Category: Semasa

  • Radzi Jidin harap Dr. Noor Hisham dapat terus berikan sumbangan

    Radzi Jidin harap Dr. Noor Hisham dapat terus berikan sumbangan

    BEKAS Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berharap dan mendoakan agar bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dapat terus memberikan sumbangan kepada negara.

    Harapan tersebut dikongsikan Ahli Parlimen Putrajaya itu menceritakan pengalaman beliau semasa memegang portfolio tersebut pada pandemik Covid-19 dalam Facebook miliknya hari ini.

    “Dalam memori yang tercatat di Facebook saya pada hari ini (Sabtu), 3 Jun, tiga tahun lalu, ada perkongsian satu video yang cukup nostalgik.

    “Coretan tentang lawatan saya bersama Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, mantan Ketua Pengarah Kesihatan dan Datuk Rabin Basir, mantan Ketua Pengarah MKN (Majlis Keselamatan Malaysia) bagi meninjau persediaan pembukaan semula sekolah buat pertama kali selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

    “Pada ketika itu, tiada siapa pun antara kita yang berpengalaman menguruskan sesi persekolahan sewaktu pandemik sepertimana pandemik Covid-19,” katanya.

    Beliau meluahkan rasa bertuahnya apabila mempunyai pasukan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang begitu komited terhadap perkara tersebut.

    Mohd Radzi berkata, perbincangan bersama KKM dan MKN sentiasa dilakukan bagi memastikan para pelajar dapat kembali ke sekolah dengan selamat.

    “Kebetulan pula, tengah hari tadi saya ke satu majlis di Putrajaya dan direzekikan bertemu Tan Sri Dr. Noor Hisham.

    “Satu kebetulan yang amat bermakna! Allahu, teringat penat jerih berperang dengan Covid-19 satu ketika dahulu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Penjualan tanah di Terengganu cuma isu kecil, boleh difahami rakyat

    Penjualan tanah di Terengganu cuma isu kecil, boleh difahami rakyat

    DATUK Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap tidak ada isu yang wujud ekoran penjualan tanah kerajaan negeri kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’).

    Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan, segala prosedur yang ditetapkan dipatuhi semasa proses jual beli itu dilakukan.

    Sambil mendakwa isu berkenaan sengaja ditimbulkan dan disensasikan pihak tertentu kerana pilihan raya negeri (PRN) semakin mendekat Ahmad Samsuri berkata, beliau tidak faham mengapa ia dijadikan isu oleh pihak yang berkenaan.

    “Saya pun tidak faham kenapa itu menjadi isu, proses yang dijalankan dalam isu itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu.

    “Tapi biasalah zaman pilihan raya macam-macam benda akan keluar. Cacing dalam perut bumi pun akan keluar,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

    Ahmad Samsuri sebelum itu menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis.

    Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd. Shukri Ramli.

    Terdahulu tular laporan mendakwa kerajaan Terengganu menjual tanah seluas 11,299 meter persegi yang terletak di kawasan strategik di Batas Baru pada harga lebih rendah dari pasaran.

    Tanah itu didakwa bernilai RM29.3 juta tetapi dijual kepada Khairunnisa’ dengan hanya RM500,000.

    Berdasarkan laporan tular berserta dokumen yang tidak dapat dipastikan kesahihannya secara bebas, Pendaftar Tanah Kuala Terengganu pada 10 Februari 2019 menyatakan tidak memberi pertimbangan kepada permohonan Khairunnisa’.

    Hal itu kerana tanah tersebut mahu disimpan untuk tujuan kepentingan awam mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Ia diwartakan diwartakan pada 28 Apr 2011.

    Untuk rekod, tanah tersebut pernah diberikan kepada Koperasi Insaf Terengganu Berhad (Koinsaf) milik pemimpin PAS negeri itu pada 2003. Ketika itu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menjadi Menteri Besar.

    Koinsaf ditubuh pada 29 Disember 2021 dan dipengerusikan oleh Bendahari Pas Kemaman, Roslin Abdul Rahman. Setiausaha politik Abdul Hadi Awang ketika itu, Hussain Ismail, pula merupakan ahli lembaga pengarahnya.

    Sesuai dengan peraturan yang dipatuhi, Ahmad Samsuri meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak yang membuat pendedahan tersebut.

    “Kita minta semua pihak membuat penilaian seadil-adilnya berdasarkan fakta, berdasaran peruntukan peraturan,” katanya.

    Ditanya lebih lanjut mengenai nilai pasaran tanah berkenaan, Ahmad Samsuri berkata beliau tidak dapat memberi perincian kepada media mengenai perkara itu.

    “Saya tak boleh bagi (butiran) lengkap… pada saya itu isu kecil isu yang sebenarnya difahami oleh masyarakat, tapi biasalah zaman nak pilihan raya macam-macam keluar,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Polis siasat Mahathir: Pemimpin PH ‘hipokrit’

    Polis siasat Mahathir: Pemimpin PH ‘hipokrit’

    SETIAUSAHA Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Afif Bahardin percaya pemimpin kerajaan bersikap ‘zalim dan hipokrit’ kerana pihak polis menyiasat bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

    Merujuk kepada laporan siasatan terhadap Dr. Mahathir atas dakwaan ‘aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen’, Afif berkata, tindakan polis itu satu ugutan dan menunjukkan sikap tidak hormat kepada seorang negarawan yang lebih tua.

    “Seksyen 124B jelas merupakan peruntukan yang menindas, tidak demokratik yang membenarkan penahanan jangka panjang tanpa bicara di bawah peruntukan Sosma.

    “Ia berulang kali dikutuk oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) selama ini ketika mereka menjadi pembangkang.

    “Sekarang selepas berkuasa, nada mereka berbeza,” kata Afif pada satu kenyataan hari ini.

    Afif berpaling tadah daripada PKR untuk menyertai Bersatu selepas Langkah Sheraton.

    “Sekarang ini, sangat hipokrit apabila pemimpin PH yang sama termasuk Anwar Ibrahim untuk membenarkan dan berdiam diri mengenai penggunaan undang-undang tersebut terhadap pemimpin kanan pembangkang semasa.

    “Berapa ramai lagi pemimpin pembangkang yang akan menjadi sasaran di bawah undang-undang yang menindas ini menjelang enam pilihan raya negeri penting yang akan datang,” soal Afif.

    Beliau juga memetik kecaman kuat sebelum ini terhadap Seksyen 124B pada November 2016 apabila pemimpin Bersih, Maria Chin Abdullah ditangkap dan ditahan selama 11 hari di bawah akta tersebut.

    “Bahagian (Seksyen 124B) ini adalah penghinaan kepada demokrasi berparlimen dan kebebasan asasi yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Kami menyeru kerajaan Umno-PH untuk belajar bagaimana menerima kritikan yang pedas dan menangani pandangan yang berbeza secara demokratik,” kata Afif, lapor Malaysiakini.

    Beliau juga mengingatkan kerajaan tentang ikrar untuk menegakkan kebebasan asas dan reformasi institusi di Malaysia.

  • MB Selangor sahkan beberapa EXCO mula kemaskan pejabat

    MB Selangor sahkan beberapa EXCO mula kemaskan pejabat

    MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengesahkan khabar angin berhubung tindakan beberapa pengerusi jawatankuasa atau Exco kerajaan negeri yang mula mengemas serta mengosongkan ruang pejabat.

    Beliau berkata, tindakan berkenaan merupakan perkara biasa dilakukan mereka terutamanya pada akhir penggal, bagi menghadapi pilihan raya.

    “Ini adalah perkara lazim. Semua buat perkara sama. Dahulu saya pada penggal lepas pun begitu, bila dah nak bubar (Dewan Undangan Negeri), kita pun bersiap sedia untuk kemas. Selepas ini tugas mereka (Exco) adalah untuk menjalankan apa yang dirancang dan tidak boleh ada dasar baharu.

    “Masing-masing pada ketika itu akan sibuk dengan pilihan raya dan berada di lapangan,” katanya yang ditemui di Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini ketika merujuk khabar angin mengenai tindakan beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor yang sudah mula mengemas dan mengosongkan ruangan pejabat.

    Amirudin berkata, beliau sedang menunggu perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk sesi menghadap bagi menentukan tarikh pembubaran DUN Selangor, dan kerajaan negeri hanya mempunyai tempoh 23 hari bermula Sabtu bagi membubarkan DUN.

    Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah. – Bernama

  • Khidmat e-Taib beroperasi 24 jam sebelum hari Wukuf

    Khidmat e-Taib beroperasi 24 jam sebelum hari Wukuf

    TEMPOH perkhidmatan e-Taib, aplikasi terkini untuk jemaah haji bersoal jawab mengenai hukum-hakam dan perjalanan ibadat haji semasa di Tanah Suci akan dipanjangkan secara berperingkat.

    Pengurus Bimbingan Makkah, Shahrin Awaludin berkata, pada masa ini e-Taib yang menyediakan perkhidmatan perbualan langsung (live chat) bersama guru-guru agama beroperasi mengikut waktu pejabat.

    Beliau memberitahu, waktu pejabat di Makkah mulai 7 pagi hingga 12 tengah hari, kemudian 4.30 petang hingga 6.30 petang dan 8 malam hingga 10 malam.

    “Soalan yang ditanya selepas waktu pejabat pula akan dijawab oleh guru-guru agama pada keesokan harinya,” katanya di Hotel Abraj Al Janadriyah di Makkah semalam, lapor Sinar Harian.

    Shahrin berkata, tempoh perkhidmatan e-Taib kemudiannya akan ditingkatkan kepada 18 jam bermula minggu hadapan dan seterusnya beroperasi 24 jam dua minggu sebelum hari Wukuf.

    “Setakat ini kita sudah terima 1,300 soalan yang berkisar mengenai larangan ihram, fiqh wanita, dam (denda) dan juga soalan yang berulang.

    “Terdapat juga soalan yang lain daripada ibadah haji seperti berkaitan ibadat harian jemaah haji dan ia akan turut dijawab,” katanya.

    Shahrin bersama guru agama menyelia soalan yang diajukan jemaah haji. Shahrin bersama guru agama menyelia soalan yang diajukan jemaah haji.

    Shahrin berkata, terdapat juga soalan diajukan yang menunjukkan jemaah haji ingin dapatkan pengesahan berhubung sesuatu kemusykilan.

    “Kadang-kadang soalan itu menunjukkan jemaah haji ini tahu, yang mana mereka sudah dapat pengetahuan daripada kursus haji sebelum ini, cumanya mereka inginkan pengesahan,” katanya.

    Kata beliau, TH menyediakan empat guru-guru agama untuk menjawab soalan dikemukakan jemaah haji dan tiga pakar rujuk untuk soalan yang sukar.

    “Setakat ini semua soalan boleh dijawab oleh guru-guru agama kita dan semua soalan-soalan serta jawapan itu akan dibukukan dan dimasukkan dalam portal e-Bimbingan untuk kemudahan jemaah haji pada masa depan,” katanya.

  • PN: Campur tangan politik halang rakyat berhimpun di Tg Karang

    PN: Campur tangan politik halang rakyat berhimpun di Tg Karang

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor mendakwa hak mereka untuk mengadakan program politik di sebuah padang awam di Tanjung Karang dinafikan kerajaan negeri melalui campur tangan politik.

    Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya parlimen tahun lalu yang menyaksikan PN memenangi semua tiga kerusi utara Selangor maka Tanjung Karang dianggap lokasi paling sesuai untuk mereka.

    “Itu lokasi yang kami anggap paling sesuai, selamat dan selesa untuk pengundi PN berhimpun secara aman,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

    Program Jelajah Selangor Baru itu dijadualkan berlangsung di Padang Astaka Tanjung Karang pada malam esok.

    Antara pemimpin PN yang dijangka hadir ialah pengarah pilihan raya gabungan itu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, serta bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar.

    Roslan Shahir berkata semasa menyerahkan permohonan untuk menggunakan padang itu kepada wakil Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 265 Mei lalu mereka mendapati tiada sesiapa menempah lokasi tersebut.

    “Malangnya pada 31 Mei lalu kami menerima surat daripada MPKS maklumkan bahawa permohonan kami tidak dapat dipertimbangkan kerana ia merupakan padang awam dan kegunaannya adalah untuk riadah saja,” katanya lapor Malaysiakini.

    Menegaskan menghormati ketetapan asal sesebuah padang awam, Roslan Shahir bagaimanapun berkata, PN berpendapat kemudahan sebegitu masih boleh diluluskan untuk program lain yang bersesuaian.

    Kerana perbezaan politik

    Sebagai contoh, dia menyatakan bahawa sesebuah stadium dibina untuk tujuan sukan namun dengan keadaan dan kelulusan tertentu ia masih dibuka untuk penganjuran konsert.

    Dia turut merujuk kepada Padang Merbok dan Dataran Merdeka kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang pernah dibuka untuk program khusus.

    “Kami kesal dengan penolakan ini kerana ia menghalang rakyat daripada berhimpun secara aman dalam kawasan parlimen yang kami wakili,” katanya.

    Pun begitu dia menjelaskan PN tidak bercadang untuk mencabar keputusan dibuat MPKS dan menghormati pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

    Justeru program berkenaan dipindahkan ke Kompleks PAS Tanjung Karang yang terletak di Jalan Jepun, kira-kira 5km dari Padang Astaka.

    Menurut Roslan Shahir, puluhan ribu penduduk setempat yang mengundi PN dalam PRU ke-15 lalu juga merupakan pembayar cukai kepada kerajaan negeri.

    Justeru katanya mereka sepatutnya diberikan kebenaran untuk menggunakan padang awam yang dikendalikan PBT berkenaan.

    “Kami beri peringatan kepada kerajaan negeri – yang tempohnya akan tamat pada Jun ini agar memimpin Selangor dengan adil.

    “Jangan gunakan kuasa untuk menekan kakitangan awam dan sekat hak rakyat semata-mata kerana perbezaan politik,” katanya.

    Sementara itu Roslan Shahir memberitahu, Noh yang dianggap Giant of Tanjung Karang  akan membuat pengumuman penting dan sensasi dalam program PN malam esok.

    “Sama ada dia akan bertanding atau tidak, datanglah malam esok,” katanya.

    Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Dr. Zulkafperi Hanapi yang juga timbalan pengerusi Bersatu Selangor.

    Untuk rekod, Selangor adalah satu daripada enam lagi negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh terdekat apabila mandat yang diperoleh kali terakhir pada 2018 berakhir tidak lama lagi.

  • 2 penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas ubah haluan

    2 penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas ubah haluan

    DUA penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas mengubah haluan secara tiba-tiba di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan hala Kuantan, di Kuantan pukul 7.52 pagi tadi.

    Mangsa merupakan Yusof Ibrahim yang berusia 58 tahun dari Kampung Baru Sungai Miang, Pekan manakala seorang lagi mangsa, Ismail Jaafar, 61, belum dikenal pasti alamatnya.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kedua mangsa terbabit menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah Gebeng ke Kuantan.

    Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian berhampiran Depoh Alam Flora, Kuantan, motosikal mangsa dikatakan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan secara mengejut menyebabkan sebuah kereta dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal terbabit.

    “Akibat pelanggaran itu, kedua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

    Katanya, mayat kedua mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

    “Kereta jenis Nissan Almera berkenaan dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dan akibat kejadian itu dia mengalami cedera di dada, katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai sebarang lesen memandu manakala cukai jalan motosikal terbabit juga sudah tamat tempoh tiga tahun lalu.

    Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Kejatuhan ringgit: Sektor peruncitan, makanan terjejas

    Kejatuhan ringgit: Sektor peruncitan, makanan terjejas

    SEKTOR peruncitan serta makanan dan minuman akan terjejas sekiranya ringgit terus menjunam berbanding mata wang asing, kata Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

    Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, ini kerana kuasa berbelanja pengguna yang semakin berkurangan akibat keadaan ekonomi semasa.

    Katanya, ketidaktentuan mata wang tidak baik untuk ekonomi ataupun perniagaan.

    “Walaupun ada pengilang dan pengeksport yang melaporkan kenaikan permintaan ekoran kejatuhan ringgit, tetapi kos bahan mentah, terutamanya yang diimport turut akan naik.

    “Kebanyakan perniagaan bukan bergantung kepada permintaan seperti ini, tetapi lebih memerlukan ketentuan dari segi kos dan harga jualan supaya kami dapat menjangka dan merancang dengan lebih tepat operasi serta pengeluaran kami,” katanya.

    Menurut beliau, keadaan ini akan menyebabkan keyakinan pengguna akan merosot seperti ketika dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Perkara ini bakal memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    “Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan mencari jalan untuk menstabilkan ringgit,” ujarnya.

    Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit diniagakan pada 4.5990/4.6050 berbanding dolar Amerika Syarikat, naik sedikit daripada 4.6130/4.6180 pada penutupan kelmarin.

    Mata wang negara mengalami penyusutan berikutan isu penetapan had siling hutang di Amerika Syarikat (AS) yang masih berlanjutan.

    Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tekanan terhadap ringgit diharap dapat dikurangkan dengan penyelesaian kemelut isu siling hutang di AS.

  • Pengasuh, pemilik taska dituduh kasari bayi

    Pengasuh, pemilik taska dituduh kasari bayi

    SEORANG pengasuh ditahan kerana mengasari bayi di sebuah pusat asuhan di Taman Samudera, Batu Caves seperti tular dalam media sosial kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu bayi tersebut pada 21 Mei lalu selepas mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada paha dan pipi anaknya.

    “Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 21 Mei lalu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di taman berkenaan.

    “Polis telah menahan seorang perempuan warga tempatan berumur 23 tahun yang merupakan pengasuh di pusat jagaan tersebut.

    “Kes disiasat bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak – Kanak 2001, Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak – Kanak 1984 dan Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Perlesenan, Perniagaan Dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007 kerana menjalankan operasi pusat jagaan tanpa lesen yang sah,” katanya menerusi kenyataan.

    Menerusi satu video tular berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan perbuatan wanita terbabit yang dilihat beberapa kali menampar dan menekup muka seorang bayi yang sedang menangis.

    Katanya, suspek telah dituduh di Mahkamah Selayang pada 30 Mei lalu di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    “Suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan bon kelakuan baik selama tiga tahun serta dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, pemilik pusat jagaan tersebut turut telah dituduh di bawah Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

    “Suspek tidak mengaku salah dan sebutan kes pada 7 Ogos 2023.

    “Selain itu, bagi pertuduhan di bawah Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Perlesenan, Perniagaan dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007, suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 1,000,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Imigresen pertahan tindakan pegawai ‘pecah masuk’ rumah warga emas

    Imigresen pertahan tindakan pegawai ‘pecah masuk’ rumah warga emas

    JABATAN Imigresen mempertahankan tindakan pegawainya yang memecah masuk ke dalam pangsapuri pasangan warga emas di Kuala Lumpur semasa serbuan rutin pagi semalam.

    Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, proses serbuan tersebut dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa yang ditetapkan.

    “Pegawai imigresen bertindak atas aduan yang dibuat ke atas unit kondominium pasangan itu dan telah mengetuk pintu mereka selama 10 hingga 15 minit tetapi tiada jawapan.

    “Apabila pegawai melihat banyak selipar di luar rumah, dan tiada sesiapa yang membuka pintu, kami memecahkan pintu itu.

    “Dakwaan bahawa kami tidak memperkenalkan diri adalah tidak benar. Apabila kami mengetuk pintu itu sendiri, kami memperkenalkan diri dari Jabatan Imigresen.

    “Kami mempunyai SOP apabila kami memasuki rumah. Kami bertindak berdasarkan aduan dan maklumat. Kami beruniform, bukan baju biasa. Jadi mustahil perkara ini (tidak mengenal pasti diri kami) berlaku,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Syamsul berkata, pegawainya akan berhubung dengan pemilik rumah untuk menyelesaikan isu berkenaan.

    “Kita perlu bercakap dengan pemiliknya terlebih dahulu untuk melihat apa ceritanya. Kami akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada pintu itu akan diganti dan pampasan akan diberikan, Syamsul berharap ia dapat dilakukan tetapi berkata: “Kami perlu bercakap dengan pemiliknya. Dan jika mereka bersetuju, kami berharap mereka akan menarik balik laporan polis mereka.”

    Dalam kejadian pukul 3 pagi semalam di Kondominium Putra Majestic, pasangan warga tempatan itu berkata seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai imigresen memecah pintu unit kondominium mereka dan menyerbu masuk ke dalam bilik tidur mereka.

    Pasangan itu memberitahu FMT, lelaki itu mengarahkan mereka untuk menunjukkan MyKad mereka tetapi mendakwa dia tidak memberikan sebarang bentuk pengenalan diri.

    Mereka kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebelum menghubungi pihak imigresen berhubung serbuan itu.

    Polis telah merujuk semula kes itu ke Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan.