isteri ditahan SPRM kes salah guna kuasa

    Suami isteri ditahan SPRM kes salah guna kuasa

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penolong pegawai tadbir kanan dan isterinya bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa.

    Menurut sumber, suspek yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan negeri Terengganu disyaki menyalahgunakan jawatan dengan memberi kira-kira 70 perolehan pembaikan kenderaan bernilai hampir RM130,000 kepada syarikat milik isterinya.

    “Suspek juga dikatakan turut mengesyorkan kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel yang dimiliki sebuah koperasi yang mana suspek adalah ahli lembaga koperasi dan merangkap setiausaha jawatankuasa perdagangan di koperasi berkenaan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Katanya, kes berkenaan dipercayai berlaku sejak 2021 hingga tahun lalu dan dua suspek yang berusia 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu kira-kira pukul 11 pagi tadi.

    “Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi proses permohonan reman,” katanya lagi.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suami isteri terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

  • Pengalaman luas Tok Pa bantu empat negeri bawah PN

    Pengalaman luas Tok Pa bantu empat negeri bawah PN

    PENGALAMAN luas dimiliki Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa di peringkat Persekutuan diharap dapat membantu empat negeri yang berada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), ketika ini.

    Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan Tok Pa, semalam.

    Pertemuan tersebut turut disertai Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

    Menurut Ahmad Samsuri, beliau telah mengadakan perbincangan mengenai isu-isu mikro di Terengganu bersama Tok Pa.

    Antara perkara yang dibincangkan, kata Ahmad Samsuri adalah kesenjangan pembangunan di negeri-negeri Malay Belt, pembangunan aset negeri untuk meningkatkan hasil dan peningkatan tahap ekonomi negeri serta peningkatan pelaburan.

    “Selain itu, turut dibincangkan adalah bagaimana empat negeri di bawah Pas/PN dapat mengadakan kerjasama bagi menangani masalah dalam kerangka kuasa Kerajaan Negeri di bawah Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.

    “Pengalaman luas Tok Pa sejak sekian lama dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan pelbagai kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Pengajian Tinggi dan sebagainya diharap dapat membantu kami di empat negeri.

    “Insya-Allah perbincangan lanjut akan diadakan sesama pimpinan negeri,” katanya dalam hantaran tersebut, lapor Utusan TV.

    PN berjaya menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

    Selain Terengganu, tiga negeri lain yang berada di bawah pentadbiran PN adalah Perlis, Kedah dan Kelantan.

  • Penyelesaian 1MDB, Anwar timbang saman Goldman Sachs

    Penyelesaian 1MDB, Anwar timbang saman Goldman Sachs

    DATUK Seri Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs Group Inc berhubung peranan syarikat tersebut dalam skandal berbilion dolar melibatkan 1MDB, menurut temubual dengan CNBC.

    Kerajaan menimbang beberapa pilihan selain rundingan dengan firma Wall Street itu, kata Perdana Menteri kepada Martin Soong dari CNBC.

    “Setakat ini, bank tersebut tidak terlalu memberi kerjasama. Jadi tentu saja, ada perbincangan mengenai perkara tersebut, terdapat laluan lain boleh diambil.

    “Saya tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan dengan tuntutan undang-undang,” katanya dalam temubual tersebut, yang sebahagian petikan disiarkan hari ini.

    Namun, kata Anwar, isu tersebut adalah kompleks dan tindakan undang-undang di Amerika Syarikat (AS) membabitkan kos yang tinggi bagi kerajaan.

    “Tetapi anda mencuri daripada rakyat, saya perlu mendapatkannya semula,” katanya.

    1MDB menjadi tumpuan skandal berbilion dolar yang mencetus siasatan di Asia, AS, dan Eropah.

    Pada 2020, Goldman Sachs mengakui peranannya dalam kes rasuah asing terbesar dalam sejarah penguatkuasaan AS, dengan mencapai beberapa penyelesaian antarabangsa bernilai berbilion dolar untuk mengakhiri siasatan berkaitan pengumpulan dana bagi 1MDB.

    Pada Januari, Anwar menuntut bank AS itu menghormati penyelesaian pada 2020 dengan pentadbiran sebelum ini, atas peranan pengumpulan dana sebanyak USD6.5 bilion pada 2012 dan 2013 bagi 1MDB.

    Beliau kemudiannya berkata perjanjian yang dicapai oleh pentadbiran terdahulu dengan Goldman Sachs adalah terlalu ringan dan beliau sedang menilai semula perkara tersebut.

    Penyelesaian yang diumumkan oleh pentadbiran terdahulu tiga tahun lalu memerlukan Goldman Sachs membayar USD2.5 bilion sambil menjamin pemulangan semula harta 1MDB bernilai USD1.4 bilion yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.

    Sebagai balasan kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan terhadap bank tersebut.

    Goldman juga perlu membuat pembayaran interim sebanyak USD250 juta jika Malaysia tidak menerima sekurang-kurangnya USD500 juta dalam harta dan hasil menjelang Ogos 2022, menurut bank tersebut.

    Bagaimanapun, kedua-dua pihak berbeza pendapat mengenai sama ada Putrajaya telah menerima USD500 juta hasil kutipan menjelang tarikh akhir Ogos, kata Goldman Sachs dalam satu penyataan tahun lalu.

    “Mengapa saya perlu menghukum rakyat Malaysia dengan membuat pembayaran keuntungan yang besar yang dibuat oleh mereka,” kata Anwar dalam temubual itu, merujuk kepada Goldman Sachs.

  • Maritim Malaysia bantah pencerobohan PCG Singapura

    Maritim Malaysia bantah pencerobohan PCG Singapura

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membantah tindakan agensi penguatkuasa Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura yang telah memasuki perairan Malaysia pada minggu lalu.

    Dalam kejadian pada 14 Ogos itu, jaring pukat sebuah bot nelayan tempatan turut dilanggar dan tersangkut di bebaling bot penguat kuasa negara itu.

    Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, nelayan terbabit telah membuat laporan polis tentang insiden yang berlaku di kedudukan 0.2 batu nautika di barat daya Tuas Checkpoint.

    “Berdasarkan lokasi kejadian yang dilaporkan pengadu, Maritim Malaysia telah merujuk kepada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi proses pengesahan insiden di atas Peta Baru Malaysia 1979.

    “Pihak JUPEM mengesahkan lokasi kejadian yang dilaporkan oleh pengadu jelas berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia berhampiran jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

    “Lokasi kejadian juga merupakan kawasan tradisi atau lokasi biasa bagi nelayan tempatan di Johor menangkap ikan dan menjaring udang,” jelasnya.

    Menurut Saiful Lizan, Maritim Malaysia kecewa atas tindakan bot PCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu dan merosakkan peralatan nelayan tempatan selain menunjukkan sikap tidak menghormati kedaulatan maritim Malaysia.

    “Insiden terbabit telah mengakibatkan nelayan berkenaan terpaksa menanggung kerugian yang agak tinggi.

    “Maritim Malaysia akan membuat permohonan bantahan diplomatik agar kejadian yang serupa tidak berulang di masa hadapan demi memelihara hubungan baik kedua-dua buah negara,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Pasukan Polis Singapura (SPF) menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Isnin lalu.

    SPF dalam kenyataannya memaklumkan, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.

    SPF berkata, kejadian itu berlaku pukul 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.

    Pada Rabu lalu, empat nelayan Kampung Pendas, Iskandar Puteri mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, pada pagi Isnin.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi berhampiran Jambatan Linkedua itu, sebuah bot berkuasa negara jiran didakwa secara tiba-tiba melanggar jaring udang yang dipasang sebelum menariknya sehingga masuk ke dalam sempadan negara berkenaan.

    Nelayan Kampung Pendas, Faizan Wahid, 42, dilaporkan berkata, ketika kejadian dia bersama tiga nelayan lain sedang memasang jaring udang.

  • Hari Kebangsaan: Pemuda PN hormat keputusan Terengganu guna tema, logo Putrajaya

    Hari Kebangsaan: Pemuda PN hormat keputusan Terengganu guna tema, logo Putrajaya

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menghormati keputusan kerajaan Terengganu menggunakan logo dan tema diperkenalkan Putrajaya bagi sambutan Hari Kebangsaan, berbanding cadangannya.

    Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tiada paksaan untuk menerima cadangan sayap itu yang melancarkan logo dan tema sendiri yang tujuan asalnya bagi digunakan untuk ucapan pimpinan komponen berkenaan, Sabtu lalu.

    “Terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing untuk menentukan.

    “Segala keputusan tertakluk pimpinan negeri sungguhpun perkara itu telah dibincang bersama Majlis Tertinggi PN sebelum pengumuman dilakukan,” katanya memetik laporan FMT.

    Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu akan menggunakan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan dan logo Malaysia Madani, bukan seperti dicadangkan Pemuda PN.

    Pada Sabtu, Fadhli dipetik berkata, Pemuda PN akan mencadangkan logo dan tema dilancarkan mereka Sabtu lalu diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.

    Logo itu berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang, Pemuda PN juga memperkenalkan tema Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera.

    Mengulas lanjut, Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, tindakan pihaknya memperkenalkan logo dan tema alternatif kerana mendakwa kerajaan pusat telah mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan.

    “Walaupun perkataan itu satu perkataan yang baik (Malaysia Madani) tetapi ia telah dipolitikkan dalam kempen kepartian.

    “Kalau hendak satukan rakyat di bawah satu tema, pilih yang lebih bersifat tengah,” katanya.