Category: Semasa

  • Warga asing suspek kes rogol ditahan di KLIA ketika mahu melarikan diri

    Warga asing suspek kes rogol ditahan di KLIA ketika mahu melarikan diri

    SEORANG lelaki warga asing yang menjadi suspek kes rogol ditahan di Pintu Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu melarikan diri balik ke negara asal selepas melakukan jenayah tersebut.

    Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam kenyataan di Facebook berkata, polis menahan suspek yang cuba melarikan diri dalam tempoh 48 jam selepas disyaki merogol seorang wanita.

    Menurut kenyataan itu, suspek melakukan perbuatan tersebut ketika berada di rumah mangsa bagi melakukan kerja penyelenggaraan.

    “Mangsa yang sempat merakam wajah suspek menggunakan telefon bimbit terus menghubungi ibu saudara bagi memaklumkan kejadian.

    “Hasil daripada maklumat itu, pasukan operasi JSJ dapat mengesan suspek yang dalam perancangan melarikan diri untuk balik ke negara asal dengan menggunakan pesawat,” kata kenyataan itu.

    Kata kenyataan itu, suspek diberkas dalam tempoh kurang 48 jam ketika berada di pintu pelepasan lapangan terbang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta hukuman sebat,” kata kenyataan tersebut

  • Pakaian tradisi Melayu: ‘’DAP perlu minta maaf kepada MCA’’ – Lian Ker

    Pakaian tradisi Melayu: ‘’DAP perlu minta maaf kepada MCA’’ – Lian Ker

    NAIB Presiden MCA Ti Lian Ker menggesa DAP memohon maaf kerana  pernah mengecam parti itu ketika mereka mengenakan pakaian istiadat Melayu pada masa lalu.

    Gesaan itu susulan laporan bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang akan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri esok.

    Gambar Lim mengenakan songkok ketika raptai acara turut disebarkan di media sosial. Ti turut memuat naik gambar itu dalam hantarannya di Facebook.

    “Saya rasa bangga ‘Tan Sri Lim’ akhirnya memakai songkok sebagai pakaian protokol dan istiadat. Saya masih ingat lagi ADUN Triang (dari DAP) Leong Ngah Ngah telah enggan memakai pakaian seragam ADUN semasa istiadat dan songkok atas alasan larangan parti semasa Kit Siang jadi Setiausaha Agung.

    “Secara terbuka saya ingin memohon pada DAP untuk memohon maaf pada MCA dan semua ahli MCA yang dipanggil sebagai ‘anjing UMNO’ dan pengkhianat kerana menerima adat resam dan pakaian seragam yang berlandaskan tradisi Melayu,” katanya.

    Kit Siang akan menerima darjah kebesaran itu sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang ke-64.

    Ahli politik berusia 82 tahun itu bakal menjadi pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan gelaran Tan Sri.

     Ti berkata jika DAP boleh memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan UMNO sebelum ini, parti itu juga boleh berbuat demikian dengan MCA.

    “Mengapa DAP tidak meminta maaf kepada MCA dan MIC yang menjadi sasaran serangan utama mereka kerana bekerjasama dengan UMNO demi mencari titik pertemuan masyarakat kita yang pelbagai. Semangat meminta maaf ini adalah cara terbaik ke arah penyatuan dan pengukuhan kerajaan perpaduan BN/PH ke arah pilihan raya negeri (PRN).

    Over to you, Tan Sri Lim Kit Siang dan DAP,” katanya lagi.

  • 3 maut, 3 cedera dirempuh pemandu dipercayai mabuk ketika berteduh di bawah jambatan

    3 maut, 3 cedera dirempuh pemandu dipercayai mabuk ketika berteduh di bawah jambatan

    TIGA penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika berteduh di bawah jambatan di Kilometer 19.6  Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala selatan, awal pagi ini.

    Astro Awani melaporkan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Ambul Hamid berkata, ujian yang dijalankan ke atas pemandu terbabit mendapati tubuhnya mengandungi alkohol melebihi had dibenarkan.

     Beliau berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mereka yang cedera termasuk seorang yang parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

    Menurutnya, dalam kejadian pukul 5.59 pagi, kesemua mangsa yang berusia 19 hingga 37 tahun itu berhenti berteduh di lorong kecemasan di bawah jambatan berkenaan kerana hujan.

    “Siasatan awal mendapati pemandu kereta Honda City Hatchback dalam perjalanan dari ibu negara ke Cyberjaya. Setibanya di lokasi kemalangan, kereta yang dipandu suspek hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas serta melanggar enam lelaki yang sedang berteduh di bawah jambatan kerana hujan,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, pemandu kereta itu ditahan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dijalankan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

  • Kit Siang terima gelaran ‘Tan Sri’ esok?

    Kit Siang terima gelaran ‘Tan Sri’ esok?

    BEKAS Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dijangka menerima gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke-64 esok.

    Difahamkan, Kit Siang, 82, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di tujuh kawasan sejak 1969 hingga 2022, adalah pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan dengan gelaran berkenaan.

    Gelaran itu ialah darjah kebesaran persekutuan kedua tertinggi, selepas Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun.

    Foto Kit Siang yang menghadiri raptai majlis penganugerahan darjah kebesaran itu dikongsi bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun di Facebook, hari ini, lapor Berita Harian

    Berdasarkan muatnaik itu, Jeff Ooi memaklumkan bahawa Kit Siang melakukan raptai dengan menggelarkan bekas Pengerusi DAP itu sebagai Tan Sri.

    “Keluarga veteran Lim. Tan Sri Lim Kit Siang (Raptai). Tun Lim Chong Eu. Tun Ling Liong Sik. Tun Lim Keng Yaik.

    “Penganugerahan adalah pada hari Isnin, 5 Jun. Masih ada masa untuk membeli songkok.

    “Songkok semasa raptai kelihatan tidak begitu muat dengan kepala beliau. Ia kelihatan seperti songkok budak, yang dipakaikan di kepala ayah,” katanya.

  • Ziarah Rahmah kesan keadaan kesihatan jemaah haji 

    Ziarah Rahmah kesan keadaan kesihatan jemaah haji 

    MALAYSIA menjadi  satu-satunya negara yang melakukan pemeriksaan bilik ke bilik penginapan bagi mengesan keadaan kesihatan jemaah haji Malaysia yang berada di Tanah Suci.

    Pakar Perubatan Kesihatan Awam Tabung Haji (TH), Dr Nur Fatihah Oh Abdullah berkata, program yang dikenali Ziarah Rahmah itu juga turut menjalankan aktiviti promosi kesihatan dan aktiviti pencegahan penyakit berjangkit.

    “Kita juga bertanyakan khabar, beri pendidikan kesihatan dan kenal pasti jika ada mereka ada masalah kesihatan akan dirujuk ke klinik ataupun pakar yang berkenaan.

    “Seperti mana yang kita maklum, saban tahun ada penyakit-penyakit seperti sistem pernafasan, strok haba…jadi ziarah ini boleh sampaikan maklumat pencegahan kepada jemaah,” katanya kepada media Malaysia lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah. 

    Kata Dr Nur Fatihah, melalui aktiviti itu juga, pihaknya dapat mengesan penyakit yang dihadapi jemaah haji lebih awal sebelum ia menjadi lebih serius.

    “Kebanyakan jemaah mengadu dari segi masalah pernafasan, batuk, selesema, kulit kering, mungkin sakit lutut dan penyakit-penyakit lain serta kaedah pengambilan ubat yang betul.

    “Ada juga kes jemaah yang tidak tahu dirinya sakit tapi bila pasukan pergi ziarah dapat kesan seperti seorang warga emas ini alami dehidrasi sebab kurang air. Jadi tindakan awal ini dapat selamatkan warga emas itu,” katanya.

    Beliau berkata, sehingga kini pihaknya telah menziarahi 12,671 jemaah yang meliputi 2,551 bilik.

    Katanya, Ziarah Rahmah itu bermula jam 8 pagi hingga tengah hari kerana kebiasaan pada waktu itu jemaah berada di bilik selepas pulang daripada solat Subuh di masjid.

    “Kita ada lapan anggota yang terdiri daripada pakar perubatan kesihatan awam, penolong pegawai kesihatan persekitaran dan pegawai perubatan yang terlibat dalam ziarah itu,” katanya.

    Ujar Dr Nur Fatihah, pasukannya juga turut dibantu oleh 10 petugas daripada Pusat Rawatan TH bagi memastikan jumlah jemaah yang dilawati dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

    “Kita telah ‘cover’ lebih kurang 87 peratus jemaah di Makkah, Madinah dan daripada jumlah itu, kita telah kenal pasti 175 jemaah yang mempunyai masalah kesihatan dan telah dirujuk kepada klinik berkaitan.

    “Insya-Allah menjelang dua minggu sebelum hari Wukuf, jumlah bilik yang dilawati boleh mencapai 100 peratus kerana ia penting untuk jemaah kekal cergas sebelum aktiviti Masyair,” katanya.

  • Lisdawati terharu diberi peluang jadi tetamu Allah 

    Lisdawati terharu diberi peluang jadi tetamu Allah 

    PELAKON terkenal, Lisdawati tidak mampu menahan air mata apabila menyentuh soal hubungan  dengan Allah setelah terpilih menunaikan haji  tahun ini.

    Kata Lisdawati ataupun nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin,45, sebagai hamba yang tidak dapat lari daripada melakukan dosa, peluang ke Tanah Suci kali ini amat bermakna dalam hidupnya yang tidak mampu dijelaskan dengan kata-kata.

    “Saya sebenarnya tak sangka dapat tunai haji tahun ini. Apabila mula-mula dapat tawaran tu banyak persoalan di fikiran sama ada bersedia atau tidak kerana orang macam saya ini tak ada ilmu agama yang banyak. Alhamdulilah kerana niat kita baik untuk menjadi tetamu Allah, saya dapat mendalami kelas ibadat haji secara ‘personal’ dengan guru agama dan seterusnya mengikuti kursus haji perdana di Putrajaya,” katanya lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Lisdawati yang berlepas ke Tanah Suci pada 22 Mei lalu berkata, ibunya, Risda Chalidi,67, yang bersamanya untuk menunaikan haji kali ini adalah kekuatan yang menjadikan dirinya semakin dekat dengan Allah.

    “Mak saya pernah kena sihir dan berjumpa dengan (Allahyarham) Datuk Ustaz Haron Din. Masa tu Ustaz tepuk bahu ibu saya tiga kali pastu ibu saya menangis, ini je ke ustaz berubat tanpa baca apa-apa doa tanya ibu saya. Ustaz kata doa ibu saya lebih mustajab. Bila ibu saya balik doa berhari-hari, amalkan doa Ustaz ajar dan Alhamdulilah sihat sehingga hari ini,” katanya.

    Kata Lisdawati, apabila melihat keyakinan ibunya terhadap kuasa Allah, maka dari situ dia belajar bahawa cinta kepada Allah perlu melebihi segala-galanya.

    “Selepas itu hidup saya makin tenang. Kalau ada apa-apa gosip mengenai suami ia tidak memberi masalah kerana cinta kepada Allah adalah paling utama,” katanya.

    Kata Lisdawati, dia sentiasa berdoa agar terus istiqamah dalam mengabdikan diri kepada Allah kerana pada zaman sekarang banyak cabaran yang boleh menggoyahkan iman.

    Menyentuh soal karier sebagai artis apabila pulang ke tanah air nanti, Lisdawati berkata, ramai produser filem faham akan penampilan diri yang selari dengan tuntutan seorang Muslimah.

    Alhamdulillah selagi diizinkan suami saya akan berlakon dengan watak yang lebih selektif iaitu menjaga batas agama, menjaga waktu solat dan pembawaan watak yang dapat beri manfaat kepada penonton.

    “Sebenarnya di Mekah saya lebih berdoa agar suami dapat lebih banyak ‘job’ supaya saya dapat fokus lebih banyak masa dengan anak-anak di rumah,” katanya.

  • Lanjut kontrak Azam: PM ‘sambil lewa’ lindungi pemberi maklumat – C4

    Lanjut kontrak Azam: PM ‘sambil lewa’ lindungi pemberi maklumat – C4

    PENGERUSI Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Edmund Terence Gomez mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya tidak serius dalam melindungi pemberi maklumat susulan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Walaupun Azam terkait kontroversi yang didedahkan oleh pemberi maklumat K. Lalitha bahawa dia didakwa terlibat dalam skandal pemilikan saham, yang kemudiannya menimbulkan persoalan mengenai konflik kepentingan dan adakah jumlah itu sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.

    Azam mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh abangnya atas namanya, mendorong Suruhanjaya Sekuriti turut terlibat berhubung kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangannya.

    Gomez melahirkan kekecewaan terhadap Perdana Menteri berkata, lanjutan kontrak Azam akan mencemarkan agenda antirasuah Anwar.

    “Kenapa Anwar, yang menyokong pemberi maklumat (Lalitha) dalam kes ini dan secara terbuka berdiri di sisinya dalam isu berkenaan, kini tidak bercakap tentang melindungi pemberi maklumat?

    “Sebaliknya, dia melantik semula Azam, yang didedahkan (Lalitha terkait) urus niaga saham yang boleh dipersoalkan.

    “Apa yang penting sangat (bagi Anwar sampai) perlu melantik semula Ketua Pesuruhjaya yang tercemar itu sedangkan dia berpeluang untuk memecatnya (Azam)? Saya tak faham.

    “Jika anda tidak mempunyai SPRM yang berwibawa, pemberi maklumat yang manakah akan tampil apabila ketua pesuruhjayanya disaman oleh pemberi maklumat,” soal Gomez.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berucap pada forum bertajuk ‘Memperkukuh Dasar Pemberi Maklumat Malaysia: Apa Yang Perlu Dilakukan dan Bagaimana?’ anjuran GerakBudaya hari ini.

    Gomez yang juga pakar ekonomi menjelaskan bahawa, beliau tidak mengkritik kerajaan secara membuta tuli, menegaskan bahawa Anwar telah berulang kali berjanji untuk memerangi rasuah.

    “Cukuplah bercakap! Tunjukkan kepada saya bahawa anda benar-benar serius bertindak. Kami di sini untuk membantu,” tegasnya.

    Gomez meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM pada Disember 2021 sebagai membantah tindakan panel itu tidak bertindak terhadap dakwaan pemilikan hampir dua juta saham Azam dalam sebuah syarikat tersenarai awam.

    Pelantikan semula Azam mengundang kritikan, dengan penyokong antirasuah menggesa Anwar untuk menjelaskan keputusan tersebut.

    Gomez turut menyeru pentadbiran Anwar supaya komited melaksanakan reformasi dan janji-janji ketika pilihan raya umum lalu, terutama menjelang pilihan raya negeri yang semakin hampir.

    “Jika kita tidak boleh mendapatkan ahli politik untuk memberi maklum balas sekarang, sekurang-kurangnya berikan kita komitmen awam. Saya bimbang kita mungkin tidak mendapat komitmen untuk perubahan sebenar selepas pilihan raya negeri.

    “Kami mempunyai Perdana Menteri reformis yang berkata dia akan melakukan pembaharuan. Terima kasih, tetapi bolehkah anda melakukannya dengan pantas?

    “Kerana walaupun ketika kita sedang bercakap hari ini, ada cakap-cakap bahawa kerajaan ini mungkin tumbang, jadi kita tidak ada banyak masa untuk dibazirkan,” katanya dalam forum itu.

    Gomez berkata, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) yang ditubuhkan semasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah ditugaskan untuk merangka langkah menangani rasuah dan pembiayaan politik.

    Kumpulan itu terdiri daripada ahli parlimen dan ahli masyarakat sivil.

    “Pembiayaan politik menyumbang kepada rasuah. Dalam demokrasi yang berkembang maju, anda memerlukan pihak yang dibiayai dengan baik untuk melakukan kerja mereka.

    “Menjalankan kerja-kerja parti dan kempen bukanlah murah dan mereka perlu telus dan bertanggungjawab,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Gomez mendedahkan bahawa draf rang undang-undang pembiayaan politik telah disiapkan dan ia telah dikemukakan kepada menteri undang-undang ketika itu Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Katanya, draf rang undang-undang itu kini di tangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Mengakui Azalina sudah memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa draf rang undang-undang itu telah dihantar kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSSC) untuk dibincangkan, Gomez menggesa RUU itu dibentangkan di parlimen pada sidang kali ini.

    Pada 7 September tahun lepas, pentadbiran Ismail pada dasarnya bersetuju dengan undang-undang mengenai pembiayaan politik apabila Rang Undang-undang Pembiayaan Politik dibentangkan kepada Kabinet.

    Antara cadangan lain yang dibuat oleh KRPPM termasuk pindaan kepada Akta Pemberi Maklumat dan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

  • Ugut sebar gambar aib, remaja perempuan ditahan

    Ugut sebar gambar aib, remaja perempuan ditahan

    REMAJA perempuan ditahan selepas disyaki mengugut seorang wanita untuk menyebarkan gambar tidak senonoh di Taman Seri Nilai, Tangkak, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Tangkak, Superintenden Idris Abdul Rahman berkata, suspek berusia 17 tahun diberkas kira-kira 4 petang semalam susulan laporan dibuat wanita terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak Isnin lalu.

    Beliau berkata, suspek menggunakan Facebook milik individu lain untuk mengugut menularkan gambar tidak senonoh wanita berusia 20 tahun itu jika gagal menyerahkan sejumlah wang.

    “Kejadian berlaku selepas mangsa mengenali suspek melalui Instagram bermula 28 Jan lalu. Sejak itu, wanita berkenaan menyerahkan RM27,000 kepada suspek melalui 32 transaksi dan tiga akaun berlainan selepas suspek terus mengugutnya,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, ugutan terakhir suspek pada 11.20 malam Rabu lalu apabila meminta wang RM600 menyebabkan mangsa nekad memberitahu ibunya berhubung perkara itu sebelum membuat laporan polis.

    “Siasatan mendapati mangsa tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan suspek.

    “Ketika tangkapan, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah telefon beserta kad sim, sekeping kad bank dan wang tunai berjumlah RM152 daripada suspek,” katanya.

    Beliau berkata, suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

  • Budak 8 tahun hilang ketika mandi sungai

    Budak 8 tahun hilang ketika mandi sungai

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di sungai berhampiran Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim, Perak.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada 5.06 petang tadi.

    Katanya, mangsa berpakaian baju renang berwarna hitam bertompok hijau dipercayai hilang ketika mandi di lokasi berkenaan.

    “Setibanya jentera di lokasi, kita terima makluman daripada saksi, seorang kanak-kanak lelaki yang sedang mandi-manda hilang dan dipercayai lemas.

    “Ketika ini operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan bantuan penduduk kampung merangkumi jarak 30m dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya.

    Katanya, setakat ini 10 anggota terlibat dalam operasi itu dengan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba Teluk Intan juga digerakkan ke lokasi.

  • Kertas siasatan isu ‘hina raja’ Tun M dirujuk ke AGC minggu depan

    Kertas siasatan isu ‘hina raja’ Tun M dirujuk ke AGC minggu depan

    KERTAS siasatan ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu beliau didakwa menghina institusi raja sudah disiapkan.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, selaras dengan peruntukan undang-undang kertas siasatan tersebut akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu depan.

    “PDRM telah melengkapkan kertas siasatan terhadap Tun Dr. Mahathir bersabit kes penghinaan terhadap institusi diraja.

    “Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 6 Jun ini selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, lapor Malaysiakini.

    Noorsiah memberitahu, bagi isu membabitkan Proklamasi Orang Melayu, PDRM masih di peringkat siasatan.

    Katanya, polis akan merakamkan percakapan dua ahli politik lagi iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy.