Category: Semasa

  • Saringan awal calon PRN sudah bermula – Faizal Azumu

    Saringan awal calon PRN sudah bermula – Faizal Azumu

    PERIKATAN Nasional (PN) dalam peringkat menyaring calon yang dinamakan akar umbi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri selepas agihan kerusi antara parti komponen dimuktamadkan minggu depan.

    Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata secara umumnya, rundingan agihan kerusi antara parti komponen PN hampir selesai dan kini dalam peringkat awal menyaring calon yang dicalonkan di peringkat akar umbi.

    “Buat masa ini, tidak banyak isu berbangkit mengenai agihan kerusi dan ia berjalan lancar dalam semangat ukhwah antara parti komponen PN.

    “Selepas proses rundingan kerusi dimuktamadkan dan saringan calon selesai, kita akan terus berkempen di enam negeri,” katanya, lapor BH Online, hari ini.

    Beliau mengulas persediaan PN bagi menghadapi PRN yang dijangka diadakan Julai selepas enam negeri bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

    Ditanya mengenai aspek yang diambil kira dalam saringan calon, Ahmad Faizal menegaskan selain saringan kesihatan, calon mesti bersih serta berintegriti.

    Sementara itu, beliau menegaskan, PN juga dijangka mencipta beberapa kejutan di beberapa kerusi terutama kawasan yang ramai pengundi Melayu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Katanya, jangkaan itu berdasarkan sikap pengundi di enam negeri yang sudah dibuat lebih lima bulan.

    “Kita jangka lebih banyak kerusi di tiga negeri yang kini dikuasai PN bakal diperoleh,” katanya.

    Ditanya jangkaan Pusat Merdeka Centre bahawa keputusan PRN tidak menghasilkan kejutan dengan pentadbiran sedia ada kekal mentadbir negeri masing-masing, Ahmad Faizal berkata, jangkaan PN berdasarkan sikap pengundi, bukan dibuat melalui tinjauan atas talian seperti dibuat pusat penyelidikan berkenaan.

    Katanya, berdasarkan penyelidikan dan tinjauan sikap pengundi, PN dakwanya akan kekal lebih selesa di Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala lebih banyak kerusi dimenangi di negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Kami berkeyakinan penuh dan akan terus bekerja keras memastikan PRN kali ini berpihak kepada PN di enam negeri ini,” katanya.

  • Tular bertumbuk di Kastam Johor Bahru, dua penunggang motosikal ditahan

    Tular bertumbuk di Kastam Johor Bahru, dua penunggang motosikal ditahan

    DUA lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, pukul 4 petang, 22 Mei lalu.

    Dua suspek lelaki yang juga penunggang motosikal warga tempatan dan bekerja di Singapura, bergaduh sesama sendiri selepas berlaku pergeselan di laluan motosikal bangunan itu dari arah Singapura masuk ke Malaysia.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata selepas saling cabar mencabar, kedua-dua suspek bergerak ke arah luar bangunan dan kemudian mula bertumbuk.

    “Kejadian ini berpunca apabila seorang daripada mereka yang berada di belakang tergesel motosikal seorang lagi suspek ketika mereka lalu di laluan motosikal CIQ, BSI.

    Tangkap layar sebuah video yang tular memaparkan dua lelaki bergaduh di CIQ BSI, Johor Bahru selepas motosikal mereka bergesel

    “Akibat tidak berpuas hati, berlaku cabar mencabar antara mereka berdua yang kemudian ajak bergaduh di luar bangunan.

    “Tiba di luar (bangunan), mereka mula bertumbuk seperti yang boleh disaksikan dalam video tular,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, Johor Bahru, hari ini.

    Raub berkata, suspek pertama berusia 27 tahun kini direman empat hari sehingga esok. Suspek mempunyai dua rekod kes dadah dan ketika ditahan juga positif ganja.

    “Semalam, seorang lagi suspek berusia 34 tahun ditahan di sekitar daerah ini dan perintah reman akan dikeluarkan hari ini,” katanya, lapor BH Online.

  • Penganggur didakwa bunuh wanita warga emas

    Penganggur didakwa bunuh wanita warga emas

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas pada 16 Mei lalu.

    Tertuduh Suhaimi Shamsudin, 45, yang tidak bekerja dan tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V Vanita.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Siti Aminah Mohd. Amin, 67, pada 9 Mei 2023 antara pukul 7.43 pagi sehingga 1.30 petang di sebuah rumah di Batu 8, Jalan Pantai, Teluk Kemang di Port Dickson.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

    Vanita menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes.

    Selain itu tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenama Nokia milik mangsa.

    Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Tertuduh dalam rayuannya meminta jasa baik mahkamah untuk merujuknya ke Hospital Permai (Tampoi) kerana ada kes lampau pada tahun 2002.

    “Saya mohon hukuman denda dan ada adik ipar saya yang akan membayar jamin,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh mohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan dilakukan.

    Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM3,000 dan jika gagal menjelaskannya tertuduh berdepan hukuman penjara tujuh bulan.

    Sebelum ini media melaporkan cinta tidak berbalas dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga emas.

    Kematian mangsa pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun kertas siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penahanan suspek berusia 45 tahun pada 16 Mei lalu di sebuah rumah kampung di Kuala Klawang, Jelebu.

  • Gadis dicabul ketika menerima rawatan sihir

    Gadis dicabul ketika menerima rawatan sihir

    SEORANG wanita yang mendapatkan rawatan kerana mengesyaki dirinya disihir mendakwa dicabul pengamal perubatan tradisional ketika rawatan di Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

    Perbuatan terkutuk lelaki berusia 60-an itu terbongkar selepas mangsa berusia 27 tahun membuat laporan polis, Ahad lalu.

    Menurut sumber, kejadian berlaku pada 22 Mei lalu ketika mangsa bersama tunangnya ke pusat rawatan tradisional berkenaan dan bertemu seorang lelaki yang mengaku pengamal perubatan.

    “Mangsa mendakwa disuruh memasuki sebuah bilik dan semasa proses rawatan, lelaki itu menyentuh bahagian badan dan kemaluannya beberapa kali.

    “Sebaik selesai rawatan, lelaki itu menyuruh mangsa mandi dan meneruskan semula sesi rawatan mereka yang mengambil masa lebih dua jam.

    “Semasa rawatan kedua itu, mangsa mendakwa diperlakukan perkara sama ke atas dirinya menyebabkan dia berasa takut lalu keluar dari bilik berkenaan,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

    Sumber berkata, mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada tunangnya.

    Katanya, mangsa yang trauma dengan perbuatan pengamal perubatan terbabit tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

    Beliau berkata, suspek ditahan dan direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

    Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

  • ‘Konspirasi jahat’ PH-BN punca penyitaan ‘salah’ akan Bersatu 

    ‘Konspirasi jahat’ PH-BN punca penyitaan ‘salah’ akan Bersatu 

    “Konspirasi jahat” antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi alasan utama kepada tindakan penyitaan “salah” dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun bank Bersatu, kata Bersatu

    Bersatu mendakwa perintah penyitaan adalah “ketidakperlembagaan”, “ketaksahan”, “kesumbangan prosedur”, “ketidakrasional”, “penyalahgunaan proses”, “mala fide”, penyalahgunaan proses undang-undang”, “melanggar jangkaan salah”, “songsang” dan “penyalahgunaan kuasa”.

    Portal FMT melaporkan, dalam permohonan kedua kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman difailkan Mahkamah Tinggi, Bersatu memohon membatalkan perintah penyitaan dibuat SPRM.

    Difailkan pada Isnin lalu oleh Suhaimi Yahya bagi pihak parti tersebut, permohonan menamakan Peguam Negara, SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, dan beberapa pegawai, termasuk kerajaan persekutuan sebagai responden.

    “Pada 6 April, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman dan merizabkan keputusan mahkamah pada 17 Mei yang kemudiannya ditunda kepada 30 Mei.

    “Namun, SPRM cuba mengganggu dan mengubah status quo perkara dalam semakan kehakiman dengan mengumumkan penyitaan akaun-akaun Bersatu secara salah selepas pembekuan salah tersebut luput,” kata Bersatu dalam pernyataan difailkan di mahkamah.

    Bersatu berkata, sehingga kini, parti tidak menerima perintah penyitaan tersebut.

    Dalam pernyataan, parti itu mengimbau kembali ketiadaan mana-mana parti memperoleh majoriti mudah susulan PRU15.

    “PH, di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berkomplot dengan BN yang di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk mendapat lantikan bagi pembentukan satu kerajaan gabungan kononnya dipanggil ‘kerajaan perpaduan Malaysia’,” menurut pernyataan itu.

    Menurut Bersatu, konspirasi antara PH dan BN jelas dipaparkan dalam beberapa perkara selepas PRU15.

    ” (Anwar) pada minggu pertama menjadi Menteri Kewangan, mengumumkan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelewengkan RM600 bilion pakej rangsangan ekonomi, jumlah itu turun menjadi RM530 bilion, kemudian ke RM92.5 bilion, kemudian ke RM4.5 bilion dan jatuh merudum kepada RM300 juta,” kata pernyataan itu.

    Katanya, sehari selepas parti memfailkan semakan kehakiman permulaan, pada 8 Mac, SPRM membuat pendakwaan terhadap Muhyiddin, namun bukan “pendakwaan RM300 juta”, tetapi kononnya “kesalahan penyalahgunaan kuasa”.

    Akaun bank milik Muhyiddin tidak dibekukan. Sebaliknya, akaun Bersatu dibekukan untuk melumpuhkan Bersatu.

    “Sehingga kini, Bersatu tidak dikenakan sebarang pendakwaan,” kata parti berkenaan.

    Bersatu berkata, Anwar dan Zahid berterusan melemparkan fitnah terhadap kepimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional, termasuk mendakwa parti itu mendapat sokongan dari syarikat perjudian.

    “Pada 25 Mei, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said mengeluarkan jawapan bertulis bahawa SPRM menjalankan kajian terperinci dan mengesahkan bahawa tiada satu pun parti PN memperolehi sokongan dana judi,” kata pernyataan itu.

    Sehari selepas itu, Azalina menarik balik kenyataannya di Parlimen dan sebaliknya mengatakan SPRM akan meneruskan siasatan selepas Muhyiddin mendakwa kenyataan sebelum itu menjadi bukti Bersatu dan PN difitnah, kata pernyataan Bersatu.

    “Hal tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa (Anwar) dan (Zahid) mengerah siasatan SPRM terhadap Bersatu sehingga mengakibatkan pembekuan salah akaun-akaun bank Bersatu.

    “Sehingga kini, Bersatu tidak pernah dimaklum atau diserahkan dengan sebarang perintah penyitaan salah.”

    Permohonan penangguhan dikemukakan Bersatu akan didengar pada 22 Jun di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

    Semalam, satu lagi Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Bersatu meneruskan semakan kehakiman berhubung penyitaan dibuat SPRM terhadap akaun Bersatu, termasuk sekatan perjalanan terhadap Muhyiddin.

    Dalam prosiding, peguam Bersatu, Rosli Dahlan, memaklumkan kepada Hakim Ahmad Kamal Shahid dalam pemfailan permohonan dan memohon kedua-dua permohonan didengar bersama.

    Hakim bagaimanapun, berkata, beliau bukan berada pada kedudukan untuk mengarahkan pendaftar mahkamah berbuat demikian.

  • Permohonan Muhyiddin ketepi tuduhan didengar 11 Julai

    Permohonan Muhyiddin ketepi tuduhan didengar 11 Julai

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 11 Julai untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

    Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu semasa sebutan permohonan berkaitan pagi ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pihak pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

    Mahkamah turut membenarkan tertuduh dikecualikan daripada menghadiri prosiding mahkamah pagi ini, lapor Malaysiakini.

    Bulan lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

    Sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM232 juta.

    Kes berkenaan dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

    Berdasarkan salinan afidavit sokongan, Muhyiddin sedang mendapatkan perintah mahkamah supaya dibebaskan dan dilepaskan daripada empat pertuduhan salah guna kuasa.

    Pemohon mendakwa bahawa empat pertuduhan itu ‘cacat dan buruk di sisi undang-undang’ kerana kekurangan butiran, serta melanggar Seksyen 354 Kanun Tatacara Jenayah, selain melanggar hak asasinya untuk hidup dan kebebasan peribadi di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

    Muhyiddin mendakwa, empat pertuduhan itu tidak berkait dengan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan undang-undang antirasuah tidak bermaksud perkataan ‘pertubuhan’ dalam akta itu turut merangkumi masyarakat seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu menyasarkan pertuduhan predikat (utama), iaitu empat pertuduhan salah guna kuasa. Tiga pertuduhan pengubahan wang haram bergantung pada empat pertuduhan predikat.

    Empat pertuduhan salah guna kuasa dikenakan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, mendakwa Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu dan Presiden Bersatu untuk dorongan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity Sdn. Bhd (Bukhary Equity), Nepturis Sdn. Bhd., dan Mamfor Sdn. Bhd., manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

    Tiga pertuduhan pengubahan wang haram pula didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

    Muhyiddin, 76, didakwa menerima lebih RM120 juta hasil daripada aktiviti haram Bukhary Equity antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

    Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

    Presiden Bersatu itu berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000, yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

    Bagi kes pengubahan wang haram, dia boleh dihukum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Mengikut undang-undang, pengubahan wang haram adalah proses menukar wang tunai, dana atau harta yang diperoleh daripada aktiviti jenayah menjadi seolah-olah datang dari pendapatan yang bersih.

  • Jho Low bawah tahanan rumah di Shanghai

    Jho Low bawah tahanan rumah di Shanghai

    AHLI perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China, menurut pengarang bersama ‘Billion Dollar Whale’, Bradley Hope.

    “China mengawal Jho dengan ketat disebabkan rundingan dengan Malaysia, juga kerana penaungnya dalam perkhidmatan pengintipan ditangkap dan rakan kongsinya di CCCC (China Communications Construction Company) disingkirkan,” katanya memetik laporan FMT.

    Hope berkata, daripada aset risikan, Low kini menjadi liabiliti selepas Datuk Seri Najib Razak disingkirkan pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

    Semalam, Al Jazeera melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Low dipercayai bersembunyi di Macau.

    Low didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mendalangi penyelewengan USD4.5 bilion dana 1MDB.

    Beijing sebelum ini menafikan melindungi Low.

    Malam tadi, dilaporkan bahawa sumber SPRM mengesahkan Kee Kok Thiam, bekas pembantu Low yang memaklumkan pihak berkuasa Malaysia tentang keberadaan Low di Macau, telah meninggal dunia.

    Kee kembali ke Malaysia pada 3 Mei lepas selepas lima tahun berada di luar negara.

  • Sekutu Jho Low disahkan meninggal dunia

    Sekutu Jho Low disahkan meninggal dunia

    AHLI perniagaan yang dibawa pulang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Mei lalu bagi siasatan lanjut berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), disahkan meninggal dunia.

    Ahli perniagaan yang juga sekutu Low Taek Jho atau Jho Low itu dilaporkan meninggal dunia akibat angin ahmar.

    Menurut sumber, walaupun suspek meninggal dunia, namun siasatan SPRM terhadap ahli perniagaan itu tetap berjalan.

    “SPRM kini berjaya mengesan kembali kira-kira AS$5 juta (iaitu) aset dan wang tunai 1MDB di Singapura.

    “Siasatan SPRM tetap berjalan bagi mendapatkan semula dana-dana 1MDB yang dikaitkan dengan mendiang,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, tular satu pemberitahuan memaklumkan mengenai kematian mendiang ahli perniagaan, Kee Kok Thiam, 56.

    Mendiang dijangka dikebumikan di tanah perkuburan cina Jinjang Selatan, pukul 10 pagi ini.

    Sebelum ini, media melaporkan, Kok Thiam, ahli perniagaan dipercayai sekutu Jho Low itu dipercayai berada di Macau, selepas menghilangkan diri pada 2018.

    Sumber berkata, hasil penggeledahan rumah lelaki berkenaan pada 3 Mei lalu juga, kira-kira RM30 juta termasuk aset dan akaun dikaitkan 1MDB diperoleh ahli perniagaan itu kemudian dibekukan.

    Lelaki berkenaan yang juga seorang bekas pegawai 1MDB diserahkan notis perintah untuk hadir ke Ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 10 pagi, 3 Mei lalu, selepas dia dibawa pulang SPRM ke Malaysia bagi siasatan lanjut berkaitan penyelewengan 1MDB dan SRC International.

    Penyerahan notis itu dibuat selepas lelaki berkenaan tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA Terminal 2), pada 3.30 pagi, hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa dari luar negara.

    Hasil siasatan SPRM mendapati lelaki itu menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

    Selain itu, siasatan juga membuktikan bahawa beliau menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

    Kata sumber itu lagi, SPRM dengan kerjasama pihak berkuasa Singapura berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada syarikat Totality Limited milik seorang ahli perniagaan pada 26 April lalu.

    Konspirasi yang dilakukan adalah dengan mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Jho Low.

  • PRN: Nurul Izzah akan tanding di Pulau Pinang

    PRN: Nurul Izzah akan tanding di Pulau Pinang

    NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dijangka bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang dan akan dilantik ke jawatan penting sekiranya Pakatan Harapan kembali berkuasa.

    Menurut sumber yang enggan dinamakan berkata, penyertaan Nurul Izzah dalam PRN itu boleh meningkatkan peluang partinya untuk mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membantu mendapatkan undi daripada golongan wanita.

    “Beliau akan diamanahkan dengan portfolio penting dalam pentadbiran negeri sekiranya PH mendapat mandat daripada rakyat Pulau Pinang,” kata sumber yang rapat dengan seorang pemimpin PH kepada FMT.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi calon Pas, Fawwaz Mohamed, dengan majoriti 5,272 undi dalam pertandingan empat penjuru.

    Nurul Izzah, anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah pengerusi bersama sekretariat badan penasihat khas kepada Kementerian Kewangan.

    Masih belum jelas kerusi DUN mana antara 15 kerusi majoriti Melayu yang akan ditawarkan kepada Nurul Izzah untuk bertanding – terdapat 40 kerusi di DUN Pulau Pinang.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dua minggu lalu berkata, DUN akan dibubarkan pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun.

    Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan juga dijadual membubarkan DUN mereka dalam dua minggu terakhir Jun ini.

  • Jatuh dalam pusaran air, tentera lemas mandi sungai

    Jatuh dalam pusaran air, tentera lemas mandi sungai

    SEORANG anggota tentera ditemukan lemas selepas terjatuh di dalam pusaran air ketika mandi di Sungai Leleh Bukit Ibam dekat Muadzam Shah, Rompin, petang semalam.

    Mangsa dikenali sebagai Mohd. Sabbrie Syahrie Mohd. Shah, 28, yang bertugas di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 3.17 petang sebelum menghantar bantuan.

    “Seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan dan Kuantan dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki dewasa disyaki lemas ketika mandi selepas mangsa dipercayai terjatuh ke kawasan air dalam dan berarus deras.

    “Pasukan penyelamat melakukan pencarian di permukaan air sebelum memohon bantuan pasukan PPDA Pekan dan Kuantan,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

    Katanya, pasukan penyelam membuat selaman di lokasi mangsa dikatakan terjatuh pukul 6.38 petang sebelum mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 17 minit kemudian.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk tindakan lanjut,” katanya.