Category: Semasa

  • Sumbat mayat anak saudara dalam mesin basuh

    Sumbat mayat anak saudara dalam mesin basuh

    MISTERI kehilangan seorang budak lelaki ketika berada di bawah pengawasan bapa saudaranya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah mesin basuh.

    Insiden mengejutkan itu berlaku di Las Pinas, Filipina pada Jumaat lalu.

    Agensi yang memetik laporan media tempatan memberitahu, sebelum dilaporkan hilang, Prince Gray Monderno bermain dengan sepupunya.

    Bapa saudara mangsa, Patrick Sucgang mendakwa tidak mengetahui keberadaan mangsa sebelum keluarganya membuat laporan polis.

    Namun, dua hari selepas kehilangan mangsa, ibu Sucgang terhidu bau busuk dari bilik remaja itu.

    Wanita itu mengesan bau busuk tersebut datang dari mesin basuh yang sudah tidak digunakan.

    “Ibu suspek menemui mayat mangsa disumbat di dalam mesin basuh tersebut.

    “Suspek diserahkan kepada polis oleh ibunya sendiri dan mengaku membunuh mangsa,” kata Ketua Polis Las Pinas, Jaime Santos.

    Motif pembunuhan masih disiasat, namun polis diberitahu suspek merupakan peminat fanatik drama bersiri Netflix bertajuk Dahmer – Monster: The Jeffrey Dahmer Story yang menceritakan kisah pembunuh bersiri Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Dahmer yang mengganas antara tahun 1978 dan 1991.

    Suspek didakwa membunuh di bawah Akta Antipenderaan dan Eksploitasi Kanak-kanak.

    Namun, disebabkan usianya, prosiding undang-undang terpaksa digantung sehingga umurnya mencapai 18 tahun.

  • Kos sara hidup ‘mustahil’ turun, negara perlu pelan induk keluar ‘jerat kelas menengah’

    Kos sara hidup ‘mustahil’ turun, negara perlu pelan induk keluar ‘jerat kelas menengah’

    NEGARA perlu pelan induk untuk membantu meningkatkan pendapatan isi rumah bagi menangani kos sara hidup yang meningkat seiring pembangunan pesat.

    Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, berkata kos sara hidup mungkin tidak boleh diturunkan lantaran kepesatan negara membangun ketika ini, justeru kerajaan perlu mengemukakan pelan bagaimana hendak membawa rakyat keluar daripada ‘jerat kelas menengah’.

    “Kalau kos sara hidup tak boleh diturunkan, satu-satu cara untuk tingkatkan kesejahteraan hidup ialah meningkatkan pendapatan,” katanya kepada FMT.

    “Menaikkan pendapatan ini perkara susah. Ia melibatkan perubahan struktur dalam ekonomi. Kita sudah terjerat dalam kelas menengah sejak 20 tahun lepas, tapi tak keluar-keluar lagi.”

    Menurut Barjoyai, 70% daripada kumpulan pekerja hanya mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan dianggap sebagai kumpulan tidak mahir.

    “Jadi bagaimana nak keluarkan mereka daripada kumpulan tidak mahir kepada mahir atau separa mahir, sekurang-kurangnya untuk meningkatkan pendapatan mereka?” katanya.

    Katanya lagi, 50% kumpulan makan gaji mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan dan sudah 10 tahun gaji rakyat tidak meningkat.

    “Kita perlu menyasarkan sekurang-kurangnya pendapatan isi rumah purata RM5,000 dalam masa lima tahun, barulah kita nampak ada perubahan untuk keluar.

    “Ini tak nampak lagi. Tidak nampak ‘master plan’ bagaimana nak keluar daripada jerat kelas menengah ini,” katanya.

    Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Puad Zarkashi mempersoalkan langkah signifikan diambil Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk memulihkan ekonomi, dengan sekurang-kurangnya memperkenalkan polisi baharu untuk meningkatkan ‘ekonomi rakyat’.

    Mengambil contoh Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan pentadbiran Najib Razak pada 2012, serta penyusutan nilai ringgit mutakhir ini, Puad berkata menteri ‘kena luar biasa’ untuk pertahankan kerajaan perpaduan.

    Barjoyai meminta pengkritik mempertimbangkan pelbagai perspektif apabila menilai keadaan ekonomi. “Dari segi perspektif pembangunan dan kadar pertumbuhan, ekonomi kita sebenarnya sudah pulih daripada ketenatan”.

    Untuk mensejahterakan isi rumah, kerajaan perlu melakukan dua perkara iaitu menurunkan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan, katanya.

    “Sebenarnya, menurunkan kos sara hidup agak mustahil untuk dilakukan kerana Malaysia pesat membangun. Apabila pesat membangun, kita meningkatkan taraf hidup,” katanya, dan menambah taraf hidup mencakupi beberapa perkara seperti kemudahan awam dan gelagat pengguna.

    “Kos hidup dan taraf hidup dua perkara berbeza tetapi berkait. Apabila taraf hidup meningkat kos sara hidup juga meningkat.”

  • Lebih 200 maut, ratusan cedera kereta api bertembung di India

    Lebih 200 maut, ratusan cedera kereta api bertembung di India

    SEKURANG-kurangnya 207 orang terbunuh manakala 900 lagi cedera akibat kemalangan kereta api di wilayah Odisha India pada petang Jumaat, menurut ciapan ketua setiausaha wilayah Pradeep Jena, di Twitter.

    Sebuah kereta api penumpang bertembung koc kereta api lain yang tergelincir di timur India, Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Presiden India Draupadi Murmu melahirkan rasa dukacita dan berkongsi kesakitan dan kehilangan orang tersayang.

    “Semoga mangsa yang cedera segera pulih,” menurut ciapan Perdana Menteri Narendra Modi.

    Beliau memberi jaminan bahawa “semua bantuan yang sewajarnya” akan diberi kepada mereka yang terjejas.

  • Pemimpin UMNO beri amaran mengenai pembelotan akar umbi kepada PN

    Pemimpin UMNO beri amaran mengenai pembelotan akar umbi kepada PN

    UMNO diberi amaran bahawa parti itu berisiko kehilangan sokongan akar umbinya kepada Perikatan Nasional (PN) jika tidak dapat menjelaskan ‘anjakan paradigma’ dalam pemilihan sekutunya.

    Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan berkata, ramai ahli akar umbi masih setia kepada bekas pemimpin yang sama ada telah meletak jawatan atau dipecat oleh parti.

    “Mereka ini sebenarnya tidak setia kepada parti tetapi kepada individu tertentu maka mereka akan mengikut mereka (keluar daripada UMNO).

    “Jadi, dengan mengambilnya sebagai penanda aras bersama-sama situasi dihadapi parti dengan isu DAP, akan terdapat sejumlah besar sokongan akar umbi (beralih) kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.

    Wan Agyl merujuk kepada gesaan baru-baru ini oleh pemimpin parti supaya ahli akar umbi mengundi calon parti dalam gabungan perpaduan, termasuk DAP, pada PRN akan datang.

    “Kenyataan itu akan menyebabkan orang ramai menjauhi parti yang mereka percaya memperjuangkan perkara yang betul, terutama melindungi kepentingan Melayu.

    “UMNO pernah menjadi (parti) itu dan masih lagi, cuma dinamik sudah berubah, musuh menjadi kawan.”

    Wan Agyl berkata parti itu mesti membantu akar umbi memahami sebab di sebalik perubahan itu.

    Katanya, kegagalan berbuat demikian akan mendorong akar umbi UMNO mengundi PN sama ada sebagai protes atau kerana mereka benar-benar percaya kepada pakatan pembangkang.

    Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi UMNO yang enggan namanya didedahkan berkata, beberapa ahli terdekat telah menyuarakan hasrat mereka untuk memboikot parti itu pada PRN akan datang.

    “Kami masih ahli UMNO tetapi kami tidak nampak (apa gunanya) membantu parti (mendapatkan) kerusi kerana ia telah kehilangan prinsipnya,” katanya.

    Pemimpin itu berkata, beliau masih belum mahu keluar parti kerana masih percaya UMNO boleh kembali ke landasan perjuangannya untuk orang Melayu.

    Katanya, masalah terbesar parti sekarang ialah kepimpinannya.

    Menurutnya, ramai ahli akar umbi percaya bahawa pemimpin tertinggi tertentu dalam parti ‘sedang melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri’ dan bukannya melakukan yang terbaik untuk parti.

  • Bapa maut, dua anak cedera selepas kereta dinaiki jatuh ke dalam gaung

    Bapa maut, dua anak cedera selepas kereta dinaiki jatuh ke dalam gaung

    SEORANG bapa berusia 48 tahun maut dan dua anak perempuannya cedera selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam sebuah gaung di Kampung Layangan,Labuan malam tadi.

    Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Abd Rashid Bahari sementara anaknya Nur Aqeesha, 8, dan Nor Izah Batrisyah,10, cedera dalam nahas pada pukul 8 malam itu.

    Ketua Balai Bomba Layangan Huzyman Malikin berkata beliau menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.26 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan kerana kerosakan teruk pada bahagian depannya.

    “Kami menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata operasi menyelamat selesai pada pukul 9.25 malam.

  • ‘Sejarah tak boleh direka’, kata Ibrahim Ali berhubung filem Anwar

    ‘Sejarah tak boleh direka’, kata Ibrahim Ali berhubung filem Anwar

    AHLI politik dan aktivis, Datuk Dr. Ibrahim Ali tidak pernah menyangka ucapannya pada suatu ketika dulu di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur menjadi tular di media sosial pada minggu yang sama filem mengangkat bekas sekutunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditayangkan di seluruh negara bermula 18 Mei lalu.

    Dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow Ibrahim berkata, beliau sendiri tidak pernah mengetahui bahawa ucapan yang sudah menjangkau usia lebih sedekad itu pernah dirakam oleh individu yang hadir.

    Video yang tersebar di platform WhatsApp dan TikTok itu menunjukkan Ibrahim mengimbau kembali kejadian di belakang tabir yang berlaku sebelum pemecatan Anwar pada 2 September 1998.

    Dipercayai, video itu dirakam ketika Ibrahim hadir dalam program Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menolak perjuangan politik Anwar.

    Kini, selepas lebih dua dekad berlalu, Ibrahim memberitahu pendirian dan kenyataan yang dibuatnya dalam rakaman tersebut masih sama dan beliau konsisten dengan apa yang disebutnya terhadap Anwar yang kini merupakan perdana menteri.

    Ibrahim yang mempunyai karier politik yang berwarna-warni itu yakin dan percaya, semua yang dilontarkan dalam video itu bukanlah bentuk tuduhan, fitnah, propaganda politik, iri hati mahupun untuk mempersendakan mana-mana pihak.

    Sebaliknya, bersungguh-sungguh menceritakan apa yang benar-benar berlaku pada malam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang menjadi kemuncak kemelut politik antara Anwar dan perdana menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Saya ucapkan selamat berjaya, semoga cita-cita dia dah tercapai.

    “Tapi saya tak tahu macam mana dia nak ‘erase’ (padam) benda-benda yang dia dah terlibat.

    “Dah buat filem, kononnya dia kena konspirasi, dizalimi dan sebagainya.

    “Sekarang dah jadi PM, buatlah sesuatu,” katanya kepada MalaysiaNow dalam satu wawancara di Ibu Pejabat Parti Putra di Kuala Lumpur.

    Menurut Ibrahim, beliau sendiri tidak pernah bercadang atau niat untuk menonton filem ‘Anwar: The Untold Story’ itu di pawagam kerana ianya tidak menggambarkan sejarah dan fakta sebenar yang berlaku di sebalik perjalanan politik Anwar ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan sebelum dipecat oleh mentornya, Mahathir.

    Ibrahim turut mengkritik sikap pembikin filem tersebut yang dilihat sengaja mengetepikan pandangan dan versi pihak lain dalam filem tersebut, satu keadaan yang berbeza dengan cara pembikinan filem tokoh-tokoh oleh negara Barat khususnya di Hollywood yang meletakkan jalan penceritaan sangat teliti dan tidak berat sebelah.

    Katanya, sekurang-kurangnya pihak pembikin filem itu bertemu dan mendapatkan pandangan Mahathir tentang apa yang berlaku ketika itu sekali gus memberikan perspektif yang lebih luas dan berbeza.

    “Inilah sejarah, tak boleh ditokok tambah sendiri. Memang boleh reka tapi ianya tak jadi fakta. Bila dikorek, orang akan tahu juga.”

    Atas sebab itu katanya, tidak menghairankan filem itu kini dilanda kontroversi dan ‘memakan diri’ perdana menteri sendiri.

    Hubungan ‘love-hate’ dengan Anwar

    Ibrahim yang juga bekas orang kuat UMNO Kelantan pernah menarik perhatian umum kerana rapat dengan Anwar sewaktu mereka bersama-sama terlibat dalam demonstrasi pelajar pada 1970-an, yang menyaksikan kedua-duanya ditahan selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting.

    Ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan Anwar, Ibrahim hanya ketawa panjang.

    Kemudian, beliau memulakan ceritanya.

    Perkenalan mereka bermula sejak tahun 1971 ketika itu Ibrahim masih di tingkatan enam di Kelantan sementara Anwar sudah menuntut di universiti dan mengetuai Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

    Ibrahim berkata selepas beliau berjaya memasuki universiti, dirinya boleh merasakan Anwar sudah mula ‘rimas’ dengan dirinya.

    Beliau menyifatkan, Anwar merasakan Ibrahim seakan mahu menyaingi kedudukan dan reputasinya sedangkan beliau ketika itu sangat menyanjung tinggi pemimpin tersebut khususnya kemahiran beliau dalam berpidato dan pengucapan awam.

    Masa berlalu, Ibrahim berkata tidak sedikit jasanya dicurahkan kepada Anwar, begitu juga sebaliknya.

    Rakannya itu juga banyak membantu apabila diminta.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan disebabkan perangai dan prinsip hidupnya membuatkan dirinya makin jauh dengan Anwar.

    Beliau memberitahu bahawa dirinya tidak pandai bersembunyi dan memendam rasa dan lebih terbuka serta lantang dalam memberikan pandangan terutamanya dalam perkara-perkara yang dirasakan wajib ditegur.

    Keadaan itu berbeza dengan situasi politik di Malaysia di mana kata Ibrahim, seseorang itu perlulah berdiam diri, akur, mengangguk dan mencium tangan pemimpin yang berada di kedudukan yang lebih tinggi.

    Dengan cara itu, mereka boleh jadi semakin rapat dengan pangkat dan kedudukan yang diinginkan.

    “Tetapi saya tidak dilahirkan begitu.

    “Saya percaya, dia tidak akan tersinggung kerana dia sudah berada di atas. Kalau ada pandangan-pandangan yang tak senangkan hati, pemimpin mesti mampu dan bersedia untuk terima apa jua pandangan.

    “Kata-kata Anwar sendiri pun selalu cakap, kita kena berterus terang.”

    Tetapi menurut Ibrahim, sepanjang mengenali Anwar, perdana menteri sebenarnya tidak suka menerima kritikan.

    “Dia lantang boleh, orang lantang (tegur) dia, tak boleh. Kena ‘say yes’ (cakap ya).”

    Sehingga kini, beliau masih menganggap Anwar sebagai seorang rakan meskipun beliau merasakan perdana menteri tidak menganggap dirinya sebagai sahabat.

    “Hubungan saya dengan Anwar ni, ‘hate’ dan ‘love’. Macam mana tu? Benci-benci tapi sayang.”

  • Tular pukul di luar pusat hiburan, polis tahan 7 suspek

    Tular pukul di luar pusat hiburan, polis tahan 7 suspek

    ENAM lelaki dan seorang wanita ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian memukul seorang lelaki di luar kawasan sebuah pusat hiburan di Luyang Commercial Centre, Kota Kinabalu seperti yang tular di media sosial, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 5 petang kelmarin.

    Katanya, mangsa lelaki membuat laporan polis mendakwa dipukul dan diugut oleh beberapa individu tidak dikenali.

    “Mangsa dipanggil keluar dari sebuah pusat hiburan oleh seorang wanita dan lelaki tidak dikenali.

    “Ketika berada di luar, mangsa mendakwa ditolak dan ditumbuk di muka serta ditendang di perut beberapa kali oleh suspek yang tidak dikenali hingga mengalami pendarahan di hidung dan kepala,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, suspek kemudian menarik mangsa dan membawanya ke dalam kereta untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sebelum merampas semua telefon bimbit mangsa hingga rosak.

    “Dalam perjalanan ke IPD Kota Kinabalu, seorang daripada suspek mengeluarkan cota besi dan mengugut mangsa.

    “Tiga suspek didakwa menumbuk dan menendang mangsa berkali-kali manakala seorang suspek turut mengugut hingga mangsa ketakutan,” katanya.

    Ujarnya, selepas membuat laporan polis, mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    Menurutnya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    “Punca kejadian belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Apa salahnya Rafizi ditegur, Puad jawab Asyraf

    Apa salahnya Rafizi ditegur, Puad jawab Asyraf

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi membalas teguran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajid Dusuki berhubung kritikannya terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli baru-baru ini.

    Kenyataan itu selepas Asyraf semalam berkata, UMNO perlu mengekang pemimpin mereka daripada menyerang sesama anggota atau pemimpin kerajaan dan menyifatkan perbuatan Puad umpama ‘menembak kaki sendiri’.

    “Saya dituduh tembak kaki sendiri. Apakah meminta Rafizi mengemukakan formula yang realistik dan luar biasa dianggap tembak kaki sendiri?

    “Apakah mendesak menteri supaya ‘perform’ dianggap tembak kaki sendiri? Apa salahnya Rafizi ditegur? Kalau dia luar biasa, Kerajaan Perpaduan tambah kukuh,” kata Puad dalam satu kenyataan.

    Puad sebelum ini mengecam menteri ekonomi itu kerana gagal mengemukakan sebarang langkah signifikan untuk memulihkan ekonomi selain menyindirnya sebagai banyak sangat formula.

    Kata Puad, seseorang menteri mesti luar biasa untuk mempertahankan kerajaan perpaduan hari ini.

    “Bila jadi menteri tidak boleh biasa biasa. Mesti luar biasa.

    “Jangan nanti rakyat kata Rafizi turun, ringgit naik,” katanya yang mengaitkan situasi itu dengan spekulasi mengenai rombakan Kabinet.

    Mengulas kritikan tersebut, Rafizi mengingatkan pemimpin UMNO agar mengelakkan diri daripada membuat ulasan yang hanya akan menjauhkan penyokong PH daripada mereka.

    Semalam, Aysraf berkata, tindakan Puad menyerang sesama anggota dan pemimpin kerajaan umpama ‘menembak kaki” sendiri.

    Beliau sebaliknya berkata, seseorang yang berada dalam kerajaan perlu mengambil tanggungjawab secara kolektif dan bukannya bersendirian.

    “Apa maksud tembak kaki sendiri. Tidak boleh dikritik? Tidak boleh ditegur? Tidak boleh beri pandangan? Tugas saya bukan menghasut. Saya tidak ambil pun tugas lama Rafizi.

    “Tembak kaki sendiri ialah bila menteri tidak ‘perform’, gagal buat benda luar biasa dan formulanya tidak boleh dipakai. Itu lemahkan kerajaan.

    “Saya boleh dituduh tembak kaki sendiri bila takut bersuara dan kelemahan dibiarkan berleluasa. Sebab itu saya lain dari yang lain,” kata Puad,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

  • Anwar bergayut pada ranting patah, terlalu bergantung dengan UMNO

    Anwar bergayut pada ranting patah, terlalu bergantung dengan UMNO

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim kini bergayut pada ranting yang patah kerana terlalu bergantung kepada UMNO untuk mendapat sokongan Melayu.

    Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu melihat Anwar yang juga Perdana Menteri seperti terlalu taksud dengan UMNO.

    “Jika Anwar Ibrahim semacam taksub kepada UMNO sehingga susuk seperti Lokman Noor Adam pun layak dilantik menjadi jurubicara politik Kerajaan Perpaduan, lalu tidak hairanlah jika ada orang yang mengingatkan kata pepatah, adakah Anwar seperti ‘belut pulang ke lumpur’?

    “Bagaimanakah nasib PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan gabungan Pakatan Harapan yang mengibarkan panji-panji parti pelbagai kaum selama ini? Adakah semua boleh dipajak-gadaikan,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, PKR yang merupakan parti pelbagai kaum manakala DAP didominasi orang Cina terpaksa menerima hakikat faktor Melayu begitu penting untuk survival politik mereka.

    Katanya, Anwar secara individu selaku Perdana Menteri mungkin lebih popular berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ataupun Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Namun katanya, PH yang diketuai Anwar masih tidak mempunyai cukup sokongan pengundi Melayu sekiranya tanpa sokongan daripada UMNO.

    Hassan berkata, UMNO pula sekarang ini di bawah pimpinan Ahmad Zahid bukan parti sama pada zaman pimpinan Tunku Abdul Rahman ataupun Tun Abdul Razak.

    Dakwanya, Ahmad Zahid tidak mampu memperjuangkan nasib orang Melayu, apatah lagi untuk melindungi mereka kerana nasib Presiden UMNO itu sekarang di mahkamah pun masih belum pasti sama ada bebas atau masuk ke penjara seperti dialami Datuk Seri Najib Razak.

    Menurutnya, pada Pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti, BN dan PH mungkin mempertaruhkan naratif kerajaan Madani manakala Perikatan Nasional (PN) pula akan mengemukakan perjuangan Melayu dan Islam.

    “Gandingan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Hadi Awang dari Pas dan kini ditambah oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengemukakan naratif nasional mereka iaitu Melayu dan Islam sebagai panji-panji perjuangan mereka. Jadi apa pula panji-panji perjuangan Anwar Ibrahim serta Zahid Hamidi dengan pemimpin 19 parti komponen kerajaan perpaduan?

    “Mungkinkah naratif nasional kerajaan perpaduan ialah Malaysia Madani? Kalau jawapannya Ya, maka daripada segi politik adakah falsafah Malaysia Madani dapat memberi saingan kepada naratif Melayu Islam yang dibawa oleh Perikatan Nasional dan mungkin ditambah perisanya dengan Proklamasi Orang Melayu dari Dr Mahathir Mohamad?

    “Nampaknya menjelang PRN di enam buah negeri beberapa bulan lagi dan PRU-16 empat tahun lagi akan mengwujudkan pertembungan antara dua blok politik yang dominan sekarang iaitu blok kerajaan perpaduan Malaysia Madani dengan blok pembangkang Melayu Islam,” katanya.

  • Leher wanita hampir putus disembelih kekasih gelap

    Leher wanita hampir putus disembelih kekasih gelap

    SEORANG wanita ditemui maut dengan leher hampir putus di hadapan rumahnya di Bangkalan, Jawa Timur dekat Indonesia dipercayai disembelih kekasih gelap.

    Ketua Polis Daerah Bangkalan, Asisten Komisioner Febri Isman Jaya berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Hotimah, 39, ditemui ibunya pada Isnin dalam keadaan cedera di leher dan perut.

    Beliau berkata, suspek yang dikenali sebagai Sonny Safaat, 25, ditahan di kediamannya yang terletak tidak jauh dari kawasan tempat tinggal mangsa.

    Katanya, suspek ditahan selepas pihak polis melakukan siasatan dengan saksi dan membuat pemeriksaan ke atas telefon milik mangsa.

    “Daripada siasatan, polis menemui bukti bahawa suspek merupakan orang terakhir bertemu dengan mangsa.

    “Polis turut menggeledah rumah suspek dan menemui beberapa bukti seperti pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa,” katanya menurut Utusan TV yang memetik laporan Detik.com.

    Suspek (kanan) ditahan selepas membunuh mangsa dengan kejam. GAMBAR: Detik.com.

    Jelasnya, siasatan mendapati suspek turut hadir ketika majlis tahlil dan upacara pengebumian mangsa.

    Katanya lagi, sebelum pembunuhan berlaku, suspek telah membawa sebilah pisau ketika berjumpa dengan mangsa.

    “Suspek kemudian pulang ke rumah setelah membunuh mangsa.

    “Saat penduduk menemui mayat mangsa, suspek datang ke tempat kejadian dan turut melihat proses mangsa diangkat oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

    Febri berkata, pihaknya memanggil enam saksi termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan.

    Menurut Forensik Hospital Syamrabu Bangkalan, Dr Edi Suharto berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati punca kematian akibat dikelar di leher.