Category: Semasa

  • Zahid semakin terdesak selepas UMNO menumpang rezeki DAP

    Zahid semakin terdesak selepas UMNO menumpang rezeki DAP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memantau sebarang hantaran menggunakan isu agama, perkauman dengan agenda tertentu disifatkan sebagai tindakan terdesak.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, arahan Timbalan Perdana Menteri itu hanya untuk mengalih perhatian rakyat dan menutup kegagalan Pakatan Harapan-UMNO yang semakin terserlah.

    “Zahid semakin terdesak kerana pilihan raya negeri (PRN) sudah dekat. Dia telah membawa UMNO menjadi sebuah parti yang menumpang rezeki daripada DAP. Sudah pasti akar umbi UMNO tidak selesa dan ramai yang mahu berhijrah.

    “Ini juga Zahid mahu tutup dengan cara melakarkan gambaran negatif mengenai Perikatan Nasional (PN).

    “Data jelas menunjukkan bahawa PH-UMNO ditolak oleh pengundi Melayu.

    Ini adalah data yang perlu perhatian daripada semua pihak tanpa melabelkannya dengan apa-apa label negatif.

    “Ia adalah fakta yang perlu dibicarakan secara terbuka oleh semua yang prihatin mengenai halatuju negara, bukan sahaja oleh orang politik tapi juga ahli akademik, NGO, dan orang awam,” katanya dalam hantaran dalam Facebook milinya, hari ini.

    Kelmarin, Zahid mengarahkan KKD memantau sebarang hantaran yang cuba menggunakan isu agama, perkauman dengan agenda tertentu, khususnya politik, di negara ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful melihat kerajaan sekarang cuba menutup kegagalan mereka dengan menuduh PN adalah parti perkauman.

    Jelasnya, arahan Zahid kepada SKMM itu hanya satu lagi strategi mereka untuk menambah lakaran tersebut.

    “Dia nak ‘imply’ seolah-olah mereka suci tapi orang lain kotor. Padahal kami dalam PN konsisten memperjuangkan kemakmuran bersama untuk semua bangsa dan agama.

    “Tatkala PH-UMNO semakim gagal menjaga kebajikan rakyat, kami dalam PN terus bercakap mengenai perkara seperti #kwspbersasar, kawalan harga, bantuan kos sara hidup, dan banyak lagi,” katanya.

  • Ahmad Faizal Pengerusi PN Negeri Sembilan yang baharu

    Ahmad Faizal Pengerusi PN Negeri Sembilan yang baharu

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengesahkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkuat kuasa serta merta.

    Beliau menggantikan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith yang digugurkan daripada jawatan itu.

    Ahmad Faizal berkata, pengambilalihan jawatan itu antara lain bagi membantu persiapan akhir jentera pilihan raya PN negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    “Datuk Eddin Syazlee tetap di dalam struktur kepimpinan. Beliau telah menjalankan tugas dengan baik.

    “Usaha sekarang ialah untuk melibatkan kepimpinan pusat bagi menambah dan melicinkan perjalanan jentera parti,” katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.

    Bagaimanapun Ahmad Faizal enggan mengulas sebab Eddin Syazlee digugurkan daripada jawatan itu.

  • Tragedi menjelang Gawai: Jasad remaja mangsa bot karam ditemui

    Tragedi menjelang Gawai: Jasad remaja mangsa bot karam ditemui

    SUASANA duka dirasakan ketika jasad Linsa Empih Melin, 17 tahun, ditemui penduduk kampung pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian bot karam pada Selasa lalu.

    Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada kelmarin telah membawa kepada penemuan jasad remaja malang tersebut.

    “Operasi turut disertai pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung terbabit.

    “Mereka menemui jasad mangsa pada kira-kira pukul 10 pagi tidak jauh daripada Jambatan Mujong, lokasi insiden berlaku.

    “Mendiang merupakan salah seorang daripada 14 penumpang yang tercampak keluar daripada bot yang mereka tumpangi ketika dalam perjalanan pulang bergawai ke Rumah Geramong Nanga Spioh,” katanya, memetik laporan Astro Awani.

    Katanya, jasad mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi SAR ditamatkan pada pukul 11:17 pagi.

  • PN kemuka usul Akta Tafsiran berkait isu kalimah ‘Allah’

    PN kemuka usul Akta Tafsiran berkait isu kalimah ‘Allah’

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengusulkan penggubalan Akta Tafsiran di Parlimen dalam usaha menangani isu berkaitan tafsiran kalimah Allah.

    Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, usul persendirian itu sudah dikemukakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.

    “Kita akan bawa supaya kerajaan sedar ia salah satu cara selesaikan isu itu buat selamanya,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, terpulang kepada kerajaan sama ada mahu menerimanya atau tidak.

    Katanya, penggunaan kalimah Allah diperincikan menerusi surah al-Ikhlas, yang jelas menyatakan Tuhan itu Esa dan tidak boleh disamakan dengan lain.

    Isu kalimah Allah kembali menjadi perhatian selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang pada 2021 membenarkan bahan penerbitan agama Kristian di Sarawak menggunakan kalimah Allah secara bersyarat bagi tujuan pembelajaran agama, selepas mendapati wujud percanggahan antara arahan KDN dan keputusan dasar Jemaah Menteri.

    Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Jill Ireland, wanita beragama Kristian dari suku Melanau di Sarawak.

    Hakim Nor Bee Ariffin dilaporkan berkata, arahan KDN pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah sebagai tidak konsisten dengan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, KDN akan mengkaji dan mengemas kini arahan “lebih menyeluruh” bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah.

  • Saya sedia kerjasama dengan Tun M, kata Muhyiddin

    Saya sedia kerjasama dengan Tun M, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia bekerjasama dengan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad demi membela agama, bangsa dan negara.

    Menurut Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), orang melayu dan Islam di negara ini berada di suatu persimpangan yang getir.

    “Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Ibu gagal bayar hutang RM100,000, kereta dipandu anak dilarikan 3 lelaki

    Ibu gagal bayar hutang RM100,000, kereta dipandu anak dilarikan 3 lelaki

    KEJADIAN seorang lelaki yang ditarik keluar dan keretanya dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Bagan Lalang, Mak Mandin, Pulau Pinang kira-kira pukul 7.45 pagi kelmarin disebabkan ibu mangsa gagal membayar hutang berjumlah RM100,000.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 27 sehingga 49 tahun semalam.

    Menurut beliau, kesemua suspek ditahan di tiga lokasi berbeza iaitu di Kuala Kangsar, Perak dan di Seberang Jaya serta Butterworth, Pulau Pinang.

    Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati ibu mangsa yang berusia 57 tahun telah membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 daripada seorang lelaki pada tahun 2020.

    “Melalui perjanjian bertulis, ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta berkenaan sekiranya gagal membayar pinjaman terbabit.

    “Memandangkan ibu mangsa gagal membayar pinjaman itu, lelaki (pemiutang) terbabit mengupah tiga lelaki untuk merampas kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Video kejadian kereta itu dirampas berdurasi satu minit dua saat yang memaparkan seorang pemandu Perodua Axia ditarik keluar dua lelaki sebelum kenderaannya dilarikan di persimpangan lampu isyarat turut tular di media sosial.

    Menurut Mohd. Asri, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan sekiranya sabit kesalahan.

    Tambah beliau, polis kini juga masih dalam usaha mengesan suspek yang masih bebas dalam kes tersebut.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak terus menularkan video kejadian berkenaan dan orang awam juga boleh merujuk kepada pihak yang berkenaan untuk pengesahan maklumat supaya maklumat yang betul boleh diperolehi.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU ditalian 04-5759122,” katanya.

  • Isteri Mursyidul Am Pas meninggal dunia

    Isteri Mursyidul Am Pas meninggal dunia

    ISTERI kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar pada pukul 7 petang semalam.

    Allahyarhamah Datin Sarah Rejab, 77, yang juga bekas Ketua Dewan Muslimat Pas Perlis meninggal dunia akibat kegagalan fungsi hati.

    Allahyarhamah mendirikan rumah tangga bersama Hashim yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang sejak lebih 50 tahun.

    Pasangan itu mempunyai lima orang cahayamata iaitu, Nabilah, Faiz, Hamimah, Nadia dan Husna.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Perlis, Mohd .Shukri Ramli dalam status Facebooknya yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah.

    “Mendapat perkhabaran duka, Datin Sarah Rejab, Isteri kepada Tuan Guru Hashim Jasin, Mursyidul Am Pas telah pergi menghadap Ilahi.

    “Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga dan semoga kuat dan tabah menghadapi kehilangan insan tersayang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut memuat naik status berkenaan di laman sosial ketika menziarahi Hashim di kediamannya pada malam tadi.

    “Semoga roh Allahyarhamah Sarah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman di sisi Allah SWT,” katanya.

  • Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan

    Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA maut manakala lima lagi cedera dalam nahas melibatkan sebuah kereta dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 13 Jalan Sengkang-Teratai, Tangkak pada pukul 4.30 petang semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Idris Abdul Rahman berkata, kemalangan berkenaan melibatkan kereta jenis Toyota Altis dari arah Bukit Gambir dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Kampung Teratai.

    “Kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan berlaku perlanggaran dengan Toyota Altis tersebut.

    “Akibat perlanggaran berkenaan, pemandu, penumpang hadapan serta seorang penumpang di bahagian belakang kereta Toyota Altis meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi penumpang cedera parah dan dibawa ke Hospital Tangkak bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Katanya, semua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke rumah mayat Hospital Tangkak bagi tujuan bedah siasat.

    Beliau memberitahu, tiga mangsa yang meninggal dunia melibatkan pasangan suami isteri berusia 56 dan 52 tahun dan anak perempuan mereka berusia 17 tahun.

    Selain itu katanya, seorang lagi anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia 15 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.

    “Kesemua penumpang Toyota Hilux dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar bagi mendapatkan rawatan namun tiada sebarang maklumat terkini mengenai keadaan mereka,” katanya.

    Kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan turut dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut, tambahnya.

    Ujar beliau l, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan melalui talian MERS 999 pada 3.42 petang semalam.

    Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dengan kekuatan keseluruhan seramai enam anggota dihantar ke lokasi.

    “Kemalangan melibatkan lapan penumpang, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Serangan peribadi UMNO,PH akan pengaruhi langkah politik saya – KJ

    Serangan peribadi UMNO,PH akan pengaruhi langkah politik saya – KJ

    BEKAS  Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata serangan “peribadi” dibuat pemimpin dan ahli UMNO serta Pakatan Harapan akan mempengaruhi langkahnya dalam politik.

    Khairy, yang dipecat UMNO pada Januari, menegaskan Bersatu dan Pas tidak pernah bercakap perkara negatif mengenai diri beliau.

    “Secara peribadi, Bersatu dan Pas tidak benar-benar bercakap apa-apa yang buruk mengenai saya. Tapi, kalau anda lihat komen UMNO dan PH atau orang PH, ia bukan kritikan yang adil, ia adalah peribadi. Pada tahap psikologi, mungkin akan mempengaruhi tindakan saya selepas ini,” katanya dalam episod terbaru podcast “Keluar Sekejap”.

    Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas dipecat Umno.

    Bagaimanapun, Khairy yang masih tidak berparti dilihat lebih selesa “mengunci mulut” mengenai masa depan politik walaupun sudah ditawarkan menyertai Bersatu.

    Sementara itu bercakap sebagai tetamu episod ‘Keluar Sekejab’ itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal berkata, isu bangsa, agama dan Raja-raja atau 3R dilihat tidak selamanya ‘laku’ terutamanya ketika menghadapi PRN di Selangor,.

    Sebaliknya kata beliau  PN kini dalam fasa penstrukturan semula naratif yang dilihat lebih menyeluruh untuk rakyat Malaysia.

    “Kita dah maklum PN diterima orang Melayu kerana pendirian kami dalam isu 3R tapi kami pun setuju, kelemahan kami mengetengahkan isu lebih kepada pembangunan. Jadi perkara ini kena ada anjakan dalam kempen kami dan saya rasa Selangor akan membuka ruang tersebut,” katanya.

    Ahli Parlimen Machang itu berkata demikian ketika ditanya tindakan PN yang dilihat menggunakan isu 3R di pentas politik seolah-olah memainkan perang budaya, dan tidak menyentuh isu pembangunan rakyat.

    Wan Fayhsal turut menolak andaian itu, sebaliknya berkata, pimpinan PN ada juga membawa isu rakyat di Dewan Rakyat.

    “Dalam perbahasan Belanjawan Titah Diraja, pembangkang banyak bawa idea bernas contohnya tenaga hijau.Saya sendiri bawa isu pelaburan keluar dan pembangunan mampan,” katanya.

  • Johari Ghani layak jadi Menteri Kewangan Kedua – Syahir 

    Johari Ghani layak jadi Menteri Kewangan Kedua – Syahir 

    AHLI Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mencadangkan Menteri Kewangan Kedua dilantik bagi mengurangkan beban Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    Melalui Facebook beliau, Mohd Syahir berkata, ‘Menteri Kewangan Kedua’ itu boleh dilantik dalam kalangan teknokrat berkaliber.

    ‘’Ataupun lantik Ahli Parlimen Titiwangsa (Datuk Seri Johari Ghani) yang tidak kurang layaknya seperti mana dicadangkan oleh Saudara KJ (Khairy Jamaluddin) tempo hari,’’ katanya.

    Katanya, negara memerlukan seorang Menteri Kewangan sepenuh masa di Kementerian Kewangan.

    ‘’(Perlu) A strong, formidable, convincing Finance Minister kerana hampir mustahil Perdana Menteri boleh memikul dwi-fungsi dalam tempoh kritikal sekarang,’’ katanya.

    Beliau berkata, diketahui bahawa tugas Menteri Kewangan sangatlah rumit, perlu membuat banyak keputusan penting, menyemak dan menandatangani dokumen setiap hari. 

    ‘’Malah sebahagian tugasan sulit ini tidak boleh diserahkan kepada Timbalan Menteri Kewangan,’’ katanya.

    Syahir menjelaskan,  kritikannya sebelum ini mengenai kejatuhan ringgit disebabkan Malaysia tidak memiliki Menteri Kewangan sepenuh masa bukan untuk menyalahkan Anwar sebaliknya jalan penyelesaian perlu dilakukan kerajaan.