Category: Semasa

  • Hadi anggap Munshi Abdullah ‘khadam penjajah’

    Hadi anggap Munshi Abdullah ‘khadam penjajah’

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini mengkritik Bapa Sastera Melayu Moden, Munshi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah Abdul Kadir Munshi – sebagai khadam penjajah.

    Beliau berkata demikian ketika menyanggah tulisan kolumnis Malaysiakini Faisal Tehrani yang didakwanya merendah-rendahkan orang Melayu.

    “Saya terbaca satu artikel dalam media Malaysiakini yang merendahkan Melayu dengan merujuk kepada tulisan Abdullah Abdul Kadir Munshi (1796–1854) yang merupakan seorang penulis khadam kepada penjajah pada zaman kemuncaknya (sila baca riwayat hidupnya).

    “Bukunya yang diterbitkan pada zaman penjajah dahulu dalam tulisan Jawi, membawa fikrah yang sama dengan penulisan para orientalis Barat yang merendahkan Islam dan penganutnya, termasuk bangsa Melayu kerana Islam yang dianutinya,” kata Abdul Hadi.

    Ahli Parlimen Marang itu Hadi tidak menyatakan nama penulis terbabit secara khusus, bagaimanapun ia dipercayai merujuk kepada tulisan Faisal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa pada 16 Ogos lalu bertajuk Madanifobia dalam kalangan Melayu.

    Karya tulisan pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia itu antaranya membangkitkan persoalan kenapakah Melayu sentiasa berasa Islam terancam.

    Faisal juga menyoal kenapa ada ketakutan terhadap pendekatan Madani yang dirujuknya sebagai Madanifobia membawa gagasan Islam yang rahmah, berperadaban, berpemikiran, berkeadilan sosial dan hidup bahagia bersama masyarakat bukan Melayu.

    Faisal turut memetik tulisan Munshi Abdullah dalam Kisah Pelayaran Abdullah, yang mendokumentasikan kezaliman dan keganasan penguasa Melayu, perang saudara yang tidak membawa apa-apa makna, pelacuran dan perhambaan ekoran hutang.

    Munshi Abdullah yang hidup di era penjajahan Melaka secara umumnya dihormati kerana memberi sumbangan terhadap perkembangan bahasa Melayu moden.

    Beliau mendapat gelaran “munshi” dan gelaran bahasa Parsi itu bermaksud “pendidik” atau “guru” .

    Namanya diabadikan pada salah satu jalan di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang serta Singapura tempat dia berkhidmat semasa hayatnya.

    Bagaimanapun, seperti Abdul Hadi, terdapat beberapa pandangan yang mengkritik Abdullah sebagai pro-Barat.

    Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 2019 berkenan menyempurnakan majlis pelancaran buku dokumentasi keturunan Bapa Sastera Melayu Moden Pertama Negara, Mushi Abdullah Sheikh Abdul Kadir di ibu negara.

    Dalam hantarannya di media sosial hari ini, Abdul Hadi mendakwa “mereka” sengaja menutup sejarah keemasan atau menafikan kehebatan Melayu Nusantara yang mempunyai tamadun sendiri ketika bersama Islam selama beberapa abad.

    Tamadun itu, dakwanya, melahirkan tokoh-tokoh ulama dan raja yang alim, raja yang adil, serta “mujahid” (pejuang) yang menentang penjajah.

  • Pegangan portfolio MB, Exco Kedah ikut keperluan

    Pegangan portfolio MB, Exco Kedah ikut keperluan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan mengenai keperluan seorang Menteri Besar atau Exco negeri memegang banyak portfolio.

    Menurut Muhammad Sanusi, jumlah exco di Kedah termasuk dirinya selaku Menteri Besar, hanya berjumlah 11 orang dengan mereka memiliki banyak portfolio untuk diselaraskan dengan Kerajaan Persekutuan.

    Sedangkan katanya, Kabinet Persekutuan disertai oleh 28 individu dengan mereka turut memegang lebih daripada satu portfolio.

    “Kabinet Persekutuan ada 28 orang dan setiap menteri pegang dua atau tiga portfolio.

    “Kabinet negeri cuma 11 orang dan setiap Exco akan pegang banyak portfolio untuk diselaraskan dengan kerajaan persekutuan.

    “Ada juga struktur dalam Kerajaan Negeri yang tidak wujud di persekutuan dan begitu juga sebaliknya. Faham tak lagi?” soalnya.

    Beliau membuat penjelasan tersebut melalui status Facebook dimuat naik, hari ini.

    Sejak semalam, beberapa pihak menjadikan pelantikan Exco Kedah sebagai modal politik dengan mengkritik tindakan Muhammad Sanusi memegang lapan portfolio dalam pentadbiran negeri.

    Lapan portfolio di bawah tanggungjawab Muhammad Sanusi adalah Perancang Negeri; Hasil Bumi; Kewangan; Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC); Majlis Tindakan Ekonomi Negeri; Pembangunan Kedah 2035; Kerjasama Luar serta Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains.

  • Bekas tentera bunuh anak dihukum gantung

    Bekas tentera bunuh anak dihukum gantung

    MAHKAMAH Tinggi di Seremban hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas tentera selepas didapati bersalah membunuh anak perempuannya, kira-kira lima tahun lalu.

    Hakim Datin Rohani Ismail menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohammad Abdullah Mohamed, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

    Rohani dalam penghakiman memaklumkan tertuduh didapati bersalah dan disabitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 hingga 50 tahun dan dikenakan minimum 12 sebatan.

    “Setelah mahkamah mendengar dan menimbang hujahan peguam bela tertuduh dan pihak pendakwaan, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh.

    “… Di mana kamu diperintahkan digantung di leher sehingga mati pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. Apa yang diketengahkan (pihak pembelaan) adalah penafian dan andaian semata-mata,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nur Aina Nabihah Mohammad Abdullah yang ketika itu berusia sembilan tahun pada 31 Januari 2018 jam lebih kurang 11.30 malam di rumahnya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Maleeha Syed Hussin dan Ala’uddin Baharom, manakala tertuduh diwakili oleh dua peguam dari sebuah syarikat guaman.

    Sebelum itu peguam tertuduh dalam rayuannya berkata, sebelum ditangkap anak guamnya berkhidmat di Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 17 tahun satu bulan dan amat menyesal serta memohon maaf, justeru mohon hukuman penjara paling minimum bermula tarikh ditangkap pada 31 Januari 2018.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Maleeha dalam hujahannya berkata, memohon mahkamah mengambil kira bahawa mangsa yang meninggal dunia ini adalah anak kandung tertuduh, punca kematian adalah disebabkan kecederaan abdomen.

    “Dalam kes ini, terdapat 32 kecederaan luaran dan pelbagai kecederaan dalaman si mati, tertuduh telah bertindak kejam memijak serta menendang si mati hingga maut, perbuatan ini tanpa belas kasihan seorang yang dikenal terhadap anak kandungnya sendiri.

    “Pihak pendakwaan mohon satu hukuman berat dikenakan, hukuman paling wajar dikenakan adalah hukuman mati,” katanya.

  • PN umum calon PRK DUN Simpang Jeram malam esok

    PN umum calon PRK DUN Simpang Jeram malam esok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan calon mereka yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada malam di Markas Pas Bakri, Kampung Jeram, Bakri, Muar malam esok.

    Gabungan politik tersebut dijangka meletakkan calon Pas yang akan menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Nazri Abdul Rahman pada PRK tersebut, 9 September nanti.

    Pengerusi Bersama PN Bakri, Mahadzir Abu Said berkata, pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada calon Pas itu dan PN bertekad tidak akan memberi laluan mudah kepada PH-BN dalam usaha merebut kerusi berkenaan.

    Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bakri itu berkata, tentangan sengit akan diberikan dalam usaha merampas kerusi DUN Simpang Jeram.

    “Jika dilihat atas kertas sememangnya berpihak kepada calon PH-BN, namun sentimen politik pada masa ini sukar diramal seperti yang berlaku di enam negeri dalam PRN (pilihan raya negeri) baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, faktor gelombang rakyat yang menyokong PN dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu diharap berlaku pada PRK DUN Simpang Jeram dan juga PRK Parlimen Pulai.

    “Walaupun terdapat perbezaan kira-kira 3,000 pengundi antara kaum Tiong Hwa dan Melayu namun tiada siapa boleh meramalkan pilihan mereka.

    “Keutamaan PN adalah untuk memperjuangkan hak orang Melayu, agama dan negara tanpa menyisihkan kaum-kaum lain,” katanya.

    Justeru katanya, gabungan komponen PN terdiri daripada Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memastikan gelombang rakyat itu turut berlaku di DUN Simpang Jeram.

    Tambah beliau, calon yang akan bertanding dalam PRK itu dijangka akan diumumkan pada Rabu dan seterusnya gerak kerja kempen dilakukan sebaik selesai majlis penamaan calon pada Sabtu.

    Ujarnya, banyak perkara akan menjadi tumpuan khususnya perkara berkaitan kebajikan dan infrastruktur untuk masyarakat sepanjang kempen berlangsung nanti.

    Pada PRN di Johor sebelum ini, PN diwakili Zarul Salleh mendapat 6,360 undi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) yang diwakili DatuK Seri Salahuddin Ayub memperolehi 8,749 sekali gus menang dengan 2,389 undi.

    Sementara calon BN, Datuk Lokman Md. Don memperolehi 6,062 undi.

    PRK DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Salahuddin meninggal dunia meninggal dunia pada 23 Julai baru-baru ini.

  • Ahli Parlimen sokong tempoh bertenang kempen sehari, bukan 3 hari

    Ahli Parlimen sokong tempoh bertenang kempen sehari, bukan 3 hari

    CADANGAN melanjutkan tempoh bertenang kempen kepada tiga hari sebelum hari pengundian dikritik seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang berkata tempoh berkempen ketika ini terlalu singkat.

    Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tempoh berkempen 14 hari ketika ini tidak mencukupi dan mahu ia dilanjutkan.

    Sebaliknya, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan daripada Pakatan Harapan menyokong cadangan tempoh bertenang lebih lama untuk memberi masa kepada pengundi memikirkan pilihan mereka.

    “Tetapi, tiga hari terlalu lama. Pendek kepada sehari sebelum mengundi adalah baik,” katanya kepada FMT.

    Kedua-dua Ahli Parlimen itu mengulas cadangan bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar untuk melanjutkan tempoh bertenang kempen kepada tiga hari bagi mewujudkan persekitaran lebih kondusif dan aman menjelang pilihan raya.

    Di bawah undang-undang semasa, kempen politik perlu ditamatkan pada tengah malam menjelang hari pengundian.

    Wan Ahmad dilaporkan berkata, kempen politik nampaknya berterusan sepanjang tahun, tetapi Wan Fayhsal tidak bersetuju dengannya.

    Ahli Parlimen Machang itu berkata, berkempen adalah khusus untuk tempoh pilihan raya tertentu itu. “Sebagai contoh, anda tidak mempromosikan manifesto sepanjang tahun.”

    Penganalisis politik, Russli Kamaruddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia mengalu-alukan cadangan Wan Ahmad dengan berkata, kempen boleh menjadi tidak produktif kepada perpaduan.

    “Pelbagai perbuatan tidak beretika dan kenyataan berunsur fitnah dibuat (dalam jelajah kempen), yang boleh membawa kepada ketidakharmonian,” katanya sambil mencadangkan tempoh bertenang dilanjutkan sehari selepas hari pengundian bagi mengelakkan sambutan keterlaluan oleh parti politik dan penyokong mereka.

    Sebelum ini, Indonesia melarang parti politik mengadakan perhimpunan atau membawa mesej berkaitan pengundian selepas pilihan raya.

  • Keterangan Zeti di mahkamah berkaitan 1MDB jelas ‘pengabaian tugas’ oleh Apandi – Tun M

    Keterangan Zeti di mahkamah berkaitan 1MDB jelas ‘pengabaian tugas’ oleh Apandi – Tun M

    PENYELESAIAN saman di luar mahkamah melibatkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali oleh kerajaan tidak mencerminkan dengan baik kedaulatan undang-undang negara.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan, pemecatan Apandi tidak dibuat secara salah berdasarkan dakwaan ‘pengabaian tugas’ yang dilakukan oleh bekas Peguam Negara itu.

    Kata Dr. Mahathir, ini dibuktikan melalui keterangan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di Mahkamah Tinggi pada 28 Julai lalu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Zeti dalam keterangannya berkata, walaupun bukti terlalu banyak dikumpul dan direkodkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Peguam Negara ketika itu (Apandi) atas sebab yang tidak diketahui pada 11 September 2015 memutuskan IP itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

    Dr. Mahathir berkata, beliau tersentak selepas membaca laporan media berkaitan kenyataan Zeti tersebut.

    “Zeti menyatakan bahawa beliau telah melaporkan kepada Peguam Negara pada masa itu iaitu Apandi perbuatan salah kakitangan 1MDB.

    “Tetapi Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan. Ia seolah-olah kelalaian tugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Astro AWANI.

    Pada 28 Julai lalu, Zeti semasa memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi memberitahu bahawa BNM menyerahkan Kertas Siasatan (IP) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk pegawai kanannya.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia untuk pergi ke mahkamah bagi menjelaskan mengapa Apandi perlu disingkirkan daripada jawatan sebagai Peguam Negara.

    “Satu lagi contoh keputusan salah Apandi ialah menolak semua kes terhadap Najib (bekas Perdana Menteri), namun apabila seorang lagi Peguam Negara membawa kes Najib ke mahkamah, tiga mahkamah dan sembilan hakim mendapati Najib bersalah.

    “Jelas, Apandi selaku Peguam Negara tidak mengkaji kes itu secara menyeluruh sebelum mengisytiharkan Najib tiada kes untuk dijawab,” jelasnya.

    Dr. Mahathir mendakwa, perkara itu sekali lagi menunjukkan pengabaian tugas di pihak Apandi.

    Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, apabila Apandi menyaman kerajaan dan beliau, kerajaan telah bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah dan memberikan Apandi sejumlah wang yang tidak diketahui untuk menggugurkan tindakan samannya itu.

    Dengan kata lain, Dr. Mahathir mendakwa, kerajaan seolah-olah bersetuju bahawa Apandi dipecat secara salah.

    “Saya tidak terlibat dalam penyelesaian itu. Saya tidak bersetuju bahawa saya telah memecat Apandi secara salah.

    “Tetapi kini, laporan bahawa beliau gagal mengambil tindakan terhadap laporan oleh Bank Negara membuktikan beliau tidak menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara. Justeru, ini mewajarkan lagi pemecatannya sebagai Peguam Negara.

    “Peguam Negara seperti itu diberi pampasan dengan jumlah wang yang tidak diketahui tidak mencerminkan dengan baik kedaulatan undang-undang di negara ini,” jelasnya.

    Pada 13 Oktober 2020, Apandi menfailkan saman dengan menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai tidak sah.

    Bagaimanapun, pada 15 Februari lalu, kerajaan bersetuju bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman tersebut malah ia dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

  • Pesara TNB didakwa pukul isteri dengan kayu

    Pesara TNB didakwa pukul isteri dengan kayu

    SEORANG pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memukul isterinya, kelmarin.

    Tertuduh, R. Subramanian, 65, memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu namun tidak mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, warga emas itu dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 54 tahun dengan menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah di Jalan Pertama 4, Taman Pertama, di Ipoh pukul 1.14 pagi Ahad lalu.

    Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

    Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

    Qurratu’aini menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh namun Dayang Nor Emilia memohon jumlah jaminan paling minimum memandangkan tertuduh sudah berusia dan selain bergantung wang persaraan, selain pendapatan tidak tetap sebagai pekebun.

    Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicara, selain menetapkan 3 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Perakam suara kokpit tak boleh diekstrak

    Perakam suara kokpit tak boleh diekstrak

    MAKLUMAT dalam kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang dihantar ke makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura gagal diekstrak.

    Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang berkata, perkara itu diketahui pihaknya pada pagi tadi.

    Oleh demikian, kementerian merancang untuk menghantar komponen ‘memory puck’ ke kilang pengeluar pesawat itu di Florida, Amerika Syarikat (AS), petang ini.

    “Pada pagi, saya dimaklumkan makmal di Singapura tidak dapat mengeluarkan rakaman suara itu. Terdapat isu teknikal yang menjadi kekangan untuk mengeluarkan rakaman itu.

    “Jadi Biro Keselamatan Kemalangan Udara akan pulang semula ke Kuala Lumpur dan memberi penjelasan kepada saya.

    “Tindakan susulan kita setakat ini menghantar ‘memory puck’ itu ke Florida untuk ia cuba dianalisis,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Seminar Keselamatan Penerbangan anjuran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), hari ini.

    Semalam Anthony berkata, penyiasat berdepan kesukaran mendapatkan data daripada kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina Khamis lalu, selepas disahkan hangus terbakar lapor Berita Harian.

  • Polis siasat dakwaan budak autisme didera di sekolah

    Polis siasat dakwaan budak autisme didera di sekolah

    SEORANG ibu di Kajang telah membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya yang menghidap autisme dipercayai didera di sekolah kanak-kanak berkeperluan khas.

    Ibu kanak-kanak terbabit, Maria Fransiska, 38, mula curiga apabila anaknya Tharun Haree Murugan yang berusia 9 tahun pulang dari sekolah pada 15 Ogos lalu dengan kecederaan pada anggota badan.

    “Balik dari sekolah masuk dalam rumah, anak saya terus pergi dapur ambil kotak ubat dan cakap ‘hurt’ ‘hurt’ (sakit) banyak kali.

    “Terus dia ambil banded untuk ubat lukanya kat tangan, saya pun bertanya kenapa jatuh ka, sekali lagi anak saya hanya cakap ‘hurt’,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

    Menurut Maria yang merupakan seorang suri rumah, anaknya menghidap echolalia dan tidak dapat berkomunikasi dua hala.

    Dia berkata, terdapat beberapa luka dan lebam pada anggota badan sebelah kiri Tharun dan kedua-dua pahanya.

    Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, Maria kemudian membawa anaknya ke hospital kerajaan.

    Maria berkata, doktor mengesahkan kecederaan anaknya itu yang konsisten dengan sebatan menggunakan rotan.

    “Saya menanyakan pihak sekolah tapi mereka cakap tak ada apa masalah dengan anak saya kat sekolah.

    “Saya pun bawa anak saya pergi hospital kerajaan, doktor sahkan anak saya kena pukul dengan rotan dan doktor suruh saya buat laporan polis,” katanya.

    Polis kemudian mengatur pertemuan antara dia dan guru Tharun di sekolah Kajang berkenaan, kata Maria.

    Bagaimanapun dakwanya, guru sekolah itu tidak dapat menjawab persoalan apa atau siapa yang menyebabkan kecederaan tersebut.

    Maria mendakwa pihak sekolah akhirnya meminta maaf kepadanya, mengatakan mereka ‘terlepas pandang’ kejadian itu.

    “Hati saya hancur, tak boleh terima macam mana pihak sekolah terlepas pandang dengan anak ‘special’ saya.

    “Anak saya boleh bercakap tapi tidak pandai komunikasi dengan orang lain, tak pandai complain,” kata ibu itu lagi.

    Menurut Maria, kejadian itu didakwa bukan yang pertama. Dia menyedari Tharun, anak tunggalnya, kembali dengan kesan lebam di pahanya pada tahun lalu.

    Ketika itu, dia sekadar menduga bahawa anaknya mungkin terlanggar bahagian pahanya pada sesuatu secara tidak sengaja.

    Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, yang mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada ibu kanak-kanak autisme itu.

    “Kes itu sedang dalam siasatan,” katanya ringkas.

  • Speaker, pengerusi GLC DAP jarakkan lagi pengundi Melayu, kata penganalisis

    Speaker, pengerusi GLC DAP jarakkan lagi pengundi Melayu, kata penganalisis

    TINDAKAN DAP mencadangkan pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor hanya mengesahkan persepsi yang ditakuti pengundi Melayu bahawa parti itu mendominasi kerajaan negeri, kata penganalisis.

    Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir, langkah itu hanya akan meletakkan DAP dalam kedudukan negatif dan memburukkan lagi imej mereka dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu.

    Katanya, jika diteruskan juga langkah tersebut ia akan memberikan implikasi yang lebih besar sehingga berkemungkinan menyebabkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Ini sudah tentu akan menjarakkan lagi orang Melayu, kerana salah satu faktor orang Melayu menolak PH dalam PRU lepas kerana adanya DAP dalam gabungan itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Dan keduanya DAP dianggap musuh orang Melayu jadi ia akan memburukkan keadaan maksudnya memberi implikasi. Kesannya orang Melayu akan semakin benci dan menjarakkan diri mereka dan ini sudah tentu akan dimanifestasikan dalam pilihan raya akan datang.”

    Jeniri mengulas laporan berhubung ketegangan yang berlaku dalam parti-parti gabungan kerajaan Selangor mengenai cadangan pelantikan pemimpin DAP sebagai speaker dan pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di Selangor.

    Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini menggesa kerajaan Selangor melantik salah seorang bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu Ean Yong Hian sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), pelabuhan terbesar negara yang diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan yang diterajui Loke sendiri.

    Selain itu, Loke juga menamakan Lau Weng San untuk jawatan speaker, sebagai bentuk pampasan kepada parti itu kerana bersetuju memberi laluan kepada UMNO di kerusi DUN Dusun Tua.

    Mengulas lanjut, Jeniri berkata pelantikan bekas ADUN sebagai pengerusi GLC  turut mencetuskan kontroversi kerana ia bercanggah dengan prinsip DAP sebelum ini yang menolak pelantikan politik dalam GLC.

    “Tapi sekarang mereka sendiri tidak berpegang pada prinsip. Kalau ini boleh berlaku pengundi akan tolak mereka kalau tengok masa PRN pengundi India berkurang 15%.

    “Apatah lagi pengundi Melayu PH yang memikirkan hak dan kepentingan mereka,” katanya.

    Anwar ditunggang DAP?

    Sementara penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Shamsul Amri Baharuddin berkata, di atas kertas, daripada segi bilangan kerusi, memang permintaan DAP itu wajar.

    Katanya, ini memandangkan bilangan ADUN DAP yang menang lebih ramai berbanding komponen parti lain dalam PH dan Barisan Nasional (BN).

    Bagaimanapun beliau mempersoalkan mengapa senario itu tidak berlaku di Negeri Sembilan yang mana sepatutnya BN lebih layak untuk mendapat jawatan tinggi namun terpaksa memberi laluan kepada rakan gabungan lain.

    “Dalam konteks PH memang DAP boleh meminta apa yang mereka fikirkan patut kerana bilangan ADUN mereka terbesar.

    “Tapi di Negeri Sembilan 14 UMNO menang 14 kerusi, DAP 11 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lima kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) satu kerusi tapi mengapa UMNO tak dipilih Menteri Besar atau Speaker,” soalnya.

    Katanya, kesan daripada langkah tersebut hanya akan menebalkan lagi stereotaip bahawa PKR dan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditunggang DAP.

    “Tanpa DAP bahawa PKR tinggal terkontang-kanting dan terapung macam teratai di dalam kolam,” katanya.

    Perpecahan Melayu untungkan DAP

    Sementara penganalisis politik, Ahmad Atory Hussain dari UUM berkata, perpecahan parti Melayu memberi keuntungan kepada DAP.

    “Walaupun DAP kita tengok menang kerusi paling banyak tapi itu hanya dalam PH sahaja. Tapi kalau kita tengok bilangan wakil rakyat dalam DUN Selangor, ADUN Melayu paling banyak.

    “Namun apa berlaku sekarang ini adalah akibat daripada perpecahan parti Melayu. Dan bilangan 15 kerusi dimenangi DAP yang terlihat paling kuat, dan kukuh.

    “Jadi sebab itu mereka boleh buat desakan tersebut. Ia tidak menghairankan,” katanya.

    Tambahnya, tindakan DAP itu juga tidak menggambarkan usaha untuk mengekang imej bahawa parti itu yang mendominasi PH.

    “Imej itu satu hal realiti satu hal lagi. Imej yang mereka bawa tak nak gambarkan PH didominasi DAP.

    “Tapi realiti tak begitu. Macam saya katakan itulah akibatnya daripada perpecahan parti Melayu dan pengundi Melayu sendiri yang memilih PH,” katanya.